RSS

MEMBURU CINTA FATAMORGANA…

07 Jul

Kali ini izinkan saya menulis tentang cinta orang tua. Mungkin ini berguna bukan hanya untuk orang tua, tetapi juga orang muda. Sejak kebelakangan ini  terasa benar usia telah senja. Ketika melihat dan mengurut badan ayah yang telah tua baru-baru ini, saya mudah letih.

Barulah saya sedari bahawa yang mengurut (saya sendiri) rupa-rupanya telah tua. Ya Allah, semakin tawar kemanisan dunia di lidah, mata, telinga dan seluruh panca indera ku. Jemputan untuk pulang mula mengimbau…

Inilah hakikat dunia. Yang halalnya dihisab, yang haramnya diazab. Segalanya bagaikan fatamorgana jika tidak dijadikan ibadah dan dijadikan alat untuk meraih taqwa. Kemanisannya… sebentar cuma.

Bagaikan semalam keremajaan ku yang telah berlalu. Bagaikan sedetik keindahan yang diburu dulu. Ya Allah, kurniakan kami hati yang mudah dibawa kepada MU. Jangan bebankan kami lagi dengan ujian keindahan-keindahan fatamorgana yang telapun menipu kami berulang-ulang kali.

Ya Allah kami menyerah pasrah. Jangan dibiarkan pengawasan dan pemantauan diri ini kepada diri kami sendiri. Jangan, jangan walaupun sekelip mata wahai yang Maha Pengasih. Mungkin tulisan ini akan lebih lama bertahan daripada penulisnya. Entah yang dibaca lebih lama berkekalan daripada pembacanya.

Namun, detik yang ada ini aku ingin berkongsi rasa. Rasa yang datang daripada melihat dan mendengar… Janganlah hendaknya kita  MEMBURU CINTA FATAMORGANA...

 

Kecuali mati dan tua, itu sahaja yang tidak boleh dielakkan oleh manusia. Keduanya pasti datang dalam hidup kita. Semua manusia pasti mati. Tetapi tidak semua manusia berkesempatan mencecah usia tua. Jika dilihat kepada jumlah keseluruhan manusia di dunia, ramai yang muda daripada yang tua. Itu petanda apa? Ya, ramai yang tidak sempat tua, masih muda tetapi sudah mati. Jadi kalau kita sempat tua, bersyukurlah, Allah telah mengurniakan kita nikmat yang jarang diberikan kepada manusia lain.

Walaupun tua, kita tetap punya hati. Dan selagi kita punya hati, selagi itulah ada cinta. Dalam satu hati tidak boleh ada dua cinta, setua mana pun kita pasti ada satu cinta yang bersemi dan mendominasi di dalam hati. Apakah cinta yang seharusnya ada di dalam hati wanita atau lelaki tua? Tentulah cinta Allah. Sebab semakin tua ertinya semakin dekat perjalanan kita menuju Allah. Kematian itu ertinya pulang menemui Allah. Dan itu juga pulang menemui cintanya yang sejati dan abadi.

Justeru, apabila usia telah tua, semua nikmat yang bersifat lahiriah dan fizikal mula dicabut sedikit demi sedikit dan secara beransur-ansur. Nikmat makan, nikmat sihat, nikmat tidur, nikmat melakukan hubungan seks dan lain-lain lagi menjadi semakin menurun. Walaupun cuba dipertahankan dengan ubat, makanan tambahan, rawatan, senaman dan usaha-usaha yang lain, tua tidak dapat dielakkan. Ia hanya dapat diperlahankan. Ini sunnatullah yang tidak dapat diubah-ubah.

Mengapa Allah takdirkan begitu? Tentu ada hikmahnya. Segala kemanisan dan kelazatan dunia mula dicabut perlahan-lahan menjelang usia tua agar manusia beransur-ansur beralih kepada kelazatan rohaniah pada episod-episod terakhirnya dalam hidup. Seolah-olah manusia ‘dipaksa’ menumpukan fokus hatinya untuk mencintai Allah. Semua ‘kesayangan’ kita sudah diambil, maka usah berpaling lagi daripada Allah. Rebut dan nikmati cinta-Nya sebagai bekalan di akhirat nanti.

Apabila kelazatan dunia semakin hambar dan tawar, itu petanda detik berpindah ke akhirat sudah dekat. Sediakan bekalan dengan cepat!

Inilah sudut pandang yang patut ada di dalam setiap hati orang tua. Kita segala-galanya menjauh, datanglah mendekat kepada Allah. Kau tidak ada apa-apa lagi, kuatkan pecutan hati mu menuju Ilahi. Jangan dilalaikan lagi oleh cinta-cinta yang lain.

Namun malang sekali kalau di usia senja masih memburu cinta fatamorgana. Ada yang kembali memburu cinta yang tidak sampai pada usia mudanya dahulu. Sudah beranak, telah bercucu, tetapi hatinya si datuk dan si nenek ini kembali mengimbau nostalgia cinta hampa pada zaman remaja. Dulu kononnya terpisah kerana berbeza darjat, disekat oleh orang tua, berpindah tempat dan sebagainya… lalu masing-masing bertemu dengan jodoh masing-masing. Bercinta, berkahwin, beranak dan bercucu.

Tiba-tiba kekasih lama muncul semula. Mungkin menerusi pertemuan yang tidak disangka dan dijangka. Atau setelah bersungguh-sungguh ‘search’ lewat laman sosial Face Book, Twitter dan sebagainya. Dan cinta berbunga kembali. Uban di kepala si datuk dilihat bagaikan mahkota oleh si nenek. Kedutan wajah si nenek dilihat manis dan memikat oleh si datuk. Lalu berlakulah antara mereka hubungan cinta terlarang. Keduanya jadi mabuk cinta dan ada yang terjerumus ke lembah cinta yang curang dan haram.

Cucu-cucu tidak dihiraukan lagi. Anak-anak terpinggir. Ini semua gara-gara memburu cinta fatamorgana pada usia senja. Nostalgia lama diputar kembali untuk membuahkan realiti masa kini yang penuh cinta. Nenek dan datuk jadi asyik maksyuk. Ah, malu sekali bila mereka mengambil kesempatan ‘berdating’ sewaktu sama-sama menghantar cucu di sekolah atau berbalas-balas pesanan ringkas (sms) secara maraton di tengah malam atau menjelang dinihari.

Sungguh bijak syaitan menipu. Angkara dan strateginya tidak pernah berhenti. Sentiasa kaya dengan inovasi dan kreativiti. Hanya bermodalkan cinta yang ‘dikitar semula’ dia masih memburu untuk menyesatkan manusia. Mata si datuk yang seharusnya sudah merasakan kesejukan wuduk dan ketenangan solat, sudah dilekakan untuk mengerling si nenek kekasih lamanya. Masa untuk menatap al Quran semakin luput apabila asyik berpaut di skrin telefon bimbit untuk membaca ‘ayat-ayat’ cinta yang masih berbisa.

Ini bukan cerita yang diada-adakan. Tetapi cerita yang benar-benar berlaku bahana cinta sumbang pada usia senja. Cucu-cu jadi resah. Anak-anak menggelengkan kepala. Namun, nenek atau datuk ini, tidak menyedarinya atau telah sedar, tetapi kerana cinta semuanya tidak dipedulikan lagi. Memang cinta itu buta… bukan sahaja pada remaja yang matanya masih terang, tetapi juga untuk si tua yang matanya hampir buta!

Dunia menipu. Cinta memperdaya. Apa yang dilihat indah hanyalah umpama fatamorgana. Panas yang membahang disangka air. Lalu kita berebut-rebut mengejarnya. Nampak indah dari jauh, tetapi bila didekati kosong makna, kontang rasa. Begitulah cinta terlarang pada usia senja.

Pada yang mendapatnya (tentu sahaja terpaksa membeli dengan harga yang mahal – yakni dengan meninggalkan isteri, anak-anak dan cucu-cucu), terasa sia-sia. Ah, pesona cinta tetap sama. Jika diburu berdasarkan nafsu percayalah… selagi belum dapat memang indah, tetapi bila sudah dapat, segala-galanya akan pudar. Apa yang diburu akan menjemukan bila sudah dalam genggaman.

Bila terjadi demikian hendak berpatah balik? Ah, air tempayan sudah dicurahkan tetapi guruh yang kedengaran berdentam-dentum sebelumnya, tidak langsung menurunkan hujan seperti yang dijangkakan. Pada waktu itulah jiwa yang lara akan menyebabkan diri menjadi lebih tua daripada sebelumnya. Kaki yang menggeletar yang tidak dirasakan dulu (semasa dilamun cinta) jadi tambah kronik. Langkah jadi capik. Semuanya menjadi kendur dan luntur semula. Paras cinta menurun, paras gula dan kolesterol yang sedia ada pula naik memuncak.

Pada yang muda jangan tersenyum. Ini bukan cerita mereka yang telah tua sahaja tetapi juga untuk anda yang muda. Ingat, kebaikan yang mampu kita lakukan pada usia tua hanyalah momentum yang dibina sejak usia muda. Dan begitulah dengan kejahatan. Siapa yang rajin beramal ibadah sewaktu muda, kerap-kali akan mewarisi tabiat yang baik itu apabila telah tua. Jadi rajinlah dan istiqamahlah dengan membuat kebaikan, mengerjakan solat, membaca al Quran sekarang, agar hati itu terisi… bukan sahaja kini tetapi nanti. Jangan ‘disantau’ oleh cinta fatamorgana pada usia tua.

Bagi remaja yang asyik memburu cinta terlarang sekarang ini, beringat-ingatlah. Jangan kita terpaksa memburu cinta palsu hingga ke akhir hayat. Kita akan diletihkan, ditipu dan dihancurkan oleh cinta itu berkali-kali. Usia muda terbuang, usia tua tersia-sia. Jangan begitu, orang mukmin tidak akan jatuh dalam lubang sama dua kali. Jika anda terus dibuai cinta palsu dan konon ‘bahagia’ dengan itu, insya-Allah anda akan disengat bisa cinta fatamorgana dua kali. Syaitan akan menggunakan senjata yang sama untuk memperdayakan kita kerana di situlah kelemahan yang kita suburkan sejak pada usia remaja lagi. Manusia tidak akan lebih memburu cinta. Itu hakikatnya. Alangkah malangnya jika yang diburu tanpa jemu itu hanya kebatilan?

Jika ditanya, mengapa ada cinta yang sehodoh dan sebodoh ini? Jawabnya mudah, cinta itu mengikut keadaan hati seseorang. Lebah akan menyeri sari pati bunga. Lalat akan menghurung bangkai. Jika hati itu terisi dengan cinta Allah, ia akan mencari dan memburu kebaikan. Tetapi jika hati itu terbiar kosong atau terisi oleh kebatilan, maka ia akan memburu kejahatan.

‘Retua’ yang memburu cinta terlarang adalah mereka yang kosong jiwanya. Di dalam hatinya belum ada kemanisan iman. Lalu ia mencari dan terus mencari. Allah tidak mengumpulkan dua cinta dalam satu hati. Akhirnya kekosongan itu diisi oleh cinta palsu. Bila makanan yang lazat tidak lagi memberangsangkan, bila tidur sudah diganggu insomnia, bila rangsangan naluri seksual tidak bergetar lagi, hati yang kosong akan bertambah kosong. Sunyi, sepi, sayup-sayup ada suara yang berdetak di hati, “ah, rumah kata pergi, kubur kata mari…”

Ah, tidak sudi dia ke sana. Takut dan benci mati. Lalu dalam keadaan terpinga-pinga syaitan membisikkan cinta lama. Ke sana kau, burulah kebahagiaan itu selagi usia masih ada! Lalu dengan mata yang kabur, uban yang bertabur dan tenaga yang sudah mengendur itulah si tua terus memburu cinta dengan keinginan yang membara dan menyala-nyala. Tanpa disedari yang diburunya itu hanyalah tipuan syaitan pada minit-minit terakhir dalam hidupnya!

Bila usia telah tua… ertinya Allah telah memanggil. Bersedialah untuk pergi. Pergi bukan untuk berpisah tetapi untuk bertemu-Nya. Di sana ada cinta yang lebih bahagia dan lebih sempurna. Jangan terkesima lagi dengan cinta fatamorgana!

Antara dua cinta

Apa yang ada jarang disyukuri
Apa yang tiada sering dirisaukan
Nikmat yang dikecap
Baru kan terasa bila hilang
Apa yang diburu timbul rasa jemu
Bila sudah di dalam genggaman

Dunia ibarat air laut
Diminum hanya menambah haus
Nafsu bagaikan fata morgana di padang pasir
Panas yang membahang disangka air
Dunia dan nafsu bagai bayang-bayang
Dilihat ada ditangkap hilang

Tuhan, leraikanlah dunia
Yang mendiam di dalam hati ku
Kerana di situ tidak ku mampu
Mengumpul dua cinta

Hanya cinta Mu yang ku harap tumbuh
Dibajai bangkai dunia yang ku bunuh

 

 
48 Komen

Posted by di 7 Julai 2010 in Kemudi Hati

 

48 responses to “MEMBURU CINTA FATAMORGANA…

  1. Rohayu

    7 Julai 2010 at 10:08 pm

    Salam Ustaz….
    Menarik sekali coretan ustaz ini, di luar sana memang ramai mereka yg memburu Cinta Fatamnorgana ini, tidak mensyukuri apa yg ada.
    Semoga coretan ini dapat dijadikan peringatan kepada diri ini agar tidak memburu Cinta Dunia yg penuh tipu daya…..

     
  2. Taufiq Razif

    7 Julai 2010 at 11:12 pm

    Tiadalah Islam menghalang naluri cinta hati
    melainkan ianya diangkat tinggi
    terarah menuju tingkatan tertinggi dan terpuji
    jauh dari cela dan keji
    seperti cintanya para Nabi
    tatkala bersenandung Kalam Illahi..

     
  3. Murtadha Rafaai

    7 Julai 2010 at 11:23 pm

    Ustaz , terima kasih di atas artikel yang begitu menyedarkan , mohon copy artikel ya ustaz ..=)

     
  4. Musafir Dunia

    8 Julai 2010 at 4:39 am

    Masya’Allah tabarakallah….
    bermakna sungguh buat ingatan kt semua bersama…
    semoga Allah membantu kita semua dalam usaha mencapai redha Allah, Perjalanan Menuju Allah insya’Allah… amin

     
  5. Musafir Dunia

    8 Julai 2010 at 4:40 am

    ustz, mhon izin ana ambil tuk dimuatkan dalam blog ana… syukran ustz mg tersebar manfaatnya buat semua, amin

     
  6. mohd naimul firdaus

    8 Julai 2010 at 6:24 am

    Saya melihat-lihat diri, pada jasad yang sedang memandu kenderaan amal, untuk membawa roh bertemu Tuhan Yang Esa.

    Saya juga merenung-renung diri, pada roh yang selalu diganggu nafsu perosak, akhirnya jasad dan roh sama-sama kecundang.

    SAYA SEORANG HAMBA

    Saya seorang hamba biasa, hina barangkali lebih tepat. Hati dan jiwa saya, selalu cenderung kepada dunia.

    Mata yang tidak ditundukkan daripada memandang para gadis, kadang-kadang membuatkan hati saya bergolak.

    Lidah saya yang tidak bertulang, biasa lancar sahaja mengeluarkan isinya. Yang mengandungi nista itulah yang saya kesali.

    Fikiran saya, keinginan saya, selalu melencong dari-Nya.

    Saya inginkan redha-Nya. Saya juga mahukan rahmat-Nya.

    Tapi, amalan saya, kehidupan saya, entah ke arah mana saya tujukan.

    Saya tak ingin banyak, cukup apabila dikejutkan tidur dan ditanyakan kaifa asbahta, saya dapat menjawab asbahtu a’la fitratil Islami. Pada waktu petang, di dalam bas, jalan-jalan ke dirosah, balik dari jamik Azhar, berdepan laptop, menghadapi makanan, menikmati tidur, saya ingin ini terjelma dalam hidup saya. Asbahtu wa amsaktu a’la fitratil Islami.

    Tuhan, bantulah hamba-Mu ini.

    Bantulah agar gerak badan saya, langkahan kaki saya, hayunan tangan saya, cenderung hati saya, semuanya terarah dengan satu tujuan – Allahu maksudi, wa redha hu matlubi.

    Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus. (surah al-Fatihah ayat 5 dan 6)

     
  7. Max Chempaka

    8 Julai 2010 at 7:57 am

    Subhanallah.. Hebat ustaz..

    Saya hanya mampu mengangguk dalam menghadam erti dan buah pemikiran. Usia yang baru menginjak suku abad, belum mampu secara jernih topik ini..

    Terima kasih ustaz..

    Semoga terus istiqamah di jalanNya =)

     
  8. fathiyyatul amami

    8 Julai 2010 at 8:20 am

    assalamu’alaikum,

    alhamdulillah..terkesan di hati membaca post ini,mudah-mudahan juga dapat dizahirkan melalui amalan.
    trm ksh ustaz..

     
  9. aziah

    8 Julai 2010 at 8:29 am

    Ya Allah..Kau sudahilah aku dengan kesudahan yg baik…bukan dengan pengakhiran yang merugikan aku di Akhirat nanti…

     
  10. syifa aslah

    8 Julai 2010 at 8:43 am

    bingkisan yg amat baik lg bermanfaat..ya Allah, lindungi kami dari fitnah cinta dunia yang sementara..

     
  11. hj.abdullah b. ibrahim

    8 Julai 2010 at 10:24 am

    Sebuah monolog indah dan menginsafi. Kadang-kadang kita terlupa di usia senja temaram kita berada, masih bernostalgia masalalu, ingin meraih kembali hasrat masa remaja yang penuh kenangan indah. Kelakuan masalalu sesekali mendatangi masa tua. Cinta tak akan tua,nafsu tak kenal lesu dan kenangan sentiasa membayang. Terima kasih ustaz dapat merajut kata-kata yang memberi sedar bahawa kita semakin dekat, maka yang lain semakin menjauh , sudah menjadi fatamorgana , tumpulah dan fokuslah kepada yang semakin dekat-menemui NYA.

     
  12. ida

    8 Julai 2010 at 10:48 am

    salam ustz,
    alhamdulillah..syukur sy pada allah kerana masih diberi petunjuk..sedih sy dgn nikmat yg pelahan2 tuhan tarik dr sy kerana di usia muda lagi sy sakit xmacam orang lain yg diberi kesihatan yang baik..tp alhamdulillah dalm keadaan cam ni hati sy sentiasa rindu padaNya..
    Ya Allah, kurniakan kami hati yang mudah dibawa kepada MU..

    ustz..sesekali terfikir xmampu untuk sy kumpul dua cinta selain cinta padaNya..mohon maaf andai tulisan sy sedikit keliru..

     
  13. nik

    8 Julai 2010 at 11:34 am

    amat menarik…
    sesuai untuk dijadikan sbgai peringatan tidak kira peringkat umur!

     
  14. Mohd Nadzri Mustakim

    8 Julai 2010 at 12:10 pm

    Subhanallah…..

    Alhamdulillah allazi hadana lihaza…

    TQ ustaz atas peringatan ini… Gunakan tenaga muda untuk merebut cinta Allah sedari awal…

    Usaha memburu cinta Allah tidak lah lama… hanya sampai mati sahaja. ia hanya sampai mati sahaja. Jika kita mati esok hari, maka pemburuan kita hanya sampai esok. jika kita mati sebentar lagi, maka pemburuan kita hanya sampai sebentar nanti. Nah, tidak lama bukan….

     
  15. Mardhiyyah Shaffie

    8 Julai 2010 at 1:05 pm

    Salam wbt. tahniah diatas post diatas ustaz. dimana boleh sy dptkn buku dimana dia dihatiku ustz?

     
  16. Kaseh

    8 Julai 2010 at 3:01 pm

    salam ustaz….bagus..teruskan lagi dengan bingkisan ilmu yang bermanafaat. mudah2an mendatangkan iktibar buat saya dan para pembaca yg lain.

     
  17. Musdalipah Benajare

    8 Julai 2010 at 4:38 pm

    subahanallah, saya sebenarnya sungguh teruja dengan bait bait kata yang Ustaz tuliskan..penuh bermakna dan menyimpan seribu hikmah. Moga Allah merahmatimu

     
  18. 'Aaliyah

    8 Julai 2010 at 6:49 pm

    Assalamu’alaikum..

    “Jika ditanya, mengapa ada cinta yang sehodoh dan sebodoh ini? Jawabnya mudah, cinta itu mengikut keadaan hati seseorang…”

    Moga Allah bagi kesempatan untuk mampu mencintaiNYA melebihi segalanya..

     
  19. MASLINA MOHAMED

    9 Julai 2010 at 10:01 am

    salam ustaz,

    mmg bagus artikel ini.. moga boleh dijadikan peringatan pada masyarakat kita diluar sana..

     
  20. aimazaki

    9 Julai 2010 at 10:20 am

    “Apabila kelazatan dunia semakin hambar dan tawar, itu petanda detik berpindah ke akhirat sudah dekat..”

    hebat kata-kata ni..menusuk..alangkah btuah andai kte rasai kelazatan dunia yg mkin twr sbg ptanda akhirat mkin dkt. nmun yg kte takuti, kte hanyut dgn kelazatan dunia sehingga ke pnghujung ajal

     
  21. Sarzi

    9 Julai 2010 at 11:32 am

    Bila menyebut , memuji Allah & menselawati Muhammad lebih indah dari menyebut nama yg dikasihi atau dicintai (fatamorgana yg sgt dicintai :- Ibu, ayah, isteri, anak dan harta dunia…..), maka barulah ada cinta yg hakiki. Ya Allah, terlalu jauh perjalanku menuju cintaMu yg sejati……ampunkanlah aku…

     
  22. maya

    9 Julai 2010 at 2:49 pm

    terima kasih ustaz…renungan untuk hati dan jiwa..terutama saya sendiri…hamba yang lemah..kekuasaan Allah mengatasi segalanya..Dia lah perancang yang maha hebat…saya terkesima membaca artikel ini sebab saya sendiri mengalaminya…diusia 38 tahun saya terpedaya dgn cinta fatamorgana ini setelah berjumpa dgn kekasih lama yang juga sudah punya isteri dan 5 anak..kami terpedaya dgn hasutan syaitan..sehingga saya sendiri memohon cerai walau telah punya 4 anak…hanya untuk berkahwin dgn kekasih lama walau sebagai isteri kedua….Allah maha Besar…segalanya ditentukanNya…hajat itu tidak kesampaian dan saya terkapai2 keseorangan dgn tangisan si anak2…kejamnya saya ….kekasih lama tidak sanggup menduakan isterinya dan tidak jua sanggup untuk berpoligami…saya ditinggalkan setelah saya diceraikan…masa ini baru saya sedar Cinta Allah adalah segala2nya…saya beruntung kerana Allah masih menyayangi diri ini….saya kembali ke jalan Allah..saya cari cintaNya..dan kini saya tenang dgn CintaNya…masih belum terlewat….pintu taubat masih terbuka luas…Alhamdulillah..Allah Yang Maha Penyayang….Maha Pengasih..Maha Pengampun…saya bertuah mendapat CintaNya….

     
  23. rosma

    10 Julai 2010 at 11:15 am

    salam ustaz..
    Terima kasih atas artikel yg membina hati..semoga Allah sentiasa memimpin hati ini ke jalan yg diredhaiNYA..

     
  24. Azhar

    12 Julai 2010 at 1:54 pm

    Terima kasih Ustaz. Mohon diletakan di Facebook utk bacaan teman-teman.

     
  25. Hafriz

    12 Julai 2010 at 5:27 pm

    Subhanallah…
    Betapa indahnya Cinta bila dipandu tetap pada CintaNya…

     
  26. Nur

    12 Julai 2010 at 9:36 pm

    kuhayati setiap patah dan baris yang penuh bermakna dan menyedarkan diri. Ustaz telah memanfaatkan kelebihan berbahasa yang diberikan Allah ke jalanNya… terima kasih ustaz…

     
  27. Azharina Ahmad

    12 Julai 2010 at 11:46 pm

    salam ustaz..sungguh benar apa yang ustaz huraikan mengenai cinta di usia senja..cinta fatarmogana..saya diuji ALLAH SWT apabila rumahtangga yang terbina selama 21 tahun goyah apabila suami kembali kepada kekasih lamanya…suami mencari cinta remajanya….saya dan anak-anak terpaksa bangun sendirian…belajar mengubati hati dengan mendekatkan diri kepada Allah Yang Maha Esa..mencari cinta abadi

     
  28. aini

    13 Julai 2010 at 7:18 pm

    assalamualaikum ustaz
    aini suka dengan karya ni, x sangka pujukan syaitan dan hawa nafsu boleh bawa sampai tua,walaupun rumah kata pergi kubur kata mari.aini harap dapat selamat dari godaan dalam hidup ni.amin.

     
  29. ummu hana

    14 Julai 2010 at 8:25 am

    Salam Ust.

    Moga terus diberikan ilham yang baik dari Allah untuk berkongsi ilmu di sini. Mohon copy di blog ana ust.

    Jazakallah

     
  30. naf_qayyma

    14 Julai 2010 at 3:25 pm

    masyaaALLAH ,artikel ustaz benar benar memberi kesan di hati .
    kita ingin mendapat redho ILLAHI tetapi kekadang apa yang diucap tidak sama dengan apa yang dibuat ..

    hanya rahmat NYA …membantu diri untuk tetap teguh…

    semoga ALLAH tetap kan hati ini dalam memburu cinta NYA

     
  31. intan

    15 Julai 2010 at 10:24 am

    salam …. begitu bermakna izin kan saya copy dan paste di blog & FB saya untuk saya sampaikan kpd teman2 saya ye ustaz

     
  32. Eiza

    15 Julai 2010 at 5:07 pm

    Salam ustaz..Tulisan ustaz amat bermanfaat utk di kongsi sebagai panduan dalam kehidupan. Mohon copy untuk saya sebarkan dalam blog agar dapat di kongsi dgn yang lain. Terima kasih.

     
  33. nordiyana

    16 Julai 2010 at 12:08 pm

    Assalamualaikum ustaz..
    Saya baru saja daftar blog ni,byk artikel yg bermanfaat untuk saya baca. Salam perkenalan untuk semua. Harap dapat berkongsi pendapat dengan sahabat2 semua. (^__^)

     
  34. Zayu Hisham

    20 Julai 2010 at 10:15 am

    Ia berikan satu kesedaran buat kita semua. Bersediakah kita?

     
  35. Noris

    22 Julai 2010 at 10:11 am

    Assalamualaikum ustaz..

    “Apabila kelazatan dunia semakin hambar dan tawar, itu petanda detik berpindah ke akhirat sudah dekat..”
    kebetulan sejak 2 mejak nie ada berperasaan begini adakah ini petanda. semuanya sy rasa x maknanya lg hy di alam sana yg ingati hingga x keruan kdg kala sy menangis x tentu masa mengalir airmata wlpun didlm bas di tmpt keje.rasa mcm x cukupmasa.. semoga sy tetap dijlnNYA.

     
  36. nurkhaira

    22 Julai 2010 at 3:57 pm

    Salam..
    tenang bila membaca coretan ustaz….memang terkesan di hati…
    semoga ini dapat menjadi ingatan kepada diri dan org lain…

     
  37. Salina Saleh

    23 Julai 2010 at 1:42 pm

    Assalamualaikum Ustaz..

    Saya meminati tulisan ustaz, byk pengajaran yang boleh diteladani dan menimbulkan keinsafan dlam diri saya tentang segala aspek tentang kehidupan..saya mencari buku tulisan Ustaz yang bertajuk Dimana DIA DIHatiku tetapi tidak pernah jumpa..

     
  38. Salina Saleh

    23 Julai 2010 at 1:45 pm

    dimana saya boleh dpatkan buku ustaz itu??harap mendapat balasan..

     
  39. gentarasa

    25 Julai 2010 at 7:01 am

    Salam Salina,
    Tolong hubungi sahabat saya en Mat di no 0193783100. Insya-Allah, dia akan respons. Syukran atas sokongan.

     
  40. gentarasa

    25 Julai 2010 at 7:03 am

    Salam Salina,
    Sila cal Kak Wan di no 0192557380. Syukran.

     
  41. paeh

    25 Julai 2010 at 7:59 pm

    bgaimana nk hasilkan lirik seindah tu

     
  42. nadia adli hamdi

    26 Julai 2010 at 5:06 pm

    Alhamdulillah atas sharing ilmu ustaz, mohon izin dari ustaz uk letakkan dlm fb saya utk tatapan semua, moga ada kebaikannya…aamin….

     
  43. ummi

    27 Julai 2010 at 1:52 pm

    masyaALLAH . Jauhkan hamba Mu ini dari kesesatan ini. Bukan sahaj di usia senja ini memburu cinta kekasih lama tetapi sama2 menyulam dan menyusun kata-kata cinta antara hubungan anak angkat dengan kekasih. inilah yg berlaku di depan mata. si nenek ‘sibuk’ melayan ‘ank angkat kesayangan dan kekasihnya higga suami yg uzur dan ank2, menantu menanggis lihat gelagat. kemesraan & kasih sayang yg dulu hilang diragut oleh ank angkt pempuan sejak hubungan terjalin 5 tahun hingga kini. si nenek asyik ‘sms’ siang malam pagi petng. sambil mendalami ilmu agama diselang seli dgn ber’sms’. pempuan dgn pempuan x kan cemburu itu yg dikatakan bila ditegur sisuami. apa kn tidak. ank angkat dtg ke rumah disambut dgn riang, dijamu makan kegemaran, disuap, dibelai, gelak ketawa, tidur sekatil berpeluk, berpeganga tgn. Ya Allah apa yg terjadi ni. apa silap n salah si suami, si anak. Ya ALLAH ampunkan dosa si nenek ni berikanlah hidayah dan tunjukkan kebenaran kepadanya. Amiin.

    Ustz coretan ini memberi renungan dan ingatn kpd saya. Mohon saya copy untuk dikirim kpd si nenek untuk menyedarkannya.

     
  44. ibunisa

    11 Ogos 2010 at 9:20 am

    alhamdulilah pengisian cukup bermakna, perkara yg byk terjadi hari ini akibat kecangihan teknologi yg tidak dimanafaatkan ke jalan yg betul, manusia terkejut dengan kecangihan teknologi yg membuatkannya alpa dan leka..bukan isteri, anak n cucu dipinggirkan hatta allah juga dilupakan..lalai solat, mmasjid yg dulu dekat kini semakin jauh dari diri dek kealpaan cinta fatmorgana..alam maya

     
  45. gentarasa

    11 Ogos 2010 at 10:53 am

    Salam ibunisa,
    Hati yang bersih sahaja dapat menguasai teknologi canggih. Jika tidak, kita akan dikuasai.

     
  46. atul

    26 Ogos 2010 at 12:17 am

    salam ustaz…mohon copy utk tatapan rakan seperjuangan..
    syukran ustaz

     
  47. kesidang

    7 Mac 2011 at 10:14 am

    saya bersyukur kerana tanpa sengaja membuka blog ini ..
    ternyata Allah swt sayang pada umatnya .. saya sedang berusaha menghapuskan cinta fatamorgana .. saya insan yang lemah .. doakan saya ….

     
  48. kesidang

    1 April 2011 at 8:03 pm

    salam,

    dan saya juga bersyukur kerana digerakkan Allah membuka lembaran ini dan mendapati….
    namamu sama dengan namaku…
    yeah…
    semoga Allah sentiasa menaungi kita semua dengan cintaNya
    agar kita selamat dunia akhirat….amiiin…

     

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,197 other followers

%d bloggers like this: