Looking for Something?

MAHAR SEBUAH SYURGA

Author:

Musuh perkara yang lebih penting ialah perkara yang penting. Kita mesti belajar ‘mengorbankan’ sesuatu yang berharga untuk mendapat sesuatu yang lain, yang lebih berharga. Begitu ditakdirkan oleh Allah. Oleh hukum sunnatullah. Di persimpangan ini kita mohon hidayah, biarlah suluhan hati kita dan pertimbangan akal ini dipandu oleh Allah. Jangan sampai kita tersalah pilih.

Perjalanan malam dan melewati dinihari dari Segamat ke Kuala Lumpur, membulatkan tekad di hati saya untuk serius dan fokus pada penulisan buku. Dan untuk itu, saya perlu ‘mengorbankan’ masa untuk memberi kuliah dan berceramah. Ceramah hanya terhad kepada khalayak yang tertentu , dan buat masa yang tertentu juga. Tetapi buku, punya khalayak yang lebih ramai dan boleh dimanfaatkan untuk masa yang panjang.

Saya kasihan melihat pembantu saya menahan rasa mengantuk membawa saya ke sana ke mari untuk mengisi program ceramah. Walaupun kekadang makannya di sukat (agar tidak mengantuk), minum dari pelbagai jenama minuman bertenaga… namun masakan kita boleh melawan fitrah yang keletihan bila tenaga digunakan secara berlebihan. Puas saya mengurut belakang dan leher, berbual dari topik ke topik, kekadang sama-sama bernasyid atau mendendangkan Asmaul Husna… namun mengantuk menyerang jua.

Jadi, cukuplah… biarlah saya berpada-pada. Saya ingin menumpukan dakwah dan tarbiah melalui tulisan dalam buku-buku, artikel dan blog. Mudah-mudahan dengan ini dakwah akan terus tersebar walaupun tenaga ‘lima puluh’ ini sudah tidak ampuh. Saya berdoa, semoga keputusan untuk ‘mengurangkan’ aktiviti ceramah dan sering keluar kawasan untuk berdialog, berforum dan sebagainya ini direstui Allah. Mudah-mudahan masa yang terluang nanti dapat digunakan untuk lebih bermuhasabah diri, menambahkan ibadah khusus dan menulis… dan menulis.

Untuk sahabat dan saudara/i pengunjung blog Gentarasa… marilah sama-sama kita mengambil peringatan daripada tulisan ini:

MAHAR SEBUAH SYURGA.

Dalam hidup, kita sentiasa berdepan dengan dua perkara. Pertama, perkara yang perlu kita lakukan. Kedua, perkara yang suka kita lakukan. Sudah menjadi “sunnatullah”, kedua-dua perkara itu saling bertentangan antara satu sama lain. Biasanya perkara yang perlu kita lakukan adalah perkara yang tidak suka kita lakukan. Dan perkara yang kita suka lakukan adalah perkara yang tidak perlu kita lakukan.

Untuk berjaya dalam hidup, kita mesti lakukan perkara yang perlu kita buat walaupun kita tidak suka melakukannya. Tidak ada pilihan, paksa diri untuk melakukannya! Lawan godaan dan rangsangan yang menggamit hati kita untuk melakukan perkara yang suka kita lakukan.

Dalam hidup, untuk berjaya dan bahagia kita perlu melakukan perubahan. Kita perlu keluar daripada “zon selesa” menuju “zon mencabar” kerana di zon yang mencabar itulah letaknya kemajuan, perkembangan dan peningkatan dalam kehidupan kita. Zon selesa ialah keadaan yang kita berada sekarang, sementara zon mencabar ialah keadaan yang kita inginkan pada masa depan.

Untuk mencapai apa yang kita inginkan, kita mesti melakukan perubahan. Kita perlu lebih berusaha, menambah ilmu dan berani melakukan langkah-langkah baru dalam kehidupan. Ringkasnya, kita perlu berubah. Tetapi perubahan itu “awkward”– yakni canggung, kekok dan tidak selesa sifatnya.

Oleh sebab itulah ramai yang tidak mahu berubah. Mereka ingin terus selesa di zon selesa walaupun terpaksa menerima nasib atau menanggung keadaan yang sama. Kesannya? Mereka terus gagal, hina, miskin, lemah atau jahil kerana enggan berubah.

Berlakulah apa yang sering diungkapkan:

“Orang yang berjaya ialah orang yang memaksa dirinya berubah manakala orang yang gagal berubah hanya apabila terpaksa!”

Hidup ini adalah perubahan. Kata bijak pandai, yang tidak berubah hanyalah perubahan.  Manusia tidak akan mampu menahan perubahan. Ia mesti berubah, atau dipaksa berubah. Mereka yang berubah dengan rela akan berjaya. Manakala yang berubah dengan terpaksa akan gagal.

Untuk melakukan perkara yang “perlu” dibuat walaupun kita tidak “suka” membuatnya, menagih ketabahan, keberanian dan istiqamah (konsisten). Ini semua seolah-olah “menyeksa” diri sendiri. No pain, no gain – tidak ada “kesakitan”, tidak ada ganjaran. Berakit-rakit ke hulu, berenang-berang ke tepian. Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Begitu yang dipesan sejak dulu. Justeru, untuk berjaya “mujahadah” itu adalah wajib.

Mujahadah ertinya “berperang” dengan diri sendiri untuk melakukan sesuatu yang sangat dibenci oleh hawa nafsu. Hawa nafsu hanya inginkan kejahatan, kelalaian dan keseronokan. Sebaliknya, ia sangat bencikan kebaikan, peringatan dan ketaatan. Menentang hawa nafsu, samalah dengan menentang diri sendiri. Terseksa. Ini yang menyebabkan satu mujahadah selalu patah. Atau belum pun bermujahadah sudah mengaku kalah. Terlalu sayangkan diri untuk “disakiti”.

Padahal mujahadah itu pahit kerana syurga itu manis. Letih sedikit, tak boleh. Hendaknya… banyak rehat. Pahit sedikit sudah mengeluh. Pedih sekelumit sudah mengaduh.

Dunia hakikatnya adalah gelanggang mujahadah. Kita di sini untuk “menanam”. Di sana (akhirat) nanti barulah kita menuai. Musim bertanam memanglah payah – mencangkul, membaja, menjaga dari serangga dan bermacam-macam-macam lagi kesusahan.  Bila menuai nanti baru terasa nikmat dan seronoknya.

Dunia diumpamakan  tempat “membayar”. Di akhirat nanti tempat “bermain”. Pay now, play later. Bayar di sini, “berseronoklah” di sana. Apa sahaja di dunia ini menuntut bayaran. Pilihlah, sama ada untuk membayar dahulu, atau membayar kemudian. Tetapi sekiranya kita membayar dahulu, kejayaan di kemudian hari akan menjadi lebih manis dan bererti.

Orang mukmin sentiasa rela bersusah payah untuk melakukan ketaatan, kebajikan dan kebaikan. Hidupnya, terlalu sibuk dengan ibadah. Berpindah dari ibadah khusus kepada ibadah umum, berpindah lagi kepada ibadah sunat. Begitulah sehari semalam, sentiasa berpindah dari satu ibadah ke satu ibadah.

Banyak kepahitan yang perlu ditempuh oleh orang mukmin untuk menempah syurga selaras dengan sabda Rasulullah SAW:

“Syurga dipagari dengan kesusahan, manakala Neraka dipagari oleh keseronokan.”

Sebaliknya, bagi mereka yang lalai berpegang kepada konsep: Play now, pay later. Demikianlah kehidupan, tidak ada yang percuma. Apatah lagi kehidupan di syurga.

Justeru marilah sama-sama kita berpesan agar rela menerima “kepahitan” yang sedikit dan sementara demi menikmati kemanisan yang banyak dan abadi di sana. Oh, alangkah jahilnya kita sekiranya rela menanggung seksa yang begitu dahsyat dan kekal di akhirat hanya kerana nikmat yang sedikit dan sementara di dunia.

Sebaliknya, kita bijak kalau terus bermujahadah untuk melakukan perkara-perkara yang perlu dilakukan sehinggalah tiba ketikanya kita boleh melakukan apa sahaja perkara yang kita suka melakukannya. Di mana? Bila? Jawabnya, di syurga. Dan mujahadah itu mahar sebuah syurga!

Feedback

37
  • alang

    as salam ustaz,
    setiap penulisan ustaz membuatkan saya muhasabah semula diri ini,.perubahan perlu dalam hidup ini sama ada dalam kerelaan mahupun keterpaksaan..saya inginkan perubahan tetapi agak susah bagi saya hendak mulakan perubahan dlm diri ini..mungkin ustaz boleh menerangkan tentang titik mula dalam membuat perubahan terutamanya yg melibatkan keinsafan,keikhlasan dan keimanan seseorang

  • gentarasa

    Salam alang,
    Perubahan pertama… istiqamah mencari ilmu. Kedua, betulkan solat, Ketiga cari kawan yang seiaya sekata. Keempat, cari program harian, mingguan dan bulanan yang Islamik. Wallahua’lam.

  • zamri

    Assalamu’alaikum ustaz,…

    Saya sebelum ini telah meminta izin daripada ustaz untuk menerbitkan beberala tulisan ustaz dalam buletin masjid yang mana saya adalah ketua editornya dan ustaz telah memberikan kebenaran tersebut. Untuk makluman ustaz, saya pastikan yang setiap artikel itu saya meletakkan nama ustaz sebagai penulis beserta laman webnya.

    Cuma saya ingin di sini memastikan yang kebenaran tersebut masih diberi oleh pihak ustaz demi kebaikan setiap orang yang membaca buletin2 tersebut.

    Semoga Allah menerima sumbangan2 ini sebagai amal soleh dan ‘menuia’ ganjarannya di akhirat kelak.

    Zamri Sementa

  • Nisha

    Terima kasih ustaz, menguatkan lagi apa yang ingin saya lakukan, walaupun sebenarnya saya cuba menafikan tetapi kata hati begitu kuat memaksa. Saya sedang berfikir patutkah saya menjadi “berbeza dari biasa” dan mampukah saya menghadapi masyarakat/keluarga yang “tidak biasa” dengan ini semua. Alhamdulillah anak2 tidak membantah malah menggalakkan.

  • muaz

    terima kaseh ustaz

  • ujie

    Saya sangat sokong ustaz memilih untuk menulis! Sebab kalau nak tunggu ceramah, saya memang tak pernah menghadiri ceramah ustaz. Hanya melalui penulisan saya mengenali seterusnya menadah ilmu dari ustaz.

  • alang

    terima kasih ustaz..

  • gentarasa

    Salam zamri,
    Saya yang sewajarnya berterima kasih atas kesudian tuan memanjangkan ilmu dalam buletin masjid. Besarnya jasa saudara. Silakan. Syukran.

  • syazana

    Jazakallahukhayran kathira ustaz. Hadiah terbaik buat saya dihari saya dilahirkan di dunia 23tahun lalu. Semua orang berusaha menjadi yang terbaik, begitu juga kita. Rugilah jika hati sudah lunak dengan kebaikan, sudah terbuka hati dengan perkara baik, tetapi secara tidak sedar kita sendiri menutup pintu kebaikan itu. Moga kita semua istiqamah dalam kebaikan yang dibuat, ameen.

    Benar kata ustaz, menulis itu lebih luas skopnya berbanding berforum di sana sini, namun ada kebaikannya juga bila berforum, mungkin hati2 yang hadir juga boleh memanjang2kan kepada yang tidak hadir, inshaAllah. Moga kedua2nya ada kebaikannya.

  • zul

    “Biasanya perkara yang perlu kita lakukan adalah perkara yang tidak suka kita lakukan. Dan perkara yang kita suka lakukan adalah perkara yang tidak perlu kita lakukan.”….Like it.

  • sue

    as salam ustaz..

    alhamdulillah…sy sgt setuju ustaz terus menulis..terasa bersemangat setiap kali membaca tulisan ustaz..saya mohon kongsi artikal2 yang berguna ni di blog saya..terima kasih ustaz :).. semoga Allah sentisa bersama ustaz.

  • Aishah

    Ustaz, saya mmg suka membaca setiap entri ustaz, dan setiap kali itu saya merasakan entri ustaz seolah2 berbicara dengan saya & sentiasa memberi panduan kepada saya dalam menjalani kehidupan di dunia untuk akhirat yg lebih baik. Alhamdullillah.

  • Suratan Makhfi

    Justeru, samalah seperti saya yang tidak pernah bersua muka lagi dengan penulis berjiwa mulia ini. Saya mengenali peribadinya dengan meneliti baris-baris kalamnya yang sangat menyentuh. Ustaz, teruskan manhaj ini, kerana manhaj ini semakin kurang diceburi. Terima kasih atas entri di atas, saya begitu tersentuh apatah lagi kena pada kehidupan yang sedang saya lalui. Pay now, play later.

  • roskjg

    salam ustaz..semoga tulisan ustaz dpt mgubah minda seseorg..ke arah kbaikan

  • muslim

    Assalamu’alaikum ustad mohon izin share ya.. saya terkesan sekali dg tulisan ustad sangat bermanfaat buat saya dan orang lain untuk menjadi lebih baik lagi, Alhamdulilah saya bertemu disini..syukron ustad atas semua ilmunya..semoga Allah swt. snantiasa memberikan ustad kesehatan dan lindunganya bersama keluarga.

  • muslim

    Assalamu’alaikum ustad sya mohon izin share ya.. saya terkesan sekali dg tulisan ustad sangat bermanfaat buat saya dan orang lain untuk menjadi lebih baik lagi, Alhamdulilah saya bertemu disini..syukron ustad atas semua ilmunya yang tlah saya baca..semoga Allah swt. snantiasa memberikan ustad kesehatan dan lindunganya bersama keluarga. Amin..

  • mus_miera

    “Barangsiapa memberi petunjuk kpd org lain melakukan kebaikan,maka dia mendapat pahala spt orang yang melakukan”(mafhum hadis)..Sbg hama Allah,sy bgtu kagum dgn semangat ustaz.Malah sy mengharapkn semangat spt itu..sudi-sudilah ustaz berkongsi amalan2 utk sentiasa bersemangat…

  • gentarasa

    Salam sue,
    Syukran. Jika tak keberatan sila nyatakan alamat blognya… mudah-mudahan boleh semua pengunjung gentarasa kongsi manfaat bersama.

  • noor

    Terima kasih ustaz. Pada saya buku adalah sahabat yg tidak pandai mengkhianati kita. Boleh dibawa kemana sahaja. Saya namakan buku sebagai teman “SETIA”.

  • Nurfatin Nazirah

    syukran ustaz. saya cukup suka mmbaca artikel2 ustaz..menaikkan semangat di saat mujahadah makin payah.. saya sangat berminat untuk memiliki buku-buku tulisan ustaz tapi smpi sekarang saya tidak jumpa. macam mana atau dari mana saya boleh dapatkan karya ustaz? sekian

  • gentarasa

    Salam Fatin,
    Buku-buku saya boleh didapati di MPH. Kalau masih sukar hubungi sahabat saya En Ahmad 0193783100

  • Abid

    Assalamualaikum ustaz, sy mohon email ustaz. Ada bbrp perkara ingin dirujuk. Harap ustaz blh bg. Jzklh.

  • Hamba Allah

    salam ustaz..

    saya ingin tanye pendapat ustaz..

    dulu sy seorg yg tidak baik..byk sgt sgt dosa sy lakukan..sy tak sembahyang,tak puasa,suka mainkan perasaan perempuan dan byk lg sikap buruk sy.

    sekarang,munisah telah menimpa sy..apabila berlaku perceraian dalam hidup saya..mungkin ini balasan/pengajaran Allah kat saya sebab dosa2 sy dulu.

    sekarang ni sy betul2 menyesal dengan perbuatan2 sy dulu,dihambat perasaan rasa bersalah dan berdosa sgt2 dan sekarang sy telah berusaha utk menjadi org yg baik dan telah bertaubat akan dosa2 sy dulu,sy dah dekat diri dengan Allah dengan mengerjakan sembahyang, bersedekah dan cuba bersihkan hati sy.

    Soalan saya,masih ade ruang utk saya berubah dan adakah Allah terima taubat orang macam saya ni dan berkati hidup sy selepas ini.umur sy 28 tahun..Terima kasih ustaz.

  • sya

    Assalamualaikum ustaz….
    jika tidak keberatan,boleh saya dapatkan email ustaz..ada persoalan yg ingin saya utarakan……harap ustaz boleh beri pada saya….Terima kasih

    sya

  • ammar amsyar

    Smoga kte sntse di bwh payungn rahmat dan maghfirah-Nya…

  • jiwatenang

    mohon untuk share di blog saya..terima kasih ustaz

  • gentarasa

    Salam sya,
    pahrolmohdjuoi@yahoo.com. Syukran atas sokongan.

  • mencari sinarMu

    salam ustaz

    saya gemar membaca buku2 ilmiah.bila membaca buku2 atau artikel mcm tu,saya selalu mehasabah diri saya.tapi saya tak kuat untuk hadapi hidup yg penuh pancaroba ini.

    saya bekas pelajar sekolah biasa.tapi hati dan minat saya adalah untuk mendalami agama.saya cuba sedaya upaya menjadi baik seperti memperelokkan penampilan saya dgn bertudung labuh bulat mcm pelajar sekolah agama.

    tapi kadang2 saya rasa malu dan xkuat utk istiqomah mcm tu.yelah,zaman sekarang ramai yg bekas sekolah agama pun dah tukar tudung pakai tudung bawal.dan saya sering diuji dgn mempunyai teman yg bekas sekolah agama atau maahad tapi dah menukar imej.

    saya rasa malu dan rendah diri bila nak berimej seperti budak sekolah agama apabila kawan yg bekas sekolah agama pun dah pakai ‘biasa-biasa’ jer.

    saya pernah pakai tudung bulat sewaktu menuntut di universiti sebab suasana yg mengizinkan dan persekitaran yg mendidik jiwa.

    macam mana utk saya terus kuat mempertahankn keinginan saya ne??

    saya masih bertudung labuh iatu tudung bawal saiz 60 tapi saya rindu nak memakai tudung bulat yg labuh tu.

    sekarang saya dah kerja..

    tolong saya ustaz..saya xkuat..

    cqin

  • gentarasa

    Salam mencari SinarMu,
    cari sahabat yang seiya sekata, cari program yang mendidik, dekatkan diri pada masjid dan tempat-tempat yang baik, baca buku yang ana nilai tarbiah. Dengar, pandang dan lihat yang baik-baik2 selalu. Papiling penting jaga solat lima waktu, baca Quran, selawat, solat taubat banyak-banyak. Insya-Allah kita akan dapat kekuatan.

  • mencari sinarMu

    terima kasih ustaz.saya akan cuba sedaya upaya saya.insyaallah..

  • ZACK

    Saya sokong cadangan ustaz tu utk memberikan tumpuan dalam penulisan . Ceramah audiencenya terhad semenntara penulisan audiencenya sangat luas . Mungkin sampai ke anak cucu kita . Saya menghayati pemikiran Hamka/ Imam Hassan al banna / Syed Qutb melalui penulisannya . Cuma pada pandangan saya masalah penulis adalah mencari bahannya . Mungkin kami sebagai pembaca boleh menjadi penyumbang bahan tersebut kepada ustaz melalui bahan yang kami kutip melalui pembacaan kami . Biar ustaz akan menapis dan mengolah bahan tersebut kepada pembaca lain dalam bentuk yang mungkin lebih menarik . ‘Dari pembaca kepada pembaca’ . Kepada ustaz terima kasih . TEACHING ALWAYS TEACH THE TEACHER .

  • Huda Nemo Riko

    assalamualaikum…ustaz….. terima kasihh kerana menulis….sy harap ustaz teruss menulis..dan saya harap saya dapat membaca setiap penulisan ustaz… saya sangat sangat sukakan penulisan ustaz,,,,,izinkan saya untuk share penulisan2 ustaz degn teman2 dan rakan2 saya….. semoga Allah mempermudahkan segala urusan usataz….. terima kasih…

  • Nik

    As Salam Ustaz..

    Saya pernah membaca cerita yang Ustaz paparkan di sini tapi dari sumber yang lain ( saya copy dari pihak lain tanpa mengetahui penulis sebenar adalah UStaz)..
    Jadi sebenarnya, bolehkah saya atau pembaca yang lain copy dan letak di blog mahupun FB walaupun tanpa meminta kebenaran penulis asal? kerana bagi saya, semua ilnu itu adalah hak Allah..dan penulis yang melahirkannya..(maaf jika saya salah)..
    saya mohon keizinan ustaz meletakkan di blog mahupun FB saya terima kasih.

  • TakInginDikenali

    wpun baru 3 hr saya mengenal blog ini (setelah tertarik dgn gaya penceritaan ustaz) byk artikel yg sudah saya baca, teruskan perjuangan ustaz..saya tahu intipati penulis2 adalah sama tp kdg2 kita perlukan kupasan penceritaan yg menarik,.apa pun, setiap pembaca juga punya kesukaan genre yg bagaimana menarik hati mereka utk trs membaca, terima kasih ustaz, ini membantu saya menjwb pelbagai persoalan agama, hati dan kehidupan).terima kasih

  • siti

    Salam ustaz,terima kasih atas ilmu yg dicurahkan dan syukur krn Allah tentukan pertemuan dgn karya2 ust.Sy sgt perlukan didikan hati spt ini utk pastikan setiap dugaan yg dtg dicelah rutin harian sy dpt sy tempuh dgn ilmu dan iman.Tulisan ust adalh sumber rujukan sy bila sy rasa terlalu lemah utk menghadap ujian.teruskan tulisaan ust krn kami semua sgt memerlukannya.

  • Hanisah

    ustaz, aku mencari Allah. Apakah tanda Allah bersama kita. Kenapa aku selalu dirundung duka.Aku rasa aku kesaorangan walaupun dalam kumpulan yang ramai. Aku rasa hidupku tiada erti.aku ada suami,tapi makan minumku tidak diberi. aku bekerja bagai abdi siang malam tanpa henti. Aku disoal kenapa ini kenapa itu, hatiku sentiasa gugup untuk berdepan dengan suami.Aku butuhkan kelembutan suami. Apakah Allah tidak memandang aku?Aku ada anak yang ramai ,tetapi aku tetap sunyi. Tolonglah aku.

Leave a Reply

%d bloggers like this: