Looking for Something?
Navigation

‘Toxic People’ vs ‘Unsung Hero’

Author:

“Belajarlah merasa bahagia dengan membuat kebaikan tanpa diketahui oleh orang lain,“ pujuk saya.
“Senanglah saudara cakap begitu kerana saudara tidak mengalaminya. Jiwa saya tersiksa sungguh. Dulu projek tu sayalah yang memberi idea. Saya juga yang memulakannya. Pada waktu itu mereka melihat sahaja dengan penuh sinis. Tapi saya sejak dulu lagi sudah optimis, projek yang saya ilhamkan itu akan berjaya.”

“Masalahnya?”
“Setelah berjaya saya diketepikan. Mereka yang sinis dahulu beria-ria pula mendabik dada, konon kejayaan projek itu hasil usaha mereka,” ujarnya sedih.

“Allah Maha Mengetahui. Insya-Allah, Allah akan memberi ganjaran atas kebaikan saudara walaupun manusia lain mkelupakannya.”
“Betul macam yang diungkapkan oleh peribahasa lama, lembu punya susu, sapi dapat nama.”
“Biarlah sapi dapat nama, insya-Allah jika ikhlas kita dapat pahala dan keredaan Allah,” pujuk saya terus menerus.
“Saya sakit hati…”

“Saudara, bukan saudara seorang sahaja yang pernah melalui nasib begini, ramai orang telah melaluinya. Jika tidak, tidaklah timbul istilah ‘unsung hero’,” jelas saya.
“Unsung hero?”
“Ya, wira yang tidak dicanangkan atau didendangkan. Dia berjasa tetapi dilupa. Dia berbudi, tetapi dikeji. Pada setiap generasi perjuangan pasti ada golongan yang tidak disebut-sebut namanya, tidak dkenali apatah lagi dipuja, tetapi hakikatnya merekalah orang yang paling banyak berjasa dan berbakti.”
“Kenapa begitu? Adilkah?”

“Allah sedang mengajar saudara,” kata saya hampir berbisik. Mengalih fokus perbualan kepada dirinya dan saya.
“Allah sedang mengajar saya?”
“Allah mengajar saudara melalui mereka.”
“Apa yang Allah sedang ajar saya melalui perlakuan mereka?”
“Allah mengajar saudara tentang ikhlas!” tusuk saya perlahan.

Dia terdiam. Sebenarnya saya turut simpati dan empati dengan nasibnya. Ketika dia selayaknya tersenyum kerana kejayaannya, sebaliknya dia bersedih, rasa terpinggir dan hampir dilupakan.

“Saya geram dengan pengampu dan pembodek. Saya benci dengan siasah pembelit yang licik dan berstrategik,” ujarnya berterus terang.
“Saudara, jika kita sibuk melakukan kebaikan, kita tidak akan sempat melihat kejahatan orang lain. Jika kita masih sempat, itu petanda kebaikan yang kita buat masih sedikit. Dan kita masih belum benar-benar baik,” balas saya dengan nada memujuk.
“Oh, sukarnya,” katanya hampir mengeluh.

“Saudara patut bersyukur dengan kesukaran itu.”
“Kenapa? Bukankah sepatutnya saya bersabar?”
“Kita wajar bersyukur kerana Allah hendak menyelamatkan kita daripada riyak dan takbur atas kebaikan yang telah kita lakukan. Tanpa sanjungan, tanpa pujian, bukankah rasa takbur dalam hati kita akan tertekan? Rasa riak juga akan terhenyak?”
“Benar juga kata saudara. Tetapi sungguh, sukar sungguh untuk mendidik hati agar rasa begitu.”

“Saudara, dalam setiap perjuangan juga ada golongan yang dinamakan ‘toxic people’.”
“Toxic people?”
“Golongan yang berpura-pura dan menikam dalam diam. Ujudnya golongan ini seiring dengan wujudnya wira yang tidak didendangkan tadi.”
“Maksud saudara?”
“Justeru adanya toxic people inilah menyebabkan wujudnya unsung hero!”
“Awak ni ada-ada sahaja, “ katanya sambil tersenyum.
Alhamdulillah saya akhirnya dapat menyebabkan wajahnya yang murung tadi ceria sedikit.

“Toxic people ini tidak banyak kerja untuk orang lain melainkan bekerja untuk kepentingan diri. Dia mengampu yang di atas, menyiku yang sebaya dan menekan yang di bawah.”
“Saya akan lawan mereka!”
“Jangan. Pembelit akan terbelit dengan jeratnya sendiri.”
“Pujuklah hati agar berbahagia dengan keikhlasan bukan dengan harapan agar orang yang tidak sehaluan dimusnahkan. Tidak ada ketenangan jika ada kebencian.”

“Berapa lama harus saya bersabar, eh… bersyukur?”
Saya tersenyum.
“Sabarlah dalam bersabar. Dan syukurlah sehingga tidak dapat diukur…”
“Ini pasrah atau mengalah?”
“Tidak kalah dengan mengalah.”
Saya dapat menyelami perasaannya. Setiap kita pasti diuji – isteri yang setia oleh kecurangan suami, majikan yang adil oleh pekerja yang tamak, pengikut yang setia oleh pemnimpin yang zalim. Dunia ini memang tidak adil… sebab itu perlunya ada akhirat. Di sanalah keadilan yang hakikit dan mutlak akan tertegak.

“Kenapa kita sering tertekan bila diuji begini?” jolok saya bila melihat dia mengelamun.
Dia diam.
“Kalau disusur dengan hati yang paling jujur, dimuhasabah dengan jiwa yang paling saksama, pasti di sebalik semua itu adalah kepentingan dunia jua,” kata saya.
“Sebab tidak naik pangkat, tidak dapat ganjaran, tidak dapat pujian dan sanjungan… Bukankah begitu?”
Dia diam. Matanya berkaca.
“Marilah sama-sama kita akui, kita pun jahat juga. Mungkin kita juga bukan ‘unsung hero’, sebaliknya kita juga hakikatnya ‘toxic people’!”

“Siapa yang mampu menilai siapa kita?”
“Dalam Al Quran Allah telah tegaskan dengan firman-Nya: Beramallah nanti Allah, Rasul dan orang mukmin akan menilai amalan kamu itu. Tiga itulah penilai yang paling tepat. Selain daripada itu ketiga-tiga itu semuanya tersasar.”
“Sekarang saya faham mengapa sejarah sering diselewengkan hinggakan wira dianggap penderhaka, penderhaka dianggap wira.”
“Kecuali sejarah yang dibawa oleh Al Quran dan As sunah.”
“Jika tidak kita akan memuji Haman pengampu Firaun berbanding Masyitah (tukang sikat rambut) bagi anak perempuan Firaun. Tentulah Haman lebih tersohor, kerana dia bertaraf menteri bagi sebuah negara. Sebaliknya Masyitah hanya seorang kuli biasa,” jelasnya menguatkan keterangan saya.

Saya tersenyum. Masih terbayang dalam ingatan bagaimana pada suatu ketika dahulu buku-buku sejarah (yang menyalin bulat-bulat fakta dan idea penjajah) menyanjung residen-residen British seperti Hugh Low, Frank Swetenham, Clifford dan lain-lain manakala Dato’ Bahaman, Dato’ Maharajalela, Tok Janggut, Mat kilau dan lain-lain dilabelkan sebagai penderhaka. Itu tidak termasuk lagi figur seperti Kamal Ataturk yang dianggap sebagai wira Turki padahal dialah yang paling banyak merosakkan Islam di Turki dan khalifah dalam dunia Islam.

“Namun begitu, betapa licik sekalipun strategi dan putar-belit ‘toxic people’ ini mereka tidak akan dapat menipu semua orang pada setiap masa. Lebih-lebih lagi mereka tidak dapat menipu diri sendiri.”
“Maksud saudara mereka tidak akan bahagia walaupun dengan jawatan, nama dan harta yang mereka miliki?”
“Mereka mendaki ke puncak hanya untuk meninggikan tempat jatuh. Hidup mereka sentiasa tidak senang kerana asyik memikirkan perancangan kejahatan. Mereka akan sentiasa dibayangi oleh orang yang mereka benci ke mana sahaja mereka pergi. Orang yang tidak cukup dengan yang sedikit, pasti tidak akan puas dengan yang banyak.”

“Tenang sedikit saya mendengarnya.”
“Mendengar yang mana satu?”
“Yang mana satu?” tanyanya semula.
“Mendengar pembalasan yang akan menimpa ‘toxic people’kah atau ketenangan yang bakal dimiliki oleh ‘unsung hero?”
Dia tersenyum.
“Kita harus ingat, ramai orang yang tidak bahagia dengan jawatan, harta dan nama yang tersohor tetapi lebih ramai orang yang tidak bahagia kerana dengkikan harta, jawatan dan nama yang dimiliki oleh orang lain. Yang satu ‘tak dapat’ apa yang mereka dapat. Yang satu golongan lagi ‘tak dapat’ apa yang mereka memang tak dapat!”

“Kesimpulannya?”
“Biarlah sapi yang dapat nama… kerana kita bukannya lembu yang terkenal dengan kedunguannya!”
Teringat pula perumpamaan orang tua-tua dahulu, bodoh macam lembu. Relakah kita menjadi ‘lembu’ hanya kerana dengkikan sapi yang sering mendapat nama? Katakan tidak, kerana Allah, Rasul dan orang Mukmin akan menilai kerja kita. Itu lebih penting! Dan tiba-tiba saya teringat sebuah nasyid yang didendangkan oleh Mujahid nasyid yang telah pergi – Ustaz Asri Ibrahim. Katanya, “mana milik kita? Tidak ada milik kita.. Semua yang ada, Allah yang punya!”

p/s Tolong doakan kesihatan saya. Semoga semua pengunjung sihat dalam taqwa barakah Ramadan. Amin. Burulah Lailatul Qadr…

Feedback

53
  • Najihah

    SyafakalLah.. Semoga diberi kekuatan dan kesempatan mendapatkan lailatulqadr.. Amiin.
    اللهم إنك عفو كريم تحب العفو فاعف عنا

  • Ukhti_Atirah

    semoga ustaz sentiasa diberikan kesihatan yang baik..semoga tulisan ustaz juga akan sentiasa memberikan nafas baru pada manusia utk mengenal erti makna kehidupan…

    syafakallah ya ustaz..

  • intan

    Jazakallahu khair ustaz…InsyaAllah..Ameen..

  • rumaisa

    shafakallah.. satu artikel sangat bermakna, dapat menilai semula sejauh mana keluhuran hati kita kepada Allah .

  • Ukhti_Atirah

    semoga ustaz sentiasa diberikan kesihatan yang baik..semoga tulisan ustaz juga akan sentiasa memberikan nafas baru pada manusia utk mengenal erti makna kehidupan…

    syafakallah ya ustaz..

  • Taufiq Razif

    carilah kebahagiaan dari dalam dan sebarkanlah ke luar.bukan mencari kebahagiaan luaran untuk menyenangkan keinginan diri.

  • Peluncur Islam

    InsyaAllah… Pengisian yang ustaz bagi selalu menyentuh hati ana… Jazakallah… Semoga Ustaz sentiasa sihat..

  • Hafriz

    Subhanallah…

    Artikel yg amat menenangkan dlm Pencarian Ramadhan sy kali ini..
    Jujurnya, shingga skg bgitu sukar utk sy menghadirkan rasa ikhlas d hati. Sy x kisah sy di anggap sbg unsung hero @ yg sama wktu dgnnya..tp sy khuatir d akhirat kelak, sy x punya apa2 sbg bekalan ke syurga..na’uzubillah.

  • scha

    Terima kasih ustaz atas perkongsian yang bermakna ini.

    InsyaAllah saya doakan ustaz dan seluruh keluarga sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik.Amin.

  • Najib S.

    Alhamdulillah….sy rasa lapang dgn penjelasan ustaz.. :)

  • syifa aslah

    Salam..syafakallah..smg Allah S.W.T memberi kesihatan yang baik kpd ustz utk trs mendidik ummah,ameen..ustz mhn copy utk manfaat bersama..

  • yushida03

    mata ku berkaca.. terima kasih atas nukilan ini.. semoga diri ini lebih bersyukur.. amin.

  • Nooridah

    Salam, dalam keadaan yg x brp sihat ustaz masih lagi berkongsi ilmu.. Terima kasih. Mudah2an ustaz sihat berkat ramadan.. Amin.

  • NurKasih

    Salam Ustaz.. semoga dengan kebaikan yang Ustaz lakukan akan dibalas Allah dengan kesihatan yang baik dan semangat juang yang tak akan pernah padam…
    Terima kasih yang tak terhingga dan syukur pd Allah.. perkongsian ilmu yang sangt2 bermnafaat buat diri yang hina lagi jahil ini..
    Nukilan dr Ustaz seakan satu cahaya yang dicari2 selama ini buat penerang dijalan yang penuh berliku.. Semoga diberi Allah kesihatan yang berpnjangan… ameen…

  • zurina md.noor

    Salam ustaz..saya sentiasa bermujahadah melalui tulisan ustaz..tp ..semakin banyak pulak dugaannya…semakin banyak bersabar semakin kuat di uji…ya..Allah berilah kekuatan pada kami semua yang sentiasa mengharap kasihMu.

  • Shahrizan

    Saya doakan ustaz semboh dari penyakit dan diberikan kesihatan. Amin.

  • naihusna

    Salam..
    Perkara mcm ni mmg selalu berlaku dalam mana2 organisasi..tak boleh nak elak..kadang2 niat pada awalnya nak bekerja secara ikhlas akan berubah bila berhadapan dgn org2 yg mcm tu…susah jugak ye..nak mintak share artikel ni ye..
    Wassalam…

  • gentarasa

    Salam NurKasih,
    Kita insan lemah… mujahadahlah kita sampai nanti dipanggil Allah. Ya Allah, barakah Ramadan… sabarkan kami, bantulah kami. Amin.

  • Ridhwan Bin Abdullah

    Salam..
    Ya Allah berikan kesihatan & kekuatan kepada kekanda…AMIN.

  • mujahadah

    salam…

  • mujahadah

    salam ustaz..
    semoga ustaz sentiasa diberikan kelapangan dan kesihatan dalam bulan yg mulia ini.ustaz..ana suka artikel ni,cuma..ader persoalan yg timbul dalam benak ana..ustaz kata:
    ‎”Jika kita sibuk melakukan kebaikan, kita tidak akan sempat melihat kejahatan orang lain. Jika kita masih sempat, itu petanda kebaikan yang kita buat masih sedikit. Dan kita masih belum benar-benar baik.”
    tapi ustaz..kalau kite tak nmpk kejahatan orang, mcm mane nak nahi mungkar?

  • Nisha

    Assalamualaikum semua,

    Terima kasih ustaz atas peringatan. Terlalu sukar menghadapi kerenah seperti ini. Saya baru belajar bersabar dengan orang-orang seperti ini dan untuk buat tak kisah pada apa yang mereka lakukan. Semoga ustaz di panjangkan usia dan mampu menabung sebanyak mungkin untuk bekalan ke detinasi terakhir.

  • zienur

    Assalamualaikum…
    titipan yg baik dan terkesan di hati saya dan pembaca yg lain..
    semuga kita di kurniakan rahmat dan kesihatan yg baik dlm meniti hari2 terakhir Ramadhan… insyaAllah…

  • hafizah

    jazakallah ust atas pencerahan yg bermakna. betapa selama ini kita juga turut berusaha utk menjadi ‘lembu yg bodoh itu’. Moga selepas ini tidak lg! amiin ya rabb

  • shahir

    semoga ustaz dilimpahi kesihatan yang baik oleh Allah..amin

  • QaSeh

    Salam ustaz.

    Syukur alhamdullilah ustaz dan terima kasih sb berkongsi ilmu dengan semua termasuk diri sy yg jahil..smoga ustaz dirahmati Allah.

  • gentarasa

    Salam,
    Maksud ‘nampak’ tu bukanlah begitu. Tetapi sebenarnya ‘mencari-cari dan ‘mengintai2′ keburukan orang lain. Nahi Mungkar kita tidak mencari tetapi dinampakkan. Itu wajib kita cegah dengan tangan, lidah dan hati…

  • nordalily

    salam,

    semoga Allah berikan kesihatan yg baik kepada ustaz dan family…. semoga kita semua dipermudakan urusan oleh NYA…insyaAllah

  • hafiz

    semoga ustaz cepat sembuh seperti sediakala….ameen…

  • Hani Fauzi

    ‘Kita wajar bersyukur kerana Allah hendak menyelamatkan kita daripada riyak dan takbur atas kebaikan yang telah kita lakukan. Tanpa sanjungan, tanpa pujian, bukankah rasa takbur dalam hati kita akan tertekan? Rasa riak juga akan terhenyak?”

    ~artikel yg sgt bermakna..
    syukran ustaz..smuge ustaz diberikan kesihatan yg baik di bwh lembayung RahmatNYA..Amin

  • nurul huda

    salam
    syafakalllah ustaz
    moga ustaz terus dapat berkonsi ilmu dgn kami yg dahagakan petunjuk ini.
    tulisan ustaz sentiasa memberi saya satu peringatan dan meyelesaikan ape yg terpendam pd hati yg mungkin tak disedari kewujudanya

  • Khairul

    semoga cepat sihat dan diberkati Allah.

  • gentarasa

    Salam,
    Syukran atas doamu. Ana sangat menghargainya.

  • gentarasa

    Salam Nurul,
    orang yang baik sentiasa dapat belajar daripada semua hatta daripada orang yang jahat sekalipun.

  • gentarasa

    Salam,
    Syukran atas doamu. Amin.

  • nur afni

    salam ustaz..
    semoga sihat dan berada dalam lindungan Allah selalu..
    x lupa juga, utk semua muslimin yg mencari al-qadr..=)

  • pelajaryangbelajar

    Shafakallah Ustaz.
    Semoga berada dalam keadaan sihat, untuk merebut bonus-bonusNya di bulan Ramadhan ini.

  • 2t

    salam…

    Saya doakan ustaz sentiasa sihat dan dpt teruskan perjuangan seperti yang di impi-impikan, ameeen. insyallah. ;)

  • halizaliz

    dengan nama Allah yang Maha Besar, aku memohon agar kau lindungilah penulis ini dari kesakitan setiap masa dan selamanya agar penulis ini dapat membentuk dan membersihakan hati dan jiwa kami yang ‘tercari-cari’ dengan cara tersendiri beliau. sesungguhnya kaulah yang Maha Agong dan Maha mengetahui segala2nya. Amin

  • gentarasa

    Salam,
    Doa dari saya untuk saudaraku juga. Sedang mujahadah dan merawat hati sendiri disamping mengingatkan orang lain. Ya Allah, berikanlah saudaraku ini ketaqwaan dan kejayaan dunia dan akhiratnya. Amin.

  • Latifah

    Ya Allah, Ya Rahman, Ya rahim, kurniakanlah ustaz kesihatan dan kesejahteraan agar dapat terus menulis artkel2 yang dapat menyedarkan kami dari lena yang panjang….agar dapat terus berdakwah ke jalan yang diredhai Allah..amiiiin

  • Syareef

    Syafal lahhu saqamak wa ghafara zambak wa sallama fi dinik wa jismik ilal muddatin ajalik….Amin Ya Rob

  • Lina

    Moga ustaz dikurniakan kesihatan yang baik utk terus menulis.. sy suke sgt artikel ustaz… utk jd kan diri sy lebih baik.. Moga usaha ustaz dibalas syurga.. Aminnnn :)

  • kamila

    semoga ustaz dan keluarga sihat sihat sentiasa,Insyallah

  • musi

    Assalamualaikum wm.wb.
    Semoga utz. diberkati allah sekeluarga.
    Wah ayat yang dipenuh puitis dengan penuh makna dan pujian ketaqwaan.
    Salam

  • Humaira

    Assalamualaikumwbh….ana mohon share ustaz….good and effective writting…terus zap menyentuh hati ana…

    jazakallah..

  • einah noor

    ….subhanaAllah… syukran jazilan ya sahib…

  • fiza

    tahniah,atas segala hasil penulisan ustaz.

  • fiza

    salam.ustaz ,tahniah

  • Abdullah

    Subhanallah…ustaz selalu menggunakan perkataan2 baru dan idea2 yg xpernah saya dgr sblm ni..bggaimana ye ustaz nak hasilkan penulisan yg benar2 berkualiti dan bisa menyentuh hati manusia..ustazah fatimah syarha pernah bkata, salah satu tips utk menulis adalah dgn menulis kerana Allah..ustaz ad tips lain x….? -Saya bakal guru yang akan membuat tugasan untuk menghasilkan 1 novel dan 5 cerpen beserta 5 sajak..sehingga ke saat ini saya masih buntu……tidak ad hala tuju…objektif saya, ingin menghasilkan karya2 berasaskan ketuhanan agar dpt mberi panduan kpd rakan2 lain…..

  • gentarasa

    Salam,
    Untuk pengetahuan Abdullah pihak Galeri Ilmu ada menganjurkan kursus-kursus berkenaan. Insya-Allah, dengan berkongsi aspirasi dengan orang lain kita akan ada dorongan, tujuan dan jalan untuk menulis. ‘Aku’ tak sekuat ‘kita’ dan ‘kami’!

  • ummi yatim

    Barakallah! Ana suka dgn penulisan ust. Ente ada sense of humour. Ana rasa ni ‘toxic’ people nak kena bekam supaya tak jadi cancer (maaf, gurau je). Yg penting semoga artikel ust dapat dimanfaatkan bersama. Amin wassalam.

Leave a Reply

%d bloggers like this: