RSS

PESAN BUAT SAHABAT-SAHABAT PENULIS…

26 Jul

Alhamdulillah, walaupun saya tidak kaya harta tetapi kaya sahabat. Sahabat pun tidak ramai, tetapi syukur, yang setia dan seiya sekata terus ada.

Ya, saya punya ramai sahabat setia, termasuk  di kalangan penulis dan penggiat media.

Sejak dulu kami sering bertemu, berbincang dan ‘berusrah’ walaupun masing-masing mempunyai syarikat atau organisasi yang berlainan.

 Seperti mereka, saya sangat suka menulis dan berkongsi idea dengan sahabat-sahabat di kalangan penulis yang mempunyai fikrah dan cita-cita yang sama – berdakwah dan mendidik diri dan masyarakat. Untuk menyebut nama mereka, terasa malu… kerana ada yang sudah menjadi nama besar dalam penulisan Tanah Air. Tetapi biarlah saya sebutkan beberapa nama…

 Saya masih ingat saudara Ahmad Yani (penulis berprofil dari Karangkraf), sekarang editor majalah I yang sering bertemu pagi, petang, siang dan malam untuk merangka majalah Minda. Alhamdulillah akhirnya Minda dapat diterbitkan dan itulah majalah yang membuka ruang untuk saya menulis kembali setelah beberapa bulan ‘berehat’ di Kamunting. Walaupun kini kami jarang bertemu tetapi dari jauh, kelibat penanya tetap saya ikuti. Saya sering berharap dia akan pergi ‘lebih jauh’ dengan menambah pengalaman dan keaslian dalam tulisannya.

 Begitu juga sahabat rapat saya saudara Zakaria Sungib, ‘orang kuat’ Galeri Ilmu. Dia ialah teman rapat sejak dulu dan hingga kini. Berbincang dengannya, menghidupkan jiwa dan rasa. Dia adalah sahabat yang paling memahami cara dan gaya saya menuangkan pemikiran dan rasa ke dalam tulisan. Saya sangat gembira dan lega sekiranya diberitahu bahawa beliaulah yang akan menyunting buku atau artikel saya. Zakaria, tidak banyak ‘bercakap’ (pendiam) tetapi ayat-ayat yang diraut oleh mata penanya sangat tepat dan tajam.

Dengan Zakaria saya, saya sering meminta dan diminta nasihat. Bila berbual dengannya saya merasa bebas kerana bahang persahabatan yang akrab mampu meleburkan dinding-dinding organisasi yang bernuansa komersil. Kami benar-benar duduk sebagai da’i yang memikirkan hala tuju yang sama walaupun dengan kenderaan yang berbeza. Dan tambah rancak jika sahabat lama saya sejak di IPT, Wan Azmin tumpang sekali. Banyak nostalgia yang masih dalam lipatan kenangan, yang menyebar bau harum sebaik sahaja diadakan pertemuan.

 Saya kagum dengan tenaga muda sewaktu mula-mula saya singgah di Telaga Biru, saudara Rohizir Rais – pemuda yang berani, energetik dan konsisten dengan sikap terus terang dan cinta ilmu. Sewaktu menekuni kerja-kerja ‘membidani’ kelahiran Solusi, saya mendapat bantuan yang begitu besar daripadanya. Apa sahaja yang saya minta dan cadangkan, segera dilaksanakannya.

 Sedikit yang saya tunjukkan, banyak pula yang dia buktikan.   Pemuda yang ‘mudah dibaca’ justeru ketelusan dan kelantangannya. Dia punya potensi besar dan wajar dilepaskan ke gelanggang yang besar. Bersama Rohizir, saya boleh mengeluarkan apa yang telah saya pendam sejak lama untuk dikongsi bersamanya bagi menjelmakan sesuatu ‘out put’ dan ‘out come’ yang baru dan segar.

Bila dia hijrah ke PTS, saya yakin dia akan menjadi lebih ‘besar’ dan terbukti itu benar-benar berlaku. Khabarnya dia akan memimpin sebuah majalah baru terbitan PTS. Tahniah. Saya tidak sabar menunggu… hasil kerja oleh minda muda yang lebih bertenaga dan bercahaya. Insya-Allah.

 Tidak lupa ‘adik’ (dia termuda barangkali)  yang menyunting buku saya sejak lama dahulu – Zuraimi Ismail. Bahasanya yang kaya dengan kilas dan hias yang begitu estetika punya masa depan yang sangat cerah jika dia berterusan menghasilkan karya. Dulu pemalu, tetapi kini semakin terserlah kematangannya.

 Saya masih ingat bagaimana semangat saya yang suam-suam kuku sewaktu menulis buku Turki Iktibar Sebuah Empayar, kembali membara dan akhirnya menyala apabila mendapat sentuhan suntingan Zuraimi. Dia sesungguhnya, boleh mewariskan hasil kerja yang besar dan itu telah pun terbukti kini apabila buku-bukunya (terbitan Galeri Ilmu)  mendapat sambutan yang hangat. Syabas adik ku!

 Masih ramai sahabat-sahabat yang rapat dikalangan media yang tidak dapat saya tuliskan semuanya di sini. Ada di antaranya yang menjadi begitu terkenal sehingga saya segan untuk menulis nama mereka di sini. Tetapi saya yakin, mereka tetap sahabat saya… walaupun jarang berjumpa, tetapi tetap ‘bertemu’ pada satu titik perjuangan yang sama. Mudah-mudahan kita menulis bukan kerana nama dan harta… tetapi kerana ingin memperbaiki diri sendiri dan orang lain, kerana Allah yang esa!

 Alhamdulillah, saya menyaksikan bagaimana mereka bermula, menapak dan akhirnya mula menjulang tinggi. Insya-Allah, saya akan menulis ilmu-ilmu yang sering kami bincangkan tentang penulisan suatu hari nanti. Ramai dikalangan mereka yang mengatakan saya sebagai guru penulisan mereka – tetapi TIDAK, sayalah yang sebenarnya banyak belajar daripada mereka. Sebaik sahaja selesai bertemu pada satu satu ketika, banyak yang catatkan input-input yang bernas daripada mereka. Lalu layakkah saya yang mereka anggap sebagai guru? Tidak, tapi mereka semualah guru saya.

 Kini ramai sahabat-sahabat yang dulunya hanya ‘penulis’ tidak bernama muncul dengan nama masing-masing. Buku-bukunya mula mercup tumbuh mewarnai alam pemikiran Melayu-Islam Tanah Air. Dan ada pula yang mengetuai majalah-majalah Islam sama ada telah terbit ataupun akan terbit. Saya masih di Solusi, tetapi hati saya masih bersama-sama dengan sahabat yang mempunyai visi dan misi yang lebih sama. Biarlah banyak persatuan asalkan tetap SATU kesatuan. Berbeza tidak mengapa, asalkan yang berbeza itu jalan bukan TUJUAN.

 Saya mengalu-alukan majalah baru, buku baru, media baru daripada semua pihak. Dan saya tidak akan membataskan ufuk pemikiran untuk berjuang di bawah satu bumbung dengan kongkongan birokrasi dan agenda-agenda sempit berbentuk personal yang terhad dan tersekat sifatnya. Saya yakin sahabat-sahabat juga begitu… usia semakin dekat menuju ajal, masih sedikit kita berbekal, lalu mengapakah kita harus tega dirantai oleh sistem yang dimanipulasi dan dieksploitasi?

 Jika kita ikhlas di pangkal, tetapi mungkin melencong dan melelong di tengahnya… namun pasti kita kembali lurus kerana kekuatan dan ketepatan niat yang di awal dan ‘di asal’. Hukum daya tarikan akan berlaku. Hati-hati yang ikhlas akan bersatu, tidak kira dari mana dan di di mana kita berkubu. Penulis adalah pendakwah, pendidik dan pemimpin bagi masyarakat. Dengan syarat dia memimpin dirinya terlebih dahulu.

 Kita menulis untuk menghasilkan ‘best seller’ tetapi dengan pengertian yang berbeza. Bukan kerana jumlah cetakan atau kutipan wang royalti… tetapi seperti kata Dr. Aid Al Qarni, bila ada seorang insan yang berubah ke arah Islam dan sudi pula mendoakan kita. Itulah ‘best seller’ pada pengertian kita.

 Sejak menulis dan diamanahkan untuk menjadi Ketua Editor Solusi, saya secara peribadi telah memberi pesan. Pesan yang saya titipkan dalam Salam editor edisi kedua atas kebimbangan dan harapan. Pada waktu itu, saya seakan-akan terbayang perpaduan dan ukhwah yang bakal teruji nanti.

Saya bimbang sekiranya saya dan sahabat-sahabat tidak pandai ‘menguruskan’ kejayaan – dalam hidup atau pun dalam karier, lalu.. bakal terjadi pertembungan sesama sendiri yang merugikan. Saya tersentuh apabila membaca pesan Allahyarhamah Dr. Lo’ Lo’ kepada Dr. Asri Zainal Abidin (yang dipaparkan dalam majalah Sinar dan dalam blog Dr. Asri). Sesungguhnya, dia mengingatkan dengan ikhlas akan ‘golongan’ agama yang bakal teruji dengan dunia dan nama! (Al Fatehah…)

 Akibatnya, kita akan kehilangan sesuatu yang lebih berharga berbanding dengan apa yang kita dapat. Saya tidak pandai menukilkan Al Quran dan Al Hadis, wahyu atau sabda… Saya berpesan seadanya, dalam bahasa mudah tetapi semoga disingkap dengan hati dan berhati-hati. Pesan saya sewaktu itu dalam Salam Editor majalah Solusi edisi ke-2 (sekarang Solusi telah sampai ke edisi 34)…

SINERGIKAN AKAL DAN HATI       

 Sering-seringlah bertanya kepada akal sendiri, apa yang kita diperjuangkan? Mungkin akal akan menjawab, “aku memperjuangkan Islam.”  Kemudian,  tanyakan soalan yang sama kepada hati. Jika jawab hati (tentulah dengan sejujur-jujurnya), ”aku ingin memperjuangkan Islam,” maka ketika hati dan akal telah pun bersatu.  Bila hati dan akal bersatu maka barulah kita punya matlamat yang tepat dan jelas.

 Dan jika ada pihak lain yang juga punya akal dan hatinya telah bersatu, maka akan mudahlah terbentuk kerjasama antara kita dengan mereka. Kerjasama itu akan harmoni atas dasar kesatuan matlamat.

 Tetapi sekiranya, kerjasama sukar dibentuk atau kerjasama itu sering bermasalah, itu petanda matlamat antara kita dan mereka sudah berbeza. Puncanya? Hati dan akal sesama kita masih belum bersatu. Mungkin hanya ’akal’ yang berkata, ”aku memperjuangkan Islam,” tetapi hakikatnya hati memperjuangkan yang lain.

 Hakikat ini ingin saya kaitkan dengan usaha semua pihak memperjuangkan ’produk-produk’ dakwah Islamiah seperti kursus, program latihan, ceramah-ceramah, buku-buku, majalah dan lain-lain-lain… Produk dakwah wajar dibezakan dengan produk yang bukan dakwah yang sama-sama sedang ‘meriah’ di tengah masyarakat masa kini.

 Para penceramah, pemilik syarikat dan aktivist produk dakwah Islamiah wajib mengutamakan ’tujuan’ mengatasi ’keperluan’. Apakah tujuan para pendakwah (penulis, penceramah, motivator, pemilik syarikat) dengan produk dakwah Islamiahnya itu? Tidak lain tidak bukan hanyalah  untuk mencari keredhaan Allah – yakni mengajak orang kepada tauhid, syariat dan akhlak Islamiah.

 Lalu apakah pula keperluan mereka? Ya, sebagai manusia biasa pendakwah juga perlukan wang, gaji dan keuntungan untuk menjalani kehidupan.

 Namun, perlu diingat tujuan (keredhaan Allah) mesti sentiasa mengatasi keperluan (gaji, keuntungan dan ganjaran). Jangan berlaku sebaliknya. Jika berlaku sebaliknya,marilah kita jadikan firman Allah ini sebagai amaran:

”Dan janganlah kamu jadikan pesanan-pesanan dan perintah Allah sebagai modal untuk mendapat keuntungan dunia yang sedikit…” An Nahl 95.

 Ingatlah, keredhaan Allah bertunjangkan tujuan itulah ’content’. Manakala keuntungan material bertunjangkan keperluan itulah ’container’. Jadilah pejuang yang sentiasa mengutamakan tujuan berbanding keperluan – ertinya, perjuangkanlah ’content’ bukan ’container’. ’

 Apa itu ‘content’? Dan apa itu ‘container’?

 Content’ perjuangan kita ialah Islam, manakala  ’container’ ialah kumpulan, organisasi atau syarikat di mana kita berada atau kita miliki. ’Content’ perjuangan kita mesti satu dan sama, tetapi ’container’ kita boleh banyak dan berbeza.

 Jika ini benar-benar kita hayati, maka antara kumpulan-kumpulan atau syarikat-syarikat yang mempunyai ’content’ yang sama akan mudah bekerjasama. Mengapa? Kerana masing-masing meletakkan kepentingan ’content’(tujuan) mengatasi ’container’ (keperluan).

 Tidak ada lagi ’taksub’ kumpulan, syarikat atau obsesi diri. Menghenyak orang lain untuk melonjak diri sendiri.  Kita sentiasa yakin bahawa Islam tidak boleh dimonopoli oleh mana-mana kumpulan. Tidak ada mana-mana pihak yang boleh mendakwa bahawa dia sahaja ’satu-satunya’ pejuang Islam yang sejati dan terbaik.

 Marilah kita sinergikan akal hati dalam diri sebagai langkah utama dan pertama dalam kerjasama dakwah di tengah ummah. Kalau hati dan akal sudah bersatu maka kita akan mudah bekerjasama melangkaui batas kumpulan, puak atau organisasi!

 

                   

 
38 Komen

Posted by di 26 Julai 2011 in Kemudi Hati

 

Label: , , , ,

38 responses to “PESAN BUAT SAHABAT-SAHABAT PENULIS…

  1. naimulfirdaus

    26 Julai 2011 at 7:23 pm

    terima kasih ustaz atas peringatan ni..

    semoga kita sama-sama mengambil pengajaran..

    http://naimulfirdaus.blogspot.com/2011/07/penyelesaian-masalah-remaja-perempuan.html

    wassalam..

     
  2. musi

    26 Julai 2011 at 8:18 pm

    assalam’ ;
    benar – jika ada bibirnya berbuih melakar aroma telinga n halwa minda odien, namun amalnya berbeza – barangkali hati dan mindanya belum berkesepaduan dalam content.

     
  3. Kak Aliyah.

    27 Julai 2011 at 3:51 am

    Terima kasih kerana dapat menyelusuri genta rasa kepada yang telah puas `dihenyak-henyak’ atas nama lonjakan rasa tidak sepatutnya. Ia hanya kerana berasa bahawa yang memperjuangkan Islam hanya mereka… sehingga tidak melihat bahawa yang berbeza sekadar jalan, sedang matlamat hujungnya adalah sama. Amat pedih dan calar rasanya apabila diperlakukan begitu! Semoga Allah tetap menyatukan hati-hati kita dalam kesatuan yang tegar tanpa adanya `tolak menolak yang tidak wajar’!

     
  4. ibnuahmadalkurauwi

    27 Julai 2011 at 7:36 am

    Salam kunjungan, salam Ramadan,
    Tuan Haji Pahrol, entri yang sangat baik.

     
  5. gentarasa

    27 Julai 2011 at 8:47 am

    Salam kak,
    Terima kasih atas peringatan dan pesanan.

     
  6. gentarasa

    27 Julai 2011 at 8:48 am

    Salam ibnuahmadalkurauwi,
    Salam Ramadan juga buat mu sahabat. Saya belum haji lagi… sedang berusaha mengumpul dana. Doakan, sebelum mati saya berpeluang juga menyempurnakan rukun Islam yang kelima ini ya. Syukran jazilan.

     
  7. Al-Fakir Hamidi

    27 Julai 2011 at 10:16 am

    Salam.

    semoga selepas ini, jiwa kita akan bersatu. memahami antara satu sama lain. seterusnya membentuk kefahaman yang jelas. dan berakhir dengan perpaduan dan kesatuan.

    tapi, semuanya bermula dengan diri sendiri. melawan nafsu negatif dan bisikan kebencian, yang menyeru kepada perpecahan.

    Allah tujuan kita…

     
  8. Zahiruddin Zabidi

    27 Julai 2011 at 11:44 am

    Assalamualaikum ustaz, jarang dapat membaca nukilan yang mengeyangkan jasmani dan rohani sekaligus. Semoga ustaz terus menulis bagi mengisi kelaparan umat.

    Baraka-Allah fikh, wassalam.

     
  9. theufo

    27 Julai 2011 at 11:56 am

    Salam…semoga ustaz..sihat berbahagia….

    terima kasih di atas penulisan ustaz…
    Sesungguh tujuan kita sebagai khalifah adalah mentadbir dan memastikan syiar islam terus bersinar di bumi Allah..

     
  10. Fatimah Syarha

    27 Julai 2011 at 12:13 pm

    Ayahanda Ustaz Pahrol…penulis di Malaysia yang paling saya kagumi. Moga Allah meredhai perjalanan hidup ustaz sekeluarga.amin

     
  11. muhammad fakhruddin

    27 Julai 2011 at 2:00 pm

    Assalamualaikum Ustaz,
    sudah lama saya tidak menitip komen di blog Ustaz, sekadar menjengah perkongsian dan menjadi pembaca senyap di blog ini. Terkenang jua satu dua promosi atau bicara buku Ustaz, namun saya masih belum sempat hadir dan berjumpa dengan Ustaz.

    Alhamdulillah, kini saya menulis di blog saya sendiri (sebelum ini hanya berkongsi blog dengan teman dan Ustaz sahaja). Moga-moga kehidupan Ustaz diberkati atas perkongsian Ustaz bersama para pembaca seperti kami. :)

     
  12. kesidang

    27 Julai 2011 at 2:58 pm

    Salam,

    Saya bukan siapa-siapa di sini ,hanya pembaca kerdil yang dahagakan nukilan-nukilan yang menjuruskan hati kepada hakikat kehidupan sebagai hamba Allah yang sebenar. Semoga ustaz yang dihormati dan penulis-penulis lain teruskan perjuangan melalui pena kerana sesungguhnya mata pena itu lebih tajam daripada mata pedang.Dan semestinya mata pena itu harus dilakarkan di atas landasan Islam yang sebenar.Salam Ramadhan buat ustaz dan famil serta umat Islam semua.Maaf zahir dan batin.Semoga Ramadhan kali ini membersihkan hati-hati kita agar kembali dekat padaNya. Amiin.

     
  13. myilham

    27 Julai 2011 at 6:01 pm

    salam tuan.

    terima kasih atas pesanan ini. banyak muhasabah yg boleh diambil terutama utk saya terus menulis. memimpin diri sndiri dan memimpin orang lain.

    moga Allah sntiasa merahmati ustaz. amin.

     
  14. gentarasa

    27 Julai 2011 at 6:39 pm

    Salam myilham,
    Syukran. Semoga Allah merahmati saudara juga. Amin.

     
  15. gentarasa

    27 Julai 2011 at 6:42 pm

    Salam kesidang,
    Ya Allah, berkati Syaaban yang bakal berakhir ini dan sampaikanlah kami ke Ramadan yang penuh barakah itu nanti. Amin. Untuk saudara, saya doakan kesejahteraan dunia dan akhirat bersama keluarga. Amin.

     
  16. gentarasa

    27 Julai 2011 at 6:43 pm

    Salam Fatimah,
    Ana juga mengkagumi anti. Semoga anti, suami dan anak-anak diberkati hingga dapat bersama-sama menikmati Syurga. Amin.

     
  17. gentarasa

    27 Julai 2011 at 6:45 pm

    Salam muhammad fakhruddin,
    Saya juga berterima kasih kepada saudara. Tak pa kalau tak berjumpa, asalkan kita dipertemukan pada titik perjuangan yang sama. Amin.

     
  18. erinor

    27 Julai 2011 at 8:40 pm

    Ustaz… penulis yang saya kagumi dan penulis yang disayang Allah

     
  19. kesidang

    27 Julai 2011 at 9:50 pm

    Salam,

    Terima kasih atas doa ustaz.Semoga Ramadhan kali ini bukan Ramadhan terakhir bagi kita tetapi ia sentiasa hidup di dalam jiwa.Insya Allah.

     
  20. Amirah

    27 Julai 2011 at 9:53 pm

    Assalamualaikum ustaz. Terima kasih atas artikel yang mengusik jiwa ini. Jauh benar rasanya ingin jadi seperti ustaz. Moga Allah berikan ustaz sahabat-sahabat yang baik dan soleh.

     
  21. gentarasa

    28 Julai 2011 at 6:41 am

    Salam Amirah,
    Ini Amirah sahabat saya di Telaga Biru ke? Siapapun, setiap orang ada keunikan masing-masing. Yang penting usaha, kesabaran dan hidayah daripada Allah. Insya-Allah.

     
  22. gentarasa

    28 Julai 2011 at 6:42 am

    Salam kesidang,
    Macam-macam yang kita rasa menjelang Ramadan. Tetapi sebagai seorang Islam, kita mesti merasa gembira. Ya Allah, sampaikanlah kami kepada Ramadan Mu yang mulia dan barakah. Amin.

     
  23. Wan Zayuhisham Wan Yusoff

    28 Julai 2011 at 7:25 am

    Salam…

    Subhanallah. Saya amat terkesan dengan entri kali ini. Namun sejujurnya setiap entri ustaz membuatkan saya terus berfikir dan berfikir. Siapa saya? Semoga dunia penulisan saya sebagaimana yang ustaz titipkan di sini. Insyallah.

     
  24. Amirah

    28 Julai 2011 at 7:26 am

    Ya, ustaz, anak didik dan anak buah ustaz di Telaga Biru. Selalu membaca di blog Ustaz. Hari ini baru ada kekuatan untuk mencatat sesuatu. Semoga berjaya ustaz dan jazakallah khairan kathira atas nasihat ustaz itu.

     
  25. nadia

    28 Julai 2011 at 11:57 am

    Allah~ Semoga usaha ustaz di berkati, InsyaAllah~

     
  26. Gelombang bayu

    28 Julai 2011 at 9:32 pm

    Turki, Iktibar sebuah Empayar, sebuah buku yg byk membuatku terkesan dan terdorong utk mencipta sejarah. Bermula dari sebuah kabilah yg kecil,membesar menjadi sebuah empayar yang gagah. Garapan dan penulisan buku itu membuatkan kita senantiasa berada bersama di alam dan suasana kegemilangan saat itu. Hingga hari ini jika aku merasa lemah dan bosan dlm perjuangan ini,pasti buku ini menjadi pendorong semangat dan kekuatanku utk bangun semula. Tahniah Ustaz. Coretan mu kali ini byk memberiku sumber dan kekuatan dlm menempuh arus kehidupan.

     
  27. asyikin mohaiyuddin

    29 Julai 2011 at 1:15 pm

    Salam..
    Sekian lama menjadikan SOLUSI penawar jiwa dan hati..hari ini tergerak hati untuk menulis disini..sesungguhnya manusia memerlukan nasihat dan peringatan tentang kehidupan..agar sentiasa dilandasan yang diredhai Allah…saya insan kerdil..sungguh apa yang ustaz nukilkan pedoman buat saya..

    -asyikin-

     
  28. Husaini A. Hamid

    2 Ogos 2011 at 8:54 am

    Salam Ustaz Pahrol..
    Terima Kasih kerana terus sudi menulis,berkongsi ilmu dan pengalaman. Muga kita semua akan dapat menafaat nya. Walau letih di lambung “kerenah diri” dalam mujahadah, doakan saya terus bangun dan bangun untuk mencapai satu matlamat yang sangat penting. Doakan saya ustaz.

     
  29. Huda Nemo Riko

    3 Ogos 2011 at 7:46 am

    assalamualaikum ustaz pahrol….
    terima kasih untuk penulisan ini….
    saya bahagia tatkala membacanya….
    saya berharap hati dn akal sy bakal bersatu…..
    insyaALLAH sy akn berusaha menyatukan kedua – duanya….
    dua2 itu ada dalm diri saya….cume persefahaman mereka masaih belum utuh….
    doakanlaah sy ustaz…
    moga Allah mempermudahkan urusan ustaz…..terima kasih….

     
  30. Imranulkhalis

    5 Ogos 2011 at 1:19 am

    Assalamualaikum Ayahanda Ustaz Pahrol.

    Dah lama tak betandang ke sini disebabkan kekangan waktu. Terima kasih atas nasihatnya. Terima kasih juga kerana tidak jemu-jemu mengingatkan kami. Terima kasih. Semoga Allah senantiasa melindungi dan senantiasa ada sebab untuk memberikan sebuah senyuman yang terukir indah di wajah mu. =)

    Saya sedang dalam pembikinan manuskrip. Doakan semoga kali ini lebih baik dan berhasil ye? =)

     
  31. zainuddin ali

    11 Ogos 2011 at 8:47 am

    Assalamualaikum ustaz,

    Teruskan perjuagan ustaz memberi inspirasi kepada masyarakat yang kehausan ilmu dan panduan. Kami amat menyokong apa jua kebaikan yang ingin dilakukan. Realiti masyarakat kita sekarang amat menyedihkan. Kuasa media yang membawa kepada kelekaan lebih kuat daripada megajak kebaikan. Taniah…teruskan lah

     
  32. gentarasa

    11 Ogos 2011 at 9:11 am

    Salam tuan Haji Z,
    Semoga sihat iman dan jasad untuk menangguk keberkatan pada bulan Ramadan yang mulia ini. Insya-Allah, ana dan beberapa orang sahabat dengan pelbagai organisasi akan melaksanakan beberapa siri kursus penulisan nanti, untuk sama-sama berkongsi pengalaman dan cita-cita dengan semua. Ya, kuasa media mesti tunduk patuh kepada kuasa Allah… tidak boleh terus tersasar seperti sekarang. Tahniah juga, kerana tulisan tuan semakin tajam.

     
  33. Megat Al-Imran

    29 Ogos 2011 at 4:57 am

    assalamualaikum ya akhil kareem.
    maaf mengganggu, tapi saya sangat berminat dengan pesanan anta buat sahabat penulis itu.
    oleh itu, saya mohon dibenarkan diletakkan di blog saya, http://semogaallahmencintaiku.blogspot.com,
    sebagai panduan.
    jazakallahu Khairan Kasirra…. ^_^

     
  34. Kamarudin

    2 September 2011 at 6:10 am

    Assalamualaikum ya ustaz.

    Alhamdulillah.. syukran nasihatnya.. walaupun tujuan asalnya utk sahabat2 terdekat, namun bla dtmpat umum ia mnjadi nasihat buat masyarakat. Terima kasih atas nasihat. Moga penulisan ustaz ada berkat, membawa Ummat kearah Matlamat… (“,)

     
  35. syed hafiz

    21 September 2011 at 4:24 pm

    tq ustaz

     
  36. Ahmad Yani

    4 Oktober 2011 at 3:37 pm

    Walaupun komen ini dikira agak terlambat… tetapi saya tetap ingin merakam setinggi-tinggi penghargaan dari lubuk hati yang dalam kepada Ustaz Pahrol… sahabat dan juga guru yang banyak berjasa membimbing saya dalam dunia penulisan dan kewartawanan. Sekalung tahniah atas kejayaan Solusi. Walaupun usia majalah i terbitan Kumpulan Media Karangkraf lebih lama dari Solusi… tetapi kejayaan Solusi menjadi inspirasi pada diri saya untuk terus berkarya dan meningkatkan kualiti penerbitan… saya percaya kejayaan ustaz menjadi kebanggaan para penggerak media Islam di negara kita.

     
  37. Arwan Syaputra

    16 Disember 2011 at 9:39 pm

    Assalamualaikum ustaz.

    q ingin minta nasihat,gi mn yah cara buat nyadarin shabat q yg sring nyentuh minuman kras

     

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,218 other followers

%d bloggers like this: