RSS

KISAH-KISAH DARI MAKKAH DAN MADINAH

19 Nov

Setiap kali musim haji, hati menjadi sayu. Usia hampir separuh abad, tetapi saya belum berkesempatan untuk menunaikannya. Namun tidak putus asa, saya bersama-sama lain umat Islam yang senasib akan terus berusaha, berazam dan berdoa. Berdikit-dikit dalam berbelanja, menyimpan tenaga, membina kesihatan, menyuburkan cinta, memperhaluskan adab dan akhlak sebagai bekal ke sana suatu hari nanti. Pasti. Insya-Allah.

Semoga saat kematian datang setelah kita sempat menunaikan Haji atau mati semasa kita sedang berusaha untuk menunaikannya di sana. Saya yakin, cinta Allah itu bukan hanya di akhir tujuan, tetapi sudah ada ketika kita melangkah memulakan perjalanan…

Kesempatan menunaikan umrah beberapa tahun yang lalu, saya anggap persediaan jiwa dan ilmu untuk menunaikan haji pada suatu hari nanti. Dengan sedikit pengalaman dan ilmu yang dikutip daripada orang-orang yang lebih arif serta pembacaan buku-buku yang baik, telah saya nukilkan beberapa kisah sebagai iktibar dari Makkah dan Madinah. Samada melalui artikel-artikel dalam majalah atau buku-buku yang pernah diterbitkan.

Bimbang, tujuan ibadah dipinggirkan. Risau alat dijadikan matlamat. Saya cuba melihati Haji dan Umrah pada sisi yang kekadang terlupa oleh segelintir saudara seIslam kita. Itu umpama selumbar yang menusuk di jari, atau pasir yang hinggap di mata… al hasil ibadah haji dan umrah menjadi kosong makna, kontang isi dan tidak berkesan untuk membina peribadi. Jangankan kesatuan peringkat ummah, kesatuan di peringkat ’rumah’ pun masih terkial-kial. Menurut kajian terbaru  Jakim, penceraian dalam rumah tangga umat Islam di Malaysia makin parah!

Padahal tujuan rukun Islam yang didasari oleh rukun Iman itu adalah untuk membuahkan ihsan. Ihsan itu adalah ’kesempurnaan akhlak’ –  tujuan Rasulullah saw diutuskan untuk manusia. Akhlak dengan Allah dan akhlak sesama manusia adalah buah pohon Islam yang berasal dari benih rukun Iman. Maka ibadah Haji begitulah – stesyen terakhir atau kemuncak ibadah yang sepatutnya mendekatkan kita kepada ‘out put’ akhir dalam beragama yakni akhlak.

Sayang, hasil ibadah umat Islam (khususnya Haji) masih terlalu rendah. Ibadah ritual ini masih jauh membina spiritual ummah. Masih terserlah ’kecintaan’ terhadap diri walaupun dalam langkah-langkah suci menuju Ilahi. Sedangkan akrab dengan Allah itu dicapai dengan intim sesama manusia.

Keredhaan Tuhan itu adalah di telapak tangan simiskin yang meminta, di perut sifakir yang kelaparan dan kehausan, di kantong siyatim yang tertinggal pendidikan dan pelajaran, di gubuk sijanda yang susah dihimpit kesusahan ataupun di saku pelajar yang kehabisan dana untuk menyambung pelajarannya. Sinisnya, ramai sihaji dan  sihajah masih tega mengerjakan haji berkali-kali!     

Lalu, di celah kekeliruan sendiri dan kecelaruan sesetengah anggota masyarakat ini… saya nukilkan kisah-kisah dari Tanah Suci ini. Bukan kisah misteri, ajaib atau karamah yang kerap menjadi bacaan popular tetapi hanya kisah-kisah biasa yang cuba diberi nilai didikan dan peringatan. Semoga hasrat itu tercapai. Lalu nikmatilah kisah-kisah dari Tanah Suci ini…

KISAH-KISAH DI TANAH SUCI

1) Mana integriti dan mana maruah?

Tanpa mempedulikan ocehannya saya terus menambah, ” aku ingin melihat ahli-ahli politik yang berulang-alik mengerjakan haji dan umrah bersikap jujur, telus dan integriti dalam ’politiking’nya.”

”Jangan mengharap terlalu tinggi,” ujar teman saya seakan memujuk.

”Itulah kaitan antara Tanah Suci dan ’Tanah Realiti’ yang kita huni sehari-hari. Haji itu kan ertinya menuju Allah? Jika benar Allah yang kita tuju di sana, maka itulah yang kita bawa kembali ke sini.”

 

”Itulah yang terbaik, tapi bukan senang…”

”Hakikat ihram itu bukan pada pakaian yang dipakai dalam jangka masa haji dan umrah sahaja, tetapi pakaian dalam seluruh kehidupan. Pakaian takwa, yang haram kita tinggalkan…”

 

Kebimbangan melihat ibadah haji dan umrah menjadi satu ’escapisme’ di kalangan umat Islam ada asasnya. Rasulullah SAW sendiri pernah mengingatkan bagaimana di akhir zaman, orang kaya, orang miskin, orang ternama melaksanakan ibadah itu bukan kerana Allah. Ulama tradisional seperti Imam Ghazali dan ulama kontemporari seperti Dr. Yusuf Al Qardhawi juga pernah mengingatkan dengan nada yang sama. Tujuan haji adalah untuk merubah diri. Yang lalai jadi ingat, yang fasik jadi taat. Tetapi kini seolah-olah haji dan umrah jadi ’mahar’ untuk meneruskan kefasiqan dalam gelar kesucian.

 

”Kau lihat sendiri, betapa ramai insan-insan insaf di Tanah Suci kembali lupa bila kembali ke tanah realiti… Malah komen-komen mereka seolah-olah bagai tak ada rasa bersalah langsung.”

”Mana kau tahu, mereka tu tak ada rasa bersalah?”

”Maaf, memang aku tak tahu. Sebab tu aku kata seolah-olah…”

 

Dalam hati saya terbayang bagaimana ada artis yang berazam untuk terus ’bergelek’ selepas umrah dan seribu satu macam lagi pengakuan yang ’aneh-aneh’ sama anehnya sewaktu mereka menceritakan pengalaman-pengalaman luar biasa ketika di Tanah Haram.

Saya teringat kuliah tarbiah tentang hakikat haji yang saya catatkan 3 tahun yang lalu. Betapa adanya manusia yang menjadikan amal kebajikan sebagai satu cara menghilangkan rasa berdosa. Rasa berdosa ketika menipu dan rasuah dalam perniagaan, cuba dihapuskan dengan bersedekah kepada fakir miskin. Rasa berdosa ketika bergaul bebas dan mendedahkan aurat dalam membina kerjaya cuba dilupakan dengan umrah dan hibah (sedekah). Rasa bersalah ketika mengamalkan politik wang cuba dilindungi dengan membina wakaf dan berderma.

Itu semua bukan perbuatan baik yang cuba memadamkan dosa untuk bertaubat tetapi perbuatan baik untuk menghilangkan rasa berdosa supaya dapat terus melakukan dosa dengan hati yang lega. Atau ‘topeng’ yang dipakai untuk memberi wajah baik pada imej muslim yang sering dicalarkan dengan sengaja. Ya, betapa banyak haji dan hajah yang meneruskan cara hidup yang tidak Islamik tanpa rasa segan silu lagi kerana mereka pun pernah ke Makkah. Rukun Islam mereka telah lengkap!

”Taubat, itu menyesal. Terus-terusan merasa berdosa. Rasa berdosa itu kemudian menggerakkan individu tersebut menempuh syarat-syarat taubat berikutnya. Yakni berhenti melakukan dosa, berazam tidak mengulanginya lagi dan bagi dosa sesama manusia wajib melunaskan semua kira-bicara soal harta, maruah, agama dan lain-lain.”

Masih terngiang-ngiang pesanan guru agama itu.

”Tetapi rasa berdosa yang cuba dihapuskan tidak begitu. Ia tidak menimbulkan penyesalan, bahkan ia umpama ’lesen’ yang memberi rasa aman, rasa seronok untuk meneruskan dosa. Seorang akan rasa bersih dalam kotor dosa yang menipu-daya.”

”Eh, kenapa kau diam saja? Apa buktinya mereka tidak ada rasa berdosa?” tempelak teman saya.

Ah, bagaimana ingin saya jelaskan tentang nasib ’orang lain’ ketika jiwa sendiri hakikatnya masih terpenjara di Tanah Realiti untuk terbang ke Tanah Suci. Teringat kata-kata hukama, ”seseorang sudah dikira berdosa apabila dia merasa tidak berdosa!”.

2) Tuhan berhutang?

Pulang daripada mengerjakan ibadah haji sesuatu yang aneh berlaku. Semacam tidak percaya teteapi itulah hakikatnya – dia sudah tidak rajin bersolat lagi. Culas. Kekadang buat, kekadang tidak. Bila ditanya, kenapa?

Dia menjawab, “Tuhan telah ‘berhutang’ banyak dengan saya.”

“Tuhan berhutang?”

“Ya, bukankah saya telah mendapat pahala dan fadilat yang berganda hasil mengerjakan solat di masjidil Haram dan Nabawi?”

Kisah ini saya dengar beberapa tahun yang lalu. Sengaja saya ketengahkan untuk mendpat iktibar daripadanya. Kita beribadah bukan untuk mengejar fadilat (walaupun itu tidak salah), tetapi yang lebih penting ialah untuk membina sifat ubudiyah (kehambaan) kepada Allah. Jika tidak, semakin banyak kita beribadah, kita akan jadi semakin angkuh dan jauh daripada Allah swt. Atas sifat ubudiyyah itu kita yang sepatutnya merasakan banyak hutang dengan Allah, bukan sebaliknya. Subhanallah!

3) Al Haj atau ‘Al um’

“Lama tak nampak ke mana?”

Dia diam. Kemudian dia batuk-batuk kecil.

“Hai, batuk pula? Tak sihat ke?”

“Beginilah… Sejak pulang dari umrah rasa tak sihat. Cuaca di sana berbeza betul dengan kita.”

Ohh, rupanya dia nak beritahu yang dia baru pulang mengerjakan umrah.

Inilah ragam manusia. Ada yang bangga dengan rumah besar, kereta menjalar… tetapi ada pula yang bangga dengan ‘ibadah’nya.Tidak kurang yang kecil hati jika kita tidak memanggil namanya dengan awalan Haji… Itu penting sangat. Sudah jadi macam status sosial. Pergi haji, al Haj. Pergi umrah… al Um? Ah, nampaknya masih ada segelintir yang terus terikat dengan amalan ‘ritual’ yang tidak meningkatkan tahap spiritual. Ego yang disalut ‘baju’ agama.

4) Kepentingan diri dalam ibadah.

Lebih separuh, menurut Dr. Yusuf Qardawi, daripada jemaah haji yang ke tanah suci pada setiap tahun adalah mereka yang mengerjakan haji bukan buat kali pertama. Kebanyakkannya kali kedua, ketiga, keempat… Menurut Qardawi lagi, dari segi aulawiyat kita sudah tersalah. Sedangkan masih ramai lagi umat Islam yang daif, yang perlukan bantuan kewangan di bidang pendidikan, ekonomi dan lain-lain. Itu belum lagi dikira umat Islam yang ditimpa bencana seperti di Acheh dan Jogjakarta.

Mengapa terjadi demikian? Mengapa sukar sangat kita mengeluarkan biaya untuk membantu saudara semuslim kita berbanding biaya ibadah ‘personal’ kita? Jawabnya, kerana kita masih dibelenggu oleh kepentingan diri. Dalam ibadah pun kita masih memilih sesuatu yang memberi bermanfaat kepada diri berbanding ibadah yang merata manfaatnya kepada orang lain. Padahal kita dituntut agar akrab dengan Allah hasil eratnya hubungan kita dengan hamba-Nya.

5) Rasuah untuk mencium Hajarul Aswad?

“Hendak cium Hajarul Aswad?” bisiknya.

Siapa yang tidak ingin mencium ‘batu syurga’ yang sunat dan sunnah dilakukan itu.

“Kami boleh aturkan. Berikan sekian banyak upahnya… kami akan lindungi dan bawa awak untuk menciumnya.”

Jika setuju, anda akan dilindungi oleh kumpulan itu dan dibawa merempuh, menolak dan mencelah di tengah kesibokan jemaah untuk dapat mencium hajarul aswad.

 

Begitulah cerita seorang teman yang pulang dari Makkah satu ketika dulu. Ah, betapa sampai di depan Ka’abah pun masih ada ‘rasuah’. Untuk mendapat pahala sunat, kita mengorbankan segala yang wajib yakni menghormati, menjaga dan prihatin tentang nasib saudara seIslam yang kita rempuh, tolak dan sebagainya. Tak dapat mencium hajarul Aswad pun tak apa, asalkan kita menjaga kehormatan, ketenangan dan keselamatan saudara siislam kita. Bukankah begitu?

6) What you see?

What you see is what you get. Apa yang anda lihat, itu yang akan anda dapat. Justeru, kita mesti melihat sesuatu dengan tepat supaya apa yang kita dapat adalah yang tepat juga. Oleh kerana itu, dua orang yang melihat kaabah, tidak sama rasa, ilmu dan iktibar yang mereka dapat. Apa yang dilihat oleh seseorang berbeza dengan yang lain. Begitulah ketika hadir di Raudhah, melihat maqam Rasulullah, hijr Ismail dan sebagainya. Apa yang kita nampak?

Sayang, yang kita nampak kekadang hanyalah ‘objek’ bukan ‘karektor’ dan ‘Penciptanya’. Kita tidak nampak kecintaan Nabi Ibrahim, kesabaran Nabi Ismail dan kesetiaan Siti Hajar. Tidak terbayang segala kisah dan ibrah. Otak kiri (fakta – kajian) dan kanan (visual – imiginasi) kita tidak teransang. Sedangkan jika kita memandang secara yang tepat, pasti emosi kita akan tersentuh.

Dan pada ketika itulah Allah akan kurniakan rasa yang amat mendalam. Namun sekiranya kita kosong ilmu, buta sejarah, kontang fakta… hanya mengharap soal rasa semata-mata, ya mungkin kita akan menangis, tetapi hanya seketika. Bila pulang, ‘pulang’ jualah segala iktibar dan pengajaran. Sikap dan kelakuan tidak berubah. Kita tidak dapat apa-apa kerana kita tidak ‘nampak’ apa-apa!

 

7) Hatinya telah pergi

Bila malam menjelang dia membuka buku ‘Panduan Haji dan Umrah’nya. Sudah kusam buku itu diulang baca. Ditatap berkali-kali. Sudah hafal segala doa dan kata. Sekali-sekala dia merenung beg besar yang telah dibelinya. Air mata seakan mengalir ketika tangannya meramas pakaian umarh yang masih baru dan segar baunya. Gelang tangan yang disediakan itu dikenakan berkali-kali. Ah, 4 bulan lagi… rasa tak sabar. Ingin segera menyahut lambaian kaabah.

Pantang ada orang bertanya, bila nak pergi? Dengan mata yang berkaca-kaca, mulut yang fasih dan yang ceria dia mula bercerita. Bukan kerana bangga, tetapi kerana keghairahannya. Sungguh, dia telah ‘pergi’ sebelum pergi. Hatinya telah bersedia. Ah, sukar membayangkan bagaimana jika dia mati sebelum pergi? Apakah akan terubat kerinduannya.

 

Teringat makna haji – ertinya menuju. Haji ertinya menuju Allah, dan bukankah kematian itu juga ertinya menuju Allah – pulang ke rahmatullah? Oh, betapa ramai yang belum pergi tetapi hatinya telah pergi. Dan betapa ramai pula yang telah pergi tetapi hatinya belum? Mudah-mudahan kita tergolong dikalangan mereka yang telah pergi dengan membawa hatinya sekali…

 

8) Dia tak pernah kembali

 

Ah, berbeza sungguh. Tuturkatanya berubah. Tingkahlakunya tidak semacam dulu. Cakap tingginya telah merendah. Dia berubah. Begitu ajaib kuasa Allah – Tuhan yang pernah merubah Umar, Hamzah dan Ikrimah. Mampukah kita menjadi ‘sidia’ itu? Mengapa kita beranggpan hanya para sahabat sahaja yang mampu berubah? Kita juga mampu, asalkan kena sentuhannya, cara dan hidayahnya.

 

Umar yang asalnya penumpah darah, Hamzah yang pemarah, Ikrimah yang ego segalanya ‘lebur’ dan ‘luntur’ di persada hidayah. Melihat Kaabah, ertinya melihat kebesaran Allah. Ihram, membuang ‘keakuan’ memakai ‘kekitaan’.Tawaf, yang mendekat tetapi tidak bersatu.

 

Arafah, lambang ‘arif’ dengan syariatullah dan sunnatullah. Saie, ‘penasaran’ dipacu dan diburu antara khauf (takut) dan raja’ (harap). Jangan bersisir, jangan berwangi-wangian, jangan menyakiti, jangan merosak… kau adalah pelarian, kau bagaikan penasaran memburu cinta Allah!

 

9) Sajak ‘hajj’ Ibn Mubarak

 

Ketika dia melihat siibu memasak bangkai burung itu

Dia tersentak lalu berkata:

Itu haram dimakan untukmu dan keluarga

Namun siibu menjawab hiba,

ia telah halal untuk anak-anakku

Inilah makanan yang ada…

Buat menyambung nyawa

Lalu Ibn Mubarak pun menyerahkan wang simpanan

Wahai ibu… wangku ini penebus deritamu

Alangkah gembira keluarga itu menerimanya

Namun safar Ibn Mubarak  tertangguh lagi…

Wang biayanya sudah tiada

Diberikan segalanya untuk yang lara

Ah, tiba-tiba dialog malaikat menjadi lagenda

Tahun itu haji Ibn Mubarak yang paling tinggi nilainya

Walaupun dia belum mencecah kakinya di Makkah

Namun hati tulusnya bagaikan telah mengucup Ka’abah…

Bukankah haji itu menuju Allah?

Sesungguhnya: Kembara Ibn Mubarak telah sampai ke situ…

Oleh tulus hatinya membantu siibu!

 

10)  Tanah Suci dan Tanah realiti

 

Dosa akan menimbulkan rasa resah di dalam hati. Rasa itu adalah benih yang disemai secara tabii oleh Allah untuk manusia kembali taubat kepada-Nya. Maksudnya, rasa berdosa itulah hakikatnya ‘penyesalan’ yang merupakan pra-syarat taubat yang pertama. Hakikat ini yang mendasari perbualan saya petang itu.

 

“Rasa tenang apabila melihat Kaabah,” ujar seorang korporat yang sudah tiga kali mengerjakan haji. Setakat umrah, sudah tidak dapat dikira.

“Tidak dapat dibayangkan betapa syahdunya rasa hati ini ketika mengucup Hajarul Aswad,” akui seorang artis ketika menceritakan pengalamannya di Tanah Suci.

“Dapat sujud di masjid Nabawi adalah detik paling sukar saya lupakan. Terasa benar akrabnya Nabi Muhammad SAW di dalam diri ini,” tambah seorang ahli politik.

 

Inilah berita dan cerita yang sering dimuatkan di dada akhbar dan majalah. Alangkah bahagia dan tenangnya kembara di bumi Haramain.

“Kenapa? Kau kelihatan sinis?” terjah seorang teman.

 

Saya diam. Payah hendak diluahkan, walaupun rasa itu telah terpendam sekian lama.

”Kau tidak percaya?” jolok teman itu lagi. Tangannya masih memegang keratan-keratan akhbar dan majalah yang memaparkan cerita ibadah haji di kalangan selebriti Tanah Air. Kisah ’orang-orang besar’ yang terasa kerdil di hadapan Allah Yang Maha Besar di Makkah dan Madinah.

 

”Aku rasa jika benar begitu baguslah,” balas saya pendek.

”Kenapa? Kau ragu?”

”Ini soal hati. Kita tak mampu menerobos jauh ke dalam jiwa manusia,” balas saya perlahan.

”Apalagi nak baca hati orang, hati sendiri pun sering kita tersasar menilainya,” tambah saya lagi.

 

”Tak salah, kalau kita mengulas sebagai bahan tarbiah… untuk mendidik, bukan mengkritik,” giatnya agar saya terpancing berkata-kata.

”Rasa-rasa hati di Tanah Suci tu memang baik, tetapi yang lebih penting ialah apa kesannya ketika kembali ke ’Tanah Realiti’…”

”Wah, kau ini ada sahaja istilah baru. Apa yang kau maksudkan?”

Sekarang saya tidak pasti siapa yang ’terpancing’ dalam perbualan ini saya atau dia?

 

”Aku impikan masyarakat yang bersih dari bisnes yang dibauri unsur riba, penindasan, ’gharar’ dan tipu daya oleh ahli perniagaan yang bergelar haji!” tiba-tiba saya luahkan apa yang selama ini terpendam di dada.

 

”Bahkan kita merindui artis-artis yang bergelar haji atau hajah yang dapat membersihkan dunia hiburan dari pergaulan bebas, pendedahan aurat dan lain-lain unsur hedonisme yang melalaikan!” ujar saya lagi.

 

”Kau terlalu idealis. Itu hanya satu utopia di persada impian yang fatamorgana…” cebik teman saya itu.

”Kenapa, itu terlalu sukar?”

”Manusia tidak mampu berubah sekelip mata,” tambahnya lagi.

 

11) Meskipun berkali-kali haji

Kisah yang menyayat hati ini berlaku beberapa tahun yang lalu. Seorang kaya yang bergelar haji mati dalam keadaan yang menyedihkan sekali. Pada tahun-tahun terakhir menjelang kematiannya, dia hidup begitu menderita dan terseksa sekali.

“Kau maafkanlah kesalahannya, “ rayu saya kepada adik.

Saya tahu adik saya begitu kecewa dengan sikap haji yang pernah menjadi majikannya.

“Dah maafkan bang,” ujar adik saya perlahan.

 

Saya masih ingat betapa marahnya dia kepada Pak Haji majikannya itu. Setelah bekerja hampir setahun, gaji yang diberikannya kurang daripada apa yang dijanjikan dahulu. Adik saya tetap bersabar. Dengan harapan, gaji yang tidak sampai separuh itu akan dibayar penuh pada satu hari nanti. Namun malang, hari yang dinantikannya tidak pernah tiba. Hendak dikatakan perniagaannya rugi tidak juga… Perniagaannya bertambah maju. Pekerjanya makin bertambah. Dan yang paling ketara setiap tahun dia akan pergi mengerjakan hati. Entah kali ke berapa, sudah tidak dapat dihitung lagi.

 

Mula-mula adik saya bersangka baik. Mungkin majikannya ada strategi tersendiri. Dia setia menanti. Namun segala-galanya terbongkar apabila rakan kongsi perniagaan Pak Haji itu menemuinya pada satu hari.

“Bulan depan saya akan mengerjakan haji. Saya minta maaf dan ini separuh daripada gaji-gaji kamu yang tidak dibayar selama ini,” katanya kepada adik saya.

“Maksud tuan?” tanya adik saya kehairanan.

“Saya rasa berdosa kerana turut terbabit tidak membayar gaji kamu,” kata rakan kongsi niaga Pak Haji tersebut.

 

“Kalau begitu mengapa separuh sahaja?” tanya adik saya lagi setelah mengira wang diberikan.

“Separuh lagi kamu mintalah kepada Pak Haji. Bukankah kami berkongsi perniagaan ini. Tidak adillah kalau saya seorang sahaja yang membayarnya,” kata rakan niaga Pak Haji itu secara berterus-terang.

Adik saya malu alah untuk menuntut baki gaji tersebut. Maklumlah sudah beberapa kali meminta tetapi ditolak dengan pelbagai alasan. Memandangkan Pak Haji itu juga turut akan mengerjakan haji buat sekian kalinya pada tahun itu, adik saya menyangka beliau akan mengambil sikap yang serupa dengan rakan niaganya.

 

Tunggu punya tunggu, harapan adik saya tetap tidak kesampaian. Pulang daripada Makkah tahun itu dan pulang lagi pada tahun-tahun berikutnya tetap membuahkan natijah yang sama. Ketika adik saya memohon berhenti kerja sekalipun baki gajinya tetap tidak dilangsaikan. Pak haji tersebut tetap selamba dengan sikapnya. Teganya dia, berulang alik ke Makkah tetapi menzalimi pekerjanya sendiri. Apakah dia sudah tidak mengenal lagi keutamaan yang wajib berbanding dengan yang sunat. Pada hal mengabaikan hak sesama manusia itu kekadang lebih padah hukumannya daripada mengabaikan hak Allah.

 

“Betul kau telah reda?”

“Insya-Allah bang. Tetapi masalahnya bukan saya seorang sahaja yang mengalami keadaan begitu, ramai lagi pekerja-pekerjanya yang lain menerima nasib yang sama.”

Saya tunduk. Sedih. Pak Haji telah diserang “stroke” yang berat hingga badannya terketar-ketar dan hilang daya pertuturan dan lumpuh separuh badan. Dan berbulan-bulan kemudian, dia pergi buat selama-selamanya. Semoga Allah merahmati rohnya. Mana tahu dia bukan sengaja… dia hanya tidak tahu! Mungkin.

 

12) Sah tetapi tidak mabrur.

 

Pernahkah anda dikejutkan oleh sikap seseorang yang baru pulang mengerjakan haji? Hasil pergaulan dengan masyarakat, ramai yang pernah mengalami kejutan apabila kawan atau saudara mereka yang baru pulang dari Makkah telah berubah sikap.  Bukan ke arah kebaikan tetapi sebaliknya. Jika dahulu tutur katanya lembut dan merendah diri tetapi kini bertukar sama sekali.

 

Benarlah seperti apa yang pernah saya pelajari dahulu, ego itu bermacam ragam. Ada orang ego dengan harta dan kuasa, tetapi ada juga yang ego dengan amal dan “pahala”nya. Padahal ibadah itu (termasuk haji) umpama pokok, buahnya adalah akhlak. Apalah gunanya pokok yang tidak berbuah?

 

Minggu lalu berlaku satu dialog ringkas antara saya dan sepupu saya selepas mengerjakan solat tarawih di masjid berhampiran rumah kami.

“Ibadah haji hanyalah satu proses. Yang dicari ialah “output”nya,” kata saya.

“Maksud abang  kesan haji?”

“Ya. Daripada output itulah dapat diukur apakah haji itu mabrur atau tidak,” jelas saya lagi.

“Apakah kesan haji?” tanyanya lagi.

“Takwa dengan Allah. Berakhlak sesama manusia.”

 

“Siapa yang mampu mengukur takwa dan akhlak?”

“Payah sekali. Terlalu maknawi. Tetapi sekadar boleh diagak-agak.”

“Oleh siapa?”

“Oleh yang empunya diri.”

“Bagaimana?”

“Melalui rasa hati.”

“Bagaimana?”

 

“Bila terasa ringan melakukan kebaikan, berat melakukan kejahatan. Mudah merendah diri. Mudah rasa berdosa dan segera bertaubat. Tutur kata menjadi lembut dan senang sekali untuk bersedekah,” saya menceritakan semula apa yang pernah dipelajari dahulu.

“Kita sepatutnya bermuhasabah kenapa ada orang yang begitu berbangga bercerita tentang beberapa kali dia mengerjakan haji dan umrah tetapi perangainya tidak pernah berubah… Masih tega menzalimi, mengumpat dan menipu orang lain.”

“Sahkah haji yang begitu?” tanyanya untuk mendapat kepastian.

“Jika tepat syarat dan segala rukunnya memang sah, tetapi tidak mabrur!”

 

Setelah dialog itu berakhir, dalam hati saya terpahat satu kesimpulan:

Janganlah hendaknya diheboh-hebohkan sudah berapa kali kita telah melaksanakan haji dan umrah tetapi tanyalah diri sendiri, sudahkah akhlak kita bertambah baik setelah itu? Apalah gunanya memiliki beratus-ratus pokok buah-buahan tetapi sebatang pun tidak menghasilkan buah?

 

 

13) Di Hajarul aswad itu…

 

Tolak menolak begitu hebat. Rebut merebut begitu dahsyat. Acap kali berlaku pertengkaran. Kekasaran, siku menyiku usah dikatakan lagi. Sudah biasa. Ironinya, itu semua konon katanya  ingin mendapat keredaan Allah – ingin mencium batu syurga, Hajarul aswad itu. Mungkin jika Ansar dan Muhajirin berada di situ melihat gelagat umat ini, mereka akan sedih berbaur hairan. Apa tidaknya, ketika persaudaraan mereka dikukuhkan sebaik pasca peristiwa hijrah, mereka saling berkorban demi iman dan Islam.

 

Jika ada di antara Ansar punya dua bidang tanah, diserah satunya kepada saudara muhajirinnya. Begitu juga yang punya dua rumah. Yang punya satu, rela dikongsi bersama . Harta dan segala milik dibelah dua. Malah yang punya dua isteri, rela diceraikan untuk diberikan kepada kaum muhajirin yang tidak punya apa, hilang segala-galanya apabila berhijrah dari Makkah ke Madinah. Itu semua sudah tercatat dalam sejarah.

 

Sudah menjadi teladan yang indah yang dinukilkan dalam kitab Hayatus Sahabah, bagaimana dalam satu peperangan telah terjadi peristiwa yang indah. Di kalangan tentera Islam saling menolak untuk meminum air walaupun terlalu dahaga kerana mengutamakan sahabat seperjuangannya yang lain. Pada saat yang sangat kritikal pun ukhuwah terus dipertahankan kerana itulah buah iman. Iman kukuh, ukhuwah teguh.

 

Namun sedih dan malang sekali, kini… di hadapan Kaabah, Muslim sesama Muslim  saling bertolak-tolakkan, meluntur persaudaraan, meleburkan iman, hanya untuk mendapat barakah sunat mencium batu syurga itu. Ukhuwah itu wajib, mencium Hajarul Aswad itu walaupun dituntut tetapi hanya sunat. Jika tidak berkesempatan, cukuplah ber”istilam”, melambai dan mengucup tangan sambil mengucapkan, “bismillahi Allah hu Akbar!” Jika ikhlas, itu pun sudah memadai untuk mendapat barakah Hajarul Aswad.

 

Semua ini mengingatkan saya kepada perbualan dengan seorang kenalan sebaik pulang mengerjakan umrah tidak beberapa lama dahulu.

“Kau dapat menciumnya?” dia bertanya, senyumnya sinis sekali.

Ketika saya diam.

“Aku dulu dapat menciumnya lebih tiga kali,” dia bersuara apabila melihat saya diam.

“Bagaimana kau boleh dapat peluang macam tu?”

“Itulah ajaibnya. Dah memang rezeki aku… semacam satu lorong khas disediakan untuk aku untuk menciumnya…”

Dan dia terus bercerita tentang “keajaibannya”.

 

Saya tersenyum. Mengapa kekadang kita mencari yang “ajaib-ajaib” sahaja di Makkah dan Madinah. Kemudian kejadian luar biasa itu dijadikan semacam penanda aras pada status diri dalam beragama. Seorang kawan, asyik bercerita bagaimana dia akan mendapat gelas air zamzam pemberian orang berjubah putih setiap kali selepas bertawaf. Dia seolah-olah merasakan orang berjubah putih itu adalah “insan luar biasa” yang mengiktiraf akan kehebatannya.

 

Pada hal, rasa saya, kalau dialah yang memberi gelas air zamzam kepada orang lain selepas orang lain itu penat bertawaf, itu lebih luar biasa. Bukankah tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima?

 

 

 

14) Walau malu tetap meminta Syurga

 

Entah kenapa pada malam itu taman itu lapang sekali. Tiada kesibukan, kurang pergerakan. Semua tetamu seakan berteleku kaku dalam zikir dan fikir. Seseketika bunyi dengus nafas dihela perlahan bersama rintihan. Ada suara esakan tangis, namun perlahan cuma. Bunyi rintihan yang tertahan bersama alunan bacaan Al Quran bagai melodi yang sungguh mengasyikkan.

 

Aku masuk ke dalam taman itu bagai sandera yang pasrah. Kubawa hatiku yang rawan, fikiran yang kelelahan dan nafsu yang masih liar. Aku tidak mahu dan mampu berpura-pura lagi. Inilah diriku wahai Ilahi… Tidak punya kesucian, tidak memiliki keindahan yang dapat aku persembahan. Inilah diriku yang penuh cela dan noda. Tanpa dapat berselindung, KAU Maha tahu segala.

 

Mengapa takdirnya aku ke sini? Ke daerah suci di bawah bayu syurga. Dingin, nyaman dan tenang, istirahat seketika di jalan mujahadah ku yang derita. Bukan kerana kebaikanku, tetapi kerana kasih sayang-Mu, yang membawa aku di sini. Kau izinkan kaki dan hati yang berdosa ini singgah seketika bagi menatap jalur-jalur cahaya dalam relung diri yang gelap gelita.

 

Benar kata-Mu seperti yang ku dengar sejak dulu, keampunan-Mu sentiasa mendahului murka-Mu.

 

Ku cecah dahi di hamparan hijau itu. Seakan ku tuang segala kabut dan serabut fikrah yang kusut. Ku nafikan licik dan strategik segala yang pernah berdetik di minda ini. Fikrah inilah yang mencipta dosa demi dosa. Sesah akal ini ya Allah, palu akal ini ya Rahman, dengan belantan “inzar” dan tazkirah-Mu. Tuhan, kembalikanlah biduk akal ku ke pengkalan takdir-Mu. Fikrah sudah letih belayar tanpa arah.

 

Sujud dan rukuk aku di sana. Menelanjangi segala aib dan dosa. Tanpa aku mengadu, KAU pun tahu. Namun, itulah wadah tanda menyerah, aku “Abdullah”… aku hamba Allah. Aku pasrah. Aku kalah.

 

Cintaku sekelumit cuma, hampir tiada. Saat ini aku hanya berbekal harapan. Benteng terakhirku hanya rasa tidak berputus asa. Kata kekasih-kekasih-Mu selalu memujuk aku: Kejahatan yang menyebabkan engkau menangis, lebih baik daripada kebaikan yang menimbulkan rasa takbur.

 

Dalam rasa malu, takut dan harap, masih aku memberanikan diri untuk meminta lagi. Lalu di malam itu, di Raudah itu ku catatkan gugusan permintaan. Satu demi satu melalui puisi hati. Kubiarkan pena menari, mencari makna dan kata hanya berpandukan rasa. Malam itu walaupun malu aku tetap meminta syurga Pendahulu bicara hanya ini:

 

Ya Latif,

Berikan aku hati yang lain

Yakni hati yang lebih yakin

Hati yang lunak

… agar mampu mencintai-MU

Malam itu adalah malam yang paling panjang dalam sejarah hidup ku. Dapat ku luahkan segala dan semua. Seakan tercabut “tulang” yang mengait dalam sanubari sekian lama. Namun tiba jua saat berpisah, aku terpaksa melangkah. Pamitan pun berlaku dan gamitan pun berlalu. Sayu benar terasa ketika hati ku terus merayu:

Aku dambakan kebaikan…

yang melahirkan kebaikan

Aku pohon ketenangan

…yang memberikan ketenangan.

Pinggirkan segala sengketa

hampirkan semua cinta

tanpa dendam…

tanpa prasangka

Jika benar apa  yang ku dambakan  di Raudah itu

…hanyalah Allah!

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 
36 Komen

Posted by di 19 November 2010 in Iktibar Kisah, Uncategorized

 

Label: , , , , ,

36 responses to “KISAH-KISAH DARI MAKKAH DAN MADINAH

  1. Insyirah

    19 November 2010 at 3:21 pm

    Salam,

    Terima kasih ustaz..sangat berguna entri ini buat saya.
    Saya ingin menunaikan umrah tahun depan..mohon diberi kekuatan dan keikhlasan…susah betul untuk ikhlas ye….? macam – macam terdetik dalam hati..
    Moga diri depelihara olehNya..

    Terima kasih sekali lagi..

     
  2. khairul

    19 November 2010 at 3:51 pm

    ~SALAM AIDILADHA ~

     
  3. Nur hashima

    19 November 2010 at 4:08 pm

    salam ….saya setuju dengan ustaz pada post kali ini..banyak pro dan kontra nya bila melakukan haji …..Namun semua itu telah allah nyatakan dalam petanda akhir zaman..akan ada dikalangan umat ini yang mengerjakan haji niat bukan kerana allah …..golongan yang kaya untuk makan angin …golongan yang sederhana untuk untk berniaga..dan golongan miskin untuk meminta-minta…..renung2kan..semoga kita tidak tergolong dalam 3 golongan itu..:)))…

    p/s :ustaz, saya ada email pada ustaz untuk mohon pandangan …minta ustaz dapat reply email saya ya..syukran…jazakaallah…:)

     
  4. Ummu Auni

    19 November 2010 at 4:24 pm

    Assalamu`alaikum
    Terima kasih di atas perkongsian ini, rasa masih banyak amalan perlu diperbaiki

     
  5. nor faizah abdullah

    19 November 2010 at 4:50 pm

    terima kasih Ya Allah…Engkau lahirkan insan setulus ustaz…moga dimudahkan tiap bicara beliau,Engkau anugerahi nur aqal dan iman petunjuk dan ingatan buat semua ummat….agar tidak hilang hati kami dariMU…..

     
  6. Mohamad Hamiduddin Ismail

    19 November 2010 at 5:25 pm

    “Lebih separuh, menurut Dr. Yusuf Qardawi, daripada jemaah haji yang ke tanah suci pada setiap tahun adalah mereka yang mengerjakan haji bukan buat kali pertama. Kebanyakkannya kali kedua, ketiga, keempat… Menurut Qardawi lagi, dari segi aulawiyat kita sudah tersalah.”…. Di dalam Fiqh alAwlawiyyat, Dr. Yusuf alQardhawi turut juga mengkritik sikap sesetengah umat Islam yg x melihat keutamaan dalam setiap pelaksanaan amal Islami. Beliau mengkritik dan cuba mengkorektif beberapa buah negara yg terlalu mengutamakan majlis-majlis seumpama Tilawah Al-Quran melebihi keutamaan penekanan kepada penghayatan alQuran itu sendiri. Tarannamul Quran itu perlu tetapi penghayatannya lebih mustahak.

     
  7. hasnah

    19 November 2010 at 6:00 pm

    Salam,
    Sangat mengesankan jiwa… Sisi pandangan yang berbeza dan menyentuh hati. Membangkitkan minda untuk muhassabah ibadah-ibadah yang dilakukan dan memurnikannya sementara masa masih ada.
    Terima kasih..

     
  8. UMMU AMNI

    19 November 2010 at 8:24 pm

    Salam,
    moga punya kesempatan untuk ke sana dalam limpahan keikhlasan…syukran ya ustaz…

     
  9. Aq_Furqan

    20 November 2010 at 12:15 am

    Salam a’laik.Jazakillah ustaz,Alhamdulillah telah jelas y aulawiyatnya..Mg dirahmati Allah s.w.t sntiasa.

     
  10. Nur adrenalin

    21 November 2010 at 8:35 pm

    9) Sajak “Hajj” Ibn Mubarak
    ~ Inilah modal yg aku jwb (secara bergurau) setiap kali soalan”bila nk ke Tanah Suci mngerjakan haji?” ditanya. Well, aku mau spt haji si tukang kasut (Ibn Mubarak) yg hajinya diterima sbg haji mabrur tanpa menjejakkan kaki di bumi Mekah!! Bukankah setiap amal bermula dgn niat. Niat pula hanya dikira yang “ikhlas krn Allah Taala?”.. Sudah dikira berniat utk menunaikan haji di Mekah apabila mendaftar dgn Tabung Haji. Menabung dgn TH pun dah lama, hampir 15 tahun dgn potongan gaji setiap bulan. Bkn aku saja tp dgn keempat2 anakku telah berdaftar sekali.
    Kalau nama tak naik disebabkan “kuarta” tak cukup, maka diluar bidang kuasa aku…
    Teringat aku dgn Elaine, sahabat karibku bbangsa cina kristian.. Wow, u want to b smart, get pahala haji freely..hehe..(Bila aku bcerita ttg haji si tukang kasut ini)… Now she suffering from parkinson.. she bought me small al quran translation.. dont ever forget to read ur quran & pray. Ask from ur Allah for blessing… Only Allah can help u… Cuma Elaine belum dpt petunjuk hidayah Allah saja…Elaine.. i really lv u & miss u….

     
  11. Nur adrenalin

    21 November 2010 at 9:26 pm

    4) Kepentingan diri dalam ibadah
    ~ Alhamdulillah, kami baru balik dari mengerjakan Umrah lagi (entah kali keberapa tp yg pasti lebih dr sekali).. kata Datin Hjh H memberitahu kakakku. Datin hjh H adalah isteri kpd Datuk Hj M anak saudaraku. Rezeki anak saudaraku yg dibela allahyarham bapaku sehingga bjaya mlanjut pelajaran ke menara gading, mmegang jwtan tinggi sehingga dikurnia gelaran Datuk bbrp tahun sblm pencen. Kami melawat tempat2 sejarah, makam para nabi dan terus ke negara Eropah. Setakat Indonesia, Beijing tu dah biasa la kami pergi.. tambahnya… kakakku hanya diam saja.
    Sebelum meninggalkan kakakku yg waktu itu rumah pun menyewa lagi (tidak spt Datuk hj M yg mempunyai banglo di tanah kurnia Sultan atas jasa2 bkhidmat pd negeri di selatan Semenanjung), Datuk Hj M sempat menyalam kakakku dgn segera & tergesa2 (takut dilihat isterinya Datin Hjh H). Apabila kakakku buka tgnnya maka dilihat 2 keping wang kertas RM1.00. Takkan Datuk Hj M bg mak ciknya yg idup sederhana itu RM2.00? Tidak, kakakku bersangka baik. Mungkin dia nak bagi Rm100 dgn nilai 2 kpg duit Rm50.00. Bukankah wang kertas RM1.00 lebih kurang kelihatan spt RM50.00 saja?
    Cerita ini mengesahkan apa yg didengar bahawa Datuk Hj M takutkan bininya yg bukan saja berlagak tapi kedekut…. buatlah haji & umrah banyak kali pun… tak guna… adalah lebih afdal kalau wang itu dibuat biaya Haji @ umrah makcik mrk yg jangankan Haji @ Umrah, rumah pun masih menyewa lagi (pd waktu itu)…. Skrg alhamdulillah, makcik Datuk Hj M dapat beli rumah sendiri walaupun berniaga kecil2an mjual kueh muih…
    Datuk Hj M juga amat bkira dgn adik beradiknya yg lain, tidak spt adiknya Hj J (juga disekolahkan oleh arwah datuknya hingga k menara gading & mmegang jwatan tinggi) yg bertambah rezeki hingga mpunyai stesyen petrol sendiri & membiayai 9 org termasuk adik beradiknya yg kurang bkemampuan mngerjakan haji. Haji J juga dikurniakan 2 org isteri yg mana kedua2 isterinya amat baik & btolak ansur. Bijak sungguh Hj J menangani poligami.
    Inilah pkara yg amat ditakuti oleh Datin Hjh H bimbang suaminya Datuk Hj M bpoligami spt adiknya Hj J. Yg kelakarnya, kbanyakn ahli keluarga mdoakan agar Datuk hj M kahwin lagi utk mengajar isterinya yg “queen control” itu…..

     
  12. Nur adrenalin

    21 November 2010 at 9:59 pm

    10) Tanah Suci & Tanah Realiti
    ~ “Alhamdulillah, dah rezeki aku… walau aku diMalaysia selalu sakit2 kaki, kekadang jalan bertongkat, tapi di sana di tanah suci, aku diberi nikmat sihat. Aku sihat sungguh & dapat mengerjakan ibadah tanpa cacat cela & ujian kesukaran spt org lain. Ada org muda tu waktu di Malaysia sihat walafiat, tapi di sana sakit berkerusi roda. Entah apa la dosanya sampai diuji sedemikian rupa.. tu la kan.. rezeki masing2… Eh… Engkau bila lagi nak pegi sana? baik pegi waktu usia muda2…kat sana nanti nak buat ibadat kena banyak guna tenaga… kalau dah berumur nanti susah… ”

    Itulah kata2 salah seorang kenalan aku…. (juga kata2 ramai org yg balik Mekah yg aku dengar & baca), tapi dgn mudah aku jawab yg langsung buat dia terdiam terus…. “Laaa…. tadi kau juga yg kata.. pegi sana semua ikut rezeki masing2… ada yg sihat jadi lemah, yg lemah jadi sihat…. maka aku tunggu saja bila giliran aku sampai… tak de tulis syarat nak dpt haji mabrur pegi waktu usia muda pun”…… (hehe.. lasernya aku!!!)

     
  13. Noor

    22 November 2010 at 2:14 pm

    Salam,

    Saya kira entri ini dan juga yang terdahulu senantiasa hadir pada waktu yang tepat. Tatkala saya di tanah asing ini, jauh dari guru untuk bertanyakan pendapat, buah fikiran yang bernas dari pemikir Islam seperti ini amat bererti.

    Syukran

    Semoga Allah berikan kekuatan buat ustaz agar terus menulis, dan meningatkan insan seperti saya yang acapkali tersasar dan alpa.

     
  14. hamba ALLAH

    23 November 2010 at 4:52 pm

    Assalamualaikum ustaz,
    saya ada masalah ni, bila eringin rasa hati untuk meninggalkan
    satu keburukan yg memang dah sebati dlm diri, saya cuba tapi kadang tu saya terus lakukan walau hampir di pertengahan perjuangan antara nurani dan naluri.saya selalu kalah. bila berdialog dgn RABB mcm tak sampai rasanya pintu yg dekat .agaknya apa ubat untuk hati yg sering menulangi dosa selepas setiap kali dicuci ya?? harap ustaz boleh bagi petua..

     
  15. Azrul

    23 November 2010 at 5:36 pm

    Salam ustaz…
    Alhamdulillah, tulisan yg penuh hikmah… Moga Allah memberkati ustaz…

     
  16. arie rahman

    24 November 2010 at 12:04 am

    dunia = perhiasan = tipudaya.. tiada daya dan kekuatan melainkan dengan izin dan pertolongan Allah.. aku nasihat atas diriku agar ingat Allah sentiasa… insyaAllah…

     
  17. RAHIMAH

    24 November 2010 at 3:46 pm

    Saya tertarik dgn entri ke 7.”dia telah pergi sebelum pergi” dan dan ramai yang pergi tapi hatinya tidak turut serta terutama yang “terpaksa”pergi buat mengiringi sesaorang.Tidak dapat merasa nikmat berada dan beribadat di sana.Sungguh rugi.
    Bagi yang pergi sebelum pergi,hati dan mindanya sudah bertaut dengan Mekah dan Madinah.Kasih pada Nabi dan sahabat2 bertambah.Solat dan Alquran bertambah dicintai.Menasik haji dlm jiwa.Hayatilah doa2 tawaf dan sae.Hayati dan selusurilah sejarah Nabi Mohammad dan Nabi Ibrahim,ismail.Jangan lupa pada kisah pengorbanan para sahabat.Tiba nanti disana,tak terkata perasaan nanti.
    Jangan sekali pergi dgn hati dan minda yg kosong.

     
  18. azreenpatah@fatah

    24 November 2010 at 6:51 pm

    assalamualaikum..
    Ustaz, minta izin..boleh ta kalau sayer nk copy dan print citer ini untuk kedua ibubapa sayer yg akn balik dari menunaikn haji x lamer lagi..?
    hanya untuk peringatn bersama-sama keluarga.
    mula-mula terfikir untuk hanya email pada mereka tpi, ibu sayer tidak mempunyai emel. ayah sayer pula hanya membuka emelnya di pejabat. mungkin sukar untuk mereka…dan kesan membaca dari sesuatu yang dicetak lebih fleksibel dan boleh selalu dibaca..
    pohin jawapan ustaz..

     
  19. gentarasa

    25 November 2010 at 9:06 am

    Salam,
    Tahniah, anda anak yang baik. Silakan.

     
  20. gentarasa

    25 November 2010 at 9:15 am

    Aku juga nasihat diriku untuk sama-sama dalam nasihat mu! Amin.

     
  21. gentarasa

    25 November 2010 at 9:18 am

    Ubatnya, bertaubat lagi. Berulang kali. Jangan jemu bertaubat… walaupun patah. Allah itu Maha Pengasih maha Penyayang. Cari kawan, ubah suasana, dedahkan diri pada program Islami. Jangandekati tempat, orang dan suasana yang boleh membuat kita berdosa lagi. Hijrah!

     
  22. nur

    26 November 2010 at 12:53 am

    salam ust…kullu sanah wa enta bilkhair…

    tersentuh sy baca artikel ni….sedey…T.T….sebak….jazakallahakhair…

     
  23. ibn sabrie

    26 November 2010 at 7:59 pm

    terima kasih ustaz.. doa2kan saya dapat hantar mak abah saya gi kerjakan haji.. amin..

     
  24. jamilah

    30 November 2010 at 4:58 pm

    Terlalu banyak yang saya dapat untuk dijadikan pendoman dan pengajaran. Terima Kasih ustaz

     
  25. Ilmiah

    4 Disember 2010 at 8:06 am

    salam alaik ustaz…

    insyaAllah saya akan mengerjakan umrah tahun depan….
    tapi saya takut
    adakah saya betul2 bersedia untuk ke tempat suci umat Islam itu???
    adakah hati saya dah betul2 bersih untuk ke sana???
    adakah cukup taubat yang telah dilakukan sblum melangkah ke sana???
    adakah saya dapat berubah ke arah yg lagi baik slpas pulang nnti???

     
  26. gentarasa

    5 Disember 2010 at 6:25 am

    Salam,
    Justeru tidak cukuplah semua itulah kita ke sana. Di sana bukan tempat orang yang bersih sahaja… tetapi tempat orang yang ingin ‘membersihkan’ diri!

     
  27. nhhas

    14 Disember 2010 at 2:45 pm

    Assalamualaikum wbt…
    Thanx ustaz…
    moga Allah bagi kita kekuatan utk istiqamah di jalan Nya dan istiqamah mengejar cinta Nya…Kalau tak percaya dengan janji Allah, nak percaya janji siapa lagi. ye tak. :)

     
  28. Hajah XYZ

    27 Disember 2010 at 9:27 am

    Terima kasih ustaz atas perkongsian di atas.
    Actuallynya baru seminggu saya baru balik dr menunaikan haji. Tercari2 langkah dan adab bagi seorang yg bergelar hajah di usia yg belum mencecah 40 tahun.
    Pengalaman haji sangat berharga….tiada nilainya dengan wang ringgit. Syukur kehadratnya…kerana memberijemputan, kelapangan, rezqi dan kesihatan…menunaikan rukun Islam yg ke5.
    Kenikmatan beribadah di rumahNya dan di masjid RasulNya..sering membuatkan saya menangis……bersyukur kerana diberi peluang merasai kenikmatan dan kemanisan beribadah kpdNya.
    Soalnya………bagaimana nak mengekalkannya ketika berada di ‘tanah relaiti’ (bak kata ustaz).

    Saya tertarik dengan entry ‘what u see is what u get’. Sebab saya sendiri mengalaminya ketika melihat kaabah pada kali pertama. Saya hanya melihat ia sebagai sebuah bangunan…tiada apa yg terlalu istimewanya kaabah itu (itu kata hati dan pandangan logik). Sehinggalah saya bermujahadah dan mencari bahan bacaan tentang mukjizat kaabah itu…barulah saya merasai kehebatan kaabah yang Allah jadikan sebagai sebagai satu simbol kepatuhan, ketaatan dan perpaduan seluruh hamba2 dan umatNya.
    Dan ketika itu hati saya cair dan hanya dgn memandang kaabah…dgn sendirinya air mata bercucuran tanpa disedari………masyaAllah….subhanallah!

    Memang banyak pengajaran yang diperolehi ketika mengerjakan ibadah haji. Moga dengan belas ehsan Allah…diterimaNya ibadat kita..dan mohon layak beroleh haji yg mabrur. Amin

     
  29. Ija

    27 Januari 2011 at 7:18 pm

    Terima kasih atas peringatan ini.

    Saya doakan Ustaz diberikan rezeki untuk sampai ke Tanah Suci dengan segera :)

     
  30. gentarasa

    28 Januari 2011 at 10:46 pm

    Salam,
    Syukran. Saya sedang berusaha. cuma belyum kesampaian. Masih ramai anak-anak yang memerlukan dana pelajaran. Insya-Allah, semua Allah permudahkan kita semua ke sana. Amin.

     
  31. yahaya abdullah

    21 April 2011 at 2:55 pm

    salam,
    saya menyokong penuh usaha agama, teruskan jihad keilmuan dengan teras akidah yg salim ibadah yg shahih dari al quran dan as sunnah.

     
  32. Razali Johar

    2 Mei 2011 at 8:47 pm

    Salam, saya sudah mengerjakan umrah pada tahun ini pada umur 51 tahun. Tetapi tahun hadapan saya tidak berniat untuk mengerjakan haji kerana saya berniat untuk mengerjakan haji pada umur 55 tahun. Adakah pahala umrah saya akan hilang jika saya tidak pergi tahun berikutnya?

     
  33. gentarasa

    3 Mei 2011 at 8:08 pm

    Salam Razali,
    Tidak pernah pula saya terdengar semacam itu. Insya-Allah, doakan saya juga boleh menyusul saudara ya. Sedang berdikit-dikit mengumpul dana.

     
  34. nur haniah

    16 September 2011 at 6:37 pm

    Salam ust..Alhamdulillah, saya baru seminggu pulang dari mengerjakan umrah, pertama kali dalam hidup saya..InsyaAllah .saya akan berusaha untuk mengekalkan apa yg terdidik selama berada di sana..dan saya mula merasakan kesukaran apabila berada di “tanah realiti ” ini..Sesungguhnya saya amat takut..menjadi leka dan lalai..apa pun insyaAllah ..semoga Allah Taala menjaga hambaNya yang serba lemah ini..dan dipanjangkan umur utk menuju kepadaNYA ..HAJI..

     
  35. Latiffah

    13 Oktober 2011 at 11:06 am

    Alhamdulillah syukur rasanya…apabila saya membaca setiap barisan demi barisan tulisan Ustad, hati saya berdebar-debar, air mata tergenang di kelopak mata, seakan-akan diri ini amat kecil dan hina..Saya mengharap ilmu/iktibar yang ustad tuluskan itu akan mengjadi panduan yang berguna. Tarima kasih…

     
  36. sheida

    17 Mei 2012 at 11:07 am

    ustaz.. mohon share…

     

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,104 other followers

%d bloggers like this: