Looking for Something?

IJAB JANGAN TERHIJAB!

Author:

Minggu ini terlalu banyak peristiwa yang dialami. Perpisahan, kematian dan pertemuan. Mudah-mudahan, Allah kurniakan kekuatan untuk menulis semuanya nanti. Masih sayu kerana kepulangan insan yang banyak berbudi. Semoga rohnya di tempatkan di kalangan para solehin.

Namun, buat pembaca dan pengunjung blog ini, saya tinggalkan satu tulisan… Ya, buat yang baru bernikah atau yang baru menjadi bapa atau ibu mertua, terimalah “hadiah” yang tidak sepertinya ini...

IJAB JANGAN TERHIJAB!

Dahulu melafaz qabul, “aku terima nikah…” Sebentar tadi baru melafazkan ijab, “aku nikahkan akan dikau.” Puluhan tahun berlalu. Jarum waktu bergerak begitu laju dalam arlogi takdir dan tadbir. Kalau dulu hatiku bergetar kerana menerima tanggung-jawab, kini hatiku bimbang kerana ’melepaskan’ tanggung-jawab.

Bagaimana, mampukah aku mendidik isteriku? Begitulah suara hati ketika tanganku bersalaman dengan Qadi puluhan tahun yang lalu. Sejuk, dingin, terasa meresap ke seluruh anggota. Sejak saat itu ’masjid’ yang dibina menagih seribu usaha, sejuta setia. Telah banyak kepedihan yang ditagih menjadi baja keteguhan. Hidup tidak selalu indah, kerana di situlah keindahan hidup. Yakin hakikat itu… suami-isteri berkayuh air mata menongkah badai gelora!

Jika matlamat telah tepat, apakah ada pilihan lain selain meneruskan perjalanan?Layang-layang hanya naik apabila melawan angin, bukan mengikutnya. Dan begitulah jua hidup ini, dengan ujian barulah naik darjat kita di sisi Allah.

Hidup selagi hidup. Jangan hidup sebagai bangkai bernyawa, yang hilang semangat dan upaya.Kata bijak pandai, “jika tidak ada apa yang boleh menggembirakanmu, jika tidak ada apa yang boleh menyedihkanmu, dan jika tidak ada apa lagi yang ingin kau perjuangankan dalam hidupmu… Itu petandanya kau sudah mati.

Zahirnya sahaja kau masih bernyawa, tetapi hakikatnya kau adalah ‘mayat’ dalam keranda maya.” Alhamdulilah, sampai kini aku masih mampu ketawa dan menangis… masih menyala cita-cita dan harapan… petanda aku masih hidup.

Itu ceritaku sewaktu bernikah dulu. Tetapi kini cerita anakku. Maaf, hakikatnya ini bukan ceritaku, tetapi cerita kita – rumahtanga ayah-ibu sebagai pantulan rumahtanga anak-menantu. Ketika ku lepaskan kalimah ijab, baru kusedar bahawa kekadang ’melepaskan’ tanggungjawab adalah lebih berat daripada menerimanya. Apakah anakku (dan anakmu jua) akan tega dan rela menjadi isteri sesetia ibunya? Apakah dia akan menerima segala ’kekurangan’ suami sebagai kesempurnaan dalam rumahtangga? 

Tempoh bulan madu akan segera berlalu. Pelangi yang kelihatan indah di atas kepala kita akan mula berarak ke kepala orang lain. Ingat pesanan ayah-ibu sejak dahulu: Kebaikan mesti bermula daripada kita.

Hukum lantunan dalam kehidupan tidak akan pernah berubah – orang yang pertama mendapat manfaat daripada satu kebaikan ialah orang yang melakukannya. Tangan yang menghulur bunga mawar, pasti berbau harum. Justeru, jadilah ’tangan itu’.

Memberi akan lebih gembira daripada menerima… dengan syarat pemberian itu disertai kasih-sayang. Sekiranya, rumah-tanggamu nanti diuji (ingat, ini pasti)… dan kau dan suami tidak segembira saat ini, renungilah kata-kata ini: Itu petanda kau sudah kurang ’memberi’ – memberi kasih-sayang, perhatian, masa, doa dan segalanya.

Mengapa kurang memberi?Jawabnya, kerana tidak gembira untuk memberi. Mengapa tidak gembira? Jawabnya, kerana kurangnya kasih-sayang. Kenapa kasih-sayang berkurang? Jawabnya, kerana lemahnya iman. Iman itu sumber kasih-sayang. Iman itu sumbu pada lentera perkahwinan. Tanpanya, ijab akan terhijab!

Lalu di hari bahagia mu ketika di satukan, ayah ingin berpesan. Inilah pesan ayah seadanya:

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah Tuhan Sekalian Alam. Syukur ke atas anugerah-Nya yang melimpah tanpa dapat dihitung apatah lagi dibalas oleh hamba-hamba-Nya.

Selawat serta salam kepada Nabi Muhammad SAW yang telah menunjukkan teladan terbaik sebagai seorang anak, suami, ayah dan datuk yang berjaya memimpin keluarganya, demi kebahagian dunia dan akhirat.

Hari ini adalah hari yang paling bermakna ayah. Alhamdulillah, sebentar tadi telah sempurnalah ijab kabul anak ayah. Semoga pernikahan ini diberkati Allah dengan kebahagiaan berpanjangan dari dunia hinggalah ke syurga. Amin.

Sebagai ayah, hati ayah gembira bercampur sedih. Gembira, kerana anak ayah telah mendapat pasangan pilihan hatinya dengan direstui oleh ayah. Sedih, kerana ayah terpaksa melepaskan anak yang selama ini menyejukkan hati.

Sebentar tadi telah berpindahlah amanah dari tangan ayah kepada menantu ayah. Ayah doakan amanah ini akan dijaga dengan sebaik-baiknya. Jauh di sudut hati, ayah tetap yakin, Insya-Allah, Allah tidak akan mensia-siakan harapan itu kerana kau adalah anak yang baik. Allah tidak akan sekali-kali mengecewakan hamba-Nya yang baik. Insya-Allah.

Pesan ayah kepada anakanda yang dikasihi… berilah ketaatan dan kebaikan yang selama ini kami rasai kepada suamimu nanti. Insya-Allah, kami juga akan turut merasai keberkatan dan kebahagiaan itu.

Dan ayah yakin, walaupun telah mendirikan rumah tangganya sendiri, kau dan suamimu akan terus berbakti kepada kedua ibu-bapa seperti biasa, malah akan meningkat lagi. Insya-Allah.

Pergilah. Allah bersamamu. Doa ayah mengiringi setiap langkah di alam rumahtangga mu nanti. Muga suamimu akan menjagamu seperti ayah menjagamu. Ayah akan bersangka baik, justeru Allah itu menurut sangka hamba-hamba-Nya. Insya-Allah bila kita bersangka baik, kita akan mendapat yang terbaik.

Akhirnya, ayah berdoa khusus untuk mu:

Ya Allah kuatkanlah iman kami, satukan keluarga kami, dan kumpulkan hati-hati kami diatas kecintaan kepadaMu, Ya Allah, Ya Karim.Kasihanilah kami Ya Allah, Kasihanilah kaum keluarga kami Ya Rahim, Kau permudahkanlah urusan kami dan luaskan rezki kami dengan rahmat-Mu. Ya Allah, Tuhan yang mengasihani daripada segala yang mengasihani.

Ya Allah, Kau turunkanlah rahmat dan keberkatan di dalam rumah ini. Wahai Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Ya Allah, Kau jadikanlah anak-anak kami ini dalam kalangan anak-anak yang soleh dan solehah. Engkau jadikanlah isteri kami ini dalam kalangan isteri yang solehah. Kau kurniakanlah kebahagian dan ketenangan di dalam rumahtangga kami ini Ya Allah.

Ya Allah, Kau jadikanlan kaum keluarga kami daripada kalangan orang-orang yang rajin mendirikan solat. Kau jadikanlah kaum keluarga kami dalam kalangan orang-orang yang mentaati-Mu. Mudah-mudahan dengan ketaatan ini akan menjadikan kami bertemu dalam keadaan yang baik di akhirat kelak.

Wahai Tuhan kami, terimalah daripada kami permintaan kami. Sesungguhnya Engkau Maha mendengar lagi Maha Mengetahui dan terimalah taubat daripada kami, wahai Tuhan Yang Maha Mulia. Sesungguhnya Engkau Maha penerima taubat lagi Maha Pengasihani.

(petikan: Dari Buku: Di mana DIA di hatiku?)

Feedback

41
  • salwani

    salam ustaz,saya kagum dan terkesan sekali dengan setiap tulisan dan motivasi yang ustaz berikan,moga ALLAH sentiasa merahmati apa yang sampaikan

  • شاح

    Assalamualaikum w.b.r
    Yang pertamanya Innalillah wa innailaihirajiun kepada yang berlaku kematian dan tidak lupa juga Al-Fatihah buat Allahyarham.. Menarik penulisan ini.. Walaupun Ana belum terhijab apa lagi terqabul tapi pengalaman penceritaan mungkin berguna pada suatu hari nanti.. Insya-Allah.. Kutiplah ilmu bermanfaat wahai pembaca budiman.. Wasalam

  • Murtadha Rafaai

    InsyaAllah..amen ..

  • Anak Emak Ayah

    Assalamualaikum Ustaz….
    Terima kasih krn melafazkan rasa isi hati seorang ayah…Sungguh terharu dan memberi makna yg dalam utk sy.

  • gentarasa

    Salam Anak Emak Ayah,
    Esok… bila kita jadi emak atau ayah, baru kita rasa kebimbangan ibu dan ayah kita. Namun, serahkan sahaja kepada Allah dengan berusaha mematuhi segala perintah dan amanah-Nya. Bagaimana hubungan kita dengan Allah, begitulah hubungan kita sesama manusia.

  • gentarasa

    Salam,
    Barakallahu fik.

  • gentarasa

    Salam Shah,
    Syukran atas doa. Nanti Shah, bila kita lalui… baca balik tulisan ini. Rasanya dah lain, walaupun mungkin kata, ayat dan bahasanya masih sama. Insya-Allah, hari itu datang.

  • Edalia

    Salam Ustaz,
    Terharunya membaca luahan rasa seorang ayah. Bertambah faham perasaan mak ayah tika anak mereka berkahwin. Terima kasih ustaz.

  • kasih

    Jazakallahukhoiran kathiraa..kiriman yang mengundang a.mata.. Itulah antara pesanan ayah lebih kurang 16 tahun lalu..walau bhasanya tidak seindah bahasa Ustaz,tp itulah isinya. Tapi kini ayah telah tiada.. sesungguhnya kerinduan pada ayah hanya Allah yg tahu..tp Allah Maha Kaya, menghadirkan ‘ayah’ dalam setiap kiriman Ustaz… Terima Kasih sekali lagi..

  • shafifah

    Majlis Haul Tokoh -Tokoh Ulama Kg kuala Tekal ke 14 : http://wp.me/piAx4-1lq

    Pergi Dalam Jalan Keridhoan Allah-Habib Munzir : http://wp.me/piAx4-1lG

    Tafaqquh Fiddin Bersama Syeikh Muhammad Nuruddin : http://wp.me/piAx4-1lI

    Buku Sahih Solat Nabi : http://wp.me/piAx4-1jf

    Syarahan Perdana Bersama DR. SYEIKH SALIM ALWAN AL-HASANIY(Pengerusi Tertinggi Islam Australia) : http://wp.me/piAx4-1k2

  • haura'

    salam ustaz..terkedu dan sebak membaca luahan dan doa ustaz buat anak ustaz..sebak kerana saya masih belum melalui alam ini(doakan saya) dan saya tiada lagi ayah yang akan mengijabkan saya nanti..kehilangan yang benar2 dirasakan bila tiada lagi doa yang dititp oleh ayah…saya sebagai perempuan selalu tidak rasa aman bila memikirkan lelaki yang akan saya kahwini, dapatkah die melindungi saya sebagaimana ayah saya lakukan..moga Allah berikan yang baik untuk saya dan teman2 lain..terima kasih ustaz..

  • مريم

    Syukran Jazilan Ya Ustaz. Semoga kita sentiasa dikurniakan Taufik & Hidayah NYA…Amin.
    Didoakan semoga Ustaz sentiasa sihat…berkongsi dengan kami yang sering alpa.
    Izinkan saya berkongsi nota Ustaz bersama rakan2.

  • Umat

    Salam… Ilmu Yang amat bermanfaat bagi saya yang belum berumahtangga…(“,)
    Moga Allah memberkati ustaz.. Jazakallah..

  • hafiz rantisi

    salam…syukur dipanjatkn buat PEMILIK segala cinta..syukur kerna msh diberi hela nafas…perkongsiaan ilmu yg menarik..pnh makna buat hati yg selalu merindui damai…

  • ziyana

    salam ustaz…
    terasa bagai dapat menyelami rasa hati ayahanda saat sempurnanya ijab dan kabul saya baru2 ini…

  • kemboja

    saya amat syahdu mambaca coretan hati seorg ayah..mmg benar erti hidup memberi..memberi akn melahirkan syukur mempertingkatkn taqwa..mengukuh kasih sayang..org yg memberi akn lebih terasa nikmatnya berbanding org yg menerima..zahirnya seperti berkurang tp hakikatnya dalam..

  • toss

    Sangat bermakna kata2 tersebut.

    Memberi akan lebih gembira daripada menerima… dengan syarat pemberian itu disertai kasih-sayang. Sekiranya, rumah-tanggamu nanti diuji (ingat, ini pasti)… dan kau dan suami tidak segembira saat ini, renungilah kata-kata ini: Itu petanda kau sudah kurang ’memberi’ – memberi kasih-sayang, perhatian, masa, doa dan segalanya.

    Mengapa kurang memberi?Jawabnya, kerana tidak gembira untuk memberi. Mengapa tidak gembira? Jawabnya, kerana kurangnya kasih-sayang. Kenapa kasih-sayang berkurang? Jawabnya, kerana lemahnya iman. Iman itu sumber kasih-sayang. Iman itu sumbu pada lentera perkahwinan. Tanpanya, ijab akan terhijab!

  • Muhammad Al-Fadzil Hidzir

    Assalamualaikum Us. Tahniah mendapat menantu doa dan harapan ana agar Allah memelihara keduanya dengan melahirkan zuriat sebagai pembantu agama Allah – Kesempatan ini juga ana juga ingin menjemput Ke majlis walimah ana 3 april 2010 di k.lipis – 0133732903

  • Khairul

    Salam Ustaz,

    Boleh tak ustaz emailkan kepada saya tulisan-tulisan ustaz dalam SOLUSI isu 8 tentang kematian. Sebenarnya saya nak gunakan untuk disunting menjadi khutbah jumaat. (tak perlu saya taip balik semua, mudah sikit) Saya juga telah menggunakan beberapa hasil tulisan ustaz sebagai khutbah yang saya sampaikan di tempat saya. Harap diizinkan.

  • kembara

    salam ust..

    Tahniah kpd anak ust dn ust..moga masjid dibina melahirkn generasi yg soleh..
    syukran ust di atas stp tulisan ust..saya juga berharap dapat menulis spt ust dan penulis2 lain..
    moga tinta ini menjadi saksi sbg huluran sumbangan buat ummah..
    saya doakn ust agar sentiasa dicurahkan hidayah..
    doakn saya yg masih lg bertatih dalam kesamaran..

  • gentarasa

    Salam kembara,
    Insya-Allah, Allah akan membantu kembaramu. Saya doakan anda juga akan dikurniakan sesuatu/seseorang yang lebih baik lagi demi kebahagiaan dunia akhirat. Amin.

  • gentarasa

    Salam Ustaz,
    Insya-Allah, saya akan dapatkan nanti di Telaga Biru. Bila dapat saya akan emailkan segera. Insya-Allah.

  • gentarasa

    Salam Muhammad Al Fadzhil,
    Syukran atas jemputan. Semoga saudara mendapat yang solehah. Maaf, saya tidak dapat menunaikannya. Kesihatan saya tidak mengizinkan buat waktu ini untuk memandu jauh-jauh. Namun saya doakan, majlis itu nanti dikurniakan keberkatan dan kerahmatan. Amin. Bantulah dia ya Allah.

  • gentarasa

    Salam toss,
    Syukran kerana “mengembalikan” kata-kata itu buat peringatan penulisnya. Syukran. Ana membacanya seolah-olah pesan toss pada saya. Syukran.

  • gentarasa

    Salam kemboja,
    Supaya Yang Maha Pemberi sudi memberikan kita sifat memberi! Amin.

  • gentarasa

    Salam,
    Barakallahu fik!

  • gentarasa

    Salam hafiz,
    Alhamdulilah…

  • Wan Siti

    Tidak rugi saya memiliki buku “Di mana DIA di hatiku?” ini…
    Terima kasih.
    Sambil membaca, saya berfikir dan terus berfikir, abah saya mungkin tak dapat mengungkap kata-kata indah seperti susunan ayat ustaz ini..Tapi sebagai anak yang masih di bawah tanggungjawab abah sepenuhnya..Saya memahami, apa yang perlu saya sumbangkan untuk keluarga dan apa yang bermain di benak seorang insan yang bergelar ayah!

    Terima kasih ustaz.

  • nurkasih

    salam semua

    tatkala membaca luahan hati seorang ayah dia atas, ntah semena2 hati saya sgt tersentuh.. teringat sgt2 kat abah yg jauh..

  • PakarLuahHati

    Ni kali pertama saya sampai di sini. Alhamdulillah, saya memang benar2 meminati tulisan tuan sejak saya remaja lagi. Semua buku tulisan tuan saya dah beli dan bacanya berkali2, tanpa jemu. Terlalu banyak mutiara berguna yang saya dapat daripadanya. Saya ucapkan terima kasih banyak-banyak atas semua perkongsian ilmu/pengalaman ustaz.

    Saya minat benar dengan gaya penulisan tuan. Ianya menusuk kalbu. Kadang-kadang berbisa seperti duri sembilu. hehe

    Apa2pun, mulai hari ini insyaAllah saya pasti akan menjadi pembaca setia blog ustaz ni. Terima kasih.

  • Maryam Izza

    Salam Ustaz!
    saya suka membaca tulisan Ustaz…setiap yg ditulis pasti akan memberikan impak kpd diri saya…terima kasih Ustaz insyaAllah saya kunjungi lagi 🙂

  • aqhas

    salam. saya sungguh terkesan dgn tulisan ustaz…bagaimana ya ingin menjadi penulis seperti ustaz…deri segi pembacaannya n pemikirannya bagaimana ya?

  • orkid putih

    assalamualaikum ustaz.. terima kasih dia ats ‘luahan hati seorang ayah’ buat anakndanya… buat sy terharu dan menitiskan air mata memandangkan sy adalah anak tunggal dalam keluarga dan sangt rapat dengan abah saya.

    sukarnya utk memahami lelaki dan skarang rasanya sy dah tahu bgimana utk lebih memahami abah sy… melalui tulisan ustz… terima kasih. semoga usaha ustaz dlm menyampikan perkra yg baik diberkati Allah. =)

  • nurul

    salam ustaz..terima kasih atas penulisan ini..sangat mendalam isinya..sy terasa seperti ia adalah kata2 dari ayah saya sndiri buat diri ini jika berumahtangga kelak (ayah sudah meninggal tahun lepas)….semoga Allah merahmati semua ayah dan ibu yang membesarkan amanah yg dipertanggungjawabkan Allah kepada mereka..amiinn..

  • Fuad

    Salam Ust,
    tatkala sy terbaca cetusan hati seorang bapa dari ust, hati sy begitu terkesan sehinggakan mahu menitiskan air mata. Barangkali inilah perasaan seorang mak& ayah setiap kali ingin melepaskan tanggungjawab anaknya kpd insan yang bergelar suami. Terima kasih ust diatas kesudian ust untuk berkongsi cerita ni. InsyaAllah sangat bermanfaat untuk saya. Baru saya faham kenapa keluarga perempuan begitu “concern” dlm pemilihan calon suami utk anaknya.

  • Ummu Rafiq Raihanah

    Salam ustaz,
    ‘Hidup tak selalunya indah, kerana di situlah keindahan hidup…’

    Tahniah ustaz di atas pertambahan seoarang lagi ahli keluarga. Semoga pernikahan yang berkat ini mengeratkan lagi tali silaturrahim ustaz sekeluarga (ustaz berserta juga keluarga besan).
    insyaAllah puteri ustaz akan menjadi isteri solehah hasil didikan dan kasih sayang ayahandanya di samping suaminya yang soleh dan bersama sama mereka nanti akan lahirlah zuriat yang soleh solehah….sama samalah kita semua doakan…

    ‘Kebaikan mesti bermula dari diri kita’
    Ayuh pembaca semua.. marilah laksanakan kebaikan, terhadap suami/isteri, ibu bapa, anak2 dan sesiapa sahaja di sekeliling kita. Walaupun tak diucapkan terima kasih, yakinlah Allah akan membalasnya dgn kebaikan berlipat ganda buat kita juga rahmat buat semesta alam.

    Terima kasih ustaz untuk entri yang cukup menarik. Doakan kami juga untuk menjadi ibu dan bapa yang memiliki iman dan ketaqwaan tinggi kpd Allah….

  • gentarasa

    Salam Ummu,
    Memang begutulah… yang baik itu pasti melalui kesusahan dan banyak yang harus menjadi korban. Ya, marilah kita hidupkan cinta dan kasih sayang sesama manusia hasil mengingati, cinta dan patuh kepada Allah. Jazakallahu khairan atas doa ummu. Ya, anak saya ummu juga… Ummu Atikah.

  • gentarasa

    Salam nurul,
    Anggap sahaja saya mewakili hati ayah-ayah yang lain.. begitulah kami, semasa di sini. Entah bila saya pula akan ke SANA.

  • gentarasa

    Salam aqhas…
    1. Banyakkan membaca – baca tentang ini dalam majalah SOLUSI ke 18.
    2. Terus menulis – jangan fikirkan kesempurnaan.
    3. Rapat dengan orang-orang yang ada fikrah Islamiah, bincang dan ikut cara hidup mereka – jiwa daei akan subur.
    4. Ada isu, cuba fikirkan kenapa, bagaimana, siapa dan apa? – bina fikiran anilisis dan kritis.
    5. Amal yang empat tu dulu!

  • gentarasa

    Salam PakarluahHati,
    Masya-Allah. Syukran atas doamu. Yang baik dari Allah. pasti ada yang kurang, buruk dan lemah… dari saya.

  • Haslindah

    Salam kasih sayang fillah..thnks ustaz..syukur pada ilahi..dari Nya kita datang dan kepadaNya jua kita bakal kembali..pergolakan rumah tangga memang berat..suami, anak2 , semua dugaan..bantulah aku YaAllah dalam mengemudi hati ini..kuatkan sabarku..agar apapun ujian dalam hidup ini akan bisa aku hadapi dengan keyakinan terhdap cintaMu

Leave a Reply

%d bloggers like this: