RSS

MENCARI… BUKAN MENANTI LAILATUL QADR

01 Sep

Setelah begitu resah, bimbang dan sedih atas kerosakan kaumnya, Rasulullah SAW pergi menyendiri (bertahannuth) di gua Hira’. Baginda nekad. Tidak mahu “kotoran” jahiliah hinggap pada hati dan dirinya. Hatinya meronta-meronta inginkan kebaikan buat kaumnya, tetapi apa kan daya, baginda tidak punya “senjata” dan “penawar” untuk menghadapi dan mengubatinya.

Bertahun-tahun, baginda di situ. Menyendiri, terasing seketika, untuk tidak terjebak dalam kejahilan dan kemusyrikan Arab Jahiliah. Bukan mengalah, tetapi berundur seketika mengatur langkah. Walaupun belum nampak cara tetapi kemahuan sudah ada. Hatinya sebagai wadah itu sentiasa menganga untuk mendapat pimpinan dan bimbingan.

Dan tiba-tiba pada satu malam yang penuh barakah, cahaya dan petunjuk, turunlah malaikat Jibrail membawa wahyu yang pertama. Saat itulah, baginda mula mendapat kekuatan, tenaga dan dorongan yang sangat luar biasa. Segala yang dinanti telah tiba. Segala yang “kosong” telah terisi.

Baginda menjadi Rasul sejak itu… mula dibebankan misi yang amat besar yakni berdakwah, mendidik dan memimpin kaumnya menuju Allah. Kembali ke fitrah. Malam yang bersejarah itu dikenali sebagai malam Al Qadar!

Mulai saat itu, selamat tinggal Hira’. Tidak ada pengasingan diri lagi selepas itu. “Rahib” sudah bertukar menjadi mujahid. Cahaya yang bermula dari dalam gua itu terlalu hebat, terlalu terang… bukan itu gelanggangnya, tetapi semesta alam. Roh iqra’ yang hebat itu disusuli kemudiannya oleh gerak Al Mudathir, lalu baginda pun menguak “selimut” uzlahnya lalu dibesarkan Tuhannya dengan sinar akidah di relung samar Jahiliah.

Apakah malam Al Qadar 1431 H ini akan ditunggu oleh hati seputih Rasulullah saw? Atau hanya diintai dan diramal oleh kebanyakan umat dengan hati yang kotor dan nafsu liar. Apakah al Qadar akan sudi bertamu di wadah hati yang begitu? Padahal hati Rasululah ketika menantinya sudah dikosongkan demi bertamu sebuah hidayah? Berapa lamakah kita telah membenci kemungkaran seperti Rasul membencinya hingga tiba saatnya baginda layak menemui malam yang agung dan hebat itu?

Apabila bercakap tentang Lailatul Qadar, terdapat berbagai-bagai pendapat tentang tanda-tanda berlakunya malam tersebut. Ada yang mengatakan apabila berlaku Lailatul Qadar, semua pokok menunduk rukuk dan semua sungai membeku dalam kadar waktu yang singkat.

Ada pula keterangan yang mengatakan cuaca pada siang hari menjadi tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk bahana Lailatul Qadar pada malamnya. Pendek kata, ada berbagai-bagai pandangan dan tanggapan. Apakah semuanya benar? Wallahua’lam. Pada hal di dalam Al-Quran atau hadis-hadis Rasulullah saw malam Al Qadar masih kekal tersembunyi dan misteri untuk ditentukan secara pasti.

Terdapat sikap sesetengah kalangan yang suka menunggu-nunggu tanda-tanda berlaku Lailatul Qadar untuk beribadah semaksima mungkin. Hanya pada malam yang dimaksudkan itu! Apakah cara ini betul? Sedangkan, Islam tidak mengajar demikian. Memburu satu malam bernama Al Qadar memerlukan ribuan malam sebelumnya yang dipenuhi dengan aktiviti dan usaha membersihkan hati secara konsisten.

Ia bagaikan atlet 100 meter yang berlari beribu-ribu kilometer dalam tempoh beribu-ribu jam sebagai persediaannya untuk menghadapi hari perlumbaan yang hanya mengambil masa tidak sampai 1 minit dengan jarak 100 meter.

Malam Al Qadar itu umpama sebuah “kapal terbang” yang memerlukan landasan yang selamat dan cukup panjang untuk mendarat. Jika landasannya pendek dan terhalang, kapal terbang tidak akan mendarat. Landasan Lailatul Qadar ialah hati yang bersih. Mana mungkin malaikat yang bersih dan suci itu boleh berdamping dengan orang yang hatinya masih kotor dengan sifat mazmumah apatah lagi kalau ada saki-baki syirik? Dan mana mungkin hati yang kotor dapat dibersihkan hanya dalam jangka masa satu malam?

Hati mesti dibersihkan sejak akil baligh hinggalah akhir hayat. Bersihnya hati itu, mencerahkan peluang kita untuk bertemu malam Al Qadar. Sebaliknya, jika hati dibiarkan kotor, dan hanya berangan-angan untuk bertemu dengan malam itu dengan “tekaan” dan “ramalan” sahaja, insya-Allah, kita tidak akan dapat menemuinya.

Allah swt tidak memberitahu kita rupa bentuk atau tanda-tanda Lailatul Qadar. Kita juga tidak diberitahu bilakah masanya malam itu? Namun apa yang Allah swt beritahu kita dalam surah Al-Qadr ialah tentang keutamaan Lailatul Qadar. “Malam kemuliaan itu adalah lebih baik daripada seribu bulan.” Apakah maksud Allah swt dengan ungkapan “lebih baik daripada seribu bulan?”

Kita harus faham bahawa surah berkenaan Lailatul Qadar sebenarnya membicarakan tentang penurunan Al-Quran. Malam diturunkan Al-Quran itu disebut Lailatul Qadar. Walau pun ia berlaku hanya satu malam sahaja, tetapi satu malam itu jauh lebih baik daripada 1000 bulan yang dipenuhi dengan kegelapan syirik, kesesatan dan sebagainya.

Menurut pandangan kebanyakan ulama tafsir, angka 1000 bulan ini tidak harus diertikan dengan bilangan antara 999 dan 1001. Sebaliknya ia dinisbahkan kepada nilai atau keutamaannya malam itu berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Surah Al-Qadr juga membicarakan tentang para malaikat yang turun disertai Jibrail a.s dengan izin Allah swt dengan membawa urusan. Jibrail turun menyampaikan wahyu yang terakhir kepada Nabi saw. Ini bermakna baginda telah mendapat Lailatul Qadar.

Namun kini, apakah urusan para malaikat turun ke bumi pada setiap bulan Ramadhan setelah kewafatan baginda?

Para malaikat adalah makhluk yang suci yang diutuskan oleh Allah Yang Maha Suci. Mereka sentiasa turun setiap malam, khususnya pada malam penghujung Ramadan. Ini sudah banyak dijelaskan dalam hadis-hadis Nabi saw. Namun begitu, jumlah malaikat yang turun pada setiap malam (yakni di sepertiga malam) tidak seramai pada Lailatul Qadar. Apatah lagi pada malam itu, malaikat yang turun bukanlah malaikat-malaikat yang sembarangan, tetapi yang tinggi “rankingnya” misalnya Jibrail a.s.

Lazimnya malaikat turun untuk membawa amalan manusia misalnya doa-doa, istighfar atau hajat-hajat mereka kepada Allah swt. Namun pada Lailatul Qadar, tugas mereka adalah lebih daripada itu. Menurut pendapat ulama kontemporari, malaikat yang turun bukan sahaja untuk membawa amalan manusia pada malam itu, tetapi turut bertamu dalam hati-hati mereka yang telah mendapat penghormatan daripada Allah swt.

Siapakah mereka yang layak menerima tetamu daripada malaikat yang diutuskan Allah ini? Apa yang pasti, jiwa-jiwa yang kotor sudah tentu tidak layak mendapat kunjungan mereka. Malaikat Jibrail diperintahkan turun bertemu dengan Nabi saw pada Lailatul Qadar. Semenjak malam itu, Jibril a.s sentiasa diutuskan kepada baginda untuk menyampaikan wahyu.

Bermula pada malam itu, apa sahaja yang dilakukan oleh Rasulullah saw semuanya mendapat bimbingan terus dan intim daripada Allah swt. Apa sahaja yang diucapkan oleh baginda semuanya berpandukan wahyu. Ini berbeza dengan keadaan sebelum baginda menjadi nabi. Rasulullah saw terpaksa juga berperang atau berjuang antara keinginan negatif dengan tuntutan fitrahnya. Hanya setelah mendapat Lailatul Qadar, bisikan malaikat dan tuntutan fitrah sentiasa dapat mengalahkan bisikan nafsu dan syaitan.

Oleh itu, sesiapa sahaja yang mendapat Lailatul Qadar, terdapat seorang malaikat yang diizinkan Allah swt menjadi aulia (pelindung, penjaga dan pembimbing) kepada dirinya. Ini bermakna bermula daripada malam itu sehingga hari berikutnya, hidupnya semakin terarah.

Jika sebelum ini bisikan syaitan dan bisikan malaikat sentiasa berperang dalam dirinya, tetapi setelah mendapat Lailatul Qadar, bisikan malaikat dan fitrahlah sentiasa menang. Hidupnya akan berubah menjadi baik. Jika dahulu dia tidak merasa apa-apa jika berbuat dosa, tetapi kini menjadi sensitif dan susah hati mengenangkan dosa. Inilah tandanya orang yang mendapat Lailatul Qadar.

Orang-orang yang layak mendapat Lailatul Qadar termasuk mereka yang istiqamah berpegang teguh kepada aqidah tauhid dan tidak mencampurkannya dengan syirik walau sedikit pun sedari kecil. Mereka ini sentiasa memelihara keimanan khususnya sepanjang bulan Ramadan, bahkan semakin bersemangat terutama pada sepuluh hari terakhir Ramadan.

Mereka inilah orang-orang mendapat tetamu daripada malaikat yang turun pada malam Qadar. Malaikat akan membisikkan sesuatu kepada roh, jiwa dan fitrah mereka sebagaimana firman Allah swt dalam Surah Al- Fussilat ayat 30:
“Janganlah kamu takut, janganlah kamu bersedih.”

Bencana hidup penuh dengan ketakutan dan kesedihan merupakan dua perkara yang sering disebutkan dalam Al-Quran. Namun bagi orang mukmin, Allah swt janjikan bagi mereka tiada ketakutan dan tiada kesedihan atau dalam istilah lain mereka telah mendapat ketenangan.

Allah swt izinkan malaikat menjadi pelindung, pembimbing dan pengawal bagi mereka. Bayangkan apabila hidup sentiasa dikawal oleh malaikat. Jika hendak berbuat sesuatu yang tidak baik sentiasa ada malaikat yang mengingatkan. Oleh itu beruntunglah mereka yang mendapat Lailatul Qadar.

Nilai umur seseorang selepas mendapat Lailatul Qadar adalah lebih baik sekalipun ianya singkat. Katalah ada seorang tua berumur 70 tahun telah mendapat Lailatul Qadar pada malam ini. Bermula pada malam ini, hidupnya menjadi lebih terarah kepada kebaikan. Katakanlah di Luh Mahfuz pula telah tercatat umurnya akan berakhir pada 72 tahun. Jadi nilai umurnya yang dua tahun berbaki lagi itu (yakni setelah mendapat bimbingan malaikat dengan izin Allah) adalah jauh lebih baik daripada 70 tahun hidup sebelumnya!

Sejarah pernah memaparkan kisah Firaun yang sangat membenci Nabi Musa a.s dan ingin memalukannya. Dia pun mengatur satu majlis besar-besaran dihadiri pembesar-pembesar dan rakyat Masir. Ahli-ahli sihir diraja dikumpulkan untuk berlawan dengan Nabi Musa. Namun sihir-sihir diraja itu dapat dikalahkan oleh mukjizat Nabi yang berupa ular besar.

Ular besar itu telah menelan semua ular ahli-ahli sihir itu. Rasa takjub kepada kehebatan mukjizat Nabi menyebabkan ahli-ahli sihir ini sujud kepada Allah. Mengapa mereka terus sujud menyembah Allah? Ahli-ahli sihir ini tahu membezakan yang mana ular sihir dan ular yang betul. Mereka yakin ular besar yang muncul di hadapan mereka bukanlah ular sembarangan atau ciptaan manusia.

Melihat sahaja ahli-ahli sihir telah beriman kepada Allah swt, Firaun menjadi terlalu marah. Firaun mengugut akan menyalib dan mengerat-ngerat badan mereka jika memeluk agama Nabi Musa. Namun ahli-ahli sihir itu teguh pendirian kerana lebih sayangkan iman daripada nyawa mereka sendiri. Akhirnya Firaun menyalib dan mengerat-ngerat tangan mereka dan dibiarkan sehingga mati.

Katakanlah selepas lima hari barulah mereka mati. Jadi nilai umur ahli-ahli sihir selama lima hari dalam keadaan beriman itu adalah lebih baik daripada umur mereka yang sebelumnya penuh dengan kejahatan.

Jadi, mulai bilakah perlu mempersiapkan diri supaya menjadi orang yang layak menerima Lailatul Qadar? Jawapannya ialah sejak kecil lagi. Nabi saw mempersiapkan diri, roh dan jiwanya sebelum menerima wahyu daripada Allah swt sejak daripada kecil. Baginda tidak pernah berbuat dosa pada ketika orang lain banyak berbuat maksiat. Oleh sebab itu baginda digelar Al-Amin (yang terpercaya) sejak sebelum dilantik menjadi rasul lagi.

Enam bulan sebelum Lailatul Qadar, baginda mengasingkan dirinya secara intensif meninggalkan keluarga dan kaumnya sementara waktu untuk menumpukan hati kepada Allah di gua Hira’. Itulah persediaan jiwa nabi sebelum menghadapi Lailatul Qadar.

Bagaimanakah dengan jiwa kita? Mungkinkah ibadah yang kita usahakan selama ini daripada satu Ramadan ke satu Ramadan belum menghasilkan jiwa sempurna atau suci bagi membolehkan didatangi oleh malaikat? Jika tahun ini kita tingkatkan lagi ibadah, seterusnya ditingkatkan tahun demi tahun, tidak mustahil satu ketika nanti kita akan didatangi malaikat pada malam Al Qadar.

Rugilah bagi orang-orang yang hanya menunggu-nunggu tanda-tanda Lailatul Qadar barulah bersiap untuk beribadah sebanyak-banyaknya. Atau hanya memperbanyakkan ibadah pada sepuluh hari terakhir Ramadan dan mengabaikan serta sambil lewa pada 20 malam sebelumnya dan tidak ambil kisah langsung dengan 330 malam di luar Ramadhan. Tidak salah menambah pecutan di sepuluh malam terakhir… tetapi momentumnya perlu bermula lebih awal.

Ibnu Kathir pernah menyatakan dalam kitabnya, ada pendapat ulama yang menyatakan bahawa setiap malam dalam bulan Ramadan ini itu ialah malam Lailatul Qadar. Jadi, lebih selamat jika kita menganggap setiap malam itulah Lailatul Qadar supaya kita berterusan meningkatkan ibadah.

Sekiranya kita tidak mendapat Lailatul Qadar, ibadah yang dilakukan bersungguh-sungguh masih tidak sia-sia. Teringat kata Imam Hasan Al Basri, “jadilah kamu hamba Allah (yang beribadah sepanjang masa, tempat dan suasana), jangan menjadi hamba Ramadhan (yang hanya tekun beribadah di bulan Ramadhan sahaja).

Tegasnya, Lailatul Qadar itu dinanti dan dicari dengan momentum ibadah yang telah dimulakan sejak akil baligh lagi – hati terus terusan dibersihkan, hingga tiba saatnya layak menjadi wadah tempat bertamunya para malaikat. Hingga dengan itu bisikan baik akan sentiasa mengatasi bisikan jahat, dan perangai pun berubah menjadi baik selama-lamanya.

Jadilah hamba yang mencari malam al Qadar, bukan yang hanya menantinya!

 
39 Komen

Posted by di 1 September 2010 in Kemudi Hati

 

Label: , , , , ,

39 responses to “MENCARI… BUKAN MENANTI LAILATUL QADR

  1. syifa aslah

    1 September 2010 at 12:47 pm

    salam, ustaz
    Subhanallah, entri yg cukup menyentuh jiwa..

     
  2. Khairunisa Zulkurnain

    1 September 2010 at 12:58 pm

    Terima kasih untuk article ni Ustaz..betul2 sgt bermakna…
    Moga sentiasa tsabat dan menjadi peringatan hakiki untuk saya dan semua..
    jazakallah Ustaz..
    pernah trpk sedih beraya di perantauan..tapi terpk sekali lagi..xprlu pk baju raya,bazar ramadhan…tp hati lagi tenang dan fokus ibadah padaNya sahaja..
    inshaAllah..

     
  3. khaulah

    1 September 2010 at 1:27 pm

    syukran ustaz. artikel yang bermanfaat.

    sama2 kita manfaatkan Ramadhan yang makin hampir ke penghujung.

     
  4. Ridhwan Bin Abdullah

    1 September 2010 at 5:15 pm

    Asalamua’laikum..
    Benar kekanda, ‘Madrasah Ramadhan’ bukan seperti kita ‘mengumpul’ segala pahala tetapi ianya ter’noktah apabila menjelang ‘raya’. Sayangnya akhirnya ‘membuang’ pula dengan segala dosa ‘lama’ yang sudah ‘berkarat’ dalam jiwa manusia. Benarlah kata hukamak jika kedatangan bulan ‘hebat’ anugerah Allah buat hambanya hanya sekadar ‘Pesta Juadah’ bukan ‘Pesta Ibadah’. Maka hasilnya bulan yang seagung namanya ‘Ramadhan al-Mubarak’ hanya sekadar diambil oleh kita sebagai ‘Ramadhan al-MURTABAK. Allah Maha Mengetahui.

     
  5. شلح

    1 September 2010 at 5:31 pm

    Salam Ustaz.. Penulisan Ustaz masih mant0p.. Lama dah tak baca.. Kali ini berpeluang baca..

     
  6. halman

    1 September 2010 at 8:52 pm

    askum ustaz……

    Setelah membaca penulisan ini sedikit sebanyak telah menambahkan lagi pengertianku tentang malam lailatul qadar…Moga kita sama-sama menemuinya. InsyaAllah

     
  7. Hafriz

    2 September 2010 at 12:01 am

    Salam ustaz…

    entri yg ckup mnyedarkn sy. Sy akui, sy mmg lalai stiap masa stiap ktika.
    Pernah dikerah sluruh tenaga utk brubah. baru saja nk bertatih di jalan mujahadah, jatuh balik… astaghfirullah…
    smoga dgn pngisian dr ustaz ini, mmpu mnguatkn diri sy untuk trus brusaha. insyaAllah… syukran ustaz!

     
  8. nuriman

    2 September 2010 at 6:08 am

    salam terima kasih atas info yg menarik..sy begitu kagum dengan penulisan ustaz di di majalah kesayangan saya solusi….menyentuh hati …..semoga ramadhan kali ini yg terbaik utk semua amiiin…

     
  9. gentarasa

    2 September 2010 at 6:58 am

    Salam,
    Nilai iman tak namapak, nilai material nampak… begitulah kita. Yang dekat kita buru, yang jauh kita alpa. Padahal itulah iman, yang bernilai tetapi jauh kerana tidak kelihatan oleh mata.

     
  10. gentarasa

    2 September 2010 at 6:59 am

    Salam,
    Salam saya untuk semua ahli keluarga. Semoga dirahmati Allah dengan taqwa. Amin.

     
  11. gentarasa

    2 September 2010 at 6:59 am

    Salam,
    Sekadar melihat dari dimensi yang lain. Mudah-mudahan ada sudut2 yang kita boleh belajar bersama.

     
  12. Musdalipah Benajare

    2 September 2010 at 9:29 am

    Terima kasih atas artikel yang sangat bermanfaat ini ustaz

     
  13. maradona

    3 September 2010 at 9:58 am

    Salam Ustaz,
    maaf kalu komen saya ini menyinggung, saya sangat respek pandangan2 ustaz, tapi berkenaan topic ini dan ulasan ustaz, bila saya baca semalam, saya terfikir dan termenung, dlm hati berkata” kalau Allah kira yg hanya hati yg bersih tiada noda, maka saya hanya seorang pelaku dosa sepanjang masa dan hati saya sangat kotor dan ranaplah impian mendapat lailatul qadr”, “kalau utk mendapat mlm tersebut perlu kepada track record cemerlang dari kecil maka saya gagal dan terus gagal”, ” saya lemah…usahkan jejak langkah nabi saya gagal ikut, jejak langkah guru2 pun saya jauh sekali…gagal lagi”. tiba2 saya terfikir kan rahmat Allah…walaupun saya rasa terhina…saya x mau putus asa dgn rahmat Allah, biar pun hati ini kotor dan jijik lagi jahil…subhanallah…saya kembali kuat, kali ni hati saya berkata kata ” walau sedetik atau sesaat pun dapat rahmat lailatulqadar saya tetap mengharap…sebab saya memang banyak dosa”…saya rasa lailatulqadar adalah dari Allah utk sesiapa sahaja yg dia kehendak….ya Allah ampun kan kami…

    wassalam
    maradona

     
  14. fitrah fansuri

    3 September 2010 at 12:53 pm

    salam…
    terma kasih ustaz…
    article yang sangat bermanfaat….
    smoge kita dapat bertemu dngan malam lailatul qadar…issyaallah…

     
  15. Aisyah

    3 September 2010 at 1:03 pm

    Salam,

    terima kasih atas artikel ini.

     
  16. Lina

    3 September 2010 at 1:12 pm

    Salam.

    Artikel yang sungguh menyentuh jiwa.
    Mohon share ye Ustaz. Jazakallah

     
  17. faiz d

    3 September 2010 at 2:34 pm

    Salam Ustaz,
    Mula kenal Ust melalui sesi motivasi di IKIM,
    Dah baca “Nota fikir” & sedang baca “Dimana Dia Dihatiku”…enchanting
    Looking fwd to baca karya yg lain…Insya-Allah

     
  18. maslina

    3 September 2010 at 3:49 pm

    masyaALLAH, entry yang sangat menyentuh jiwa.. sedih memikirkan nasib diri yang masih belum berjaya melawan nafsu sendiri apatah lagi godaan syaitan!!

     
  19. Liza

    4 September 2010 at 10:09 am

    Terimakasih atas peringatan yg amat bermakna ini.. Insyaallah, akan diperaktikkan…

     
  20. hanif

    4 September 2010 at 2:13 pm

    syukran ustaz..entry ni betul2 membuka mata saya..

     
  21. nurul

    4 September 2010 at 8:48 pm

    Salam, Ustaz

    Terima kasih bayak2 saya ucapkan kepada Ustaz.
    Semoga ianya memberkan pengajaran utk semu orang.

     
  22. Najihah

    5 September 2010 at 5:44 am

    Syukran ya Ustaz,artikel yang berguna. Moga dapat menyuburkan iman di dalam hati ini. Insya Allah.

     
  23. ana syahidah

    5 September 2010 at 6:39 pm

    salam ustad,

    Alhamdulillah dapat sy baca artikel ustad kali nie…ana berasa lebih phm ttg mlm Al Qadar ini. Terima kasih ustad dan mohon disharekan dgn shabat ana yg lain. Wasaalam

     
  24. along///

    5 September 2010 at 6:50 pm

    setuju dgn artikel ustaz…..
    lailatul qadar itu di cari bkn d nanti…..
    carilah sehingga kite di hujung nyawa…apa yg saya rasa, insya allah kalu ikhlas dan brsungguh,
    suatu hari pasti kite akn menjumpainya……..

     
  25. PutraRocker

    5 September 2010 at 9:23 pm

    kuruskan badan..gemokkan iman!wooot3 o_O

     
  26. Aq_Furqan

    5 September 2010 at 10:36 pm

    Salam a’laik. Syukran kathir atas prkngsian artikal ramadhan kali ini, ckp brmkna utk sy dlm prses mnginslahkan diri,mg Lailatul Qadr mnjd milik semua,Insya-Allah…Mnta izin ustz utk share artikel ini…

     
  27. Aliza

    7 September 2010 at 6:29 am

    salam semua…
    komentar artikal yang cukup bermanafa’at buat renungan dan amalan kita bersama. semoga Allah perkenankan amalan dan pahala kita semua. AMEEEENN…………..

     
  28. gentarasa

    7 September 2010 at 10:00 am

    Salam saudaraku,
    Merasa berdosa adalah ‘pembersih’ bagi hati yang berdosa. Dan taubat adalah pembersih dosa yang utama. Siapakah yang benar-benar bersih sejak awal? Ya, mungkin sedikit. Tetapi yang menempuh jalan taubat dan sentiasa merasa berdosa… itulah yang mungkin lebih ramai. Saya hormati pandangan saudara. Tahniah.

     
  29. Ibu Hafiz

    7 September 2010 at 1:17 pm

    Salam,

    Jzkk Ustaz di atas perkongsian.

    Sangat menginsafkan diri ini. Masih banyak yang perlu dilakukan untuk “membersihkan” diri ini sebelum layak bertemu dengan Lailatul Qadar. Semoga diizinkan Allah SWT suatu ketika nanti.. Ameen.

     
  30. Anakanda

    9 September 2010 at 8:10 am

    Assalamualaikum Ustaz.

    Alhamdulillah dan terima kasih atas artikelnya. Anakanda begitu tersayu hati membacanya. Sungguh diri ini banyak dosa. Begitu mahu sentiasa sujud pada-NYA.

    Ya Allah, Ya Rahman Ya Rahim
    Kasih sayang-MU begitu besar memayungi segala yang ada di langit dan dibumi
    Subhanallah.

    Salam lebaran dari anakanda buat Ustaz dan keluarga.

     
  31. gentarasa

    9 September 2010 at 9:24 am

    Salam anakanda,
    Semoga semua amalan kita diterima Allah. dan diampunkan segala dosa. Untuk semua keluarga di sana didoakan kesejahteraan, ketenangan dan ketaatan berkekalan. Amin.

     
  32. abunor

    4 Oktober 2010 at 9:44 pm

    Salam. Saya berpendapat lailatul qadar tu diberi bukan dicari atau ditunggu. Jika ditunggu dan dicari susah nak dapat. Kalau Allah nak bagi rezeki tak perlu banyak amal pun dapat juga. Bila dah dapat tu hati jadi takut lalu jadi orang yang soleh. Ini banyak berlaku kepada orang yang Allah nak jadikan dia berubah dari jahat ke baik.

     
  33. abdool eziz abdool rachman

    12 Oktober 2010 at 12:29 pm

    Salam…tiada seorang nabi pun yang tidak bermunajat kepada Allah..mereka mencari cari untuk mendekati Allah…adalah erlalu sombong kita mengaharapkan kerhmatan Allah tanpa mencari nya…begitu juga dengan orang-orang soleh…jawapan yang sebenarnya ada pada orang yang mendapat lailatul Qadar itu sendiri. he..hee

     
  34. Kamali Fariz

    19 Ogos 2011 at 3:20 pm

    Semoga berguna bagi kita smua amin

     
  35. Aziz Hajiz

    20 Ogos 2011 at 8:25 pm

    Lailatu Qadar datang lagi…Ye Ikhwan nanti Ana akan cut and paste dan memberi link keatas
    sesorang yang telah menjumpai Lailatul Qadar nye kerana keikhlasan amalan nye dalam mencari Alllah…buat masa ini kalau nak segera google search Hj Lokman perubatan islam Al-Hidayah…dan klik untuk artikel lailatu Qadar…………Malam ini 21 Ramadhan mungkin kah?

     
  36. achmad luthfi

    28 Ogos 2011 at 12:36 pm

    Mencoba memahami “lailatul qodar” tentulah kita merujuk ke surat al qadar. inti dari surat ini kalau tdk salah adalah cerita tentang turunnya al Qur’an, bahwa Allah “telah” menurunkan al Qur’an, kapan al Qur’an diturunkan, dlm surat ini dijelaskan pada malam lailatul qadar. jumhur ulama mengatakan bahwa “lailatul qadar/turunnya al Qur’an” adalah tgl 17 ramadlan. dari sini bisa dipahami bahwa “lailatul qadar” adalah malam diturunkannya al Qur’an, dan itu terjadi 14 abad yg lalu. Jadi sesuatu yg diturunkan menurut cerita surat al Qadar adalah al Qur’an dan bukan lailatul qadar, “lailatul qadar” adalah keterangan waktu kapan al Qur’an diturunkan………. ya Allah apakah memang demikian ???

     
  37. Eiy Ismail

    30 Julai 2012 at 4:26 pm

    Assalammualaikum

    Ustaz Pahrol,

    Saya masih mencari bagaimana cara terbaik untuk mensucikan jiwa..kerana pokoknya jiwa dan hati lah perlu dibersihkan dan disemai dengan perkara-perkara baik. Allah Maha Besar dan MAha Pengasih..saya diuji sejak kecil hingga sekarang dengan macam-macam jenis penyakit..dan penyakit yang saya terpaksa lawan hari-hari sekarang ini ialah penyakit nafsu yang sentiasa dinodai oleh syaitan,,

    HInggakan kekuatan dalaman saya hampir pupus..namun saya tidak putus asa walaupun kerap kali saya tersungkur…setan2 dan jin2 yang dihantar oleh manusia yang mengamalkan ilmu hitam..(sihir dan hasad dengki)
    Jika ustaz bermurah hati..mohon kongsi ilmu atau zikir atau bacaan ayat2 Quran mahunpun amalan atau motivate diri saya untuk pulihkan diri saya ini…semoga ilmu yang ada pada ustaz dapat membantu saya…seorang hamba yang mencari dan mengenali Allah lebih dekat..

    Akhir kata, semoga Allah merahmati dan menambahkan ilmu ustaz berkat membantu pembaca..

    Wassalam

     
  38. bj

    10 Ogos 2012 at 8:51 am

    mohon izin tuk dikongsi kepada jemaah di masjid

     

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,254 other followers

%d bloggers like this: