RSS

MASALAH ITU DIDIKAN ALLAH…

03 Ogo

Setiap masalah yang hendak diselesaikan mestilah difokuskan kepada real problem (masalah sebenar) bukan kepada presenting problem (masalah yang zahir). Apabila kita menumpukan kepada real problem ertinya kita sedang berdepan dengan punca masalah yang lebih bersifat dalaman dan ini memaksa kita menyelami soal hati dan perasaan manusia.

Manakala jika kita hanya berlegar-legar di sekitar presenting problem kita hanya terapung di permukaan yakni berdepan dengan akibat sesuatu masalah. Cara kedua ini tidak akan menyelesaikan sesuatu masalah secara tuntas. Mungkin kita berjaya seketika mengubat akibatnya tetapi masalah itu akan berulang lagi kerana punca sebenarnya tidak diatasi. Hendaklah difahami benar-benar maksud saya ini.

Jika kita ingin menyelesaikan sesuatu masalah, terutamanya yang melibatkan soal perhubungan (komunikasi dan interaksi) dengan orang lain kita hendaklah fokuskan langkah-langkah penyelesaiannya kepada ‘lingkungan pengaruh’ kita bukan ‘lingkungan kebimbangan’ kita. Maksud saya, hendaklah kita bertindak pada batas dan keupayaan diri kita sendiri bukan di luar batasan itu.

Hakikatnya, kita hanya mampu mengawal cara berfikir, pertimbangan, keputusan dan tindakan diri kita sendiri bukan fikiran, pertimbangan, keputusan dan tindakan orang lain. Kejayaan mengubah manusia lain bermula dengan kejayaan mengubah diri kita sendiri. Jangan marah kalau orang lain tidak berubah seperti mana kita kehendaki kalau diri kita sendiri juga tidak berubah mengikut apa yang kita kehendaki.

Tegasnya, lihatlah apa yang anda boleh lakukan pada diri sendiri terlebih dahulu untuk menyelesaikan masalah ini kemudian dengan sendirinya pengaruh kita untuk mengubah orang lain akan meningkat.

Untuk berjaya dalam perhubungan sesama manusia kita hendak memahami orang lain terlebih dahulu, barulah orang lain akan memahami kita. ‘First seek to understand than to be understood’ – pertama carilah jalan untuk memahami kemudian barulah kita difahami. Inilah adalah prinsip dalam mana-mana perhubungan. Jika prinsip ini dilanggar, krisis dalam perhubungan akan berlaku. Maksudnya, kita mestilah terlebih dahulu menjadi ‘telinga’ daripada menjadi ‘mulut’.

Dengar, fahami, hayati, simpati dan kalau boleh empati terhadap apa yang selalu diperkatakan oleh orang lain. Jangan terlalu gopoh hendak menyuarakan isi hati, pandangan dan idea kita… nanti kita tidak akan difahami. Tetapi bersabarlah, dengar dahulu apa yang hendak disampaikan oleh orang lain samada yang disuarakan dalam bentuk lisan atau perbuatan. Tidak semestinya mereka benar… tetapi fahamilah kenapa dan mengapa mereka berpendirian begitu. 

Jika mereka yang benar, ini adalah peluang kita untuk mengakui kesalahan dan mula membaiki diri sendiri. Oh, rupanya aku yang menjadi punca masalah. Sebaliknya jika tidak, kita mempunyai peluang untuk menyuarakan ‘kebenaran’ kita dengan lebih tenang, matang dan diterima setelah sekian lama anda sabar mendengar. Ingatlah, ‘what you give, you get back’ – kita akan mendapat semula apa yang kita berikan.
Jika kita sanggup sekian lama mendengar pandangan orang lain, pasti cepat atau lambat pintu hati orang lain akan terbuka untuk mendengar pandangan kita. Ah, selama ini dia begitu sabar mendengar segala pandanganku apa salahnya kalau sekarang aku pula mendengar pandangannya, begitulah nanti suara hati mereka terhadap kita. Ingat, mengamalkan prinsip ini tidak akan merugikan kita, kata orang ‘tidak kalah dengan mengalah’ sebab kuasa mendengar lebih kuat dari kuasa bercakap. Mungkin kerana itu agaknya Allah kurniakan kita dua telinga berbanding satu mulut!

Kemudian, lihat masalah dengan peluang mendapat didikan di sebaliknya. Masalah hakikat adalah agenda pembelajaran dan pendidikan yang datang ‘direct’ daripada Allah untuk membangunkan diri kita. Manusia berkembang dan berkemajuan dengan melangkah anak tangga masalah demi masalah dalam hidupnya. Ini ‘syllbuss’ pelajaran yang anda tidak boleh mengelakkan diri.

Jika dicuba juga… kita akan menghadapi ‘sylbuss’ yang sama melalui peristiwa, manusia dan situasi yang lain. Ingat, masalah ialah anak tangga kehidupan. Jika anda merungut, kenapa aku terpaksa melaluinya, anda akan terus melekat di anak tangga itu. Jika kita cuba melompat, kita akan jatuh tersembam. Kata orang, jangan berlari ketika menaiki tangga.

Jadi, selalu sematkan di hati, bahawa orang-orang yang berjaya dalam hidup sebenarnya telah melalui agenda demi agenda yang sarat dengan dalam episod kehidupan mereka. Malangnya, kita selalu melihat apabila mereka telah sampai ke puncak tetapi ketika mereka mendaki di lurah atau tersembam ke lembah… tidak ada siapa yang tahu, apalagi ingin belajar darinya.

Dan ingatlah, ini semua hakikatnya daripada Allah jua. Cuma ia didatangkan melalui perlakuan dan sikap manusia. Sebagai hamba, kita perlu menerimanya… Ini akan memberikan satu kekuatan dalam diri kita. Yakinlah, Allah mendatangkan ujian yang setimpal dengan keupayaan kita. Malangnya, manusia selalu memandang rendah terhadap keupayaannya sendiri.

Sedangkan hakikatnya, pakar-pakar psikologi, motivasi dan pendidikan sepakat mengatakan bahawa manusia lebih kuat daripada apa yang mereka sendiri jangkakan. Cabarannya ialah kebanyakan manusia tidak tahu bagaimana menggunakan sepenuhnya potensi akal, hati dan perasaan mereka untuk mengatasi masalah-masalah seterusnya berjaya dalam hidup.

Ya, “we can’t direct the wind, but we can adjust our sails” – kita tidak dapat mengawal arah haluan angin, tetapi kita mampu mengawal kemudi pelayaran kita. Baiklah, cuba amalkan semua prinsip-prinsip di atas dalam menghadapi masalah kita. Sengaja saya luaskan horizon pemikiran dan ruang jiwa dengan beberapa prinsip penyelesaian masalah supaya kita sama-sama berfikiran dan berjiwa besar dalam menghadapi kehidupan.

Walaupun langkah ini kekadang dilihat lebih bercorak falsafah berbanding aplikasi, tetapi percayalah ia akan menolong anda untuk menghadapi hidup inii secara lebih pro-aktif. Tips-tips ‘direct’ untuk menyelesaikan masalah (seperti yang selalu diberikan) tidak akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya jika soal hati dan pemikiran masih sempit dan tertekan. Sebaliknya, jika hati telah tenang, fikiran telah lapang, kita akan jadi lebih kuat, kreatif dan sabar untuk menyelesaikan masalah. Malah, ada kalanya masalah belum pun diselesaikan… tetapi kita rasa seolah-olah telah selesai justeru tekanan dan himpitan masalah itu sudah kurang impaknya akibat jiwa dan fikiran kita yang telah dibangunkan. Benarnya kata pepatah, cita-cita besar akan mengecilkan masalah.

Gunakanlah prinsip ‘ujian dalah satu didikan Tuhan’. Tuhan sedang mendidik manusia melalui manusia. Hakikatnya hidup adalah sebuah sekolah dan orang yang menjadi punca ujian kita adalah guru kita. Ada maksud tersirat yang perlu kita pelajari daripadanya. Hadapilah ujian ini dengan mencari maksud di sebalik takdir Allah ini.

Jangan mengeluh, kenapa manusia lain jadi begitu, begini … itu selamanya akan melekatkan kaki kita pada anak tangga ujian itu. Jangan memberontak, kerana kita tidak dapat mengubah realiti… dan kita terjun dari anak tangga yang anda berada sekarang. Jalan sebaik-baik, terimalah seadanya. Aku tidak akan menunggu hingga semua manusia jadi baik barulah aku menjadi baik. Yang penting aku cuba jadi yang manusia yang baik.

Ingatlah, tangan yang menghulur bunga mawar, akan lebih dahulu harum baunya. Jika kita menghulur kebaikan, kebaikan itu akan pulang semula kepada kita. Walaupun mungkin kebaikan kita tidak akan mengubah orang lain yang tetap bersikap negatif terhadap kita, namun kebaikan itu sebenarnya telah pun menggembirakan, menenangkan diri kita sendiri.

Kita telah menghapuskan dendam, iri hati, marah yang bersarang dalam jiwa kita. Kemaafan akan membuahkan kebaikan… Manakala kebencian akan membuahkan kejahatan. Belajarlah menyayangi, nescaya kita akan semakin jahil tentang kebencian dan permusuhan. Dan inilah maksud didikan Allah ketika menjadikan manusia ujud secara bersama (co-existence) di atas dunia ini. Mungkin hikmahnya, agar manusia belajar sesama manusia untuk merasa kesan didikan-Nya!

 
39 Komen

Posted by di 3 Ogos 2010 in Kemudi Hati

 

Label: , , ,

39 responses to “MASALAH ITU DIDIKAN ALLAH…

  1. hafizi tajuddin

    3 Ogos 2010 at 8:09 pm

    benar, kadang2 kta mrh dgn apa y kta xdapat sdgkan bla masa brlalu bru kita sedar itu y terbaik untuk kita. xramai y pandai melihat mushibah sbg hadiah. benarlah, Allah merancang lebih drpd apa y kita jangkakan. entri ini mmg menyedarkan sy. syukran us

     
  2. ramdan

    3 Ogos 2010 at 9:04 pm

    assalammualaikum..
    saya nak tanya knapa susah sgt nak berubah?xkan saya nak kene tunggu bala timpa saya baru saya nak sedar..harap2 bulan ramadan..niat saya diterima.insyaALLAH..kalau boleh diskusi sikit fasal susahnya nak belajar dari pengalaman..

     
  3. kamila

    3 Ogos 2010 at 10:41 pm

    Salam.saya akan baca peringatan ini berkali kali Insyallah.Begitu terkena dan terkesan pada jiwa saya.

     
  4. mia...

    4 Ogos 2010 at 4:06 am

    salam…terima kasih u artikel y begitu menarik…
    tulisan2 artikel ustaz memang sy kagumi…
    mcmna ya nk jd penulis hebat mcm ustaz ni…??

     
  5. gentarasa

    4 Ogos 2010 at 7:30 am

    Salam mia,
    Siapa pun boleh tulis lebih baik. Yang penting mula menulis. Jangan teragak-agak. Tak pa silap, kerana kesilapan itu satu proses mematangkan kita dalam penulisan. Yang penting tulis!

     
  6. gentarasa

    4 Ogos 2010 at 7:33 am

    Salam ramdan,
    Ahlan ya Ramadhan . Sama seperti anda… saya juga jatuh bangun dalam berubah. yang penting kita berusaha…terus untuk berubah. Tak banyak, sikit pun jadilah. Ya Allah. bantulah kami dalam mengingatiMu, mensyukuriMu dan memperbaiki ibadah kami kepada MU. Amin.

     
  7. nurasyikin

    4 Ogos 2010 at 9:16 am

    ini yg sy sgt perlukan.
    nasihat yg seimbang fokusnya pd dunia + agama.
    bukan nasihat yg berunsur dunia shj.
    bukan nasihat yg berunsur agama shj.

    syabas + terima kasih ustaz…
    smoga hati sy smakin terbuka utk berubah mnjadi lbih baik..

     
  8. Nor

    4 Ogos 2010 at 10:46 am

    Assalamualaikum ustaz.
    entri kali ini mengingatkan kpd diri saya sendiri..selalu klu ada teman yg meluahkan kekusutan,sy hanya mampu mendengar tetapi kurang dlm memberi nasihat. kerana saya cuba belajar utk dengar, memahami dan empati..semua itu menyedarkan sy pd kekurangan diri sendiri. cuba belajar bersyukur, terima dan redha.
    syukran katsiran ya ustaz.

     
  9. kak nor

    4 Ogos 2010 at 10:54 am

    Assalamualaikum Ustaz,
    Tahniah diucapkan kepada Ustaz atas kejayaan yang telah dicapai sehingga kini (setelah jatuh bangun seperti yang Ustaz nyatakan). Selepas saya baca ‘kenali diri ini’ baru saya tahu rupanya ustaz ni junior saya di Jenan dulu. Sudah lama saya menggemari tulisan Ustaz yang dapat memberikan kesedaran dan dijadikan panduan dalam mengharungi liku hidup. Tulisan di atas umpamanya, memang menyedarkan saya supaya terus bersabar dan memohon kepada Allah untuk penyelesaian yang lebih berhikmah. Rasanya sudah lama benar bersabar dan rasanya nak ‘all out’ berterus terang ‘confronting’ saja tapi bimbang juga sebab melibatkan kerabat terdekat. Mudah-mudahan Allah beri jalan penyelesaian terbaik dan ganjaran terbaik atas kesabaran. Mudah-mudahan Allah gerakkan hati mereka yang berkenaan untuk mendengar dan memahami rasa hati kita pula. Amin Ya Rabb. Selamat menyambut Ramadhan al-mubarak untuk Ustaz dan keluarga. Semoga kita terdidik menjadi insan yang bertakwa. Doakan juga kebaikan untuk saya dan keluarga.

     
  10. gentarasa

    4 Ogos 2010 at 11:17 am

    Salam kak nor,
    Apa yang boleh kita katakan hanyalah ‘perkembangan’ dan pencapaian. Kualiti hati dan kuantiti material kekadang datang beriringan… tetapi acapkali terpisah. Semuga Allah bantu dr_normanah dan kita semua menjadi lebih baik dan taqwa daripada hari-hari sebelumnya. Amin. Setiap hari… Insya-Allah. Salam kenangan Ex Jenan!

     
  11. ramdan

    4 Ogos 2010 at 12:10 pm

    rasa macam hidup tak dirahmati,dilaknat..buat semua benda macam xditerima.susah nak berubah kalau xde dorongan dan sokongan.yang diperlukan sgt2.

     
  12. Najihah

    4 Ogos 2010 at 1:10 pm

    Alhamdulillah..

     
  13. Aidah

    4 Ogos 2010 at 1:56 pm

    Salam ustaz,
    Saya adalah pembaca setia artikel ustaz terima kasih di atas nasihat dan pandangan ustaz tentang kehidupan ini..kalau dulu untuk dapatkan pengisian seperti ini kita perlu ke majlis ilmu…tapi sekarang artikel2 ustaz adalah majlis ilmu saya bagi membangunkan hati ini supaya tidak mati. Syukran wa baraka Allah fika.

     
  14. Ruby

    4 Ogos 2010 at 3:21 pm

    Salam Ustaz…

    syukran… saya mengikuti perkembangan blog ini.. byk yg saya pelajari dan ingin rasanya berkongsi dengan yang lain.. entry kali ini benar2 membuka mata hati saya dan saya mohon izin utk sharing dengan rakan2 yang lain… sama ada secara keseluruhan artikel atau sebahagiannya di alam maya ini… cara penulisan dan pendekatan ustaz membantu saya menyelami perjalanan hidup ini… syukran kasiran ya Ustaz.. semoga Allah memberkati segala urusan Ustaz…

     
  15. anasyahidah

    4 Ogos 2010 at 6:25 pm

    Salam ustad dan sahabat2 yang lain,

    terima kasih ustad tentang masalah itu adalah ujian dr ALLAH…ana selalu ingatkan pd dr ana kerana bila ALLAH menguji hambanya maknanya ALLAH sayang hambanya…Syukran ya ustadz.

     
  16. ezzat awang

    4 Ogos 2010 at 11:39 pm

    “Jangan cari masalah & jangan lari dri masalah kerna ia akan menambahkan lgi masalah”Oleh itu selesaikan masalah itu bermula dari diri kita dahulu dgn menerima hakikat masalah datang dariNYA jua…

     
  17. Ieda

    5 Ogos 2010 at 9:30 am

    Salam, ustaz saya benar-benar terkesan dengan entry ini.Melihat masalah dalam sudut yang berbeza…betapa selama ini sy terlalu mengikut hati dan mahu orang lain berubah untuk memuaskan hati saya sahaja. Terima kasih ustaz

     
  18. MencariYgMahaSatu

    5 Ogos 2010 at 12:36 pm

    Salam,
    ustaz, memang btol, masalah itu banyak mendidik saya. Saya pernah terfikir kenapa ditimpakan kesusahan kekadang hampir berterusan meyebabkan saya pernah dikategorikan kepada orng yg tidak bersyukur dan redha. Tetapi baru saya tau, hidayah yang di minta pada setiap kali solat adalah melalui masalah dan kesusahan. Entah mengapa saya menjadi semakin dekat denganNya setelah melalui dugaan ini…

     
  19. Norlin

    5 Ogos 2010 at 12:39 pm

    Assalamuallaikum…saya suka dan baru berjinak jinak mengikuti blog yang bermakna ini…saya copy paste ayat ayat yang saya rasakan baik untuk saya renungkan di blog saya…terima kasih.

     
  20. rashidane

    5 Ogos 2010 at 1:02 pm

    Salam ustaz..saya ada baca artikel “Inilah Makna Bahagia” pada top post..saya rasa ada sedikit pembetulan perlu dibuat pada perenggan ke 22, kalau x silap saya..antara perkataan mazmumah dan mahmudah..andai saya tersilap, mohon maafkan saya.kelemahan saya untuk memahami apa yang ust cube sampaikan.maafkan saya juga sebab saya komen pada ruangan untuk artikel ini.

     
  21. muslimah biasa

    5 Ogos 2010 at 6:18 pm

    terima ksh ustz…dpt ilmu hari ni

     
  22. hanani

    5 Ogos 2010 at 9:46 pm

    Begitu terkesan penulisan ust di hati saya…kagum saya dengan penulisan ust. tiap kali kali baca hasil tulisan ust terdetik di hati beruntungnye mereka2 yang selalu sisi ust, disayangi, dan dihargai..

     
  23. rumaisha

    6 Ogos 2010 at 6:30 am

    Ustaz,

    Jika dinilai soal rasa, jiwa raga ini tidak mampu menampung peritnya apabila berdepan dengan masalah emosi yang berkala.

    Kerja bagaikan dipaksa rela kerana majikan sama sekali hanya mencari kesempurnaan dan cemburu apabila kita mendapat kejayaan.

    Tapi itulah tarbiah Allah. Membaca tulisan ustaz mampu memotivasikan ku. Syukran pada kalam ini.

     
  24. azura

    6 Ogos 2010 at 1:52 pm

    alhamdulillah..sebak saya mbaca coretan ustaz..saya kini mmg dilanda masalah besar.buat baik dgn org dan sedara tp dibalas dgn tuba, dikhianati, disihir..kdg2 saya rasa hidup ini tidak adil dan saya sgt stress. saya tak nampak dgn nikmat Allah SWT, ujian drNya, rezeki drNya dan hikmah yg kita tak nampak dikemudian hari.dan hrp2 ini adalah ujian terakhir drNya….insyaAllah…saya berharap kesabaran saya ini akn membuahkan hasil yg amat manis…amin…

     
  25. Naufal

    7 Ogos 2010 at 6:00 pm

    Salam…
    Saya stuju dgn article ni cuma saya ada cadangan..
    Kalau boleh En Pahrol tolong highlightkan ayat2 @ perkataan2 yg best seperti kata2 hikmat @ point2 penting utk dijadikan tauladan kpd pembaca
    dgn cara ‘bold’kan @ besarkan ke..sebab walaupun En. Pahrol dah sengetkan sesetengah perkataan tu(saya tak tau nak panggil apa perkataan yg disengetkan tu..hihi) saya rs kurang feel sikit bila mcm tu..
    sekadar mencadang.. =)

     
  26. jauzy

    7 Ogos 2010 at 11:33 pm

    Jazakallah khairan kathira ustaz,entri penyuburan jiwa yang sangat terkesan bagi insan yang membaca.Kesyukuran dipanjat kepada Ilahi, atas segala ujian yang mendatangi.Yakinilah, bahwa semua ujian itu tidak terbayar dengan keluhan, keputus asaan semata.Tetapi, ingatkan diri kita dengan nikmat iman, kefahaman dalam agamaNYA yang dianugerahkanNYA melalui episod tarbiyah itu.Malu padaNYA akan menyuburi hati kerana kejahilan yang menyelubungi sebelum ini….

     
  27. hadir lah cinta padaNya

    10 Ogos 2010 at 4:10 pm

    Ustaz, jika seorg isteri dipaksa untuk terima poligami dan dia tak dapat menerimanya malah memaksa suami untuk memutuskan hubungan dengan kekasihnya adakah dia melawan takdir/ujian Allah atau dia sedang berusaha untuk menyelamatkan perkahwinannya dan cuba pergi ke takdir yg lain?

     
  28. nurdihati

    13 Ogos 2010 at 12:15 pm

    Salam Ustaz..

    Terima kasih atas coretan2 ustaz yg sgt berbekas di hati ini..
    Minta izin untuk mengolah isi tulisan ustaz sebagai perkongsian di blog sy..

     
  29. haliza

    15 Ogos 2010 at 12:52 pm

    assalamualaikum…
    alhamdulillah syukur pada Tuhan kerana menggerakkan hati membuka blog ni. mmg ujian mendidik manusia. namun kadangkala iman yang tipis membuatkan diri ini hina…mmg jdh pertemuan urusan Tuhan, tetapi kdgkala kekuatan hilang bila pertanyaan demi pertanyaan diajukan menyebabkan rasa rendah diri dan tiada keyakinan…Ya Tuhanku, berikan aku kekuatan..

     
  30. krulayar

    18 Ogos 2010 at 11:50 pm

     
  31. atul

    26 Ogos 2010 at 12:15 am

    salam ustaz…terima kasih atas tulisan ustaz yg sgt menyentuh hati…
    membuatkan saya lebih byk berfikir…
    mohon copy utk dikongsi dgn rakan…syukran ustaz

     
  32. bibi najah hussin

    26 Ogos 2010 at 5:22 pm

    salam ust…

    x tahu nak ungkap macammana..cuma tulisan ust.buat saya berfikir pjg …ujian itu meningkatkan martabat!..malah dgn ujian itu jua ada jawapan yang tersembunyi oleh ALLAH untuk diri kt sendiri… InsyAllah sy akan cari dan terus mencari….tulisan ust..amat menyentuh hati..semoga Allah membalas dengan rahmatnya yg berpanjangan…..salam ramadhan al-mubarkh…

     
  33. Ummu Ammar

    27 Ogos 2010 at 9:45 am

    Sungguh benar apa yang dinukil. Bila saja kita rasa complacent dengan keadaan diri kita, ada saja ujian dari Allah akan tiba. Hakikatnya, itulah tarbiyah dari Allah, untuk menjadikan kita lebih baik. Saya sedang menanti keputusan tentang sesuatu. Andai yang diharap tidak jadi kenyataan, moga Allah sentiasa bersama dan menuntun langkah kami sekeluarga seterusnya.

     
  34. dyana

    11 Januari 2011 at 10:13 am

    Assalammualaikum, sy pohon untuk sebarkan artikel ini untuk tatapan tempat sy belajar.
    Mohon izin ust.
    Syukran

     
  35. gentarasa

    11 Januari 2011 at 3:31 pm

    Salam,
    Tolong saya dyana… sebarakan ilmu.

     
  36. siti

    2 Mac 2011 at 4:46 pm

    salam,

    Ilmu yg ustaz sebarkan sgt berkesan dihati sy..Benar sekali.,masalah adalah antara ujian yg didatangkan utk mendidik mnusia…kata2 nasihat ust byk membantu sy menyelami hikmah2 milik Allah.terima kasih..Teruskanlah menulis agar hati-hati yg sedang diuji sntsa mdapat kekuatan.

     

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,252 other followers

%d bloggers like this: