Looking for Something?

WARNA SEBENAR KITA DI JALAN RAYA

Author:

Saya amat menghargai para pembaca yang memberi respons terhadap entri-entri dalam blog ini.

Sesetengahnya sempat saya respons semula, adakalanya tidak. Saya pohon berbanyak maaf.

Bukan mudah mengurus waktu dengan baik ketika saya sedang berusaha sedaya upaya untuk membena kesihatan tubuh badan.

Masa selepas Subuh yang selalu saya gunakan untuk menulis, terpaksa dikorbankan untuk berjalan-jalan cepat di sekitar taman perumahan. Semoga ada pembaca yang sudi mendoakan saya agar sihat iman dan badan – bagi meneruskan dakwah di bidang penulisan ini.

Dan untuk pembaca semua saya doakan agar diberikan Allah kekuatan untuk terus bermujadah bagi menjadi insan yang soleh dan solehah. Amin. Dalam ruang masa dan tenaga yang terbatas ini terimalah tulisan ini seadanya…

WARNA SEBENAR KITA ADA DI JALAN RAYA 

“Kenapa orang yang begitu baik tiba-tiba boleh menjadi ganas apabila memegang stereng kereta?” Tanya seorang ahli kariah masjid ketika kami sama-sama berehat selepas menunaikan solat Asar.

“Saya rasa bukan tiba-tiba sahaja mereka jadi ganas tetapi mereka memang ganas sebelum memegang stereng kereta lagi,” jawab saya perlahan.

“ Eh, kenapa awak kata begitu?”

“Jalan raya hanya menjadi sebab untuk mereka mengeluarkan warna mereka yang sebenar.”

“Maksud awak ‘true colour’ mereka hanya keluar di jalan raya yakni ketika mereka memandu?”

“Ya. Sifat-sifat diri yang sebenar tidak terkeluar di tempat-tempat lain… mungkin kerana segan, takut, malu dan sebagainya. Di pejabat, mungkin kerana ada bos atau ada orang lain yang disegani. Di rumah kerana ada isteri. Begitu juga di tempat-tempat lain, ramai yang perlu mengawal diri kerana ada kepentingan tertentu di hadapan orang tertentu.”

“Maksud awak?”

“Di tempat-tempat itu mereka terpaksa memendam rasa marah, menahan rasa kecewa atau mengurung rasa dendam yang ada di dalam hati. “

“Rasa-rasa itulah yang kemudiannya mereka lepaskan apabila memandu di atas jalan raya?”

“Ya begitulah. Jalan raya menjadi tempat melepaskan segala rasa tidak puas hati dalam realiti kehidupan sehari-hari. Hakikatnya jalan raya telah menjadi tempat melampiaskan rasa marah, kecewa, dendam dan lain-lain sifat mazmumah.”

“Orang lain yang mereka marah, orang lain yang jadi sasarannya. Begitu?”

“Begitulah. Awak tahu tiga penyebab utama kemalangan di negara kita?”

“Memandu laju, melanggar lampu isyarat dan memotong secara salah!”

“Memandu laju menunjukkan kurang sabar atau mungkin kerana ego. Ingin menunjuk-nunjuk. Melanggar lampu isyarat tanda tidak menghormati peraturan dan orang lain. Begitu juga dengan memotong dengan cara dan di lorong yang salah. Tiga penyebab utama kemalangan hakikatnya berpunca daripada sifat-sifat mazmumah yang ada dalam diri pengguna jalan raya kita!”

“Tetapi ada juga orang yang baik terlibat dalam kemalangan, malah kemalangan maut,” kilas teman saya perlahan.

“Itu sudah takdir. Kekadang, mereka hanya menjadi mangsa kesalahan orang lain. Mereka memandu dengan baik dan berhemah, tetapi apa boleh buat, orang lain yang melanggar mereka. Itu yang saya katakan takdir. Itu luar usaha dan ikhtiar kita. “

“Mengapa saya lihat orang agama pun memandu laju, cuai dan melanggar lampu isyarat?”

Saya terdiam. Ya, dalam pengalaman sendiri pun ramai juga saya lihat “orang agama” yang memandu secara berbahaya dan mementingkan diri.

Melihat saya diam, teman saya menyambung, “Mengapa? Orang agama pun sarat sifat mazmumah? Mereka pun turut melepaskan rasa marah, ego dan kecewa di atas jalan raya?”

Perlahan saya mengangguk.

“Mengapa?” dia terus mengasak.

“Orang agama belum tentu beragama,” jawab saya pendek.

 “Pelik itu. Orang agama tetapi tidak beragama…”

“Maksud saya, ada orang yang latar belakang pendidikannya, atau mungkin kerjayanya, atau mungkin juga gelarannya ustaz, tetapi sayang… mereka tidak mengamalkan ajaran agama sepenuhnya termasuk ketika memandu di atas jalan raya.”

“Eh, takut ramai yang marah dan tersinggung dengan kata-kata awak itu nanti,” katanya mengingatkan.

“Mengapa nak marah? Ini teguran yang benar buat kita semua. Ada orang agama tetapi tidak beragama sepertimana ramai orang yang ada akal tetapi tidak berakal.”

“Maksud awak, orang agama yang tidak beragama sama seperti orang punya akal tetapi tidak berakal?”

Tanpa mengiakan atau menidakkan kata-katanya, saya menjelaskan: “Agama mengajar kita supaya mematuhi syariat dan berakhlak walau di mana sahaja. Bukan hanya di masjid, di pejabat atau di rumah, malah di atas jalan raya ketika memandu. Ibadah bukan sahaja solat, puasa, zakat tetapi memandu kenderaan juga boleh dikira ibadah sekiranya dibuat dengan niat yang ikhlas dan mematuhi prinsip-prinsip sunnah Rasulullah s.a.w.”

“Memandu itu ibadah?”

“Ya. Bukankah Islam itu satu cara hidup. Ramai manusia zaman moden ini lebih banyak menghabiskan masa seharian mereka di dalam kereta berbanding tempat-tempat lain.”

“Betul tu. Kekadang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas berjam-jam lamanya. Traffic jam sudah menjadi sebahagian cara hidup kita…”

“Bayangkan jika berjam-jam itu tidak jadi ibadah, tentu rugi. Kita solat pun lebih kurang 7 – 10 minit sahaja.”

“Jadi, kita beribadah bukan sahaja di masjid tetapi di jalan raya jugalah ya?”

Tidak perlu saya mengiakan, saya teruskan lagi: “Ibadah yang baik ialah ibadah yang melimpah ruah manfaatnya kepada orang lain. Sekiranya pemanduan kita jadi ibadah, insya-Allah ia akan selamat dan menyelamatkan. Kita selamat dan pengguna jalan lain pun selamat.”

Kali ini dia pula terdiam. Berfikir mungkin.

“Tetapi kalau tidak jadi ibadah, buruk padahnya. Bukan sahaja kita yang terima mudarat malah memudaratkan orang lain. “

“Apa hukumnya memandu laju, melanggar lampu isyarat dan memotong secara salah?”

“Saya bukan ustaz, apa lagi ulama… tetapi jika tindakan itu memudaratkan diri sendiri dan orang lain tentulah dilarang atau diharamkan oleh Islam. Bukankah Islam itu agama selamat dan menyelamatkan?”

“Mengapa kemalangan boleh berlaku sedangkan sesetengah kita sudah melakukan pelbagai usaha?” Tanyanya mengalih arah perbualan.

“Usaha apa yang awak maksudkan?”

“Macam kawan rapat saya minggu lalu. Dia terlibat dalam kemalangan. Agak parah juga. Setahu dan seingat saya, dia warak orangnya. Kalau hendak bermusafir mesti didahului solat sunat musafir, doa naik kenderaan dan pelbagai lagi bacaan ayat al-Quran.”

“Itu aspek syariatullah. Tetapi cuba check aspek sunnatullahnya,” kata saya mengingatkan.

“Aspek syariatullah, sunnatullah? Apa itu?”

“Bacaan doa, solat musafir dan doa-doa yang lain itu aspek syariatullah. Manakala aspek sunnatullah pula adalah seperti memastikan keadaan brek kenderaan dalam keadaan baik, bunga tayar masih elok, cermin belakang dan sisi dalam kedudukan yang sesuai, memakai tali pinggang keledar dan enjin kereta dalam keadaan baik,“ jelas saya.

“Maksud awak kedua-dua itu hukum Allah juga?”

“Ya, syariatullah yang melibatkan hukum syariat yang lima; wajib, haram, sunat, makruh dan harus. Manakala hukum sunnatullah pula melibatkan hukum sebab dan akibat yang telah Allah tetapkan untuk memastikan dunia ini dalam keadaan stabil dan baik.”

“Saya masih tidak faham.”

“Hukum sunnatullah itu seperti hukum graviti, hukum geseran dan lain-lain hukum yang kita belajar dalam ilmu sains dan matematik itu. Hukum ini tidak berubah dan bertukar ganti sifatnya. Ia tetap. Allah menetapkannya demi keselamatan dan kestabilan alam ini. Jika dilanggar buruk padahnya.”

“Bagaimana semua itu terkait semasa kita memandu kenderaan?”

“Jika tayar botak, kenderaan mudah terbabas dan tergelincir. Ada hukum geseran di situ. Begitu juga apabila tali pinggang keledar tidak dipasang, momentum yang menghentak jisim kita ke hadapan akan lebih kuat jika kereta bergerak dengan halaju yang tinggi.”

“Orang agama perlu dengar fakta ini,” bisiknya perlahan.

“Mematuhi hukum syariatullah dan sunnatullah itulah bukti kita beragama semasa memandu di atas jalan raya. Tidak kiralah kita orang agama, atau tidak. Asalkan kita orang Islam, kita wajar mematuhi kedua-dua hukum Allah ini. “

“Jadi tidak cukup dengan mengamalkan doa naik kenderaan sahaja?”

“Ya, kalau hanya berdoa tetapi tidak menjaga aspek sunnatullah, itu termasuk dalam tawakal yang tidak berbekal. Tetapi kalau hanya menjaga aspek syariatullah, tetapi tidak berdoa dan meminta bantuan Allah, itu sombong. Seolah-olah kita bertawakal kepada diri bukan kepada Allah. “

“Jadi melanggar hukum sunnatullah juga merupakan satu kederhakaan kepada Allah, bukan hanya melanggar hukum syariatullah?”

“Ya. Itulah yang dikatakan, kita beragama di atas jalan raya. Barulah jalan raya kita tidak menjadi jalan mazmumah.”

“Ya, orang Islam perlu menjalani kehidupan berdasarkan aqidah, syariah dan akhlak, setiap masa, setiap kita dan walau di mana-mana sahaja. Siapa kita di atas jalan raya, menunjukkan siapa kita di jalan hidup yang sebenarnya. Berhati-hati di jalan raya, ia boleh membawa kita ke syurga ataupun ke neraka!”

Feedback

34
  • norlia binti mohd yusoff

    Assalamualaikum ustaz…

    Saya ingin mendapatkan pendapat dan pandangan ustaz. Saya ada terbaca tentang huru hara yang aka berlaku dipertengahan ramadhan pada hari jumaat. adakah hadis itu benar atau tidak? Kerana, ada pembaca mengatakan hadis itu benar dan tertulis dalam al-quran dan ada juga pembaca yang mengatakan hadis itu palsu…sekiranya benar ada dinyatakan dalam al-quran, boleh kah saya tau terdapat dalam surah apa dan ayat ke berapa.terima kasih..

  • maimunah

    artikel yg sangat terkesan,tima kasih ustaz…

  • wanitabertudunghijau

    setiap kali memegang stereng setiap kali itulah saya berazam untuk tidak memandu laju, tapi malangnya azam tu tak pernah tercapai 🙁

    entry ni benar2 buatkan saya termenung panjang 🙂

  • fasiihah bt jasni

    Alhamdulillah,, seronok baca post ni. ramai yang pandai memandu tetapi bila hendak memandu tidak mahu berpandu..~~ ustaz boleh ajar dekat sekolah memandu nie..;) syafakallah ustz.. semoga Allah terus memberi kesihatan dan kekuatan untuk ustaz terus berdakwah..

  • Nisha

    Assalamualaikum semua,

    Kena ubahlah nampaknya ni, sebab saya suka bawa kereta laju2 terutama dalam perjalanan yang jauh. Kalau perlahan, cepat rasa mengantuk… :). Masih banyak perkara lagi yang perlu di perbaiki samada dalaman dan luaran.

    Semoga ustaz di beri oleh Maha Pemberi kesihatan yang baik dan di kelilingi oleh keluarga/orang yang baik dan akhirnya boleh memberi banyak kebaikkan kepada orang lain. InyaAllah semuanya baik. Ameen….

  • shahima

    salam ustaz…
    semoga senantiasa dikurniakan kesihatan jiwa, hati dan tubuh badan yang sihat…
    dan semoga ustaz senantiasa berada dibawah lembayung rahmat Allah SWT…
    jutaan terima kasih juga untuk entry pada kali ini…ternyata ianya membuatkan saya tersedar pada suatu keadaan dimana saya adalah salah seorang hambaNYA yang seringkali lupa,leka,lalai dan riak saat berada di ‘jalan raya’…..selamat beramal & pasti akan saya renung-renungkan teguran ini…

  • Rashidah Sulaiman

    Assalamualaikum ustaz
    Alhamdulillah..entri ustaz ini membuat saya berfikir….terima kasih dan izinkan saya untuk dikongsikan. Saya juga doakan agar Allah memberi kesihatan kepada ustaz dan menyembuhkan dari segala kesakitan hingga tidak berbekas lagi.., Amin…

  • Wan Zayuhisham Wan Yusoff

    Pandu laju. Itulah hakikatnya pemandu di negara kita. Tidak pernah ambil iktibar daripada peristiwa-peristiwa kemalangan yang berlaku. Itulah yang sering dihadapi di jalan raya saban pagi ketika ke tempat kerja. Tup-tup, berdentum. Memang itu kehendak Tuhan, tapi kita boleh elakkan jika memandu dengan cermat dan sabar. Tidak dinafikan takdir Allah, dan saya juga pernah ditimpa kemalangan apabila dua orang lelaki cina mabuk melanggar sisi kiri kereta saya di lampu isyarat berdekatan PPUM. Ia boleh dielakkan. Antara petua, pasanglah tazkirah, alunan ayat-ayat suci Al-Quran, alunan zikir-zikir dan sewaktu dengannya. Insya-Allah pemanduan kita akan tenang.Percayalah.

  • zahraaamalin

    Terima kasih ustaz…walau apapun cuaca kesihatan ustaz..tetapi masih mengingati kami dengan ingatan dan pesanan.Semoga Allah memberi kesihatan yang baik untuk ustaz.Amin.

  • Insan berfikir

    Saya setuju sangat! Memang kalau yang buat perangai macam tu, patut terasa dan insaf.
    Yang paling sangat saya kecewa bila masa menghantar dan mengambil anak masing-masing ke dan dari sekolah. Tanpa mereka sedar atau pun sengaja buat tak sedar mereka telah mendidik generasi mereka bersikap tidak berakhlak di jalanraya. Memang betul kadang2 tu bergelar ustaz, pegawai kerajaan jawatan tinggi, cikgu pun sama. Mereka masuk/potong ikut suka hati sahaja alasan nak cepat!Sama-sama lah kita berdoa moga-moga kita semua di beri kesedaran tentang warna sebenar di jalanraya.

  • sot

    Zikrullah sambil memandu
    InsyaAllah jiwa aman
    Pemanduan tenang.

  • suriya majid

    salam ustaz & semua,

    sangat bersetuju dengan artikel ini, true colors will be shown bila kita di atas jalan. terima kasih atas ingatan..berusaha untuk memperbaiki diri ini.

  • syed hafiz

    tolong amin… ya allah, berilah kami rahmat darimu, dan sempurnakan petunjuk yg lurus dlm setiap urusan kami..

  • ilah32

    Assalammualaikum,

    Setuju dengan kata2 ustaz..”Siapa kita di atas jalanraya, menunjukkan siapa kita di jalan hidup yang sebenarnya”

  • Habib Ahmad

    Majlis Sambutan Haul Akbar di Yayasan Al Jenderami
    http://wp.me/piAx4-5UT

    Majlis Ilmu Di Masjid UKM
    http://wp.me/piAx4-5Up

  • Diana Aziz

    Alhamdulillah, saya byk belajar dari ibu saya, sering mengingatkan syariatullah dan sunnatullah sebelum memandu, waima dari sebelum melangkah keluar dari rumah lagi, walaupun ibu bukanlah seorang pemandu apatah lagi mempunyai sebuah kereta. “Periksa minyak hitam, air, bunga tayar, brek, lampu dulu”..itu sering diingatkan walaupun saya tidak tahu apa yang saya ikuti dari ibu itu adalah sebenarnya syariatullah dan sunnatullah..
    terima kasih Ustaz menerangkannya dengan lebih jelas lagi..semoga Ustaz mendapat kesihatan yang baik hasil dari berjalan cepat selepas solat subuh, Insya Allah (bukankah itu hukum sunnatullah juga ?) 🙂

  • Diana Aziz

    Ustaz, banyakkan lagi menulis buku seperti “Beduk Diketuk”, seronok membacanya..santai tapi padat..”kembali kepada persoalan pokok/utama/aulawiyat”..”periksa solat”. Bila baca buku Ustaz dan ikuti program Prof Muhaya, saya dapati ada banyak persamaan dengan apa yang Ustaz cuba sampaikan ada persamaan dengan Prof Muhaya. Prof Muhaya gunakan terma “Prinsipal dalam kehidupan” dan selalu minta “semak solat” bila ada yang mengutarakan permasalahan mereka..

  • pustakanurimam

    Sbb tu ops sikap gagal

  • Putra Laut Kidul

    semoga allah memberikan balasan atas segala perjuangan ustadz.amin3x

  • ZACK

    Peribadi kita yang sebenar terserlah apabila kita berkuasa . Memandu kereta adalah saat kita berkuasa . Saat itu kita diuji . Ujian menggunakan kuasa . Ramai yang tewas di saat itu termasuk diri saya . Ya Allah ampunilah daku , berikanlah daku petunjuk .

  • ZACK

    ustaz telah mengutarakan satu aspek yang kita terlepas pandang iaitu memandu . Memandu boleh dijadikan satu penanda aras . Penanda aras kepada kualiti hati kita . Ketika memandu kereta besar kita sombong , ketika memandu kita tidak boleh ditegur . Ketika memandu kita dengki kepada orang yang memotong kereta kita apatah lagi yang memotong itu hanya sebuah motosikal kapcai . Ketika memandu kita mengenepikan sunnah rasullah iaitu memudahkan urusan orang lain ( contoh – memandu di lorong kecemasan ) . Ketika memandu dan terperangkap dalam kesesakan jalanraya kita merungut . Kita merungut kepada kesesakan jalanraya atau kepada tuhan yang menyusun kesesakan jalan raya ? . Tidakkah semuanya itu adalah satu manifestasi yang menunjukkan solat kita masih pincang ? Kita selalu berdoa bila memandu agar perjalanan kita selamat tetapi kita tidak berdoa pemanduan kita ‘ menyelamatkan ‘ dan memudahkan orang lain . Sekali lagi saya memohon dari Allah .

  • Wardati

    Setuju dengan artikel ustaz…dapat koreksi diri..cuma sedikit komen..agama ataupun ‘beragama’ bukan bergantung kepada gelaran ustaz, haji dll…tetapi sejauh mana seorang muslim itu mengamalkan segala perintah dan menjauhkan segala larangan dengan penuh rasa kehambaan dan ketaqwaan..gelaran ‘agama’ pada mata masyarakat Melayu Islam kadangkala kurang tepat.Mungkin ia lebih kepada persepsi kita sedangkan Allah SWT sendiri menjanjikan yang termulia dikalangan kamu adalah yang bertaqwa…bukan yang ada gelaran ustaz atau ustazah, haji atau hajjah..jadi yang bertaqwa itulah yang beragama…oleh itu bagi kita yang diberi hidayah dan kekuatan oleh ALLAH untuk mengamalkan ajaran agama dengan penuh rasa kehambaan dan ketaqwaan inilah orang yang ‘beragama’….InsyaALLAH…

  • akashah

    slm..
    mg2 ustz dbrikn ksihatan imn n jsd..

  • ana

    alamak, kena batang hidung. memang betul sangat-sangat. saya pon kadang-kadang terbawa-bawa emosi semasa memandu kerana kenyataannya di dalam kereta itu adalah satu ruang peribadi dan private (kerana memandu seorang). jadinya tiada siapa nak marah, nak tegur, boleh pasang radio kuat-kuat, dan pandu laju menjadi semacam satu terapi pula untuk melepaskan stress. memang perlu diubah, stress macamana pun Dia ada untuk mengadu dan berharap

  • Cahaya

    Drive terburu2 atau berhemah saya tetap ambil masa yang sama utk sampai ke destinasi, Subhanallah….pabila pmanduan kita tanpa lupa akan Allah SWT, pasti perjalanan kita dipermudahkan…Alhamdulillah….

  • Khairul

    Salam tuan,

    Artikel yang menginsafkan. Satu lagi ‘syariatullah’ yang diabaikan ialah sewaktu membeli kenderaan melibatkan diri dgn ‘riba’. Ini mungkin sebab utama banyak sangat kemalangan di jalanraya. Minta Tuan beri ulasan perkara ini. Tq

  • Nurul Atikah Johor

    Interesting articel.. Memandu juga suatu IBADAH jika berlandaskan sunnatullah & syariatullah. Semoga kita sentiasa di bawah naungan RAHMAT Allah S.W.T

  • Radhiatulhani

    Ya Allah selama ini saya ikutkan nafsu tanpa menyedari sesungguhnya Allah sentiasa memerhatikan tingkah laku saya terutamanya ketika di jalan raya..terima kasih kerana masih ada lagi insan yang mampu menyedarkan betapa kerdilnya diri ini

  • WAN

    Salam. artikel ini amat menarik dan sesungguhnya manusia itu perlu berubah demi kebaikan diri sendiri dan juga orang di sekeliling mereka. Nasihat saya, contohilah pemanduan berhemah UK yang mana semuanya diwajibkan pemakaian tali pinggan walaupun si anak kecil. Dididik sejak kecil lagi menjadikan perkara itu amalan semasa menaiki kereta. Memberi laluan kepada yang lain menjadikan jalan raya tidak terlalu sesat dan byk lg yang boleh dijadikan panduan. Wallahua’lam.

  • Habib Ahmad

    HARI INI MAJLIS HAUL AKBAR DI MASJID NEGERI SHAH ALAM MULAI JAM 5.30 PM – SEMUA DI JEMPUT HADIR

  • idd

    ust, apa salahnya memanju laju untuk cepat sampai. maklumlah ada banyak kerja yang perlu dibereskan, dan terpaksa cepat agar dapat settle semuanya on time.

  • Azizah Yussof

    Ust, mohon izin nak copy paste artikel ust untuk blog keselamatan jalan raya saya DeCARE.. Rakan taulan boleh layari blog ni juga…decareputrajaya.blogspot.com.
    t.kasih.

Leave a Reply

%d bloggers like this: