Looking for Something?

DI SEBALIK SEORANG OSAMA…

Author:

Saya ditanyakan tentang Osama. Banyak ulasan yang saya telah baca. Kita dapati sangat bezanya ulasan tokoh yang jelas fikrah dan roh Islamnya dengan yang kabur dan samar.

Pada mereka yang bertanya, saya hanya mampu memasukkan semula tulisan yang ada kaitannya dengan isu tersebut dalam buku saya terdahulu DILEMA MELAYU ISLAM: KURANG FIKIR ATAU KURANG ZIKIR.

Mudah-mudahan, ada sisi lain yang boleh diambil teladan atau sempadan. Saya letakan sahaja judul tulisan lama itu dengan sesuatu yang baru… DI SEBALIK SEORANG OSAMA:

Seseorang dihormati kerana keadilannya. Dan seseorang ditakuti kerana kekuatannya. Jika kita adil dan kuat, maka kita akan dihormati sekali gus ditakuti. Lalu layaklah kita menjadi pemimpin kepada orang lain. Sebalik­nya, jika kita sudah tidak ditakuti dan tidak dihormati, maka kelayakan kita sebagai pemimpin akan hilang. Wibawa kita sudah jatuh.

 Hakikat inilah yang berlaku kepada Amerika. Kini ia sudah tidak dihormati dan ditakuti lagi sekaligus menyebabkan Amerika tidak layak lagi menjadi ‘Polis Dunia’ dan ‘Pembela Hak Asasi manusia’ seperti yang selalu diuar-uarkannya. Amerika jelas tidak adil dalam konflik Arab-Israel. Manakala serangan ke atas WTC dan Pentagon pada peristiwa 11 September sedekad yang lalu telah membuktikan bahawa Amerika sudah tidak kuat dan tidak lagi digeruni.

Ironinya, sejak dahulu lagi Amerika cuba meyakinkan kepada dunia bahawa Osama bin Laden adalah musuh yang ganas, kuat dan berpengaruh. Dan bila berlaku serangan ke atas WTC dan Pentagon, nama jutawan Arab Saudi itu telah dikaitkan sejak awal-awal kejadian lagi. Apakah sebenarnya tujuan di sebalik gembar-gembur Amerika ini? Benarkah Amerika memang takut kepada Osama yang berjuang seorang diri tanpa mewakili mana-mana negara sekalipun Tanah Airnya sendiri?

Atau ada bahaya lain yang sebenarnya lebih dicurigai oleh Amerika? Lalu faktor Osama sengaja dibesar-besarkan agar Amerika mempunyai alasan yang kukuh untuk terus melaksanakan agenda neokolonialismanya ke atas negara lain khususnya negara-negara Islam. Cita-cita Amerika ini jelas dinukilkan oleh Francis Fukuyama dalam bukunya The End Of History – yang membayangkan akhirnya dunia ini akan dikuasai oleh Liberal-Kapitalis (siapa lagi kalau bukan amerika?).

Dunia Islam telah lama sedar bahawa Amerika sentiasa curiga dengan sebarang kuasa yang boleh menggugat ketuanannya. Menurut pakar-pakar futuristik mereka,  kebangkitan Islam di seluruh dunia adalah satu daripada ancaman tersebut. Kebimbangan ini telah pun disuarakan menerusi ucapan  atau tulisan beberapa orang bekas presiden Amerika seperti Richard Nixon,  Ronald Reagan dan Bill Clinton. Kebimbangan yang sama juga pernah diluahkan oleh para pemikir Barat seperti Samuel Huttington yang meramalkan pertembungan Islam dan Barat dalam bukunya ‘Clash of Civilisation’.

Tegasnya, bagi Amerika, selepas ancaman Soviet Union berakhir maka Islamlah satu-satunya ‘ancaman’ yang berpotensi menggugat mereka. Walaupun sehingga kini belum ada sebuah negara Islam pun yang mampu menandingi Amerika dari segi ekonomi, politik dan ketenteraan, namun Amerika masih belum puas hati.

Pada Amerika, semangat Islam dalam jiwa umatnya masih belum mati, cuma tertidur (dorman) sahaja. Bila-bila masa sahaja ia boleh bangkit dan menggugatnya kembali. Dan serangan berani mati yang dilancarkan keatasnya baru-baru ini lebih menguatkan andaian itu. Amerika melakukan kesilapan besar jika menganggap serangan itu petanda kebangkitan Islam.

Sebenarnya apa yang disifatkan keganasan oleh Amerika dan para penyokongnya itu hanyalah manifestasi daripada kekecewaan, kemarahan dan dendam sebahagian umat Islam yang benci kerana ke tidak adilnya. Dunia harus sedar bahawa Amerika punya ramai musuh. Dan adalah tidak adil jika tuduhan hanya ditujukan ‘pengganas’ yang beragama Islam.

Malang bagi Amerika, ketika mantan presiden Bush menegaskan bahawa serangan ke atas Afghanistan dahulu  bukan satu serangan ke atas umat Islam, tetapi dia sendiri nampaknya tidak memahami bahawa serangan ke atasnya juga bukan bermotifkan agama sebaliknya kerana sikap tidak adilnya. Pendek kata, konflik sebenarnya bukanlah antara agama dengan agama, tetapi antara orang yang ditindas dengan penindasnya.

Jika ini benar, Amerika nampaknya bukan sahaja gagal mentafsir ‘kenapa’ semua ini berlaku malah ia juga tidak tahu ‘apa’ yang sebenarnya berlaku. Amerika harus jujur untuk mengakui kesilapannya dan menerima hakikat bahawa konflik yang berlaku sekarang bukan antara agama dengan agama, atau antara pihak yang adil dengan pihak pengganas, tetapi antara sekelompok pihak yang didakwa pengganas dengan penaja pengganas yang terbesar. Sebabnya? Dasar berat sebelah Amerika dalam bidang ekonomi, ketenteraan, politik dan media di seluruh dunia!

Ulama terkenal Islam, Profesor Dr. Yusuf Qardawi telah menyatakan bahawa hingga kini Barat masih menganggap Islam sebagai bahaya yang mengancamnya. Beliau menegas­kan bahawa para pemimpin Barat sentiasa mengingatkan bahawa Islam ialah ‘bahaya hijau’ yang berlawanan dengan ‘bahaya merah’ yang diwakili oleh Soviet Union dan ‘bahaya kuning’ yang diwakili oleh China.

Setelah Soviet Union berpecah, beruang putih itu telah berjaya dikembiri. China juga berjaya dijinakkan dan kini Amerika mula mencari ‘musuh baru’ untuk mengaktifkan agar otot-otot kekuasaan mereka tidak menjadi lemah. Kekosongan daripada sebarang musuh akan melembapkan mereka di bidang ekonomi, ketenteraan dan politik.

Negara besar seperti Amerika, perlu ‘mencipta’ musuh atas sebab-sebab patriotik, penjualan senjata, perpaduan dan kepentingan birokratnya. Dan Qardawi mengingatkan lagi bahawa antara sebab Amerika dan Barat beranggapan begitu ialah kerana sifat keegoannya yang tinggi, dendam perang Salib dan hasutan yang terus-menerus oleh puak-puak Yahudi.

Namun itu bukanlah satu perkara yang mudah justeru Amerika tidak boleh berbuat sewenang-wenangnya terhadap mana-mana negara atau individu Islam kerana ia pada masa yang sama dia mahu terus dikenali sebagai jaguh keamanan dan pejuang hak asasi manusia. Jadi bagaimana? Amerika mesti muncul sebagai ‘Rambo’ yang menjadi penyelamat dunia. Jika ada Rambo mana ‘crook’nya? Ya, individu seperti Osama bin Laden, Saddam, Ghaddafi,  boleh dijadikan ‘icon’ keganasan yang dicari-carinya.

Tegasnya, dasar Amerikalah yang sebenarnya melahirkan icon ‘pengganas’ seperti Osama. Dan  untuk itu dunia antarabangsa perlu terus ditakut-takutkan akan bahaya ancaman kumpulan ‘pengganas’, ‘militan’, ‘pem­berontak’ dan ‘pemisah’ Islam. Sedangkan hakikatnya Amerika juga boleh dilabel sebagai ‘pengganas’ atas peranannya menaja keganasan Yahudi di Timur Tengah.

Amerika berharap ancaman Osama boleh menggantikan ancaman Soviet Union untuk memberi tekanan baru terhadap negara-negara yang menjadi musuhnya seperti Iran, Afgha­nistan, Iraq, Libya dan Sudan, Manakala faktor yang sama juga boleh menyebabkan negara-negara  seperti Arab Saudi, Turki, Pakistan, Uzbekistan dan Kuwait terus bergantung kepadanya. Osama perlu digambarkan sebagai pengganas yang kuat dan hebat agar Amerika punya justifikasi untuk ‘memerangi’ keganasan di Baghdad, Tripoli, Nairobi, Dar es Salaam dan Kabul.

Ini juga akan menyebabkan pihak pemerintah negara-negara Islam akan terus dipaksa atau diperalatkan atau ditekan bagi menyekat semangat persaudaran dan soladariti dikalangan negara-negara Islam. Amerika cuba menggunakan faktor keganasan untuk menakut-nakutkan pemerintah negara di Timur Tengah yang kebetulan sedang menghadapi kebangkitan rakyat dan gerakan Islam di negara masing-masing.

Dengan ini Amerika berharap akan dapat mencetuskan konflik ‘fanatik Islam lawan moderate Islam’ bagi melemahkan perpaduan dikalangan umat Islam samada di dalam negara atau antara negara dengan negara. Sikap buruk terhadap dunia Islam oleh Amerika ini boleh digambarkan melalui pengakuan bekas presiden Nixon ketika mengulas tentang perang Iran-Iraq suatu ketika dahulu. Beliau pernah berkata,” jika ada peperangan yang sangat didambakan oleh manusia, maka ia adalah peperangan Iraq melawan Iran. Dan jika terdapat peperangan yang diharapkan oleh kita agar tidak ada pemenangnya, maka ia adalah peperangan Iraq melawan Iran”.

Harapan beliau biarlah umat Islam terus berbunuhan sesama sendiri agar kedua-duanya musnah! Inilah hasrat sebenar Amerika yakni melemahkan umat Islam akibat sengketa sesama Islam sendiri atau di­serang secara lansung melalui tindakan ketenteraan atau sekatan ekonomi.

Dalam kes Osama ini, Amerika akan memperolehi dua ke­untungan melalui ‘psy-war’nya. Pertama, memecah-belahkan perpaduan antara rakyat dengan pemerintah di negara Islam seperti yang berlaku di Pakistan, Indonesia dan lain-lain. Kedua, itu memberi alasan kepadanya untuk terus ‘mengganas’ untuk menghapuskan keganasan seperti yang telah dilakukannya ke atas Iraq, Libya dan Afghanistan.

Dijangkakan konflik antara pemerintah dengan rakyat di negara-negara Islam akan menjadi serius jika Amerika terus menceroboh negara-negara Islam. Pemerintah negara Islam akan tersepit antara sentimen rakyat yang bencikan kezaliman dengan kepentingan politik di arena antarabangsa yang didominasi oleh Amerika. Bukan sahaja presiden Pakistan, malah banyak lagi ketua negara Islam mungkin meng­alami dilema yang sama.

Jika konflik ini tidak berjaya didamaikan, kestabilan negara-negara Islam akan tergugat dan Amerika akan berjaya meranapkan perpaduan dikalangan rakyat dan pemerintah di negara umat Islam. Kita perlu ingat, bahawa di mata Amerika tidak ada bezanya antara ancaman muslim fanatik dengan muslim liberal justeru bagi mereka potensi kebangkitan Islam itulah yang lebih digeruni. Atas dasar itulahPakistanyang sejak dulu dianggap sekutu rapat Amerika masih terus dicurigai kerana ‘Islamic bom’nya.

Sebenarnya, kekuatan perisikan Amerika bukan sahaja gagal mengesan ancaman lahiriah seperti serangan ke atas WTC dan Pentagon, tetapi mereka juga gagal merisik sesuatu yang lebih bersifat rohani dan maknawi. Kesucian dan ke­murnian agama Islam tidak akan dapat difahami dan di­hayati hanya berbekalkan suluhan teknologi tinggi. Tetapi Amerika perlukan sifat rasional ketimbang budi untuk menilai dan memahami­nya.

Kuasa besar tersilap jika dia menjangkakan kebang­kitan Islam akan terencat begitu sahaja dengan tekanan kuasa politik, ekonomi dan ketenteraannya. Mereka juga tersilap jika terus menggembar-gemburkan bahawa tokoh seperti Osama bin Laden yang akan memimpin kemaraan Islam.

Dan Barat lebih tersilap jika me­rasakan kebangkitan Islam adalah satu ancaman yang akan membawa kepada pertembungan total  antara Islam dengan Barat yang akhirnya melenyapkan kepelbagaian tamadun manusia. Islam adalah rahmat buat alam dan kebangkitannya adalah juga adalah rahmat. Kemunculan Islam lebih kepada satu solusi menerusi kaedah dakwah, tarbiah dan masalah-masalah kronik dunia masa kini.

Manusia bebas untuk memilih samada untuk menerima Islam atau Liberal-Kapitalis sebagai cara hidup mereka. Namun pilihan akan jatuh pada sistem yang dapat memberi keadilan, kemakmuran dan keamanan kepada manusia sama ada dari segi spiritual, mental dan material. Siapa yang terpilih adalah dia yang membuktikan kemampuannya untuk berlaku adil, berkongsi kemakmuran dan memberi keamanan kepada penduduk dunia.

Jika tidak, sesiapa pun tidak boleh memaksa sesiapa untuk menerimanya walaupun diancam dengan mun­cung senjata. Kepimpinan Amerika, tidak boleh dipaksakan tetapi itu boleh berlaku secara rela sekiranya Amerika me­menuhi kelayakan itu. Berlaku adillah, berlemah lembutlah dan berdiplomasilah.  Tanpa syarat-syarat itu, mana-mana kuasa besar sekalipun akan menerima padahnya kerana siapa yang dizalimi pasti bangun melawan.

Dan hakikat ini sekali gus mencabar negara-negara Islam untuk membuktikan bahawa merekalah sebenarnya yang  lebih layak untuk memberi sesuatu yang lebih baik berbanding Amerika. Dunia menanti sifat toleransi, adil dan dinamik seperti yang terkandung dalam ajaran Islam. Ajaran Islam sebenarnya bukanlah untuk ‘mengganas’ tetapi adalah untuk menyelamatkan.

Falsafah ini mesti diterjemahkan dalam bentuk amalan. Untuk menyelamatkan orang lain, umat Islam mestilah membuktikan bahawa mereka mampu terlebih dahulu menyelamatkan diri mereka sendiri. Tegasnya, dari segi lahiriah, negara Islam mestilah mem­bina kekuatan ekonomi, politik, perpaduan dan ke­tenteraan mereka sendiri serta bersedia untuk memberi keadilan dan kasih sayang kepada semua.

Manakala di sudut rohaniah pula, umat Islam mestilah mampu membina satu kehidupan yang lebih adil, amanah, jujur, bertimbang rasa, pemaaf, pemurah, berani dan bersih dari kemungkaran dan kemaksiatan. Jika kedua-dua syarat ini dipenuhi, maka umat Islam yang layak memimpin dunia.

Justeru, Osama bin Laden bukanlah ‘wakil’ ‘keganasan’ Islam dan dia juga bukanlah ‘wakil’ keadilan Islam. Beliau cuma se­orang individu Muslim yang bangun menentang kezaliman dan kecurangan Amerika terhadap saudara Islamnya  dengan ke­mampuan dan caranya tersendiri. Beliau umpama ‘harimau’ yang dicederakan oleh pemburu yang tidak bertimbang rasa. Apakah yang ada pada harimau yang cedera itu selain taring yang masih bersisa untuk bangun melawan? Memang hari­mau akan menjadi ganas, jika habitatnya diusek dan eko­sistem kehidupannya dirosakkan.

Inilah yang berlaku di dunia masa kini, habitat manusia yang inginkan kebebasan telah diusek dan manakala eko­sistem politik, kewangan, budaya, ekonomi bagi ‘rimba ke­manusian’ telah diperkotak-katikkan oleh kuasa besar dunia. Rusia, Amerika, Jepun, Jerman, Itali, Britain, Belanda, Por­tugis dan Sepanyol  telah menerima padahnya bila cuba me­rosakkan bumi Allah.

Keganasan boleh mengajar pengganas, tetapi kita sebagai manusia diberi pilihan untuk menghapuskan keganasan dengan satu kelembutan dan keadilan. Pejuang Islam yang sebenar bukanlah mereka yang berjuang secara terdesak atau reaktif.. Sebaliknya mereka bangun dengan wajah yang lebih harmoni, mendidik, men­damaikan dan menawarkan satu tamadun yang lebih tinggi daripada apa yang diberikan oleh Barat kepada dunia.

 Islam datang untuk menyelamatkan dunia – Barat dan Timur, bukan sebaliknya. Inilah potensi sebenar yang ada pada Islam. Sayang­nya, potensi ini bukan sahaja tidak dapat dilihat oleh Barat bahkan umat Islam juga kadangkala kabur tentang kekuatan dan kemampuan mereka sendiri. Sesungguhnya, kita berharap berita ‘kehebatan’ Osama tidak akan melindungi kehebatan Islam itu sendiri.

Sesungguhnya, kematian Osama tidak akan menjanjikan dunia yang lebih aman selagi kuasa besar tidak berlaku adil malah menjadi penaja keganasan Zionis.  Biarlah Amerika sendiri terperangkap dengan propaganda ciptaan mereka. Kita umat Islam jangan terikut-ikut tanpa panduan ilmu dan ketulusan hati. Sepatutnya kita umat Islam mula gigih bekerja dengan roh Islam sejati di setiap bidang – jadikan akidah, syariat dan akhlak sebagai tunjang dalam seluruh sistem hidup.

Dunia akan rugi jika umat Islam lemah. Rahmat yang sinonim dengan Islam akan terus terpendam jika kita alpa dan leka.Ya, dewasa ini Islam lebih memerlukan perpaduan dan kekuatan yang dibina secara kolektif daripada terus bersandar kepada karisma dan ketokohan yang berpusat hanya kepada seorang individu!

Feedback

20
  • شاح

    Salam Ustaz.. Banyak persoalankan?? Wujud ke yang bernama osama? Berapa kali dha Osama mati? Kerana Osama dunia tak aman ke? Semua Amerika dah putar belit cerita.. Semua mereka dah ubah versi.. Semua Yahudi punya angkara yang menyokong belakang mereka.. Ibarat mana tak tumpah kuah kalau tak ke nasi.. Kitab Ayat Ayat Allah pun dia mampu ubah ni kan fakta kepada outa.. Yahudi musuh dunia yang nyata…

  • aziatie

    Salam….
    satu artikel yg sangat menarik…
    Benar, Osama bin Laden bukan pemegang kunci keamanan dunia… Selagi umat Islam tidak bersatu-padu, kita tidak akan kuat…Umat Islam akan disegani dan dihormati jika mengikut ajaran Islam sebenar…

  • erti40tahun

    Salam.

    Saya ada terbaca artikel tentang pendapat yang mengatakan bahawa osama hanyalah satu “watak” ciptaan Amerika demi menjayakan motif jahat mereka yang tersembunyi. Ada juga yang mendakwa bahawa nama kumpulan Al-Qaeda itu sendiri tidak pernah didengari oleh rakyat afghanistan sebelum dihebohkan oleh Amerika melalui al-Jazeera. Hujah yang diberikan kelihatan logik dan bersebab.Wallahualam..

  • Ahmad

    Assalamualaikum,

    Siapalah agaknya wata baru yang Amerika nak cipta untuk dilebelkan sebagai pengganas lagi selepas ini..

  • Habib Ahmad

    MAJLIS-MAJLIS ILMU DI TEMPAT ANDA :
    1. Simposium Thariqat Tasawwuf 1432H/2011M
    http://pondokhabib.files.wordpress.com/2011/05/1-somposium-tareqat-tasawwuf-1432-2011.jpg

    2. Perhimpunan Pimpinan Pertubuhan-pertubuhan Islam Se Malaysia
    http://melayucyber.blogspot.com/2011/05/perhimpunan-pimpinan-pertubuhan.html

    3. Pengajian/Diskusi Kitab Bersama Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki
    http://melayucyber.blogspot.com/2011/05/pengajiandiskusi-kitab-bersama-syeikh.html

    4. Seminar Memperingati Sayyidatina Khadijah
    http://melayucyber.blogspot.com/2011/05/sayyidatina-khadijah-al-kubro-isteri.html

    5. PENGAJIAN KITAB 2011 : NASIHAT AGAMA WASIAT IMAN
    http://pondokhabib.files.wordpress.com/2011/05/msia28meitill24dis.jpg

    LAIN-LAIN MAJLIS ILMU TERKINI : http://www.facebook.com/pages/PONDOK-HABIB/295419981998

  • Adilla Harun

    Dikatakan populariti Obama melonjak kembali dengan perihal terkini Osama ini. Beliau bakal juga mempertahankan jawatan dengan bertanding. Osama itu sendiri, ibarat tiada kepastian tentang ‘kewujudannya’. Jika benar beliau wujud dan benar perjuangannya juga kematiannya, saya doakan beliau syahid. Jika beliau cuma ‘rekaan’ oleh kesatuan musuh Islam. Sedih kerana berjayanya mereka dalam mempermainkan ‘dunia’ dengan sandiwara hebat. Kita ditipu bulat-bulat. Digoreng tanpa minyak.

    Namun saya tetap percaya, suatu hari pasti akan bertemu ‘buku dengan ruas’ buat musuh-musuh Islam ini.

  • Khairul Rasit

    Umat Islam janganlah bersedih dan berdukacita…sama-sama kita tanamkan tekad kukuhkan perpaduan,politik,agama dan ekonomi umat Islam..Ingatlah kita punya Allah s.w.t sebaik-baik pelindung…

  • kesidang

    Salam.

    Amerika sebenarnya takut pada bayang-bayang sendiri. Kebangkitan Islam akan berlaku dan pasti akan berlaku…Insya Allah…

  • Rebina Biru

    Salam Alaik,

    Amerika sememangnya sengaja mahu menunjuk-nunjuk kuasanya. Mahu dilihat oleh semua mata dunia bahawa merekalah negara yang gagah perkasa. Tradisi mereka memang begitu. Pelbagai agenda proganda diwar-warkan, bahawa dunia Islam itu dilabelkan begini dan begitu. Aspek bersatupadu, kerjasama, bantu membantu, itu perlu ada setiap pimpinan dunia Islam agar menjaga kesucian Islam. Apabila manusia sudah diberikan sedikit kuasa sahaja, maka mereka akan mulai gila kuasa. Manusia yang beringat dan bersyukur sahaja akan kekal dalam payung keredoan Allah Taala.

  • ceriterahamba

    pelik kenapa begitu ramai orang yang takutkan osama…. Pembunuh Terbesar di dunia adalah Amerika itu sendiri.. membunuh jutaan rakyat awam sejak dahulu lagi…

    di Iraq sahaja lebih sejuta jiwa terkorban (Opinion Research Business survey & lancet Survey) dari tahun 2003 – 2007 sahaja… sedangkan senjata pemusnah langsung tidak dijumpai…

    yang mereka jumpa hanya emas hitam di Iraq, Afghanistan, Sudan, Pakistan dan sekarang Libya…

    Kenapa Israel tidak diserang seperti Iraq, Afghanistan & Libya..???

    9/11… sila tunjukkan bukti osama terlibat????
    bukti-bukti yang dikemukan oleh Jimmy Walter dan pasukannya sudah membuktikan sebaliknya…..

  • ceriterahamba

    dan benar sekali apa yang ustaz nukilkan tu…

  • ibu

    assalamualaikum.

    kupasan yang bernas. Orang yang berjuang terutama jika atas nama islam tak pernah dipanggil orang baik didunia ini.
    Lihat saja contoh:- sheikh ahmad yasin , hasan albana , sayyid Qutb. sekadar beberapa contoh semuanya pengganas
    dimata penguasa mereka. Kita kena ingat juga final say hanya Allah. walau pun siisi dunia mengutuk mereka disisi Allah kita tak tahu siapa mereka. Tugas kita menruskan perjuangan supaya islam tertegak dimukabuni allah sebab masing-masing akan ditanya apa yang telah diperbuat sepanjang bermusafir disini…..

  • RUHBARU

    Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan dusta terhadap Allah sedang dia diajak kepada Islam? Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang zalim.Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut (tipu daya) mereka, tetapi Allah (justru) menyempurnakan cahaya-Nya, walau orang-orang kafir membencinya.(QS. Ash-Shaff [61] : 7-8)

  • amer kamil

    Assalamualaikum,

    artikel yg mengajak kita untuk berfikir. ketepikan soal sama ada osama itu wujud atau tidak kerana yg pasti kezaliman amerika itu wujud. jadi seharusnya kita cuba tarbiah diri kita untuk menghayati Islam secara keseluruhan dan semoga kita akan menjadi contoh kepada yg lain =) islam itu tertegaknya bukan di hujung mata pedang

  • mohamadazhan

    salam ust

    ulasan yang menarik sebagai renungan umat Islam yang semakin hari semakin tenat dengan masalah moral. Osama suatu sejarah baru yang membuka kepada peperangan antara puak kafir dan Islam.

  • assalam

    salam ziarah

  • gentarasa

    Slam assalam,
    Saya juga dah ziarah. Cantik, bermanfaat dan bagus sekali blog. Saya syorkan semua pembaca blog gentrasa ziarah ke assalambs.blogspot.com. Insya-Allah.

  • Ikhwan Ng

    Assalamualaikum..

    Ya benar, Osama hanyalah “terrorist” yang dibesar2kan oleh media barat, padahal ia merupakan tujuan zionist menjajah negara Islam..

  • ana muslim

    OSAMA DAN SADDAM HUSSEIN ADALAH WATAK YG SENGAJA DIWUJUDKAN OLEH PUAK2 AMERIKA ZIONIST..SADDAM HUSSEIN TELAH MEMEGANG PHD DALM AJARAN FREEMASON..JANGAN MUDAH TERTIPU..SIASAT DAHULU DENGAN MENGKAJI LEBIH BANYAK RISALAH..

Leave a Reply

%d bloggers like this: