Looking for Something?

REHATKAN HATI…

Author:

Sungguh, benteng pertahanan terakhir kita kian rapuh. Saban hari saya menerima email atau panggilan yang menceritakan tentang rumah tangga yang hampir runtuh. Padahal saya sendiri masih terkial-kial bermujahadah untuk menjadi ayah, suami dan anak yang baik. 

Kekadang saya tidak dapat memberi jawapan yang baru. Ini tentu menjemukan, kerana sahabat-sahabat perlukan pembaharuan pada jawapan. Apa yang mampu saya luahkan? Selain, mengulang-ulang apa yang pernah dipesankan oleh generasi salafussoleh terdahulu. Juga mengulang-ulang kata-kata yang pernah membujuk hati ketika saya sendiri diuji. 

Sahabat dan saudaraku… jangan pernah mengalah. Patah sayap, terbanglah jua. Jika jatuh, jangan rebah… biar terhenyak tetapi tetap tegak walaupun terpaksa bertongkatkan dagu. Marilah kita berpegang pada janji bahawa kita akan selamanya bersatu dalam munajat dan nasihat. Kerana apa yang kita harap daripada seorang manusia hanyalah dua… munajatnya dan nasihatnya!

Tidak semua yang bertanya dapat saya jawab secara khusus. Ada yang saya baca dan terus doakan. Ada yang saya baca, terus termenung… berfikir dengan kepala yang simpati dan dada yang empati. MasyaAllah, kita sering kalah. Namun, buat sekian kalinya kita berbaiah, kita sekali-kali tidak akan mengalah!

Lalu, diketika saat-saat dirimu dan diriku diuji, sudi apalah kiranya kita REHATKAN HATI...

Mengapa setelah berzikir, solat atau berdoa  hati belum tenang? Sedangkan Allah telah menetapkan dalam Al Quran bahawa dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang? Khususnya ketika menghadapi ujian rumah tangga mengapa hati kita masih resah, kacau dan galau walaupun sudah berbuih mulut meluahkan kalimah-kalimah zikir? Justeru, ramai isteri atau suami mengadu, mengapa hati mereka tidak tenang walaupun telah berzikir ketika menghadapi krisis, ujian dan kesusahan dalam hidup berumah tangga?

Mengapa kita belum mendapat ketenangan sepertimana yang dimiliki oleh pasangan Sayidina Ali dan Siti Fatimah walaupun kita telah berzikir dengan kalimah subhanallah, alhamdulillah dan Allah hu Akbar, sama seperti yang pernah diamalkan oleh mereka? Apa yang tidak kena dengan zikir kita? Bukankah kalimahnya sama? Bukankah jumlah atau bilangannya sama?

Tidak syak lagi kita tidak dapat menghayati maksud tersirat daripada kalimah-kalimah zikir itu. Berzikir tanpa menghayati falsafah dan makna tersirat di sebaliknya, umpama burung kakak yang pandai bertutur. Untuk menghayati makna zikir sehingga meresap ke dalam hati perlukan ilmu, amalan dan latihan. Marilah kita sama-sama kita fahami apakah kesan atau rasa-rasa yang perlu dirasai oleh hati apabila kita mengingati Allah (berzikir).  Antara rasa-rasa itu ialah:

1.      Rasa kehambaan.

Rasa kehambaan ialah rasa miskin, jahil, lemah, bersalah, hina dan lain-lain sifat kekurangan seorang manusia apabila berdepan dengan ujian daripada Tuhannya. Apabila diuji dengan karenah pasangan, kekurangan harta, anak-anak sakit dan sebagainya, seorang suami atau isteri yang memiliki rasa kehambaan akan sedar bahawa semua itu hakikatnya datang daripada Allah. Firman Allah:

“Tidak sekali-kali akan menimpa Kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman bertawakal. (Surah al-Taubah 9: 51).”

Bila menyedari hakikat itu, seseorang akan pasrah dan merasakan bahawa dia wajar diuji. Hatinya berbisik, “bukankah aku seorang hamba? Aku sewajarnya akur dengan apa yang berlaku dan tidak mempersoalkan mengapa aku diuji begini. “ Hatinya tidak akan berkata, “kenapa aku, bukan orang lain?” Menerima hakikat bahawa kita layak diuji akan menyebabkan hati menjadi tenang. Sebaliknya jika kita ‘memberontak’, hati akan bertambah kacau. Let go, let God – maksudnya lepaskan dan pasrahlah kepada Allah.

Apakah tanda-tanda kita memberontak apabila diuji? Kata Imam Ghazali rahimahullah, “cukuplah seseorang hamba dikatakan sudah ‘memberontak’ kepada Tuhannya apabila dia menukar kebiasaan-kebiasaan dalam hidupnya apabila diuji Allah dengan sesuatu yang tidak disukainya!” Misalnya, seseorang suami atau isteri itu tidak mahu lagi untuk makan dan minum secara teratur, tidak menyisir rambut, tidak berpakaian kemas, tidak mengemaskan rumah atau menjaga anak-anaknya lagi.

Marilah sama-sama kita ingat, apabila ditimpa ujian, kita diajar untuk mengucapkan kalimah istirja’, “Inna lillah wa inna ilaihi raji’un.” Firman Allah:

“Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nya kami kembali. (Surah al-Baqarah 2:156).”

Kalimah ini mengingatkan kita agar kembali merasakan erti kehambaan. Bahawa kita adalah milik Allah dan kepada-Nya kita akan dikembalikan. Kita layak, patut dan mesti diuji kerana kita hamba, bukan tuan apalagi Tuhan dalam hidup ini. Dengan ini kita akan dapat menurunkan rasa marah kepada pasangan, anak-anak, mertua atau sesiapa sahaja anggota keluarga kita. Ya, mereka berbuat demikian atas izin Allah jua!

2. Rasa bertuhan.

Rasa kehambaan yang serba lemah, itu mesti diimbangi oleh rasa bertuhan. Apabila kita rasa lemah, timbul pergantungan kepada yang Maha kuat. Apabila kita rasa kurang, timbul pengharapan kepada yang Maha sempurna. Apabila kita dihimpit kesedihan semakin kuat rasa pergantungan, pengharapan, permintaan kita kepada Allah. Mungkin selama ini kita terlalu bergantung kepada suami, isteri atau anak-anak.

Jika rasa kehambaan menyebabkan kita takut, hina dan lemah. Sebaliknya rasa bertuhan akan menimbulkan rasa sabar, tenang dan berani menghadapi apa jua masalah dalam rumah tangga. Seorang suami yang paling kuat menghadapi ujian dalam hidup ialah suami yang merasa lemah di sisi Allah. Ketika itu ujian walau bagaimana berat sekalipun akan mampu dihadapi kerana merasakan Allah akan membantunya. Firman Allah: “Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita. (Surah Taubah 9:40)”

Rasa bertuhan inilah yang menyebabkan para nabi dan rasul sanggup berdepan dengan karenah isteri mereka. Nabi Luth, Nabi Ayub, Nabi Nuh misalnya, mampu menghadapi ujian yang paling kritikal dalam rumah tangga mereka. Doa adalah senjata mereka manakala solat dan sabar menjadi wasilah mendapat pertolongan Allah. Firman Allah: “Dan pintalah pertolongan dengan sabar dan mengerjakan solat. (Surah al-Baqarah 2: 45)”

Dalam apa jua keadaan – positif mahupun negatif, hati suami atau isteri tetap tenang. Firman Allah:  “Dialah Tuhan yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman, supaya keimanan mereka makin bertambah daripada keimanan yang telah ada. Kepunyaan Allah tentang langit dan bumi, dan Allah itu Maha Tahu dan Bijaksana. (Surah al-Fath 48:4)”

Apabila hati tenang, berlakulah keadaan yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya yang dilaporkan oleh Sa’ad bin Abi Waqqas: “Aku hairan dengan orang beriman, sekiranya dia mendapat kebaikan, maka dia akan memuji Allah dan bersyukur, dan sekiranya dia mendapat musibah dia akan memuji Allah dan bersabar. Dan setiap mukmin diganjari dalam setiap urusannya sehingalah diberi pahala pada setiap suapan makan yang diangkat ke mulut isterinya.”

3.      Memahami maksud takdir Allah

Mana mungkin kita dapat mengelakkan daripada diuji kerana itu adalah takdir Allah SWT. Yang mampu kita buat hanyalah meningkatkan tahap kebergantungan kita kepada Allah di samping berusaha sedaya upaya menyelesaikan masalah itu. Ungkapan yang terkenal: We can’t direct the wind but we can adjust our sail – kita tidak mampu mengawal arah tiupan angin, kita hanya mampu mengawal kemudi pelayaran kita.

Kemudi dalam bahtera rumah tangga kita ialah hati. Hati yang bersifat berbolak-balik (terutamanya apabila diuji) hanya akan tenang apabila kita meyakini sifat kasih sayang, keampunan dan sifat pemurah-Nya tetap bersama kita sewaktu diuji. Dalam apa jua takdir yang ditimpakan-Nya ke atas kita adalah bermaksud baik sekalipun kelihatan buruk. Walaupun kekadang kita belum nampak kebaikannya, percayalah kebaikannya pasti ada.

Tidak salah untuk kita menyelesaikan masalah yang menimpa (bahkan kita dituntut untuk berbuat demikian), namun jika masalah itu tidak juga dapat diselesaikan, bersangka baiklah kepada Allah, berdasarkan firman-Nya:  “Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui sedang kamu tidak mengetahuinya. (Surah Al Baqarah 2: 216)”

Siapa tidak inginkan keharmonian, kasih sayang dan kemakmuran dalam berumah tangga. Namun jika setelah berusaha sedaya upaya, krisis masih berlaku jua, maka bersangka baiklah dengan Tuhan. Mungkin itu caranya untuk kita mendapat pahala sabar. Begitu juga kalau kita ditakdirkan kita kesempitan belanja, maka berusahalah untuk menambah pendapatan, kerana itulah maksud Allah mentakdirkan begitu.  Ya, dalam apa jua takdir Allah, hati kita dipimpin untuk memahami apa maksud Allah di sebalik takdir itu.

Dengan ini kita tidak akan merungut, stres dan tertekan. Hayatilah kata-apa yang ditulis oleh Ibnu Atoillah ini: “Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik.”

Jagalah rumah tangga kita dengan sebaik-baiknya. Carilah jalan damai sehabis daya.  Namun ingatlah jika badai terus melanda, ingatlah itu sudah maktub (tertulis). Jangan rosakkan hati kita dengan kalimah “kalau” atau “jika”. Hayati sabda Rasulullah saw ini: “Oleh itu, hendaklah engkau bersungguh-sungguh berusaha memperoleh apa yang memberi manfaat kepadamu, serta hendaklah meminta pertolongan kepada Allah dan janganlah engkau bersikap segan dan malas. Dan jika engkau ditimpa sesuatu, maka janganlah engkau berkata: “Kalau aku lakukan anu anu, tentulah akan terjadi anu anu, tetapi katalah: “Allah telah takdirkan dan apa yang dikehendaki oleh kebijaksanaan-Nya Ia lakukan,’ kerana perkataan ‘kalau’ itu membuka jalan kepada hasutan syaitan.” (Hadis riwayat Muslim)

4.      Mendapat hikmah apabila diuji.

Hikmah adalah suatu kebijaksanaan mendapat kebaikan di sebalik satu keburukan. Hikmah dikurniakan sebagai hadiah paling besar dengan satu ujian. Hikmah hanya dapat ditempa oleh mehnah – didikan langsung daripada Allah melalui ujian-ujian-Nya. Daripada Abd al-Rahman bin Azhar bahawa Ra­sul­ullah SAW bersabda: “Perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa sakit atau demam, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilanglah karatnya (tahi besi) dan tinggallah yang baik sahaja.”

Jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, reda, pemaaf, qanaah daripada Tuhan? Maka dengan ujian bentuk inilah para suami atau isteri meraih sebanyak-banyaknya pahala dan keredhaan Allah. Rumah tangga adalah medan ‘perjuangan’ melawan nafsu marah, putus asa, buruk sangka, dendam dan lain-lain sifat mazmumah yang mungkin timbul hasil interaksi dan komunikasi antara suami isteri, ibu-bapa dengan anak-anak, mertua dengan menantu.

Pendek kata, bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negatif kerana Allah sentiasa mempunyai maksud-maksud yang baik di sebaliknya. Justeru, hayatilah kata-kata hikmah ini: “Allah melapangkan bagimu supaya engkau tidak selalu dalam kesempitan, dan Allah menyempitkan bagimu supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan, dan Allah melepaskan engkau dari keduanya supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain Allah.”

Ya, inilah empat rasa yang sewajarnya ada ketika kita berzikir sewaktu mengharungi ujian dalam berrumah tangga. Bawalah hati kita berehat… dan rehat sebenar ada di dalam zikir. Dan zikir yang paling besar adalah solat. Oleh kerana itulah Rasulullah saw sering menyuruh Bilal supaya azan dengan katanya yang membujuk, “rehatkan kami dengan solat wahai Bilal!”

Feedback

30
  • Maisarah

    Alhamdulilah.. Syukur atas pengisian ini.. Terima kasih ustaz.

  • nadia

    Salam Ustaz, terima kasih dengan entry yang terbaru.

    Saya juga menghadapi krisis rumah tangga emak dan ayah saya sedang di landa fitnah dunia.
    Saya mengakui, bukan senang untuk membendung untuk tidak bersangka buruk, tidak beremosi dalam keadaan begini, saya sedih kerana mempercayai kata-kata orang lain drpd percaya akan kata-kata ayah sendiri. Masakan hati ini tidak tercarik, jika ianya benar…masakan jiwa ayah tidak terkoyak, jika ianya palsu.

    Tiada kata lain, akur dengan ujian ini kerana ini adalah satu tajuk dalam kehidupan saya. Saya faham, saya percaya dan saya sedang mujahadah. InsyaAllah.

    Sama-sama berdoa untuk kuat bermujahadah di atas dugaaNya. Saya percaya bahawa Allah menyayangi ustaz, ayah saya dan diri ini. Maka, Allah tidak akan berlaku zalim dengan kita. InsyaAllah, kebenaran akan terungkai dan semuanya membawa hikmah.

  • Aneeqa

    Assalam,

    catatan yang membuat diri agar sentiasa bersyukur akan nikmat Allah dan bersabar akan ujian yang di beri oleh NYA.

    illal liqo’

    AJ

  • nor atikah

    Assalammualaikum En. pahrol.
    saya salah seorang pembaca yg mengikuti majalah solusi dan meminati kolum saudara.
    saya telah pun membeli buku “beduk diketuk”.
    apa yg saya mahu nyatakan, alhamdulillah,syukur ke hadrat ALLAH S.W.T. kerana saya merasakan bukan mudah untuk berjumpa sesuatu yg benar-benar menyedarkan kita lebih2 lagi pada dunia yg akhir zaman ini..tulisan saudara byk menyedarkan saya dan saya turut berkongsi bersama keluarga apa yg ada di dlm buku tersebut. kami sama-sama membaca dan menghayati maksud saudara..mengaku bila terkena batang hidung sendiri dan sama-sama bermuhasabah dan menasihati..ibu saya juga begitu dan berasa geli hati bila ada setengah topik mengenai tentangharian yg beliau lakukan di masjid.

    terima kasih yg tidak terhingga dari saya dan keluarga..moga saudara teruskan perjuangan dlm menyebarkan dakwah tidak kira dlm ceramah atau bidang penulisan..sekaligus saya dan lain2.akan saya kongsikan dan menyahut segala yg perlu sebagai salah seorg muslimah di bumi ALLAH S.W.T.

  • Fadzilah

    Tkasih ustaz, mesej yg digarap begitu kemas walau pernah dibaca dan didengar tetap memberi kelainan kepada jiwa yang mengharapkan ilmu..semoga Allah memudahkan perjalanan ustaz dan kita semua..

  • Pemburu Impian

    Assalamualaikum Ustaz.
    Terima kasih banyak-banyak ya ustaz. Menarik jawapan itu, malah lebih menarik lagi bila boleh diungkapkan dalam sebaris ayat. Apakah agaknya ayat itu ya ustaz…?

  • ummu ammar

    alhamdulillah..terima kasih ustaz..

  • nadia nazri

    bahagianya bila dapat merasakanNya..:-)

  • Zahraa

    salam ustaz
    catatan yg sangat terkesan dihati…redha dengan takdir Ilahi..
    siapalah kita untuk mempersoalkannya…..kita hamba yg tiada apa2..
    Saya juga pernah diuji dalam badai rumahtangga..ye.spt yg ustaz katakan..
    sabar,hadapi,berusaha,berdoa dan tawakkal…..alhamdulillah segalanya berlalu
    dengan kemanisan…dan jutaan hikmah mampu saya kutip dr pengalaman itu.
    Inilah kehidupan..medan ujian.
    TQ ustaz…sesungguhnya segala coretan ustaz amat saya nantikan dan banyak
    ilmu telah saya kutip darinya.Terima kasih..semoga ALLAH permudahkan ustaz
    dalam urusan dunia dan akhirat.Amin.

  • hanisah niha's

    ya muqallibal qulub..thabbit qulubana ‘ala diinika wa ‘ala tho’atik..

  • alkhattabbatik

    masyaALLAH..segala nasihat yg betul2 menusuk ke dlm jiwa..terasa byk kekurangan dan kerdil dlm menusuri kehidupan..tetapi perlu kuat dan gagah supaya ISLAM dpt ditegakkan di muka bumi ALLAH ini..

  • Cahaya hidup

    Syukran for sharing….

    Semoga sahabat-sahabat dapat mengambil iktibar….padat 🙂

    Adakalanya saya juga terasa membawa beban apabila mendengar masalah orang…dan terasa masalah dan ujian kita hadapi cuma secubis, semoga kita mendapat manfaat diatas pengisian ini.Amin

  • gentarasa

    Saya ikuti rancangan tu. TV Hijrah… Tahniah!

  • gentarasa

    Amin, Amin, Amin… Ya Rabb.

  • Nurul Fasiha

    alfun mabruk!
    superb pendai’e

  • Abu Ziyad

    Baarakallahufik…
    Pohon izin share ye ustaz…

  • Rosmaihan

    Alhamdulillah syukur kerana bertemu dengan ruangan yang menjawab segala persoalan dan pengisian yang yang sangat bermakna sebagai ilmu dalam meneruskan kehidupan ini….Terima Kasih Ustaz

  • Mahfuzah Yasin

    mashaAllah, kata2 yg indah dr uztaz.. betul2 menusuk ke dlm jiwa.. terima kasih uztaz..

  • hanita

    assalamualaikum ustaz,saya amat bersetuju dengan tulisan ustaz….saya telah diuji…..dan akhirnya
    apabila saya redha,sabar dan bersyukur kepada ALLAH barulah saya nampak besarnya hikmah yang saya terima selepas diuji.Syukur Alhamdullilah…..

  • Nur

    Assalamualaikum….

    Terima kasih ustaz atas perkongsian ini yang sedikit sebanyak dapat memberi kekuatan kepada diri saya….ustaz doakan sy supaya diberikan kekuatan dalam mujahadah untuk menjadi seorang yang sentiada redha dan bersabar dgn takdir dan juga ujian yg diberikan kpd sy..sesungguhnya sgt berat utk menghadapi ujian bila ia melibatkan keluarga sendiri….subhanallah..

  • nurtaqwa

    Alhamdulillah, terima kasih Ustaz Pahrol atas perkongsian yang begitu bermakna ini.
    Walau apa jua masalah kita, walau apa jua pun, sebenar-benar2, 4 ‘rasa’ inilah formula penyelesaian buat damai pada jiwa.

  • atifah

    Ustaz mohon share entry..

  • Wan Salmah

    Kita akan terus diuji sehingga .. sehingga bila-bila..kerana ujian dapat memangkas, mengikis sikap mazmumah yg sudah berkarat dalam diri..dan kita sepatutnya bersyukur kerana kita dipilih Tuhan..
    why me? thanks Allah for choosing me.. Antara banyak hamba-Nya, dipilihnya kita untuk ‘dibersihkan’ dan tidak dibiarkan kita hanyut beristidraj..

    Ya, jika kita berasa diri kita sebagai hamba, jadi mengapa bersedih, mengapa bersungut.. sifat hamba ialah ‘yang menurut perintah..’.. bolehkah seorang hamba membantah atau memberontak?

    Allah tidak sesekali zalim dan tidak adil terhadap makhluknya. Sesungguhnya rahmat-Nya mengatasi murka-Nya. Setiap hari kita mendapat nikmat berkat rahmat-Nya tetapi kita sering tidak menyedarinya. Tetapi, sekali kita kesusahan, kita sudah mengeluh..

    Allah itu Maha Adil, namun kita sering merasakan kita dipinggirkan. Kita menginginkan sesuatu yg kita tidak memperolehnya. Sedangkan Allah memberi apa-apa yang kita perlu…

    Dunia ini tiada nilainya di sisi Allah.. akhiratlah kekal abadi..

    (Ya Allah, kurniakan kami kekuatan untuk beristiqamah dalam bersabar sebagai hamba-Mu.)

  • MAH

    Salam Sejahtera Ustaz,

    Ujian mentaati Allah, ujian nikmat, ujian maksiat dan ujian musibah, kita pasti akan menghadapi ujian-ujian ini.

  • Nur Amany Ifwah binti Anuar

    Ustaz, bagaimana sekiranya saya ada kemusykilan atau mahu minta pendapat ustaz? adakah hanya di sini atau email?

  • gentarasa

    Salam Nur Amany.
    Email saya pahrolmohdjuoi@yahoo.com. Syukran.

  • Nur Amany Ifwah binti Anuar

    Terima kasih ustaz,..saya amat menghargai,….

  • Meriam bt. Che Hamat

    Terima kasih atas penulisan ustaz, Saya tidak hanya membaca laman ini. Tulisan ustaz dalam majalah Solusi dan IKIM bagikan air sungai yang mengalir damai dan menyejukan jiwa. Hidup saya penuh dengan pelbagai dugaan dan kesilapan namun kini saya yakin bahawa ke semua itu adalah yang diperlukan untuk saya menjadi insan yang matang dan bijaksana serta lebih dekat dan cinta akan Allah S.W.T.

Leave a Reply

%d bloggers like this: