RSS

‘FIRAUN’ KECIL MASIH ADA

14 Mei

Maafkan kerana memilih ruang ini untuk meluahkan rasa hati. Sejak akhir-akhir ini, ramai yang menjemput saya berceramah. Ada yang jauh dan ada yang dekat. Sayangnya, tidak semuanya dapat saya penuhi. Ini kerana saya masih berkerja bersama sahabat-sahabat saya di Fitrah Perkasa Sdn. Bhd.

Jadual kerja telah ditentukan kekadang dua bulan lebih awal. Program latihan selalunya dijalankan di luar kawasan dan pada hujung minggu. Dan pada waktu itulah juga selalunya  ceramah-seramah diadakan.  

Sejak setahun lalu, dengan keizinan Fitrah Perkasa  saya bertugas di Telaga Biru Sdn. Bhd. Di sana saya diamanahkan sebagai Ketua Pengarang Kumpulan. Tugas ini menyebabkan saya terikat dengan kerja-kerja yang mumpunyai ‘date line’ yang ketat. Sering berlaku pertembungan antara kerja-kerja penulisan dan pemikiran dengan keinginan untuk memberi kuliah. Tetapi saya terpaksa mengutamakan amanah yang asasi berbanding yang mendatang. Sekali lagi, ini menyebabkan banyak jemputan untuk berceramah terpaksa ditolak.   

Selain itu, bagi yang menjemput pada waktu malam, saya punya masalah untuk memandu kereta pada waktu malam, walaupun dalam jarak yang dekat. Saya masih berubat secara tradisional di samping sedang mengumpul dana untuk menjalani pembedahan yang dinamakan ‘lassik”. Insya-Allah, tolong doakan supaya saya mudah semula memandu pada waktu malam.

Ada juga pihak yang meminta derma untuk membiayai pelbagai aktiviti kebajikan dan pembelajaran. Setakat yang saya mampu saya cuba. Tetapi apabila jangkaan sesetengah pihak mengharap sumbangan yang agak tinggi, secara terus-terang saya katakan, “saya tidak mampu.”

Saya berharap dan berdoa, jangan adalah kiranya pihak-pihak yang berkecil hati dengan kelemahan dan kesalahan saya. Saya hanya insan kecil yang mempunyai kemampuan yang sangat terbatas. Justeru, saya hanya berdoa suatu ketika saya diizinkan Allah mendapat kekuatan Iman, ilmu,  fizikal dan meterial untuk ‘memberi’ dengan lebih banyak.

Sebagai penyelesaian, saya akan tumpu lebih banyak kepada bidang penulisan,  samada di dalam bentuk buku, majalah atau blog. Saya lebih senang dan cenderung begitu. Mudah-mudahan Allah akan memberi jalan keluar kepada persoalan ini hingga saya dapat memilih sesuatu yang lebih utama daripada yang utama. Insya-Allah, amin.

(Tolong doakan, saya yang daif ini.)

Terimalah seadanya daripada saya kali ini…  

   ‘FIRAUN’ KECIL MASIH ADA…   

 “Bagaimana kita hendak mencari kebenaran?” tanya Prof itu tiba-tiba, seolah-olah berbisik.

Saya tersentak kerana tidak menyangka Profesor bukan Islam itu begitu berminat dengan apa yang saya sampaikan dalam kuliah ‘Mukmin Profesional’ yang baru berakhir sebentar tadi. Terus-terang dia kelihatan selamba dan bersahaja sahaja sepanjang kuliah itu. Saya difahamkan oleh pihak penganjur,  ada seorang sahaja peserta bukan Islam dalam program dianjurkan oleh badan kebajikan organisasi tersebut. Tujuannya? Sekadar ingin tahu, begitu yang diberitahu kepada saya.

“Mula-mula kita lihat dulu kaedah yang salah dalam mencari kebenaran,” jawab saya sambil tersenyum.

“Kaedah yang salah? Saya ingin tahu kaedah yang benar,” tegasnya.

Saya terus tersenyum, lalu meneruskan, “tidak mengapa. Apabila kita tahu kaedah yang salah, secara automatik nanti kita akan tahu kaedah yang betul dalam mencari kebenaran .”

Ini satu pendekatan Islam dalam menegaskan kepentingan sesuatu prinsip –  buang atau nafi  dahulu yang salah, kemudian barulah dipasak dengan masukan yang betul. Sama seperti ucapan kalimah syahadah.

“Adalah salah kalau kita mencari kebenaran mengikut orang ramai,” kata saya.

Melihat dia diam, saya menyambung, “ini kerana ramai orang yang berpihak kepada kebatilan. Penyokong kebatilan sentiasa melebihi bilangan penyokong kebenaran.”

“Maksud awak, kebenaran berada di pihak minoriti?”

Saya mengangguk. Saya terbayang maksud ayat Quran yang menegaskan bahawa jika kita mengikut orang ramai, nescaya mereka akan menyesatkan kita dari jalan Allah. Begitu juga Allah telah menyatakan bahawa sangat sedikit sekali dikalangan hambaNya yang bersyukur. Jadi, kalau kita mengikut pendirian majoriti, kita terdedah kepada kesesatan dan sikap tidak bersyukur.

“Dalam realitinya, Prof lihat bagaimana? Apakah ramai  orang yang  masih mengamalkan nilai-nilai murni seperti jujur, penyayang, pemaaf dan sebagainya?” tanya saya semula.

“Tidak ramai. Kalau adapun orang yang jujur, amanah dan baik… hanya kerana adanya penguatkuasaan undang-undang, bukan dengan kerelaan hati sendiri. Faktor ganjaran hukman, bukan kerana keikhlasan dan kerelaan.”

“Itulah maksud saya. Majoriti manusia tidak boleh dijadikan rujukan untuk mencari kebenaran.”  

Melihat dia telah bersedia untuk menerima hujah yang kedua, saya meneruskan,” adalah salah kalau kita mencari kebenaran mengikut pendirian orang yang berkuasa.”

Saya renung matanya. Mudah-mudahan Allah kurniakan hidayah buat cendekiawan yang mencari kebenaran ini.

“Maksud awak pihak atasan?”

Saya mengganguk-anggukkan kepala. Dalam fikiran terbayang fakta sejarah yang memaparkan bagaimana  para penguasa seperti Namrud, Firaun, Abu Jahal dan lain-lain penguasa yang menolak kebenaran. Nabi Musa AS, Nabi Ibrahim AS dan nabi Muhammad saw telah berdepan dengan para penguasa yang zalim, takbur dan mengingkari kebesaran Allah. Para pengikut nabi-nabi tersebut kebanyakannya masyarakat marhein dan orang bawahan.

“Acap kali para penguasa lupa kuasa Allah semasa mereka berkuasa. Malah ada di antara mereka yang mengaku sebagai Tuhan…”

“Seperti Firaun. Ada lagikah penguasa yang begitu pada hari ini? ” dia menyampuk.

“Memang ada. Apabila ada penguasa yang menolak sistem hidup yang ditetapkan Tuhan dan menerima sistem hidup bikinan manusia… itu sudah dikira mengambil hak Tuhan sebagai pencipta dan pentadbir hidup ini.”

“Mereka seolah-olah mahu jadi Tuhan?” tambah Profesor tersebut lebih bersemangat. Saya diam. ‘Neo-Firaun’ sebenarnya masih ujud dalam dunia masa kini. Penguasa yang tidak mengaku sebagai Tuhan secara terang-terangan, tetapi ‘merampas’ hak Allah sebagai satu-satu ‘illah’ (sembahan) yang berhak membuat peraturan dan undang-undang.

“Jadi bagaimana saya harus mencari kebenaran?”

“Bermulalah dengan mencari Tuhan!” jawab saya pendek.

“Mencari Tuhan?”

“Ya, kebenaran itu hanya ada pada Tuhan.” Sebenarnya, saya sedang menegaskan  maksud firman Allah, “kebenaran itu daripada Tuhanmu jangan kamu menjadi penentangnya.”

Profesor itu termenung panjang.

“Jadi, persoalan kita sudah bertukar, daripada mencari kebenaran kepada mencari Tuhan. Ya, bagaimana caranya mencari Tuhan?” Akhirnya, dia bersuara.

“Pertama, dengan akal. Kedua dengan hati,” jawab saya seolah-olah berbisik.

  “Dengan akal, membaca, mengkaji, memikir dan menimbang?” tanyanya.

“Ya, bacalah buku-buku daripada pelbagai agama. Lihat bagaimana agama-agama tersebut menerangkan siapa Tuhan yang sebenar. Kemudian buat perbandingan, agama yang mana satukah yang mampu memuaskan akal fikiran kita tentang Tuhan. Kemudian, kaji pula bagaimana agama-agama tersebut mengatur kehidupan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Buat perbandingan sistem hidup antara agama-agama itu. Dan jangan lupa juga lihat bagaimana penerangan agama tersebut tentang kehidupan selepas mati. Maksud saya, lihat agama tersebut secara multi dimensi dan holistik!” terang saya panjang lebar.

Ketika itu saya teringat impak tragedi 9 September pada rakyat di  negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat. Hakikatnya lebih ramai para ilmuan Barat memeluk Islam selepas tragedi itu berbanding sebelumnya. Aneh bukan? Mengapa? Ini kerana selepas peristiwa tersebut mereka mula mengkaji Islam. Oleh sebab militan Islam dituduh sebagai dalang serangan itu, maka mereka tertanya-tanya mengapa ada orang yang sanggup berbuat demikian? Apa keyakinan dan pegangan hidup mereka sebenarnya?

Maka mereka pun mengkaji tentang Islam. Pada mulanya hanya didorong oleh rasa ingin tahu dan untuk mencari keburukan Islam… namun semakin dicari kepalsuannya, semakin bertemu dengan kebenaran dan keindahannya. Akhirnya, mereka tunduk dan akur kepada Allah. Akal fikiran mereka akhirnya tunduk kepada kebenaran Islam kerana sifat Islam memang ‘mesra-akal’. Mereka bukan ‘Neo-Firaun’ yang bertuhankan diri!

Saya yakin Profesor bukan Islam di hadapan saya ini akan menggunakan seluruh potensi akalnya untuk ‘mencari’ Tuhan yang sebenar dengan melakukan kajian dan perbandingan.

“Cara kedua? Dengan hati?”

“Bisikkan ke hati Profesor selalu begini… Wahai Tuhan, aku yakin Engkau ada. Engkau Maha Pengasih, Maha Penyayang. Aku sedang mencariMu wahai Tuhan.  Tolonglah perkenalkan diri Mu kepada ku, “ ujar saya penuh perasaan.

Tanpa saya sangka, Pfofesor itu berkata, “ ini doa minta hidayah kan ustaz?” Saya terkesima, rupa-rupanya dia lebih faham dan ‘dalam’ daripada apa yang saya sangkakan. Ya Allah, bukakanlah pintu hidayah Mu buat hambamu yang sedang mencariMu ini… Dan izinkanlah kiranya aku yang berdosa ini menjadi titian hidayahMu kepadanya! Amin.

 
25 Komen

Posted by di 14 Mei 2012 in Iktibar Kisah

 

Label: ,

25 responses to “‘FIRAUN’ KECIL MASIH ADA

  1. hamba Allah, umat Muhammad S.A.W

    14 Mei 2012 at 2:44 pm

    Ameen…InsyaAllah.Allahu akbar. Moga2 bertambahnya lagi hambaNya yang mensyukuri nikmatNya. Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengasihi.

     
  2. ch3m-p

    14 Mei 2012 at 3:50 pm

    mudah-mudahan dia dapat hidayah dari allah dan mengikut ajaran islam yang sebenar..

     
  3. Zuraifah binti Hassan

    14 Mei 2012 at 7:02 pm

    Sesiapa yang mencari kebenaran, Insya Allah akan berjumpa dengan kebenaran. Lebih baik menjadi pencari kebenaran daripada menunggu datangnya kebenaran.

     
  4. Bellabelle Creation

    16 Mei 2012 at 11:16 am

    Ustaz sangat cemerlang dalam penulisan. Pendapat peribadi, penulisan Ustaz lebih ‘sampai’ dan ‘melekat’ di jiwa serta memberi ruang fikir untuk saya belajar dan memperbaiki diri. Selamat hari pendidik!

     
  5. kasturi putih

    16 Mei 2012 at 11:28 am

    moga kita dapat ape yang kita cari selama ini..Aamiin

     
  6. Ummu Fatimah

    16 Mei 2012 at 2:37 pm

    Assalamualaikum wbt…

    Semoga Allah swt sentiasa merahmati Ustaz. Ucapan syukur tak terhingga setiap kali membaca dan mendengar buah bicara Ustaz. Sentiasa dipenuhi dengan kata-kata hikmah dan pengajaran.

    Saya seorang pelajar pascasiswazah. Saya hanya dapat menghayati pengajian, ditahun akhir cuti belajar saya. Tidak fokus dan tidak serius mungkin antara 2 faktor penyebab. Tapi akhirnya alhamdulillah, saya ‘discover’ sebenarnya hubungan saya dengan Allah sangat longgar, adalah penyebab utama. Saya di dalam proses mencari dan memperbaiki diri. Cuba banyakkan amalan sunat dan yakin bahawa setiap manusia dilahirkan untuk berjaya.

    Saya ingin dapatkan nasihat Ustaz bagaimana untuk yakin dengan pertolongan Allah yang dekat itu, kerana kekadang terlintas rasa kecewa bila tidak dapat memahami atau menjalankan kajian terhadap sesuatu ilmu itu, adakah hati saya terlalu kotor untuk menerima nur ilmu Allah yang mulia itu.

    Wallahu a’lam

     
  7. fas

    16 Mei 2012 at 3:02 pm

    Salam Ustaz, saya salah seorang peserta dan kenal dengan Prof yang Ustaz maksudkan. Beliau mempunyai pengetahuan yang baik tentang Islam dan saya agak terharu beliau ada berbincang dengan Ustaz selepas selesai program. Semoga perbincangan beliau dengan Ustaz dapat membuka pintu hatinya kepada kebenaran hakiki…InsyaAllah…Terima kasih Ustaz dan Ustaz Nasib atas perkongsian ilmu yang amat bermakna bagi saya….juga terima kasih kerana sudi datang ke program kami…:).

     
  8. Syarifah Haron

    16 Mei 2012 at 5:18 pm

    AMIN… AMIN… AMIN YA RABBUL`ALAMIN….

     
  9. Herda Jaafar

    17 Mei 2012 at 7:25 am

    amin…

     
  10. zaleha abdollah

    17 Mei 2012 at 11:26 am

    Saya doakan semoga ustaz cepat sembuh dan dapat memandu pada waktu malam dengan baik. InsyaAllah. Amin ^_^. Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang….semoga segala tugasan ustaz berjalan dengan baik dan dipermudahkan segala urusan. Amin ya rabbal alamin =)

     
  11. Mohamad Hazni Bin Abd Rahim

    17 Mei 2012 at 2:03 pm

    subhanallah..Sebuah Pendekatan Dakwah Yg Cantik ~ Semoga ALLAH berinya Hidayah dlm Mencari dan mengenal Tuhan.

     
  12. balqisjb

    17 Mei 2012 at 2:24 pm

    Artikel Ustaz menarik perhatian saya. Orang berilmu seperti Ustaz terkesima dgn jawapan Professor tersebut, apalagi kami yg biasa-biasa saja maksudnya pengetahuan tidak mendalam dlm bidang agama. Benar bagai yg di katakan Ustaz, peristiwa 11/9 itu byk membuka mata pada orang yg bukan islam. Perkara tersebut sangat saya akui. Semoga Professor tersebut diberikan hidayah oleh Ar-Rahim. Saya berharap sangat para saudara2 & saudari2 Islam di Malaysia bacalah, buka mata yang seluas-luasnya, berlapang dada mencari kebenaran bukan memanjangkan kemungkaran. Wallahu a’lam.

     
  13. Hanun

    20 Mei 2012 at 12:20 am

    Selamat Hari Lahir Ustaz. Saya doakan semoga Uztaz berjaya buat pmbedahan lassik dan dipermudahkan Allah utk memandu waktu mlm. Saya juga gembira bila Ustaz ingin tumpukan dlm penulisan krn sy lebih gemar membaca tulisan2 Ustaz. Smga terus istiqamah.

     
  14. Hawa

    20 Mei 2012 at 7:36 am

    saya sendiri pun…jahil dlm mencari kebenaran…kagum dengan prof tu..mohon..hidayah untuknya

     
  15. nurindahz

    21 Mei 2012 at 7:28 am

    Assalamualaikum ustaz Pahrol,
    Moga cendekiawan itu mendapat hidayah Allah.
    Saya sedar, kebenaran banyak berpihak pada kumpulan minoriti, ramai orang yang hanya melihat yang batil sahaja. Ia tidaklah berkisar ttg politik sahaja, tetapi merangkumi akhlak, kerjaya, cara pemakaian dan sebagainya.

     
  16. MAH

    22 Mei 2012 at 9:25 am

    Salam Sejahtera Ustaz

    Saya sedang makan di sebuah restoren dengan keluarga dan datanglah seorang pengemis bukan Islam ada kecacatan , saya hulurkan wang dan tiba-tiba hati tergerak minta keluarga angkat tangan sama-sama berdoa untuk pengemis ini diberikan Allah SWT taufik hidayah dan cahaya petunjuk.

     
  17. Amir

    22 Mei 2012 at 2:06 pm

    Salam Ustaz,
    Terima kasih. Nampak structured bagaimana mahu mencari kebenaran untuk saya amalkan dan kongsikan.

     
  18. gentarasa

    23 Mei 2012 at 6:34 am

    aSSALAM,
    Syukran atas doa dan ingatan. Hari lahir yang ke 51. InsyaAllah.

     
  19. gentarasa

    23 Mei 2012 at 6:36 am

    Assalam,
    Syukran Hanun. Semoga anda diberkati Allah. Amin.

     
  20. ismida

    25 Mei 2012 at 10:55 pm

    amin,, smge die diberi hidayah oleh Allah dan yg paling pastinye dia adalah orng yang terpilih,,
    alhamdulillah,, dan smga kita yg telah diberi hidayah oleh Allah ini pula tidak terpesong dr kbnran.. insyaAllah,, amin,,
    syukran ya ustaz..

     
  21. umarfarouq

    30 Mei 2012 at 4:07 pm

    mohon share ye ustaz

     
  22. zaleha abdollah

    31 Mei 2012 at 9:59 pm

    Terharu membaca kisah insan2 yg diberi hidayah oleh Allah untuk memeluk Islam…semoga lebih ramai insan di dunia ini diberi cahaya hidayah dan pedoman untuk memeluk Islam dan semoga kita umat Islam juga kembali kepada paksi Ajaran Islam bukan hanya baka Islam sahaja…Semoga Allah s.w.t sentiasa merahmati dan memberkati ustaz..amin.

     
  23. Ana Al-Hakir

    1 Jun 2012 at 2:43 pm

    Assalam, Firaun Kecil sememangnya berleluasa dan berkuasa kerana kemampuannya menguasai alam fikir dan hidup golongan marhaen. Di sinilah pentingnya ilmu dan fikir yang kedua-duanya perlu dierkukuhkan dari semasa ke semasa. Walau siapa kita, fenomena firaun kecil mesti ditelaah melalui beberapa sudut. Jika kita memandang melalui satu sudut semakin mudahlah Firaun kecil memastikan pemikiran sealiran dengannya. Jika kita memandang daripada pelbagai sudut, Firaun Kecil akan kesukaran untuk mentelah kita berada di sudut mana. Kebobrokan nilai dewasa ini di sebabkan adanya Firaun kecil yang berjaya membawa golongan marhaen berfikir sepertinya. Jadi gagasan yang disampaikan oleh Ustaz perlu dinilai dengan pelbagai sudut pandangan sudah dapat dijadikan perisai mendepani Firaun Kecil yang sentiasa segar dalam persekitaran kita. Terima kasih ustaz kerana membangkitkan perkara ini. Sekurang-kurangnya kita telah diberikan satu situasi dan panduan untuk membawa diri kita dan tanggungan kita menjauhi anasir yang berkaitrapat dengan Firaun Kecil ini. Allahuakbar !!!

     
  24. ismida

    1 Jun 2012 at 5:33 pm

    Amin,, insyaAllah,, dan semoga juge umat yang sdh mendapt hidayah tidak terpesong iman dan hati mereka dengan perkara yang menyesatkan,, insyaAllah,,

     
  25. norhayati omar

    11 Jun 2012 at 12:58 pm

    alhamdulillah..mmg terkesan di hati

     

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,254 other followers

%d bloggers like this: