Looking for Something?

TAK MAMPU KEHILANGAN CINTA…

Author:

Pertamanya, saya ingin memohon maaf atas cerpen saya Datin Oh Datin.

Saya paparkan hanya untuk mengusik minda remaja khususnya pelajar IPT agar berfikiran kritis dan dinamik. Tak sangka pula ada yang terkesan, saya mohon maaf.

Insya-Allah, kali ini mari kita kembali ke realiti masakini. Justeru, saya paparkan realiti kita kini dan selamanya… Ya, kita tak mampu kehilangan cinta

TAK MAMPU KEHILANGAN CINTA

Ketika  kedua suami isteri itu baru berpindah ke bandar, hidup mereka penuh ceria. Penuh dengan gurau mesra. Ada masa makan bersama, ada masa solat berjemaah bersama. Walaupun pendapatan masih kecil kerana perniagaan yang mereka usahakan belum menjadi, tetapi mereka mengharungi kehidupan dengan seadanya. Sikap saling memahami dan bertimbang rasa jelas terpancar. Di kejauhan malam atau pada awal pagi sudah kedengaran suara mereka berdua bergurau dan berbual  dengan mesranya.

Minggu demi minggu, bulan demi bulan dan akhirnya beberapa tahun mula berlalu. Perniagaan kecil-kecilan yang diusahakan dahulu semakin maju. Untuk menguruskan perniagaan yang semakin berkembang, suami adakalanya pulang lewat petang. Manakala siisteri yang juga memulakan pernigaannya sendiri pun semakin sibuk.

Anak-anak pun semakin jarang bertemu dan berbual mesra dengan mereka berdua. Namun, alhamdulillah keadaan ekonomi keluarga bertambah baik. Mereka telah berpindah dari rumah yang sempit ke rumah yang lebih luas. Sekarang keluarga itu telah memiliki kereta yang besar. Bukan sebuah, tetapi dua buah – sebuah untuk suami, sebuah lagi untuk isteri.

Entah kenapa, kemesraan yang dahulu semakin hilang. Suami semakin leka dengan kawan-kawan seperniagaan dan pelanggannya. Manakala siisteri juga sibuk mempromosi produk jualannya. Solat berjemaah, makan berjemaah yang dulunya menjadi tradisi semakin jarang dilakukan. Apatah lagi untuk melihat suami memberi sedikit tazkirah untuk anak-anak dan kemudian keluarga itu saling bermaafan bersama seperti dahulu… hampir tidak pernah lagi.

Benarlah kata bijak pandai, apabila kita mendapat sesuatu, maka pada masa yang sama kita akan kehilangan sesuatu. Kita tidak akan dapat kedua-duanya pada satu masa. Justeru, pesan bijak pandai lagi, pastikan apa yang kita dapat lebih berharga daripada apa yang kita hilang.

Keluarga tadi mendapat apa yang mereka cari – kemewahan dan keselesaan hidup, tetapi pada masa yang sama mereka sudah hilang kemesraan dan keharmonian dalam kehidupan berumah tangga.

Jika ditanyakan kepada hati nurani kita yang paling dalam, antara keduanya yang mana lebih berharga? Kemewahan hidup atau kerukunan rumahtanga? Tentu kita akan menjawab, kerukunan rumahtangga. Bukankah kita mencari rezeki dan segala kemewahan hidup untuk  membina sebuah keluarga yang bahagia?

Jika sisuami ditanya, untuk apa kamu bertungkus lumus bekerja siang dan malam? Tentu jawabnya, kerana isteri ku! Begitulah juga jika ditanyakan kepada siisteri, tentu jawabnya kerana suami. Dan jika ditanya kepada kedua ibu-bapa itu, untuk apa mereka berusaha, nescaya kita akan dapat jawapannya… demi anak-anak.

Malangnya, mereka dan kita sering tertipu, betapa ramai yang melupakan isteri, meminggirkan suami dan mengabaikan anak-anak semasa mencari kemewahan dan keselesaan hidup? Kita sering terlupa yang kemewahan hidup – harta, rumah, kereta dan sebagainya bukan matlamat tetapi hanya alat dalam kehidupan ini. Kita memburu alat untuk mencapai matlamat. Ertinya, harta dan segalanya itu adalah untuk membahagiakan rumahtangga kita. Begitulah sewajarnya.

Namun, apa yang sering berlaku adalah kita sering tertukar. Alat jadi matlamat, matlamat menjadi alat. Kebahagian rumahtangga sering jadi pertaruhan dan acapkali tergadai dalam keghairahan kita memburu kemewahan hidup. Kita berkerja demi anak-anak, anehnya anak-anak kita abaikan semasa bertungkus lumus bekerja. Kita tidak sedar. Kita terus memburu dan memburu.

Bangun dari tidur, berkemas dan terus bekerja. Hampir senja baru pulang. Tidak cukup dengan itu ada lagi kerja yang kita bawa pulang ke rumah. Tidak cukup lagi, kita keluar pula bertemu pelanggan dalam kerja-kerja ‘part time’. Begitulah kita hari demi hari, minggu demi minggu, bulan demi bulan dan akhir bertahun-tahun.

Tiba-tiba kita tersentak, mengapa kita sudah jarang menikmati senyum dan gurauan isteri? Mengapa kita sudah jarang mendapat sentuhan dan belaian suami? Mengapa ketawa dan gurau senda sudah semakin hilang dalam rumah tangga?

Pada ketika itu, hati yang degil masih mampu memberi alasan. Aku sibuk. Aku sedang mengejar kejayaan dalam profesionalisme. Sedikit masa lagi, perniagaan ku semakin menjadi. Nantilah, bila segalanya sudah stabil aku akan kembali serius membina keharmonian keluarga. Nantilah, aku akan ini, aku akan ini…

Begitulah selalunya diri kita memberi alasan. Hati memberi justifikasi yang bukan-bukan. Dan kita terus selesa dengan alasan, biarlah suami, isteri atau anak-anak berkorban sementara, nantilah kita akan bahagia!

Jangan keliru. Bahagia itu bukan hanya di hujung jalan tetapi bahagia itu ada di sepanjang jalan. Temuilah bahagia ketika kita mencarinya.  Carilah bahagia yang di sepanjang jalan itu dengan menggenggam rasa cinta sentiasa dan selamanya.

Carilah harta, tetapi genggamlah cinta. Carilah kemewahan hidup tetapi peluklah cinta itu sekuat-kuatnya. Jangan diabaikan cinta itu walau sekelip pun. Maknanya, tunaikanlah hukum-hukum cinta dalam apa jua pun keadaan.

Antara hukum cinta yang paling diutamakan adalah: Cinta itu memberi, cinta itu mendengar, cinta itu berkorban, cinta itu tanggungjawab, cinta itu mendoakan dan cinta itu memaafkan. Contohnya, jangan kesibukan menyebabkan kita jarang lagi memberi masa, perhatian, senyuman, nasihat dan doa kepada pasangan kita. Jangan hanya mengucapkan kalimah-kalimah cinta yang bersifat ‘kosmetik’ semata-mata. Tetapi luahkan dalam bentuk perbuatan dan tindakan yang dapat dilihat dan dirasakan.

Dan paling penting, jangan sekali-kali diabaikan cinta suci yang menghubungkan cinta antara suami dan isteri. Cinta itu adalah cinta Allah! Jagalah cinta kita kepada Allah, insya-Allah, Allah akan terus menyuburkan cinta kita suami isteri. Allah akan berikan hidayah dan taufik ke dalam hati kita untuk terus berpegang pada matlamat.

Kita akan sentiasa beringat bahawa dunia dan segala isinya ini hanya alat untuk memburu cinta Allah. Dan hanya dengan memburu cinta Allah maka cinta kita sesama suami isteri akan dikekalkan-Nya.

Dunia ini umpama lautan, ramai orang yang memburunya ditenggelamkan. Dunia ini menipu daya, ramai pula manusia yang ditipunya. Betapa ramai orang yang memburu dunia dengan menggadaikan sesuatu yang menjadi miliknya yang sangat berharga. Iman, kasih saying, cinta sering dilemparkan orang dilitar perlumbaan memburu dunia.

Dunia tidak salah, selagi kita memburunya dengan niat untuk beribadah. Kita jadikan dia alat untuk memburu kebahagiaan akhirat. Jadilah dunia umpama kebun yang kita pugar, kita bersihkan dan kita tanam dengan pohon-pohon kebaikan yang hasilnya kita tuai di akhirat. Jadilah dunia umpama jambatan yang kita lalui. Pastikan ia teguh, kukuh tetapi kita tidak akan berlama-lama di situ… ia hanya jambatan. Tidak ada orang yang membina rumah di atas jambatan. Rumah kita yang hakiki ialah di syurga.

Jika ada rasa-rasa itu di dalam jiwa ketika kita memburu karier, kejayaan dalam perniagaan dan apa jua aktiviti keduaniaan, insya-Allah cinta dan kasih sayang tidak akan diabaikan. Orang yang ada di dalam hatinya cinta Allah, sentiasa ada ruang yang lapang untuk mencintai sesama manusia lebih-lebih lagi suami, isteri dan anak-anaknya.

Dengan cinta itu kita akan menyelamatkan semua keluarga kita daripada neraka akhirat. Dan neraka di akhirat itu hanya akan dapat kita hindari jika kita berjaya menyelamatkan diri dan keluarga kita daripada neraka dunia.

Apakah neraka dunia itu? Nereka dunia itu ialah hilangnya kasih sayang di tengah-tengah rumah yang besar. Pudarnya cahaya wajah dan ketenangan hati di tengah sinar lampu yang beribu-ribu ringgit harganya di tengah ruang tamu rumah yang besar itu. Dan hambarnya perbualan di dalam kereta mewah yang sering bertukar ganti. Yang ketawa ria ialah pelakon-pelakon di dalam filem yang kita tonton, tetapi hati kita semakin kosong, gersang dan sayu entah apa puncanya!

Lihatlah Rasulullah saw. Betapa sibuknya bagainda… tetapi masih ada masa berlumba lari bersama Aisyah isterinya. Betapa besar perjuangannya… tetapi masih mampu meluangkan masa bersama isteri yang hendak melihat tarian dan permainan pedang di suatu Hari Raya. Ketika baginda kaya, dikorbankannya harta… kerana baginda tidak kehilangan cinta. Ketika baginda miskin… dihadapinya dengan sabar kerana di dalam hatinya tetap ada cinta. Baginda tidak pernah kehilangan cinta kerana di dalam hatinya ada cinta yang lebih besar… cinta Allah!

Justeru, intai-intailah semula cinta di dalam rumah tangga kita. Masih bersinar atau sudah pudar? Jika sudah pudar, ayuh muhasabah kembali di mana puncanya? Apakah yang kita garap hingga kita sanggup menggadaikannya?

Ayuh, lihat kembali ‘di mana Allah’ dalam rumah tangga kita? Di mana solat jemaah, di mana zikir, di mana tazkirah, di mana sadakah, di mana bacaan Al Quran… Di manakah semua ‘ayat-ayat cinta’ itu dalam rumah yang mungkin sudah semakin luas, kereta yang semakin mahal, makanan yang semakin lazat, tabungan kewangan yang semakin banyak?

Dan pandang wajah isteri, renung wajah suami… tatap lama-lama. Bila kita terakhir kita bertentangan mata dalam keadaan yang paling tenang, harmoni dan syahdu? Sekali lagi bila? Bukankah mata itu jendela bagi hati. Pertautan mata petanda pertautan hati?

Atau kita hanya melihat sekadar imbasan, tolehan dan pandangan, tanpa ada rasa cinta, kasih, mesra, kasihan, simpati, empati dan lain-lain perisa hati? Apakah kita secara tidak sedar telah bertukar menjadi ‘haiwan berteknologi’ dalam belantara dunia meterialisma yang semakin ketandusan cinta?

Lalu, di kejauhan destinasi ketika sibuk menguruskan kerja atau perniagaan, sudi apalah kiranya suami atau isteri menghulurkan gugusan doa-doa yang paling kudus untuk pasangannya? Atau ketika dia pulang nanti, kita sapa tangannya dan bersalam penuh mesra lantas  berdakapan dengan hati yang terus berkata-kata, “inilah teman ku di dunia untuk menuju syurga!” Inilah yang semakin hilang dalam rumah tangga kini.

Kita memburu tanpa sedar bahawa kitalah yang sebenarnya diburu. Diburu oleh kesibukan yang tiada penghujung, keresahan yang tiada penawar. Kekosongan yang tidak dapat  di isi. Kerana hati tanpa cinta… adalah hati yang mati!

Carilah cinta kita yang hilang. Insya-Allah kita akan temuinya semula cinta itu di tempat, suasana dan masa ketika kita mula-mula menemuinya dahulu. Bukankah kita bertemu kerana Allah? Bukankah yang menyatukan kita kalimah-Nya? Bukankah tempat termaktubnya lafaz akad dan nikah di rumah Allah? Kembalilah ke sana.

Carilah kekuatan itu semula. Tidak ada manusia yang terlalu gagah untuk hidup tanpa-Nya. Dan tidak ada hati yang paling waja hingga mampu bertahan terhadap tipuan dunia tanpa cinta. Renunglah mata isteri atau suami mu, carilah cinta itu di situ. Masih ada? Atau telah tiada?

Dan kemudian genggam erat tangannya. Mari kita cari semula cinta yang hilang itu bersama-sama!

DIKEJAUHAN INI

Sayang… di kejauhan ini

Ku sentuh hatimu dengan rasaku

Debarnya debar cinta

Denyutnya denyut setia

Ku usap air matamu yang jernih

Dengannya ku sulamrasa kasih

Kutatap matamu yang duka

Di situ kutemui makna rela

Sayang.. dikejauhan ini

Ku sapa salam setiamu

Ku sambut  senyum mesramu

Onak, duri dan jeriji besi ini

Tak kan menghalang bicara

… rasa kita berdua

Sayang, sayang, sayang,

Semakin terpisah…

cinta kita  semakin indah

Semakin jauh…

kasih kita semakin kukuh

Kita boleh hilang segalanya

Namun kita tidak mampu kehilangan cinta!

Feedback

55
  • kamariah

    salam ustaz. nukilan rasa yang mengusik rasa jiwa. Ya! kita tak mampu kehilangan cinta. insan ‘kuat’ dengan tegarnya cinta yang ada dalam hati dan jiwanya, dan tentunya cinta itu perlu berpaksi kepada cinta padaNYA. Keseimbangan dalam mendapat kebahagiaan dan kejayaan dalam hidup dapat dicapai dengan meletakkan cinta pegangan kuat dalam perjuangan itu. Semakin kita menghayati cinta semakin kebahagiaan dan kejayaan mendekati kita. Namun yang penting cinta itu cintaNya, barulah cinta kita dalam rumahtangga menjadi cinta tulus yang teguh dan subur. Biarlah cinta qudus kita hanya kerana Al-Quddus …

  • scha

    Entri ustaz tak pernah menghampakan… Syukran..

  • Humaira

    Assalamualaikumwbh..mohon kongsi ini ustaz. Syukran wa jazakallah..

  • Habib Ahmad

    MAJLIS BERSAMA ULAMA
    & BACAAN MAULID

    bersama

    HABIB KAZIM AS-SAGGAF
    (Pendakwah dari Tarim , Hadramaut , Yaman )

    pada:
    KHAMIS , 7 OKT 2010
    SLPS SOLAT MAGHRIB

    di
    MASJID AL-FALAH USJ 9.

  • wansiti

    Salam,
    Mohon kongsi Ustaz,
    artikel yang menyedarkan saya semula dari terlalu kecewa dengan kekurangan kemewahan..
    Namun ada lagi yang lebih penting, cinta Allah dan kasih-sayang sesama makhluk yang sentiasa bersama..
    Alhamdulillah..

  • Ya Ibu Muiz

    Salam Ya Ustaz,
    Satu entri yang terbaik untuk para usahawan seperti kami. Teruskan menulis.
    Kami mendoakan semoga ustaz diberi kesihatan agar terus menulis dan mendapat ilham. Amin.

  • nordalily

    salam ustaz,

    terima kasih ustaz, perkongsian yg amat terkesan di mata hati.

    mohon copy paste kat blog,saya reference & link kan ke blog ustaz.

    syukran

  • aznur

    akum ustaz, mohon copy and paste kat blog saya yer..ok tq..

  • nurkhaira

    Salam.

    Semoga Allah lindungi hati kami suami isteri agar sentiasa saling mencintai, tatkala sibuk atau semasa lapang, tatkala susah atau di waktu senang. Amin

  • ana syahidah

    Salam uztad,

    Terima kasih uztad menyedarkan ana di kala sibuk mencari rezeki adalah alat utk mencapai matlamat iaitu akhirat. Rasa hati ini tersebak kerana CINTA yg hakiki adalah CINTA ALLAH selamanya…Syukran uztad, ana mohon dishare bersama org lain. Teruskan lg uztad perjuangan uztad dgn penulisan2 yg meberikan kemantapan iman dan istiqamah dlm mengingati ALLAH SWT. Dan ana ucap terima kasih jgk ttg penulisan uztad ttg buku mukmin proffesional yg byk memberi tip2 utk mnjadi mukmin yg mengikut syariat yg diutamakan dan membuat ana mula berfikir dan InsyaALLAH mula beramal sebagai mukmin yg diredhai ALLAH…amin..

  • شلح

    Romantiknya Puisi Ustaz Pahrol.. Biasanya kalau kita berbakat dalam menulis maka dalam puisi, pantun, syair juga kita boleh.. 🙂

  • mawarlarangan

    salam..
    Alhamdulillah entri yang bagus dan mempunyai pengajaran yg bermakna.
    Sering kali manusia melupakan cinta dalam keluarga dalam mengejar kemewahan hidup di dunia. Tidak salah mencari kemewahan itu tapi janganlah sampai tergadai cinta keluarga. Sangat setuju dengan kata2 ustaz
    “pastikan apa yang kita dapat lebih berharga daripada apa yang kita hilang”.

  • aaris

    Salam semua,

    Entri yang komprehensif.

    Semoga jiwa, yang sudah mengenal apa itu BAHAGIA yang sebenarnya, tabah dalam menerima pandangan dunia, takkala tidak mengiyakan, apa itu bahagia pada para pengejar dunia.

    Semoga Allah kuatkan hati, dalam persekitaran kini.

  • Shikin

    Salam ustaz,

    Pengisian yang memberi kesan dijiwa.. mohon copy dan kongsi..

    Syukran

  • nur

    Salaam ustaz,
    Terima kasih tulisan atas peringatan ini.
    ‘Bahagia itu bukan hanya di hujung jalan tetapi bahagia itu ada di sepanjang jalan. Temuilah bahagia ketika kita mencarinya”..betul kata ustaz.

    Bila lagi ustaz akan keluar dalam rancangan motivasi di TV ?

  • hazanusuki

    assalamualaikum…
    ustaz,saya perasan dlm keluarga saya,kasih syg kpd Allah itu semakin kurang…saya nak ubah keadaan tu tp saya tak tahu bagaiman saya nak sedarkn ahli keluarga saya?

  • Habib Ahmad

    Jadual Program Tafaqquh Fiddin Bersama Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki – Oktober 2010M/Syawwal-Dhulqaedah1431H

    Jadual Program Tafaqquh Fiddin Bersama Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki – Oktober 2010M/Syawwal-Dhulqaedah1431H

    Tarikh: 27 Syawwal 1431/6 Oktober 2010 (Rabu)
    Masa: 7.30 malam
    Lokasi: Musholla Imam asy-Syefie, Taman Jali, Kangar, Perlis

    Tarikh: 1 Dhulqaedah 1431/9 Oktober
    Masa: 8.00 pagi – 10.30 malam
    Lokasi: Ma’had Tarbiah Islamiah, Derang, Kedah [Pertemuan mahabbah dan bacaan kitab terbaru karangan Sh. Nuruddin dan pelancaran Ikatan Murid-murid Syeikh Nuruddin di akhir majlis. Pada jam 11.00 pagi ada pertemuan dengan Maulana Salman al-Husaini (murid al-Marhum Sayyid Abul Hasan an-Nadwi). Beliau adalah merupakan Syeikhul Hadits dari Nadwatul Ulama, Lucknow India]

    Tarikh: 2 Dhulqaedah 1431/10 Oktober 2010
    Masa: Selepas ‘Ashar
    Lokasi: Surau an-Nur, Bandar Seremban Selatan
    Kitab: Minhaj ath-Tholibin (Fiqih)

  • Pencari sinar

    Salam,
    Memang berbekas dan penuh pengajaran entri ini. Mungkin sedikit terlambat buat diri ini namun tetap menjadi ‘makanan’ bagi membantu mendamaikan jiwa yang resah.

  • ananabilah

    terima kasih ustaz..

    sangat2 relevan untuk saya saya sedang struggle mengharungi bahtera rumahtangga..

    sabar, tabah, redha..antara keywords penting untuk saya pegang kuat-kuat skrg ini..

    “Dan tidak ada hati yang paling waja hingga mampu bertahan terhadap
    tipuan dunia tanpa cinta.” Saya suka ini.

  • Nur adrenalin

    Salam Ustaz,
    jika ustaz “tak mampu kehilangan cinta” apa kata dgr lagu Maher Zain bertajuk “Always be There” ttg “cinta” sebenar (boleh download dr Youtube).. it’s all free of charge and as we know that Maher Zain now is in Msia. Agenda dakwah skrg perlu approach yg kontemporari…..

    “If you ask me about love
    and what i know about it
    my answer would be
    it’s everything about ALLAH..
    the pure love to our souls
    the creator of you… and me
    the heaven and the whole universe
    the ONE that made us whole and free
    the guardians of HIS true believers

    Chorus *:
    so when the time gets hard
    there’s no way to turn
    as HE promised, HE’s always be there….
    to bless us with HIS love and HIS mercy
    coz, as HE promised, HE’s always be there…..
    HE’s always watching us… guiding us
    and HE knows what’s in our little heart
    so when you lose your way
    to ALLAH u should turn
    as HE promised, HE’s always be there……
    Allahuakbar….. *

    HE brings us out from the darkness into the light
    Subhanallah…
    capable of everything
    should never feel afraid of anything
    as long as we follow HIS guidance all the way
    through our short time we have in this life
    soon ti’ll all be over
    and we’ll be in HIS heaven and we’ll be fine”

    repeat Chorus *

  • kamila

    Salam ,
    Pernah satu ketika hati saya terkejut apabila suami buat joke sambil memandu dan dan kami ketawa..ketika itu saya sedar sudah terlalu lama tiada gurau senda antara kami ….segala2nya terlalu serius dalam karier masing2 .Cinta tetap ada tapi kurang indah dan berseri. Terima kasih atas entri ini ustaz .

  • Me

    Entry yang sgt terkesan di jiwa..

  • Me

    Entry yang sgt terkesan di jiwa..
    ya..kita tidak mampu kehilangan cinta..

  • Huda

    salam ust.
    suami saya cikgu, balik kul 3ptg pun saya dah cukup sunyi sepanjang beliau kat skolah. saya ada degree, tp memilih utk berniaga kecik2 supaya saya jadi surirumah. kalau keja opis, aduhai sedihnya anak2 ditinggalkan kat org lain…

  • Alam

    Alhamdulillah..artikel tuan sedikit sebanyak membuka mata dan minda saya.. Minta izin untuk berkongsi artikel dengan rakan2..

  • SIS

    Sebak baca tulisan ustaz…moga ditabahkan hati mghadpi cabaran dan dugaan membina keluarga bahagia…Allah bsama org yg mencariNYA..

  • ida

    salam ustz..
    Alangkah bahagianya hidup dalm keberkatanNya..sy sangt stuju ustz,
    Benarlah kata bijak pandai, apabila kita mendapat sesuatu, maka pada masa yang sama kita akan kehilangan sesuatu. Kita tidak akan dapat kedua-duanya pada satu masa. Justeru, pesan bijak pandai lagi, pastikan apa yang kita dapat lebih berharga daripada apa yang kita hilang~

  • afiq aiman

    ustaz, mintak izin untuk memetik sedikit kata2 ustaz dalam artikel ni untuk dikongsikan bersama pembaca blog…mudah-mudahan dihayati oleh para pembaca. Terima kasih atas artikel yg indah ni

  • Hami

    Salam. Sgt2 menyentuh hati …. semoga suami dpt membacanya juga..

  • Hami

    mohon share ye

  • nor ashikin musa

    salam ustaz,

    mohon share sbg peringatan buat semua sahabat yg sedang melayari bahtera perkahwinan.

    syukran

  • nazariena

    ustaz,
    Inilah kehilangan yg sy rsa..
    Sy rsa sunyi n sepi..
    Ujian ‘mukadimah’ dlm prkahwinan bru staun jagung tlh sy hdpi dan sy akui oleh sft lemah sy sndri..
    Sy sntiasa mmprbaiki dri dan setia mnunggu..
    Sy mncari sbb apa lg kurangnya dri ini krna kurangnya prhatian..
    Sy xnak kalah! Sy x akan Mengalah! Kpd sesiapa lg..

  • NAZARIZAH

    Syukran ustaz….benar ustaz.saya juga antara yang sering rasa kecewa dan rendah diri dengan kekurangan kemewahan…rupa-rupannya ia hanya alat.biarlah saya mengejar matlamat….cinta Allah yang akhirnya membawa kepada cinta suami,anak-anak dan seluruh umat….sekali lagi ustaz,syukran.sangat tidak menghampakan entri ustaz kali ini..

  • putrahz

    Salam. Mohon share buat peringatan utk diri yg. sentiasa lupa dan saudara serta rakan..

  • putrahz

    Salam..mohon share sebagai peringatan buat diri yang sentiasa lalai dan lupa…

  • syamsuliza

    salams ustaz… artikel ini amat bermakna pada saya.. mohon share dalam facebook saya ya ustaz… syukran..

  • siti nora

    jiwa ustaz penuh dengan rasa kasih kerana itulah ustaz mampu mengukir baiy seindah ini……

  • maa

    cerita (tak mampu kehilangan cinta..) berknaan dgn mereka yg bangun,sedar,tahu n usaha utk mencari.. iaitu kemewahan .. yg mana dikatakan “ggal” sekiranya matlamat dijdkan alat n sebaliknya … bagaimana pulak al kisahnya mereka yg mmg tk mahu/mls berusaha mncari sekurang2nya sedkit kesenangan utk diberi kpd isteri n anak2 dn yg mana akhirnya tnpa “apa-apa” runtuh rumahtangga runtuh kasih sayang..sama2 kita berusaha/jihad berjalan dijalan yang lurus

  • Iffah

    Ustaz tidak pernah menghampakan sy…trima kasih ustaz…smua penulisan ustaz amat menarik dan bermakna, serba sedikit mengubat hati, membantu sy dlm mencari keredhaan Ilahi..

  • cik ayien

    semoga cinta yg hilang dapat dicari kembali..

  • nur

    ustaz , bagaimana jika cinta itu hilang /pudar kerana pasangan bukan sibuk mencari /mengejar kemewahan tapi mengejar seorang wanita? apakah nasihat pada suami yg seolah2 tak ingat yang poligami itu bukn melibatkan dia dan istri baru tpi ada lagi insan2 lain yang akan terkesan dengan peristiwa? tkasih

  • gentarasa

    Salam nur,
    Begitulah hati orang. Dan cinta itu di hati. Hati itu bolak balik sifatnya. Tetap dan stabil hati itu hanya dengan iman… Jika kita yakin Allah melihat, menilai dan memberi balasan atas apa yang kuita buat di dunia, barulahlah hati yang boleh balik itu tenteram. Ya, saya rasa sudah tiba masanya saya menulis tentang poligami… apakah ‘perkongsian atau peralihan’ cinta? Doakan saya mampu menulisnya.

  • azie

    Assalamualaikum…

    Ustaz, artikel yang sangat menyentuh jiwa. teruskan menulis demi yang maha esa..mohon share

  • siti

    assalamualaikum..ya ustaz
    saya tringat kata 2 filem ketika cinta bertasbih Sekalipun cinta telah ku uraikan,

    Dan ku jelaskan panjang lebar,
    Namun jika cita ku datangi
    Aku jadi malu pada keteranganku sendri
    Meskipun lidahku telah mampu menguraikan
    Namun tanpa lidah, cinta ternyata lebih terang
    Sementara pena begitu tergesa-gesa menuliskannya
    Kata-kata pecah berkeping-keping
    Begitu sampai kepada cinta
    Dalam menguraikan cinta
    Aku terbaring tak berdaya
    Bagaikan keldai terbaring dalam lumpur
    Cinta sendirilah yang menerangkan cinta dan percintaan

  • adnin

    syukran! sy mula meminati bidang ini..dan akn terus mencari..ilmu.

  • afif_az

    assalamualaikum…mnarik sgt ust..mntk izin nk kongsi bleh ust??

  • umi

    Assalamualaikum ustaz..bagaimana pula dengan insan bernama isteri,30-an telah kehilangan cintanya kerana kekasihnya tlbih dahulu mengadap Pencipta..cinta terhadap suami amat kuat..tidak tlintas utk mcari cinta lain selain cinta kepadaNya..tapi mampukah dia tabah menanti pertemuan dgn kekasihnya di sana nanti..blh xus buat entru mngenai ini?

  • gentarasa

    Salam umi,
    Salam entri saya JIKA DIA PERGI DULU SEBELUM MU, saya tujukan untuk umi dan sahabat-sahabat yang sama menerima ujian Allah ini. Salam simpati dan doa berkekalan dari saya. Sabar, sabar dalam bersabar. Insya-Allah, ada kebaikan dalam kepahitan ini. Amin.

  • Huda Nemo Riko

    assalamualaikum ustaz…. terima kasih….

  • Salbiah Haris

    Moga ditabahkan hati menghadapi cabaran dan dugaan membina keluarga bahagia

  • Dedra

    There’s certainly a great deal to find out about this subject. I like all of the points you made.

  • Pn. Iman

    Buya…betul2 terkesan…. (y)

Leave a Reply

%d bloggers like this: