RSS

CINTA DI PERTENGAHAN USIA

07 Feb

CINTA…

DI PERTENGHAN USIA

Ada apa dengan cinta? Untuk apa kita bercinta? Untuk menjawabnya, mari kita fikirkan satu analogi, analogi cinta. Fikirkan tentang sebatang pena. Pena dicipta untuk menulis. Selagi ia digunakan untuk menulis, selagi itulah pena itu berada dalam keadaan selamat dan berguna.

Tetapi sekiranya pena itu digunakan untuk mencucuk, dicampak atau digunakan sebagai pengetuk, maka ia akan rosak. Mengapa?

 

Pena akan rosak sekiranya ia digunakan bersalahan dengan tujuan ia diciptakan. Ia diciptakan untuk menulis, bukan mengetuk atau mencucuk. Pena yang disalahgunakan akan rosak. Apabila rosak, ia akan dibuang ke dalam tong sampah. Ketika itu ia tidak dinamakan pena lagi. Ia dinamakan sampah!

 

Begitulah juga cinta. Cinta dicipta oleh Allah untuk dua insan bernama lelaki dan wanita beribadah kepada-Nya. Selagi cinta berlandaskan dan bermatlamatkan ibadah, yakni selaras dengan tujuan ia diciptakan, maka selagi itu cinta itu akan selamat dan bahagia. Sebaliknya, jika cinta itu diarahkan secara bertentangan dengan tujuan ia diciptakan, maka cinta itu akan musnah dan memusnahkan. Keindahan cinta itu akan pudar dan tercalar.

 

Ketika itu hiduplah kedua-duanya (suami dan isteri) dengan perasaan yang hambar dan tawar. Tanpa cinta, manusia akan “bertukar” sama ada menjadi haiwan ataupun robot yang tidak punya rasa kemanisan lagi – bukan sifat-sifat luarannya, tetapi sifat-sifat dalamannya. Hidup berumah tangga tanpa cinta umpama kapal yang belayar tanpa angin. Keserasiannya mudah retak. Hanya kerana kesalahan yang sedikit, perbalahan dan krisis mudah berlaku. Keadaan rumah tangga pada waktu itu boleh diumpamakan sebagai “hidup segan, mati tak mahu”.

 

Memang, pada usia empat puluhan dan ke atas (dalam sesetengahnya keadaan lebih awal lagi), suami isteri akan dilanda satu krisis tabii yang dinamakan oleh pakar-pakar psikologi sebagai krisis pertengahan umur. Pada waktu itu hormon testosteron akan berkurangan seiring berlakunya beberapa perubahan yang “mengejutkan”.

 

Lelaki Andropaus

 

Kaum lelaki akan mengalami fasa andropous yang mengakibat kurang daya rangsangan seks, cepat rasa letih, perubahan emosi seperti cepat marah,cepat merajuk, mudah rasa tertekan dan “mood” yang berubah-ubah. Pada waktu inilah lelaki akan diserang oleh pelbagai rasa yang meresahkan. Antaranya ialah dia mula berasa tidak bahagia dengan hidup dan gaya hidupnya sendiri.

 

Manakala secara interpersonal dia mula berasa bosan dengan individu-individu yang berada di sekelilingnya. Dari sudut kerjaya dan hobi, tiba-tiba ada bidang lain yang menarik minatnya. Dia seolah-olah menjadi remaja buat kali kedua walaupun dalam keadaan tenaga dan upaya semakin menyusut.

 

Lelaki andropaus juga dilanda penyesalan tentang pilihan-pilihan yang telah dan pernah dibuatnya dalam hidup. Mengapa aku memilih yang ini, tidak yang itu? Sampai pada satu tahap, dia berasa marah dengan isterinya dan rasa terikat dengannya. Dan paling menggerunkan apabila mula timbul keinginan untuk menjalinkan hubungan baru. Jangan terkejut jika pada usia ini lelaki yang selama ini “pijak semut pun tak mati” pun akan berlaku curang!

 

Wanita Menopaus

 

Bagi kaum wanita pula, mereka akan mengalami fasa menopaus. Tahap ini juga melibatkan perubahan fizikal, tingkah laku, emosi dan kejiwaan. Perubahan ini boleh menghala kepada kebaikan, mahupun sebaliknya. Wanita yang mengalami fasa ini akan terdorong untuk lebih berdikari dan mandiri. Fokusnya lebih kepada keakuannya. Dia ingin memiliki kemampuan kewangan sendiri, hobi dan objektif sendiri dan pelbagai lagi yang “sendiri”. Pada waktu itu ada wanita yang mengejar kembali atau “qada” semula apa yang tidak dapat dicapainya semasa muda.

 

Walau apa pun krisis yang melanda diri suami dan isteri, Islam punya cara untuk menangani krisis pertengahan umur. Islam adalah agama fitrah yang mampu menghadapi perubahan dalam fitrah kehidupan berumah tangga. Selagi berpegang kepada aqidah, syariat dan akhlak islamiah lelaki andropaus dan wanita menopaus akan dapat mengawal perubahan biologi mahupun psikologi ke arah kebaikan.

 

Hakikatnya, siapa kita sewaktu tua dicorakkan oleh masa muda kita. Jika cinta kita dibina atas tujuan beribadah, maka tujuan itu mampu mempertahankan kita daripada landaan godaan, cabaran dan masalah yang datang bersama krisis pertengahan umur. Jika pangkal jalan kita benar, betul dan kukuh maka mudahlah kita kembali ke pangkal jalan itu apabila dirasakan ada yang tersasar di pertengahan jalan kehidupan itu.

 

Suami andropaus dan menopaus hakikatnya diuji dengan keegoan (ketakburan). Sama-sama ego. Cuma selalunya ego lelaki lebih terserlah, manakala ego wanita lebih tersembunyi. Ego itulah yang menyebabkan suami merasakan dirinya lebih baik, gagah dan berupaya sehingga mula menjalinkan hubungan dengan wanita lain. Ego itulah yang menyebabkan isteri mula berasa kuat dan mampu melalui kehidupan tanpa bersandar lagi kepada pandangan dan pimpinan suami. Dan ego itulah juga yang menyebabkan kedua-duanya melakukan aktiviti atau tindakan yang bertentangan dengan syariat.

Penyakit Ego

 

Ego dengan manusia berpunca daripada ego kepada Allah. Orang yang besar diri sebenarnya tidak mengenal kebesaran Allah. Jika Allah “dibesarkan” dalam dirinya, nescaya terasa kerdillah diri dan dengan itu seseorang manusia akan mudah berhubung dengan manusia lain. Kenal Allah juga akan membuahkan rasa cinta kepada-Nya. Dan cinta kepada Allah itulah sumber cinta kita sesama manusia. Gugurlah tiga ciri ego – berasa diri lebih baik, memandang hina orang lain dan menolak kebenaran daripada diri suami dan isteri. Dan dengan itu, mudahlah mereka berdua menghadapi krisis pertengahan umur.

 

Jadi, sangat penting dijaga niat dalam membina cinta dalam rumah tangga. Ia hakikatnya satu hijrah dari alam bujang ke alam perkahwinan dan hijrah itu mestilah didorong oleh niat yang baik, benar dan betul. Berniatlah berkahwin kerana Allah, kerana itulah pangkal jalan yang dapat kita susuri kembali apabila bertembung dengan masalah dalam kehidupan berumah tangga pada awal, pertengahan atau di hujungnya nanti. Ingatlah pesanan Rasulullah s.a.w. bahawa seseorang akan mendapat ganjaran atau balasan mengikut apa yang diniatkannya.

 

Bagaimana pula dengan pasangan yang telah terlajak? Maksudnya, mereka yang berkahwin tanpa sedikit pun terniat kerana Allah? Yang berkahwin hanya atas dorongan fitrah dan dilangsungkan atas dasar adat bukan ibadat? Perlu diingat, tidak ada istilah terlambat dalam melakukan satu kebaikan. Selagi ada nyawa di badan, maka selagi itulah kita mampu membetulkan atau memperbaharui niat dalam perkahwinan. Bertaubatlah atas niat yang salah dan sebagai gantinya, binalah niat baru yang lebih benar dan jitu.

 

Gelanggang Ibadah

 

Katakan pada diri bahawa rumah tangga ini pada hakikatnya ialah gelanggang untukku dan pasanganku serta seluruh anggota keluargaku untuk beribadah kepada Allah. Ibadah bukan sahaja terbatas kepada solat, puasa, haji, zikir dan sebagainya. Tetapi semua tugas menyelenggarakan sebuah keluarga juga dikira sebagai ibadah. Suami yang mencari rezeki yang halal, mendidik isteri, membimbing anaknya adalah suami yang sedang beribadah kepada Allah.

 

Begitu juga isteri yang memasak, mencuci pakaian, menjaga anak-anak ialah juga isteri yang hakikatnya sedang beribadah kepada Allah. Selagi semua anggota keluarga beribadah dan rumah tangga dijadikan gelanggang ibadah, maka akan wujudlah ketenangan, kemesraan dan kasih sayang sesama mereka.

 

Katakan juga bahawa rumah tanggaku akan hancur sekiranya ia tidak lagi menjadi gelanggang ibadah buat seluruh anggota keluargaku. Aku, pasanganku dan anak-anak yang bertindak bertentangan dengan tujuan kami diciptakan akan merobohkan syurga yang indah ini.

 

Memang pada awal rumah tangga dibina segalanya akan nampak indah. Ini kerana segala-galanya terbina di atas fitrah… Maksudnya semua manusia secara fitrahnya (instinct) inginkan cinta. Seorang lelaki inginkan kasih sayang seorang isteri dan begitulah sebaliknya. Tetapi cinta yang  berasaskan fitrah sahaja tidak cukup untuk mempertahankan keharmonian dalam sebuah rumah tangga.

 

Fitrah perlukan syariat. Syariat itu ialah peraturan Allah. Melaksanakan syariat itulah ibadah. Syariatlah yang mengatur, menyubur dan mengawal fitrah. Allah yang mengurniakan cinta dan Allah jualah yang menurunkan syariat untuk mengawal dan menyuburkannya. Jika tidak, cinta akan tandus. Kasih akan pupus. Sama ada dalam diri lelaki andropaus mahupun wanita menopaus.

 

Ingatlah bahawa cinta itu adalah rasa. Ia tidak terbina oleh urat, daging dan tulang. Tetapi ia rasa yang terbina di hati. Di daerah rasa, tidak ada tua atau muda. Tidak ada permulaan, pertengahan atau pengakhiran. Di hati yang beriman, tetap ada cinta. Cinta tetap muda walaupun yang bercinta telah tua… justeru cinta itulah yang membentuk hati yang sejahtera, bekal kita ke alam syurga!

 

 

 
24 Komen

Posted by di 7 Februari 2011 in Tarbiyah

 

Label: , , ,

24 responses to “CINTA DI PERTENGAHAN USIA

  1. uwais Qarnie

    8 Februari 2011 at 2:15 am

    Alhamdulillah . Syukran ayahanda. Suatu kupasan yang panjang dan menyeluruh untuk menghurai dilema yang sering berlaku dalam institusi keluarga lewat masa ini. Sukar untuk dibentangkan kepada hati yang masih tidak faham mengapa cinta itu perlu kerana Allah. Banyak cinta yang dibina didasari dengan sebab yang pelbagai sedangkan asbab lillahi Taala berada dalam senarai yang terakhir. nau’zubillah.

    Saya menyetujui apa yang diperbincangkan oleh ayahanda dan sebetulnya saya juga sedang berusaha untuk menghuraikan dilema cinta dipertengahan usia dari pandang sisi anak anak remaja. Wallahua’lam

     
  2. khyrul hycal

    8 Februari 2011 at 2:48 am

    “Banyak amal kecil yang menjadi besar kerana niatnya dan banyak amal besar yang menjadi kecil kerana niatnya juga”
    (Abdullah Ibnu Mubarak)

    Perkongsian yang baik dari ust..^_^

     
  3. nadia

    8 Februari 2011 at 5:51 am

    Bila difikirkan balik, takut dengan masa depan yang akan dilalui. Takut dengan ujian-ujian kehidupan yang memerlukan kesabaran yang tebal untuk memahami dn menunaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri, dn seorang suami. Si isteri bukan lah hamba kepada suami, Si suami bukanlah boss kepada isteri. Tetapi kedua-dua melengkapi sesama sendiri dari segi fitrah dan lahiriahnya.

    Hati ini amat muda untuk mengetahui kemanisan atau pahitan alam perkahwinan. Tetapi yang pasti, rasa cinta tdk akan luput jika kita sentiasa cuba menyuburkannya. Dan untuk menyuburkannya memerlukan ego yang tipis, saling maaf memaafi, dan yang paling penting lupakan sejarah silam yang sakit. Let by gone be bygone. Ianya dapat dilaksanakan dengan ilmu, rasa keabdian dan rasa taqwa kepada Allah.

     
  4. rusydee artz

    8 Februari 2011 at 6:22 am

    Allah..hidup berumahtangga pun penuh cabaran. Belum berumahtangga pun dah penuh dugaan. Benarlah, manusia diuji dengan ujian pelbagai. Supaya setiap masa tunduk mengalah pada Yang Memberi Ujian.

     
  5. amezat

    8 Februari 2011 at 9:12 am

    ustaz bagaiman pula nak niatkan cinta untuk ibadah yang masih belum berkahwin tambahan lagi sedang belajar ?

     
  6. Habib Ahmad

    8 Februari 2011 at 10:21 am

    MAULIDUR RASUL SAW 1431: DI MASJID AL-FALAH USJ 9
    pada :
    1)
    ISNIN , 14 FEB 2011
    (11 RABIUL AWAL 1432)
    BERMULA JAM 6.00 PETANG

    BERSAMA
    – HABIB MAHDI BIN ABU BAKAR AL-HAMID
    – HABIB ALI ZAINAL ABIDIN AL-HAMID ,

    2)
    SELASA , 15 FEB 2011
    (12 RABIUL AWAL 1432)
    BERMULA JAM 3.30 PAGI
    QIYAMULLAIL
    &
    BACAAN BURDAH (oleh Kumpulan Nasyed Ahbab Mustofa)

    KAMI BERBESAR HATI MENJEMPUT ANDA SEKELUARGA KE MAJLIS INI …

    LAIN-LAIN MAJLIS ILMU : http://www.facebook.com/pages/PONDOK-HABIB/295419981998

     
  7. gentarasa

    8 Februari 2011 at 10:25 am

    Salam,
    Bagaikan kita berniat untuk mati syahid… walaupun belum mati.

     
  8. roselangkawi

    8 Februari 2011 at 11:27 am

    as salam ya ustaz
    artikel ustaz ini membuktikan bahawa “rite of passage” (kelangsungan riwayat hidup mengikut istilah sosiologi) adalah tabii dan fitrah. ia pasti dilalui oleh insan selagi hayat dikandung badan. yang penting, ustaz membuktikan bahawa adalah mustahak untuk kita mempunyai ilmu mengenainya, sedar tentang kepentingannya dan tekad untuk mensyariat dan mengimarahkannya (hidup) mengikut syariat. dan lebih penting, saling ingat-mengingatkan. saya ambil tulisan ustaz ini sebagai ilmu dan tazkirah berguna, syukran laka ya ustaz.

     
  9. liza

    8 Februari 2011 at 2:33 pm

    akum, ustaz,
    kadang2 terlupa seketika tujuan hidup ini untuk apa. kerana terlalu leka dengan dunia kerja, suami, anak, dan media..semuanya seperti kais pagi mkn pagi, kais ptg mkn petang. (bangun pagi..kerja…pulang..kerja umah…tidur..dan sambung lagi seperti begini esok harinya.)

    terlalu sibuk, sehingga masa utk mengkoreksi diri sendiri pun tidak cukup…

    apapun, ustaz, nota ini telah membuka sedikit ruang utk berfikir…

    mohon copy di blog saya, bole…
    terima kasih, ustaz…

     
  10. kesidang

    8 Februari 2011 at 4:10 pm

    Cintakan manusia, manusia akan mati,
    Cintakan Ilahi kekal abadi,
    Cinta manusia untuk sementara
    Cinta Allah buat selamanya
    Cinta ibu bapa, keluarga, saudara dan taulan
    Satu keperluan setiap insan
    Tanpa cinta tiadalah rasa
    Bagai patung tak bernyawa
    Semoga kita dinaungi cintaNya
    Siapalah kita tanpa rahmatNya..amiin

     
  11. klcitizen

    8 Februari 2011 at 6:25 pm

    terkena batang hidung sy sendiri. moga Allah menetapkan saya di atas landasan yg benar. terima kasih ustaz

     
  12. zeeta

    9 Februari 2011 at 8:17 am

    Terima kasih ustaz..
    penulisan ini merupakan jawapan kepada semua persoalan saya..

     
  13. Ibu

    9 Februari 2011 at 10:12 am

    Salam.

    25 tahun melayari gelombang rumahtangga, tiada bekalan yang paling ampuh kecuali bekalan iman, zikir dan doa senjata
    utama, walaupun kadangkala setan berbisik apa ditunggu pada sidia kerana kelebihan berpihak kepada mu belaka.
    Kupasan ustaz amat kena sangat. Terima kasih . semoga Allah memberi kekuatan untuk meruskan kehidupan yang tersisa.Amin.

     
  14. *¨^¨* haLf-FairY *¨^¨*

    9 Februari 2011 at 1:27 pm

    oh tidakkkkkkk huhur :P
    komen post sy :) smpena valentine

     
  15. nurislam

    10 Februari 2011 at 12:14 am

    assalamualaikum…
    alhamdulillah…semoga ilmu yang kita dapat menjadi iktibar dan panduan dalam kehidupan kita.insyaALLAH….cinta itu penting dalam kahidupan kita…namun,bercintalah kerana cinta yeragung kerana dengan cinta ini kita akan mendapat cinta manusia…..

     
  16. mummy 2010

    10 Februari 2011 at 3:31 pm

    Assalamualaikum, Ustaz,

    Sudah lama saya mengikuti blog ustaz, sebagai silent reader. Tulisan ustaz banyak membantu saya dalam kehidupan seharian. Catatan kali ini membuat saya terpanggil untuk berkongsi pendapat.

    Benar kata-kata ustaz, suami yang melalui peringkat konflik diri di kala usia menjejak angka 40 boleh melakukan sesuatu di luar jangkaan. Benar sekali ada yang merasakan isteri dan anak2 bukan lagi pilihan, hatta meletakkan mereka sebagai salah pilihan. Konon mencari kebahagiaan dan ketenteraman, lalu bukankah kejam seorang suami menfailkan penceraian tanpa sepatah rundingan, tiada hirau dihulur buat anak2 kecil yang masih memerlukan kasih sayang apalagi sebutir beras langsung tidak pernah dibelikan?

    Lalu salahkah isteri membina kekuatan kerana segalanya perlu ditangani sendirian, urusan anak2 dan nafkah kehidupan terletak di bahu yang perlu teguh meneruskan kehidupan. Bukan ego yang bergelumang, lebih kepada perjuangan seorang ibu yang tidak putus kasih buat anak2 yang tidak lagi mendapat perhatian ayah selepas perceraian, hatta bertanya khabar pun tidak pernah, apalagi menanggung nafkah harian…

     
  17. Zahiruddin Zabidi

    10 Februari 2011 at 5:37 pm

    Assalamualaikum ustaz, subhana-Allah… indah sungguh kalam ustaz menari di lembaran jalur lebar ini. Termasuk juga dalam lembaran-lembaran kertas di luar sana.

    Sebagai pendatang baharu yang baru inngin berjinak-jinak dalam dunia penulisan dan dakwah kreatif ini, membaca tulisan ustaz cukup memberikan inspirasi selain tazkirah kepada diri.

    Insya-Allah, andai nanti ada bengkel penulisan yang dikendalikan ustaz, mohon diuar-uarkan. Ana akan cuba menghadirkan diri.

    Jika ada peluang mahu berguru secara personal dengan ustaz khusus mengenai kaedah penulisan dakwah.

    Jazaka-Allahu khairan jaza, wassalam.

     
  18. ramsiah

    13 Februari 2011 at 8:39 am

    salam tuan,
    ketika dalam kerunsingan terlintas utk membuka blog tuan dan seterusnya meneliti entri2 yg belum kesempatan utk diteliti, lalu saya tersempak dgn yang ini. Sgt bermakna pada tika dan saat ini. jazakalla kasiran

     
  19. yann

    14 Februari 2011 at 10:18 am

    salam..ustaz

    bagaimanakah untuk kita niat untuk menjadikan semua urusan harian di kerja dan rumahtangga sebagai ibadah dan bagaiman ingin mengekalkan kasih dan sayang dlm rumahtangga..

     
  20. Adilla Harun

    14 Februari 2011 at 4:06 pm

    Salam!

    Tidak saya nafikan, setiap kali menatap dan menghayati tulisan Ustaz di blog ini, seolah-olah membaca tentang diri saya pada sudut-sudut tertentu. Saya pasti ini kerana Ustaz sememangnya berpengetahuan,berpengalaman dalam dan luas mengenai permasalahan alam ruhamtangga ini. Saya gembira Ustaz sudi berkongsi dan memberi panduan melalui penulisan. Terimakasih.

    Entri di atas bagai mendapat secawan air ketika dahaga. Alhamdulillah. Semoga Ustaz terus dalam usaha!

     
  21. Maisarah

    14 Februari 2011 at 10:39 pm

    Terima kasih ustaz..
    Kupasan ustaz menenangkan..
    Tahniah ustaz.. Moga Allah kurniakan ustaz idea dlm menulis dan menulis lg… Insya Allah…

     
  22. Azizah Yussof

    8 November 2011 at 12:06 pm

    Kupasan yang amat memberi makna kepada insan2 yang teraniaya dek kontangnya iman didada. Insya Allah semuga ia dapat menjadi panduan kepada semua. amin..

     
  23. hayati

    23 Mac 2012 at 12:55 pm

    Alhamdullillah… dengan menjenguk kalam ini buat seketika mengubat hati saya dari rasa sedih atas kedinginan suami…

     
  24. *¨^¨* Ezi *¨^¨*

    22 November 2012 at 4:51 pm

    cintaku terpisah oleh jarak,..

     

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,217 other followers

%d bloggers like this: