RSS

BUNGA SEMALAM TELAH LAYU…

04 Nov

Tangisan di hujung gagang telefon itu sangat menyayukan. Seorang isteri yang rasa disia-siakan, dipinggirkan malah ingin ditinggalkan oleh suaminya.

“Apa salah saya? Segala-galanya sudah saya lakukan. Saya telah banyak berkorban untuk rumah tangga ini. Tetapi suami seolah-olah tidak nampak. Kini saya bertahan Cuma kerana anak-anak.”

 

Begitu sayu saya mendengarnya. Hidup adalah kesinambungan ujian yang berterusan. Setiap kita diuji. Jangan menyangka hanya kita yang diuji, tetapi semua manusia ada habuannya masing-masing. Tetapi biasalah, kita hanya nampak pelangi yang ada di atas kepala orang lain. Maksudnya, kita sering merasakan, hidup orang lain lebih indah, lebih bahagia… hanya kita yang menderita. Pada hal, setiap kita diuji, pada titik kelemahan masing-masing. Dan inilah cerita… isteri yang diuji.

 

Di mana aku di mata suami ku? Apakah aku ini masih dicintainya? Atau aku masih diterima sebagai isteri hanya kerana sudah tidak ada pilihan dan jalan yang lain lagi… Lalu perkahwinan yang tidak bahagia ini, walau sengsara sekalipun mesti diteruskan. Nanti apa kata sanak saudara? Apa pula anggapan teman-teman? Dan yang paling penting, apa pula nasib anak-anak kalau aku bercerai nanti.

 

Lalu dikayuh jugalah bahtera perkahwinan yang diumpamakan sudah hilang angin itu. Walaupun layarnya sudah terkoyak seribu. Al hasil, rumah tangga terumbang-ambing. Ke hadapan tidak, ke belakang pun tidak. Jemu. Beku!  Ah, apakah benar perkahwinan itu pusara kepada percintaan?

 

Jika rasa-rasa seperti di atas telah dirasai oleh isteri, maka memang benar pada ketika itu memang benar perkahwinan itu pusara percintaan. Bukan sahaja pusara, bahkan ia sudah menjadi neraka. Pada ketika itulah harga diri isteri berada di tahap yang paling rendah. Dia seolah-olah tidak ada harga diri lagi. Keyakinannya sudah terhakis, harapannya sudah menipis.  Apakah harga diri? Maruah? Status?

 

Secara mudah harga diri ditafsirkan sebagai, penilaian seseorang terhadap dirinya sendiri tentang kemampuannya untuk berjaya atau bahagia dalam hidup. Pendek kata, jika seseorang ingin bahagia dia mesti mempunyai harga diri yang tinggi. Dia mesti merasa layak, mampu dan berkebolehan untuk berjaya. Dia ‘feel good’ dengan dirinya sendiri. Berbeza dengan mereka yang mempunyai harga diri yang rendah. Mereka akan sentiasa merasa lemah, tidak yakin dan ragu-ragu tentang kemampuan diri sendiri untuk bahagia.

 

Petanda isteri yang hilang harga diri begitu ketara. Kekadang jadi pemurung. Banyak memencilkan diri. Atau ada pula yang mudah marah-marah. Terlalu sensitif. Hilang semangat untuk membersihkan diri apatah lagi berhias atau mengemas rumah. Tidak ada apa lagi yang hendak ‘diperjuangkannya’ atau yang akan menggembirakan atau yang menyedihkannya. Dia seperti orang mati – hilang semangat untuk hidup.

 

Inilah akibatnya apabila seseorang lebih pentingkan pandangan suaminya terhadap diri mereka berbanding pandangan diri sendiri. Apa penilaian suami ku? Apakah dia masih cinta atau telah jemu? Hidupnya dihantui prasangka. Dan prasangka itulah yang menghilangkan keceriaan dan semangatnya.

 

Ironinya, lama-kelamaan perasaan rendah diri yang mulanya pasif itu akan bertukar menjadi agresif. Mengikut ahli psikologi ramai orang yang pada mulanya mempunyai harga diri yang rendah, akan memandang rendah kepada orang lain. Ah, suami ku juga apa kurangnya. Dia pun bukan hebat sangat.   Ya, orang yang tidak punya harga diri tidak akan dapat menghargai orang lain sepertimana orang yang tidak punya wang, mustahil boleh memberikannya kepada orang lain

 

Hakikatnya penilaian diri terhadap diri sendiri jauh lebih penting daripada penilaian orang lain terhadap diri kita. Maksudnya, biar dipandang rendah di mata suami, tetapi jangan dipandang rendah pada mata sendiri. Malangnya, dalam perkahwinan yang tidak bahagia ramai isteri atau suami yang merasa harga diri mereka direndahkan oleh pasangannya.

 

Dalam sebuah rumah tangga, harga diri sangat penting sama ada pada suami mahupun isteri. Suami terutamanya tidak boleh memandang rendah pada dirinya sendiri. Rasakanlah yang diri kita boleh dan mampu untuk memimpin, melindungi dan menyara keluarga. Bila harga diri suami tinggi maka barulah barulah dia akan mampu menghargai isterinya. Awas, jika kita kerap memandang rendah, meremeh-temehkan bahkan menghina pasangan kita itu menunjukkan harga diri kita yang  rendah!

 

Para isteri tidak boleh membandingkan diri kita dengan orang lain secara tidak sihat. Konon, isteri orang lain lebih bijak, kaya dan lebih bernasib baik daripada kita. Dia terlupa bahawa setiap kita mempunyai kelebihan tersendiri. Kita adalah unik, dan dunia tidak akan lengkap tanpa kehadiran kita. Kita dicipta untuk berjaya dan bahagia.

 

Maha Suci Allah, yang tidak sekali-kali mencipta hamba-Nya untuk gagal dan menderita. Allah mencipta kita untuk berjaya dan bahagia. Sebab itulah diturunkan untuk kita Rasulullah saw dengan Al Quran dan sunahnya. Dan kepada setiap individu diberikanNya pelbagai keistimewaan yang tersendiri.

 

Soalnya, apakah kita telah membangunkan segala keistimewaan itu secara optimum? Sejauh mana segala kelebihan yang Allah berikan kepada kita telah kita kenali, terokai dan dipergunakan? Isteri yang diuji mesti mencari semula kekuatannya. Di mana keunikan aku? Aku istimewa, aku unik, bisikkan begitu pada diri.

 

Siti Saudah isteri Rasulullah s.a.w. mungkin tidak sejelita dan sebijak Humairah (Siti Aishah), tetapi dia tidak rendah diri, dia tidak hilang harga diri… Lalu dia rajin bangun malam (berqiamullail) dan dikorbankan giliran malanya bersama Rasulullah untuk Siti Aisyah demi menggembirakan hati Rasulullah kerana mengharapkan keredaan Allah. Lihat,  dia tidak merintih, mengeluh dan mengeluh nasib diri. Sebaliknya, dia tahu harga dirinya di mana!

 

Jadilah diri kita sendiri, sayangi diri itu dengan membina satu keyakinan bahawa Allah Maha Adil, dengan mengurniakan bakat dan kemampuan untuk mencapai kebahagiaan dalam hidup berbekalkan segala kelebihan yang kita miliki. Jangan rosakkan seluruh kehidupan hanya merasa tidak dihargai oleh suami. Hidup terlalu singkat dan sangat berharga untuk ‘dikorbankan’ hanya oleh prasangka dan curiga. Malah jika benar sekalipun kita dipinggirkan oleh suami, ingatlah suami bukan segala-galanya.

 

Bangun, dan binalah harga diri semula. Insya-Allah, apabila kita mula menghargai diri sendiri barulah orang lain akan menghargai diri kita. Kita adalah unik justeru tidak ada siapa yang serupa dengan kita sama ada dari segi luaran mahupun dalaman. Cara yang terbaik untuk membanding ialah bandinglah diri kita sekarang dengan potensi kita yang sebenar.

 

Ubahlah diri ke arah yang lebih baik, insya-Allah kita akan lihat suami, anak-anak dan seluruh isi rumah kita akan berubah. Dan perubahan itu boleh berlaku dua cara. Pertama, memang suami, anak-anak dan rumah tangga kita berubah menjadi lebih baik seperti yang kita harapkan. Kedua, kita yang berubah lalu mampu melihat, mentafsir dan bertindak terhadap suami, anak-anak dan rumah tangga yang masih sama dan ‘gitu-gitu’ jua tetapi dengan perspektif yang berbeza.

 

Apa yang dulunya kita lihat sebagai derita sudah bertukar bahagia kerana hidayah yang Allah jatuhkan ke dalam hati kita telah memberi makna yang berbeza. Dunia tidak berubah, tetapi mata hati kita yang berubah lalu yang kita lihat hanya yang indah-ndah sahaja. Alangkah bahagianya punya hati yang begitu… bila pahit dirasakan ubat, bila manis dirasakan halwa, bila masam dianggap ulam. Itulah hati yang mampu dan disediakan untuk setiap isteri dan anda layak untuk memilikinya!

 

Kita tidak perlu menyaingi suami untuk mendapat keyakinan diri. Dia tetap dia dan kita tetap kita. Jangan menunggu suami menghargai diri kita, barulah anda merasa diri anda berharga… sebaliknya hargailah diri kita terlebih dahulu barulah suami akan menghargai kita. Merendah diri di hadapan suami, bukan bererti mengorbankan harga diri kita sebagai insan yang sempurna ciptaan Allah.

 

Ingatlah kata-kata ini: Jangan bimbang jika diri tidak dihargai tetapi bimbanglah jika diri memang tidak berharga.  Teruslah menjalankan tanggungjawab dalam keluarga dengan sebaik-baiknya. Jangan sekali-kali ‘sakit jiwa’ kerana tidak dihargai justeru di dalam diri kita sudah ada keyakinan bahawa diri kita memang berharga!

 

MADAH SUMAYYAH

Suamiku

Bunga semalam telah layu

Gugur dari jambangannya

Mujur…

Cinta kita

Bukan itu lambangnya

Mulutku telah kaku merayu

Hatiku malu untuk terus cemburu

Tidak seperti dulu…

Kerna kini kau seorang mujahid

Yang rindu memburu syahid!

Maaf kiranya tutur dan tingkah

Senyum dan seri wajah

Pudar dan hambar di matamu

Padaku yang baru belajar

… menjadi sorang mujahidah

Aku kini hanya mendoakan

Agar kau menjadi Yassir

Walau kiranya…

Bukan aku sebagai Sumayyahmu!

Dalam tangis kucuba senyum

Tika kau keluar bermusafir

Seperti redhanya Siti hajar

Waktu ditinggalkan Ibrahim

Biarlah kita berpisah

Selalu derita

Kerana Syurga menagih ujian berat

Sedang neraka itu…

Dipagar ribuan nikmat!

 

 

 

 

 

 
54 Komen

Posted by di 4 November 2010 in Iktibar Kisah

 

Label: , , , , , ,

54 responses to “BUNGA SEMALAM TELAH LAYU…

  1. Qistina

    4 November 2010 at 9:23 am

    Bagi yang belum melayari bahtera perkahwinan, ia dianggap satu kehidupan yang serba indah. Tapi bagi insan-insan yang telah melaluinya pula selalu menggambarkan perkahwinan sebagai satu kehidupan yang penuh onak dan duri serta sebagai madrasah yang mengajar erti mehnah & tribulasi.

    Ada sesetengah individu yang sentiasa cuba untuk menahan diri dari terlibat dengan percintaan atau ‘couple’, mendambakan perkahwinan yang suci itu akan terjamin sebagai balasan mujahadahnya selama ini dengan rumah tangga yang aman harmoni. Dia beranggapan bakal pasangannya adalah orang yang baik-baik yang akan sentiasa menghargainya, jauh sekali ingin mencari cinta lain. Apa pandangan ustaz dalam hal ini?

     
  2. gentarasa

    4 November 2010 at 10:48 am

    Salam,
    Sebaik manapun kita… rumah tangga pasti diuji. Rumah tangga Rasulullah lagikan diuji. Tetapi beza orang yang taat diuji berbanding orang yang derhaka diuji. Mehnah itu ada kemanisannya pada yang soleh dan solehah. Tetapi sakit dan perit bagi yang derhaka. jika Allah sayang, pasti allah uji. Kenapa? Memang itulah misi kita datang ke sini (dunia) untuk diuji… siapa yang terbaik amalannya. Wallahua’lam.

     
  3. MISSMUTIARA

    4 November 2010 at 11:42 am

    Ustaz,

    Memang menjawab segala kekusutan saya selama ini. Benarlah, kita perlu pikir redha Allah dari redha manusia, pentingkan pandangan Allah berbanding pandangan manusia dan kekalkan kecintaan Allah melebihi manusia.. Barulah hidup tenang dan segalakesusahan dirasakan ada manisnya. bila hati ikhlas melakukan sesuatu kerana Allah, tiada lagi gusar, rungut dan kecewa. Allah ada dan Dia selalu tahu apa yg kita lakukan… Syukran ustaz……

     
  4. AHLITAFQIR

    4 November 2010 at 4:01 pm

    salam…
    ustaz, ana nak mintak izin copy artikel ini…
    harap ustaz halalkan..

     
  5. hadir lah cinta padaNya

    4 November 2010 at 5:41 pm

    Terima kasih ustaz, saya seperti perempuan di gagang telefon itu, I will find my self worth independent of my husband. Thank you.

     
  6. bieyang

    4 November 2010 at 6:20 pm

    Salam Ustaz…

    Subhanallah… Syukur saya kepada Allah atas ilmu yg Allah berikan kepada saya melalui penulisan Ustaz… Semoga Allah merahmati dan mempermudahkan segala urusan Ustaz..

     
  7. Qistina

    4 November 2010 at 6:46 pm

    Wassalam…
    Terima kasih ustaz…

     
  8. ida

    5 November 2010 at 12:22 pm

    memag rumah tangga terlalu bnyk cbrn..kdg2 x mmpu nk hdpi..terima ksih yg x thingga ats artkel yg mmpu mbuka ati n mda ini…

     
  9. gentarasaaa

    5 November 2010 at 12:25 pm

    ustaz…
    tinggi sgt ke prmintaan sekiranya sy mghrpkan suami memberikan teguran dgn cr yg lbh lmbut n berhemah..sy rs tkut nk bcrita n meluahkn ap yg dirase krn tkut mmbuatkn die trase..

     
  10. Sheez

    5 November 2010 at 3:53 pm

    Saya ceritakan 3 kisah yang benar2 berlaku.Jiran dan kenalan.

    Kisah 1

    Seorang ustaz berkahwin dengan seorang guru tadika.Ustaz itu sudah lama berkahwin.Mempunyai anak2 yang sudah besar2.

    Perkenalan dengan guru tadika(janda) itu bermula apabila ustaz itu dipanggil untuk mengajar guru tadika dan anak2nya belajar agama di rumah mereka.

    Guru tadika itu agak berada.Mempunyai aset dan duit.

    Hancur luluhlah hati isteri pertama ustaz itu.

    Pada mulanya, ustaz itu mengamalkan sistem giliran.

    Namun, lama-kelamaan, ustaz itu tidak lagi datang ke rumah isteri kedua.

    Semua orang tahu, mereka masih lagi ada hubungan ikatan suami isteri.Tapi ustaz itu langsung tidak datang ke rumah guru tadika itu(isteri kedua).

    Saya ceritakan apa yang saya tahu.

    Bab nafkah zahir dan batin,saya tidak tahu sama ada ustaz itu beri atau tidak.

    Kisah ini terjadi kira-kira 20-10 tahun yang lalu.

    Sekarang saya tidak tahu sama ada ustaz itu sudah menceraikan guru tadika itu atau belum.

    Sekarang ustaz itu duduk bersama isteri pertama dan anak2 beliau.

    Adilkah tindakan ustaz itu? Membiarkan isteri kedua begitu sahaja?

    Ustaz ini seorang ustaz yang amat dihormati di kawasan saya.Selalu memberikan ceramah2 di masjid2.Seorang bilal.Seorang imam.Dia bekas imam di kawasan saya.

    Adilkah tindakan ustaz ini? Tiada siapa berani menegur kerana dia ustaz dan kerana semua lelaki2 termasuk bapa saya akan sentiasa menyokong lelaki sedangkan lelaki itu sudah terbukti tidak betul tindakannya di sisi Islam.

     
  11. Sheez

    5 November 2010 at 4:05 pm

    Kisah 2:

    Ibu kepada kawan saya sendiri.

    Ibu kawan saya ini merupakan isteri kedua.

    Sejak saya berkenalan dengan kawan saya ini,ketika kami di bangku sekolah rendah lagi kira-kira kami berumur 9 tahun, bapanya tidak pernah mengamalkan sistem giliran.Tidak pernah.Never.

    Tetapi bapanya akan memberi nafkah duit untuk anak2 seramai 7 orang dari isteri keduanya itu.

    Saya tidak tahu,berapa jumlah duit yang diberi oleh bapanya.Tetapi kawan saya cakap, memang tidak cukup.Emaknya bekerja sendiri membuat kuih untuk menampung anak2.

    Emak kawan saya tidak pernah nak lawan2 atau apa.Emak kawan saya jenis wanita yang tenang dan bukan kaki melawan.

    Sampai 2010, lelaki yang bergelar bapa itu tidak pernah mengamalkan sistem giliran.Bapa kawan saya akan datang jika adik-beradik kawan saya ini berkahwin.

    Adilkah?

    Kita selalu bercakap tentang apa kesalahan wanita,itu ini.Tetapi apabila membicarakan tentang kesalahan lelaki, semua orang suruh wanita bersabar.

    Saya benci wanita yang queen control.
    Saya benci wanita yang melawan kata2 suami yang baik2.
    Saya benci wanita yang mendesak suami macam2.

    Banyak ustaz yg mengatakan sikap2 isteri2 macam ini tidak bau syurga.Memang masuk neraka.

    Tetapi

    Bila tiba bab lelaki yang tidak bertanggungjawab.Tidak memberi nafkah batin dan zahir.

    Semua suruh wanita bersabar.

    Ya,itu nasihat yang baik. Tetapi mana ulasan tentang sikap buruk suami2 yang macam itu.Mana dia nas/hadith/amaran Allah tentang sikap suami yg macam itu?

     
  12. Lina

    5 November 2010 at 4:22 pm

    Bagus sangat artikel ustaz. Wpon sy belum berumahtangga sy kene ready utk hadapi dugaan dalam perkahwinan yg pasti nye sgt mencabar. Skrang ni kwn sy sedang menghadapi msalah rumahtangga sama spt cerita ustaz cume die tgh mengandung dan baru 1+ thn berkahwin. Terlalu muda utk hadapi dugaan camni. Macam dlm majalah solusi edisi jgn takut Usah diminta kecilkan ujian, pinta dibesarkan iman utk menghadapi. Sbnrnye takut la ustaz utk diuji camni. rs tak kuat. Putus cinta pon sedih. lg pulak dlm rumahtangga. Moga Allah bg kekuatan

     
  13. khyrul hycal

    5 November 2010 at 6:51 pm

    Suami dan isteri adalah alat untuk mencapai matlamat.

    Orang yang menggunakan alat ini dengan baik dan sentiasa mengikut landasan syariat untuk mencapai matlamat akhir insyaAllah akan sentiasa tersenyum dan bersyukur dengan ujian yang diberikan.

    Ternyata janji Allah itu pasti..^_^

     
  14. Hafizi Tajuddin

    6 November 2010 at 4:48 am

    Ramai pasangan muda yang menganggap perkahwinan sebagai hari untuk menjadi ‘glamour’ dan popular. jadi raja sehari dan dianggap bahagia. gambar dan berita tersiar gah di facebook dan majalah (jika mereka orang punya nama) tapi mereka lupa hakikat sebenar perkahwinan.

    Apabila terlalu mesra sebelum berkahwin, nikmat dan tanggungjawab selepas pernikahan akan luntur. Rasa rendah diri keterlaluan menyelinap. Saat inilah iblis membisikkan kata ‘cerai’ hingga yang manis kelihatan pahit dan hitam di depan mata. Nauzubillah.

    Syukran ustaz atas nasihat yang berguna ini. Buat bekal di masa depan.

     
  15. NurKasih

    6 November 2010 at 8:08 am

    Salam… Syukran ya Ustaz.. peringtan yang cukup bermakna…memang benar dunia rumahtangga sangat banyak dugaan dan cabaran… hanya apabila kita sandarkan kepada Allah segala permasalahn akan menjadi indah……

     
  16. Nur adrenalin

    6 November 2010 at 8:39 am

    1) Sheez janji nak share 3 kisah tapi baru 2 yg tersiar…hehe… Di kejiranan sy pun ada bnyak kisah blh dijadikan iktibar tapi 1 sja sy nak share di sini, kisahnya sama mcm Sheez bagi. Jiran sy (dah beranak pinak) baru kematian ibunya yg selama ini kami ingat seorang janda. Barulah kami tau kisah sedih ibunya selama ini yg digantung tak bertali oleh suaminya sejak lebih 20 tahun! Suami meninggalkannya utk mencari rezeki di Sarawak kmudian menjadi usahawan, berkahwin lagi di sana, tak pernah balik & beri nafkah zahir & batin. Jiran sy & adik beradiknya itu dibesarkan dgn belas ehsan pakcik & saudara mara ibunya sehingga mrk bjaya. Kesabaran ibunya mendidik anak menjadikan jiran sy (sorang lelaki) seorang anak yg bertanggungjwb pd keluarga & isteri.
    2) Tetapi malangnya jiran sy mendapat isteri yg amat tidak bersyukur. Engkar pd suami. Pernah suami mengadu pd kami jirannya, “Kalau tak krn anak2 yg masih kecik, dah lama sy tinggalkan dia (isterinya)”. Apa kerja yg si suami tak buat, mbasuh, menyidai, mmasak, mjaga anak bila bercuti, malahan isteri dibelikan rumah, kereta & segala keperluan. Perangai isterinya yg buruk dgn jiran, suka berlawan & menunjuk2 harta, tak boleh jiran lebih darinya… (biasala… typical malay women)
    3) Dlm hidup ni selalu kita jumpa, suami baik, isteri tak baik dan begitulah sebaliknya. Itu yg menjadikan hidup mrk kekal walaupun tidak bahagia. Orang Melayu malu utk bercerai terutama ppuan. Mrk sanggup derita, didera mental & fizikal namun utk bercerai mrk berfikir 1000 kali wpun telah membuat permohonan di mahkamah, tapi boleh dimakan pujuk rayu suami dgn janji manis , mrk tarik balik, kemudian fail cerai lagi, tarik semula dan begitulah tanpa kesudahnnya.
    4) Ini bnyk blaku pd generasi tua (dah lama kahwin). Bagi generasi muda (yg baru bkahwin) mrk lebih terbuka & yakin apa mrk hendak. Mrk lebih berani & maka itu kita lihat statistik perceraian semakin meningkat di kalangan umur pkahwinan yg masih muda. Tapi ustaz2/ustazah/motivator menuduh mrk kurang ilmu parenting, ttgjwb, tak matang & segala yg negatif sbg punca mrk bercerai. Padahal faktor utama yg sy lihat mrk lebih berani & yakin utk BAHAGIA jika hidup sendiri tanpa pasangan.
    5) Yg tua mrk kurang bercerai bkn bmakna mrk bahagia, mrk lebih rela hidup dlm hipokrit semata2 hanya utk jaga nama. Diluar dilihat mcm pasangan ideal, di dlm rumah, mrk & Allah saja lah yg tahu. Kdg2 jiran tau jugak, kalu dah setiap hari maki hamun bergaduh tapi di luar tunjuk baik, bahagia apanya??? Ini jugak ada di kejiranan sy, suami & isteri memegang jwatan tinggi & dihormati pulak tu….
    6) Di kalangan ustaz2 pun berlaku penganiayaan thadap isteri (terutama ke2,k3) bukan sesuatu yg pelik. Ustaz tu kena queen control dgn isteri pertama, gagal mdidik isteri ptama spy meletak keutamaan pd Allah no 1 melebihi cinta pd manusia & material, ujian pd ustaz yg kebanyakan hanya pandai cakap tetapi bila smpai bab pengamalan hancur!!! Ini yg bnyk kita jumpa… Krn apa???? Mungkin Ustaz tu tak de “Tauliah” kot?????? hehe…
    7) Pernah dlm ceramah terbuka di tempat sy seorang ustaz beritau dgn yakin & bangganya “kalau nak kawin dgn janda, pilih yg bercerai mati, jgn pilih yg bercerai hidup, sebab yg bercerai mati ni dia syg suami berbanding yg bercerai hidup..jadi dia akan syg kita lebih…”. Mana dalil ustaz ni pakai? Skrg sy tau banyak ustaz2 ni tak de “tauliah”….. Sy boleh bdebatkan statement ustaz ni, but not here & not now…..
    8) Ingatlah, setiap amal perbuatan baik @ buruk walau sebesar zarah akan mdapat pembalasan dari Allah…Yakin dgn ini, tak akan blaku penganiayaan… semua cantik belaka…

     
  17. ananabilah

    6 November 2010 at 8:46 am

    assalamu’alaikum

    thanks ustaz. seronok dan bersemangat baca artikel kali ini. part feel good yang paling saya suka. memang sangat penting. semoga hidup kita lebih bahagia dan sukses..

     
  18. meriam

    6 November 2010 at 5:51 pm

    Bismillah dan Salam sejahtera.

    Ustaz. alhamdulillah atas atikel diatas. May open the close door
    Saya pernah terbaca satu kartun motivasi.Ada 4 pintu. 3 terbuka luas
    hanya satu tertutup., tapi kita kadang asyik dok mengetuk satu pintu yg tertutup itu tanpa menghiraukan 3 pintu lagi yg terbukau .Kadang-kadang dalam hidup ini ramai yg syg dan kisahkan kita. Ibubapa, saudara mara, anak-anak, tetapi kita hanya nampak pintu suami yg tertutup itu saja dan letihlah kita mengetuknya.

     
  19. meriam

    6 November 2010 at 5:53 pm

    Yang paling kita tak nampak ialah kasih sayang Allah pada kita.
    Dia uji kita untuk upgrade kita. Sbb. waktu ada ujianlah manusia akan
    balik kepada Allah untuk mengadu.

     
  20. DrSatrian

    7 November 2010 at 12:37 am

    MasyaAllah..
    Sbg ketua keluarga, sy sendiri merasakan betapa isteri dan anak2 amat bergantung harap pada insan bernama suami/ayah. Kenapa ada golongan adam yg tergamak memperlakukan ketidakadilan/penyeksaan sedemikian kpd isteri/anak sendiri? Sy sendiri pun tak faham. Malah, sy sendiri pun takut dgn diri sndiri, jika ditimpa ujian sdemikian. Ya Allah, tunjukkanlah daku jalan-Mu yg lurus. Amin..

     
  21. ryna humairah

    7 November 2010 at 7:37 am

    saya pun sedang mengalami masalah yg sama seperti wanita itu. memang masalah akhir zaman agaknya. saya memang sedang cuba amalkan apa yg ustaz sarankan, cuma sebagai manusia biasa, kadang2 rasa tak terbawa. kita impikan dorongan darinya tapi sudahlah tak didorong, dibiarkan aje macam tu. memang sabar ajelah ubatnya. kena tetapkan hati bahawa hidup didunia ini sementara saja, biarlah derita didunia tapi bahagia di akhirat. insyaAllah. saya kadang2 terkapai2 mencari seseorang yg dapat memberi semangat kepada saya selain dari meminta pertolongan dariNya.

     
  22. ida_iera

    8 November 2010 at 6:11 pm

    sabar dan pasrah dua perkara yg berbeza….betul tak ustaz?
    sabar ertinya kita bertahan dan berusaha untuk mencari jalan keluar dan penyelesaian dr mslh yg dihadapi…manakala pasrah pula hanya berserah semata tnpa berusaha mencari jalan keluar dr kesukaran dan permasalahan yg dihadapi atau dlm erti kata lain ‘putus asa’…dan kebanyakan dari kita bukan bersabar…tp ‘pasrah’…sebab itulah kdgkala kita terasa tak mampu untuk bertahan…kerana sejak dr mula kita hanya pasrah, bukan sabar….

     
  23. nasa

    8 November 2010 at 9:54 pm

    SALAM..MINTAK SHARE YE USTAZ..

     
  24. Alina

    9 November 2010 at 4:28 am

    Salam , Ustaz yang dirahmati Allah..

    Mungkin sya terlalu muda untuk berbicara dalam hal ini krna sya blum menghadapi situasi trsebut.. Tapi apa yang sering saya dengar dan baca tntang kemelut dalam rumahtangga kadangkala m’buatkan sya takut untuk berumah tangga dimasa hadapan.. Tpi tatkala sya mntadabbur firman Allah didalm Surah An-Nur ayat 26.. Alhamdulillah hati kmbali tenang.. Sememangnya sya tak tahu apa yang bakal berlaku pada sya dimasa akan dtang kerana semuanya didalam pengetahuan Allah SWT.. Semoga Allah m’berikan yang t’baik dari sisiNya dan biarpun apa yang bakal berlaku dimasa akan datang, semoga diikhlaskan hanya untuk Allah SWT..

    Dan saat melihat maksud dari surah Furqan ayat 70 – 76, sya mengerti bahawa keredhaan Allah itu adalah yang tujuan hidup yang utama..Hidup didunia ini sementara dan akhirat adalah yang kekal buat selamanya.. Maha Suci Allah Tuhan Yang Maha Berkuasa.. Wallahualam..

    Syukran ustz ats entry ni..

     
  25. ummu adham

    9 November 2010 at 9:11 pm

    salam..t.k ustaz…kisah ini sama seperti hidup sy…Alhamdulillah… sy bgkit dr kisah silam…benarlah seperti tulisan ustaz di dalam buku ‘ Di mana Dia di hatiku’ sy bersyukur dengan ujian , sy rasa hdup bertuhan…sy kenal dri..hnyalah hambaNYA yng tiada dy upya….Alhamdulillah sekali lg sy pnjtkan kesyukuran kerana dengan umur yng masih berbaki ini DIA memberi sy kesempatan untuk sy kembali kpdNYA selum DIA semakin jauh dr ht sy…..

     
  26. nik

    10 November 2010 at 7:34 am

    salam…ustaz yg dikasihi
    sya nak mohon share blh kan…smg ilmu yg ada makin berkembang.

     
  27. SITI HAWA

    10 November 2010 at 4:05 pm

    Dalam kehidupan ini semua ada pasanganya. Cuba perhatikan ciptaan Allah ini. tak perlu pikir jauh lihat pada diri kita sahaja. betul tak? Yang tunggal (satu) hanya Allah.

     
  28. durikasturi

    10 November 2010 at 4:24 pm

    saya dah puas bersabar dan juga telah puas pasrah dan akhirnya saya terus berhenti berharap…..
    sukarnya mengubat hati yang terluka….

     
  29. naniismail

    11 November 2010 at 10:29 am

    salam tuan,
    mintak izin copy n share..
    moga tuan sentiasa diberi ilham untuk menulis dgn terus menulis..

     
  30. Ummuhany

    11 November 2010 at 12:37 pm

    Syukran ustaz…atas artikel…betul kata ummu adham…ujian menyebabkan kita rasa bertuhan..Terima kasih Ya Rabb atas selaut kasihmu yang tak bertepi…UJIAN tanda kasih Allah pada hambaNya..

     
  31. muaz

    11 November 2010 at 4:12 pm

    thanks ustaz..

     
  32. norizah

    12 November 2010 at 10:29 am

    salam ustaz…alhamdulillah hanya dengan satu catatan dari Genta Rasa banyak hati-hati diluar sana yang sebenarnya berkongsi rasa dalam melayari bahtera perkahwinan ini. Perkongsian yang amat berguna dan tidak keterlaluan kiranya saya katakan, inilah antara suara hati kami para isteri yang selagi mungkin berpegang pada tali Allah…

     
  33. Hamba Allah

    16 November 2010 at 4:30 pm

    Salam Ustaz,
    Di laman web facebook semakin banyak post2 yg telah confuse kan remaja2 kita dalam melakukan perhubugan yg haram. Saya ingin share satu artikel yg saya ambil dari rakan di fb tentang tunangan( tunang cara yg senang yg hanya pada kata2 dan janji) . saya amat risau krn beliau begitu bangga dgn keyataan dalam post ini. http://www.facebook.com/note.php?note_id=144578185590288&id=107775115929439&ref=mf

     
  34. siti hajar

    18 November 2010 at 6:01 pm

    salam ustaz…mintak share =)

     
  35. Iffah

    28 November 2010 at 8:50 am

    Saya akan usaha utk jd isteri yg solehah bila sy dh kawin klk… :)

     
  36. kucari bahagia

    30 November 2010 at 11:41 am

    Salam Ustaz,

    Terima kasih kerana melalui artikel ini, saya sudah temui jawapan kepada permasalahan saya. Minta halalkan kerana saya ingin print dan simpan untuk memotivasikan diri setiap hari. Syukran ya Ustaz.

     
  37. pendamba ilmu

    22 Januari 2011 at 8:44 pm

    salam..ust mtk izin utk copy artkel ini..
    tulisan yg sgt myntuh perasaan bg sesiapa shj yg mmbaca..memg tidak dinafikan setiap makhluk yg dicpta oleh KHALIQ ade kelebhan n kekurangn..cume dri kte shj yg tdk pndai nk menilai smua yg tlh danugrahkan itu..jazakallah khairun jaza’ ya ust..ats artkel ini..byk mmbntu dri ini yg sdg mncari sinar…smg ust dan keluarga sentiasa dilimpahi rahmat dariNYA..wallahu’alam…

     
  38. mohd fadhli

    4 Jun 2011 at 3:17 pm

    saya amat teruja membaca nya..saya amat tertarik dengan ayat tuan:kita sering merasakan, hidup orang lain lebih indah, lebih bahagia… hanya kita yang menderita. Pada hal, setiap kita diuji, pada titik kelemahan masing-masing. maksudnya yang mendalam sedalam lautan pasifik..Allah..

     
  39. tetapkn hatiku...

    8 Jun 2011 at 4:17 pm

    artikel yg sgt berkesan dlm hati saya…syukran…

     
  40. Hisham

    27 Julai 2011 at 3:00 pm

    artikel yg sgt berkesan dlm hati saya…izinkan saya menyalin untuk tatapan dan panduan

     
  41. gentarasa

    27 Julai 2011 at 6:41 pm

    Salam,
    Syukran saudara Hisham. Semoga kita sama-sama dipimpin Allah. Amin.

     
  42. Ummu Aisyah

    27 Julai 2011 at 7:07 pm

    kesilapan pada kebanyakan daripada kita adalah kerana bergantung kepada manusia baik pada suami/isteri . Sedangkan pergantungan sebenarnya adalah kepada Allah s.w.t. .Maka bila manusia mengecewakan kita , kita merasakan dunia ini akan berkahir. Disini lah pentingnya kita mengubah cara kita berfikir dan bergantung harap. kenapa kita harus bergantung harap pada manusia yang tak punya apa2.Yang menguasai hati2 kita adalah Allah s.w.t. .kembalilah sepenuhnya kepada Allah s.w.t. Allah s.w.t. juga yang memberi ganjarab baik dan buruk apa yang kita lakukan.

    Fahami dan hayati lah peranan kita sebagai hamba Allah s.w.t . Manusia yang ada disekeliling kita hanya alat untuk kita sampai kepada mardatillah.

    Biarlah kita tidak di hargai asalkan kita punya harga diri..

    Waalahualam

     
  43. ida

    21 Ogos 2011 at 8:53 am

    kisah saya sama seperti isteri dalam artikel ini.Di mana aku di mata suami ku? Apakah aku ini masih dicintainya? Atau aku masih diterima sebagai isteri hanya kerana aku ibu kepada anak2nya semata?

    bahagiakan hidup berumahtangga jika matlamat utamanya hanya anak2 sedangkan hati masing2 sudah tidak bahagia?

     
  44. Aishah

    5 Oktober 2011 at 3:46 pm

    salam, suami saya berzina dengan bekas teman wanitanya hampir setiap minggu. perlukah saya bersabar lagi?

     
  45. as

    7 Oktober 2011 at 12:03 am

    pertanyaan sy, adakah perlu isteri taat setia kpd suami (kes aishah) yg terangan melakukan kemungkaran.adakah terlalu mudah dlm proses penceraian sekiranya suami x mahu melepaskan isterinya.mengikut hukum Allah(hudud)suami seperti ni dah mati kena rejam.seandainya suami td berpoligami dan isteri 1 menuntut cerai kerana x boleh menerimanya dan tiada rasa hormat serta meminta diceraikan ,adakah dia dianggap isteri derhaka dan adakah bergegar arasy di syurga?

     
  46. gentarasa

    9 Oktober 2011 at 2:32 pm

    Salam as.
    Semua ini diputuskan di mahkamah dengan segala fakta, bukti dan hujjah. Banyak aspek yang hendak dilihat… Tulisan dan pendekatan saya hanya melibatkan soal kesedaran, tarbiah dan dakwah. Jika inginkan kepastian hukum, perlu dirujuk kepada pihak yang mempunyai autoriti dan kuasa. Wallahua’lam.

     
  47. Ummu Aisyah

    9 Oktober 2011 at 8:31 pm

    Salam,

    Bagi isteri2 yang dianiaya suami.Bersabar lah serahkan permasaalahnya pada Allah s.w.r. Perbanyakkan solat dan bersabar ini dua jalan yang Allah s.w.t minta kita lakukan bila menghadapai masaalah.InsyaAllah akan ada jalan keluarnya.Yakin dan bersangka baik dengan Allah s.w.t.

     
  48. ani

    7 Mac 2012 at 5:01 pm

    Rahsia rumahtangga tidak boleh dibongkar. Permasaalah tidak mungkin selesai tanpa mengurai simpulannya. Kiasan saja tak mungkin tepat penafsirannya. Lalu, bagaimana caranya.

     
  49. ain

    17 Mac 2012 at 5:31 pm

    Salam,
    Terima kasih diatas keperihatinan dan kupasan yg begitu berkesan.Saya bersetuju dengan Ustaz bahawa kesilapan seorang isteri ialah apabila merasa rendah diri akibat cacian dan penghinaan seorang suami lalu terus menerus menderita & menerimanya sebagai takdir.Sesungguhnya kebahagiaan adalah milik semua. Untuk isteri yang teraniaya mintalah pertolongan daripada Allah, Allah akan tunjukkan jalan keluarnya. Bangun,tingkatkan keyakinan diri dan insyaallah kabahagiaan akan dimiliki kerana percayalah kita berhak kepada kebahagiaan itu.Memang senang berkata tetapi hakikatnya tidak semudah itu. Saya bercakap daripada pengalaman.

    It took me more than twenty years to stand up for my right. I was stigmatized and really believed I was worthless. I wished no one had to go through my pain but I always have Allah who gave me the strength to persevere.

    LIVE WITHOUT FEAR:
    -Live without fearing judgement from others
    -Live without a fear of failure
    -Live without a fear of looking different
    Be brave..just be ourselves.

     
  50. suria

    26 April 2012 at 11:26 am

    Salam.
    Ustaz, kalau suami dah berzina perlu kah saya tunggu lagi?

     
  51. perindusyurga

    9 Jun 2012 at 6:41 pm

    5 thn prkahwinan… kini retak dan diambang kehancuran.. dari hari2 trakhir persiapan perkahwinan, suami ada org lain. sy beri masa utk dia fikir, tp tiada jwpn, maka prkahwinan diteruskan. mcm2 brlaku. taktercerita… skrg sy cuma fikir apa kwn ckp ‘zmn skrg nk jd isteri yg baik kena jd dungu, jd bodoh, jd batu… lelaki dgn senang bg alasan org lain pun ada grlfren, bini diorg xdak bising pun. bukan nk menikah pun..’ tolongla komen.. mak mertua pun pesan.. buat tak tau je, bt mcm x rs apa2, dia akn ingt isteri jugak.. sy xtau la mcmna nk bt bodoh je. pompuan yg skandal ngn husbnd pulak berani ckp klu x puas ati gi la fail cerai…

     
  52. umie syamimi

    17 November 2012 at 11:57 pm

    Apabila perkahwinan semakin berusia…pahit getir suka duka silih menjelma. Kita sebagai isteri kekadang alpa…bahagia itu ujian, derita apa tah lagi. Perjalanan kita telah tersurat, bahawa onak dan duri pasti merintangi. Allah Maha Mengetahui….siapakah dia antara hambaNya yang paling baik amalannya. So… Jadilah kita hamba yang terbaik amalannya kerana di Syurga tiada derita, tiada sengsara dan tiada air mata

     
  53. ADIPEX

    3 September 2013 at 2:56 pm

    I am really impressed with your writing skills and also with the layout on your blog.
    Is this a paid theme or did you modify it yourself?
    Anyway keep up the excellent quality writing, it’s rare to see a great blog like this one these days.

     

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,254 other followers

%d bloggers like this: