Looking for Something?

Bila BEDUK DIKETUK…

Author:

Alhamdulillah, di Pesta Buku yang sedang diadakan di PWTC sekarang, ada sebuah buku tulisan saya yang terbaru Beduk Diketuk. Kali ini saya tidak menulis banyak, masa agak terbatas kerana urusan tugas melaksanakan program, pentadbiran dan pengurusan dan menguruskan hal anak-anak serta keluarga.

Menekuni penulisan majalah bulanan Solusi dan tiga buah majalah lagi (bercorak keluarga, remaja dan soal jawab agama) yang insya-Allah, akan menyusul sedikit masa lagi sesungguhnya meragut banyak masa dan tenaga saya yang sudah mencecah separuh abad ini.

Saya sangat berharap, akan ramai tenaga baru di kalangan para remaja yang menyambung legasi ini. Mudah-mudahan, mereka yang komited akan terus belajar dan belajar… kerana jalan jihad menerusi pena ini sangat dahagakan tenaga baru yang lebih segar, dinamik, kreatif dan produktif. Namun, keikhlasan, kejujuran dan amanah adalah di atas segala-galanya. Jika kita jujur, Allah akan membantu kita, insya-Allah. Merendah diri, akan menyebabkan kita menjadi bijaksana tanpa terasa. Kerja keras dan kerja cerdas akan menyebabkan jalan yang jauh dilalui tanpa kelelahan. Insya-Allah.

Saya memohon maaf, kepada semua yang bertanyakan buku “Di mana DIA di hatiku?”. Khabarnya, buku itu masih dicari oleh pembaca. Walaupun pihak penerbit memaklumkan buku itu sedang diulang cetak kali ketiga, saya tidak dapat memastikan buku itu ada di PWTC sekarang. Jika di MPH mungkin, sebab minggu lepas buku itu masih menduduki kedudukan ketiga terlaris di kalangan buku penulis tempatan di kedai buku MPH. Insya-Allah.

Sayangnya, antologi cerpen “Melawan Arus” tidak sempat diterbitkan. Tentu ada hikmahnya. Sahabat saya tidak sempat mengeditnya. Walau apa pun, saya berterima kasih atas kegigihannya – ya usaha kita terbatas. Allah jua tempat kita memohon belas. Sekarang, saya sedang menekuni penulisan buku “Tentang Nilai”. Buku yang saya kira terlalu mencabar kerana subjeknya sangat spesifik. Apa yang benar, betul dan baik dalam kehidupan? Itulah fokus buku yang sedang dalam pembikinan.

Untuk menulis, saya terpaksa menolak banyak pelawaan untuk memberi kuliah dan ceramah. Saya komited untuk melatih penulis di kalangan remaja. Insya-Allah, dengan sedikit pengalaman yang ada, saya ingin meniru langkah guru-guru penulisan saya yang telah mendidik saya sewaktu remaja dulu. Walaupun ada di antara mereka sangat garang, sangat teliti dan agak pendesak, tetapi semua itulah yang membentuk saya sekarang ini. Sungguh, mereka sangat ikhlas (pada pandangan saya). Bila terkenang sahaja mereka… saya sayu.

Ramai pembaca blog yang menulis bertanyakan itu dan ini… saya membalas sejauh mana yang mampu. Kekadang, saya juga tersentak, terdesak dan buntu bila diajukan permasalahan dalam pelbagai dimensi – keluarga, pelajaran, hukum-hakam, perasaan, cinta dan sebagainya. Saya hanya pendakwah… seperti anda. Kita umat dakwah! Kita cuba menjejaki apa yang telah diamanahkan oleh Rasulullah saw – sampaikan walau satu ayat!

Untuk sahabatku, pembaca yang budiman terimalah satu seruan bila…

BEDUK DIKETUK

Dum! Dum! Dum! Dummmm…

Apabila beduk diketuk, pasti ada satu berita yang penting. Ia adalah medium pemberitahuan tentang kebaikan, keburukan atau amaran bahaya.  Sejak dahulu, masyarakat Melayu mengetuk beduk untuk memberitahu bahawa waktu solat telah masuk, ada berita kematian atau musuh yang telah menyerang kampung. Tegasnya, apabila beduk diketuk pasti ada pengumuman  penting dan segera untuk dimaklumi dan diambil tindakan.

Maka itulah perumpamaan mesej-mesej yang hendak disampaikan dalam buku ‘Beduk Diketuk’ ini. Ia adalah satu yang penting untuk difahami dan perlu segera diamalkan. Umat Islam yang sedang alpa ini, perlu dikejutkan agar tidak terus dibius dan disembelih oleh musuh-musuhnya. Penjajahan bentuk baru – neokolonialisme, telah menyerang saraf-saraf pemikiran umat Islam sehingga menyebabkan deria rasa cinta terhadap Islam dalam diri menjadi tumpul dan hilang. Tanpa disedari apa yang difikirkan, difahami, diamalkan malah diperjuangkan oleh umat Islam adalah menurut telunjuk Yahudi dan Nasrani.

Beduk Diketuk mengajak umat Islam menilai semula cara memandang sesuatu perkara, peristiwa atau kejadian. Pemikiran yang berasaskan tauhid (tauhidic mindset) sangat penting untuk memberi nilai kepada apa yang berlaku dalam dan di luar diri. Dan dengan nilai itulah terbentuknya sikap serta kelakuan. Apa yang kita ‘lihat’ menentukan apa yang kita ‘dapat’. Melihat dengan tepat dan betul adalah prasyarat untuk mendapat kejayaan dunia dan akhirat.

Malangnya, majoriti umat Islam kini gagal melihat sesuatu perkara atau peristiwa mengikut pandangan Islam. Kaca mata yang mereka pakai kebanyakannya dipinjam daripada Barat yang bebas daripada unsur akidah, syariah dan akhlak Islamiah. Al hasil, ramai yang tidak merasa bangga dan yakin lagi dengan Islam. Ketidakyakinan ini jarang disuarakan secara lisan tetapi dapat dibuktikan dalam tindakan. Sudah ramai yang meminggirkan cara hidup Islam dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara. Islam hanya dilihat pada nama, adat atau amalan-amalan yang bersifat ritual atau komersial sahaja!

Saya pernah mendengar satu analogi tentang sikap umat Islam kini. Mereka umpama orang yang sedang duduk di muka pintu, masuk ke dalam sepenuhnya tidak, keluar sepenuhnya pun tidak. Maksudnya, mereka tidak masuk sepenuh dan seluruhnya dalam Islam. Mereka juga tidak keluar secara total dalam Islam. Masih mengaku beragama Islam, tetapi tidak komited untuk mengamalkan Islam secara keseluruhan. Apa yang akibatnya? Mereka menjadi penghalang di muka pintu! Menghalang orang dari luar (bukan Islam) untuk masuk ke dalam Islam.

Para ulama telah berusaha gigih untuk membetulkan salah faham dan salah amal di kalangan umat Islam ini. Mereka telah berusaha gigih untuk menunjukkan betapa ruginya dunia apabila umat Islam lemah. Akibat kelemahan umat Islam itu, dunia seluruhnya telah kehilangan naungan, pembelaan, keamanan dan keadilan. Kuasa-kuasa besar dunia masa kini lebih bersifat zalim, menindas dan membuli negara-negara kecil berbanding pemerintah Islam pada zaman Rasulullah s.a.w, para sahabat dan Salafussoleh.

Oleh itu kita perlu berusaha memahamkan Islam kembali kepada umat Islam. Aneh bunyinya bukan? Tetapi itulah yang dibuat oleh para ulama seperti Maulana Abu Ala Maududi yang telah menulis buku Understanding Islam, Dr. Yusuf Qardhawi yang menulis buku Fiqh Aulawiyat (sekadar menyenaraikan beberapa contoh). Misi buku-buku tulisan mereka sangat jelas dan jitu – membetulkan kembali salah faham terhadap Islam dan membangunkan roh amal Islam yang sebenar.

Buku Beduk Diketuk di tangan anda sekarang adalah kesinambungan kepada misi tersebut. Walaupun, isinya mudah dan dilengkapi oleh ilustrasi yang santai, tetapi tujuan penulisannya sangat fokus. Hanya untuk mengikuti jejak ulama-ulama besar itu walaupun ilmu dan pengalaman saya sangat tipis dan cetek. Saya akui, pasti ada isi yang tersasar di mana-mana, namun itu bukanlah kerana yang cuba diikuti itu tidak terang tetapi mata yang ingin ‘mengekori’ inilah yang kabur. Saya terbuka untuk ditegur dan diperbaiki.

Mengapa orang lebih sibuk berdakwah kepada orang Islam berbanding dengan bukan Islam? Ini soalan yang kerap ditanyakan orang kepada saya dan tentu juga kepada pembaca sendiri. Jawabnya, sebab ramai orang Islam sendiri tidak faham dan amalkan Islam dalam erti kata sebenar. Hakikatnya, Islam adalah agama yang paling banyak disalahtafsirkan, bukan sahaja oleh orang bukan Islam tetapi oleh orang Islam sendiri. Akibat salah faham itu, umat Islam mengamalkan Islam separuh-separuh, hendak tak hendak, dan akhirnya Islam tidak nampak indah walaupun sebenarnya Islam adalah agama yang paling indah, praktikal dan diredai Allah.

Keindahan Islam pada ketika ini cuma dapat dilihat dan dirasai secara ilmiah, bukan amaliah. Namun, itu pun sudah cukup menyebabkan ramai bijak pandai Barat memeluk Islam. Hasil kajian, penelitian dan perbincangan mereka, akhirnya mereka diberi hidayah untuk memeluk Islam. Inilah yang ditulis oleh Dr. Yusuf Qardhawi mengenai seorang sarjana Barat yang telah memeluk Islam, lantas berkata, “subhanallah yang telah mengenalkan aku kepada Islam sebelum aku mengenal orang Islam.” Maksudnya, jika dia mengenal umat Islam… kemungkinan dia tidak tergerak memeluk Islam kerana buruknya akhlak dan lemahnya pencapaian umat Islam dewasa ini.

Lama sebelum itu Syed Qutb pernah menukilkan, “ aku pergi ke Barat, aku lihat Islam tanpa Muslim. Tetapi bila aku pergi ke Timur, aku lihat Muslim tanpa Islam.” Mengapa? Dilihatnya semua amalan-amalan Islam seperti menjaga kebersihan, mengurus masa, menepati janji dan lain-lain telah diamalkan oleh orang-orang Barat. Sayangnya, amalan-amalan itu tidak berlaku di kalangan orang Islam sendiri di Timur. Sikap pengotor, tidak menepati janji dan membuang masa masih berakar umbi dalam masyarakat Islam sendiri.

Walaupun pahit kita terpaksa mengakui betapa Islam kini digelapkan oleh umat Islam sendiri. Islam kini seolah-olah sudah sinonim dengan kemunduran, keganasan, perpecahan dan kemiskinan. Hingga dengan itu muncul istilah ‘Islamophobia’ – takut kepada Islam. Ini istilah yang dipopularkan oleh musuh. Namun, kita tidak boleh terus menyalahkan musuh, kerana apa yang ditohmah itu ada kalanya ada kebenarannya. Lihat sahaja di negara kita, siapa yang lebih ramai terjebak dalam penyalahgunaan dadah, kemiskinan, politik kotor, rasuah dan sebagainya?

Justeru, kita harus belajar daripada apa kata musuh Islam. Imam Ghazali menegaskan kita boleh mengenal aib diri menerusi kata-kata musuh. Belajar untuk mengakui, menilai dan bermuhasabah dan akhirnya membuat perubahan. Tidak cukup dengan slogan Islam adalah penyelamat jika umat Islam sendiri tidak selamat. Kaedah menghilangkan fitnah terhadap Islam adalah dengan cara kembali mengamalkan Islam secara ikhlas dan menyeluruh. Jangan adalah agenda untuk ‘mengkomersialkan’ atau ‘mempolitikkan’ Islam. Kita hanya mengotori wajah kita dan wajah Islam jika terus berbuat demikian.

Ironinya, pada masa ini semakin ramai orang-orang bijak dan jujur di luar Islam telah memeluk Islam sementara ramai pula orang yang bodoh dan berpura-pura di dalam Islam ingin keluar Islam (murtad). Ya, dengan kebijaksanaan dan kejujuran sahaja Islam akan  nampak indah, sebalik keindahan itu akan terhijab oleh kejahilan, kedegilan dan sikap kepura-puraan.

Hakikatnya, Islam sudah nampak indah secara ilmiah, tetapi ia akan jauh lebih indah jika dipaparkan dalam bentuk amaliah. Sesungguhnya, ‘Quran hidup’ yakni Rasulullah s.a.w itulah yang telah berjaya memaparkan keindahan ajaran Islam yang ditulis atau dibaca melalui Al Quran. Hakikatnya, ‘the unic generation of Al Quran’ (generasi para sahabat rasulullah s.a.w) itulah yang telah berjaya menyebarkan Islam ke seluruh dunia. Mata lebih dipercayai daripada telinga.

Sikap lebih berpengaruh daripada cakap – walk your talk. Langkah inilah yang seharusnya diamalkan oleh umat Islam kini. Kita perlu memahami Islam secara tepat dan melaksanakannya secara berkesan agar Islam kembali menawan hati umat manusia masa kini. Insya-Allah, dakwah secara ‘lisannul hal’ (perbuatan) lebih berkesan daripada dakwah secara ‘lisanul maqal’ (kata-kata).

Kisah-kisah yang dipaparkan dalam buku ini adalah kisah-kisah biasa yang diberi nafas Islam. Tidak dapat dinafikan ada antara kita yang lebih mudah menghadamkan input-input serius secara santai dan bersahaja. Saya hanya ingin mencuit perasaan dan mengocak fikiran. Namun matlamat utama saya adalah untuk menggugah jiwa kerana di situlah letaknya sumbu yang menyalakan api perubahan.

Ya Allah, mudah-mudahan disampaikan maksud itu walaupun saya sedar keterbatasan ilmu dan amalan.    Buku kecil ini diharap menjadi mata rantai kepada perjuangan Islam yang telah dimulakan oleh generasi awal. Semoga langkah kecil ini menjadi batu loncatan untuk umat Islam melangkah lebih jauh dalam perjuangan menegakkan Islam masa kini. Insya-Allah, sekalipun sudah ada rotan, itu tidak bermakna akar sudah tidak berguna.

Saya berdoa agar ‘bunyi’ daripada beduk yang kecil ini mampu membangunkan diri sendiri dan orang lain untuk mengorak langkah perjuangan selaras dengan prinsip – baiki diri mu dan serulah orang lain!

(Petikan Kata Pengarang dalam Buku Beduk Diketuk Terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.)

Feedback

43
  • shafa

    salam ustaz, saya tak perasan pula buku terbaru ustaz di pwtc. saya akn dapatkan secepat mungkin.. sangat meminati hasil penulisan ustaz. Ape pun, moga dipermudahkan segala urusan ustaz..insyaAllah.

    Moga dilancarkan jua urusan ustaz atas penulisan buku2 yang akan datang..ameen. Sungguh DIA Maha Tahu,pastinya DIA bantu.

    p/s : buku Di Mana DIA Dihatiku ada di jual di pwtc ustaz,di booth karangkraf. 🙂

  • gentarasa

    Salam shafa,
    Terima kasih atas sokongan. Insya-Allah, buku Di Mana DIA di Hati ku dah ada di booth Karangkaraf. Alhamdulillah.

  • Asma'

    Salam ustaz.. sy sgt meminati semua karya2 ustaz. kebolehan ustaz mmg satu anugerah dr Ilahi. wlaupun begitu sgt sukar u mendapatkan buku2 ustaz di sandakan sabah ini. banyak buku2 ustaz saya dapatkan melalui pos. insyaAllah sy pasti akan mendaptkan buku beduk di ketuk ini dengan sesegeranya…

  • Siti Khadijah

    Assalamualaikum Ustaz,

    Saya terlalu minat membaca setiap penulisan Ustaz dan saya tahu kadangkala komen saya menguji kesabaran juga sebab itu telah sekian lama saya tidak memberi komen sebaliknya hanya membaca dan kadangkala saya kongsikan bersama rakan2. Saya juga tak putus membuat koleksi buku2 Ustaz, serta buku2 Ustaz lain seperti Ustaz Zahazan, Ustaz Zaharudin, Ustaz Muhammad dan ramai lagi. Saya juga mengumpul CD2 ceramah Ustaz Kazim, Ustaz Azhar Idrus dan beberapa Ustaz lain. Sungguh murni usaha2 Ustaz2 semua dalam berdakwah dan doa saya agar usaha2 tersebut sentiasa dalam rahmat dan lindungan Allah. Syabas saya ucapkan. Dan terima kasih yang teramat sangat Ustaz.

  • ummul barakah

    Salam ustazuna,

    Alhamdulillah, pertama kali memberi komen disini walaupun sebelum ini hanya menjadi ‘silent reader’. Saya sering mengikuti tulisan-tulisan ustaz sebenarnya, sejak di kolum Anis sehinggalah sekarang, Solusi.

    Saya amat menyokong usaha ustaz untuk merekrut lebih ramai penulis-penulis baru yang diharapkan mampu menggegarkan dunia dakwah dengan ketajaman mata pena, insyaAllah. Saya nak minta pendapat ust, apakah genre penulisan yang sesuai untuk penulis baru? Jika boleh dikongsi, semasa ust mula-mula menulis dahulu, adakah ust bermula dengan menulis artikel,cerpen, atau genre yang bagaimana?

    Jazakumullah ustaz atas tulisan-tulisan yang mendidik fikrah sahihah. Teruskan menulis. Semoga Allah sentiasa membantu dan merahmati Ust sekeluarga.

  • cilipadi

    Teruja oleh artikel pengenalan di atas.Akan cari buku ini,insyaAllah.Benar kata-kata Protaz…langkah kecil.Harapnya akan jadi domino effect.Problem identified and acknowledged…is a problem halfsolved.Yang malangnya bila kita buta masalah .

  • raredour

    Mesti beli ! inshaAllah

  • azizan ajiji

    saya menunggu “melawan arus”..

  • raredour

    Nak tanya , ustaz ada bukak kelas menulis ke ? kalau ada teringin jugak nak join sekali..minat jugak bidang buat majalh ni , saya dulu pernah jadi ketua editor 2 majalah , majalah biasa-biasa aja , satu majalah batch masa kat belajar di Darul Quran ( JAKIM ) , satu lagi majalah ala-ala kontemporari remaja namanya ” INSAN ” di Pusat Asasi UIAM PJ ..:)

  • siti suhaili

    Sebelum ni, setiap kali membaca ruangan Beduk Diketuk dalam majalah Solusi, saya selalu tertanya-tanya apa maksudnya. Barulah saya faham betapa pentingnya peranan “Beduk” kepada masyarakat kita. Saya doakan buku Ustaz ini akan memberi manfaat besar kpd masyarakat kita, dan semoga lebih ramai terdorong utk menjadi Pengetuk Beduk!

  • kesidang

    Salam,

    Pantun buat ustaz:

    Beduk diketuk bertalu-talu,
    Menandakan cepatlah bangun sahur,
    Puasapun belum nak raya selalu,
    Jualan murah memang terliur.

    Beduk diketuk bertalu-talu,
    Mengetuk hati yang alpa dan lalai.
    Kalau diketuk masih tak mahu,
    Siren bomba adakah memadai???

    Jawab ustaz jangan tak jawab..heeee…

  • ananabilah

    Salam Ustaz.

    Tahniah. Saya baru memiliki satu (1) buku ustaz – Tentang Cinta. sekarang berada di luar negara. InsyaAllah bila balik ke Malaysia akan cuba dapatkan buku-buku lain termasuk yang ini.

  • nur iman

    masyaAllah..terbaik! 🙂
    moha Allah pemudahkan semua urusan ustaz..

    *teringin juga mahu mengikuti bengkel penulisan ustaz. dimana ya??

  • nor faizah

    Ya Ustaz,alhamdulillah saya telah meminta adinda saya mendapatkan buku ustaz; tadi ade di pwtc…Di mana DIA di hatiku…untuk saya dan akan dihadiahkan untuk sahabat…:) moga bersama mendapat redha DIA.amin

  • Zahra Amalin Solehah

    salam ustaz..
    Saya sebenarnya dah lama mencari buku2 tulisan ustaz…baru2 ni pun..sy cuba menjenguk kat pesta buku..tapi tak jumpa..boleh ustaz maklumkan dimana sy boleh dpt kan buku2 tersebut..sy dr kota bharu….

  • Princess Hafizah

    Saya kagum dengan pendekatan baru buku ini. Saya sekadar ingin mengetengahkan pendapat saya. Sebagai umat Islam, saya setuju kita perlu berdakwah kepada non-muslim. Tetapi kekuatan itu tiada kerana umat Islam sendiri tidak diajak dan dipimpin ke arah dakwah. Selalunya golongan yang berdakwah ini hanya berkisar dalam golongan masing2 shj dan tidak mengaproach orang luar ke arah kebaikan. Senario ini banyak terlihat di universiti. Rakan2 tidak membantu mereka yang bermasalah dan berpotensi untuk berubah. Semoga semua Muslim hari ini aware dengan masalah muslim lain supaya mereka tidak diabaikan.

  • gentarasa

    Salam Zahra,
    Buku saya yang ada di booth Telaga Biru – Tentang Cinta, Nota Hati Seorang Lelaki, Mukmin Profesional, Dilema Melayu: Kurang Fikir atau Kurang Zikir dan Beduk Diketuk. Di booth Galeri Ilmu – Dua Hati Satu Rasa, Nota Fikir untuk Zikir. Di Booth Karangkraf – Di mana DIA di hati ku? Selamat datang ke pesta buku. Semoga ziarah mendapat keberkatan ilmu, iman dan taqwa. Amin.

  • gentarasa

    Salam nor faizah,
    Syukran atas sokongan. saya sangat menghargainya.

  • syifa aslah

    salam alaika ustaz,

    saya dah mengunjungi Pameran Buku di PWTC, buku2 ustaz boleh dibeli di pameran ni..buku bila beduk diketuk memang best dan comel coz ada ilustrasi..

  • zie

    saya pasti beli, insyaALLAH sekarang tengah mengumpul koleksi buku hasil tulisan tuan. Teruskan menulis tuan. Semoga tuan dan keluarga sentiasa berada di dalam rahmatNYA 🙂

  • salida

    slm ustaz,blh tak republish entry ttg sabar laksana mentari yg di post sblm ini…terima kasih yaaa

  • nur aini

    Assalamualaikum ustaz.

    Saya baru pertama kali brkunjung ke laman ini, selama ini saya ada membaca tulisan ustaz di laman ILuvIslam. Hati saya tergerak untuk memberi komen,
    Sebagai remaja yang baru sahaja melepasi tahap pendidikan sekolah menengah dan mempunyai kawan bukan Islam yang agak mesra dengan saya, saya sedar satu perkara; anak muda hari ni kdg2 liat utk ikut betul2 akhlak islam di hadapan bukan Islam . Misalnya jika ke kem, pelajar islam dan bukan islam ditempatkan di bilik yang sama. walaupun mengetahui hukum membuka tudung di hadapan bukan islam adalah haram, tetapi pelajar islam tetap membuka tudung krn tak mahu dipandang oleh kwn mrk bahawa islam ini menyusahkan. persoalan yg tinggal dlm diri sy ialah, bagaimana utk mengangkat anak muda islam utk bangga dengan suruhan agamanya dan tak ragu2 utk amalkan syariat dan akhlak yg sepatutnya di hadapan bukan islam, supaya dengan keyakinan itu Islam akan lebih dihormati. Sy sedih bhw lebih ramai anak muda islam melonggarkan syariat dalam hidup seharian dgn alasan nak hormat yg bukan islam dan membiarkan apabila islam dipandang serong oleh mereka. masalah ni sudah teruk sejak dalam sekolah lagi, sebab itu bila dewasa amalan berteraskan Islam semakin tidak dipentingkan dan akhirnya sedikit demi sedikit menghilang dari hidup..

  • Ibnbakr

    Assalamualaikum ustaz..
    saya suka sangat baca tulisan ustaz.. Hari sabtu lepas sempat jumpa dan salam ustaz dekat PWTC.. Mungkin ustaz tak ingat saya,sebab ramai rasanya yg jumpa ustaz.. InsyaAllah,lepas ni saya cuba baca semua karya ustaz.. Selalunya baca di Solusi shj.. Lagi2 artikel di ruangan beduk diketuk,terasa sungguh..Kadang2 terkena batang hidung sendiri..Terima kasih ya ustaz.. 🙂

  • muhammad fakhruddin

    Assalamualaikum Ustaz,
    moga Ustaz sekeluarga sihat sejahtera di bawah rahmat Allah.

    Alahai, bajet kecil saya tak mampu untuk saya cukupkan untuk membeli buku Ustaz yang terkini itu. Moga dapat dibeli kelak 🙂

  • Abdul Baasit

    assalamualaikum ustaz..macamna saya nak jadi anak murid ustaz dalam bidang penulisan?sekiranya ada apa2 yang perlu saya lakukan untuk merelalisasikan hajat ni.Harap ustaz boleh utarakan..

  • nor a alias

    assalamualaikum ustaz,

    setiap kali membeli majalah solusi, lembaran terawal yg akan saya cari untuk dibaca ialah beduk diketuk, dari dulu saya tertanya-tanya siapakah imam global, semasa membeli solusi 31, dua hari lepas, terperanjat juga saya bila lihat senaskah buku dengan tajuk beduk diketuk, tanpa buang masa saya membelinya. cuma ingin saya bertanya, adakah imam global itu ustaz pahrol? terima kasih.

  • gentarasa

    Salam nor,
    Begitulah… Imam global itu nama pena saya untuk ruangan itu. Saya pun belum global, cuma berusaha ke arah itu. Tetapi harapan saya ialah setiap imam solat, imam keluarga dan imam negara wajar global pemikiran dan jiwanya. Islam yang sejagat sifatnya, perlu diperjuangkan secara sejagat dan oleh pejuang yang sejagat juga langkah dan strateginya. Insya-Allah.

  • gentarasa

    Salam Abdul Baasit,
    Kekadang kita hanya perlu belajar tanpa diajar… pokok pangkalnya kita perlu tawaduk. Jadi murid, kena banyak mendengar, membaca dan mencuba. Bila kita jadi murid, insya-Allah, ramai guru yang akan mengajar, samada langsung atau tidak. Banyakkan membaca!

  • gentarasa

    Salam muhamad,
    Jika kebetulan lalu di Sri Damansara atau Damansara Damai, boleh singgah di pejabat. Boleh saya hadiahkan sebuah.

  • gentarasa

    Salam Ibnbakar,
    saya tak tahu, tapi Allah tahu. Penghormatan kita kepada seseorang akan diberi ganjaran tidak kira siapa, asalkan umat Islam, saudara kita. Syukran.

  • amer kamil

    assalamualaikum,

    alhamdulilah dapat juga saya beli buku ni, mulanya cari di telaga biru tapi ‘sold out’. sedikit hampa kerana datang ke pesta buku untuk membeli buku ni. alhamdulilah jumpa di gerai lain. insyaAllah akan saya manfaatkan apa yang saya dapat dari buku ni dan insyaAllah ada rezeki, saya akan beli semua buku tulisan tuan =)

  • Nazmi Farid

    Assalamualaikum Ustaz,

    Moga Allah Merahmati dan memberkati ustaz di atas usaha murni ustaz dalam menyampaikan dakwah.
    Ustaz,sepanjang pesta buku saya cuba mencari di ke semua booth termasuk Galeri ilmu untuk membeli buku karya ustaz;
    “Satu Rasa Dua Hati”
    Namun semua dengan jawapan yang sama
    Kehabisan stok( tiada di pesta buku 2011).
    Bagaimana saya boleh dapatkan buku ini.
    Teringin benar hendak membacanya.

    Terima Kasih Ustaz

  • wann

    salam ustaz..kat mner saya boleh dptkn buku2 ustaz??terima kasih.

  • gentarasa

    Salam wann,
    Hubungi sahabat saya en Mat 0193783100

  • zafira

    Assalamu’alaikum ustaz.
    Alhamdulillah, saya dah dapatkan buku tulisan “beduk diketuk” masa ke PWTC yang lepas. Memang tujuan ke sana membawa hajat besar agar ada buku karangan terbaru ustaz. Sememangnya dinantikan. Seperti mana PEsta Buku tahun lepas, Ustaz keluarkan dua buah tulisan terbaru iaitu “Di mana DIA di hatiku” dan “Nota Fikir utk Zikir”. alhamdulillah, khatam kedua2nya dan acapkali ingin mengulangnya sebagai tazkirah dan penyejuk hati. Tahniah Ustaz! =) Moga akan ada lagi tulisan membina dan mengetuk fikir agar berzikir di masa kelak dari Ustaz. InsyaAllah.

  • gentarasa

    Salam zafira,
    Syukran. Saya doakan kita dapat kongsi ziarah dan jariah ilmu.

  • yann

    Terima kasih ustaz,kerana sentiasa memanjangkan usaha dengan sabar dan tekun utk penulisan yang berisi dikalngan remaja kita.. dan saya sgt2 berterima kasih kerana penulisan ustaz didalam solusi dan di blog juga ada buku 2ustaz yg saya berkesempatan utk membeli, bnyk memberi ilmu dan pengajaran pada sya, utk belajar dan terus belajar menjadi umat Islam yang berguna utk keluarga, agama bangsa dan negara, insyAllah

  • adibah

    assalamualaikum ustaz.. terima kasih atas semua tulisan2 ustaz tu.. amat berkesan dalam jiwa muda sy…. buku terbaru Beduk Diketuk susah nak dapat. dah bnyak bookstore sy cari mungkin dah habis.. mcm mana saya nak daptkan buku tersebut.. ader ulang cetak tak.. terima kasih ustaz. semoga truskan perjuangan dalam menegakkan islam.. =)

  • noraini

    assalamualaikum ustaz,
    alhamdulillah saya sudah memiliki BEDUK DIKETUK…juga semua buku sebelum ini yg saya tahu dan jumpa…
    tulisan ustaz,alhamdulillah tidak pernah sia2 dibaca…diulang baca…w’pun sudah hampir lusuh keadaan buku…
    hingga saya tidak nampak hadiah yg paling sesuai utk diberi pd insan2 tersayang melainkan buku2 ustaz…
    saya bersyukur pada Allah swt kerana ada insan sprt ustaz yang sentiasa tidak jemu membimbing insan yang serba daif ini tentang kehidupan saya yang sewajarnya tentang m’jadi HAMBA ALLAH.
    Semoga Allah swt sentiasa memberkati diri ustaz dan keluarga…aminnn.

  • yusrar_azira

    assalamualaikum…sy blum jumpa lg buku yg saya cari2..di mana dia dihatiku..dari tahun lepas lagi..kat mana lg agaknya bleh sy beli,sebab kebanyakan kedai yang saya tanya cakap buku tu da habis stok…selain kat pwtc,kat mana lagi agk2nya sebab sekarang ni sy kat nilai..sape2 yg bleh bg info..syukran..

  • Khairudin Maliki

    Buku “beduk diketuk” memang lain daripada yang lain. Selepas membaca buku ini, saya telah mendapat banyak “intipati” menarik dan terus saya mencari siapa penulisnya. Ini kerana penulis buku ini telah berjaya mentarbiahkan ilmu yang dimilikinya dengan begitu berkesan. Dan sepertimana yang kita semua tahu, buku2 yang mampu memberi “kesan” pada pembacanya adalah rahmat-Nya. Tahniah ustaz !!! Yosh! – #Nota:- http://khairudinmaliki2010@yahoo.com

  • khairulaniza binti khairuddin

    Assalamualaikum Ustaz yang dikasihi Allah dan Nabi. Semoga Allah permudahkan tuan ustaz untuk terus menulis dan menyampaikan ilmu.
    Saya baru menerima pesanan buku bila Beduk Diketuk. Baru sahaja memulakan pelayaran pembacaannya. Hanya dapat membacanya ketika dalam perjalanan pergi dan balik semasa suami memandu kereta. Tadi baru sampai topik sofyware dan hardware solat.. Ilmu yang tuan ustaz sampaikan turut diperoleh suami lantaran saya membaca kuat bait-bait bicara tuan. Kami juga sama-sama berdiskusi tentang topik yang tuan ustaz tulis.
    Banyak hikmahnya apabila saya berbuat demikian (baca kuat dan berdiskusi).
    Teruskan berkongsi ilmu dan berdakwah melalui tulisan.

Leave a Reply

%d bloggers like this: