RSS

MUHASABAH RAMADAN…

23 Ogo

Alhamdulillah dapat juga saya menjenguk dan memasukan entri baru dalam blog ini. Saya hanya memohon kekuatan dari Allah berkat doa saudara-saudara untuk mampu melaksanakan ibadah puasa ini semakin baik dari hari ke hari.

Seperti bulan-bulan puasa sebelumnya, ibadah yang saya jalani ini penuh mujahadah. Selain daripada mengawal mazmumah dan fikiran, saya juga berdepan dengan soal kesihatan. Tetapi alhamdulillah… setakat ini masih terus melangkah walaupun sedikit payah.

Susunan jadual hidup yang sedikit berubah menyebabkan sukar juga meluangkan masa untuk menulis, kecuali menulis untuk Solusi dan buku akan datang (mengenai penghayatan nilai dalam hidup dan berorganisasi). Namun saya yakin, fasa kedua Ramadan yang sedang kita hadapi ini akan memberi satu suntikan baru untuk lebih gagah. Saya doakan semua pembaca diberi kekuatan lahiriah dan jiwa untuk membina taqwa dengan puasa ini. Mudah-mudahan kita berjaya membebas kongkongan kehendak jasad tahap rendah untuk terbang ke daerah tinggi tempat roh dan jiwa yang suci bersemadi.

Buat sasahabat-sahabat terimalah bingkisan ini seadanya: MUHASABAH RAMADAN


Ramadhan datang dan pergi. Apakah kembara hidup kita terus dinaungi oleh teduh keberkatannya? Tahun demi tahun, apakah kita semakin menghampiri takwa yang menjadi tujuannya? Atau ia terus memecut, berlalu… meninggalkan kita yang masih bertatih mengejar kemuliaannya. Manalah tahu nyawa terhenti dan Ramadhan terus tidak sempat kita cecah walau secebis rahmat, keberkatan, maghfirah, apatah lagi Jannah yang menjadi tagihannya.

“Apa perubahan yang kita nak buat tahun ni?” tanya isteri.
Saya termenung, banyak… tapi mampu kah.
“Kita teruskan berbuka bersama di masjid. Kemudian menunggu Isyak, baca Quran dan solat Terawih.”
“Perubahan yang sama sahaja,” kata isteri seakan merungut.
“Itu pun payah kita buat kan?” tingkah saya.

Teringat betapa ada ‘protes-protes’ yang terpaksa saya hadapi sewaktu melaksanakan program perubahan itu dua tahun lalu. Semua pihak terasa kehilangan rutin atau kebiasaan masing-masing dengan pelaksanaan program itu. Along, tak mahu berterusan di mesjid (dari sebelum maghrib hingga selepas terawih) kerana kehilangan rutinnya, nak ‘relaks-relaks’ selepas solat maghrib. Angah pula akan terlepas berbuka dengan makanan kegemarannya – mee goreng mamak, tahu sumbat dan makanan yang pedas-pedas kegemarannya. Makan di masjid, menurut sahaja resipi yang disediakan. Begitu juga anak-anak yang lain, ada sahaja yang terpaksa ‘dikorbankan’ dengan pelaksanaan program sebelum maghrib hingga selesai solat terawih di rumah Allah.

“Awak masih ingat waktu kita mula berubah… daripada berbuka dengan makan nasi kepada berbuka hanya dengan air dan kurma?”
Isteri tersenyum. Sudah lapan tahun tradisi berbuka dengan kurma dan air kami pertahankan. Mulanya susah juga, tapi lama kelamaan dah jadi kebiasaan. Perlahan-perlahan semuanya sudah terbiasa.
“Saya penat hanya mengubah rutin-rutin lahiriah…” keluh isteri.
“Awak rasa macam mana?”
“Saya nak sesuatu yang lebih berkesan… perubahan dalaman. Usia kita semakin senja, takut kita pergi tanpa mencapai tujuan.”
Saya akur. Kebimbangannya kebimbangan saya juga. Apakah puasa kita mencapai tujuan – bertakwa?

“Amal biar sedikit tapi berkekalan. Perubahan biar sederhana, tapi berkesan.”
“Apakah puasa kita telah mencapai takwa?”
“Lihat sahaja tanda-tanda orang bertakwa, apakah sudah ada pada diri kita?”
Sampai di situ, isteri saya terdiam. Bukan mudah mengubah hal-hal dalaman. Kalau hal-hal luaran pun payah untuk diubah.
“Orang bertakwa… mengawal marah.”
“Orang bertakwa… memberi dalam susah dan senang.”
“Orang bertakwa … jika terlanjur melakukan dosa, segera mengingati Allah dan bertaubat kepada-Nya.”
“Orang bertakwa… seorang yang pemaaf.”
Pengertian itu saya sebut berulang-ulang. Mengulang-ulang apa yang telah Allah tegaskan di dalam Al Quran.

Ah, jauhnya Ramadhan daripada kita bila diukur pada hasilnya. Saya masih gagal mengawal marah pada saat-saat yang kritikal. Padahnya, sewaktu itu terasa kita patut ‘melepaskan’ marah, sedangkan orang bertaqwa sentiasa mengawalnya. Pemaaf? Ya Allah! belum lagi. Kadang-kadang hanya kata-kata memberi maaf, tetapi rasa di dalam dada masih menyimpannya.
“Perubahan dalaman ni kita mulakan dalam diri masing-masing. Kita hanya boleh pesan memesan sahaja.”

Dulu di kampung, Ramadhan disambut penuh meriah. Ketika zaman kanak-kanak. Berbuka di surau bersama teman dan kemudian menunggu moreh sambil bermain kejar-kejar. Ketika itu fikiran kanak-kanak kita hanya dapat menjangkau – puasa tak boleh makan-minum, buka, bersahur, ada solat terawih, baca Quran dan kemudian hari raya! Alangkah indahnya. Tapi tahun demi tahun berlalu, kita digamit usia, pengertian makin mendalam… Ramadan bukan lagi tradisi yang datang pergi tanpa isi. Kita diterjah pertanyaan, sampai bila rutin itu perlu berlalu tanpa berkesan pada jiwa?

Dulu, ketika Ramadhan datang, badan masih bertenaga, namun ilmu hanya setakat di permukaan… puasa hanya pada sah dan batal. Kini Ramadan datang, ilmu mula menyelam, namun tenaga semakin kurang. Kesihatan mula terjejas. Ingin bertindak, tapi terbatas. Ya, Allah… bagaimana Ramadhan ku kali ini?
“Buat apa tu bang?” tegur isteri, memintas lamunan saya.
“Tak, bila awak sebut-sebut tentang hal-hal dalaman tu, memaksa saya merenung dalam-dalam.”

Di luar bilik, anak-anak ketawa dengan gurau sendanya. Mereka belum mengerti perlumbaan usia dan amal. Di dalam kami berdua seakan-akan menangisi Ramadhan kami yang hilang… Sambil menunggu Ramadhan yang akan datang. Sempatkah?
PADA RAMADAN INI…

Ramadan ini akan pergi
Namun yang pergi hanya giliran purnama
Bukan rasa dan maknanya
Semuga semuanya masih… di jiwa
yang sentiasa merindui
barakah dan maghfirahnya

(Apakah roh Ramadan ini
akan terus menerangi
… bulan-bulan seterusnya?)

Nanti Syawal bertamu jua
Bersama wajah seindah fitrah
Tasbih, tahmid dan takbir pun diucapkan
Meraikan satu kemenangan
di satu peperangan…
di dalam diri

(Apakah kita berjaya?
atau sekadar menumpang gembira…
di pinggiran kebesaran-Nya?)

Ramadan dan Syawal akan pergi
silih berganti masa
Dan kita bagaimana?
Masih di pelabuhan alpa?
Masih di dermaga dosa?
Dan bahtera kita terus kelelahan
..dihempas ombak keresahan

(Akan tiba saatnya
Ketika Ramadan dan Syawal datang jua
Tapi kita telah tiada…
untuk menyambutnya!)

 
37 Komen

Posted by di 23 Ogos 2010 in Kemudi Hati

 

Label: , , ,

37 responses to “MUHASABAH RAMADAN…

  1. Habib Ahmad

    23 Ogos 2010 at 11:22 am

    Majlis Haul Di Ba’alawi Kuala LumpurMasa 28hb Ogos · 5.00 ptg – 11.00 ptg

    ——————————————————————————–

    Lokasi Ba’alawi Kuala Lumpur

    ——————————————————————————–

    Direka Oleh: Ba’alawi KL

    ——————————————————————————–

    lebih info Majlis Haul Ummul Mukminin Sayyidatina Khadijah al-Kubra dan Haul Abuya Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki al-Hasani
    Klik Link : //wp.me/piAx4-2Gz

     
  2. khairulaznan

    23 Ogos 2010 at 11:32 am

    Salam

    Terimakasih Tuan atas muhasabah yang menyentuh hati dan menginsafkan diri ini. Doakan saya dapat melalui Ramadhan kali ini seperti perintah Allah, bukan mengikut perintah nafsu sendiri.

     
  3. Najib

    23 Ogos 2010 at 11:33 am

    menusuk hati bila mengenangkan Ramadhan akan berlalu pergi…

     
  4. hamba Ilahi

    23 Ogos 2010 at 11:42 am

    assalamu’alaikum.
    terima kasih atas perkongsian.. semoga Allah merahmati kita semua.

     
  5. mia...

    23 Ogos 2010 at 12:03 pm

    salam ramadhan ustaz…
    lama menanti entry terbaru ustaz..:)
    gembira n bersyukurnya kpd Nya krn sh membri peluang kpd sy u membaca n memahami patah2 ayat dlm entry ustaz ni…
    syukran..

     
  6. gentarasa

    23 Ogos 2010 at 12:04 pm

    Saudaraku, semoga Allah kurniakanmu taqwa atas mujahadahmu di bulan yang mulia ini. Amin.

     
  7. ryna

    23 Ogos 2010 at 12:07 pm

    As Salam.
    Alhamdulillah dapat juga buah tangan dari ustaz dalam bulam Ramadhan ini. Saya berada dalam process penghijrahan, tulisan ustaz adalah salah satu input yg memberi semangat. Walaupun tak banyak, tetapi Ramadhan kali ini sememangnya titik permulaan untuk saya. Mudah-mudahan perjuangan saya ini dapat saya kekalkan dan perbaiki dari masa ke semasa. Insyaallah.

     
  8. ainhany

    23 Ogos 2010 at 4:06 pm

    salam ustaz,

    salam ziarah
    Salam Ramadan. Muga semakin sihat dan mmpu melaksanakan perubahan iman dan amal di Ramadan kali ini. Indahnya perubahan yang telah dimulai…Di fasa kedua ini, kita sama2 bermuasabah dan wajar mengambil kesempatan ini. Muga2 ini ramadan terbaik buat kita.

     
  9. niez

    23 Ogos 2010 at 5:38 pm

    salam ustaz,

    saya ingin bertanya. apakah hukum berbuka puasa di masjid dan kelebihannya.

    terima kasih.

     
  10. Hani Fauzi

    23 Ogos 2010 at 9:27 pm

    sgt terkesan di hati..thanks ustaz :)
    saat umur jangkau 22thn ni,baru saye rase nk mencari sesuatu dlm Ramadhan.hope Ramadhan kali ni lebih baik dr yg terdahulu..Amin

     
  11. WARISMA

    23 Ogos 2010 at 9:55 pm

    ALHAMDULLILLAH, membaca tulisan tuan memberi kesedaran yang Ramadhan tak pernah menanti manusia utk berubah melainkan diri sendiri. Doakan kami semua agar dapat membawa perubahan dalam diri sebelum kita tidak dapat bertemu dengan Ramadhan akan datang..amin

     
  12. anasyahidah

    23 Ogos 2010 at 11:28 pm

    Salam ustad,

    Pengajaran yg dpt ana ambil iktibar ttg penulisan ustad ttg TAQWA…berbagai cara nk menghampiri taqwa tp godaan dunia semakin hebat ustad. Apabila Ramadhan hadir membuatkan rasa diri amat kerdil dan sayangkan ALLAH sangat2. Ramadhan tak akan tunggu tapi akan meniggalkan kita…sedey bila masuk fasa yg ke-3 ustad.

     
  13. senjakala

    24 Ogos 2010 at 12:27 am

    Salam,semoga ustaz dan keluarga sihat2 hendaknya di bulan ramadhan ini dan terus menulis.

     
  14. ramsiah

    24 Ogos 2010 at 1:48 am

    Assalamualaikum tuan, terima kasih di atas entri yang terbaru ini. Nak memulakan sesuatu yang memerlukan pengorbanan dari pelbagai aspek memang begitu susah namun bila telah berjaya memulakannya nak beristiqamah lebih susah lagi rupanya. Semoga Allah akan sentiasa merahmati kita semua, mengampunkan dosa2 kita dan seterusnya menempatkan kita di Jannahtul Firdaus yang mjadi dambaan setiap hambanya, amin.

     
  15. walimastur

    24 Ogos 2010 at 7:05 am

    trima kasih..trima kasih..trima kasih..

     
  16. walimastur

    24 Ogos 2010 at 7:25 am

    stiap kali sy bca entry ust ni,air mata akn mngalir.cukupkah amalan ini utk di jadikan bkalan diSANA?bnda ni yg slalu bmain difikiran sy..trima kasih krn sering menyedarkan diri ini yg slalu leka.semoga diberkati ALLAH..salam..

    -buku mukmin profesional sgt bagus.

     
  17. pacifist

    24 Ogos 2010 at 8:03 am

    salam ziarah ustaz di bulan penuh keberkatan ini.semoga tahun ini lebih baik dari tahun sebelumna…

     
  18. junaidah

    24 Ogos 2010 at 8:32 am

    assalamualaikum, saya menitiskan air mata bila baca muhasabah ramadhan ini……..
    saya mula berfikir adkh ramadhan ini kali terakhir buat saya atau jika dipnjgkan umur utk ramadhan akn dtg, adkh saya msh seperti skrg….
    tiada penambahan iman, hanya sekadar melalukan rutin-rutin yang sudah biasa lakukan pada ramadhan yang lepas…..
    saya akn cuba baiki diri sy, insyallah….
    terima kasih ustz dgn muhasabah ini, dgn bait-bait kata yang menginsafkan….

     
  19. kak nor

    24 Ogos 2010 at 9:28 am

    Assalamualaikum Ustaz.
    Semoga Allah SWT perkenankan doa Ustaz untuk kita semua. Tidak lupa didoakan kembali untuk Ustaz sekeluarga. Mudah-mudahan Allah makbulkan doa kita semua agar mencapai apa yang Ustaz sebutkan yakni ‘berjaya membebas kongkongan kehendak jasad tahap rendah untuk terbang ke daerah tinggi tempat roh dan jiwa yang suci bersemadi’. Amin Ya Rabb. Didoakan juga Allah beri kesihatan kepada Ustaz agar dapat terus menyebarkan perkongsian ilmu untuk manafaat kita semua. Dipohonkan agar Allah kurniakan keikhlasan di hati kita semua dalam semua amal ibadat dan segala gerak perbuatan kita. Mudah-mudahan kita menjadi graduan yang lulus cemerlang dari sekolah Ramadhan ini agar dapat menjadi bekalan kita dapat menghadapi 11 bulan yang mendatang sebelum bertemu Ramadhan yang akan datang sekiranya dipanjangkan usia kita lagi oleh SWT.

     
  20. Nor

    24 Ogos 2010 at 10:11 am

    Assalamualakum ustaz,
    muhasabah ramadan ini adalah muhasabah utk diri sy sendiri. sy mahu perbaiki dalaman sy..betul kata ustaz, adakah hati sy betul2 memaafkan tp masih trkenang dan disimpan.klu begitu nampaknya sy kena cari 70 alasan utk sebab kenapa sy tidak harus memaafkan… :)
    terima kasih ustaz for the post..

     
  21. syifa aslah

    24 Ogos 2010 at 11:30 am

    salam..syukrn ats perkongsian yg baik ini..smg ustz diberi kshtn yg baik utk terus menulis entri2 yg berhikmah..smg Ramadhan sudi bersua kita lagi di masa hdpn..smg DIA sudi memberi kesempatan untuk kita bertemu dgn malam yang lbh baik dr seribu bln..dan smg di saat itu kt semua bisa memetik halawah ketaqwaan..ameen..

     
  22. zurina md.noor

    24 Ogos 2010 at 11:53 am

    Salam ustaz..entahlah rasanya jauh lagi nak capai nikmat Ramadhan ni…sentiasa sibuk dengan urusan dunia hingga diri terus terlalai.Ustaz berdoalah kepada semua pengunjung blog ni agar diberi kekuatan dalam pencarian hidayahNYA.

     
  23. rin

    24 Ogos 2010 at 12:00 pm

    Salam, betapa kerdilnya diri ini di dalam menjalani ibadah puasa, betapa nipisnya takwa & iman dalam menyelami & mendalami erti Ramadhan itu sendiri..terima kasih atas muhasabah Ramadhan ini.

     
  24. Hafriz

    24 Ogos 2010 at 5:59 pm

    Ya Allah…
    di pertengahan Ramadhan ini, aku teramat sedih…entah dari mana puncanya. Selagi aku tidak mengetahui punca keresahan ini, selagi itu aku akan tetap merasakn kesedihan.
    Amat sukar merawat luka ini.. harap2 ia akan berakhir secepat mungkin.

     
  25. wan

    24 Ogos 2010 at 7:17 pm

    salam ustaz. rasa macam pernah baca post tu. kalau tak silap saya ada dalam buku nota hati seorang lelaki kan? apa-apa pun, post itu banyak memberi input dan peringatan kepada saya. terima kasih ustaz

     
  26. Taufiq Razif

    24 Ogos 2010 at 11:48 pm

    Akan datang jua..
    Ramadhan yang mulia..
    ketika kita sudah tiada..
    untuk melewatinya..

    =’ (

     
  27. cilipadi

    25 Ogos 2010 at 6:55 am

    Terima kasih utk santapan rohani yang indah lewat puisi protaz.Sememangnya Ramadhan berlalu begitu pantas,14 hari terasa tak terkejarkan.Anak2 pun masing2 memberi komen yang sama…Dunia yang tua…even untuk anak2 kita,apalagi kita.Taqwa masih belum digapai…serasa dekat rupanya masih jauh bila dihitung dengan cara yang protaz ajukan.Moga lebih hampir sebelum Syawal tiba.

     
  28. juma

    25 Ogos 2010 at 10:03 am

    Salam Ustaz,

    harap boleh saya copy paste artikel ustaz ni utk edaran emel pd kwn2 lain dan copy utk blog saya..mekasih

     
  29. Afiqemran

    25 Ogos 2010 at 5:18 pm

    alhamdulillah…tulisan yang memberi kesan..

     
  30. Ridhwan Bin Abdullah

    25 Ogos 2010 at 11:03 pm

    Salam Ramadhan Kekanda,
    Ramadhan terhimpun di dalamnya segala ‘ubat’ untuk manusia seperti kita yang sedang ‘sakit’. Alangkah malangnya jika kita gagal ‘mendapat’ ubat tersebut buat ‘bekalan hidup’. Sesungguhnya tepat dan benar ‘peringatan’ rasul buat sahabatnya, jangan bazirkan masa ketika bertemu dengan ‘Ramadhan’. Persoalan yang patut kita umat ‘muhasabah’ bersama sejauh manakah ‘tawaran ubat’ bagi segala ‘penyakit yang melarat’ dalam jiwa manusia yang sedang ‘tenat..telah cuba kita ‘dapatkan’.Allah Lebih Mengetahui..

     
  31. sakinah

    26 Ogos 2010 at 12:38 am

    Assalamualaikum,
    alhamdulillah Ramadhan sempat menyapa dengn menadah dan melembarkan karung untuk diisi pahala sebanyaknya.
    alhamdulillah sangat2, saya masih dapat merasai Ramadhan kali ini.
    untuk pengetahuan ustaz, saya baru keluar hospital 2minggu lalu. alhamdulillah 1Ramadhan saya mampu berpuasa sampai sekarang. nikmat Allah yang tak terhingga. saya juga baru kematian ibu kandung baru sebulan dan terus diikuti saya jatuh sakit hampir 2minggu disebabkan masalah paru2.
    alhamdulillah semuanya ada hikmah disebalik.sepatutnya kita merasakan setiap apa yang Allah bagi sebagai nikmat.
    sebagaimana makna hadis – mukmin apabila diberi nikmat Alhamdulillah diucapkan, apabila diberi musibah pun sabar dan Alhamdulillah.
    saya harap moga selepas keluar Ramadhan kali ini, ingin menjadi seperti bayi yang baru lahir…

     
  32. abuyon

    26 Ogos 2010 at 8:16 am

    ustaz, menitis airmata ini …

     
  33. NurKasih

    26 Ogos 2010 at 8:28 am

    Salam Ustaz..
    ‘Usia semakin senja.. takut nnti kita pergi tanpa mencapai tujuan..”
    sangat2 mengesankan.. Jazakallah Ustaz..

     
  34. ummu rafiq raihanah

    27 Ogos 2010 at 1:10 pm

    Salam ustaz
    Entri ustaz begitu terkesan di jiwa, semoga menjadi perangsang memperbaiki diri dan amalan-amalan harian bukan sahaja di bulan Ramadhan ini tapi juga selepas Ramadhan nanti….

    Kita hamba…, hamba yang lemah, padaNya kita kan kembali, Itu pasti!
    Semoga kembalinya kita nanti dgn. jiwa yang tenang, redha dan diredhai olehNya. Sama-samalah kita berusaha dan doakan yang terbaik, ya ustaz.

     
  35. alhambra

    29 Ogos 2010 at 10:25 am

    Alhamdulillah ..akhirnya berkesempatan mbca “buah tangan” ustaz..mga Allah kurniakan kesihatan yg baik & dilapangkan jalan utk ustaz terus berkarya..tulisan ustaz menyentuh hati & mendorong ke arah perubahan dlm hidup sy …Alhamdulillah ..segala puji hanya bagi Allah SWT..

     
  36. Liza

    4 September 2010 at 12:59 pm

    Terimakasih ustaz atas nukilan yg berkesan ini.. insyaallah, ia mampu menjadi perangsang utk saya mengubah diri ini…

    Minta izin ustaz utk saya copy dan share dgn kwn2 saya.. t/kasih ustaz…

     
  37. amanina

    6 Ogos 2011 at 6:01 pm

    assalamualaikum ustaz..artikel2 ustaz menarik untuk direnungkan bersama..saya minta izin ustaz untuk copy dan share dgn yg lain..semoga bersama2 dapat mengambil pelajaran daripadanya, shukran jazilan ustaz..

     

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,217 other followers

%d bloggers like this: