RSS

CUKUP SEKADAR UNTUK MELIHAT MENTARI…

31 Jan

Saya sering diuji dengan apa yang saya tulis dan ucapkan. Acap kali apa yang saya tulis dalam buku, majalah atau blog mahupun sekadar coretan untuk teman-teman, terjadi pula pada diri saya dan keluarga. Justeru, pernah sampai ke tahap saya rasa takut untuk menulis… takut kalau-kalau apa yang saya tulis akan kembali menimpa dan ‘menguji’ diri saya.

Banyak yang saya tulis adalah apa yang saya telah lalui sendiri. Bukan hari ini, minggu ini bahkan puluhan tahun yang lalu. Ertinya, saya menulis daripada pengalaman sendiri – sama ada yang baik mahupun yang buruk. Tetapi ada juga yang saya tulis berdasarkan pengamatan pada hidup orang lain. Saya tidak melaluinya… tetapi saya selami dengan sikap simpati malah empati. Lantas saya garap kembali dengan fikrah Islami dan fitrah insani. Seadanya! Setakat secebis kemampuan ilmu yang ada.

Pada jurus yang kedua inilah saya sering diuji. Apa yang menimpa orang lain turut menimpa saya. Saya tercari-cari mengapa itu terjadi? Benarkah niat saya untuk berhenti menulis (kerana takut) itu adalah suatu yang tepat dan betul? Begitulah hati saya kerap bertanya-tanya.

Lama juga saya terperuk dalam kemelut rasa yang berbelah-bagi itu sehinggalah pada suatu ketika tiba-tiba saya diterjah oleh satu peringatan yang datang dari dalam diri sendiri. Lalu saya tuliskan dalam diari harian dengan kata:

“Bila kita sendiri diuji dengan apa yang sering kita dakwahkan, itu petanda Allah sedang mendidik kita agar melaksanakan apa yang kita diperkatakan. Bersyukurlah kerana Allah masih sudi mengingati kita dalam usaha kita mengingatkan manusia!”

Dengan kesimpulan itu saya teruskan menulis. Biarlah. Semoga saya juga terdidik dengan tulisan-tulisan sendiri. Saya sering merasakan kekadang seorang pendakwah menjadi ‘jambatan’ kepada orang lain untuk mendapat hidayah. Jadi apa salahnya ‘jambatan’ itu dilalui oleh dirinya sendiri.

Kekadang saya sendiri rasa pelik bila saya membaca kembali tulisan-tulisan dan buku-buku saya sendiri. Bukan untuk rujukan buat menulis atau mencari idea baru…. tetapi saya tatap pada waktu tersunyi dalam hidup untuk bermuhasabah dan ‘menghukum’ kealpaan diri. Ah, kiranya semua yang pernah saya tulis mampu saya amalkan, alangkah indahnya. Cuma saya terus berharap dan berdoa… kita tidak akan mengalah walaupun sering kalah.

Saya juga seperti saudara/i, ada kalanya kelelahan dengan ujian hidup yang bertali arus. Lepas satu, satu. Life is to solve problems, begitu kata bijak pandai. Namun Allah telah lama mengingatkan kita melalui Al Quran bahawa mati dan hidup dijadikan untuk menguji kita siapakah yang terbaik amalannya? Kembali surah Al Mulk mengingatkan kita.

Marilah kita berjanji pada diri, bahawa kita tidak akan menjadi ‘munafik’ sama ada dari segi lisan dan perbuatan. Kita tidak akan berpura-pura dalam mengharapkan yang baik dan makruf. Biarlah kita menuai iktibar, dari denai mujahadah ini. Saya ingin menjadi insan yang seadanya sahaja dalam menghulur tangan setulus mungkin buat bersama menyusuri jalan Ilahi ini. Mungkin tangan ini yang akan membimbing saudara/i, dan mungkin tangan saudara/i juga yang akan membimbing saya.

Di takah usia 50, saya berdoa untuk diberikan keteguhan hati. Come what may! Datanglah apa sahaja. Kan kita hadapi sebagai hamba-Nya. Jika kita benar dan berjaya… syukur. Jika kita tersalah, kita akur… kita ukir taubat dengan segera. Dosa kita menggunung tinggi, namun rahmat Allah melaut luasnya. Dengan berbekal takut (akan murkaNya) dan harap (ampunan-Nya), kita terus melangkah… patah sayap terbang jua. Jatuh tersungkur, bangkit semula walau terpaksa bertongkat dagu!

Semasa ditahan belasan tahun yang lalu, selain Tafsir Al Azhar oleh Hamka, Syarah Kitab Al Hikam oleh Prof Muhibbudin Al Wali saya turut menekuni tulisan Dale Carnargie (waktu itu La Tahzan belum ada). Saya melihat ada ‘kesamaan dalam perbezaan’ antara yang ditulis olehnya dengan tulisan Usaz Dr. Aid Al Qarni – ya hikmah itulah milik Islam tidak kira dari Barat atau pun Timur.

Dari situlah saya hadapi hidup yang ketika itu ‘tidak menentu’ dengan satu ketentuan. Ketidak pastikan kekadang mengajar kita tentang kejituan. Ada kekuatan dan kebebasan yang saya alami ketika fizikal kita tertahan. Ada sumbu kekuatan rohani yang membara ketika kehendak bialogi dan fisiologi dipenuhi di tahap paling minima.

Sejuk angin bukit di tepi daerah terpecil di Kamunting, mahu pun sengatan bahang panas atap kem tahanan yang terpencil, kekadang menghadiahkan saat yang lebih indah berbanding ‘dikurung’ dalam hotel bertaraf lima bintang menghirup udara kebebasan dan kemewahan masa kini.

Lalu saya kembali berusaha mencari hati itu, kerana saya yakin hati yang remuk redam (tetapi tenang) kerana diuji Allah itu boleh kita temui di mana sahaja, tidak kira di penjara atau istana!

Semalam saya baca semula apa yang pernah saya tulis ini… marilah kita kongsi mungkin buat pertama kali, mungkin juga sudah berkali-kali. Mudah-mudahan yang kita imbau bukan kenangan, tetapi pengajaran yang terus hidup untuk menempuh kenyataan.

Saya masih ingat pada suatu saat genting, pernah saya berkata kepada diri, “ya Allah, kalau Kau izinkan aku sekadar dapat melihat mentari dan memijak rumput di bumi, aku akan bersyukur…”

Lalu ke mana perginya rasa hati itu ketika saya, anda dan kita semua sedang menikmati limpahan cahaya dan lautan nikmat kini? Saudaraku, marilah bersama ku menelusuri tulisan ini…

Maha suci Allah, yang misteri ketentuaan dan ditetapkan-Nya tidak dapat diduga dan diteka oleh sesiapa. Benarlah, “God always move in a mysterious way…”

Hakikat inilah yang sering berlaku dalam kehidupan kita.Cuba kita lihat contoh popular di kalangan figure ternama dan popular. Yang berkuasa tiba-tiba boleh dipenjara. Yang dibenci bertukar menjadi yang tersayang. Dan adakalanya dulunya terbilang tetapi entah kenapa tiba-tiba terbuang. Hidup yang gelap tiba-tiba jadi gemerlapan. Hidup yang gemerlapan, jadi malap secara tiba-tiba!

Begitulah, hitam-putih nasib manusia, tidak dapat dijangkau dengan mata, fikiran dan rasa.Sebab itu orang tua-tua berpesan, jangan sekali-kali mendengar guruh di langit, air di tempayan dicurahkan. Hati-hati, semakin tinggi pokok yang dipanjat, semakin kuat angin yang menggoyang. Hari esok mungkin tangan yang menjulang kita hari ini akan menghenyak kita. Kawan boleh lawan, dan begitulah sebaliknya.

Apakah kekuatan yang boleh membakar daya juang untuk terus bersemangat pada ketika yang begitu genting dalam perjalanan hidup seseorang? Jawabnya, jangan panjang angan-angan… Manfaatkan masa yang ada dan terus berkerja dalam waktu-waktu kritikal itu dengan segera. Kita tidak harus disusah-susahkan oleh angan-angan tentang masa depan yang jika dibayangkan pada masa sekarang akan membuat kita muram.

Oleh itu kita mesti merancang dan bekerja dengan apa yang sedang ada di tangan, tanpa takut dan bimbang akan hal-hal yang tidak menentu atau terbayang dalam angan-angan. Yang di tangan itulah realiti, yang ada dalam angan-angan itu cuma ilusi. Kita tidak mungkin hidup dalam dua alam yang samar  - masa lalu yang memori dan masa depan yang ilusi. Hidup sebenar ialah hari ini yang realiti.

Pengalaman hidup banyak mengajar kita bahawa adalah tidak wajar buat kita meneka-neka atau menjangka sesuatu yang tidak pasti pada masa depan. Samada yang kita jangkakan itu baik atau buruk. Jika kita mengangan-angankan yang baik, kita akan jadi ‘over confident’. Jika kita hanya mengangan-angankan yang buruk, kita akan jadi pesimis. Kedua-duanya memusnahkan.

Ya, untuk mendapat ketenangan pada saat-saat kritikal dalam hidup ialah: Pendekkan angan-angan. Hiduplah dalam lingkungan hari ini. Saya ulang lagi, hiduplah dalam lingkungan hari ini. Ertinya, jangan dikhuatiri hari esok, jangan bimbangkan hari semalam…. Susun jadual hidup harian dan ikutilah dengan tenang.

Hidup umpama membaca lembaran-lembaran dari sebuah buku yang sangat tebal. Jangan gerun hanya melihat ketebalan buku itu, hingga hilang mood untuk membacanya. Atau terlalu gelojoh hingga membacanya secara meloncat-loncat tanpa mengikut tertib muka surat. Bacalah dari muka surat pertama, kedua, ketiga dan seterusnya. Buku yang tebal akan habis juga dibaca akhirnya. Bukan sahaja habis dibaca, bahkan ilmu yang dihidangkan akan dapat dihadamkan dengan mudah.

Inilah rahsia ketenangan jiwa para sahabat Rasulullah S.A.W. Mereka adalah individu yang pendek angan-angan dan menggunakan sepenuhnya kesempatan yang sedia ada di tangan. Mereka hidup tanpa rasa gundah dengan apa yang telah terjadi kelmarin dan tidak pula bimbang dengan apa yang bakal terjadi esok.

Mereka tidak terdera dengan percubaan melihat masa depan dengan teropong angan-angan yang serba samar. Para sahabat nabi bukanlah pakar psikologi tetapi sikap mereka tepat seperti mana yang dikatakan oleh para psilogist moden:

“Tugas kita bukan melihat apa yang terletak jauh dan masih samar di hadapan, tetapi melakukan apa yang jelas di tangan.”

Sikap mereka dibentuk oleh penghayatan mereka terhadap pesanan Rasulullah S.A.W. Mereka adalah insan produktif yang bekerja hasil dorongan hati, fikiran dan fizikalnya oleh peringatan Rasulullah S.A.W, jika berpagi-pagi, jangan menunggu ke waktu petang….

Matlamat dan pendekatan hidup mereka ‘simple’ dan jelas. Mereka adalah insan praktikal dan realistik. Kebaikan yang boleh dilakukan pada hari ini, mereka terus laksanakan pada hari itu juga. Sementara kejahatan yang boleh diberhentikan pada hari ini, terus dihentikan ketika itu juga. Ibadat dan taubat mereka tidak kenal istilah nanti atau tunggu. Justeru itu tempo (rentak) hidup mereka tidak pernah diganggu oleh istilah terlambat atau tercepat.

Pernah satu malam Rasulullah S.A.W rimas ketika hendak tidur. Ketika ditanya oleh isterinya kenapa? Baginda bersabda:

“Aku risaukan dua tiga keping dirham yang masih tinggal dalam rumah ini. Takut-takut aku dipanggil oleh Allah (mati) dalam keadaan dirham itu tidak aku sedekahkan.”

Itulah peribadi Rasulullah S.A.W, yang tidak berangan-angan panjang. Baginda pernah bersabda, bahawa bila matanya terbuka, baginda tidak yakin apakah sempat baginda menutup matanya semula. Bila baginda menarik nafas, baginda tidak yakin apakah baginda akan dapat melepaskannya semula.

Panjang angan-angan akan menyebabkan sikap bertangguh-tangguh untuk melakukan suatu kebaikan atau meninggalkan suatu kejahatan. Ramai orang yang khuatir, bukan berfikir, tentang masa depannya. Terimalah realiti walaupun takdirnya ia tidak seperti yang kita harapkan. Lebih baik satu ringgit di tangan daripada berjuta-juta ringgit di alam angan-angan. Tetapi ingat satu ringgit di tangan jika benar-benar dimanfaatkan mungkin menjanjikan pulangan berjuta-juta ringgit pada masa akan datang.

Hidup adalah satu pusingan perubahan yang tidak henti-henti. Hukum alam menetapkan bahawa yang tidak berubah hanyalah perubahan. Oleh kerana itu adalah satu kerja gila jika kita hendak menyelesaikan ‘masalah-masalah’ masa depan yang hakikatnya belum berlaku. Kita tidak akan dapat menjejak kaki pada air sungai yang sama dua kali. Justeru air sungai sentiasa mengalir… dan begitu jugalah kehidupan akan terus berubah.

Sekali lagi saya tegaskan bahawa hidup adalah perubahan yang tidak henti-henti. Jangan cuba mengawalnya. Jangan cuba mengambil ‘tempat’ Tuhan untuk mengawal semua perubahan kerana yang mampu mengawalnya hanyalah DIA yang tidak berubah-rubah. Inilah hikmah mengapa Qada’ dan Qadar Allah dirahsiakan daripada pengetahuan manusia. Agar dengan itu manusia boleh hidup dengan aman tanpa diganggu walau sedikitpun oleh pengetahuan tentang masa hadapan.

Dapatkah seorang yang sihat makan dengan enak jika mengetahui pada hari esoknya dia akan mati? Atau mampukah seorang ayah membesarkan anaknya dengan sabar jika diketahuinya bahawa anaknya bakal menderhakainya? Manusia boleh hidup dengan aman tanpa mengetahui tentang masa depannya. Madah pujangga, “masa lalu adalah kelmarin yang telah mati. Masa depan adalah esok yang belum lahir… tetapi selamatkanlah hari ini yang masih hidup.”

Seorang manusia walau bagaimana kuat sekalipun, tidak akan mampu menanggung derita masa lalu dicampur beban masa depan, lalu dipikul bersama masalah pada hari ini. Tiga beban dalam satu masa boleh menyebabkan seorang genius dihantar ke hospital sakit otak. Tiga beban dalam satu masa boleh menyebabkan seorang atlit di hantar ke wad pesakit jantung. Hidup ini mesti ditangani dengan mudah. Namun ini bukan pula alasan untuk mempermudah-mudahkan hidup. Cuma “take it easy….”

Mungkin anda akan bertanya, kalau begitu salahkah kita merancang untuk masa depan? Tidak. Pendek angan-angan bukan bererti tidak bersedia untuk hari esok. Fikirkan hari esok, tetapi jangan khuatir. Banyak bezanya antara fikir dan khuatir. Mungkin sama banyaknya bezanya antara angan-angan dan cita-cita. Sesiapa yang khuatir tentang hari esok, akan mensia-siakan peluang yang ada pada hari ini. Sebaliknya sesiapa yang berfikir tentang hari esok, akan memanfaatkan peluang pada hari ini.

Tidak ada gunanya berangan-angan. Angan-angan tentang kebaikan akan menyebabkan seseorang itu alpa. Angan-angan tentang keburukan akan menyebabkan seseorang itu kecewa. Manusia angan-angan tidak akan dapat merancang, bekerja dan berusaha dengan baik.

Sebaliknya, hiduplah dalam lingkungan hari ini kerana cara yang paling tepat untuk hari esok ialah dengan menumpukan perhatian dan bekerja dengan sepenuhnya pada hari ini. Pemikiran dapat mencari kesan dan sebab-sebab untuk melahirkan perancangan dan pelaksanaan. Kekhuatiran akan membawa kekusutan fikiran dan tekanan perasaan.

Seorang pakar psikologi  – Robert Louis Stevenson berkata:

“Sesiapa sahaja boleh membuat kerjanya, walau bagaimana berat, untuk satu hari. Sesiapa sahaja boleh hidup dengan riang, penuh kesabaran, kasih sayang, bersih, sehingga matahari jatuh. Dan inilah sebenarnya makna kehidupan.

Ingatlah, jangan sampai menunggu untuk menjadi ahli falsafah bagi mengamalkan prinsip: Hidup dalam lingkungan hari ini. Kita lebih kuat daripada apa yang kita jangkakan! Justeru, di sisi orang beriman, Allah sentiasa berada disisi. When God is your friend, who is your enemy?

 

 

 
45 Komen

Posted by di 31 Januari 2011 in Tarbiyah

 

Label: , , , , ,

45 responses to “CUKUP SEKADAR UNTUK MELIHAT MENTARI…

  1. Hafifi

    31 Januari 2011 at 10:19 am

    Assalamualaikum ustaz.. Terlebih dahulu saya ingat menyatakan sekalung terima kasih.. terima kasih kerana tangan ustaz yang banyak memberikan semngat kepada saya dalam hidup.. Buku2 ustaz banyak memberi kesan dalam hidup saya. Hampir semua buku ustaz saya telah baca. khususnya Nota Hati seorang lelaki”. Setiap pendekatan yang ustaz “utarakan” jauh sekali bagi saya untuk “selatankan” (menafikan).. segala ungkapan berbekas dalam jiwa saya.. cukup menyentuh hati saya untuk terbuka dalam menghadapi mehnah hidup.

    Betul.. kesilapan yang telah berlalu usah dikenang kerana ia telah berlalu.. hidup pada masa sekarang dan misi menuju masa depan amat penting.. pernah seorang rakan menjelaskan tentang sedikit latar belakang ustaz.. sy hanya tersenyum kerana bagi “yang dulu bukan bererti sekarang”..

    Saya doakan semoga ustaz terus tabah… percayalah.. saya antara ribuan yang akan menunggu buku2 ustaz.. untuk belajar dan terus belajar..

    Bagi saya “Kita tidak perlu menjadi cukup baik dan sempurna bagi menuturkan sesuatu kebaikan”..

    Barakal Allahu Fikk.. :-)

     
  2. Norlin

    31 Januari 2011 at 10:43 am

    terima kasih…banyak mendidik jiwa bila membacanya

     
  3. Siti Hajar

    31 Januari 2011 at 10:47 am

    assalamualaikum, ustaz.
    dah lama saya baca penulisan-penulisan ustaz.
    sekadar ambil kesempatan ni, nk ucapkan terima kasih dgn dorongan, peringatan dan motivasi.. yg saya dapat daripada penulisan dan ilmu ustaz.

     
  4. Khairul Faizal

    31 Januari 2011 at 11:18 am

    Nice artikel ustaz..
    kadang2 kite sering terlupa dgn ape yg kite ucapkan.. apabila sesuatu perkara itu terjadi dlm diri kita sendiri barulah kite sedar dari lena..seolah2 kite seorg yg hipokrit pd diri sendiri..Ya Allah berilah kekuatan kpd hamba Mu yg lemah..

     
  5. warisma

    31 Januari 2011 at 11:46 am

    salam ustaz..terima kasih tak terhingga di atas artikel yang membina kembali jiwa yang jatuh..kehidupan yang tak pasti..angan2 yang terlalu panjang..moga ustaz sentiasa dilimpahi keberkatan oleh ALLAH..AMINN

     
  6. Achid``

    31 Januari 2011 at 11:48 am

    Apa pun, membaca tulisan ustaz di blog ini merupakan suatu pencerahan minda bagi saya sebagai seorang islam. Boleh saya tau, berapa lama ustaz ditahan di ISA?

     
  7. Zana

    31 Januari 2011 at 1:47 pm

    Assalamualaikum ustaz. Rasa lega yang teramat sangat bila baca artikel ustaz kali ini. Sebenarnya, dah beberapa lama saya merasa takut untuk bercakap berkaitan hal2 yang berunsurkan peringatan2 kerana memang saya sentiasa diuji dgn apa yang saya cakapkan. Tulisan ustaz “Bila kita sendiri diuji dengan apa yang sering kita dakwahkan, itu petanda Allah sedang mendidik kita agar melaksanakan apa yang kita diperkatakan. Bersyukurlah kerana Allah masih sudi mengingati kita dalam usaha kita mengingatkan manusia!” benar2 menenangkan hati saya. Terima kasih ustaz. Tulisan ustaz berkaitan ‘hidup dlm lingkungan hari ini’ benar2 bermakna & kini barulah saya rasa lebih yakin dgn apa yg saya fikirkan selama ini. TERIMA KASIH ustaz. Alhamdulillah…

     
  8. perantau

    31 Januari 2011 at 2:36 pm

    terbaik ustaz.. syukron atas perkongsian.. saya akan hidup untuk hari ini. =)

     
  9. roselangkawi

    31 Januari 2011 at 4:10 pm

    as salam ya ustaz.
    saya kagum dengan keikhlasan ustaz menulis, kerana bila dibaca, ia terus meresap ke hati. duga saya, pasti keikhlasan yang membuatkan semua ini!

    juga kagum dengan tekad ustaz untuk terus menulis dan menulis. moga redho Allah akan sentiasa bersama ustaz dan seluruh warga.

    saya akui, kehadiran Allah dan Islam dan jiwa bisa menghadirkan kita dalam realiti hidup! pasti, yang menjadi polemik bilamana kita selalunya lupa, terlupa!

    percaya atau tidak, dalam umur 34 tahun, saya seakan baru tersedar dan baru dapat merasakan erti sesuatu yang sebelum ini terlalu abstrak seperti rasa syukur, takut, ikhlas, tawakkal dan redho. pastinya dalam perjalanan ini, saya bersetuju dengan ustaz bahawa, rasa syukur wajib dipanjatkan kepada Allah kerana masih sudi menyinggahi ruang hati untuk merasai nikmat-nikmat tersebut. Alhamdulillah…

     
  10. Naz

    31 Januari 2011 at 6:50 pm

    Salam perkenalan ustaz, terima kasih atas perkongsian ustaz hari tu dekat UiTM

    “Apakah kekuatan yang boleh membakar daya juang untuk terus bersemangat pada ketika yang begitu genting dalam perjalanan hidup seseorang? Jawabnya, jangan panjang angan-angan… Manfaatkan masa yang ada dan terus berkerja dalam waktu-waktu kritikal itu dengan segera. Kita tidak harus disusah-susahkan oleh angan-angan tentang masa depan yang jika dibayangkan pada masa sekarang akan membuat kita muram.”

    Betul ustaz, kita mulakan sekarang..=)

     
  11. afffandi

    1 Februari 2011 at 9:29 am

    Assalaimualikum….

    terima kasih diatas semangat dan dorongan yang pernah tertulis oleh ustaz…

    إن هذا لهو البلاء المبين

    Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata.

     
  12. Adilla Harun

    1 Februari 2011 at 2:49 pm

    Salam,

    Membaca tulisan Ustaz kembali meyedarkan saya, betapa saya juga sering tergolong sebagai ‘panjang angan-angan’. Saya sukar untuk mengelak memikirkan tentang masa depan anak-anak dan keluarga dan kadangkala letih ‘mengatur kehidupan’. Hari ini, membaca tulisan Ustaz membawa saya selangkah ke belakang, berehat. Tulisan Ustaz memberi saya inspirasi dan sangat bertepatan untuk dinilai dan diterapkan dengan cara hidup yang sememangnya menjadi amalan masyarakat kini.

     
  13. raredour

    1 Februari 2011 at 5:15 pm

    ustaz , kalau tak keberatan boleh tak ceritakan sket , kenapa ustaz masuk ISA dan berapa lama..:)

     
  14. izi

    1 Februari 2011 at 6:05 pm

    terima kasih ustaz…. ilmu berdasarkan pengalaman dan pengetahuan untuk berkongsi dan membimbing insan di sekeliling yang dahagakan motivasi dan juga ilmu. Terima kasih sekali lagi…. =)

     
  15. Astana

    2 Februari 2011 at 10:30 am

    Salam entry yg sgt bgus ustaz..
    Saya jg suka menulis.Dan kdg2 risau juga akan diuji dgn apa yg diperkatakan..dan ujian itulah sebenarnya tanda Allah x mahu kita terlalai..
    Lebih baik diuji dari kita terus terleka..Bak kata ustaz, yang pahit itulah syurga..

    Wallahualam.

     
  16. nadia

    4 Februari 2011 at 9:08 am

    Entry yang sangat halus tulisannya. Dan juga menyedarkan. Terima kasih~

     
  17. ummuuswah

    4 Februari 2011 at 11:25 am

    jazakallah atas perkongsiannya.
    saya gemar menulis coretan dan pengamatan, walaupun terkadang diuji dgn apa yg kita tuliskan. kebanyakan dr kita pasti melaluinya.

    saat hati kian membatu, tulisan dulu membawa seribu keinsafan buat diri. terutama tulisan yg ditulis dengan air mata keinsafan.

    salam mujahadah.

     
  18. khairulorama

    4 Februari 2011 at 3:25 pm

    suka kepada entri2 ustaz

     
  19. hatijerneh

    4 Februari 2011 at 10:25 pm

    Salam…
    Alhamdulillah atas tulisan ini.. seringkali bila saya menjauh dr Allah swt sy akan cari ‘hati’ sy melalui tulisan2 ustaz agar sy ada kekuatan utk mendekati Allah.. sebenarnya Allah izinkan sy mendekatiNya melalui tulisan ustaz :).
    Sy pernah mendengar satu ceramah di mana penceramah memberitahu seseorang itu tidak akan mati selagi dia tidak diuji dgn perkara yg dia marahkan (tegur) pd org lain. Jadi sy rasa apabila ustaz diuji dgn apa yg ustaz tulis maka itu adalah fitrah krn Allah nak lihat ustaz bukan sekadar cakap tak serupa ikin :) . Cuma dgn ujian tersebut xsemestinya kita akan berakhir seperti mrk yg kita marah@tegur@ingatkan, sebaliknya terpulang bagaimana kita menangani ujian tersebut, kalau elok kita tangani maka InsyaAllah eloklah kesudahannya… Wallahualam.

     
  20. akmal_deen

    4 Februari 2011 at 11:37 pm

    salam..jazakallah atas share..best n inspiring..

    juz nk share..
    “..When God is your friend, who is your enemy? ..”

    ppatah arab ada kta..
    “iza wajadallah..famaza faqad?
    wa iza faqadallah..famaza wajad..?”

    a.k.a..:
    Pabila kita mmpunyai Allah [brsama dgn kita..] apa lgi yg kita tak ada [we got everything with Him]
    Namun, jika kita tidak mmpunyai Allah..apa yg kita ada?[we`re nothing without Him!]

     
  21. gentarasa

    5 Februari 2011 at 12:56 pm

    Salam,
    Syukran sangat-sangat. Saya akan pakai ungkapan itu. Izinkan.

     
  22. gentarasa

    5 Februari 2011 at 12:57 pm

    Salam,
    Syukran atas kejernihan mu. Benar sekali. Allah mendidik kita dengan cara kita saling mendidik sesama kita.

     
  23. gentarasa

    5 Februari 2011 at 12:59 pm

    Alhamdulillah. Masya-Allah. Ini saya anggap dorongan untuk menulis.

     
  24. gentarasa

    5 Februari 2011 at 1:00 pm

    Salam,
    Kita menangis kekadang kerana hati kita didera oleh pertanyaan kenapa kita tidak mampu menangis.

     
  25. kai

    6 Februari 2011 at 11:45 am

    very nice ustaz…

     
  26. Habib Ahmad

    7 Februari 2011 at 12:23 pm

    MALAM INI KULIYAH MAGHRIB: Oleh Syeikh Nuruddin di Surau al-Falah, SS 6, Kota Damansara.

    POSTER KLIK :

    http://melayucyber.blogspot.com/2011/01/kuliah-maghrib-oleh-syeikh-nuruddin-di.html

     
  27. taqwa79

    7 Februari 2011 at 10:59 pm

    terima kasih ustaz atas perkongsian ini.amat bermakna dan akan saya cuba sematkan dlm kehidupan.
    alhamdulillah, dgn hidayahNya, misi saya skrg is hijrah..

    semoga ustaz akan sentiasa diredhai Allah.amin.

     
  28. Latifah

    7 Februari 2011 at 11:29 pm

    Jazaakallah khayran atas artikel ini – membuat saya ‘terjaga’ akibat diuliti angan-angan yang panjang… Hampir diri ini berputus asa kerana tidak menemui jalan penyelesaian terhadap suatu permasalahan ini… Buat apa pun serba tidak kena, mencari2 jalan keluar yang samar2… Rupa2nya, angan2 saya terlampau panjang, hingga takut menghadapi esok, juga sering merintih, sesal dengan peristiwa silam… Terima kasih kerana membantu saya mengingatkan diri ini untuk menjadi seorang Muslim, yang pendek angan-angan dan menggunakan sepenuhnya kesempatan yang sedia ada di tangan. Akan saya pegang kata2 ini inshaALLAH. Jazaakallah khayran!

     
  29. siti

    10 Februari 2011 at 7:09 am

    terima kasih ustaz…………. tulisan ni melepaskan saya dair kerisauan yang berpanjangan………. terima kasih
    alhamdulillah…syukur ke hadrat Ilahi yang ‘menemukan’ saya dengan entri ni…
    insya-Allah, hari ni pergantungan saya dengan Allah bertambah baik…. terima ksaih sekali lagi ustaz

     
  30. Siti

    10 Februari 2011 at 12:36 pm

    Salam ustaz….
    Ya, kita memperteguhkan niat baik kita melalui tulisan dan kata-kata tatkala kita berada di ruang ketenangan, tatkala minda sedang berfungsi dalam kedamaian. Untuk meyakinkan diri dan hati sebenarnya. Namun ada kalanya suasana dan keadaan sering mencabar kita sehinggakan kita tertanya semula kebenaran tulisan dan kata-kata kita itu. Hati berbolak-balik bertanyakan, manakah tindakan sewajarnya, apakah perlakuan yang sepatutnya tatkala kita berhadapan dengan persimpangan pilihan. Sukar juga meyakinkan diri tatkala hati dihimpit dugaan. Tambahan pula apabila kita yakin kita telah seupayanya bertindak selaras ilmu dan iman. Permasalahan jelas berpunca daripada pihak yang bertindak berdasarkan perasaan. Tetapi kita juga tidak sempurna,kan? Ya Allah, bantulah kami, permudahkanlah kami, pujuklah jua hati ini….anugerahkanlah kami kemanisan sabar, yakin dan tawakal sebagaimana yang telah Kau anugerahkan kepada para sufi-Mu…amin.

     
  31. azuni

    10 Februari 2011 at 3:45 pm

    Terima kasih ustaz atas perkongsian ini yg benar-benar dapat meredakan perasaan saya yg gundah gulana sejak semalam. Allahamdulillah, saya mendapat semula kekuatan melalui perkongsian ustaz ini. Semoga Allah memberkati. Syukran.

     
  32. ana asrar

    13 Februari 2011 at 12:38 am

    As salam ustaz….

    terasa saya apabila membaca artikel ni….
    sgt2 menyentuh..

    benar sekali..kita sering diuji dgn apa yg kita perkatakan….
    setiap kali ujian itu rasa seperti menghimpit dan terus menekan diri…

    ya..
    amat mudah untuk mengucapkan kalimah “sabar”
    tp amat pahit dan sukar untuk mempraktikkannya…

    pengaturan ALLAH amat baik sekali…

    DIA xbiarkan hambany selalu berduka dn lalai pula dlm bergembira…

    DIA akan menarik kita untuk diTarbiyah agar sntiasa berada dalam cahaya Iman+Islam..

    itu tandanya ALLAH masih sayang dan tanda ALLAH masih memerhatikan kita….

    namun,,,,kita adalah lemah…
    hamba yg lemah…
    xdapat lari daripada rasa sedih…

    yg merasa mengerti….
    moga dilindungi dr sikap berputus asa…

    jazakallah ya ustaz atas artikel yg sgt2 bagus ini…

    moga mndapat Redho ALLAH

     
  33. norhidayah

    14 Februari 2011 at 11:25 am

    subhanallah…. mmg penuh dengan penghayatan dan mampu memberikan izzah kepada saya agar redha dengan ketentuan Ilahi.. alhamdulillah.. syukran ustaz..

     
  34. ayub

    15 Februari 2011 at 7:39 pm

    ALLAHHU AKBAR,,,,,,,,,,,,,,,,,SANGAT MENYANTUH HATI….MINTA D COPY

     
  35. Nidar

    16 Februari 2011 at 9:36 am

    Assalamu’alaikum wr.wb..
    Jazakallah khayran..ya ustadz

    tulisan2 yang ustadz suguhkan…
    selalu menyentuh..
    saya belajar byak dari tulisan2 astdz..
    Barakal Allahu Fikk..

     
  36. kamariah

    16 Februari 2011 at 3:06 pm

    salam ustaz…terima kasih atas perkongsian ilmu, rasa dan pengalaman. moga ianya terus menjadi akar yang terus menjalar meneguhkan pohon iman dan membuahkan untaian ehsan. sesungguhnya banyak nukilan ustaz memberikan aura kedamaian …mungkin kerana penulisnya menulis dengan tinta ikhlas dan wadahnya adalah wadah kasih yang luhur kerana Allah. Saya percaya banyak sangat ujian hebat yang telah ustaz lalui, kerana itu impak penulisan juga sangat dapat meresap dalam naluri pembaca. Syukur dan tahniah! moga Allah terus memberikan rahmat kepada ustaz sekeluarga. moga saya juga dapat terus mendapat ilmu dan didikan jiwa dari ustaz.

     
  37. hafiz

    17 Februari 2011 at 8:40 pm

    artikel yang sangat bermanfaat.:) mohon di share ye ustaz:)

     
  38. wan

    27 Februari 2011 at 7:35 am

    t.ksh ust,penulisan ustaz betul2 memberi kesan pada hati n kekuatan pada diri.semoga ust tidak akan penah jemu untuk terus menulis..jazakallahkhairan kathira

     
  39. Nurul Asyikin

    27 Februari 2011 at 1:56 pm

    Assalamualaikum wbt,

    Thanks a lot, saya baru terbaca tulisan ustaz, rasa sayu dan dihargai Allah swt sebab di bawa bertemu ustaz di dalam blog ini. Tulisan ustaz memberi banyak kesedaran dan peringatan di kal jiwa kadang2 terlupa ( manusia mudah lupa ) dan terlalai dek masalah dunia sehari-hari.
    Terima kasih ustaz saya dan saya ingin terus berkongsi cerita dan pengalaman di dalam cerita ustaz… TQ

     
  40. faza maryam

    4 Mac 2011 at 9:28 am

    Salam ustaz,

    Artikel yang sungguh berkesan untuk memberi peringatan kepada diri saya.

    Jazakallahu khairan kathira

    Semoga Allah meredhai usaha kita semua. Amin

     
  41. farafisyah

    15 Mac 2011 at 12:43 am

    asaalamualaikum ustaz.saya salah seorg peminat setia majalah solusi.saya suka ruangan tulisan ustaz.ia seolah olah mengajak saya berfikir lebih jauh.tahniah saya ucapkan atas pencapaian ustaz.saya ada satu soalan.bagaimanakah caranya untuk saya membahagikan masa saya untuk melaksanakan tangggungjawab saya sebagai hamba Allah di samping saya mengejar cita2 saya untuk cemerlang di dalam spm pada tahun ini?

     
  42. gentarasa

    15 Mac 2011 at 10:28 am

    Salam fara,
    Buat student – tiga yang saya selalu pesankan. Jaga solat, taat ibu bapa dan fokus study. Jaga ibadah yang asas, elakan dari dosa. Itu sahaja.

     
  43. Muhamad Fahmi

    19 Mac 2011 at 2:42 pm

    assalamualaikum w.b.t. syukran ust. pnulisan ust byk mbntu sya ntk melihat sesuatu dgn mata hati. bnar andai mata hati tlh buta, kaca jga dianggap permata, dosa dikira pahala, neraka dianggap syurga.bnar juga, cubaan paling berat bg seseorg daie ialh tatkala ia diuji dgn apa yg dkataknnya. mka di situlah allah melihat thp imannya yg sbnrnya. truskan berjuang ust…..

     
  44. Nor Ashikin Osman

    5 Ogos 2011 at 8:58 pm

    Banyak kali dah sy baca artikel ni…amat menenangkan.

     

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,252 other followers

%d bloggers like this: