RSS

SEORANG SUAMI BERNAMA MUHAMMAD S.A.W

15 Feb

Begitu lama tidak meletakkan entri baru dalam gentarasa. Saya dalam cabaran untuk membahagikan masa natara menulis, menjalankan program latihan, berceramah dan menguruskan hal-hal peribadi serta keluarga. 

Banyak yang perlu dipertimbangkan. Bukan dengan akal dan pemikiran sahaja, tetapi joga dengan hati dan perasaan. Kekadang logik itu menyakitkan. Kekadang emosi itu lepas dari kendali realiti dan kenyataan. Pohon hidayah Allah juga untuk membuat keputusan yang tepat dan tindakan yang paling bermanfaat. 

Dilema antara tuntutan menulis dan memberi ceramah ini sudah lama. Telah ada pun keputusannya. Saya ingin menulis! Itulah kata-kata pengukuhan. Namun kekadang ada panggilan di hujung talian menusuk hati walaupun kekadang yang mengundang untuk berceramah di surau-surau kecil yang tidak berapa ramai ahlinya. Saya kekadang bimbang, mana tahu ada orang di situ yang benar-benar inginkan petunjuk, manalah tahu ceramah daif daripada saya boleh enjadi sebabnya (hidayah milik Allah).

Banyak juga pelawaaan untuk muncul di TV terpaksa saya tolak. Kekadang tajuknya sangat besar sehingga saya tidak mampu menanganinya. Saya tolak dengan baik2. Kekadang, tajuknya besar sedang wadah masanya terlalu keci, sehingga tidak mampu saya menyelaraskannya dengan misi dalam hati untuk berdakwah pada diri dan masyarakat. Ya, saya belajar melepaskan…

Banyak juga persoalan, masalah peribadi yang diajukan oleh pembaca, belum mampu saya jawabkan. Tetapi percayalah, sebaik sahaja saya membacanya saya akan berdoa untuk dri saya dan insan-insan yang dilanda ujian itu. Kita sama-sama diuji… 

Maka terbayanglah dalam ruangan fikiran saya, bagaimana ulama-ulama, ustaz-ustaz, para pendakwah yang jauh lebih tercabar dengan kerja dakwah ini. Tentu ujian mereka lebih hebat. Bukan setakat ulama-ulama silam, malah pendakwah-pendakwah kontemporari kini pun mungkin menhadapi cabaran yang getir… Saya yang bagaikan ‘akar’ di tengah-tengah rotan ini hanya mampu beristighfar dan berdoa, semoga semua itu dorongan untuk mendidik diri.

Maafkan saya, saudara-saudari jika lama tidak memasukkan entri baru, bukan bermakna saya ‘lari’ tetapi kononnya berundur seketika ke belakang, ambil lajak untuk melompat lebih tinggi dan jauh. Apapun seperti yang saya pesan selalu, kita tidak akan mengalah dalam mujahadah. Kerana jika tidak susah-susah dalam melalui jalan kebenaran, kita tetap akan disusah-susahkan juga tetapi di jalan kebatilan. Lebih baik kita susah di jalan Allah, daripada susah di jalan nafsu dan syaitan.

Pada bulan Rabiulawwal ini izinkan saya menukilkan : Seorang Suami Bernama Muhammad S.A.W...

Jika ingin membina dunia yang lebih aman, kembalilah ke rumah masing-masing dan sayangi keluarga kita. Insya-Allah, apabila keluarga telah aman, masyarakat akan aman. Apabila masyarakat aman, negeri dan seterusnya negara akan aman. Dan apabila negara-negara telah aman, seluruh dunia akan aman. Oleh itu, apabila dunia semakin bergolak pada saat ini, percayalah itu semua berpunca daripada pergolakan rumah tangga. Ribut dalam cawan rumah tangga boleh mencetuskan badai di seantero dunia.

Perkara yang pertama dan utama dalam hidup seorang lelaki bernama suami adalah keluarga. Tidak ada gunanya dia berjaya di peringkat yang tinggi dan dalam bidang apa sahaja… sekiranya rumah tangganya sendiri berantakan. Justeru, Allah telah awal-awal lagi mengingatkan melalui firmanNya yang bermaksu, selamatkanlah dirimu dan keluargamu daripada api neraka!

Setiap lelaki pasti ditanya tentang kepimpinanya. Dan kepimpinan yang pertama akan dipersoalkan di Hari Akhirat nanti, bukan kepimpinan masyarakat, organisasi, jabatan,  kabinet atau negaranya… tetapi kepimpinan dalam keluarganya. Seorang wanita mudah masuk ke dalam syurga walaupun tanpa suami bersamanya, tetapi seorang lelaki sangat sukar masuk ke syurga tanpa isterinya. Seorang suami hanya layak ke syurga apabila semua yang berkaitan isteri dan anggota keluarganya sudah dipersoalkan.

Oleh kerana itu tertib dalam usaha membina kehidupan yang baik dimulakan dengan membaiki diri, kemudian membaiki rumah tangga dan seterusnya pancarkanlah sinar dalam rumah tangga itu ke tengah masyarakat. Bukankah sinar Islam itu pun bermula dari rumah Rasulullah saw? Nur wahyu dari gua Hira’ terpancar ke dalam diri Rasulullah, kemudian menyinari jiwa Khadijah dan kemudian dari situlah… bermulanya cahaya Islam ke dalam masyarakat Arab di Makkah, seterusnya merebak ke Madinah dan akhirnya tersebar ke seluruh semesta.

Justeru, sebelum kita mencari pengiktirafan sebagai pengurus, pengarah, CEO, menteri, perdana menteri, Presiden, raja dan sultan yang berjaya, carilah dahulu pengiktirafan dari dalam rumah tangga sendiri. Jadilah suami yang berjaya. Tegasnya, kita belum benar-benar diiktiraf sebagai seorang yang baik sekiranya belum menjadi suami yang baik. Sekiranya kita bertanya siapakah orang yang paling baik? Dengarlah jawapan dari Rasulullah saw ini: ”Orang yang paling baik diantara kamu adalah orang yang paling baik terhadap keluarganya. Dan aku adalah orang yang paling baik diantara kamu terhadap keluargaku.”

Mari sejenak kita layangkan fikiran dan terbangkan rasa menjelajah rumah tangga Rasulullah. Kita saksikan bagaimana manusia agung ini berjuang dalam gelanggang yang paling kecil tetapi sangat besar pengaruhnya kepada pembinaan ummah. Ya, bagaimana sikap, cakap dan diam baginda sebagai seorang suami. Semoga kita tidak hanya mengumpul riwayat dan hikayat, tetapi benar-benar menghayati makna sirah yang tersurat dan tersirat.

Adakalanya baginda pulang ke rumah lewat malam malah  menjelang dinihari. Kerja dakwah dan memimpn masyarakat acapkali menyebabkan baginda berenggang dengan isteri. Sejarah menceritakan bagaimana baginda tidak akan mengetuk pintu rumah untuk mengejutkan isteri yang sedang nyenyak tidur. Bahkan dibentangkannya sahaja kain ridaknya lalu dijadikan lapik untuk baginda tidur di muka pintu.

Apabila baginda bertanya kepada isterinya apakah pada hari itu ada makanan untuk dimasak dan apabila isterinya menjawab tidak ada… baginda akan tersenyum lalu memutuskan pada hari itu baginda akan berpuasa. Tenang dan indah sekali. Pada hari ada rezki untuk dimakan, baginda syukur. Apabila tidak ada, baginda sabar.

Sejarah menceritakan juga bagaimana baginda sendiri menjahit bajunya yang koyak dan menampal kasutnya yang bocor. Walaupun dia insan yang paling agung dan mulia, tetapi sentiasa sedia turun ke bawah membuat kerja-kerja yang dianggap remeh dan kecil oleh lelaki-lelaki lain yang kononnya lebih hebat dan unggul. Mereka terlupa bahawa pemimpin yang hebat ialah mereka yang rela membuat kerja-kerja kecil tetapi dengan jiwa yang besar. Dan Rasulullah telah membuktikan hakikat itu!

Bayangkan baginda yang sering menangis, bimbang dan takut akan nasib umatnya di akhirat tetapi masih punya masa untuk bergurau senda dengan isteri-isterinya. Bukan sekali baginda berlumba lari dengan iserinya hinggakan Aisyah berkata, “adakalanya baginda menang, adakalanya aku menang.” Sikap baginda yang romantik itu merupakan sesuatu yang masih sangat baru di kalangan umat Arab, kerana baru beberapa tahun sebelumnya wanita dianggap warga kelas dua sehingga bayi perempuan pun biasa ditanam hidup-hidup.

Sikap ‘gentleman’ dan romantik baginda bukan sahaja pada Aisyah yang jelita tetapi juga pada Saudah, seorang janda yang telah dinikahi oleh baginda ketika telah berusia. Oleh kerana Saudah telah tua dan kurang berdaya  dan badannya yang besar, baginda sering melipatkan lututnya untuk dipijak oleh Saudah apabila isterinya hendak menaiki unta. Sebagai perbandingan,  ramai daripada para suami kini yang membuka pintu kereta untuk isterinya?

Sekiranya terbayang juga kebimbangan pada raut wajahnya ketika masuk ke rumah isterinya, baginda akan menjawab jika isterinya bertanya kenapa? Ketika peristiwa perjanjian Hudaibiyah dimetrai dan para saabat begitu sedih sehinggakan tidak sedar akan perintah Rasulullah supaya bercukur dan menyembelih binatang, Ummu Salamah mendengar kebimbangan baginda itu lalu mencadangkan agar Rasulullah saw dahulu yang bercukur dan menyembelih korban…

Mata baginda bersinar atas cadangan dan pandangan isterinya lantas keluar semula lalu bercukur dan menyembelih kambing tanpa berkata sepatah pun kepada sahabat-sahabatnya. Baginda ‘bercakap’ dengan sikap seperti yang dicadangkan oleh Ummu Salamah. Dan melihat perbuatan baginda itu, para sahabat tersentak, tersedar lalu turut bercukur dan menyembelih binatang.

Bayangkan betapa besarnya jiwa baginda tetapi masih sudi mendengar cadangan daripada para isterinya. Jika benar dan betul, baginda akan menerimanya tanpa rasa malu dan ego. Tetapi jika batil dan salah, baginda tidak akan mengalah atau berundur walaupun selangkah.

Pernah baginda dihadiahkan seekor kambing untuk dimakan bersama keluarga. Baginda meminta Aisyah agar memberikan daging-daging kambing kepada orang yang lebih memerlukan. Aisyah dengan segera menunaikan perintah baginda… cuma ditinggalkan sedikit yakni bahagian kaki untuk Rasulullah saw. Ya, Rasulullullah gemar memakan kambing terutama bahagian kakinya dan itulah yang dititip oleh Aisyah untuk suaminya tersayang.

Apabila tiba waktu makan, Rasulullah bertanya apakah daging-daging kambing itu telah diberikan kepada fakir miskin? Lantas Aisyah menjawab sudah kecuali bahagian kaki yang dimasak untuk baginda. Baginda tersenyum gembira, namun masih sempat mengingatkan isterinya dengan kenyataan  yang penuh tarbiah dan hikmah, bahawa semua bahagian kambing itu menjadi hak mereka di akhirat kecuali bahagian kaki itu!

Di rumah baginda sentiasa tersenyum, ceria dan menolong kerja-kerja rumah. Hanya apabila azan bergema baginda akan berhenti dan serta merta menuju masjid seolah-olah tidak mengenal isterinya lagi. Jangan terkejut jika diberitakan adakalanya baginda akan mandi bersama dengan isterinya dan menceduk air dari bekas yang sama. Bukan berlakon-lakon, jauh sekali mengada-mengada, tetapi itulah realiti peribadi Rasulullah, insan paling kasih, paling sayang, yang segala perbuatannya lahir dari hati nurani yang paling murni. Sifat romantiknya lahir dari hati.

Banyak kali baginda mengingatkan, agar suami berlaku baik kepada wanita dan digalakkan bergurau senda dan bermain-main dengan isteri. Baginda bersabda:” bermain-main itu boleh dalam tiga hal. Ketika melatih kudamu, memanah dan bercanda dengan isterimu.” Biasa baginda mencium isterinya, ketika hendak berpergian jauh ataupun dekat, lama atau sekejap. Ciuman yang bukan hanya apabila nafsu bergolak, tetapi ciuman cinta yang lahir dari hati yang penuh kasih, kasihan dan sayang.

Baginda adalah suami yang ‘sporting’. Suatu ketika pada suatu Hari Raya, Sayidina Abu Bakar masuk ke rumah Aisyah di mana pada ketika itu ada dua orang perempuan sedang menari dan memukul gendang, sedangkan nabi menutup dirinya dengan baju (tidak melihat), maka Abu Bakar yang melihat keadaaan itu membentak kedua wanita tersebut, lalu Rasulullah menampakkan wajahnya seraya berkata, “hai Abu Bakar, biarkanlah mereka, sekarang adalah Hari Raya.”

Baginda minum daripada gelas yang sama dengan isterinya. Bahkan baginda mencecahkan bibirnya pada tempat di mana betul-betul bibir isterinya minum. Bahkan pada saat-saat akhir pemergiannya pun baginda meminta Siti Aisyah melembutkan kayu sugi dengan menggigitnya dan kemudian baginda minta disugikan dengan kayu sugi tersebut. Hinggakan kerana itu Aisyah menyatakan air liurnya dan air liur baginda bertemu sehingga saat akhir menuju kewafatannya.

Apabila baginda berada di bulan Ramadan, sentiasa baginda akan bangun pada waktu dinihari untuk solat dan munajat. Demi kasih sayang terhadap isteri, baginda akan mengejutkan mereka untuk sama-sama memburu kecintaan Allah. Tidak digerakkan isterinya  dengan gerakan yang kasar ataupun lengkingan suara yang tinggi, tetapi cuma disentuh dengan penuh kasih sayang dan dibelai dengan kata-kata bujukan.

Jika kita ingin menjadi suami… contohilah seorang suami yang bergelar Rasulullah – utusan Allah yang membuktikan kepada kita bahawa perkahwinan itu bukan hanya soal hidup bersama  tetapi ‘cinta bersama’ buat selama-lamanya.

Masyhurlah kemudiannya kata-kata “marriage is loving-together, not just living together” namun Nabi Muhammadlah suami yang membuktikan hakikat itu dalam kehidupan berumahtangganya lebih 1400 tahun yang lalu.Teladanilah seorang suami bernama Muhammad s.a.w

 
47 Komen

Posted by di 15 Februari 2012 in Tarbiyah

 

Label: ,

47 responses to “SEORANG SUAMI BERNAMA MUHAMMAD S.A.W

  1. rosya

    15 Februari 2012 at 8:55 am

    Romantiknya Rasulullah saw.. =)

     
  2. NOOR NAJIAH

    15 Februari 2012 at 9:36 am

    Allahuakbar. artikel ini meninggalkan sejuta satu kerinduan pada insan bergelar Rasulullah itu. Sebak dan mengalir air mata saya membaca cita Rasululullah yang agung. Dia mencintai isteri-isterinya tetapi Allah lebih dicintainya,dalam masa yang sama sedikitpun tugas-tugasnya diabaikan. Subhanallah. amat indahlah andai sedikit sebanyak lelaki2 umatnya dapat mencontohi Baginda. Maka lebih amanlah dunia, lebih bnyaklah penghuni syurga. Terima kasih ustaz kerana mengubat kerinduan pada artikel tulisan ustaz dengan kerinduan yang mendalam pada Rasulullah… Walau lambat untuk mendapatkan tulisan ustaz yang baru, tapi lambat itu lebih berkat. Moha Ustaz sentiasa dikurniakan Allah ilham-ilham baik selalu dalam menyampaikan. Moga Kesihatan juga baik untuk istiqamah dalam berdakwah.

     
  3. ara_ redha

    15 Februari 2012 at 10:13 am

    bertuah jika dikurniakan seorang suami seperti Baginda..
    tapi saya redha dengan jodoh yg Allah dh tentukan utk saya, walaupun saya sentiasa terluka hati kerana seorang insan yang bernama suami..

     
  4. Nour Madihah

    15 Februari 2012 at 10:39 am

    Subhanallah…. Rindunya pada Rasulullah…

     
  5. Mohd Firdaus Mohd

    15 Februari 2012 at 10:41 am

    Terima kasih ustaz di atas entri terbaru ini. Sungguh terkesan apabila saya membaca tulisan ustaz. Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW adalah insan pilihan untuk kita contohi. Semoga ustaz terus sabar dan istiqomah dalam medan dakwah ini.

     
  6. Mukhtar Ismail

    15 Februari 2012 at 10:42 am

    Salam..Mohon share di Facebook tuan.

     
  7. nur rena

    15 Februari 2012 at 11:03 am

    Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku dan arwah suamiku..kau tahu apa yang terbaik untuk diriku dan arwah suamiku..tabahkanla hatiku ini dalam menghadapi ujianMu..suamiku..nantikanla aku disana..aku pasti akan menyusulmu kelak..

     
  8. Zairul Nizam

    15 Februari 2012 at 11:20 am

    Alhamdullillah ustaz. Akan diusahakan agar dapat mencontohi teladan Rasullullah SAW

     
  9. leen

    15 Februari 2012 at 12:19 pm

    alhamdulilah..semoga baginda s.a.w sentiasa mendoakan yg terbaik untuk ummatnya… semoga jodoh yang allah bakal pertemukan dengan saya, mampu membimbing saya ke arah kecintaan allah.. sesungguhnya wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan sebaliknya…amin

     
  10. hery

    15 Februari 2012 at 12:59 pm

    Tahniah,suatu yang hebat utk dikongsi bersama.terima kasih saudara

     
  11. Shahima

    15 Februari 2012 at 1:53 pm

    assalamualaikum ustaz…
    menitis airmata ini saat membacanya….
    tersentuh benar pada satu sudut hati yg paling dalam…
    kelu utk berkata2….
    smoga dgn izin Allah saya bakal bertemu seorang suami yg boleh mengasihi saya kerana Allah…

     
  12. zarina

    15 Februari 2012 at 3:30 pm

    salam. lelaki sekarang lebih penting diri sendir dan kekadang perempuan pun sama juga. tetapi sekiranya kita semua mencontohi cara Nabi Muhammad dan isteri2 insyallah kita semua akan hidup aman dan bahagia disamping keluarga.

     
  13. math

    15 Februari 2012 at 3:40 pm

    Rasulallah, sungguh indah akhlak mu..
    Terima Kasih Ustaz…

     
  14. JED

    15 Februari 2012 at 3:57 pm

    masyallah…ana berdoa moga ana dikurniakan kekuatan iman dan ihsan serta dpt mengambil walaupn sbahagian drpd cara kehidupan nabi s.a.w..ameen

     
  15. Rohaizak

    15 Februari 2012 at 5:01 pm

    Jazakallah Ustaz untuk entri ni. Teruskan menulis, sebab banyak ilmu yg dapat kami ambil dari tulisan ustaz. Semoga Allah berikan Ustaz kekuatan dan kelapangan dalam perjuangan mendidik kami ini.

     
  16. bibi najah hussin

    15 Februari 2012 at 6:46 pm

    assalamualaikum…ustaz
    berbunga -bunga rasa hati membaca entri ini ustaz, tak mampu nak gambarkan betapa shahdunya hati dan terharunya ..Ya Allah….ya rabbi… jadikanlah kami isteri- isteri yang dapat mengajak suami mencontohi rasul muliamu, jadikanlah kami isteri -isteri seperti UMMU Khadijah yang amat dicintai rasullullah, jadikanlah kami wanita -wanita yang menjadi asbab suami ke syurga Allah!!!! Selawat serta salam keatas Nabi junjungan…

    - Istaqhamah Demi Redha ALLAH-

     
  17. azlijamil

    15 Februari 2012 at 7:56 pm

    Baru kahwin, jalan seiring. Dah lama kahwin, sorang jalan depan, sorang jalan belakang.
    Baru kahwin, bila isteri langgar batu, marah batu. Dah lama kahwin, bila isteri langgar batu, marah isteri.
    Baru kahwin, percakapan talipon penuh perkataan “love”. Dah lama kahwin, percakapan talipon penuh perkataan “hmmmmm”.

    Marriage is a compromise. Love is a compromise. Have meaningful conversations and avoid unnecessary empty talks full of adjective that could lead to dosa.

    Wallahualam

     
  18. azlijamil

    15 Februari 2012 at 7:57 pm

    correction “adjectives”.

     
  19. Aku

    15 Februari 2012 at 9:54 pm

    Tersentuh rasa hati ini Ustaz dengan kisah yang diceritakan… Betapa romantis dan baiknya baginda sebagai seorang suami. Mengharapkan diri ini juga dipermudahkan jodoh dengan pasangan yang bakal bergelar suamiku yang bisa seromantis baginda.

     
  20. Khairudin Maliki

    16 Februari 2012 at 3:51 am

    Thanks Ustaz…. Memang benar… Sesungguhnya Rasulullah SAW adalah lelaki yang paling baik terhadap isteri-isterinya.

     
  21. kak long

    16 Februari 2012 at 9:26 am

    Salam semua,

    Alhamdulillah, kami dulu pun banyak mengamalkan amalan rasulullah, cumanya kurang kebersamaan dalam amalan agama mungkin menyebabkan yang romatik menjadi hambar. Mungkin juga saya tidak pandai menguruskan perbezaan. Semoga perkara yang sama tidak berulang. ameen.

    Wallahua’lam.

     
  22. Amirul

    16 Februari 2012 at 9:47 am

    Contohi lah Rasullah SAW.. Mudah-mudahan dapat lah kita mencontohi baginda. :)

     
  23. Nany ABakar

    16 Februari 2012 at 10:46 am

    Terima Kasih ustaz. Teruskan menulis dan berkongsi ilmu bersama kami. Semoga para suami/ bakal2 suami dapat mencontohi budi pekerti Rasulullah SAW.

     
  24. pida

    16 Februari 2012 at 6:32 pm

    Assalamualaikum ustaz.

    Entri yang sangat bermanfaat. Tersentuh hati membacanya. Menitis airmata ini rindukan Rasulullah SAW :’( teruskan menulis ustaz.. Jazakallahu Khairan Kathira.

    Allahumma Solli’ Ala Saiyyidina Muhammad Wa ‘Ala Alihi Muhammad..

     
  25. azrina

    17 Februari 2012 at 10:55 am

    Banyak sungguh tauladan yang ditinggalkan oleh Rasulullah. SAW. terima kasih kerna mengingatkan kami..(alangkah bagusnya kalau semua suami2 dapat mengikut cara baginda)..

     
  26. syarifah haron

    17 Februari 2012 at 2:43 pm

    Assalamualaikum ustaz pahrol,

    Mungkin artikel oleh ustaz zaharudin ni dpt membantu menaikkan semangat ustaz, InsyaALLAH…? kalau dah baca, minta maaf ye… :-

    http://zaharuddin.net/senarai-lengkap-artikel/3/995-dilema-saya-dan-mengapa-ustaz-tak-jawab-.html

     
  27. MAH

    17 Februari 2012 at 4:17 pm

    Salam Sejahtera Ustaz,

    Terima kasih di atas entri mengenai seorang insan agung yang sememangnya saya telah maklumi mengenai keperibadian baginda menerusi pembacaan dan ceramah-ceramah yang diikuti. Namun gaya penulisan ustaz membuatkan saya teruja untuk membaca sehingga akhir.

    Kesimpulan-kesimpulan yang saya dapat buat adalah :

    Akan terlepas seorang lelaki yang tidak bergelar suami kerana tidak bertemu jodoh sepanjang hayatnya di atas ketentuan Allah SWT mengenai persoalan kepimpinan dalam keluarganya (begitu juga seorang wanita yang tidak bertemu jodoh sepanjang hayatnya di atas ketentuan Allah SWT akan terlepas persoalan mengenai taat pada suami).Kira beruntung juga mereka ini.

    Rasullulah SAW adalah ciptaan Allah SWT yang begitu sempurna dan semestinya baginda adalah
    “the best of all among mankind”. Apa jua yang dilakukan baginda pasti yang terbaik

    Rasullulah SAW sedar akan tugas dan tanggungjawab sebagai Nabi dan Rasul yang Allah SWT amanahkan kepada baginda

     
  28. Najwa

    20 Februari 2012 at 10:00 am

    Artikel yang Menarik…Terima kasih.

     
  29. Azila96

    20 Februari 2012 at 5:17 pm

    Salam. Ya Rasullullah tingginya akhlaqmu pada insan bergelar isteri. Betapa indahnya kasih sayangmu pada isteri. Pengorbanan, keprihatinan dan rendah dirimu, tapi tidak melebihi cinta dan ketegasanmu kepada tugas dan amanah yg diberikan oleh Allah s.w.t.

    Bahagianya gelaran isteri andai seorang insan bergelar suami memiliki akhlaq sepertimu.
    Bahagianya gelaran Ummi andai seorang lelaki menghargai pengorbanan seorang ibu…
    Bahagianya gelaran wanita andai seorang lelaki memartabatkan maruah wanita…..

    Ya Rasullulah…
    Seorang lelaki… Jadikan Rasullulah contoh taulan terbaik dalam semua aspek kehidupan.

    w’alam

     
  30. Hamzah Ahmad

    22 Februari 2012 at 9:12 am

    Alhamdulillah, artikel ustaz membuka minda saya….
    Alangkah bahagianya Isteri dan Anak-anakku andainya ku dapat contohi cara RasuluLLAH itu….. Ya Allah, berilah ku kekuatan untuk mencontohi kekasihMu itu Ya Allah..

     
  31. norlina bt. bogal

    23 Februari 2012 at 11:16 pm

    Bersyukur kepada Allah kerana menggerakkan jemari ke laman ini. Terasa bahagianya isteri yang dipertemu dengan akhlak suami seperti Nabi. Ini adalah artikel pertama yang saya jumpa (kelemahan atas diri saya yang mungkin tidak banyak membaca) menyentuh teladan kepada suami sebagai pemimpin rumahtangga kepada isteri dan anak dalam gaya bahasa seruan kepada lelaki; kerana yang selalu saya baca tentang seruan menjadi isteri solehah. Sedangkan Nabi ialah contoh suami yang mulia dan berakhlak seperti Al-Quran. Alangkah indahnya keluarga yang bersatu dua jiwa suami isteri yang mempunyai matlamat yang sama iaitu mencari keredaan Allah.Semoga terungkailah kehebatan Nabi dalam rumahtangga sebagai suami, ayah, menantu, bapa mertua dan datuk yang ruang lingkupnya adalah jaringan keluarga bahagia dalam sebuah penulisan untuk renungan insan yang kurang ilmu agama seperti saya (terus mencari). Kekadang hati kecil terdetik bagaimana boleh wujud isteri yang menyediakan rotan dan sedia dirotan oleh suami jika melakukan kesalahan apabila suami pulang (dalam pengajian agama sering diceritakan) kerana kupasan terberhenti di sebelah pihak iaitu ketaatan isteri kepada suami. Kenapakah tidak dikupas kehebatan yang ada pada akhlak suami itu sehingga isterinya tergolong dalam isteri teladan. Tolonglah ustaz, tambahlah penulisan yang menekankan perlunya lelaki hebat, rajin, beriman, berani, bertanggungjawab, sedia menjadi ketua, sedia berkorban dan sebagainya kerana mereka pemimpin kepada wanita dan dunia. Semoga membuka minda lelaki supaya mencontohi kelakian Nabi dan menjadi panduan ibu bapa untuk mendidik anak lelaki seperti akhlak Nabi. Maaf , panjang pula komen. Ikhlas dari dasar hati yang paling dalam…ibu kepada anak lelaki.

     
  32. mie

    1 Mac 2012 at 1:12 pm

    terima kasih ustaz

     
  33. mohammad khairil nizam

    1 Mac 2012 at 2:42 pm

    Assalamualaikum,

    Ustaz, sedikit pertanyaan berkenaan sunnah Baginda Rasulullah. Saya ada sedikit kekeliruan. Kita sedia maklum banyak hadis menyebut bahawa Rasulullah sentiasa solat berjemaah di masjid dan menggalakkan orang lelaki berjemaah di masjid. jadi, bagaimana dengan kaum isteri? Adakah kaum wanita hanya digalakkan solat sendirian di rumah? sekiranya begitu pasti mereka akan dapat pahala solat sendirian kerana suami berjemaah di masjid.

    alhamdulillah, setakat ni sejak berkahwin kami dapat menjaga solat berjemaah bersama2. surau tidak jauh daripada rumah kami. mohon ustaz leraikan kekeliruan ini.

     
  34. aya ameena

    2 Mac 2012 at 1:18 pm

    mudah-mudahan suamiku ke arah itu jua

     
  35. dyla

    4 Mac 2012 at 7:40 pm

    Salam..tersentuh hati baca artikel ustaz..mohon share..jika dapat untuk malajah solusi pada keluaran akan datang bolehkan dibincang tentang pahit manis alam rumah tangga..tanggungjawab suami isteri dan contoh keperibadian Rasullah sebagai suami dan ayah..Ini mungkin dapat memberi panduan kepada yg akan berkahwin dan yg telah berkahwin supaya sedar akan tanggungjawab setelah menempuh gerbang perkahwinan..terima kasih..

     
  36. ida

    5 Mac 2012 at 4:18 am

    SUBHANALLAH…ya allah semoga di dunia akhir zaman ini masih ada lelaki semulia baginda,,,Ya Rasulullah betapa agungnya dirimu..

     
  37. Noor ZIlawati Zainal

    5 Mac 2012 at 3:41 pm

    Alhamdulillah…banyak kebaikan suami saya sedari setelah membaca artikel ni..Suami saya banyak bertolak ansur dengan saya dan sagat penyabar orangnya..acapkali saya mengambil kesempatan atas kebaikan suami kerana mengetahui suami boleh melakukan banyak perkara tanpa bantuan saya sebagai isteri. Saya rasa bersyukur sangat kerana walaupun beza umur dgn suami 17 tahun, suami masih menerima pandangan dan cadangan saya..adakala ego saya sebagai isteri pula melebih2 sehingga membuat dosa melawan kata dan cakap suami. Astaghfirullah Al-Azim…saya sedar sekarang dan Insya Allah akan perbaiki diri serta merta..Terima kasih Ust. coretan kali ini sangat memberi kebaikan pada saya.

     
  38. iDA

    7 Mac 2012 at 4:25 pm

    SGT TERSENTUH. MOHON SHARE DGN KWN2 TP DI BERI TAHU LINK WEBSITE INI. :’(

     
  39. Nur Zarina

    13 Mac 2012 at 6:16 pm

    YA RASULULLAH…

     
  40. syamsul amri a razak

    15 Mac 2012 at 12:31 am

    JazakaAllah atas tulisan yg menyentuh. Baginda Nabi contoh terbaik dari segenap segi.

     
  41. syamsul amri a razak

    15 Mac 2012 at 12:34 am

    JazakaAllah. Moga kita contohi Nabi saw.

     
  42. iyazlina

    27 Mac 2012 at 1:00 pm

    salam, mohon share di fb tuan, tq

     
  43. amin

    30 Mac 2012 at 12:01 pm

    Salam ust,
    artikel menarik dari hati yang insyaAllah akan masuk ke hati..
    ramai sudah mengerti dengan sukap Baginda SAW tapi xmampu nk ungkapkan sebaik mungkin..
    teruskan menulis ust..

     
  44. rafidah

    30 Mac 2012 at 2:34 pm

    salam.tulisan yg sgt menyentuh perasaan.mohon kongsi di fb.terima kasih ustaz.

     
  45. Ezzaty

    30 Mei 2012 at 8:10 pm

    masyaAllah..satu artikel yg impressive buat suami isteri di luar sana~:)
    Suami isteri harus berganding bahu untuk mempertahankan perkahwinan yang didirikan,bukannya diletak kepada satu individu sahaja,baik suami mahupun isteri.Masing-masing kena jaga hati pasangan walau sesibuk manapun ditambah dengan keadaan pasangan yang perkahwinannya secara jarak jauh..Jangan sampai ada salah seorang dari mereka tersebut merasa dia bertepuk sebelah tangan.Rasulullah merupakan contoh yang terbaik dalam membina rumah tangga yang harmon.

     
  46. Hajar Ali

    4 Jun 2012 at 9:44 pm

    super Man..Muhammad S.A.W

     
  47. Norhidayah bt razali

    24 Januari 2013 at 10:49 pm

    Ya allah bukaknlh pintu hati suamiku agar dia dapatmencontohi akhak rasululah. .
    Amin…

     

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,165 other followers

%d bloggers like this: