Looking for Something?

APA YANG TELAH DIBERI VS DENGAN APA YANG DIPINTA

Author:

Tidak kira sama ada doa itu dalam keadaan terdesak atau semata-mata menunaikan kewajipan, setiap doa pasti Allah beri perhatian. Allah berfirman yang bermaksud: “Berdoalah kepada-Ku nescaya aku (Allah) akan perkenankan.” (Surah Ghafir : 60 )

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Tuhanmu yang Maha Suci lagi Maha Tinggi itu pemalu lagi mulia. Dia malu terhadap hamba-hamba-Nya yang mengangkat tangan berdoa, tiba-tiba tidak diberi oleh-Nya akan permintaan itu.” (Riwayat al-Tirmizi no. 3556 dan Abu Daud no. 1448)

Lihat betapa hebatnya sifat Pemurah dan Pengasih Allah, Dia bukan sahaja memerintahkan kita berdoa, malah Dia mengajar apa yang patut kita doakan dan bagaimanakah caranya kita harus berdoa. Tidak cukup sekadar itu, Allah berjanji untuk mempertimbangkan doa-doa itu. Sebuah syair mengungkapkan hakikat ini dengan begitu indah sekali:
“Allah s.w.t. murka jika engkau tidak memohon kepada-Nya.
Sebaliknya manusia murka apabila kau sering minta kepadanya.”

Berdoa itu satu langkah yang produktif. Bahkan menurut pandangan ulama tasawuf, apabila Allah telah ringankan lidah seseorang hamba-Nya untuk berdoa, itu petanda Allah telah memberi lampu hijau untuk memperkenankan doa itu. Kata Imam Ibn Ataillah: “Tatkala Allah membukakan mulut anda dengan bermohon kepada-Nya maka ketahuilah, sesungguhnya Allah berkehendakkan doa anda diperkenankan.”

Yakinlah bahawa apabila Allah mengilhamkan kepada hati kita untuk berdoa, maka sudah tentu Allah akan memperkenankan doa kita itu. Tetapi jika Allah tidak berkehendak memperkenankan sesuatu doa, maka sudah tentu Dia tidak mengilhamkan kepada hati kita ke arah itu.

Bukan mudah bagi seorang hamba Allah mengerakkan hati dan lidahnya untuk berdoa jika tidak kerana taufik dan hidayah Allah. Apabila hati dilembutkan untuk berdoa, bererti seseorang itu telah berasa kefakirannya di hadapan Allah. Apabila kita sudah benar-benar berhajat kepada-Nya, maka Allah pasti tidak akan mengecewakan hajat kita itu.  

Sebenarnya doa itu sendiri merupakan satu kurnia daripada Allah. Malah doa itu adalah modal asas yang memungkinkan seseorang itu menerima kurnia-kurnia Allah selanjutnya. Malangnya, orang yang mengetahui hakikat ini tidak ramai dalam kalangan kita. Firman Allah yang bermaksud:
“Apakah ada siapakah yang memperkenankan doa orang yang dalam kesulitan apabila dia berdoa, dan menghilangkan keburukan dan menjadikan kamu sebagai khalifah di bumi? Apakah ada di samping Allah tuhan yang lain? Terlalu amat sedikit apa yang dapat kamu mengingati.” (Surah al-Naml 27: 62)

Hamba Allah yang benar-benar mengenal Allah (arif billah) dapat rasakan apabila seseorang itu diizinkan Allah untuk mengucapkan doa (ada sesetengah orang dikelukan lidah lalu tidak boleh berdoa) adalah lebih berharga daripada termakbulnya doa itu. Hal ini kerana seorang yang berdoa itu hakikatnya sedang berdialog dengan Allah. Bagi mereka, ini adalah satu anugerah Allah yang lebih bernilai berbanding apa yang diperoleh daripada doanya. Bukankah Pemberi hadiah itu lebih patut kita hormati dan kasihi daripada hadiah yang diberikan-Nya?

Mungkin ada yang bertanya apakah benar Allah akan memperkenankan setiap doa hamba-hamba-Nya? Jawabnya, ya jika apa yang kita ajukan itu doa yang benar dan elok. Dalam hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa antara kamu yang dibukakan pintu hatinya supaya berdoa, nescaya Allah bukakan padanya pintu-pintu rahmat. Dan tidak ada doa yang dipohon itu yang lebih disukai Allah selain daripada memohon kemaafan (keselamatan di dunia dan akhirat).” (Riwayat al-Tarmizi no 3548)

Jelas di sini, doa yang dimaksudkan itu mempunyai ciri-cirinya. Antara ciri-ciri doa yang baik ialah isinya mestilah ke arah memohon kemaafan dosa dan kesalahan terhadap Allah. Rentetan daripada itu mereka pasti berdoa akan keselamatan diri dan orang lain, bukan permusuhan dan kekacauan). Dan yang paling penting, berdoa dalam keadaan merendah diri dan penuh harapan.

Oleh sebab itu, janganlah berdoa dalam keadaan terlalu mendesak dan memaksa Allah. Itu bukan sifat seorang hamba yang baik. Untuk mengatasi sikap ini tanamkanlah ke dalam jiwa satu keyakinan bahawa nikmat yang telah Allah berikan adalah lebih banyak dan lebih bernilai daripada apa yang sedang kita minta dalam doa kita itu.

Cara Allah Makbulkan Doa

Bagaimanakah cara Allah memakbulkan doa hamba-hamba-Nya? Ini memerlukan penjelasan yang tersirat dan maknawi. Sesungguhnya akal kita yang terbatas tidak akan dapat menjangkau ilmu Allah yang Maha Luas. Fahaman kita tentang makbulnya sesuatu doa mungkin hanya mampu menyingkap selapis daripada kenyataan itu, tetapi di sisi Allah punyai makna dan tafsiran yang berlapis-lapis.

Untuk menyingkap rahsia itulah Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: “Tidaklah seorang yang berdoa kepada Allah dengan doa kecuali Allah akan memberikan kepadanya, sama ada dengan dikabulkan segera di dunia lagi. Atau disimpankan untuknya kebaikan di akhirat atau ditutupkan (kifarat) dosanya setakat doanya selama dia tidak doakan unsur-unsur dosa, memutuskan silaturahim atau mohon disegerakan. Maka sahabat berkata: “Ya Rasulullah bagaimana doa minta segera itu? Baginda berkata; seseorang itu berdoa, aku berdoa tuhanku, maka perkenanlah segera.” (kata Abu Isa hadis ini gharib, sunan Al-Tarmizi, 3968)

Melalui hadis ini para ulama telah merumuskan bahawa doa itu dikabulkan menerusi pelbagai kaedah dan keadaan. Antaranya termasuk:

1. Doa Itu Dikabulkan Serta-Merta

Kebanyakan doa yang diajukan oleh para rasul dan nabi dikabulkan serta-merta. Doa Rasulullah s.a.w. menjelang perang Badar misalnya, dikabulkan oleh Allah serta-merta. Begitu juga doa Ibn Abbas r.a. ketika meminta hujan semasa umat Islam dilanda kemarau yang dahsyat. Belum pun sempat Ibn Abbas meletakkan tangannya ke bawah, hujan telah turun mencurah-curah.

Begitulah juga dengan cerita bagaimana tiga orang pemuda yang berdoa dengan wasilah amal masing-masing apabila terperangkap dalam sebuah gua seperti yang diberitakan dalam sebuah hadis yang panjang lagi masyhur. Pintu gua itu tergerak (membuka ruang) serta-merta setiap kali salah orang mereka selesai berdoa. Inilah bukti jaminan Allah melalui firman-nya yang bermaksud: “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka beritahulah mereka sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir kepada mereka. Aku memperkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku.” (Surah al-Baqarah 2: 186)

2. Dikabulkan pada Waktu Lain

Acap kali juga sesuatu doa walaupun baik, dan datang daripada orang yang baik, pada waktu yang baik, tetapi Allah tangguhkan ke waktu lain. Hal ini kerana Allah sayangkan hamba-Nya itu. Allah sengaja berbuat demikian bagi mengujinya sehingga seorang hamba itu bersedia untuk menerima nikmat-nikmat-Nya. Misalnya, Allah kurniakan kekayaan apabila hati seorang hamba telah ada rasa syukur kerana memberikannya sebelum itu akan menjadikan seseorang itu kufur. Allah kurniakan kekuasaan setelah ada dalam hati seseorang ada rasa tawaduk dan sifat adil, supaya dia boleh menjadi pemerintah yang baik apabila sudah berkuasa.

Jika tidak bersedia, dibimbangkan nikmat itu boleh bertukar menjadi bala. Itulah yang disebut “istidraj” – yakni pemberian Allah yang merupakan satu kutukan dan memudaratkan untuk iman dan Islam seseorang yang derhaka kepada-Nya. Oleh sebab itu, sering kali juga Allah menahan pemberian-Nya kerana kasih sayang-Nya terhadap seseorang. Inilah yang dinukilkan oleh Prof Dr. K.H. Muhibbuddin Waly dalam bukunya Hakikat Hikmah Tauhid dan Tasawuf: “Sebab kadang-kadang Allah memperlambat dalam memperkenankan doa mereka kerana Allah sangat sayang dan cinta mendengar suara doa yang selalu diucapkan oleh hamba-Nya itu kepada-Nya.”

3. Menghindarkan Bahaya

Doa kita kadang-kadang dikabulkan Allah dengan dihindarkan daripada bahaya yang mungkin datang. Kita tidak tahu apa bahaya yang ada di hadapan, lalu Allah datangkan halangan. Boleh jadi kita akan ditimpa penyakit yang kronik, mengalami kemalangan jalan raya, difitnah atau sebagainya. Namun dengan doa yang kita panjatkan kepada Allah, Allah selamatkan kita sebagai ganti apa yang didoakan.

Hakikat ini sangat sulit untuk difahami kerana ditunaikan tanpa sedar. Mengapa? Yalah, kita minta yang lain, tetapi Allah berikan sesuatu yang lain. Namun yang lain itu lebih besar dan bernilai ertinya berbanding apa yang kita minta. Misalnya, kita minta kejayaan dalam perniagaan, sebaliknya Allah hindarkan kita daripada penyakit-penyakit kronik. Bukankah itu sesuatu yang lebih baik?

Ingatlah apa yang Allah tegaskan menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Difardukan kamu peperangan padahal kamu membencinya, boleh jadi ada yang kamu benci baik untuk kamu, dan boleh jadi apa yang kamu sukai tetapi itu mungkin membawa mudarat bagi kamu. Allah lebih mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Surah al Baqarah 2: 216)

4. Allah Berikan Sesuatu yang Lebih Baik di Akhirat

Hidup di dunia cuma sementara. Akhirat itu yang lebih baik dan lebih kekal. Firman Allah, mafhumnya: “Dan akhirat lebih baik dan kekal.” (Surah al-A‘la 87: 17) Beruntunglah jika kita mendapat sesuatu kurnia di akhirat berbanding kurnia di dunia ini.

Sebagai perbandingan, sehelai rumput di syurga adalah lebih baik daripada sebutir mutiara di dunia. Kenapa? Kerana rumput di syurga itu lebih kekal berbanding sebutir mutiara di dunia. Itu baru sehelai rumput, bayangkan sebutir mutiara di syurga. Ia sesungguhnya, bukan sahaja lebih kekal malah lebih bernilai daripada sebutir mutiara di dunia.

Orang yang berdoa dan doanya tidak dikabulkan di dunia, akan dikabulkan doa itu di akhirat kelak, insya-Allah. Doa yang dikabulkan di akhirat itu sesungguhnya lebih baik dan kekal daripada dikabulkan di dunia lagi. Kadang-kadang Allah menahan kekayaan yang kita pinta di dunia kerana Allah hendak memberikan kita kekayaan di akhirat. Kekayaan di akhirat bererti syurga.

Menyedari hakikat ini, seharusnya kita tidak akan jemu berdoa dan tidak akan berputus asa hanya kerana doa kita belum ataupun tidak dikabulkan di dunia. Kita tahu doa itu akan menjadi “saham akhirat”. Oleh sebab itu, keyakinan kepada hari akhirat sangat penting ketika kita berdoa di dunia ini. Bagi orang yang yakin akan kehidupan di akhirat, mereka akan terus-terusan berdoa sekalipun doa mereka seolah-olah tidak dikabulkan di dunia ini.

Banyak doa-doa yang diajarkan oleh Allah kepada kita, manfaatnya untuk hari akhirat. Doa minta dimatikan dengan iman, masuk ke dalam syurga dengan iman, terhindar daripada api neraka, minta dibangkitkan dalam keadaan bersama-sama orang yang membuat kebaikan dan jangan ditempatkan bersama-sama orang yang zalim. Misalnya, Allah menganjurkan kita berdoa dengan doa ini: “Ya tuhan kami, berilah keampunan bagiku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang Mukmin pada hari terjadinya hisab (hari kiamat).” (Surah Ibrahim 14: 41)

5. Dijadikan Kifarat kepada Dosa-Dosa

Manusia sentiasa berdosa kepada Allah sama ada yang disengajakan atau tidak disengajakan. Dosa adalah pendinding untuk kita mendapat bantuan, keampunan dan kasih sayang Allah. Kita mengharapkan dosa itu diampunkan dengan taubat. Dan untuk itu kita diwajibkan untuk bertaubat atas dosa-dosa yang kita sedari.

Namun, apakah jaminan taubat kita telah diterima sekalipun telah menempuh syarat-syaratnya? Dan bagaimana pula dosa yang kita lakukan tanpa kita sedari? Itu lebih sukar diatasi. Mana mungkin kita bertaubat atas dosa-dosa yang kita rasa kita tidak melakukannya? Maka di sinilah peranan doa-doa yang kita panjatkan kepada Allah s.w.t. Doa-doa itu menjadi sebab untuk dosa-dosa kita itu diampunkan walaupun bukan itu yang kita pohon daripada Allah s.w.t.

Orang yang berdoa kepada Allah, sentiasa disayangi-Nya. Tanda sayang Allah kepadanya ialah mengampunkan dosa-dosa orang itu walaupun dia tidak meminta ampun. Inilah kehebatan dan kebesaran sifat al-Afu (Yang Maha Pemaaf) dan al-Ghaffar (Yang Maha Mengampuni) Allah s.w.t. Salah satunya ialah Dia mengampunkan dosa-dosa hamba-Nya walaupun hamba yang berdoa itu tidak meminta ampun.

ADAB BERDOA

Walau bagaimanapun doa yang dipanjatkan masih tetap ada adab dan syarat-syaratnya. Selain adab-adab lahiriah, seperti menghadap kiblat, berwuduk (lihat adab-adab berdoa seperti yang dinyatakan), ada lagi adab batin (soal hati) yang lebih utama dilaksanakan. Antaranya termasuk:

i) Berdoa dengan penuh keyakinan

Hendaklah berdoa dengan penuh keyakinan bahawa doa itu akan dikabulkan. Jangan ada rasa ragu, syak dan waham (waswas) waktu berdoa kerana Allah tidak akan mengabulkan doa orang yang dalam hatinya berbolak-balik antara percaya dan tidak akan doanya diperkenankan. Jadi, sangka baik (husn zan) terhadap Allah itu penting apabila kita berdoa.

Bagaimana membina keyakinan dalam doa? Tentulah ini bersumberkan keyakinan kita kepada Allah s.w.t. Oleh sebab itu, kita terlebih dahulu mestilah mengenali sifat-sifat dan asma’ (nama-nama) Allah s.w.t.

Antara sifat Allah ialah al-Rahman, al-Rahim, al-Wahhab, al-Ghani, al-Razzaq, al-Afu, al-Ghaffar, al-Salam dan lain-lain lagi, pasti akan timbul keyakinan semasa berdoa. Apabila sudah kenal sifatnya, barulah kita boleh memohon kepada Allah dengan penuh yakin. Sebagai contoh yang paling mudah, apabila kita yakin seseorang itu pemurah, tentu kita yakin bahawa dia akan melayan permintaan kita. Apabila kita yakin seseorang itu kaya-raya, maka kita yakin dia mampu memberikan apa yang kita minta.

Oleh sebab itu, kita dianjurkan berdoa dengan menggunakan Asma’ al-Husna (nama-nama Allah yang baik) mengikut keperluan doa itu. Firman Allah yang bermaksud:
“Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah dan berdoalah kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu.” (Surah al-A‘raf 7: 180)

Satu cara lain untuk menambah keyakinan kita dalam berdoa adalah iringilah doa itu dengan usaha dan persediaan yang baik. Keyakinan juga dibina oleh persiapan. Apabila kita berdoa minta kesihatan, usaha dan persediaan kita juga selaras ke arah itu, maka keyakinan diri kita akan meningkat. Ya, doa yang digandingkan dengan usaha akan meningkatkan lagi tahap harapan dan harapan yang tinggi itulah yang akan membuahkan keyakinan.

ii) Jangan Berdoa Sesuatu yang Membawa Permusuhan dan Dosa

Doa yang buruk hakikatnya bukan doa. Doa yang berpaksikan permusuhan tidak akan dimakbulkan Allah. Oleh sebab itu berhati-hatilah agar tidak berdoa dengan hati yang kotor. Jangan kita ajukan kepada Allah sesuatu yang berbentuk dosa dan kefasiqan. Doa hanyalah untuk yang baik-baik dan dengan tujuan yang baik-baik pula.

Begitu juga berdoa untuk menang dalam pertaruhan (judi), berjaya dalam pertandingan yang dalamnya ada perbuatan mendedahkan aurat dan pergaulan bebas, kaya dengan perniagaan yang berunsur riba, berkuasa melalui kaedah yang kotor dan fitnah serta lain-lain bentuk kemungkaran yang seumpamanya adalah dilarang dan tidak akan dikabulkan. Kita juga tidak dibolehkan mendoakan sesuatu yang boleh memutuskan ikatan silaturahim sesama Islam.

iii) Jangan Berdoa Tanpa Bertahmid dan Berselawat

Ulama ada menjelaskan bahawa sesuatu doa itu tidak akan dikabulkan tanpa bertahmid (memuji) kepada Allah dan berselawat kepada Nabi Muhammad s.a.w. Kedua-dua faktor ini sangat penting untuk melahirkan rasa bersyukur dan berterima kasih kepada Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. Tanpa rasa syukur, sukar doa kita itu didengari dan seterusnya diperkenankan oleh Allah s.w.t.

Bayangkan jika seseorang meminta tambahan atas nikmat yang sedia ada, dia mestilah menunjukkan rasa berterima kasih atas nikmat yang telah diberikan itu terlebih dahulu. Rasa syukur itulah yang akan menggamit turunnya nikmat yang baru. Firman Allah yang bermaksud: “Jika kamu bersyukur nescaya kami akan tambahkan nikmat-nikmat Kami. Dan sebaliknya jika kamu kufur, azab Allah amat pedih.” (Surah Ibrahim 14: 7)

Dengan bertahmid, kita menyatakan syukur kepada Allah. Dengan berselawat kita mengucapkan terima kasih kepada insan yang paling banyak berjasa kepada kita yakni Nabi Muhammad s.a.w. Hanya setelah bersyukur, Allah yang bersifat al-Wahhab (Maha Pemberi) akan menambahkan lagi nikmat-nikmat-Nya. Benarlah seperti yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. melalui sabdanya yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak bersyukur dengan yang sedikit, tidak akan bersyukur dengan yang banyak.”

Itulah tiga sebab mengapa doa terhijab. Dalam konteks yang sama, apa yang dinyatakan oleh Ibrahim bin Adham (seorang ahli tasawuf) tentang punca-punca doa terhijab sangat perlu dijadikan renungan. Namun, walau apapun keadaan kita, sama ada dalam keadaan taat atau derhaka, dalam keadaan senang ataupun susah, doa mesti terus dipanjatkan. Makbul atau tidak itu soal kedua. Yang paling utama adalah jangan sekali-kali berputus asa untuk terus berdoa kepada Allah s.w.t.

Dan jangan sekali lupa, apa yang telah Allah berikan kepada kita sebenarnya lebih banyak daripada apa yang sedang kita minta (doa).

Feedback

52
  • Mohd Nadzri Mustakim

    Ya Allah… nikmatMu tak terhingga banyaknya… Malu aku jika tidak meminta padaMu. Hanya redhaMu yang aku cari… Ampunilah kami Ya Allah.

  • Hafriz

    Salam ustaz…

    ya Allahu Rabbi, rupa-rupanya selama ini saya hanya bersikap mendesak dan memaksa…berbanding meminta perkara yang sepatutnya dipinta.
    ampunkanlah khilafku ini ya Allah…

  • habibah al-farisi

    doa senjata mukmin(^^)

  • rdze

    saya jadi malu…syukran ustaz….

  • Matahariku

    Salam Ustaz..

    Ana mintak izin nak copi masuk fb..

  • Iman

    Salam, TQ ustaz atas entri ni….Tiap2 kali bila diri ini mula nak mengeluh kerana hajat yg dipinta belum lagi dimakbulkan cepat2 motivasikan diri….YA ALLAH…..AKU TAK AKAN PUTUS ASA…keep praying ; )

  • petugas_krim

    mohon dicopy…

  • syifa aslah

    slm..ustz..mohon pndgn ustz, kdg2 apa yg kita minta lain yg Allah kurnia..pasti pilihan dan anugerahNYA adalah leih baikkan?

  • Kaseh

    Salam Ustaz,
    Hasil penulisan yang hebat, sesuai untuk santapan rohani yang serba kekurangan ini. Tahniah ustaz

  • Sarzi

    Apa selayaknya permintaan seorang abdi pada tuannya…apa selayaknya permintaan hamba pada Tuhannya….melainkan belas rahimNya.

  • basim

    hasil penulisan yang baik untuk pemuda2 yg lalai mcm saya..

    Ya Allah..pandanglah kami dgn pndgan rahmatMu dan pndangan kasihMu..pimpinlah kami jalan bahagia..amin..

  • anasyahidah

    Salam ustad,

    Terima kasih ustad hasil nukilan kali nie…ana akan terus berdoa sbg insan yg iginkan keredhaan ALLAH S.W.T…byk nikmat yg telah ALLAH kurniakan selama saya di dalam perut ibu hingga sekarang…Alhamdulillah…

  • Bawang Goreng

    Salam tuan,

    Jika kita zikir istighfar (Astaghfirullah al’azzim al-lazi laa ila ha illa huwal hayyul qayyum wa aatubu ilaik), adakah ia juga satu doa (minta ampun)?

  • nurshariza

    terime kasih banyak2 ustaz.. (:

    assalamualaikum

  • ummu rafiq raihanah

    salam ustaz…

    Benar ustaz, hanya dgn ketaqwaan yang tinggi dan keyakinan yang teguh pada janji2 Allah, kita pasti tidak akan berputus asa. Akan terus berusaha dan berdoa. Pasti Allah makbulkan doa2 kita, jika tidak sekarang, nanti, jika tidak di sini, di sana, akhirat yang abadi.
    Hanya Allah yang Maha Rahman, Maha Rahim, Maha Tahu dan Maha Mampu.

    Wassalam

  • jauzy

    Da’i yang lidahnya kelu akan menjadi pengarang cerita yang penuh dengan mutiara-mutiara sastera yang menawan hati manusia, sebagaimana yang dicatat oleh Abdul Qadir Jailani dalam perkataannya,’bersikap baiklah pada waktu sembunyi-sembunyi, maka akan fasih pada waktu terang-terangan’.Tahniah ustaz, entri yang sangat mendalam.Merungkai indahnya tawakkal hamba kepada Maha Pencipta.

  • Scha

    Benar sungguh…. Tiap-tiap hari kita berdoa kerana itu kelaziman selepas solat… tp mmg ada satu-satu masa yang terasa benar perasaan semasa berdoa tu terlalu kuat, ayat tersusun lebih cantik dan dada terus sebak serta-merta… Dan lepas doa terus rasa lega dan sangat tenang….

  • kakzaa

    ya allah..
    saya selalu lalai…

  • Kak Nisha

    Assalamualaikum ustaz,

    Saya ambil sedikit petikan dari tulisan ini. Izinkan saya.

    Terima kasih.

  • mashitah

    alhamdulillah sbb berkesempatan baca artikel ini..
    rupanya byknya kesilapan ketika berdoa..
    meminta dari Allah tapi adab2nya tidak dipatuhi..
    terasa jahilnya diri ini..
    moga saat ini lebih baik dari semalam..amin..

  • gentarasa

    Salam mashitah,
    Kita sentiasa belajar untuk memperbaiki diri. Insya-Allah, akan Allah berkati. Aimin.

  • gentarasa

    Salam,
    Silakan Kak Nisha.

  • gentarasa

    Salam,
    Semua kita selalu lalai. Justeru, kita selalu diperingatkan.

  • gentarasa

    Salam,
    Saya pernah dengar dariapada seorang sahabat… itu petanda, Allah telah respons dengan doa kita. Wallahua’lam.

  • gentarasa

    Salam,
    Subahanallah… kata-kata mu benar dan indah sekali. Semoga kita diizinkan mengamalkannya setelah dizinkan membacanya. Amin ya Rabb.

  • gentarasa

    Salam,
    Begitulah ummu. Kita hanya hamba… yang perlukanNya. Justeru, kita meminta… sentiasa!

  • gentarasa

    Salam,
    Ya… ya… itu doa minta taubat dan kekuatan jiwa dalam menghadapi hidup. Doakan saya juga.

  • aaris

    Salam Ustaz,

    Sekadar pandangan untuk memudahkan perkongsian article ke Facebook. Harap Ustaz add feature ‘share ke FB’ di blog ini. 🙂

  • armadrafar

    semoga kita menjadi hamba yang sentiasa bersyukur
    dengan nikmat yang diberi…

    http://www.pakarebook.com/index.php?ref=chearmad

  • raudhah

    Salam ustaz, bagaimana nak jadi follower kat gentarasa ni? boleh ke saya nak share entri ni (entri2 lain yg berkenan di hati juga) kat blog saya? jgn risau, saya akan link kan URL blog ustaz kat blog saya sbg tanda penghargaan. Semoga rahmat Allah mengiringimu sentiasa.Hehehhe..thanks ustaz.

  • suda

    salam…
    artikel yg menarik utk renungan semua…
    minta izin ustaz utk dikongsi petikan artikel ini dalam blog saya yer…

  • naf_qayyma

    Asslamualaikum

    sama sama kita yakini …kekadang kita meminta sesuatu yang belum tentu kita tahu terbaik buat kita…Hanya ALLAH yang tahu apa yang terbaik buat hambaNYA.

    kita diberi sesuatu yang kita tidak suka…tetapi lihatlah sisi positif darinya..mungkin di situ kita belajar untuk menerima sesuatu di luar batasan kita dengan redho hati..

    bahkan untuk kita menurunkan rasa keegoaan MAHUPUN sifat sifat mazmumah yang pernah menyandang hati ..

  • atul

    salam…
    ustaz,mohon copy utk perkongsian dgn rakan usrah…
    syukran

  • Eiza

    Salam..
    Minta izin tuan untuk share this artikel di blog saya.
    Terima kasih. Sharing is caring.

  • gentarasa

    Salam Eiza,
    Silakan.

  • gentarasa

    Salam,
    Tahniah kerana memanjangkan kebaikan. Insya-Allah.

  • gentarasa

    Salam naf,
    Benar apa yang anda katakan. Syukran atas tambahan peringatan.

  • umatnabi

    Salam ustaz..
    Mohon copy dalam fb ya..
    Barakallahufik

  • Rindu

    Allah memberi berdasarkan apa yang kita butuhkan … SETUJU, jika demikian maka tidak ada doa yang tidak dikabulkan ALLAH.

  • kokmi

    Assalamu’alaikum,

    dah selalu sangat kita ni minta yg bukan2 dariNya, walhal tanpa kita sedar, Allah dah bagi lebih dari apa yg kita minta malah selalu minta nak ‘direct’ je, tanpa kita sedar Allah bagi kita nikmatnya melalui pelbagai cara (suprise!!!!!) tanpa kita menyedarinya…romantikkan?? tapi kita sedar tak semua tu? saya jadi malu, Dia memberi tanpa pernah jemu, senantiasa menghulurkan tanganNya untuk memberi pertolongan & memenuhi permintaan hamba2Nya, sedarkah kita saat Dia menghulurkan bantuanNya?? semoga kita sama2 bermuhasabah agar bertambah nilan iman kita, insyaAllah. Wa’allahualam.

  • zurina md.noor

    assalmualikum ustaz.. saya dah mula terpikat dengan blog ni.Insyaallah saya akan jadikan panduan dalam hidup untuk memperbaiki diri ke arah yang lebih baik. Benar dan yakinlah Allah Maha Mendengar permintaan hambanya…amalkanlah selalu…ucapan ~ terima kasih ya Allah~. Isnyaallah hidup menjadi lebih tenang.

  • Amaini Taib

    Assalamualaikum Ustaz

    article yg bermenfaat… izinkan sya copy paste nak anta kt kawan2 di grup2 yg len.. insyaallah..

  • annirah

    Assalamualaikum ustaz..

    Satu pengisian hati yg baik untuk hati-hati yg sering lalai. Sekadar mohon pendapat. Bagaiman kalau kita rasa tidak mampu untuk berdepan dengan apa yang kita pinta sewaktu Allah telah benar2 memperkenan apa yang kita pinta??

  • asharina

    ya Allah…Alhamdulillahh krn di pertemukn dgn artikel ni….rase tenang hati….alhamdulillah…

  • Munirah

    rasa benar2 bermanfaat ilmu ini…dan ape yg dikongsi mmg serius terjadi pada diri yg khilaf ini… ketika ati hendak berdoa, namun lidah menjadi kelu…mengapa?.. adakah kerana melakukan dosa2 besar, atau kerana Allah murka pada saya…
    rasa sedih, rendah diri terutama sesudah solat, bagaimana hendak konsistenkanya….???

  • maiia

    ea ampun.. berarti sya bnar2 dlam keadaan slah. sya berdoa sperti memaksa krena doa saya blund terkbul dan saya jg ragu dg dkbulknny doa tsb, astgfrallh

  • Jubaidah

    Salam Ustaz…minta izin untuk copy n share ya…

  • liyana

    assalamualaikum, ustaz..

    saya sangat suka dengan penulisan ustaz..alhamdulillah,banyak ilmu yang saya perolehi..

    di sini, saya mencadangkan agar diletakkan button ‘Share This On Facebook’.. jadi, kita boleh share apa yang kita baca dgn kawan2..dengan ini, secara tidak langsung boleh menarik minat lebih ramai pengguna facebook terutamanya remaja untuk membaca penulisan2 sebegini..

    sekadar pandangan.. 🙂

  • zarina

    salam.izinkan share artikel ini.

Leave a Reply

%d bloggers like this: