RSS

MAAFKAN AKU WAHAI SUAMI…

16 Jun

Maaf kepada semua pengunjung yang tidak sempat saya layan respons mereka. Benar-benar saya cuba meluangkan masa, tetapi kekadang tidak upaya jua.

Dan bagi mereka yang mohon menjadi teman di FB saya, maaf jika saya tidak memberi respons. Saya jarang benar ke FB sejak akhir-akhir ini. Besar kemungkinan akan saya tamatkan sahaja kehadiran saya di FB.

Untuk mereka yang meminta saya menulis NOTA HATI SEORANG WANITA… saya dahulukan dengan tulisan dan sajak di bawah. Mudah-mudahan dapat dijadikan muhasabah dan panduan seseketika menghadapi ujian rumah tangga – medan jihad yang di sana bermulanya segala JIHAD yang lebih besar.

Terimalah MAAFKAN AKU WAHAI SUAMI...

Dua bilah kayu disatukan dengan paku. Dua ketul bata disatukan dengan simen. Dua hati di satukan dengan apa? Jawabnya, dengan iman. Dua hati yang beriman akan mudah disatukan. Jika dua hati mengingati yang SATU, pasti mudah keduanya bersatu. Begitulah dua hati suami dan isteri, akan mudah bersatu bila iman di dalam diri masing-masing sentiasa disuburkan.

Bukan tidak pernah terguris. Bukan tidak pernah bertelagah. Tetapi jika di hati sama-sama masih ada ALLAH, perdamaian akan mudah menjelma semula. Yang bersalah mudah meminta maaf. Yang benar mudah memberi maaf. Tidak ada dendam memanjang. Masam cuma sebentar. Pahit hanya sedikit. Itulah yang ditunjuk oleh teladan rumah tangga Rasulullah s.a.w. Ada ribut… tetapi sekadar di dalam cawan. Ada gelombang… tetapi cepat-cepat menjadi tenang.

Jika ditanyakan kepada dua hati yang bercinta, siapakah yang lebih cinta pasangannya? Maka jawabnya, siapa yang lebih cintakan Allah, dialah yang lebih cintakan pasangannya. Justeru, janganlah hendaknya hanya berfikir bagaimana hendak mengekalkan cinta antara kita berdua, tetapi berusahalah terlebih dahulu agar mencintai kepada yang Esa. Jika kita bersama cintakan yang Maha Kekal, pasti cinta kita akan berkekalan.

Jika paku boleh berkarat, simen boleh retak, maka begitulah iman, boleh menaik dan menurun. Iman itu ada “virusnya”. Virus iman ialah ego (takbur). Jangan ada takbur, cinta pasti hancur. Orang takbur merasa dirinya lebih mulia, pasangannya lebih hina. Jika demikian, manakah ada cinta? Cinta itu ibarat dua tangan yang saling bersentuhan. Tidak ada tangan yang lebih bersih. Dengan bersentuhan, keduanya saling membersihkan. Tetapi ‘tangan’ yang ego, tidak mahu bersentuhan… Konon takut dikotorkan oleh tangan yang lain!

Bila berbeza pandangan, pandangannya sahaja yang benar. Kau isteri, aku suami. Aku ketua, kau pengikut. Aku putuskan, kau ikut saja. Jangan cuba menentang. Menentang ertinya dayus. Maka terkapa-kapalah sang isteri tanpa boleh bersuara lagi. Sedikit cakap, sudah dibentak. Senyap-senyap, isteri menyimpan dendam. Suami ‘disabotaj’nya dalam diam. Tegur suami, dijawabnya acuh tak acuh. Senyumnya jadi tawar dan hambar. Perlahan-lahan, jarak hati semakin jauh. Cinta semakin rapuh. 

Ada pula isteri yang ego. Heroin sudah mengaku hero. Suami dicaturnya satu-satu. Tidak jarang meninggikan suara. Silap suami yang sedikit didera dengan rajuknya yang panjang. Anak-anak dibiarkan. Dapur berselerak. Pinggan mangkuk tidak dibasuh. Kain baju sengaja disepah-sepahkan. Rasakan akibat menentang aku. Mengaku salah tidak sekali. Minta maaf? Pantang sekali!

Ego sisuami selalunya terserlah. Boleh dilihat daripada jegilan mata dan suara yang meninggi. Mungkin pintu dihempaskan dengan kuat atau hon kereta ditekan bertalu-talu. Atau boleh jadi diherdik siisteri di hadapan anak-anak atau isteri diperleceh di hadapan saudara mara atau tetamu yang datang. Bila ramai yang datang bertandang itulah masa sisuami yang ego ini menunjukkan kuasa dan belangnya.

Ego siisteri terpendam. Mungkin kerana tidak ada dominasi kuasa atau keberanian, siisteri menunjukkan egonya dengan bermacam-macam-macam ragam. Daripada sengaja melaga-lagakan pinggan yang dibasuh… sehinggalah memalingkan badan dan muka ketika di tempat tidur.

Alhasil, cuaca rumah tangga menjadi muram. Rumah hanya jadi ‘house’ tidak jadi ‘home’ lagi. Tidak ada keceriaan, kehidupan dan kemanisannya lagi. Semuanya bungkam. Ya, rumah (house) dibina dengan batu, kayu dan konkrit, manakala rumah tangga (home) dibina dengan kasih sayang, cinta dan sikap saling menghormati. Tidak ada rindu yang menanti suami ketika pulang dari bekerja. Tidak ada kasih yang hendak dicurahkan oleh suami kepada isteri yang menanti di rumah. Anak-anak jadi kehairanan? Apa sudah jadi pada kedua ibu-bapa ku?

Bila ada ego di hati, cinta akan menjauh pergi. Retak akan menjadi belah. Kekadang hati keduanya merintih, mengapa jadi begini? Bukankah antara aku dan dia ada cinta? Mengapa terasa semakin jarak? Apakah yang perlu aku dan dia lakukan untuk menyemarakkan semula rasa cinta. Lalu akal berfikir, berputar-putar mencari idea. Oh, mari ulangi musim bulan madu yang lalu. Kita susuri pulau, tasik, laut atau lokasi pertemuan kita nan dulu.

Malang, cuma sebentar. Gurau, senda cuma seketika. Tidak mampu lagi memutar jarum kenangan lama dengan hati yang telah berbeza. Tidak ada lagi tarikan fizikal yang ketara. Cumbu berbaur ghairah seakan telah terlupa. Bulan madu yang cuba diperbaharui tidak menjadi… kedua hati bercakar lagi. Mereka cuba memperbaharui lokasi, tanpa memperbaharui hati. Selagi ada ego, ke mana pun tidak akan menjadi. Jika ada ego, yang wangi jadi busuk, yang manis jadi tawar, yang indah jadi hambar.

Ada juga pasangan yang hendak ‘membeli’ cinta. Ingin dibangkitkan kembali rasa cinta dengan mata benda. Nah, ini kalung emas ribuan ringgit sebagai tanda cinta ku masih pada mu, kata suami. Dan ini pula cincin berlian untuk memperbaharui kemesraan kita, balas siisteri. Masing-masing bertukar hadiah. Semoga dengan barang-barang berharga itu akan kembalilah cinta. Namun sayang sekali, sinar emas, cahaya berlian, tidak juga menggamit datangnya cinta. Cinta diundang oleh nur yang ada di hati. Nur itu tidak akan ada selagi ego masih ada di jiwa.

Susurilah cinta yang hilang di jalan iman. Buanglah kerikil ego yang menghalang. Ego hanya membina tembok pemisah di antara dua hati walaupun fizikal masih hidup sebumbung. Mungkin di khalayak ramai, masih tersenyum dan mampu ‘menyamar’ sebagai pasangan yang ideal tetapi hati masing-masing TST (tahu sama tahu) yang kemesraan sudah tiada lagi.

Pasangan yang begitu, boleh menipu orang lain. Namun, mampukah mereka menipu diri sendiri? Yang retak akhirnya terbelah. Penceraian berlaku. Mereka berpisah. Masyarakat yang melihat dari jauh pelik, mengapa begitu mesra tiba-tiba berpisah? Tidak ada kilat, tidak ada guruh, tiba-tiba ribut melanda. Oh, mereka tertipu. Perpaduan yang mereka lihat selama ini hanyalah lakonan. Allah membongkar rahsia ini menerusi firman-Nya:
“Kamu lihat sahaja mereka bersatu tetapi hati mereka berpecah.”

Carilah di mana Allah di dalam rumah tangga mu. Apakah Allah masih dibesarkan dalam solat yang kau dirikan bersama ahli keluarga mu? Apakah sudah lama rumah mu menjadi pusara akibat kegersangan zikir dan bacaan Al Quran? Apakah sudah luput majlis tazkirah dan tarbiah yang menjadi tonggak dalam rumah tangga? Di mana pesan-pesan iman dan wasiat taqwa yang menjadi penawar ujian kebosanan, kejemuan dan keletihan menongkah arus ujian?
Penyakit ego menimpa apabila hati sudah tidak terasa lagi kebesaran Allah. Orang yang ego hanya melihat kebesaran dirinya lalu memandang hina pasangannya. Hati yang ego itu mesti dibasuh kembali dengan rasa bertauhid menerusi ibadah-ibadah khusus – solat, membaca Al Quran, berzikir, bersedekah – dan paling penting majlis ilmu jangan diabaikan.

Firman Allah:
“Dan berilah peringatan. Sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada orang mukmin.”
Sedangkan orang mukmin pun perlu diperingatkan, apatah lagi kita yang belum mukmin? Iman itu seperti mana yang dimaksudkan hadis, boleh menambah dan mengurang. Untuk memastikan ia sentiasa bertahan malah bertambah, hati perlu berterusan bermujahadah. Lawan hawa nafsu yang mengajak kepada ketakburan dengan mengingatkan bahawa Allah benci kepada orang yang takbur walaupun sasaran takbur itu suami atau isteri sendiri.

Bila terasa bersalah, jangan malu mengaku salah. Segeranya mengakuinya dan hulurkan kata meminta maaf. Ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Begitulah suami yang meminta maaf kepada isterinya. Dia tidak akan hilang kewibawaannya bahkan bertambah tinggi. Bukankah orang yang merendahkan diri akan ditinggikan Allah derjat dan martabatnya? Justeru, lunturkan ego diri dengan membiasakan diri meminta maaf. Tidak kira ketika kita rasa kita benar, lebih-lebih lagi apabila terasa kita yang bersalah.

Namun, lelaki yang tewas ialah lelaki yang sukar mengaku salah. Dia sentiasa tidak ingin mengalah. Pada ketika itu dia telah memiliki salah satu dari tiga ciri takbur yakni menolak kebenaran. Akuilah kebenaran walaupun kebenaran itu berada di pihak isteri. Tunduk kepada kebenaran ertinya tunduk kepada Allah. Jangan bimbang takut-takut dikatakan orang takutkan isteri. Kita takutkan Allah. Allah benci orang yang takbur.

Begitu juga isteri. Jika sudah terbukti salah, akui sahajalah. Dalam pertelagahan antara suami dan isteri, apakah penting siapa yang menang, siapa yang kalah? Kita berada di dalam gelanggang rumah tangga bukan berada di ruang mahkamah. Kesalahan suami adalah kesalahan kita juga dan begitulah sebaliknya. Rumah tangga wadah untuk berkongsi segala. Perkahwinan satu perkongsian, bukan satu persaingan. Kalau kita menang pun apa gunanya? Padahal, kita akan terus hidup bersama, tidur sebantal, berteduh di bawah bumbung yang sama.

Mujahadahlah sekuat-kuatnya menentang ego. Bisikan selalu di hati, Allah cintakan orang yang merendah diri. Allah benci orang yang tinggi diri. Pandanglah pasangan kita sebagai sahabat yang paling rapat. Kita dan dia hakikatnya satu. Ya, hati kita masih dua, tetapi dengan iman ia menjadi satu. Bukan satu dari segi bilangannya, tetapi satu dari segi rasa. Sebab itu sering diungkapkan, antara makhluk dengan makhluk mesti ada Khalik yang menyatukan. Ingat, hanya dengan iman, takbur akan luntur, cinta akan subur!

MAAFKANKU WAHAI SUAMIKadang-kadang aku rasa akulah
Isteri yang terlalu banyak menerima
Sedangkan engkau tak pernah meminta

Kadang-kadang aku rasa
Akulah isteri yang baru terjaga
Sedangkan engkau tak pernah terlena

Kadang-kadang ku bersuara tanpa berfikir
semua perkataan ku menjadi salah
Datanglah ke sini dan pegang tangan ku
Sementara ku cerita kehidupan isteri
Harap dimengerti

Kadang-kadang ku sakiti hati mu
Bila ku tolak sentuhan mu
Bukan bermaksud aku kurang menyayangi mu…
Namun cabaran terlalu

Kadang-kadang aku berubah pada pandangan mu
Tapi sayang, itu tidak benar
Tiada apa yang paling ku hargai
Daripada kehidupan manis bersama mu

Kadang-kadang ku fikir sejuta tahun
Adalah terlalu singkat
Hanya ku beritahu mu betapa sayangnya aku
Betapa syukurnya aku…
kau pelindung ku

Kadang-kadang berjauhan dengan mu
Akulah isteri yang terlalu tinggi bercita-cita…
Mencipta kerukunan keluarga
Namun aku tetap aku yang ini…
Maafkan aku wahai suami!

 
93 Komen

Posted by di 16 Jun 2010 in Tentang Cinta

 

Label: , , , ,

93 responses to “MAAFKAN AKU WAHAI SUAMI…

  1. Bawang Goreng

    16 Jun 2010 at 2:59 pm

    Salam,

    Puisi/sajak version suami tak adakah?

    Sebabnya, suami yang teramat payah nak minta maaf, seolah-olah EGO-nya boleh dibawa ke liang lahad…

     
  2. Ummi Zara

    16 Jun 2010 at 3:40 pm

    A’kum Ustaz,

    Sekiranya diizinkan mohon saya petik & terjemahkan pengisian dlm blog ustaz ni ddalam Bhs Inggeris…ingin saya panjangkan lagi mesej dakwah ustaz ni pada kenalan non muslim saya yg ingin mengenal apa itu Islam.

    Ingin benar saya mempelajari teknik2 penulisan ustaz spt di blog dan di Majalah Solusi..mohon jasa baik ustaz dpt maklumkan kiranya ustz ada anjurkan bengkel teknik2 penulisan pd masa akan dtg.

    I am an English language trainer , I really want to contribute something as Muslim..to reach people outhere that Islam is indeed a beautiful way of life..I want to learn how to write beautifully about Islam just like you .. utk sama2 menyumbang seperti yg ustaz usahakan skrg ni. Syukran

     
  3. naimul firdaus

    16 Jun 2010 at 4:37 pm

    mencegah lebih baik dari mengubati.

     
  4. Yusmiza Abu Yamin

    16 Jun 2010 at 5:33 pm

    salam ustaz,

    terima ksh dgn artikel yg sgt memberi manfaat :)

     
  5. شاح

    16 Jun 2010 at 6:21 pm

    Salam Ustaz.. Ana tetap sokong penulisan Ustaz tak kiran Ustaz keluarkan artikel ke buku ke atau sekadar di blog.. Ana pun tiada FB. Dan tetap juga Ana sokong Ustaz

     
  6. gentarasa

    16 Jun 2010 at 8:27 pm

    Salam Shah,
    Harap semua keluarga di sana sihat dan diberkati Allah. Saya tak mampu selalu di FB kerana kerja saya tidak mengizinkan saya berbuat demikian. Jika ada masa terluang, saya fokus pada blog saja. Syukran Shah.

     
  7. gentarasa

    16 Jun 2010 at 8:28 pm

    Salam Ummi,
    Semoga usaha mu diberkati. Insya-Allah, marilah kita saling ingat mengingati kerana Allah. Teruskan, saya sokong.

     
  8. gentarasa

    16 Jun 2010 at 8:29 pm

    Salam Bawang,
    Insya-Allah, saya akan tulis nanti… Semoga Allah bantu kita bagi meleburkan takbur kita.

     
  9. Nur

    16 Jun 2010 at 10:51 pm

    Salam ustaz

    nak tanya mcm mana pulak ya kalau ibu terlalu ego dgn anak2, kalau anak-anak tegur kesalahn dia, dia akan marah balik dan tak pernah nk terima sedangkan kesalahan itu memang jelas. Adakah anak-anak tidak berhak utk menegur ibu bapa?

     
  10. humairah

    17 Jun 2010 at 1:19 am

    menangis saye bace artikel ni.. memang kena cerita ni dgn kehidupan saye sekarang.. sedih..

     
  11. nik

    17 Jun 2010 at 6:36 am

    salam ustaz,
    saya begiitu kagum dengan hasil tulisan2 ustaz, saya doakan ustaz sentiasa sihat dan diberikan buah fikiran yg baik untuk di kongsi bersama. saya pengikut setia blog ustaz. Segala kata2 dalam tulisan blog ustaz saya kongsikan bersama dgn rakan2 dlm FB saya. Semoga amalan yg baik akan terus hidup. Betulkan ustaz?? Saya pohon dr ustaz supaya ustaz mengizinkan sya mengambil kata2 ustaz ini untuk di muat kan dlm FB saya.
    Kepada sahabat2, saya sebenarnya juga ingin deactive Fb sya dgn join MillatFacebook( milik org islam). Diketahui bahawa FB ini milik org yahudi…
    tapi malangnya MFB ini masih lagi dalam menaik taraf perkhidmatan nya…sekadar berkongsi.

     
  12. gentarasa

    17 Jun 2010 at 6:44 am

    Salam Nur,
    Ibu-bapa perlu mengaku salah, minta maaf dan minta doa daripada anak-anaknya. Mungkin, saja sebagai anak-anak, CARA kita menegur itu perlu lembut, seperti minta nasihat… tetapi ada teguran yang diselitkan. Selamat mencuba.

     
  13. muhamad

    17 Jun 2010 at 9:29 am

    bestnya

     
  14. hanani

    17 Jun 2010 at 10:50 am

    salam… ustaz

    saya kagum dengan penulisan ustaz… bermanfaat untuk dikongsi. alangkah indahnya suami juga membaca ruangan ini..

     
  15. ummi Alyaa

    17 Jun 2010 at 11:00 am

    Salam ustaz…
    minta izin ustaz utk saya print statment tu tuk bg suami baca sama..nk share dgn dia supaya sama2 saling memahami ::…

     
  16. Mohd Nadzri Mustakim

    17 Jun 2010 at 11:54 am

    Terima Kasih Allah dan kepada ustaz.

    nasihat yang cukup tepat. Doakan saya, ustaz dan kita semua untuk mengamalkan apa yang tersurat disini menjadi tersirat di qalbu.

     
  17. razlan m razali

    17 Jun 2010 at 11:57 am

    salam ustaz & semua,

    memang setiap kali saya membaca tulisan ustaz memang tersentuh sanubari. moga sentuhan itu dpt menambahkan buah iman dlm diri kita.

     
  18. han1s

    17 Jun 2010 at 1:10 pm

    syukran.. :)

     
  19. Maidatusyima bt. Mansor

    17 Jun 2010 at 4:13 pm

    Salam Ustaz,
    Saya sangat tertarik dengan tulisan tuan. Ia memberi makna yang mendlam kepada jiwa saya. Saya banyak belajar melalui tulisan tuan terutamanya dalam majalah solusi yang tidak pernah ketinggalan saya membelinya. Cantik benar garapan tulisan tuan dan saya amat kaguminya.

     
  20. Zuraimah

    17 Jun 2010 at 5:38 pm

    Salam Ustaz,

    Tertarikh sengan sajak di atas. Mohon saya abadikan buat suami saya ya….terima kasih

     
  21. umair

    17 Jun 2010 at 6:40 pm

    Ya Allah… nice sgt sajak ini. syukran ust.

     
  22. durrotul islam

    17 Jun 2010 at 10:18 pm

    salam ustaz..jujurnya ana amat terkesan dgn rentak penulisan ustaz..bermula dr majalh solusi, buku dan blog ana jejaki..setiap garapan yg ustaz berikan sgt membuka minda dan rasa hati..seolah2 ustaz berada dlm dimensi yg lain pabila memandang setiap perkara yg terjadi..’bukan soal apa yg kita lihat, tetapi bagaimana kt melihat’..alhamdulillah spt dunia sdg terbentg luas utk ana amati, fahami, rasai dan syukuri..syukrn jzln ustaz..barakallahufik..

     
  23. lieza

    18 Jun 2010 at 1:46 am

    salam ustaz…
    trima ksh untuk segala ilmu dan peringatan yang dikongsi…semoga dimanfaatkan oleh semua dan dapat diperpanjangkan peringatan-peringatan yg dikongsi…

     
  24. su

    18 Jun 2010 at 9:34 am

    Assalamualaikum,terima kasih kerana sentiasa melakukan yg terbaik untuk kebaikan bersama.sy memang minat dgn setiap penulisan ustaz sama ada blog,buku dan majalah solusi.byk yg ustaz kongsikan.terbaru kini,sy juga mengikuti motivasi pagi yg keudara di radio IKIM.setiap info dan ilmu yg ustaz kongsikan mengingatkan sy dan membuatkan sy terfikir.sy juga mohon izin utk berkongsi sebarang ilmu dan buah fikiran yg ustaz tulis agar dpt berkongsi dengan rakan2 yg lain.Moga Allah memudahkan segala urusan…Amin

     
  25. zila

    18 Jun 2010 at 10:22 am

    Terima kasih Ustaz..artikel ini sungguh bermakna buat diri saya…insayaAllah saya akan berkongsi artikel nie bersama pasangan saya….

     
  26. resta07

    18 Jun 2010 at 11:39 am

    salam cik…

    bagus crtanya cik..

    Kunjungi saya at http://www.unand.ac.id/arsipua/pnl/

     
  27. NH

    18 Jun 2010 at 12:25 pm

    salam ustaz, terima kasih dengan sentuhan berkesan di hati ustaz ini. doakanlah untuk ketenanagn & kebahagiaan saya…
    *mohon dipinjam beberapa bait perkataan & sajak ustaz ini, amat-amat terkesan…

     
  28. aisyah

    18 Jun 2010 at 1:59 pm

    salam ustaz..terima kasih dengan tulisan ni…Menjadi panduan utk sy d masa hadapan..=)

     
  29. zahra

    18 Jun 2010 at 4:36 pm

    salam ustaz..mohon copy utk email pada mak…hehe..nk suruh mak email kat ayah sajak yg sweet ni:)…semoga hati mereka satu rasa sentiasa..amin…

     
  30. norfazihah hani

    18 Jun 2010 at 4:36 pm

    assalamualaikum

    saya suka membaca tulisan ustaz. saya ingin menjadi seorang daripada pelajar ustaz kerana saya meminati pernulisan ilmu dan daei islamiah, insya Allah. semoga ustaz lebih berjaya, insya Allah.

    wallahua’alam.

     
  31. rumaisa

    18 Jun 2010 at 5:14 pm

    Alhamdulillah, syukran ustaz. byk lagi entri dalam blog ini yang bermanfaat dan menyentuh hati. semoga terus menulis

     
  32. juani

    18 Jun 2010 at 5:26 pm

    salam ustaz..

    seronok membaca nukilan ustaz..sejuk hati di kala sedang gunalah.. :)

    boleh minta izin beberapa petikan..utk dimuatkan dalam kad jemputan p’kahwin saya?

     
  33. gentarasa

    18 Jun 2010 at 8:29 pm

    Salam juani,
    Tahniah. Semoga dikurniakan keluarga yang sakinanh… penuh mahabbah sampai jannah! Amin. Silakan.

     
  34. gentarasa

    18 Jun 2010 at 8:33 pm

    Salam saudaraku,
    Cik belum kenal siapa ni. Cik cuba masuk, tetapi masih tidak dapat apa-apa. Salam takkruf… illallah.

     
  35. khyrul hycal

    20 Jun 2010 at 11:18 pm

    Moga bermanfaat buat pasangan suami isteri..^_^

     
  36. ellacinta

    27 Jun 2010 at 5:36 pm

    salam..

    terima kasih..terima kasih..

     
  37. ummu rafiq & raihanah

    29 Jun 2010 at 11:58 am

    Salam ustaz,

    Syukur pada Allah di atas kehadiran nukilan2 ustaz di alam maya ini. Semoga terus berkarya dan diberi kehidupan yang sakinah.. penuh mahabbah sampai jannah! (copy dari kata2 ustaz di atas :))

    Terima kasih ustaz.

     
  38. hannan thohirah

    29 Jun 2010 at 8:35 pm

    salam…terasa benar bila ada bacaan sebegini yg kena batang hidung sendiri.dah bhari jgk x btegur sapa dgn suami gara2 syaitan laknatullah yg bjaya buat kami btengkar.insyaAllah azam ana utk mohon maaf pd suami wlupun ana x bsalah.mohon ustaz izinkan ana copy artikel ni dan yg bkaitan utk santapan rohani kami suami isteri.

     
  39. iza

    30 Jun 2010 at 8:02 pm

    Salam ustaz…

    Salam Ukhwah….

    Mohon izin copy bagi koleksi iza…syukran,Ustaz…

     
  40. hutan biru

    3 Julai 2010 at 12:51 pm

    Salam ustaz,

    Mohon copy n print artikel ni… Saya nk simpan sebagai koleksi peribadi dan bercadang nk beri kepada kedua ibu bapa sebagai bahan bacaan tambahan mereka…

     
  41. Suami risau

    5 Julai 2010 at 11:54 am

    Assalamualaikum ustaz,

    Membaca dan menghayati artikel ini betul2 menyentuh situasi yang dihadapi saya dan isteri sekarang. Kami pasangan yang baru berkahwin dan insyaAllah bakal menimang cahaya mata dalam masa 2 bulan akan datang.

    Walau bagaimanapun, air yang tenang sekali sekala berkocak menduga jalinan kasih sayang kami. Masalahnya adalah isteri seorang yang agak egoistik dan sukar untuk membalas kemaafan. Sebagai suami yang ingin memelihara dan mengekalkan kebahagiaan mahligai kami, saya menghampiri dirinya dan memohon kemaafan atas kesilapan yang saya memang akui. Namun, respon yang bisu dan bermasam muka daripada isteri membuatkan saya sedikit terkilan dan hanya bersabar sehingga kini.

    Mohon pandangan dan respon daripada ustaz bagi menunjuk jalan yang benar serta alternatif dalam menyelesaikan kemelut ini.

     
  42. idawan

    8 Julai 2010 at 12:59 am

    minta izin copy . artikel yang sangat memberi kesan pada sang isteri.

     
  43. sang isteri

    15 Julai 2010 at 5:01 pm

    salam ustaz, mohon kongsi sajak..terkesan dgn penulisan ustaz..teruskan berkarya…

     
  44. siti fairos

    18 Julai 2010 at 3:33 pm

    salam ustaz.,mtk izin copy n paste ya…jazakallah

     
  45. Niee Daud

    20 Julai 2010 at 12:17 pm

    Alhamdullilah, terima kasih Ustaz dan sekelian yang terlibat.

     
  46. Niee Daud

    20 Julai 2010 at 6:14 pm

    Mohon “share” Ustaz. Terima kasih.

     
  47. gentarasa

    21 Julai 2010 at 2:01 pm

    Salam,
    Silakan niee. Maaf, lambat respon. Saya sedang mengendalikan pgoram di tempat yang line kurang baik. Syukran.

     
  48. hambaNYA

    22 Julai 2010 at 7:13 am

    Salam Ustaz. Minta izin untuk copy sajak yg bagus ni ye. Terima kasih

     
  49. nur sarah

    26 Julai 2010 at 5:29 pm

    salam ustaz,
    saya memang suka baca tulisan ustaz, dari ruangan anis dulu2, saya xingat paper apa tapi ada kolum @ maybe dalam dewan siswa ke majalah islam, sekarang ni solusi.
    erm, saya ingin sekali cerita masalah saya. masalah orang yang dah berumah tangga, baru je lagik kawen tapi dah macam2 hal jadik, tapi malu untuk cerita di sini. boleh ke saya dapatkan emel ustaz.
    terima kasih.

     
  50. ain

    28 Julai 2010 at 10:55 am

    Salam ustaz

    Mohon mengambil petikan drp tulisan ustaz ini untuk dikongsi ke dalam blog saya….terima kasih….

     
  51. Noraida

    6 Ogos 2010 at 10:27 am

    Salam..Ustaz,
    Bagaimana pula kiranya sang suami pula yang banyak menerima ..saya yang banyak memberi…dari segi layanan or harta…tapi kini..hati saya telah pudar dan suami masih alpa..apa yg harus saya lakukan??

     
  52. gentarasa

    6 Ogos 2010 at 3:16 pm

    Salam,
    Teruskan memberi kepadanya kerana ALLAH. Dalam hubungan suami isteri tidak ada hubungan menang kalah… yang ada hanya memang-menang. Sebab dia dan kita adalah SATU. Namun, jika pelanggaran syariat dilakukannya… kita berhak untuk menegakkan keadilan melalui jalan-jalan yang dibenarkan oleh syariat juga. Wallahua’lam.

     
  53. maz

    6 Ogos 2010 at 4:52 pm

    ustaz,

    salam .. minta izin nak copy paste dalam fb nak share dgn kawan..
    tq ustaz..

     
  54. Ikine Yusof

    8 Ogos 2010 at 1:41 am

    salam ustaz,

    mintak izin nak copy & paste dlm email & share dgn suami & insan2 tersayang yg lain. terima kasih

     
  55. atul

    26 Ogos 2010 at 12:35 am

    salam ustaz…mohon copy..
    syukran ustaz

     
  56. haslina

    27 Ogos 2010 at 1:46 pm

    Assalamualaikum Ustaz,

    Mohon keizinan ustaz nak copy artikel & sajak untuk share bsama suami & rakan2

     
  57. faridah

    15 September 2010 at 2:58 pm

    Betul, cuma ingin meminta agar ustaz melihat disebaliknya.
    Bagi yg tak pernah melalui perceraian, apa kata luangkan masa bagi yg pernah menempuhnya untuk lebih memahami kenapa ianya tetap terjadi.
    Keterlanjuran yg melampaui hingga tidak dapat dikompromi…sabar juga harus ada batas, bagaimana mungkin tidak memandang hina pasangan yg terangan melanggar batasan agama, bagaimana bisa terus membesarkan zuriat andai tonggak keluarga bergelumang maksiat.Manusia dikurniakan akal untuk menilai apa yg baik dan yg buruk, bijakkah terusan membiarkan fikiran seisi keluarga tertekan atas tiket mengganggap pasangan sahabat dan demi mengelakkan percerian sedangkan jelas kelihatan kederhakaan terhadap Allah..Sejauh mana perpisahan cuba dielakkan, bila doa dan petunjuk di pohon tetap perceraian jalan yg Allah tunjukkan, bagaimana itu bisa di kategorikan sebagai kegagalan; bukankah itu jalan yg terbaik, kerana yakin Allah akan menggantikan sesuatu dengan lebih baik, mungkin bukan dari segi pasangan hidup tetapi mulai mengerti makna ‘redha’ atas ketentuan Ilahi?

    Sekadar bersuara..terlalu kekurangan bahan bacaan bagi yg melalui kegagalan rumah tangga..rata2 pendakwah bercerita tentang kemanisan rumah tangga yg dilalui lantas bagaimana dengan yg kecundang? Sedangkan hidup masih perlu diteruskan…

     
  58. gentarasa

    21 September 2010 at 10:20 am

    Salam faridah,
    Penceraian itu juga satu penyelesaian jika perkahwinan sudah dilanggar hak dan peranannya. Itu yang terakhir. Sebab itu syariat membenarkannya.

     
  59. norhazlina omar

    26 November 2010 at 8:59 am

    salam ustaz,
    izinkan saya share sajak tu dlm fb saya ye ustaz..syukran..

     
  60. sarimah Hz

    15 Januari 2011 at 10:24 am

    Salam Ustaz. Terima kasih atas artekal & puisi unt renungan kami sekeluarga. Menyentuh hati…byk manfaat yg diperolehi yg dpt dijadikan iktibar.

     
  61. ana sarina

    30 Mac 2011 at 9:42 pm

    salam ustaz…..artikel yg menarik dan puisi yg menyentuh hati dan rasa.. minta dikongsikan ya ustaz bersama teman2 yg lain…

     
  62. yunilawati

    26 April 2011 at 10:58 pm

    Salam,

    Puji syukur kpd Alloh swt yg telah menuntun aku utk menemukan web ini, terimakasih ya Ustad atas artikelnya,

     
  63. Yatie Roses

    27 Jun 2011 at 12:04 pm

    terima kasih …insya -Allah dijadikan pedoman

     
  64. Sue Nizam

    29 Jun 2011 at 6:21 pm

    Assalamualaikum Ustaz, izinkan saya mengambil kata-kata ustaz ini untuk dimuatkan ke dalam FB saya sekadar ingin berkongsi petikan ini bersama sahabat-sahabat saya yang lain. Rugi rasanya jika petikan ini tidak dikongsi.

    Saya kagum dengan hasil tulisan Ustaz. Untuk pengetahuan Ustaz, adik saya yang memperkenalkan “Genta Rasa” kepada saya dan dia juga yang menyarankan agar saya mendapatkan tulisan Ustaz “Nota Hati Seorang Lelaki” untuk saya hadiahkan kepada suami saya.

    Saya masih mencari tulisan Ustaz “Satu Rasa Dua Hati” dan saya amat berharap agar saya bisa mendapatkannya. Insyaallah.

     
  65. gentarasa

    1 Julai 2011 at 10:38 am

    Salam Sue,
    Syukran atas sokongan anda dan adik. Saya sangat menghargainya. Kita hanya menjalankan tugas berpesan-pesan. Buku 1 rasa 2 hati terbitan Galeri Ilmu. Mudah-mudahan masih ada dalam pasaran.

     
  66. Nur Aini

    16 Julai 2011 at 12:42 am

    Salam Ustaz,
    Terima kasih kerana artikel ustaz amat bermaka bagi saya. Mohon copy. t,kasih

     
  67. Mawar Berduri

    23 Ogos 2011 at 11:23 am

    ya-allah…sedih di hati, sayu hingga mengalir airmata membaca setiap ayat dlm artikel ni…
    terasa banyaknya dosa saya pada suami…betul2 sama dengan isi tersurat dan tersirat dlm artikel ni…
    moga ada sinar baru, menyinari rumah tangga kami yang hambar ini…terima kasih ustaz kerana artikel ini sedikit sebanyak memberi kesedaran pada saya kaum hawa ini…semoga kami memanfaatkannya…
    semoga kekal hendaknya…AMIN…

     
  68. dakwahcarahanna

    23 Ogos 2011 at 9:56 pm

    Assalamualaikum ustaz…. mohon copy untuk dimuatkan dlm blog sy yer? Pengisian dari ustaz sy rse sgt menarik utk dikongsi….. jazakallah khair…. :)

     
  69. purwanto

    25 November 2011 at 5:45 pm

    saya sangat terkesan gaya bahasa dan isi dari artikel – artikel . Bolehkah kusebarluaskan sebagai dakwah di daerahku ?

     
  70. nazwa hanim

    27 Februari 2012 at 8:02 pm

    ustaz. mohon share ye… :)

     
  71. Zuraina binti Ithnin

    1 Mac 2012 at 2:34 pm

    Assalamualaikum… saya memang peminat tulisan ust pahrol.. dari yang pertama saya baca… Hati Seorang Lelaki… saya terus jatuh hati pada tulisan itu danterus mencari buku ust pahrol… tau kenapa??? setiap kali saya membaca.. saya akan rasa sedih… terpukul.. dan akhirnya buat saya terus berfikir dan yg paling penting saya terus renung diri saya sendiri… alhamdulillah… buku ustz pahrol.. adalah kawan baik saya ketika saya dlm ketgangan.. alhamdulillah.. banyak membantu.. isu di atas???? saya bersyukur mendapat suami yang selalu ingatkan kebaikan pda saya… cuma saya yang kekadang tergelincir.. apapun.. terima kasih ..semoga ilmu yg disampaikan terus menjadi manfaat kepada kita semua…

     
  72. Ratna Jui

    5 Mac 2012 at 5:08 pm

    Assalamualaikum..mohon share ya Ustaz

     
  73. izahisham

    12 Jun 2012 at 10:27 pm

    Assalamualaikum ustaz, saya juga minta izin untuk copy artikel dan sajak ini untuk koleksi peribadi. Terima kasih.

     
  74. faridah kamaruddin

    24 Jun 2012 at 3:36 pm

    salam..saya sgt ingin menyertai bengkel2 atau kursus2 tentang hati dan sebagainya yang ustaz anjurkan, dimana dan bagaimana caranya saya boleh dapat maklumat2 tentang ini..tk

     
  75. Honey Solehah

    28 Mac 2013 at 4:56 am

    Buku Cinta Kerana Allah tulisan Ustaz perlu dijadikan manual kehidupan berumahtangga. Sgt memberi inspirasi!! ;-)

     
  76. suezain sue

    29 Mac 2013 at 9:27 pm

    Ya Allah..betapa sebaknya hati ini membaca sajak..yg sudah begitu terlewat utk ku titipkan buat suami yang telah pergi utuk selamanya.Ampuni aku suamiku..aku kesal sujud dikakimu pada saat kau sudah menjadi jenazah…kenapa tidak kulakukan pada hayatmu..?
    Sahabatku yg bergelar isteri..sujudlah d kaki suami sebelum terlambat…syurga d menanti di sana…

     
  77. Hayati Dahali

    22 Mei 2013 at 11:51 pm

    jom jadi isteri solehah….

     
  78. maza

    23 Mei 2013 at 4:19 pm

    Salam uztaz, mohon copy. Terima kasih

     
  79. fr

    18 Jun 2013 at 10:55 pm

    asslkm ustad,,,adakah tempat konseling didlm kehidupan rumah tangga

     
  80. mastura mohamad

    11 Julai 2013 at 1:44 pm

    Salam ustaz…rahmat ustaz…

     
  81. suemaya

    20 Ogos 2013 at 12:02 am

    Indah dan tersusun kata2 ustaz. Satu pencerahan tentang nilai diri seorang wanita dan isteri.
    Hidup ini satu perjuangan mgumpul bekalan utk alam yg kekal abadi-akhirat. Sbg isteri mahupun suami perlu berlapg dada dan sentiasa usaha tgkatkan ilmu, amal dan iman . Biarlah apa shj urusan dunia, cinta utk pasangan hanya kerana Allah. Pasti perspektif kehidupan akan sntiasa positif .

     
  82. N.S.Intan

    28 September 2013 at 7:12 pm

    Salam..ustaz..mohon utk copy sajak yang amat menyentuh hati ini..

     
  83. hani

    23 November 2013 at 1:35 am

    Allah..
    Di saat diri terus diuji…saya jumpa sajak ni
    Air mata mengalir tanpa henti
    Kadang2 saya rasa lelah utk terus berdoa dan meminta Allah pelihara hati suami
    Tapi suami terus menerus menguji cinta
    Ya..ego dia setinggi gunung. Tak pernah mengaku salah
    Berbincang tak pernah ada dalam kamus.
    Isteri harus sentiasa senyum dan gembira
    Walaupun tau dia berpelukan dan berpesta pelacur diluar sana
    Pulang kerumah harus disambut dgn senyuman mesra
    Ujian apakah yg Allah bagi padaku…ya Allah.
    Suami ku solat hanya bila ingat
    Quran dah tak disentuh…buang masa katanya
    Nanti takde masa nak tgk status di fb
    Tak sempat nk tau perkembangan dunia terkini
    Kau tak payah nak nasihat aku…tak payah nak tunjuk alim…
    Hancurnya hati ini…
    Tapi kenapa saya tak mampu nak buang rasa cinta pada dia
    Tolonglah ustaz….saya nak buang rasa cinta ini

     
  84. wardah

    13 Disember 2013 at 5:18 pm

    menitis air mata membaca rintihan hani. hanya mampu berdoa semoga Allah berikan ketabahan yang luar biasa pada hani. terasa ujian pada saya terlalu sedikit berbanding hani. sabarlah hani. syurga menanti kamu. kita tak dapat apa kita mahu di dunia, kita akan dapat akhirat. janji Allah itu pasti. bertahan hani. teruskan mujahadah dan baca tulisan ustaz. semoga kita selalu diberi kekuatan untuk bangun apabila terjatuh…

     
  85. farhana falaki

    19 Januari 2014 at 8:47 am

    Sangat menyentuh hati ….hm

     
  86. yani ismail

    21 Januari 2014 at 9:11 am

    salam ustaz…mohon izin share.

     
  87. mamaadam nuha

    22 April 2014 at 12:34 pm

    assalam ustaz,rumahtgga sy diuji tatkala br mencecah 3tahun.tmbhn sy br melahrkan anak kedua..suma ada hubugn dgn prmpuan lain dgn menipu kami dalam proses penceraian,sy sgt terluka,,walaupun suami berjanji mahu memperbaiki rumhtgga ini…saban hari sy berperang dgn perasaan…

     
  88. nur

    22 April 2014 at 2:04 pm

    salam ustaz, sajak di atas sangat menyentuh hati, mohon izin share ya…

     
  89. Nofri Yeni

    25 April 2014 at 9:18 am

    izin share ustaz…

     

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,198 other followers

%d bloggers like this: