RSS

RESAH SEORANG AYAH

25 Feb

Kerap kali kalau kita jujur kita dituduh bodoh. Bila kita mengalah, kita dianggap lemah. Pada hal, kita inginkan keamanan dan kedamaian tanpa kehilangan hak dan harga diri. Namun begitu sukar untuk mendapatnya!

Paling teruji apabila ada orang lain yang mengikut lorong salah… lalu dia cepat sampai, sedangkan kita di lorong yang betul masih lelah  menapak dan merangkak. Bila yang batil ketawa, yang benar pastinya teruji melihat kegembiraan itu. Dan hampir-hampir ia melepaskan kebenaran itu semula hanya kerana tidak tega melihat kebatilan melonjak ria.

Acapkali duri berselindung di sebalik bunga… lalu kita yang tercium keharumannya alpa akan tusukan bisa di sebaliknya. Huluran tangan yang ikhlas dan lembut kekadang dikilas dalam diam dan dendam. Sering juga baldu yang lembut dan halus  dihamparkan tetapi di bawahnya ada belati tajam yang sedia terhunus.

Namun inilah hakikat, tidak ada keadilan yang mutlak di dunia ini. Justeru, di sana ada akhirat supaya segala topeng kepura-puraan yang selama ini bertahta akan terhenyak dan mendapat pembalasan.

Namun, jika itu yang kita ingatkan kepada yang lain, pasti ada yang mengatakan bahawa itu hanya ‘escapisme’ . Bila kecewa dengan manusia, orang ‘lari’ kepada Tuhan, bila tidak dapat meraih dunia orang mula merindui akhirat, bila terlepas kenikmatan nafsu baru ada yang merintih syurga itu ada!

Bukan, tidak begitu. Keyakinan kepada Allah dan Hari akhirat itu adalah tunjang, teras dan pegangan semasa kita hidup di dunia. Jangan terperangkap oleh ‘etheis’ dalam diri yang mendakwa bahawa manusia itulah yang ‘mencipta’ Tuhan demi ketenangan.

Selalu kita diperingatkan bahawa selesaikanlah urusan kita dengan Allah, barulah Allah akan membantu kita menyelesaikan urusan kita dengan manusia. Dan siapa yang memburu akhirat, dunia akan melutut di kakinya!

Kita tidak selalu benar dalam pendirian dan tindakan… kita hanya manusia. Walaupun sungguh hati kita ingin mengikut jalan Allah, tetapi kerana kealpaan dan kejahilan kita tersasar jua. Kita ingin tenang, tetapi oleh kerana ketipisan iman dan zikir, pendirian kita goyah jua. Ada rasa marah, ada rasa resah… tetapi semua itu adalah ‘bayaran tol’ di lebuh raya mujahadah.

Ya Allah, ampunkanlah kami. Berilah kami kekuatan untuk memaafkan diri kami sendiri dan juga orang lain. Kami masih tidak pandai mensyukuri nikmatMu kerana kami masih mendidik hati dalam menerima ujian-Mu.

Ya Allah, cuma satu… cuma satu… janganlah Engkau serahkan diri kami kepada diri kami sendiri walau sekelip mata. Kutiplah kami ya Allah untuk selalu dibimbing oleh hidayah dan taufik Mu!

Ya Allah, kami sentiasa yakin bahawa kejujuran itu kemenangan dan pilihlah kami untuk menjadi orang yang jujur dan benar… walau apa jua keadaan dan cabarannya! Amin.

(Buat sahabat/saudara ku… marilah kita renung tulisan yang sederhana i

ni: RESAH SEORANG AYAH…)

Ingin kubisikkan resah seorang ayah. Resah kita bersama. Resah warisan lama. Berkesinambungan sejak zaman silam. Imbauan kisah Yaa’qub dan Yusuf Alahaihisalam. Harapan suci seorang ayah memang selalu  teruji. Bayangkan bertapa terkejutnya Yaa’qub menerima khabar kematian Yusuf. Namun, jauh di dalam hatinya tidak pernah gementar. Dia yakin Yusuf tetap  dipelihara Allah walaupun di tangannya baju berdarah.

 

Ah, siapakah tidak tergugah bila berpisah? Dan menangislah Yaa’qub menanggung resah seorang ayah. Matanya menjadi buta… tetapi hatinya terus bercahaya. “Yusufku, Yusufku… demi Ilahi dia pasti kembali.” Lalu terjadilah tribulasi demi tribulasi. Tragedi demi tragedi. Terjual menjadi hamba, terfitnah oleh wanita, terasing dipenjara…

 

Akhirnya Yusuf ternama. Mimpinya mencatur ekonomi. Siasahnya menyelamatkan negara.  Akhirnya Yusuf pulang ke Yaa’qub. Pertemuan kedua itu sudah termaktub.

 

Sudah beberapa dekad pula kita genggam  anugerah itu.  Kita cuba perkukuhkan amanah ini hari demi hari. Adakalanya kita tegak berdiri dengan ampuh. Tetapi ada masanya  kita terjatuh. Kita dilanggar dan dirempuh.

 

Taufan kehidupan ini tidak sudi simpati. Dengan sepercik iman, sekelumit keyakinan, kita harungi jua badai penderitaan. Sesungguhnya titipan Tuhan ini bukan khayalan. Kehadiran putera dan puteri kita adalah  kenyataan. Walaupun perjalanan peristiwa  kekadang sepantas  igauan.

 

Ah, rasanya baru semalam, kita panggil anak. Tapi hari ini, sudah bergelar ayah. Dulu, kita dibelai dan dimanja. Namun kini  kita adalah “retua” yang telah dipagut usia. Ah, sedar-sedar sudah putih rambut di kepala. Sudah berkedut garis  di muka. Usia  sudah diambang senja… mentari hidup kian redup. Sudah hampir ke episod penutup.

 

Walaupun sekali-sekali terasa gian berkejar-kejaran di tepian denai. Atau berenang-renang di sungai. Tapi siapakah mampu memutar jarum waktu. Yang berlalu, terus berlalu… terlalu laju. Yang tinggal hanya turisan kenangan, yang kekal sebagai ingatan. Ah, musim bermain  hujan telah berlalu. Kini musim… bermandi   ujian.

 

Masih kita ingat detik kelahiran mereka. Seorang demi seorang. Bersama isteri di sisi, kita nikmati tangisan pertamanya. Lalu kita azan di telinga kanan, iqamat di telinga kiri. Kita ukirkan kalimah tauhid di kanvas hatinya yang suci. Itulah bekal utama,  jati dirinya yang pertama. Dan maktub sudah  janji insan di sisi Tuhan. Anak, kau hamba Allah dan khalifah. Nya. Dan aku adalah ayahmu,  pemegang amanah safarmu yang fana.

 

Lalu bermulalah kembara anak di alam dunia. Kembara ini terasa panjang bagi mereka yang alpa, lalu masa terbuang sia-sia. Kembara ini terasa begitu pendek bagi mereka yang cerdik, masa akan  terisi dengan  baik.

 

Kenalkan dahulu anak kepada Tuhan. Katakan Tuhan itu Ada, Esa, Agung dan Perkasa. Lihat awan dan bulan… itu semua Tuhan jadikan. Nun, di sana burung dan ikan… Tuhan yang memberinya makan. Kalau di satu ketika anak bertanya, “ayah kenapa jerebu begini?” Katakan, “Tuhan ingatkan kita supaya  menghargai nikmat mentari.”

 

Walaupun masih di tahap fikrah terendah, anak mesti diajar mentauhidkan Allah. Kuasa hafalannya, terokailah. Kecepatan menirunya, eksploitasilah. Semuanya menuju satu. Segala terjurus lurus.  Awaluddin Makrifatullah – awal agama mengenal Allah.

 

Lepaskanlah anak ke persada buana. Jangan dikurung, nanti mereka pemurung. Biar mereka hirup udara kebebasan dan kemerdekaan.  Namun awasi langkah dan teliti tingkahnya. Bekalkan ilmu buat mereka menyuluh. Agar mereka tahu menilai pahala. Arif mengenal dosa. Selalulah berdamping dengannya. Dengarkan luahan katanya yang tersurat. Fahamilah isyarat dalamannya yang tersirat.

 

Kekadang mereka malu hendak menjelaskan, kitalah yang patut dahulu mentafsirkan. Adakalanya mereka bertanya dalam bercerita. Pandai-pandailah kita menjawabnya dalam selamba. Istiqamahkan didikan, berilah pimpinan. Sesungguhnya tugas ini sulit sekali, justeru kitapun selalu tersasar. Sering juga kita melakukan yang mungkar. Namun itu bukan alasan untuk menyerah kalah. Jadilah seorang ayah… yang selalu bermujahadah.

 

Ah, esok anak-anak kita pula akan menjadi ayah. Bagaimana ya? Aduuh… resah lagi.  Semoga kita terus memiliki hati seresah Ya’aqub. Agar  anak-anak  menjadi setabah Yusuf . Dan semuga kisah itu akan tetap agung, terus bersambung… kisah resah seorang ayah. Pesan kepada anak kita… sayangilah keluarga kerana di sana ada sumur cinta yang setia sampai bila-bila!

 

SAYANGI KELUARGA

Bahagia seluruh semesta

bermula dari sebuah keluarga

dari titis susu ibu tersayang

terbinalah sungai kasih yang panjang

Tumbuh dari keringat ayah

kita perah pengorbanannya yang melimpah

air matanya mengalir di darah kita

membina semangat dan cita-cita

Rentaslah seribu lautan

kembaralah di serata benua

tak kan kau temui semurni cinta

semurni cinta keluarga

Bila langkah remajamu ditusuk sembilu

kembara dewasamu diamuk nafsu

kenanglah pesan ibu

ingatlah madah ayah:

Kembalilah ke jalan Allah

 
46 Komen

Posted by di 25 Februari 2011 in Tarbiyah

 

Label: , , ,

46 responses to “RESAH SEORANG AYAH

  1. Amastur

    25 Februari 2011 at 9:23 am

    Syukran kasir..=)

     
  2. taqwahalimah

    25 Februari 2011 at 10:11 am

    JazakaLLAH ustaz…
    Atas pengisian di pagi Jumaat yg sungguh menyentuh hati… Semoga ALLAH meredhai ustaz.

    Ya ALLAH, bantulah kami untuk memperbaiki keadaan diri kami ini… ya ALLAH… jangan marah kami ya ALLAH.. andai kami salah lagi… kami selalu lupa… kan ya ALLAH? maafkan kami ya ALLAH… maafkan ibu ayah kami ya ALLAH.. maafkan orang2 yang kami sayangi Ya ALLAH… dari kalangan keluarga kami ya ALLAH, saudara2 kami ya ALLAH, dan sahabat2 kami ya ALLAH… dan maafkanlah orang2 yang menyayangi kami ya ALLAH… redhailah kami ya ALLAH… ameen ya ALLAH..

     
  3. perantau

    25 Februari 2011 at 10:26 am

    subhanallah.. syukron ustaz.

     
  4. muaz

    25 Februari 2011 at 11:37 am

    terima kasih ustaz…

     
  5. Iffah Muhsin

    25 Februari 2011 at 12:11 pm

    MasyaAllah…penulisan yang menyentap kalbu. tap fenomena yang berlaku zaman ni, terdapat segelintir ayah yang berkelakuan zalim, zalim pada diri (contoh minum arak), seterusnya zalim pada anak isteri…Anak-anak pun terbiar di luar rumah dengan keadaan yang tidak terurusnya. Siapa yang resah dengan siapa? Anak yang bingung dengan keadaan si ayah ataupun ayah yang bingung dengan leadaan si anak? (senyum)

     
  6. siti nuranie

    25 Februari 2011 at 12:28 pm

    Alhamdulillah, terima kasih ustaz atas siraman2 ilmu & peringatan yg tiada henti.Salam istiqamah..

     
  7. raudhah

    25 Februari 2011 at 1:59 pm

    assalamualaikum.
    Terima kasih ustaz.sememangnya skrg saya berasa resah dan gundah melihat anak-anak kecil/remaja yang terlalu ‘terexpose’ dengan gajet2 yang canggih.Bimbang terlalu ramai yang tersasar.Keresahan lagi tinggi apabila melihat anak-anak sendiri yang semakin membesar.Bagaimanakah nanti anak-anak ini?Bimbang kalau-kalau diri ini tidak mampu mendidik mereka seperti yang sepatutnya..Ya Allah bantulah kami

     
  8. Habib Ahmad

    25 Februari 2011 at 3:18 pm

    MAJLIS-MAJLIS ILMU FEB-MAC 2011:

    1. Majlis Ilmu Bersama Ustazah Alina al-Munawwar : http://mawlidnabi.blogspot.com/2011/02/majlis-ilmu-bersama-ustazah-alina-al.html

    2. Pengajian/Diskusi Kitab Bersama Syeikh Muhammad Nuruddin : http://mawlidnabi.blogspot.com/2011/02/pengajiandiskusi-kitab-bersama-syeikh.html

    3. Sambutan Maulid al-Rasul di Baalawi KL bersama Tuan Guru Baba Aziz, Syeikh Fahmi Zam Zam, Habib ali : http://melayucyber.blogspot.com/2011/02/senarai-program-program-sambutan.html

    4. Majlis Maulid: IIUM Kuantan Berselawat : http://melayucyber.blogspot.com/2011/02/majlis-maulid-iium-kuantan-berselawat.html

    5. Maulidur Rasul Bersama Habib Ali di Masjid Tengkera, Melaka : http://www.facebook.com/pages/PONDOK-HABIB/295419981998

    6. MAJLIS PENGHAYATAN MAULIDUR RASUL : http://mawlidnabi.blogspot.com/2011/02/majlis-penghayatan-maulidur-rasul.html

    7. Majlis Silaturrahim Pondok Kali Ke-5 & Sambutan Maulidur Rasul 1432H : http://melayucyber.blogspot.com/2011/02/majlis-silaturrahim-pondok-kali-ke-5.html

     
  9. suehann

    25 Februari 2011 at 4:48 pm

    ya..kembali pada Allah..terima kasih ustaz…byk sgt ilmu kat sini…semoga ustaz akan terus menulis n menulis lagi ilmu2 dengan IZIN-NYA.

     
  10. salwa

    25 Februari 2011 at 6:31 pm

    salam ustaz, saya adalah pembaca setia genta rasa…saya bersyukur kerana ALLAH mengilhamkan satu penulisan yg sangat menyentuh hati dan diri….agar saya menjadi insan yg berguna ,anak dan juga ibu yg dapat menegakkan agama islam di muka bumi ini….semoge ALLAH merahmati ustaz..insHAallah…

     
  11. husbah

    25 Februari 2011 at 7:15 pm

    slm..
    pengisian yg cukup bermakna..
    luasnya kasih sayang Allah,tapi masih gagal di rasai selaku hamba yg lemah..

    *jgn sombong pada takdir kn ust =)

     
  12. ygmasihmencari

    25 Februari 2011 at 7:16 pm

    salam ustaz,
    tulisan yg cantik dan indah.. saya mohon utk dikongsikan bersama rakan yang lain..semuga ustaz sentiasa diberikan kekuatan dan ilham, idea oleh Allah untuk terus bermujahadah melalui tulisan2 ustaz..

     
  13. Khairul Akmal Rahimi bin Ahmad Kamil

    25 Februari 2011 at 8:06 pm

    begitu berat sebenarnya tanggung jawab seorang ayah itu….

     
  14. Adilla Harun

    25 Februari 2011 at 9:54 pm

    Benar, sungguh tidak ada keadilan yang mutlak di dunia ini. Hanya Allah yang Maha Adil. Ya! ini mungkin punca atas kekalutan dunia masa kini.

    Sungguh bermakna peringatan dan pesanan dalam entri Ustaz. Syukran!.

     
  15. Cik As

    26 Februari 2011 at 2:24 am

    salam,entri yang sungguh menyentuh hati.cik as suka membaca disini.untuk membina jati diri, merangkak menuju arus dewasa,semoga allah sentiasa melindungi dari bencana duniawi..insyaallah.. jazakallah en.pahrol.:)

     
  16. syidah

    26 Februari 2011 at 5:28 pm

    assalamualaikum,
    ustaz, entri yang sungguh tertusuk saya rasakan..
    saya yakin tak sia-sia apa yang saya lakukan demi dia dapat redha dan restu ibu dan ayahnya..
    moga didalam restu ayah ibu dia juga mendapat redhaNYA..
    moga ALLAh tabahkan hatiku..
    mengharap ALLAH sudi menggantikan dia dengan yang lebih baik…walaupun diri ini terasa tidak layak untuk mendapat yang lebih baik…
    InsyaALLAH akn cuba berbaiki diri…sebelum bergelar ibu dan juga isteri..
    mendambakan sebuah keluarga yang sentiasa mengutamakan kehendakNYA..

     
  17. shar5100

    26 Februari 2011 at 8:02 pm

    Salam,

    Nukilan buat semua…..

    Teman,
    Andai takdir,
    Ayahmu bukan insan yang dekat dgn Tuhan,
    Teladanilah Ibrahim A.S.
    Walau diri dibakar ayah sendiri
    Tapi kerana hebatnya peribadi
    Doa baginda dirakam AL-Quran
    Sehingga kini menjadi warisan.

    Rakaman kehidupan baginda dalam AL-Quran
    Moga dapat menjadi sumber kekuatan dan kebangkitan
    Carilah DIA, Hampirilah TUHAN.

    TUHAN tidak pernah kejam
    Dengan takdir hambanya
    Hanya kita, insan
    Yang sering salah memahami bahasa TUHAN.

    Andai kini kita mungkin derita
    Tapi percayalah, Insya ALLAH
    Bahagia pasti tiba,
    Andai bukan di dunia, mungkin jua di syurga.

    Teman,
    Jangan mengalah
    Walau diri sering lelah
    Teruskan mujahadah,
    YA ALLAH,
    bantulah kami agar tidak menjadi hambaMu yang kalah !

     
  18. hafizah

    27 Februari 2011 at 12:11 am

    Assalamualaikum ustaz. Terima kasih di atas perkongsian ini. Mengemaskini ilmu yang semakin menyusut.

     
  19. azahas

    27 Februari 2011 at 9:59 am

    salam, beruntung anak-anak yang mempunyai ibubapa yang membawa mereka ke jalan allah. tapi tak semua yang bernasib baik.
    Yang tak bernasib baik itu, alhamdulilah di satu pihak (ibu) mempunyai kesedaran. Ibu yang membimbing walau pun sudah agak lewat. Tapi lebih baik lewat dari tidak ada langsung. Kadang-kadang saya kasihan dengan anak-anak saya. Tapi mudah-mudahan mereka tidak mempunyai perasaan dendam dengan ayah mereka.

    Allahualam

     
  20. Ain Masturah

    27 Februari 2011 at 10:22 am

    tulisan yang menyentuh kalbu..rindu abah di kampung halaman…

     
  21. SulamKaseh

    27 Februari 2011 at 4:22 pm

    Terima kasih ust. Moga Allah permudahkan segala urusan buat ustaz.. izin kongsi

     
  22. addina

    27 Februari 2011 at 6:38 pm

    jazakallah khairan kathiran

    bicara hati yang halus
    menyentuh hati yang secara fitrahnya bersifat halus
    yang mana kehalusannya itu mampu merubah
    seorang insan bergelar khalifah
    ke arah kebaikan atau keburukan

    unzur ila qulubikum
    everytime

    terima kasih ustaz

     
  23. murtadha rafaai

    27 Februari 2011 at 11:18 pm

    Salam , sajak tu dijadikan lagu nasyid kan ? dinyayikan oleh kumpulan Now See Heart ?

    Kiranya , penulis liriknya ustaz lah ? ke sajak kat atas ni , ustaz ambil dari mana-mana ? ;)

     
  24. gentarasa

    28 Februari 2011 at 8:26 am

    Salam murtadha,
    Ya… sajak saya itu telah dijadikan lirik oleh Now See Heart beberapa tahun yang lalu.

     
  25. pendamba ilmu86

    28 Februari 2011 at 11:48 am

    barokallahufik ya ust,,penulisan yg amat mnyntuh jiwa kalbu…mohon untk dikongsi bersama teman..syukron ust

     
  26. murtadha rafaai

    28 Februari 2011 at 1:45 pm

    hebat !

     
  27. wanda queen

    28 Februari 2011 at 5:42 pm

    Betapa kecil dan hinanya aku di sisiMu Allah.
    Jangan aku menjadi miskin di sisiMu Ya Allah.
    Terima Kasih Allah.
    Terima kasih ustaz kerana telah memberi ilmu.
    Boleh tak saya nak petik bait-bait dan kalimah ungkapan idea ustaz dalam genta rasa untuk kawan-kawan yang tidak sempat melayari genta rasa?

     
  28. shar5100

    28 Februari 2011 at 8:55 pm

    Salam Puan Azahas,

    Peranan puan amat penting buat anak2. Bukan hanya kata2 tetapi perbuatan yang seiring dengan kata2.

    Itulah pengalaman kami adik beradik. Ibu bukan sahaja meminta untuk kami tidak berdendam dan membenci bapa dengan takdir yang menimpa. Sebaliknya kesetiaan, kesabaran dan kekuatan bonda, memujuk dan memadam amarah saya.

    Sirah para nabi menjadi kekuatan kami. Semua insan mendambakan suami dan bapa kepada anak2 sehebat Rasulullah S. A. W. Tetapi kita juga tidak harus lupa kepada sirah bahawa siapakah suami Permaisuri Asiah dan siapakah ayah Nabi Ibrahim A.S ?

    Semoga ia menjadi kekuatan buat puan sekeluarga. Itulah juga yang saya pesan buat adik2 walaupun setiap kali menuturkannya umpama menelan bara api kerana hakikatnya adakalanya cukup menyakitkan tetapi ALLAH Maha Bijaksana….He Knows the Best.

    Wallahua’lam.

     
  29. coordy

    1 Mac 2011 at 12:58 pm

    alhamdulillah….
    saya peminat tegar genta rasa…
    penulisan ustaz sgt menghalusi rasa pembaca…
    bait- bait kalimat artikel ustaz semuanya masuk dgn jiwa pembaca…
    sy mendapat kelainan penulisan yg santai..bahasa yg mudah utk dfhmi dan sgt telus dalm menyingkap satu persatu koheran dan kohensi dlm penulisn ustaz…
    sy berharp umur ustaz dipanjangkan oleh Allah SWT utk terus menulis dgn tinta kebaikan..dan daptlah saya dan pembaca yg lain meneguk isi dan manfaatnya dlam penulisn ustaz…
    sy mengharpkn juga, jika ada blog2 semcm ustaz yg blh sy baca yg karya dan pengisiannya sama mcm ustz rasakan..
    berbesar hatilah sy kiranya, ustz beri link atau nama blog-blog islamik yg lain…itu..
    sy percaya orag yag menulis itu pastinya dia lebih bnyk membaca daripada menulis….
    terima ksih ustaz aslmkm.

     
  30. nor

    2 Mac 2011 at 4:45 pm

    Terimakasih ustaz.. saya baru membacanya. Menyentuh hati. Minta kebenaran untuk menyalin artikel ini untuk tatapan suami dan kawan-kawan saya.

     
  31. kesidang

    3 Mac 2011 at 9:37 pm

    salam

    pada yang masih punya ayah
    hargailah dia semasa berada
    dengarlah resah di jiwanya
    pada yang sudah tidak berayah sepertiku
    titipkanlah doa untuknya di sana
    moga dicucuri rahmatNya…amiin

     
  32. Manan Qayyim

    4 Mac 2011 at 12:26 am

    Assalamualaikum…

    Al-Kisah yang menarik dan menusuk perasaan…
    Mohon itu dikongsi dalam blog… andai diizinkan..

     
  33. Habib Ahmad

    4 Mac 2011 at 4:41 pm

    Surau Al Ikhlas Bukit Jelutong Maulud Nabi SAW Sabtu 5 Mac 2011 : 7.00 petang, Tempat : Surau Al Ikhlas, Jalan Rabung, Bukit Jelutong, Shah Alam

    Ceramah oleh Habib Ali Zainal Abidin Al Hamid.

    Majlis Maulud Nabi SAW di Masjid As Syakirin KLCC , Sabtu 5 Mac 2011, lepas maghrib, Bersama Habib Hassan Al Attas dan Habib Mahdi

    Majlis Ilmu Syeikh Nuruddin di UTM, 6 Mac 2011 Mulai Selepas Subuh

    LAIN-LAIN MAJLIS ILMU TERKINI : http://www.facebook.com/pages/PONDOK-HABIB/295419981998

    Muslimin muslimat bersama keluarga dijemput hadir.

     
  34. iwan

    6 Mac 2011 at 8:47 pm

    alhamdulillah,kerana dpt peluang baca tulisan ini..

    memetik kata2 dlm petikan..

    “Kita tidak selalu benar dalam pendirian dan tindakan… kita hanya manusia. Walaupun sungguh hati kita ingin mengikut jalan Allah, tetapi kerana kealpaan dan kejahilan kita tersasar jua. Kita ingin tenang, tetapi oleh kerana ketipisan iman dan zikir, pendirian kita goyah jua. Ada rasa marah, ada rasa resah… tetapi semua itu adalah ‘bayaran tol’ di lebuh raya mujahadah.”

    Maka benarlah sabda NabiMuhammad bahawa tidak akan tersesat mereka yang berpegang dgn Qur’an dan Sunnah (syari’at baginda s.a.w)

    Dalam Qur’an sudah jelas bukti (Surah ‘Abasa) bhw Nabi Muhammad itu sendiri telah ditegur kerana tersilap tindakan dalam berdakwah…

    jadi ,apatah lagi kita umat akhir zaman…ini bukanlah alasan untuk tidak memperbaiki diri..sama2 fikirkan..
    sama2 garap sirah baginda..agar menjadi pedoman sepanjang jalan,Insha Allah

    Dalam Qur’an juga terdapat sirah Nabi Musa ‘alaihissalam,yang menarik janggut saudara baginda Nabi Harun ‘alaihissalam hanya kerana dakwah Nabi Harun kurang berkesan sehingga umat baginda pada masa tersebut membina patung dan menyembah lembu samiri.

    Perincian tindak tanduk dakwah para Nabi ini juga melihatkan bahawa bukan hanya seorang ayah akan resah akan tanggungjawabnya…malah semuanya juga secara fitrah akan resah dalam memegang jawatan khalifah di muka bumi ini.

     
  35. N@iNi

    10 Mac 2011 at 8:51 am

    Salam Uztaz. Penulisan yg sering menyentuh rasa…sesuai sekali di kongsikan bersama. Mohon diberikan kebenaran utk saya warkan di blog saya ya.

     
  36. wan

    12 Mac 2011 at 7:00 pm

    perkongsian yang menyentuh hati…syukran kathiran ust mg ust akan terus mencurah idea n dakwah

     
  37. iris

    23 Mac 2011 at 9:47 am

    Kerap kali kalau kita jujur kita dituduh bodoh. Bila kita cuba mengalah, kita dianggap lemah. Pada hal, kita inginkan keamanan dan kedamaian tanpa kehilangan hak dan harga diri. Namun begitu sukar untuk mendapatnya.. pandangan orang lain thadap kita memang jauh dari jangkaan.. perlu kita tanggung ksedihan dan keperitan tu ustaz…?? sakitnya sabar…

     
  38. dg.hafizah ag.basir

    23 Mac 2011 at 4:55 pm

    salam ustz..mohon share tulisan ini untuk sahabat saya..
    jazilan syukr..

     
  39. kemah

    27 Mac 2011 at 6:42 pm

    Puisi Doa Untuk Ayah dan Ibu

    Ya Allah,
    Rendahkanlah suaraku bagi mereka
    Perindahlah ucapanku di depan mereka
    Lunakkanlah watakku terhadap mereka dan
    Lembutkan hatiku untuk mereka…….

    Ya Allah,
    Berilah mereka balasan yang sebaik-baiknya,
    atas didikan mereka padaku dan Pahala yang
    besar atas kasih sayang yang mereka limpahkan padaku,
    peliharalah mereka sebagaimana mereka memeliharaku.

    Ya Allah,
    Apa saja gangguan yang telah mereka rasakan
    atau kesusahan yang mereka deritakan karena aku,
    atau hilangnya sesuatu hak mereka karena perbuatanku,
    maka jadikanlah itu semua penyebab susutnya dosa-dosa mereka
    dan bertambahnya pahala kebaikan mereka dengan perkenan-Mu ya Allah,
    hanya Engkaulah yang berhak membalas kejahatan dengan kebaikan berlipat ganda.

    Ya Allah,
    Bila magfirah-Mu telah mencapai mereka sebelumku,
    Izinkanlah mereka memberi syafa’at untukku. sehingga kami semua berkumpul
    bersama dengan santunan-Mu di tempat kediaman yang dinaungi kemulian-Mu,
    ampunan-Mu serta rahmat-Mu……….

    Sesungguhnya Engkaulah yang memiliki Kurnia Maha Agung,
    serta anugerah yang tak berakhir dan Engkaulah
    yang Maha Pengasih diantara semua pengasih.

    Amin Ya Rabbul Alamin..

     
  40. gentarasa

    29 Mac 2011 at 7:28 am

    Salam,
    Syukran Hikmah. jaga solat dan fokus study. Sikit masa lagi…

     
  41. junamidin85

    9 April 2011 at 2:40 pm

    syukran ustaz..tulisan ustaz banyak memberi pengajaran tuk kami..TERIMA KASIH tidak terhingga..ALHAMDULILAH tulisan ustaz dalam buku “NOTA HATI SEORANG LELAKI” menjadi wadah tuk adik saya berubah..bila mana saya amat terkesan dengan nota hati seorang lelaki sebagai seorang anak..sy minta adik2 saya baca..dan alhamdulillah..adik yang paling sukar tuk diubah..berubah dan MENANGIS bila baca tulisan ustaz..ALHAMDULILLAH..kami sekeluarga amat bersyukur dengan perubahannya..doakan semoga perubahan itu sehingga ke akhir hayat..semoga ustaz sentiasa diberikan ilham dariNYA.. untuk sentiasa menulis untuk menjadi wadah dan agen perubahan tuk kita semua..aminnn..TERIMA KASIH USTAZ…

     
  42. gentarasa

    11 April 2011 at 11:58 am

    Salam junamidin85,
    Saya doakan saudari/a sekeluarga diberkati Allah. Tolong doakan saya. Dari insan kita harapkan dua… nasihat dan doa. Syukran jazilan.

     
  43. al-fadzil ariffin

    19 Jun 2011 at 8:22 pm

    saya mohon kongsi ya Ustaz.
    benar2 menyentuh hati saya tambah2 setelah pemergian Allahyarham Ayahanda saya.

     
  44. Pyan

    25 Ogos 2011 at 11:23 am

    Terima kasih ustaz, pemikiran yg tajam dan kritis, saya manusia yg lemah, mohon pada Allah spy kuatkan ibadah padaNYA, boleh saya sampaikan nukilan indah ini sekadar perkongsian dgn teman2 seperjuangan…

     
  45. maza

    21 Februari 2012 at 11:36 am

    Salam ustaz, satu perkongsian yang benar-benar menginsafkan.
    Mohon copy untuk dikongsi bersama saudara yang lain.
    Terima kasih.

     
  46. Siti Hawa

    27 April 2012 at 6:11 pm

    Assalamualaikum Ustaz….

    Perkongsian yg amat2 terkesan dihati saya… Alhamdulillah….terutama perengan 3 yg akhir…

    “Ya Allah, ampunkanlah kami. Berilah kami kekuatan untuk memaafkan diri kami sendiri dan juga orang lain. Kami masih tidak pandai mensyukuri nikmatMu kerana kami masih mendidik hati dalam menerima ujian-Mu.

    Ya Allah, cuma satu… cuma satu… janganlah Engkau serahkan diri kami kepada diri kami sendiri walau sekelip mata. Kutiplah kami ya Allah untuk selalu dibimbing oleh hidayah dan taufik Mu!

    Ya Allah, kami sentiasa yakin bahawa kejujuran itu kemenangan dan pilihlah kami untuk menjadi orang yang jujur dan benar… walau apa jua keadaan dan cabarannya! Amin.”

     

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,217 other followers

%d bloggers like this: