RSS

BAHAGIAKAH KITA?

17 Okt

SAYANG…BAHAGIAKAH KITA?

Sepasang suami isteri sedang menaiki basikal pada suatu petang. Suami di hadapan, manakala isterinya membonceng di belakang. Mereka melalui jalan berhadapan sebuah vila. Kebetulan di halaman vila tersebut sedang duduk pemilik dan isterinya sambil santai-santai minum petang.

Tiba-tiba pandangan kedua-dua pasangan suami isteri itu bertembung. Pasangan suami isteri yang sedang bersantai di halaman vila merenung pasangan suami isteri yang sedang berbasikal melalui hadapan vilanya.

Walaupun hanya seketika berpandangan tetapi hati mereka sempat berbicara…

“Alangkah bahagianya mereka,” bicara hati suami yang sedang menunggang basikal. “Rumah besar, duduk bersantai pula dengan menikmati makanan yang enak-enak. Isterinya cantik, kereta besar…”

Apa pula bicara hati suami yang sedang duduk bersantai di halaman vilanya?

“Oh, romantik sungguh kedua-dua suami isteri itu. Isterinya memeluk erat di belakang. Alangkah bertuahnya mendapat seorang isteri yang disayangi. Tidak seperti aku, sekalipun mempunyai harta yang melimpah ruah tetapi aku tidak bahagia seperti mereka…” begitulah bisik hati si suami kaya itu.

Justeru, siapakah antara kedua-dua mereka yang bahagia apabila masing-masing merasakan orang lain yang lebih bahagia? Apa ukuran sebuah rumah tangga yang bahagia? Mempunyai segala kekayaan dan kemewahan hidup? Rumah besar, perabot mahal dan kereta berjenama, itukah petanda rumah tangga yang bahagia?

Jika itulah petanda bahagia, tentu sahaja rumah tangga Rasulullah dan isteri-isterinya tidak bahagia. Betapa sejarah telah menukilkan sering kali dapur rumah Rasulullah tidak berasap kerana tidak ada makanan untuk dimasak. Alas tempat tidur Rasulullah sangat kasar sehingga berbekas di belakang Baginda apabila tidur di atasnya. Namun, rumah tangga Rasulullah s.a.w. itulah yang paling bahagia dan hingga kini menjadi contoh teladan untuk kita ikuti.

Apa sebenarnya bahagia itu? Hakikat­nya ramai manusia masih tertanya-tanya dan teraba-raba tentangnya. Yang miskin berasa bahagia itu pada kekayaan. Namun apabila dia mencapai kekayaan, ada yang lain pula disangkanya bahagia, lalu itulah pula yang diburunya untuk mendapat bahagia.

Bagi orang yang sakit, sihat itu bahagia. Sebaliknya pada yang sihat, itu bukan bahagia. Buktinya betapa ramai orang yang sihat tubuh badan tetapi muram jiwanya.

Bagi orang biasa, ternama dan termasyhur itu bahagia. Anehnya ramai pula orang ternama yang menyamar dan ingin lari daripada paparazi kerana benci akan publisiti.

Bahagia Itu dari Hati yang Tenang

Jadi apa bahagia sebenarnya? Bahagia itu bukan dari luar ke dalam, sebaliknya dari dalam ke luar. Maksudnya, harta, nama dan lain-lain perkara berbentuk kebendaan dan luaran bukan penyumbang kepada kebahagiaan seorang manusia. Bahagia itu datang dari dalam diri dan sesuatu yang maknawi sifatnya.

Untuk menangani sesuatu yang berasal atau berpunca dari dalam diri, manusia tidak boleh bergantung kepada dirinya semata-mata. Manusia harus bergantung kepada Allah, Penciptanya Yang Maha Mengetahui. Soal dalaman ialah soal hati atau roh. Itu sangat sedikit diketahui oleh manusia. Untuk mengetahui rahsia bahagia, manusia perlu kembali kepada Penciptanya (Allah).

Bahagia itu datang dari hati yang tenang. Hati yang tenang terhasil daripada sering mengingati Allah. Dalam al-Quran Allah mengingatkan hanya dengan mengingati-Nya hati akan menjadi tenang. Firman Allah yang bermaksud: “Ketahuilah dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang.” (Surah al-Ra’d 13: 28)

Dengan berzikir hati menjadi tenang dan dengan ketenangan hati itulah ter­ciptanya kebahagiaan pada diri seseorang. Itulah resipi kebahagiaan dari segi ilmiah­nya. Namun bagaimana pelaksanaannya?

Saya pernah mendengar kisah benar yang diceritakan oleh seorang bekas mufti tentang pengaduan seorang suri rumah tentang kebengisan suaminya. Bayangkan, suaminya “kaki masjid”, kuat berzikir dan memakai serban serta jubah. Namun anehnya, suami itu sangat garang dan ganas. Pantang salah sedikit, isterinya akan diherdik, ditampar malah ditendangnya. Lalu kita tertanya-tanya, mengapa suami yang kuat berzikir itu jadi begitu? Mengapa zikir yang ditegaskan sebagai sumber ketenangan itu gagal memberikan ketenangan kepada suami yang pemarah itu?

Lalu kita bertanya, bagaimana faktor zikrullah (mengingati Allah) ini dapat dipraktikkan dalam rumah tangga agar rumah tangga itu benar-benar mendapat ketenangan dan seterusnya kebahagiaan? Apakah suami, isteri dan seluruh anggota keluarga perlu berzikir sahaja sepanjang masa? Atau mengapa setelah zikir dipraktikkan, rumah tangga masih tidak tenang-tenang juga? Di mana salahnya?

Ada sepasang suami isteri yang meng­hadapi masalah dalam rumah tangga. Isteri keletihan menguruskan anak-anak yang masih kecil manakala suaminya pula keletihan bekerja untuk menyara ekonomi keluarga. Mereka sama-sama letih. Setelah mendengar cerita bagaimana Siti Fatimah dan Sayidina Ali mendapat kekuatan daripada berzikir dengan kalimah Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahuakbar, mereka pun terus mengamalkannya. Sayangnya, mereka tidak mendapat ketenangan seperti yang dialami oleh Siti Fatimah dan Sayidina Ali.

Zikir sudah sama tetapi kenapa kesan pada hati berbeza? Sekali lagi, di mana salahnya?

Zikir itu bukanlah sekadar menyebut-nyebut kalimah zikir tetapi yang lebih penting menghayatinya dengan hati dan mempraktikkannya dengan perbuatan. Oleh sebab itu, zikir itu terbahagi kepada tiga dimensi – lidah (qauli), hati (qalbi) dan perbuatan (fi’li). Inilah yang hendak dipraktikkan oleh suami isteri agar rumah tangga bahagia.

Zikir pada lidah, ramai yang sudah tahu. Yakni lidah menyebut-nyebut kalimah zikir sama ada semasa solat, selepas solat, membaca al-Quran dan sebagainya. Dalam sebuah rumah tangga, perlu ada program zikir secara rasmi dan tidak rasmi agar seluruh anggota keluarga berzikir sama ada secara berjemaah ataupun individu. Seelok-eloknya setiap keluarga ada amalan-amalan zikir yang khusus dan diamalkan secara istiqamah. Pilih sahaja sama ada al-Ma’thurat, Manzil atau zikir-zikir warisan keluarga yang berasal daripada tarekat-tarekat yang muktabar. Atau ambil sahaja daripada zikir-zikir yang telah terbukti autentik daripada petikan ayat al-Quran dan hadis-hadis yang sahih.

Tidak cukup sekadar “membaca” atau “menyebut” kalimah zikir, tetapi paling utama mesti dihayati maknanya. Jika Subhanallah, ertinya Maha Suci Allah. Apa maksud Maha Suci Allah itu? Allah suci daripada segala kekurangan, kelemahan dan lain-lain sifat negatif sama ada dari segi zat, sifat, perbuatan dan nama-nama-Nya. Allah itu juga suci daripada segala sifat buruk, hodoh dan seumpamanya. Berlawanan dengan makhluk-Nya yang serba-serbi lemah, kurang dan hina.

Untuk menghayati zikir Subhanallah, seseorang mesti memahami makna dan pengertiannya. Untuk mengetahui dan memahami, seseorang mesti belajar. Setelah itu barulah erti Subhanallah itu dibawa dalam kehidupan dalam bentuk penghayatan apabila bertemu dengan pelbagai insiden dalam rumah tangga. Katakan “Subhanallah” apabila Allah disifatkan dengan sesuatu yang negatif atau apabila berlaku sesuatu yang di luar dugaan sama ada buruk atau baik, suka atau duka, untung atau rugi dalam rumah tangga kita.

Tidak cukup dihayati sahaja, tetapi praktik “Subhanallah” itu hendaklah diterjemahkan dalam bentuk perbuatan. Segala tindakan sama ada oleh suami atau isteri mestilah mencerminkan mereka benar-benar menyucikan Allah. Orang yang benar-benar menyucikan Allah tidak akan marah-marah, mengherdik apalagi memukul pasangannya. Adakah mereka berani berbuat demikian jika mereka merasakan yang suci, yang hebat dan kuat hanya Allah? Orang yang marah-marah, bengis dan mudah naik angin boleh dianggap tidak menyucikan Allah dalam kehidupannya sebaliknya dia “menyucikan” dirinya sendiri.

Ya, kebahagiaan itu datang daripada ketenangan. Ketenangan itu pula datang daripada zikir. Namun bukan semua zikir menghasilkan ketenangan. Zikir yang menghasilkan ketenangan hanyalah zikir yang diamalkan secara bersepadu antara lidah, hati dan anggota. Hanya zikir yang bersepadu itu yang memberi ketenangan pada hati untuk menghadapi pelbagai pancaroba dalam hidup.

Hati yang tenang akan bersyukur apa­bila menerima nikmat, sabar apabila ditimpa musibah, rela mem­beri maaf apabila dipinta, mudah meminta maaf apabila bersalah, qanaah dengan rezeki yang ada, tawakal apabila berusaha dan sentiasa bersangka baik dengan Allah dan manusia.

Mengapa dengan berzikir hati akan memiliki sifat-sifat baik ini?

(Insya Allah, kita sambung nanti)

Sebelum ini ikutilah dialog ini:

 Malam dingin dengan sapaan angin membelai sekali-sekala. Saya renung wajahnya. Jelas sudah retak-retak pada pelipis matanya. Pipinya, walaupun masih merah seperti dulu, tapi sudah ada riak-riak kedutan yang mula bertamu.

”Bang, bahagiakah kita?”

Masih terngiang-ngiang pertanyaannya lewat bual kami menjelang tidur.

”Bahagia itu di mana?” tanya saya semula.

Dia diam. Matanya redup bagai kerlipan lampu kamar tidur kami.

“Terlalu banyak yang kita telah lalui bersama. Tak sedar dah lebih 20 tahun kita bersama,” kata saya.

Pertanyaannya terus ternganga. Saya pasti dia tidak memerlukan jawapan. Kekadang, soalan dan luahan… sukar dibezakan.

Dalam suram wajahnya saya renung. Mata kami bertembung. Tidak ada bicara, namun rasa dalam rentetan pelbagai peristiwa begitu laju menerpa. Satu demi satu. Masih harum rasanya kenangan malam itu. Waktu kali pertama tangan kami bersatu. Jari-jarinya berinai merah. Seri wajahnya seakan purnama menghiasi kamar pengantin. Tapi sekarang… jari-jari itu tidak sehalus dan semulus dulu. Telah banyak diguris kesusahan, sudah sering diguris keperitan. Pun seri wajahnya, retak juga dipagut usia.

Masih saya ingat kata-kata malam pertama kami…

”Apa perasaan mu?”

Dia senyum.

”Saya bahagia.”

”Hari ni boleh jadi bahagia… tapi insya-Allah kita masih ada ribuan hari lagi yang akan dilalui bersama. Berdoalah, seperti mana muqaddimahnya, begitulah nanti natijahnya….” kata saya seakan berbisik. Senyum kami menguntum. Oh, alangkah indahnya ketenangan yang dia berikan. Tetapi akhirnya ’mentari’ kehidupan pun menyala petanda ’bulan’ bermadu telah berakhir. Hidup tidak selalu indah kerana di situlah keindahan hidup.  

Dan hari demi hari terus berlalu. Musim pantas mencantas waktu bagai embun dijilat surya. Putera dan puteri kami menyusul seorang demi seorang. Tribulasi datang dan pergi. Berpindah dari satu daerah ke satu daerah. Roda kehidupan berputar laju. Kekadang di atas, sering juga di bawah. Ada ketikanya, senyum, suka dan ceria. Acapkali juga ada muram, duka dan air mata. Anehnya, dia terus bersama saya. Kadang tegurannya tajam, menikam… saya pedih. Namun, jauh di sudut hati, terbujuk juga – itu kerana sayang. Pernah juga belaian dan manjanya melekakan… mujur hati sering diingatkan – dia adalah ’hadiah’ Tuhan untuk saya. Masakan hadiah lebih besar daripada Pemberinya?  

Kekadang kolek rumah-tangga gegar dipukul gelombang. Untunglah, kesabaran masih mampu bertahan… pelayaranpun diteruskan.

”Bahagiakah kita?”

Soalan itu kembali mengusik rasa.

”Di mana bahagia itu?”

”Di hujung atau di pangkalnya?”

Lalu saya temukan jawapannya…

”Bahagia itu bukan di pangkal jalan, bukan juga di hujung jalan… tetapi ia ada di sepanjang jalan.”

”Bahagia itu apa?”

Sekali lagi saya terhenyak ke penjuru jiwa. Mencari kata untuk menggambarkan  rasa. Mampukah?

”Bahagia itu ketenangan!” kata ulama yang arif tentang wahyu dan sabda.

”Ketenangan itu apa?”

”Hati yang tenteram dalam semua keadaan dan suasana. Susah mahupun senang, miskin ataupun kaya, sihat mahupun sakit, pujian dan kejian… sama sahaja.”

”Bagaimana hendak memiliki hati semacam itu?”

”Ingat Allah… hati akan menjadi tenang.”

Bertalu-talu monolog diri itu menerjah kamar hati. Apa yang diketahui, apa yang dirasa, apa yang dilihat, apa yang dibaca sekian lama… terburai semuanya di malam ini – ditusuk sebuah pertanyaan: ’Bang, bahagiakah kita?”

”Tanpa Tuhan, tiada ketenangan. Tanpa ketenangan, tiada kebahagiaan.”

”Isteriku, kebahagiaan itu terlalu maknawi. Tapi ketenangan itu dapat dirasai. Jika kau tanyakan, bahagiakah kita? Ertinya, kau tanyakan tentang ketenangan kita. Dan jika kau tanyakan tentang ketenangan kita… kau sebenarnya bertanyakan sejauh mana kita ingatkan DIA – Tuhan kita!”

”Bang apakah aku telah dapat memberikanmu satu ketenangan?”

”Jangan tanyakan itu, sebaliknya tepuk dada tanya dirimu… apakah aku telah tenang?”

”Kenapa?”

”Hanya orang yang tenang sahaja dapat memberi ketenangan…”

”Ah, semakin sukar pula mencari jawapan… semakin diselam, semakin dalam.”

Malam kian larut di kolam buana. Mata saya kembali merenung wajah isteri. Dia yang tidak pernah meninggalkan saya ketika apapun jua. Ketika orang memuji, dia mengingatkan. Ketika orang mengeji, dia menggiatkan. Bagi saya itulah ketenangan yang dihadiahkannya… Walaupun mungkin itu hanya serpihan dari hakikat ketenangan yang hakiki. Namun itupun sudah memadai. Monolog hati saya terus bergema:

”Isteriku, apakah perjalanan kita ini masih panjang ataupun pendek… entahlah, aku tidak pasti. Namun, selagi antara kau dan aku masih ada DIA – Tuhan kita. Selama itulah kita akan tenang. Jika kau ingat, kaulah sumber ketenanganku. Jika aku ingat, akulah sumber ketenanganmu. Jika kita sama-sama mengingati-Nya, maka bahagialah kita. Sebaliknya, jika kita sama-sama lupa… musnahlah kita.”

Lalu dalam suram kamar yang sederhana… saya sentuh tangannya. Walaupun tidak halus dan mulus seperti dulu, tapi sentuhan itu membelai hati saya. Kali ini bukan rasa tahap rendah yang membara. Tapi rasa tahap tinggi yang menyala-nyala. Isteriku… kita bahagia!

Perlahan-lahan, saya bangun, bergerak ke meja tulis. Sebuah sajak yang saya hasilkan sewaktu berjauhan dahulu saya keluarkan dari lipatan buku catatan peribadi. Terasa kesal juga tidak kirimkan kepadanya. Akibatnya, sajak ”Jauh itu dekat” tidak pernah dibacanya. Saya baca kembali baitnya satu persatu:   

Kembali kita berjauhan…

salam terpisah, senyum tertahan

rindu berbuah, sayang merendang

jauh-jauh begini…

menguji percintaan

Suaramu telus di langit kelabu

setiamu selimut dingin hujanku

arca bayang-bayang malam

sinar remang-remang siang

melukis setiamu di awan gemawan

Terpisah semakin indah

kian terlarut keruhan rasa

terimbau semula nostalgia lama  

jari-jari merahmu…

di malam pertama

Sayang… Jauh itu DEKAT!

 

 
50 Komen

Posted by di 17 Oktober 2011 in Diari Hati

 

Label: , , , ,

50 responses to “BAHAGIAKAH KITA?

  1. math

    17 Oktober 2011 at 10:58 am

    Salam Ustaz..
    Terima kasih.

     
  2. Amani Syazwani

    17 Oktober 2011 at 11:22 am

    Bahagia itu bila tenang..:)

     
  3. Makbonda

    17 Oktober 2011 at 12:39 pm

    Bahagia itu bukan di pandangan tapi di perasaan.Setuju?

     
  4. intan

    17 Oktober 2011 at 1:00 pm

    jazakallahu khair..

     
  5. aya

    17 Oktober 2011 at 1:19 pm

    terima kasih ustaz.acapkali hati saya yang rungsing ini didatangi tenang bila membaca luahan dr blog ustaz.moga ilmu yang dikongsi ini mendapat rahmatNya.

     
  6. Nur

    17 Oktober 2011 at 3:08 pm

    Subhanallah..ustaz terima kasih ats perkongsian..saya selalu mencari2 di mana kebahagiaan saya, spt yg ustaz kata bila kita tgk org kaya kita rasa mereka lah yg paling bahagia dan rasa kita ni x pernah bahagia…sedangkan bagi sy kebahagiaan itu bukan terletak pada kaya atau miskin seseorg tp dgn mendekatkan diri pada pencipta maka kita akan menemui kebahagiaan..insyaAllah

     
  7. ujie

    17 Oktober 2011 at 3:45 pm

    bahagia..hanya hati yg merasa tahu apa erti bahagia. bukan mata yg melihat pd pandangan luaran.
    semoga ustaz sentiasa bahagia!

     
  8. zahraaamalin

    17 Oktober 2011 at 3:50 pm

    salam.
    tulisan yg cukup menyentuh rasa..tq ustaz.

     
  9. syed hafiz

    17 Oktober 2011 at 4:58 pm

    salam ustaz.. tenang jiwa baca tulisan ustaz.. tq ustaz..

     
  10. Muhammad Razif

    17 Oktober 2011 at 5:06 pm

    Assalammualaikum….suka sangat

     
  11. Fiza

    17 Oktober 2011 at 5:13 pm

    Ustaz,
    Bagaimana kalo kita terbeban dgn hutang…Bagaimana untuk kita mengatasinya.. Bagaimana untuk di permudahkan jalan untuk kita mengatasinya.

     
  12. aishah

    17 Oktober 2011 at 5:47 pm

    Amat menyentuh perasaan!

     
  13. kaseh

    17 Oktober 2011 at 6:47 pm

    Salam Ustaz…

    Bahagiakah saya….? Jawapan yang ada pada diri sendiri. Terima kasih Ustaz,saya semakin hampir dengan persoalan dan pencarian saya selama ini. Ruangan bicara ustaz banyak membuka minda dan hati saya dalam pencarian makna hidup. Terima kasih. Semoga ustaz terus menghasilkan penulisan yang hebat dekat dengan hati masyarakat.

     
  14. BG

    17 Oktober 2011 at 7:32 pm

    Bahagia sangat subjektif… tapi bahagia yang paling sukar diraih ialah tenang. Cuma yang bertaqwa saja yang mampu meraih kebahagian begini…

    Jika kejahatan dibalas kejahatan, maka itu adalah dendam.
    Jika kebaikan dibalas kebaikan, itu adalah perkara biasa.
    Jika kebaikan dibalas kejahatan, itu adalah kezaliman.
    Tapi jika kejahatan dibalas kebaikan, itu adalah mulia dan terpuji…

    Semoga kita semua mampu meraih kebahagian hakiki. Amiin.

    Latest update : Cantik di hati

     
  15. Hafizul Faiz

    17 Oktober 2011 at 8:03 pm

    Ya Allah, Syukran ustaz.

     
  16. raudhah islami

    17 Oktober 2011 at 10:09 pm

    salam, ustaz.
    maaf jika pertanyaan saya terkeluar dari topik di atas. tingkat ketaatan seorang isteri, benarkah selepas Allah, Nabi n Rasul, suami..isteri harus taat dengan ibu n bapa mertua dahulu baru ibu n bapa kandung? terima kasih ustaz

     
  17. Husna

    17 Oktober 2011 at 10:17 pm

    Allahu Allah. Time kaseh ust d atas perkongsian b’makna ttg erti ‘bahagia’, sungguh, coretan yg benar2 mampu menjentik jiwa setiap pembaca. Insya Allah, moga dikurniakan bahagia yg hakiki.. Ameen,teruskan bertinta! =)

     
  18. Zulfah Arfah

    18 Oktober 2011 at 12:57 am

    Sangat menyentuh perasaan…

     
  19. miza

    18 Oktober 2011 at 2:00 pm

    Salam..Subhanallah..tulisan yang amat bermakna dan terlalu dekat di hati..
    Saya rindukan ketenangan itu..saya perlu mencarinya kembali

     
  20. raredour

    18 Oktober 2011 at 2:18 pm

    Rindukan tulisan-tulisan ustaz yang menyentuh dah berbulan-bulan ..terubat dengan yang ini , alhamdulillah :)

     
  21. aya

    18 Oktober 2011 at 11:12 pm

    apa pandangan ustaz, isteri yg pernah dicurangi oleh suaminya. walau tidak sampai terjadi perpisahan tetapi rasa bahagia itu hilang dari sudut hati seorang isteri.setiap detik hatinya didatangi rasa syak wasangka, curiga & benci tiapkali teringat perbuatan suaminya itu…bagaimana nak dptkan bahagia jika hatinya tak tenang.mohon pandangan ustaz.

     
  22. Nani Ismail

    19 Oktober 2011 at 9:34 am

    Salam ustaz..

    Blog ustaz “mencari ketenangan hati” di iluvislam.. menarik saya ke lelaman ustaz dan terus terpaut dgn tulisan ustaz.. itulah salah satu bacaan peringkat awal saya ke arah kebaikan.. Alhamdulilah..tulisan ustaz byk menjadi sampingan dlm hijrah saya ke arah kebaikan.. Blog mencari ketenangan hati itu saya print dan menjadi fridge magnet saya..

    Saya menetap di Singapura dan Alhamdulilah, dapat memperolehi bukux2 ustaz melalui Encik Ahmad. Alhamdulilah, dapat kongsi tulisan ustaz juga dengan kawanx2. Insya Allah, akan saya usahakan agar ustaz dapat memberi ceramah di Singapura.

    Semoga Ustaz sentiasa di bawah naungan rahmat Allah swt. Luv Allah!

     
  23. Muhasabah diri.....

    19 Oktober 2011 at 11:54 am

    subhanallah…
    alhamdulillah…..

     
  24. Wan Zayuhisham Wan Yusoff

    19 Oktober 2011 at 2:59 pm

    Semoga bahagia senantiasa bersama kita. Bermakna kita senantiasa ingatkan DIA.

     
  25. nafis

    20 Oktober 2011 at 10:21 am

    Saya tetrtarik dgan sajak tersebut, bait- bait awalnya sama seperti lagu cinta madinah :)

     
  26. nur

    20 Oktober 2011 at 12:16 pm

    assalamualaikum ustaz, bahagia dunia & akhirat. tq ustaz

     
  27. hapsah

    20 Oktober 2011 at 2:15 pm

    salam…tersentak hati saya membaca tulisan ustaz…memang bahagia itu sangat sukar didefinisikan. semoga saja kita semua akan menemukan bahagia yang dicari di dunia dan akhirat. Terima kasih pada perkongsian yang menyentuh rasa ini…

     
  28. siti zubaidah saidin

    20 Oktober 2011 at 8:50 pm

    Renung-renungkan…. bagaimana rumah tangga kita? yang pasti, jika Allah sentiasa di hati dan apa yang kita lakukan semuanya kerana Allah, insyaallah bahagia milik kita…

     
  29. nazir

    20 Oktober 2011 at 9:58 pm

    alhamdulillah.. bahagianye kite ade Allah sbagai Tuhan.. shukran ustaz.. assalamualaikum.

     
  30. Matus

    21 Oktober 2011 at 7:31 am

    Terima kasih Allah.Terima kasih Ustaz atas perkongsian ilmu.

     
  31. ina

    21 Oktober 2011 at 9:01 pm

    Alhamdulillah ….nikmat bahagia diberikan oleh Allah

     
  32. Zul Salleh

    22 Oktober 2011 at 7:00 am

    Bila Ustaz sebut pasai dapur di rumah Nabi tak berasap kerana tidak ada makanan untuk dimasak saya merasa sedih bila teringatkan seorang penceramah bergelar ustaz juga kat TV mengatakan `Nabi ada stok kurma untuk setahun akan datang kat rumah’.Ini hujah dia untuk mengatakan bahawa hidup ini kena ada perancangan.(saya tak nak sebut nama ustaz tu tapi yang saya berharap beliau tak akan mengulangi lagi hujah itu dimasa akan datang)

     
  33. noor haizan binti mohd nor (izan)

    29 Oktober 2011 at 9:20 am

    Salam ustaz. satu tulisan yang amat indah tapi penuh makna. mohon izin untuk dikongsi dengan teman-teman… tm ksh

     
  34. Nabilah

    30 Oktober 2011 at 12:56 am

    Minta share, boleh ustaz..? terima kasih~

     
  35. Siti Nur

    30 Oktober 2011 at 9:45 am

    subhanallah..kebahagiaan itu dalam hati

     
  36. choco chips

    1 November 2011 at 12:45 pm

    tulisan ustaz serpihan kebahagiaan sy,,,

     
  37. Azila96

    1 November 2011 at 2:37 pm

    salam.semua insan mendambakan ‘Bahagia’.Bahagia itu syukur apa yang ada,redha dengan ujian dan tidak putus asa dgn rahmat Allah.semua itu menghasilkan hati yang tenang,biar orang lain nampak kekurangan,namun dengan ujian dan kepahitan dari Allah s.w.t atas kekurangan itu, bahagia dapat dirasakan…..dlm kehidupan dunia apatah lagi di akhirat sana……w’alam

     
  38. Noraziah Abdul Majid

    9 November 2011 at 10:14 am

    Alhamdulillah..

     
  39. FairosNisa Md Desa

    15 November 2011 at 8:20 am

    Bahagianya bile melihat org lain bahagia.

     
  40. Habibah Supoh

    24 November 2011 at 8:53 pm

    Untuk renungan bersama…

     
  41. noris

    24 November 2011 at 11:09 pm

    bahagia bukan diukur dari matabenda…
    ianya terbit dari hati kita..
    apa yang kita lalui,alami,nikmati,rasai
    bakal pencetus bahagia…
    itu yang saya rasa kini…
    bahagia punya keluarga yang
    menjurus kpd Agama Allah swt…
    anak2 terdidik dgn cara Islam…
    wallah hua’llam..

     
  42. Ana Muslimah

    28 November 2011 at 12:57 pm

    syukran ustaz…nukilan menyentap jiwa, terkesan di sanubari

     
  43. Wan Salmah

    30 November 2011 at 12:40 am

    Bahagia?
    Dapatkah si penderita merasakan bahagia?
    Tidak ada suami di sisi meladeni anak-anak yg kian membesar?
    Kerana rumah tangga yang musnah dirempuh tsunami?

    Ya Allah Ya Rahman,
    Setiap masa Engkau dalam kesibukan,
    Tangan kutadah semoga daku tergolong sentiasa dalam rahmat kasih-Nya,

    Alhamdulillah, bahagia itu terletak di hati,
    Hati yang reda dengan ketentuan takdir-Nya,
    Yang percaya dan yakin akan janji-janji-Nya,
    Bahawa Dia tidak akan mensesiakan setiap usaha hamba-Nya (yang melakukan perbuatan baik)..
    (Tiada daya dan kekuatan melainkan daya dan kekuatan-Mu)

     
  44. wati

    7 Disember 2011 at 8:50 pm

    Dulu saya dpt merasakan kebahagian itu , tapi setelah saya di khianati n di curanggi hati saya jadi hancur dan perlahan2 kebagian yg pernah saya kecapi dulu semakin pudar.

     
  45. REJE CIK

    11 Disember 2011 at 10:48 am

    ASS, SANGAT BERMANFAAT. jAZAKALLAH KHAIR

     
  46. Nur

    15 Mac 2012 at 12:28 pm

    Indah. Doakan kami muda mudi mendapat kebahagiaan sebegini. Moga dtarbiah hati2 kami. Pasangan2 kami

     
  47. Waris Biduanda

    4 Mei 2012 at 9:10 am

    ….dihimpit situasi yg sama lagi….berulang dan berulang lagi…hari ini saya tahu dimana saya dpt memujuk hati…agar sentiasa berusaha utk redho atas ketentuan Illahi. Jiwa saya terasa kosong…kehampaan dn kekesalan menguasai diri dn hati….Astaghfirullahaladzim! saya hampir hilang arah pandu diri…mujur akal cepat mengingati…hati berbisik…melafazkn kalimah suci. Dan dgn izin-NYA saya bertemu ustaz diruangan GENTA RASA…Alhamdulillah! biar sekadar bicara tanpa suara…” kekosongan ” kembali terisi…TENANG DAN DAMAI rasa dihati. Terimakasih ustaz….akan saya jadikan panduan dlm meniti hidup ini…sbg seorang isteri jg ibu kpd permata hati. Biar pun pedih…biar pun sedih!…KEBAHAGIAAN yg selama ini blm saya temui…namun demi mencari redho Illahi…akan saya kuatkan hati….doakn saya ustaz…jg rakan2 yg memahami….SYUKUR kehadrat Allah SWT….atas segala kurniaNYA…..Aamiin…………….

     
  48. Hendrawati MS

    17 Mei 2012 at 2:26 pm

    Reblogged this on The Druggist……… and commented:
    This is good.. tersentuh hati bila membacanya..

     
  49. Nesia Rayyan

    5 Jun 2012 at 2:28 pm

    Salam Ustaz.. Kebahagiaan adalah ketenangan hati. ketenangan hati diperolehi dgn ketaqwaan kepada Illahi. Saya telah melalui pelbagai suka duka pahit manis dlm hidup ini namun saya tabah dan sabar menempuhinya. Walau gelora tsunami pernah melanda namun saya gagahi juga untuk sampai ke pantai kebahagiaan. Saya mengingati NYA tika suka dan duka tika susah maupun senang…bila kita redha menerima segala ketentuan dari NYA kita akan dapat mengecapi ketenangan dan kebahagiaan itu….

     
  50. puterikasihsayang

    15 Jun 2012 at 2:54 pm

    assalamulaikum wrt….salam bahagia ustaz…..sy senantiasa mendoakn kebahagiaan suami sy dlm keredhaan allah swt dunia dan akhirat…..walaupun pelbagai dugaan…cabaran….ujian….dtg nya dr allah swt buat sy….selama sy tidak bersama (tidak sebumbung lebih kurg 8 bln) dgn suami lagi…..sy yakin yg suami sy dh bahagia dgn isteri barunya…..sy merasa bahagia pabila suami berkata yg dia lebih bahagia dgn isteri barunya skrg ini…..kini sy mencari kebahagiaan untuk meneruskn hidup sy……sy serahkn segalanya pd allah swt siapa jodoh sy…..wasalam…..

     

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,165 other followers

%d bloggers like this: