Looking for Something?

JADILAH KEKASIH YANG MENDENGAR!

Author:

Maafkan aku… justeru agak seminggu tidak memuatkan entri baru. Minggu lalu adalah minggu yang penuh tarbiah. Aku “dipaksa” mendengar pelbagai rintihan, keluhan malah kemarahan.

Seperti diri mu, aku juga manusia… yang sentiasa diuji. Bila badai melanda, kita kukuhkan kemudi… dan mungkin terpaksa melabuh sauh kehidupan seketika. Bertenang dan muhasabah tanpa berkata-kata, tanpa tindak dan gerak… cuma fikir dan berdoa.

Dari insan kita tidak  mampu mengharapkan apa-apa kecuali dua… pertama, nasihat. Kedua, doa. Itulah pesan orang yang belajar daripada pengalaman setelah mengalami pelbagai karenah insan. Lalu di saat-saat cemas itu, lidah menjadi kelu. Mulut menjadi bisu. Biarlah cuma rasa dan doa berbicara… kita lepaskan fikir yang berselirat di dada hati yang bermunajat. Bukan dengan doa, pinta itu dan ini… cuma merintih. Mengaku kita lemah. Mengaku kita hina… di hadapan Allah.

Lalu kita katakan, “Ya Allah aku cintakan MU… walaupun cintaku sering terganggu!”

Untukmu saudaraku pengunjung Gentarasa, maafkan aku kerana lama juga tidak menulis. Aku sedang merawat luka dan dukaku sendiri. Namun dirimu aku tidak pernah lupa. Amanah ini aku teruskan juga… Justeru di pagi Jumaat yang mulia ini kupesankan… JADILAH KEKASIH YANG MENDENGAR!

Manusia memerlukan didengar kata-katanya sama seperti dia perlukan makanan. Tanpa makanan akan lemahlah jasad, sakitlah badan. Tanpa didengar akan tumpullah perasaan dan lumpuhlah emosi. Manusia yang membesar tanpa diberi hak didengar akan menjadi manusia yang kurang cerdas emosinya apabila dewasa kelak. Dia akan gagal mengurus perasaan marah, kecewa, takut dan dendamnya.

Orang yang begini, akan gagal dalam hidupnya. Peri pentingnya didengar dalam hidup seseorang itu hingga menyebabkan bijak pandai mengungkapkannya melalui kata-kata hikmah yang berbunyi: “Tugas cinta yang pertama ialah mendengar.” Ertinya, kekasih yang baik ialah kekasih yang mendengar. Mendengar rintihan, keluhan, aduan dan rayuan pasangannya. Justeru, dengan mendengar cinta akan lebih subur dan harum. Dengan mendengar ertinya kita memberi telinga, mata dan hati.

Orang yang mendengar sebenarnya adalah orang yang “memberi”… Bukankah cinta itu bererti memberi? Memberi kasih-sayang, perhatian dan perlindungan. Orang yang banyak mendengar akan banyak belajar dalam hidup ini. Orang yang banyak mendengar bukan sahaja banyak pengetahuan tetapi akan banyak kawan dalam masyarakat. Mungkin kerana itu Allah ciptakan kita dua telinga dan satu mulut sebagai simbolik, kurangkan berkata-kata tetapi banyakkan mendengar.

Malangnya, kebanyakan manusia lebih suka “memperdengarkan” daripada mendengar cakap orang lain. Lidah selalu menyebabkan telinga menjadi tuli. Dalam pergaulan, kita selalu sahaja ingin memonopoli perbualan. Kononnya dengan banyak bercakap kita akan terlihat pandai dan bijak berbanding orang yang diam. Kebanyakan kita menyangka orang yang diam itu bodoh. Tidak ada idea dan pendek wawasan. Sedangkan diam itulah terpuji dan bermanfaat. Kata bijak pandai: “Diam itu banyak hikmahnya tetapi sangat sedikit sekali orang mengambil manfaatnya.” 

Cuba lihat orang di sekeliling kita dan lihat kita sendiri. Apakah kita banyak mendengar daripada berkata-kata? Maaf, kerap kali kita ingin jadi jaguh dan wira yang tidak henti-henti berkokok di mana-mana. Bila bercakap kita seolah-olah serba tahu. Kita mengetuai perbualan, kita menjuarai percakapan. Mengapa? Ya, sering berlaku pangkat, harta, nama serta jawatan menyebabkan seseorang tidak sudi lagi menjadi pendengar.

Pangkat ku lebih tinggi, aku cakap kau dengar. Nama ku lebih tersohor, jangan cuba-cuba mencelah bila aku berbicara. Kau tak layak menasihati aku, ilmu ku lebih tinggi. Begitulah yang kerap kita lihat dalam kehidupan. Bukan orang lain tetapi diri kita sendiri! Apakah dengan mendengar kita menjadi hina, miskin dan tidak ternama? Jika itulah anggapan kita jelas kita sudah tersalah. Menjadi pendengar menjadikan kita orang yang tawaduk (rendah diri).

Orang yang tawaduk akan ditinggikan Allah. Orang yang mendengar akan lebih banyak belajar daripada orang yang asyik berkata-kata. Semakin banyak kita belajar semakin banyak ilmu yang kita peroleh. Dan bila semakin banyak ilmu yang kita miliki, maka semakin tinggilah darjat kita di sisi Allah dan manusia. Bukankah dalam Al Quran Allah telah menegaskan bahawa darjat ahli ilmu itu ditinggikan oleh-Nya berbanding orang yang tidak berilmu?

Justeru, Allah yang Maha Pencipta juga bersifat Maha Mendengar – “ sami’“. Dan salah satu nama Allah yang baik dan indah ialah as Sami’. Allah maha mendengar rintihan, aduan, kebimbangan, luahan rasa daripada hamba-hambanya pada setiap masa, tempat dan ketika. Allah adalah “kekasih” setia yang sentiasa mahu mendengar rintihan hamba-hamba-Nya. Jika kekasih di kalangan manusia akan jemu jika masalah yang sama diperdengarkan berulang-ulang kali sebaliknya Allah tidak sebegitu.

Allah bersedia mendengarnya bila-bila masa sahaja. Jika ada jutaan manusia mengadu dan merintih kepada Allah, Allah tetap mendengar semua rintihan itu dengan terang dan jelas. Sedangkan seorang kaunselor, ulama, khadi, hakim yang terbaik sekalipun tidak mampu mendengar dua, tiga masalah daripada klien yang berbeza pada suatu masa dalam keadaan serentak. Inilah kehebatan Allah sebagai As Sami’. Bukan sahaja Allah mahu mendengar bahkan mampu mendengar seluruh pengaduan hamba-Nya pada satu masa!

Allah mulia dan agung kerana kesudian dan kesediaan-Nya mendengar rintihan dan pengaduan manusia. Begitu juga jika ada manusia yang mahu mendengar rintihan dan pengaduan manusia lain… dia juga akan ditinggikan darjatnya. Allah sudi mendengar rintihan semua manusia tanpa mengira pangkat, derjat, harta dan rupa paras. Allah mendengar permintaan seorang raja, Allah juga mendengar rintihan seorang hamba. Allah Maha Adil…

Seorang pesakit, datang merintih kerana penyakitnya… Allah mendengar. Seorang menteri mengadu hal-hal negara… Allah mendengar. Seorang isteri mengadu hal rumah tangga… Allah mendengar. Apa pun dan dari sesiapapun Allah tetap mendengar. Pintalah hal sekecil-kecilnya dan pintalah hal yang sebesar-besarnya, Allah tetap sudi mendengarnya. Daripada rintihan seorang pengemis yang merayu untuk mendapatkan sesuap nasi, sehinggalah kepada munajat seorang soleh yang memohon syurga, Allah tetap sudi mendengar, justeru Allah itu bukan sahaja mendengar tetapi Dia Maha mendengar!

Sebaliknya, manusia terlalu ego dan bersikap berat sebelah termasuk dalam soal mendengar ini. Ya, jika orang yang bercakap tinggi pangkatnya, maka dia senyap terpaku membisu. Tetapi jika yang bersuara itu orang bawahan, maka dia mendengar sambil lewa atau cepat-cepat memotong cakap sebelum orang bawahannya itu dapat menghabiskan percakapannya.

Kalau sikaya menegur, semua menelinga dan tunduk akur. Tetapi bila si miskin yang mengadu, ramai yang berpaling dan menunjukkan reaksi selamba. Namun tidak begitu keadaannya pada insan bernama Muhammad saw. Baginda seorang yang sentiasa memberi hak mendengar kepada sahabat, isteri dan pengikut-pengikutnya. Walaupun, baginda “orang besar” yang memimpin negara, tetapi masih sempat mendengar rintihan anak kecil yang terbiar di tepi jalan di satu pagi Hari Raya.

Di dalam mesyuarat, baginda sering mendengar pendapat sahabat-sahabatnya. Kekadang baginda ada pandangan, tetapi dirasakannya ada pandangan lain yang lebih tepat… maka diambilnya pandangan yang lebih tepat itu!

Itulah Rasulullah saw yang paling berjaya meniru sifat As Sami’ Allah swt. Bagaimana dengan kita? Ah, malang, kekadang pangkat tidaklah setinggi mana… namun egonya sudah setinggi langit. Kononnya kitalah yang paling bijak dan mulia. Jika dalam satu majlis kita tidak dialu-alukan dengan kata-kata sambutan, maka kita rasa dipinggirkan. Jika dalam mesyuarat kita tidak dijemput bercakap, terasa orang menafikan keintelektualan, gelaran dan jawatan kita.

Anda tidak perlu banyak cakap untuk disenangi dan disayangi, cukup dengan menjadi pendengar. Lihat mata orang yang bercakap, buka telinga dan hati, dengarlah dengan penuh simpati dan empati… nescaya orang akan jatuh hati. Bila anak-anak menghampiri kita, pegang tangannya dan ucapkan, apa yang kamu ingin katakan? Ayah atau ibu sudi dan sedia mendengarnya. Jika pekerja bawahan menziarahi atau datang di muka pintu rumah atau bilik anda lalu memberi salam, jawab salamnya dan bawa dia dekat dan dengar luahan katanya. Dengarlah bisikan orang di sekeliling kita.

Insya-Allah, kita tidak akan terpaksa mendengar jeritan. Berapa banyak bisikan yang dibiarkan yang akhirnya bertukar menjadi jeritan yang memeritkan. Isteri ingin mengadu, suami menjauh. Anak hendak bercakap, ibu-bapa membentak menyuruh diam. Pekerja ingin berbincang, dituduh ingin mogok. Rakyat ingin memberitahu, kononnya pemimpin serba tahu… Terlalu banyak bisikan yang dipinggirkan dan disisihkan.

Akhirnya, bisikan menjadi jeritan. Anak derhaka, isteri nusyuz, diceraikan suami, pekerja lari, rakyat berpaling tadah… Semuanya gara-gara dan angkara sikap ingin mendengar yang semakin terhakis dalam kehidupan dan pergaulan. Pesanku untuk ku dan untuk mu… jangan biarkan mulut menjadikan telinga kita menjadi tuli!

Feedback

52
  • Shazwani Mazuki

    Salam jumaat buat Ustaz..

    alhamdulillah,syukur..ana sentiasa mengikuti blog dan buku ustaz.terasa sgt dekat cara pembawaan yg ustaz berikan dlm karya dan tulisan ustaz..paling ana suka,bgaimana ustaz terangkn cara mendidik anak perempuan dlm buku Nota Hati Seorang Lelaki,coz it reflect to how my father teach me.sama..banyak meraikan..

    apepn,utk menjadi pendengar mmg memerlukan kesabaran dan kekuatan..alhamdulillah,ana dikurniakn ‘minat’ utk mendengar,till my bestfren said that she’s not found someone like me at our new place.kami telah berpisah jasad apabila dihantar mengajar ke negeri yg berbeza..apepn,medium utk kami saling mendengarkn masih ada..dan semoga ukhwah itu berkekalan hgga akhirnya.insyaAllah..

    mendengar dr hati,utk sama2 berkongsi rasa..nun jauh di dasarnya,doa dtitipkan buat smua..

  • ibnu hisyam

    Salam Ustaz,

    True indeed 🙂

  • siti hani

    Semakin bermotivasi untuk menjadi pendengar kepada imamku(suami), keluarga, sahabat-sahabat, sesiapa sahaja. Lantaran itulah Allah ciptakan telinga kita dua,bukan satu seperti mulut. Untuk kita lebih mendengar. Kan ustaz..? terima kasih ustaz atas perkongsian di Penghulu segala hari.

  • mia...

    assalamualaikum ustaz…
    terima kasih di atas entri ini…input yang sgt menarik.
    sy setuju dgn ustaz dimana dewasa ini ramai y lbh suka memperdengarkan dari mendengar…ia berlaku dimana2 termasuk di institusi sy belajar… y bnyak “memperdengarkan” mmg akn bnyak mendapat perhatian dr tenaga pengajar…

    mendengar juga adalah “memberi”…bnyak menyedarkan sy bahawa
    betapa bnyak ilmu y sy sia2kan krn tidak mendengar..Ya Allah… hambamu ini khilaf..ampunkan daku Ya Allah…

    syukran ustaz atas perkongsiaan di hari jumaat y mulia ini…
    semoga ustaz dan keluarga sentiasa dicucuri rahmatNya..amin..

  • شاخ

    Assalamualaikum.. Alhamdulillah.. Satu lagi penulisan yang A + dari Ustaz Pahrol.. Tulisan yang santai disamping dapat menilai diri kita.. Insya-Allah marilah manfaat bersama. Jadilah “contoh yang baik” seperti hadith ini menyebut :

    Daripada Ibnu Umar r.a., Rasulullah s.a.w bersabda :

    “Sesungguhnya Allah Ta’ala mempunyai hamba-hamba yang mengkhususkan mereka untuk menunaikan keperluan hajat manusia. Mereka bersegera kepada golongan ini untuk meminta bantuan. Mereka itulah golongan yang aman dan terlepas daripada Azab Allah.” (Riwayat Tabrani)

  • Musafir25

    Assalamualaikum Ustaz Pahrol,

    Tulisan ustaz kali ini buat saya terkesan sekali lagi…Rasa sebak di dada.Astaghirullahalazim… Ya Allah ampunkanlah hambaMu yang tersangat lemah ini.Betul apa yang ustaz jelaskan di atas kita selalu leka dengan kata-kata kita, berbicara tanpa memikirkan insan di sekeliling kita. Mungkin ada kata-kata kita yang menyakitkan hati dan tidak sesuai dalam tidak sedar sedang kita seronok berbicara. Buat renungan bersama~Umar Ibn Aziz pernah berkata” Aku tidak akan bercakap ketika aku terlalu ingin
    bercakap. Sebaliknya aku bercakap apabila aku terlalu berat untuk bercakap”

    Akhir kata dan doa buat ustaz yang tercinta moga sentiasa di kurniakan Allah S.W.T kesabaran dan kekuatan dalam melayari bahtera kehidupan yang tak lekang dilanda badai dan ombak.Sesungguhnya hanya DIA TUHAN sekalian alam yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI kepada hambanya yang tersangat lemah ini.Tiada Kekuatan dan Daya Melainkan dari Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Mulia’…Wallahualam…

  • Shikin

    Terima kasih atas tulisan ini. Benar, kita semua perlu belajar menjadi pendengar yang baik. Ia bukanlah bakat atau kemahiran yang ada pada individu tertentu cuma. Masa akan mendidik seseorang menjadi pendengar setia, hanya jika dia bersedia. Terima kasih sekali lagi.

  • Murtadha Rafaai

    Saya doakan ustaz diberi kekuatan & kesabaran dalam mengahadapi hari-hari mendatang .. dan terus diberi ilham untuk berkongsi & memberi..:)

  • Jee Fauzia

    assalamualaikum…

    terima kasih di atas ilmu yg di kongsikan bersama…sya merupakan pembaca baru buku2 dan yg terbaru blog ustaz ni…sgt berkesan dengan setiap pendekatan yang cuba d perjelaskan…

    membaca dan berfikir…sebak rasanya d hati bila terfikirkan diri sendiri yang juga kadangkala lupa yg seharusnya kita perlu menjadi pendengar bukan di dengari sahaja…terima kasih….tulisan yg membuat sya berfikir dan ingin lebih belajar memperbaiki diri…

  • hasnah

    Salam,

    Jazakallah. Satu lagi perkongsian yang sangat menarik. Memberi ingatan untuk muhasabah diri. Selalu menginginkan org lain mendengari kata dan rasa sedangkan tidak pula bersungguh-sungguh mendengari/memahami kata dan rasa orang lain. Ya Allah, pimpinlah kami agar terus dalam rahmatMu.

  • wana93

    assalamualaikum ustaz..
    penulisan ustaz bet0l2 mmberi kesan pd setiap pembacanye..
    terharu..
    insaf..
    sumenye ade..
    syukran kasiran ye ustaz..
    buku2 ustaz p0n best2..
    mabruk..!
    sm0ge ustaz teruskan berdakwah kerana ALLAH..
    sy suke dgn kata2 ustaz..
    pendakwah itu murabbi, bukan selebriti..
    lg 1, sy sedang dlm pr0ses mncari buku Tentang Cinta..
    insyaAllah, lps habis SPM, baru boleh beli..
    kal0 x nnt, x study la jwbnye sy..
    d0akan sy ye..
    sm0ge ALLAH memberkatimu..
    syukran again, ustaz..
    🙂

  • ann naa

    Alhamdulillahh….

  • ann naa

    Alhamdulillah kita dikurniakan deria pendengaran yang baik…
    Kita perlu mendengar dengan penuh rasa empati & ikhlas terhadap perkara-perkara yang baik…

  • nurkasih

    Salam ya Ustaz..
    Jazakallah…Alhmdulillah bertambah lagi ilmu pada saat menatap dan membacanya..
    Moga diberi kekuatan untuk menjadi pendengar yang baik..

  • zaliha

    salam..

    benar sungguh bahawa Allah Maha Mendengar..Tiada kuasa yang dapat menandingi sifat Allah ini..Subhanallah.. Dikala hati resah Dialah tempat meminta ketengangan, di kala hati gembira Dialah tempat melabuhkan syukur..Sesungguhnya tiada lagi yg dimahukan oleh kita semua melainkan perhatian dari Allah..

    dan tidak lupa juga perhatian dari insan2 yg dekat dgn Allah kerana merekalah yg benar2 ingin mendengar dengan ikhlas..

    Semoga diri ini mampu menjadi pendengar yg baik..amiin..

  • amir

    jazakallah ya ustaz.. sangat setuju dengan mendengar boleh mengukuhkan ukhwah.. saja menambah, dalam mendengar itu, jangan lupa menjauhi kata2 yang lagha, kata2 yang melaga2kan antara dua pihak yang bertelagah, kata2 maksiat dan seangkatannya. al-quran sendiri menyeru kita tinggalkan kata2 itu. maaf saya tak dapat recall ayat mana..

  • hajar

    mata saya dah berair..

    kadang-kadang saya teringin nak tanya ustaz pahrol, macam mana ALLAH ajar ustz pahrol hingga dapat menulis setiap artikel penuh dengan ‘ruh’ dan perasaan yang mendalam..

    Alhamdulillah saya ALLAH kurniakan dgn minat membaca..saya banyak membaca and terkesan dengan penulisan ramai penulis..tp ustaz pahrol satu-satunya penulis yang akan membuat saya bukan sahaja terkesan dihati malah air mata tumpah tanpa sedar.

    apa-apa pun terima kasih ustaz pahrol..saya nak pi cari tisu sekarang.

  • fatin

    Insya Allah akan berusaha menjadi pendengar yg baik…
    yang penting, adanya EMPATI, bukan SIMPATI…

    syukran ustaz atas artikel ni..

  • cilipadi

    kami dengar dan kami taat…terima kasih utk artikel yg istimewa.kekadang amat susah untuk optimumkan mendengar dan bercakap.masih muhasabah utk lebih mendengar.masalahnya kekadang tak dapat dengar bisikan di sekeliling…tak taulah orang sekeliling tak berbisik atau telinga ini yang dah tak peka,cuma dengar jeritan aje…takut2 nanti sudah terlambat…Terlalu ingin jadi proaktif,tak ingin reaktif lagi…letih dan lelah.Allah jua Maha Mendengar…

  • gentarasa

    Salam hajar,
    Setiap orang ada keistimewaan tersendiri. Dan setiap orang ada keserasian yang tertentu. Allah tidak mencipta manusia bodoh…, begitu kata bijak pandai, tetapi dengan kebijaksanaan yang berbeza. Mungkin hajar serasi dengan gaya penulisan saya, orang lain serasi dengan yang lain. Apapun, setipa kita istimewa… Syukran atas dorongan.

  • gentarasa

    Salam amir,
    Jzakallahu khairan atas tambahan peringatan yang sangat PENTING. Mendengar juga akan dipertanggungjawabkan.

  • nurul jannah

    syukran ya ustaz..saya pun baru je laksanakan tugas sebagai pendengar rintihan sahabat…
    tup2 bukak blog ustaz..pasal menjadi pendengar yang baik…
    bunyi mcam kbetulan..tapi saya yakin ni tazkirah dan dorongan dripada Allah mnerusi ustaz untuk kita sama2 truskan dngan amalan mnjadi pndengar yang
    empati…
    jazakallah…

  • Nur

    Allah Maha Mendengar..dan Dia tidak membezakan rintihan siapa yang didengar-Nya; baik hamba mahupun raja..

    Sangat terkesan di hati saya akan ayat ini. Siapalah kita untuk membezakan rintihan siapa yang lebih harus didengari..

    Jazakallah ustaz

  • rosma

    Salam ustaz…
    satu lagi entry ustaz yg sangat baik dan menyentuh hati..saya bersetuju dengan hajar..saya pun sgt serasi dengan stp tulisan ustaz..Yang pastinya..”Hanya hati yang dapat menyentuh hati”

    Terima kasih ustaz..

  • aziza

    assalamualaikum wahai ustaz yang dihormati..
    apa2saja tulisan ustaz, di blog , dibuku di kolum majalah adalah ‘ubat’ yang mujarab dalam merawat segala penyakit jiwa..
    syukur pada Allah menemukan ustaz dan ‘ubat’ ini utk saya..
    semoga Allah terus menerus memberi ustaz kekutatan menghasilkan ‘ubat & penawar’ yang kadang2 ibarat satu manual rujukan bagi menenangkan jiwa yang tidak tenteram.. mendidik hati yang tidak tenang..
    ustaz… jaga diri, jaga kesihatan.. agar terus mampu mengubati kami kami yang memerlukan..
    wasalam..

  • ikin_solehah

    salam..
    penulisan ustaz membuat saya tersedar.
    betapa diri ni kadang2 alpa, mrasa diri trlalu bagus..
    shingga tlalu byk berkata,
    astaghfirhullah..
    semoga Allah mgampunkn sgala dosa..

    tp ustaz, kalau semua diam..xslh kn kalu kita berkata utk bg pendapat? huhu
    semoga diberkati Allah hndknya=)

  • mujahidah solehah

    sy salah sangka selama ni yg orang byk ckp tu yg byk kawan..rupanya org yg byk mendengar n diam byk kawan…sy pdiam orgnya…txreti nk bg respon..tp sy tengok orang lain suka byk ckp…

    apapun sy ucapkan tahniah kpd ustaz pahrol krn berjaya menulis artikel yg paling bermakna dalam hidup sy di dunia ni..

  • abid_air

    SubhanAllah.. terima kasih ya Allah. terima kasih ustaz.. sy terdiam dn sebak membaca entry ini.. hanya Allah yg tahu.. tq Allah ..tq Ustaz ..moga Allah merahmatimu..

  • tun fatimah

    Assalammuaalaikum ustaz, padat dengan tarbiah untuk hati dan minda. Mengingatkan saya untuk menjadi pendengar yang lebih setia pada suami dan anak-anak. Memang sangat benar, anak-anak yang kurang di dengari akan memberontak, isteri atau suami yang kurang didengari akan menderita jiwanya!

  • za

    Salam, org yang banyak bercakap itu, banyak juga dustanya..Diam itu lebih baik..Tetapi, dalam perkara2 batil, diam itu seolah-olah merelakan kebatilan. Makanya, diketika ini wajib kita bertindak samada dgn tangan, kata-kata atau doa..Mungkin persoalan diam tidak berapa sesuai dgn entry ini, kerana sekiranya kita pendebat yg lantang menyampaikan dakwah, kita juga tidak mustahil boleh menjadi ‘pendengar’ yang baik..kan ustaz? 😀

  • gentarasa

    Salam Za,
    Benar kata mu ustaz. Wassini…

  • Nurulhaida

    Ku tahu jln bahagia penuh onak jua cabaran… Oh..Tuhan beri kekuatan padaku….

  • fuadzaki

    Jazakallah wa syukran jazilan,ust. Perkongsian yang sangat mencerahkan.
    Sedikit tambahan dari ana,Allah ciptakan telinga ( baca pendengaran) untuk kita mendengar. Allah juga menciptakan hati untuk kita merasa, menghayati, mendalami dan sebagainya. Ramainya manusia mendengar dengan telinga tapi tidak ramai yang mendengar dengan telinga dan hati. Padahal hatilah anggota yang paling penting dan sukar dijaga.Kerana setiap perubahan yang hakiki dan utuh bermula dari hati..Semoga hati kita mendengar..=)

  • AHmad

    salam..
    kalam yang sungguh menyentuh hati hamba ini. tetapi sebaik-baik kalam adalah KalamuLLAH. ibrah daripada quran adalah tiada tandingannya. Jadilah pendengar yang baik disamping memperdengarkan. Dengar dan bertindak adalah sebaik-baik perkara. terima kasih ustaz kerana tidak putus berdakwah untuk membetulkan saya insan yang sentiasa mencari keredhaanNya.
    ustaz sesungguhnya tiada satu makhluk pun yang dapat disamakan dengan pencipta kita Allah S.W.T, hatta nabi Muhammad S.A.W sekali pun. saya quote ayat ustaz
    “Rasulullah saw yang paling berjaya meniru sifat As Sami’ Allah swt.”. mungkin ayat sebegini betul untuk dikarangkan. tetapi bagi saya hamba yang lemah, mungkin sedikit akan tersalah tafsir kan sifat Allah dengan manusia
    ليس كمثله شيء في الأرض و لا في السماء وهو السميع البصير
    minta maaf jika terkasar bahasa

    sekian,

  • gentarasa

    Salam Ahmad,
    Benar kata mu. Saya terima teguran itu… Saya perlu berhati-hati mencari bahasa dan kata-kata agar tidak disalahertikan.

  • gentarasa

    Salam Ahmad,
    Saya dah rujuk kepada guru terdekat, katanya bahasa yang lebih tepat ialah “berakhlak dengan sifat As Samik Allah”. Wallahuaklam.

  • musfariza

    terima kasih utk subuah karya yang menusuk jiwa dan hati….

  • JambuManis

    salustaz,

    Alhamdulillah hati saya digerakkan oleh Allah untuk membuka blog ustaz ini. Sungguh benar ketika ini hati saya mencari-cari sesuatu yang dapat memberi ketenangan dan memotivasikan diri ini yang serba kekurangan penuh kelemahan. Setelah membaca karya ustaz, umpama ada batu besar di dada ini, airmata saya ingin tumpah mujur dapat dikawal sebab malu dengan anak2 and suami. Ya allah..besarnya Rahmatmu..ketika ini aku bersedih, berdukacita angkara umpatan dan fitnah yang dilemparkan oleh orang-orang yang pernah hadir sebagai sahabat. Aku tidak mampu berbuat apa-apa cuma berserah kepadaMu.kerana hanya Engkau yang maha mengetahui. Terima kasih ustaz tulisan ustaz begitu dekat dihati saya.

  • gentarasa

    Salam jambuManis,
    Sabar. Dan sabarlah dalam bersabar. Sabar yang pertama itulah darjat yang tertinggi. Sabar yang indah… Doakan saya. Sedetik pun cukuplah.

  • nani

    Salam ustaz pahrol?
    23hb.April Birthday anak kesayangan.3hb.mei lalu hari kelahiran saya pula,inilah hadiah uztaz kepada kami berdua.Terima kasih ustaz.Saya jadi pendengar yang setia,insyaAllah..Biarpun hampir seminggu tidak dapat berkunjung..namun dapat sesuatu yang amat berharga kala mata menatap kedua-dua nukilan.Ustaz lelah,namun masih mampu menghiburkan,merawat duka insan lain..itulah insan yang hebat..tahniah ustaz..Saya hadiahkan ustaz doa…amin

  • gentarasa

    Salam nani,
    Selamat panjang umur dengan ibadah dan jihad di hari lahirmu dan anakmu jua. Allah sentiasa mendengar doa kita. Amin.

  • merpati putih Z

    salam………….bila kau kenali diri ,untuk apa diciptakan pasti kau akan mengerti bagaimana harus kau orak langkah menjadi khalifah yg terbaik.bila seorang lelaki yg hatinya penuh misteri tapi dengan tawaduknya sabar menyelami hati seorang wanita..menyelusuri tauladan kekasih ALLAH,berpegang pada WAHYU ILLAHI..hatinya suci,segala pengharapan diserah segalanya pada ILLAHI..MAKA zaman keagungan islam baru bermula hanya dengan sebuah iqra.

  • merpati putih Z

    hari ini kau menjadi sahabat ku..ayahandaku.guru yg disanjung.YA ALLAH,TERIMA KASIH YA ALLAH,tatkala dalam TASBIHKU BERCINTA,ku BERMUNAJAH MENCARI CINTA,dalam TAHAJUD CINTA malah kubiarkan hanya AYAT AYAT CINTA berbicara maka akhirnya segala CINTA YG KU DAMBAKAN KAU BALAS.aku tenggelam dalam lautan cinta yg mengasyikkan..KU BAHAGIA…SETELAH KUTEMUI DIA DIHATIKU..DIMANA DIA DIHATIMU????

  • zilawati zamri

    salam ustaz… sangat benar apa yg ustz katakan..

  • mencari cahaya

    terima kasih ustaz.
    saya menjumpai cahaya disaat ini,disaat di tempat kerja saya menghadapi konfilk dalaman..coretan ini amat bermakna buat saya.alhamdulillah.

  • halman

    Askum ustaz…
    Aku amat tersentuh dengan peulisan ustaz yang ini. Aku memang seringkali ditulikan telingaku oleh mulutku sebelum ini. Insyaallah aku tidak akan bersikap sedemikian lagi…Terima Kasih Ustaz

  • NH

    Ustaz, untuk menjadi hambaNya yang mendengar…sememangnya, apatah lagi jika kita berada di bidang yang sentiasa bergelumang dengan masyarakat… namun, kekadang itu ustaz, lelah diri kita sendiri apabila telinga ini kita tadahkan untuk mereka yang lebih memerlukan…
    Tambah memilukan, apabila kita sendiri tiada ruang untuk memberikan kepada sesiapa untuk mendengar pula apa yang tertanggung dek kita sendiri…
    Apa-apa pun, terima kasih atas segala peringatan ustaz di sini…=)

  • permata biru

    salam…. ustaz, saya ucapkan ribuan terima kasih kerana telah mengarangkan sebuah buku yang dapat memotivasikan saya….
    saya berharap ustaz tidak pernah mengenal ierti penat atau letih dalam mencurahkan nasihat, ilmu dan sebagainya untuk tatapan anak bangsa ustaz…
    say sangat teruja membaca buku karangan ustaz yang bertajuk tentang cinta..
    buku tu banyak memberi motivasi kepada saya…. skrg saya tengah mencari buku karangan ustaz yang bertajuk ” Dimana Dia Dihatiku?” , ” Satu Rasa Dua Hati” dan “Duahai Yang Tersayang”. tp, saya tak jumpa lg buku tu…

  • gentarasa

    Salam,
    Seingat saya di kedai buku sekitar masjid India, ada terjual buku-buku tu. Cuma Duhai Tersayang… hanya ada di Telaga Biru.

  • atul

    salam…jadilah kekasih yang mendengar…
    insyaallah…mohon copy ustaz…syukran…

  • zurina md.noor

    Mulianya manusia kerana sudi mendengar…NAMUN Allah Maha mendengar mengadulah pada yang esa

  • khairul

    ~Semoga Allah merahmati ustaz untuk terus berkarya~

Leave a Reply

%d bloggers like this: