RSS

REVOLUSI BERUK

27 Apr

Saya senyum sendirian membaca cerpen-cerpen lama yang pernah saya tulis waktu muda-muda dahulu. Begitu polos dan terus sindirannya. Tanpa hiasan hikmah dan belaian indah kata-kata, dahulu saya menyampaikan mesej secara keras dan kejang begitu sahaja. Orang muda… begitulah.

Saya tidak berhenti menulis cerpen sebenarnya. Cuma cerpen-cerpen saya kebelakangan ini, lebih “melo” dan peribadi sifatnya. Lalu saya simpan sahaja untuk tatapan peribadi.

Suka saya berkongsi dengan pengunjung blog… sebuah cerpen yang telah saya tulis lebih kurang 20 tahun yang lalu.  Maafkan saya, jika tulisan ini terlalu satira dan sangat sinikal. Orang muda… memang begitu. Mungkin pendekatannya kasar, tetapi insya-Allah MESEJnya relevan hingga kini.

Terimalah…

REVOLUSI BERUK

Sesungguhnya ilmu itu bukanlah kejahilan

akan tetapi ada ilmu yang bahayanya

lebih daripada kejahilan.

-Imam Al Ghazali

Raja Beruk termenung.Ekor panjangnya melilit di celah batang sambil tangannya yang berbulu itu memegang ranting dahan.

Dia termenung.Anak-anak buahnya bergayutan dari dahan ke dahan,berteriak,menjerit penuh riang.

“Nyet…nyet…nyet,”gegak-gempita,rimba raya ditusuk jeritan beruk-beruk hutan.Tapi Raja Beruk terus termenung…

“Mengapa paduka tuan?”tanya Menteri Beruk.

Diam..tiada jawapan.Raja Beruk terus diam.

“Mengapa paduka tuan?”Tanya Menteri Beruk sekali lagi.

“Aku risau…”sepatah jawab Raja Beruk.

Pokok ketapang tempat semayam Raja Beruk tetap tegap.Buah-buahan hutan hadiah anak buahnya tidak dijamah.

Menteri Besar terus tertanya-tanya.Apa dah jadi pada Rajanya?

Raja Beruk tetap risau.

“Apa khabar utusan-utusan yang kita tugaskan?”

“Sudah seminggu mereka tak balik-balik,Kakap belum balik

dari Selatan.Semik belum balik dari Barat,Koring belum sampai dari Timur…Mana Sigah dari Utara?”keluh Raja Beruk.

“Jangan risau tuanku ,mereka pasti balik”,pujuk Menteri Beruk.

“Itu aku tahu tetapi berapa lama?”bentak Raja Beruk dengan nada tinggi.Marah nampaknya dia,

“Mana manuskrip itu? Cuba bacakan sekali lagi!”perintah Raja Beruk.Memanda Menteri mencapai kertas keramat yang dimaksudkan.Dikeluarkan dari celah banir pokok yang terlindung dengan daun-daun kayu.Dalam hati Memanda Menteri Beruk hot juga.Nak protes depan-depan tak berani. Dia dah jemu sebab kali ini sudah seratus sembilan puluh,manuskrip itu dikeluarkan.Dan dia sudah pasti,pasti..

dia diperintahkan membacanya lagi .

Tiba-tiba…

“Nyet…nyet…ook…ook…”suara garau Raja Beruk bertitah.

Suaranya bergema di kawasan hutan itu.Anak buah yang tadinya bergayutan menjerit ,bergurau,dan bersuka-suka diam serta merta.Semuanya taat perintah.Raja Beruk perintahkan diam.Dia ingin menghayati isi manuskrip itu.Jangan diganggu konsentrasinya.Anak buahnya mesti diam.Dan mereka nampaknya terus patuh.Titah R aja Beruk tetap dijunjung.

Meskipun beruk sama-sama beruk tetapi ia jadi Raja.Dan rakyatnya hanya menerima beruk menjadi raja.Sudah tentu!

“Ini perutusan agung dari datukmu Darwin:asal kami adalah beruk…tetapi sekarang kami dipanggil manusia.Kami bina tamadun hidup yang tinggi,kekayaan dari perut bumi kami gali,kami duduk dalam rumah berhawa dingin dan menikmati makan-minum,tidur baring dan berhibur dengan selesa.Kami bina ia dengan keupayaan kami sendiri.Dengan otak yang telah berkembang.Ekor kami jadi kecil,wajah kami jadi cantik…

Semua penukaran semulajadi dan ini kami tangani dengan revolusi otak dan evolusi fizikal…

“Gunakan otak wahai saudara-saudaraku beruk!Hutan akan musnah,pokok tempat bergayut akan ditebang manusia.Buah kelubi,pisang hutan dan lain-lain milik kamu akan pupus.Teknologi manusia akan menghimpit kamu.Satu dan hanya satu jalan keluar …Beruk-beruk mesti jadi manusia!Jadilah manusia!Jadilah manusia!”

Begitulah isi manuskrip yang dibaca oleh Menteri Beruk.

Mata Raja Beruk jadi bersinar,fikirannya melayang-layang…

Aku…detik hatinya,aku akan memimpin rakyatku untuk satu revolusi.Revolusi besar,hebat dan gagah.Apa dia?Menukar dan memimpin beruk menjadi manusia!Nah, itu misi revolusiku…

Itulah impian Raja Beruk.Mimpi yang dibawanya ketika bergayut.Mimpi yang dibawanya ketika memamah buah kelubi.

Mimpi ketika bermesra dengan permaisuri beruk…mimpinya ingin menjadi manusia.

Anak buahnya memandang Raja Beruk dengan mata terkebil-kebil.Simpati ada,rasa risau pun ada.Selalunya badan sasa Raja Beruk akan kelihatan melompat ke sana ke mari.

Memimpin ketika mencari makan ,mengatur ketika bermain-main dan macam-macam lagi kehebatnnya.Kini Raja Beruk terpesuk ,tunduk dengan wajah murung.Tentu ada sesuau yang difikirkan…Apakah tempat baru ini tidak sesuai?Mustahil.Mereka baru sahaja berpindah ke tempat ini.

Dulu…memang ,di tempat lama dua tiga ekor kawan mereka telah dibaham harimau.Sebab itulah Raja Beruk memerintahkan mereka berpindah,dan dia sendiri yang memilih tempat ini.Tempat ini strategic.Buah-buahan banyak,musuh hampir tidak ada.Serba serbinya cukup dan memuaskan.Tapi kenapa Raja Beruk bermuram durja,berduka nestapa?

“Engkau semua tahu makan sahaja.Tak tahu fikir panjang.

Bagaimana nasib anak cucu generasi akan datang kau semua tak fikir.Hutan kita akan pupus,buah-buahan kita akan tandus.Generasi beruk akan hilang di dunia jika kita tidak cepat bertindak .Engkau fikir senang hari ini sahaja…esok?”

rungut Raja Beruk dalam hati.Mengeluh dia tentang anak buahnya yang lembab.Patut pun jadi beruk!Tetapi aku tidak.

Aku genius di tengah kedungguan generasiku. Akulah pemimpin.Pemimpin revolusi beruk jadi manusia.

“Memanda Menteri ,utuskan pengawal-pengawal pilihan menanti di perbatasan hutan.Tunggu kedatangan Kakap,Semik,Koring dan Sigah! Aku tahu dalangnya sahaja.

Jangan dipersoalkan bila,tunggu sampai tiba ,”perintah Raja Beruk tegas. Garang.

“Menjunjung perintah,tuanku!”kata Menteri Beruk.

Perintah dikeluarkan,meloncatlah satu platun pengawal beruk yang gagah perkasa.Menghayun badan, melayang-layang dari dahan ke dahan ada kelebihan…pergi menjunjung titah rajanya.Hati Raja Beruk lega,sebodoh-bodoh rakyatnya ada kelebihan juga.Bodoh memudahkan mereka patuh.Soal ini…rakyat beruk memang terpuji.

“Ada apa-apa lagi Tuanku?”Tanya menterinya.

“Buat masa seminggu sepanjang menunggu ketibaan utusan kita itu,batalkan semua pesta dan perayaan.Jangan ada rakyat yang bersuka-suka.Kita terancam tahu tak?Aku akan panggil satu perhimpunan raksasa bila sahaja utusan-utusan sampai.Ketika itu rakyat seluruhnya akan tahu apakah maksud hatiku yang sebenarnya.Jangan lupa simpan manuskrip itu baik-baik,”perintah Raja Beruk lagi.

“Ada apa-apa lagi Tuanku?”Tanya Menteri Beruk.

“Tak ada…boleh pergi!”tutup Raja Beruk.

Pasal bodek,Menteri Beruk cukup bijak.Ada-ada sahaja khidmatnya.Tapi malang,jauh di sudut hati Raja Beruk tetap tak menyenangi menterinya.Menteri yang yes man tak boleh diajak berevolusi.Orang revolusi mesti kreatif,berani,dan kritis untuk member pandangan-pandangan radikal.Kalau hanya tukang angguk-angguk kepala tak ke mana akhirnya.Tapi apa baleh buat…Menteri Beruk adalah orang terpandai di kalangan rakyatnya.The Best among the worst! kata orang putih.

* * * *

Seminggu berlalu seakan merangkak dan mengesut. Terasa penuh seksa bagai digigit sembilu.Raja Beruk kematian angin.Makan minum tak lalu.Bergayut tak senang.Permaisuri Beruk susah hati.Buah hatinya Raja Beruk asyik meradang.Manuskrip itulah yang diusung ke sana ke mari.Dalam badan sasanya terpendam rasa yang hebat dan dahsyat.Jiwa revolusi.Jiwa revolusi memang begitu.Membuak luapan semangat dan amukan rasa.Siang malamnya matanya asyik tertuju ke perbatasan hutan.Menunggu kalau-kalau utusan-utusannya sudah kembali.Rindunya mendalam,hasratnya membengkak bagai nanah terpendam.

Menteri Beruk datang menghadap sekali sekala.Setiap kali datang,pasti diperintahkan membaca.Manuskrip direnung,ditatap,macam azimat dan amanat.Dari ayat ke ayat.

Dibacanya berulang alik.Oh!Datukku Darwin amanatmu akan kusimpan baik-baik dan pasti akan kujelmakan…kita asalnya sama.Cuma nasibku saja yang tak berubah.Aku menjadi beruk,kau jadi manusia…walaupun menjadi rajanya,aku tetap beruk.

Rimba-raya itu tiba-tiba hingar-bingar.

Nyet…nyet…nyet…di sana

Nyet…nyet…nyet…di sini

Nyet di sana,nyet di sini.

“Tuanku,khabar gembira! khabar gembira!”teriak Menteri Beruk.

“Apa dia?utusanku telah kembali?meditasi sepinya terganggu.

“Ya, Tuanku.Mereka kembali!”cepat Menteri Beruk menjawab.

“Beri arahan,kumpulkan rakyat cepat.Bawa makanan dan panggil menghadap semua anak-isteri,suku–sakat,cucu cicit. Semua sekali.Kita adakan perhimpunan besar.Ada perkara penting yang mesti diketahui semua.”

Belum sampai Menteri Beruk berlalu dia menambah:

“Err..,er jangan lupa.Jamu Kakap, Semik ,Koring dan Sigah dengan hidangan istimewa.Mereka pahlawan Negara.Beri mereka tempat duduk di sebelahku.Mereka akan turut berucap di depan rakyat .”Raja Beruk gembira.Oh! Jalan-jalan kea rah revolusi menjadi manusia sudah hampir!sudah dekat! Yahoo…! Ada harapan aku jadi manusia.Hati Raja Beruk benar-benar gembira,menggeletek-geletek.Akulah Bapa Revolusi ~ Revolusi Beruk.

Semuanya sudah sedia.Telah mustaid segala kelengkapan.

Suasana sepi.Rakyat bergayut-gayut pun telah tiada.masing-masing duduk diam-diam.Mulut tidak mengunyah…tapi tangan tetap tergaru-garu di sini,di sana.Raja Beruk melihat rakyatnya dengan bangga.Berdisplin juga rakyatku.Ada harapan jadi manusia,detik hatinya dengan confident.

“Nyet! nyet! nyet! Hormat Raja Beruk!”seru Menteri Beruk.

“Nyet…nyet…nyet…kami hormat,”ikut rakyat Beruk beramai-ramai.Suara nyaring menjerit hormat memecah sunyi belantara.Raj a Beruk terus kembang ,di lambung-lambung oleh kepujian.Dalam hati Raja Beruk timbul rasa terharu.

“Aku akan balas penghormatanmu,aku akan berbakti padamu.”

Begitulah azam hati Raja Beruk bertalu-talu atas kepatuhan tak berbelah bagi yang ditunjukkan oleh rakyatnya.

“Rakyat-rakyatku,dengar sini.Lihat di tanganku ini…”

Kata Raja Beruk memulakan titah sambil mengacung-acungkan manuskrip keramatnyadengan tangan yang bernulu lebat itu.

Rakyat terpinga-pinga.

“Pisangke?”teka sesetengah rakyatnya.

“Buah kelubi masak,masam manis,”sangka sesetengah lagi. Ruang legar fikiran beruk-beruk itu cuma ingat makan.Makan,makan,makan.Mana mereka tahu di tangan raja adalah manuskrip keramat.Titik tolak revolusi yang dirancangkan oleh Raja mereka.Mata mereka terkebil-kebil dan ada yang menggaru kepala.Termangu-mangu dalam misteri.

“Bodoh!”sumpah Raja Beruk dalam hati.Kesal juga ia bila melihat rakyatnya termangu-mangu kebingungan.Tak apa.

Itu cabaran revolusi,bisik hatinya memujuk.

Raja Beruk meneruskan:

“…dalam surat ini menyebut kita boleh menjadi manusia.

Datuk kita dan datuk manusia sama-sama beruk .Kerana itu marilah kita berubah menjadi manusia.Ini perjuangan kita.

Manusia telah maju,mereka hidup dengan serba mewah dan masyarakat mereka lebih tersusun daripada masyarakat kita.

Kita bergaduh,mereka bertamadun.Kita sempit dengan berbagai-bagai musuh…harimau,ular dan macam-macam lagi.

Tapi hidup mereka damai,bersatu dan tidak diancam musuh.Aku telah utus empat utusan ini untuk melihat hidup manusia dari dekat,”katanya sambil berpaling kepada Sigah,Kakap,Semik dan err…

Raja Beruk berpaling ke kiri ke kanan.

“Mana Koring?”tanyanya pada Menteri Beruk.

“Dia masih belum balik,”jawab Menteri Beruk dengan muka suspen.Takut kena marah.

“Tak apa…cukup dengan utusan yang ada.”

Menteri Beruk lega.

“Empat,err tiga…utusan ini akan menceritakan kepada kita tentang kehidupan manusia.Mereka telah aku utuskan ke seluruh pelusuk penempatan manusia.Di Barat Semik,Utara,Sigah,Kakap Selatan dan Koring Timur.

Semuanya telah pulang dengan maklumat berharga …kecuali Koring.Tak apalah lambat laun dia akan kembali juga.”

“Dengan maklumat mereka…”terhenti Raja Beruk mengambil nafas.Tangan berbulunya,tanpa disedari menggaru kepalanya.Cepat-cepat dia sedar.Ah! sekali-sekala terlajak perangai beruknya.Macam mana pun,dia tetap beruk.Mana nak elak?

“Dengan maklumat itu kita akan tahu dengan banyak tentang susunan hidup manusia.Kita akan tahu bagaimana mereka bekerja,berkahwin,berhibur,bermain,belajar dan segala-galanya.Dari sini kita akan belajar mencontohi mereka.Kita akan belajar jadi manusia…kita akan keluar dari hutan ini.

Pasti kia akan diterima.Manuskrip yang ada pada tangan aku ini,ditulis oleh mereka.Oleh Darwin.Ertinya Darwin mengakui kita saudaranya.Aku percaya pengikutnya ramai.Tentu mereka boleh membantu kita…mereka telah mangiktiraf kita sebagai warga manusia.Kita dan mereka seketurunan.Takkanlah mereka benci pada saudara mereka…”sambung titah Raja Beruk dengan penuh harapan.

Rakyatnya terangguk-angguk,sambil menggaru-garu.

Seperempat masuk,tiga perempat keluar …banyak yang tak faham dari yang faham.Tetapi demi raja,demi Bapa Revolusi,mereka terus terangguk-angguk.

Raja Beruk puas hati .Hatinya berbunga harapan; kembang- kuncup oleh mimpi indahnya.

“Sekarang marilah sama-sama kita dengar dari utusan-utusan kita yang gagah perkasa,” kata Raja Beruk.

Semik muncul ke hadapan.Dia akan memulakan laporan.Ingatannya kembal kepada masyarakat manusia yang dilihatnya di Barat.Hatinya kecut,takut-takut laporannya tidak menyenangkan hati rajanya.Tapi dia ingat hanya apa yang dilihatnya.Beruk mana pandai kelentong!

“Tuankdan kawan-kawan sekalian.Hidup manusia Barat tidak indah…lebih kurang kita juga,”tiba-tiba tercetus dari mulut Semik.

“Apa?”sergah Raja Beruk.

“Err…er benar tuanku.Saya lihat ramai orang-orang mudanya tunggag-langgang.Hidup lintng-pukang.

Mereka suntik badan sesuatu yang pelik.Bila kena benda itu,

mereka jadi tak tentu arah.Bukan satu atau dua orang tetapi ribuan malah jutaan tuanku…Oh dahsyat…dahsyat…tuanku.

Satu lagi,jangan sangka mereka tak gaduh.Mereka bergaduh malah gaduh mereka lebih dahsyat.Kita takat kokak-kokak gigi sahaja.Tapi gaduh mereka secara besar-besaran.Ada pakai senjata yang keluarkan api.Kilang-kilang keluarkan benda berapi itu banyak dadirikan.Sekali letup,ribuan orang mati.Eh! ngeri tuanku.Dan lagi…”

“Cukup!”Potong Raja Beruk.Mukanya merah padam.

“Cuba Kakap pula yang beri laporan!”perintah Raja Beruk. Bengang betul dia.

“Tuanku,orang-orang tempat saya perhatikan tak pakai baju lagi.Saya lihat manusia dah dedah,buka semua yang mereka tutup dulu.Di pantai-pantai tempat manusia berambut perang dan ada yang bertelanjang…malu saya tengok.Kita bangsa beruk memang biasa macam itu,lagipun badan macam tu,ganjil nampaknya tuanku.Pada siang dan malam ,saya lihat pakaian orang perempuan terkoyak-koyak.Entah kenapa?lebih dahsyat tuanku,mereka dah macam kita.Bini dia bertukar-tukar, berganti-ganti…Entahlah,saya lihat lebih kurang adat istiadat kita juga.Yang lebih dahsyat ada lelaki kahwin sesama lelaki,perempuan sama perempuan.Eiii…jijik tuanku,”kata Kakap berani.Ia memang celupar.Padan dengan namanya.

Muka Raja Beruk merah padam.Macam mendung hampir nak hujan.Geram ada,kecewa ada.Kini harapannya hanya pada Sigah.Sigah yang di utuskan dari Utara.

“Sigah,silakan…”perintah Raja Beruk,cuba-cuba berlagak tenang.Tapi separuh semangat revolusinya telah lebur.

“Tuanku,apa yang saya lihat lebih dahsyat.Berjuta-juta manusia manusia mati kebuluran.Tapi dalam masa yang sama ramai juga yang mati kekenyangan.Bila bantuan makanan tiba orang bukan menyambut dan membahagikannya,tapi mereka terus bertembak-tembak.Ribuan orang mati,tuanku…lebih ramai dan berganda –ganda banyaknya daripada kawan-kawan kita yang dibaham harimau dan dibelit ular.Bila ada sedikit makanan yang sampai,mereka berebut-rebut,macam kita berebut pisang,tapi lebih teruk lagi.Politik mereka kacau.Ada sahaja yang ingin merampas kuasa.Rakyat tertindas,orang miskin jadi jenayah,si kaya pemeras,yang berkuasa zalim…kalaulah tuanku menjadi raja mereka,tentu tuanku pening kepala.Kami walaupun bodoh,patuh.Manusia meskipun pandai banyak karenahnya.Tuanku ,jika kita jadi manusia…belum tentu tuanku jadi rajanya.Silap haribulan, tuanku digulingkan,”kata Sigah terus terang.

Kecut perut Raja Beruk mendengarnya.Bab guling-mengguling ini yang tak berapa sedap.Dia cuba tenang walaupun jiwa revolusinya sudah kempis.Tipis macam kulit bawang.

Sigah meneruskan,”…. Dan saya rasa belum tentu kita rakyat beruk akan diterima oleh masyarakat manusia.Sedangkan manusia telah bermusuh dan bunuh-membunuh sesama manusia apalagi kalau dengan kita…beruk

yang nak jadi manusia?kita akan dianggap manuia kelas dua tuanka!”kata Sigah yang memang radikal sedikit.Memang Raja Beruk kurang senang dengan Sigah yang out-spoken itu.Tapi biarlah sekali sekala dia meluahkan isi hatinya.Lagipun apa yang nak dihalang,dia memang benar.Dia yang melihat,aku cuma mendengar.Raja Beruk masih rasional.Padanya mata lebih dipercayai daripada telinga.

Akhirnya,perlahan-lahan Raja Beruk tunduk.Air matanya berlinang.Lengan berbulu panjangnya longlai.Harapan untuk generasinya musnah.Manuskrip keramatnya basah oleh air mata yang menitis dari anak matanya yang redup sayup.Direnungnya satu persatumuka rakyat di hadapannya.

Muka-muka bodoh itu ditenungnya satu persatu.Penuh kasih saying.Generasi beruk akan terus terancam.Hutan akan dipugar oleh kerakusan manusia.Pohon-pohon akan di tebang penuh nafsu,gelanggang anak cucu beruk akan pupus…ke mana anak-anak cucuku akan menumpang hidup?

Dengan berat,akhirnya Raja Beruk berkata,amanatnya yang paling terakhir.

“Rakyatku…telah kita dengar berita sebenarnya.Rupa-rupanya hidup manusia indah khabar dari rupa.Darwin pembohong.Dia dusta!”katanya marah.Di genggamnya manuskrip keramat yang sudah kusam oleh air matanya.

“Krak…res…res…”

Manuskrip itu dikoyak-koyaknya.Disayat-sayat dengan geram.Persis beruk diberi bunga.

“Aku akan memberi satu amanat.Ini lebih penting dari kata-kata palsu Darwin.Inilah perutusanku,titahku yang muktamad dan tidak akan berubah-ubah lagi…Jika manusia terus berkelakuan seperti yang digambarkan oleh utusan-utusan kita,tak payah kita melatih-latih diri menjadi manusia…Tunggu sahaja mereka menjadi kita!Tunggu sahaja manusia menjadi beruk!Manusia akan mengikut jejak langkah kita,bukan kita mengikut jejak langkah mereka,”kata raja Beruk bersemangat.Angin revolusinya berputar 360 darjah.

“Kita lebih mulia dari mereka.Kerana merekalah yang mahu hidup cara hidup kita.

“Nyet!Nyet!Nyet!Nyet”sahut rakyat bergembira.

Melompat dan menggaru-garuTanpa segan silu lagi kini…

Raja Beruk turut melompat-lompat sama.Kini terasa betapa bangga dan bertuahnya dia menjadi beruk.Dia bangga menggaru.Bergayut.Menjerit .Melompat dari pokok ke pokok.

Rimba-raya bertukar menjadi pesta.Pesta Beruk-beruk!

Mereka lupa pada si Koring…Ya Koring masih di Timur.Apa terjadi kepada Koring?Apa terjadi kepada manusia di Timur?

 
39 Komen

Posted by di 27 April 2010 in Iktibar Kisah, Uncategorized

 

Label: , , ,

39 responses to “REVOLUSI BERUK

  1. PakarHowTo

    27 April 2010 at 11:08 am

    Hahaha, terhibur hati saya membaca cerpen ini.
    Inilah yang saya suka,
    dalam ‘hiburan’ ada ‘pengajaran’ berguna.
    Terima kasih banyak atas perkongsian cerpen ini.

    InsyaAllah, saya pasti tidak akan benarkan diri saya menjadi ‘beruk’.

     
  2. mnaz

    27 April 2010 at 12:04 pm

    Salam Ustaz,

    Pertama kali beri komen, selalunya jadi pembaca senyap saja. Eemm…cerita 20 tahun dahulu. Agaknya kalau Raja Beruk tu masih hidup lagi skrg, tentu bertambah2 terkejut beruknya sebab manusia dah jadi beruk. Malahan lebih beruk daripada beruk. Berukpun tak buang anak.

     
  3. pohonhijau

    27 April 2010 at 12:44 pm

    “Jika manusia terus berkelakuan seperti yang digambarkan oleh utusan-utusan kita,tak payah kita melatih-latih diri menjadi manusia…Tunggu sahaja mereka menjadi kita!” – tahniah ustaz atas cerpen yg sangat bermanfaat.

    SAya amat tertarik dengan petikan di atas…. besar maknanya, mendalam tersiratnya….padu hikmahnya. teruskan ustaz, berkarya….kerana mata pena itu lebih besar kuasanya dalam arus semasa ini.

     
  4. Mohd Nadzri Mustakim

    27 April 2010 at 3:12 pm

    salam… tulisan yang penuh makna. kagum saya membaca tulisan tuan. mohon izin untuk saya siarkan di blog saya

     
  5. hubahuba23

    27 April 2010 at 3:26 pm

    apa agaknya yang koring temui di timur ye? koring dah jadi manusia ke?

     
  6. muhammad fakhruddin

    27 April 2010 at 6:07 pm

    Tajam menikam…untuk mereka yang suka mengagung-agungkan ideologi Barat dan meninggalkan Islam.

     
  7. ikin_solehah

    27 April 2010 at 6:27 pm

    Mereka lupa pada si Koring…Ya Koring masih di Timur.Apa terjadi kepada Koring?Apa terjadi kepada manusia di Timur?

    slm ustaz..ade sambungannya ke?

     
  8. sakinah

    27 April 2010 at 6:32 pm

    Assalamualaikum,

    crita nye mcm tergantung..ape yg jd pd koring????……….sy terasa ingin tahu laaa…..hmmmm

     
  9. dr_taqwa

    27 April 2010 at 8:30 pm

    salam us, saya minta maaf sebab menulis disini..sebab saya tak tau apa lagi medium yang lain untuk saya salurkan persoalan saya ini..

    saya sudah klik kat ruangan buku dalam blog us, tapi saya tengok tiada penjelasan tentang buku nota fikir untuk zikir dan buku diamana DIA di hatiku? minta jasa baik us untuk jelaskan sedikit sebanyak tentang buku tu, seperti yang us buat pada buku2 yang lain.. terima kasih :)

     
  10. gentarasa

    27 April 2010 at 9:14 pm

    Salam dr,
    Insya-Allah, nanti saya sertakan ya. Saya masih mobile ni.

     
  11. truth seeker

    28 April 2010 at 12:17 am

    Salam.
    Ustaz, ada sambungannyakah?
    Jazakallh…sangat seronok membacanya. Memang betul apa yg dikatakan. Manusia yg menjadi beruk (perangai & sikap). Huhu.

     
  12. شاح

    28 April 2010 at 1:24 am

    hehehe =)

     
  13. Iman

    28 April 2010 at 8:29 am

    Assalamualaikum wbt..
    personally, saya lebih suka penulisan ustz sekarang…penuh kelembutan dan hikmah dan meresap dalam jiwa..refer pada penulisan ust yg dahulu, ia mmg agak tajam dan perlu berfikir untuk mendalami maksud tersurat dan tersirat…(mcm penulisan faisal tehrani pun ada)..

     
  14. Aina

    28 April 2010 at 1:05 pm

    Salam ziarah..best2..boleh dibukukan dalam kompilasi cerpen2 sepanjang zaman..revolusi, payah bila berkiblatkan barat..akan ader sambungan cerpen ni ke??x sabar nak tau ape yg dijumpai Koring..hehheh

     
  15. nieza

    28 April 2010 at 1:16 pm

    salam.. menarik cerpen dari ustaz.. ada maksud yang tersirat..

    apa yang terjadi pada Koring agaknya…

     
  16. Lina Aziz

    28 April 2010 at 1:55 pm

    salam ustaz, mmg tersentap membaca cerpen ini. Dalam kelakar ada sindiran. Hanya Jauhari mengenal Manikam. tak sabar nak baca sambungannya.

     
  17. nani

    28 April 2010 at 3:22 pm

    salam ustaz,
    tahniah kerana berjaya menarik ramai peminat ustaz menonton pagi2 di motivasai tv3.Semoga mereka yang dah sedar diri sebagai manusia,tak jadi beruk berfikiran penjajah.Kalau beruk pun nak jadi manusia,nak memimpin,nak bekerja lebih baik dari raja beruk ..kenapalah manusia yang memimpin,mahu jadi ketua,mahu diangkat jagi pemimpin masih bersifat seolah-olah beruk dapat bunga?beruk kena belacan,benar-benar sifatnya meniru beruk.Kita kenalah celik matahati agar tidak terkeliru dalam memilih insan ,bukan manusai bertopengkan beruk yang suka bertukar tempat bergayut asal banyak pokok pisang,buah kelubi perut diisi,maka lupa jadi insan yang amanah memimpin manuasia..mungkin kempen pilihanraya buat rakyat malaysia jemu tengok tv kecuali tengok ustaz…

     
  18. kukubima

    28 April 2010 at 3:45 pm

    Mereka lupa pada si Koring…Ya Koring masih di Timur.Apa terjadi kepada Koring?Apa terjadi kepada manusia di Timur?

    tatkala raja beruk dan rakyatnya melompat-lompat, terkinja-kinja…nyet..nyet..nyet..

    tiba-tiba..

    Koring pulang menaiki unta lengkap berserban dan memegang tasbih di tangan kanannya..sementara tangan kirinya memegang batu-batu kecil..

    suasana kembali sunyi..beruk-beruk bodoh dan beruk-beruk pandai terus terjegil biji matanya.

    YAB Menteri Besar Beruk pun terkejut dengan penampilan baru si Koring..”kamu nampak urban wahai koring”..kata beliau.

    sementara Raja Beruk yang sedang enak menikmati banana split pun terkejut dengan penampilan baru si Koring..

    tanpa berlengah, Koring menaiki singgahsana Raja Beruk dan terus ingin menyampaikan khutbahnya..

    “Ketauhilah wahai rakan2 beruk sekalian..” nada si Koring memecah kesunyian pesta tersebut..

    telah kusaksikan dengan mataku sifat2 manusia di Timur..mereka berpecah belah walaupun mereka mempunyai pegangan agama yg sama..mereka mengucapkan kalimah yg suci sambil memegang ini..(smbil menunjuk tasbih ditangan kanannya)..

    tetapi mereka tak peduli pada saudara mereka yang berjuang mempertahankan tanahair sambil membaling ini (sambil menunjukkan batu ditangan kirinya).

    maka dengan ini saya mencadangkan kepada tuanku Beruk..agar kita teruskan komuniti beruk ini..mungkin suatu hari nt kta juga bleh ada facebook sendiri..oppsss apa aku merepek ni..(Koring telah terlepas cakap).

    * mntak maap ye ustaz..saja jer nk bercerpen jugak…biasalah..tgh darah muda ni…

     
  19. Nurr Iman

    28 April 2010 at 7:13 pm

    salam..

    aah la ustaz.pe agak nya dh jd pd koring?
    tp mengikut tafsiran ana, ustaz mmg sengaja biar tergantung.
    sbb KITA lah masyarakat di timur tu..
    apa terjadi pada masyarakat di timur??..
    hurm.
    sama2 lah kta muhasabah..jazakallah

     
  20. nurkasih

    28 April 2010 at 10:53 pm

    Salam Ustaz..berlainan dari kebiasaan.. crita 20 th dulu.. sangat2 releven dengan zaman sekarang….ianya membuatkan saya terfikir sesuatu..
    Kan bagus ustaz kalau ‘beruk2′ sekarang dapat baca cerita ni.. : )

     
  21. Adilah

    29 April 2010 at 12:25 am

    Salam.
    Mereka lupa pada si Koring…Ya Koring masih di Timur.Apa terjadi kepada Koring?Apa terjadi kepada manusia di Timur?

    Kita yang di Timur yang perlu menjawab persoalan ini. Agak-agak apa kesimpulan Koring melihat manusia di Timur 20 tahun dahulu atau zaman kini?

    Terhibur saya membacanya di kala kepeningan persediaan peperiksaan.

    ~bagi saya cerpen ini tak tergantung tetapi kita yang perlu berfikir agak-agak apa ‘penamat’ yang relevan. Betul ke ustaz?~

     
  22. Azali

    29 April 2010 at 8:55 am

    Ustaz, terima kasih atas karya yg sangat menarik. Mungkin boleh buat sambungan “Revolusi Beruk 2″.

     
  23. Mohd Fatihee Mohd Sanasi

    29 April 2010 at 9:10 am

    Beruk pun pandai hot juga ya Ustaz..hee

     
  24. Solihin

    29 April 2010 at 10:33 pm

    salam.

    seronok rasanya selepas membaca cerpen Ustaz walaupun 20 tahun yang lalu.

     
  25. Yuana

    30 April 2010 at 8:35 am

    Subhanallah, cerpen yang menarik.

    Maksudnya jelas dan mudah faham. Memikat untuk menghabiskan pembacaan.

    Banyak sindiran yang menampar pipi saya sepanjang pembacaan. Banyak yang perlu sama-sama kita fikir-fikirkan.

    Terima kasih Ust

     
  26. Jamal Rafaie

    1 Mei 2010 at 11:26 am

    Sungguh menarik cerita ini, satu cerita fiksyen yang penuh pengajaran..

     
  27. amir

    1 Mei 2010 at 10:34 pm

    salam ziarah ustaz.. he terhibur dan terkesima pun ada baca cerpen ust time darah muda ni. jazakallah berkongsi ibrah berguna buat umat Timur hari ini. mudah2an kita lebih menyayangi, mencintai, mengagungi agama Islam yang kita anuti selama ini berbanding agama2/fahaman2 Barat yang sesat, merugi(menjadi rugi bagi orang yang ikutinya) dan hanya menurut sangkaan semata2, very fragile…

     
  28. norash

    3 Mei 2010 at 9:49 am

    fikir2kan.. amat bermanfaat!!thanx

     
  29. liyana mujahid

    4 Mei 2010 at 5:00 pm

    salam.
    mohon izin brkongsi entry ini ya.
    syukran.

     
  30. Zulkifli A. Rahman

    13 Mei 2010 at 11:13 am

    Assalamualaikum Ustaz.

    Seronok & terhibur saya membaca cerpen ini… :)

     
  31. islaah

    14 Mei 2010 at 5:10 pm

    Assalamualaikum…
    idea penulisan ustaz memang hebat adakah ia bakat atau boleh mendapat kemahiran menulis melalui pembelajaran??

     
  32. yadien

    18 Mei 2010 at 11:19 am

    cerpen yang best…penuh makna…

     
  33. Suke Bace

    20 Mei 2010 at 3:39 am

    Terbaek!!! cerpen ni memang menarik…
    p/s:teori Darwin tu memang xbleh pkai

     
  34. one_hayati

    21 Mei 2010 at 11:11 am

    salam ustaz..
    cerpen yg penuh pengajaran…
    beruk tetap beruk..tapi tak mustahil manusia akan mendali lebih buruk dari beruk..

     
  35. cendoller

    2 Julai 2010 at 11:38 pm

    koring macam mana skrng..??

     
  36. maryam

    4 Julai 2010 at 1:46 pm

    salam…entry yg penuh bermakna dgn msj tersurat dan tersirat…sama2lah kte b’fikir..

     
  37. alfonso99

    28 Ogos 2010 at 2:31 pm

    sngt thibur mmbc dbulan p0se ni..huhu.. nk tau gak ap yg tjadi pd k0ring?? lau ad smbungan tlg bgtau ye..hehe..

     
  38. TakInginDikenali

    26 September 2011 at 9:30 pm

    santai, lelucon, menghiburkan, sinis & ada pengajaran..ya..betul..bagaimanakah manusia di timur, terima kasih kepada penulis membenarkan kami pembaca berfikir sejenak mengenai “kami sebagai masy timur,”.segan dan malu nak kata tapi realitinya “adakah sama seperti mereka di barat, selatan yg menyusul seperti msy beruk malah lebih teruk dari itu..

     
  39. cg zie

    13 Mei 2012 at 10:11 pm

    cerpen yang hebat. cerpen ini membantu saya untuk menyampaikan ceramah saya kepada anak2 didik saya yang masih lalai dan tidak menghargai diri sendiri. terima kasih…

     

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,217 other followers

%d bloggers like this: