Looking for Something?

KETAWA YANG AKHIR…

Author:

Keyakinan kepada Hari Akhirat sangat penting ketika hidup di dunia. Itulah prinsip yang menjadikan manusia mampu melaksanakan kebaikan walaupun sekiranya tidak mendapat penghargaan atau ganjaran. Dan itulah juga penghalang untuk tidak melakukan kejahatan sekalipun terlepas daripada undang-undang dan pemerhatian orang. Justeru, dunia tidak adil. Acapkali orang baik ditindas dan dizalimi. Manakala orang jahat pula yang disanjung dan dipuja.

Apakah kerana dunia tidak adil kita akan berhenti melakukan kebaikan? Tidak. Orang beriman akan terus membuat kebaikan kerana yakin adanya Hari Ahirat. Di sana setiap kebaikan pasti mendapat balasan. Apa yang lebih diharapkan adalah ganjaran akhirat bukan keuntungan dunia. Hidup di dunia adalah  untuk ‘menanam’ pohon kebaikan sebanyak-banyaknya. Insya-Allah di akhirat nanti akan dituai hasilnya. Mereka yakin, “one who laughs last, laugh best – yang ketawa terakhir ialah ketawa yang terbaik!

Orang beriman celik mata hati. Syurga, pahala, keredhaan Allah dan pengampunanNya jelas tertera di ruang hati. Mereka rela rugi, dicaci dan menderita di dunia yang sementara demi mendapat ganjaran, pujian dan kesenangan di akhirat yang abadi. Dunia ini dirasakan ladang tempat bercucuk tanam. Justeru, mereka adalah orang yang paling sibuk berkerja di dunia. Mereka sentiasa aktif dan produktif. Ya, kecintaan kepada syurga tidak bermakna meminggirkan dunia! 

Hati orang beriman dapat melihat dengan jelas dunia yang dekat dan akhirat yang jauh. Yang dekat (dunia) dimanfaatkan semaksimumnya demi keuntungan pada yang jauh (akhirat). Hati mereka tidak rabun dekat dan juga tidak rabun jauh. Hubungan kesalingan antara keduanya dapat dilihat dengan jelas dan tepat. Menerusi pandangan mata hati, mereka memburu dunia dengan sebanyak-banyaknya… Namun bukan untuk diletakkan di dalam hati. Sebaliknya, hanya diletakkan di tangan agar mudah diagih-agihkan.

RABUN JAUH

Sebahagian besar manusia, rabun jauh… hanya nampak kehidupan dunia. Akhirat seolah-olah tidak ada. Memburu kenikmatan dan kesenangan dunia tanpa memikirkan soal halal dan haram. Menipu, rasuah dan mengambil hak orang lain dengan penuh kelicikan dan tipu daya. Undang-undang dan peraturan dunia dimanupulasi dan dieksploitasi dengan bijaknya. Mengumpul harta sebanyak-banyaknya seolah-olah ingin hidup selama-lamanya di dunia.

Mereka lupa bahawa memburu dunia dengan melupakan akhirat hanya meninggikan tempat jatuh. Semakin banyak kuantiti harta yang mereka dapat, semakin banyak banyak kualiti jiwa yang mereka hilang. Ketamakan, kerakusan, kekejaman dan kepura-puraan akan melanda hidup mereka. Mereka akan ‘diburu’ oleh apa yang mereka buru. Harta adalah hamba yang paling baik tetapi tuan yang sangat kejam!

Maksudnya, selagi dunia dijadikan alat untuk mencapai matlamat (membuat kebaikan sebanyak-banyaknya), maka selagi itulah ia akan memberi manfaat. Sebaliknya, jika dunia sudah dijadikan matlamat… ia akan menipu dan menghancur pemburunya. Firman Allah: “Kehidupan dunia adalah tiada, melainkan kesenangan yang memperdayakan.” (3:185) Menikmati kesenangan dunia tanpa mencintai akhirat umpama minum air laut… Semakin diminum akan semakin haus. Manusia hakikatnya bukan warga dunia, manusia adalah warga akhirat. Kata hukama:”Dunia diciptakan untuk manusia. Manusia diciptakan untuk akhirat.”

Dunia adalah alat, akhirat itulah matlamat. Tetapi manusia yang punya hati yang ‘rabun jauh’ hanya dapat melihat yang dekat dan singkat. Alangkah ruginya apabila umpan (dunia) lebih dipentingkan daripada ikannya (akhirat). Alangkah bodohnya membuat pondok di atas jembatan sedangkan villa di seberang sungai lebih cantik dan agam?

Golongan rabun akhirat ini sangat berkira dan banyak alasan  untuk tidak membuat kebaikan. Jika tidak mendapat ganjaran dan pujian mereka akan berhenti memberi. Mereka memberi hanya untuk menerima lebih banyak. Tidak ada istilah budi dan pahala lagi. Hanya ada laba dan dosa. Pantang ada peluang dan kesempatan, mereka akan melakukan kejahatan untuk mendapat keseronokan dan keuntungan. Mulut mengatakan akhirat itu ada… tetapi di hati, akhirat itu telah mati.

RABUN DEKAT

Ada pula golongan manusia yang punya hati rabun dekat. Mereka tidak mampu melihat dunia ini sebagai kebun akhirat. Dunia ini dirasakan bangkai yang busuk dan menjijikan. Lalu mereka menjauh dan membenci dunia. Kononnya hati mereka di akhirat tetapi terlupa bahawa kakinya masih menjejak dunia. Mereka ingin menyeberang tanpa jembatan, memburu matlamat tanpa alat… ingin memancing ikan tanpa umpan!

Mana mungkin kita memberi tanpa memiliki? Mana mungkin kita memiliki tanpa mencari? Mencari, memiliki dan memberi adalah tiga langkah yang perlu untuk memberi manfaat kepada orang lain. Orang beriman mesti mencari dunia… kemudian memilikinya dan akhirnya memberinya. Malangnya, golongan ‘rabun dekat’ ini menghindari dunia dan membencinya… lalu apakah yang hendak mereka berikan?

Jika tidak ada harta, mana mungkin ada pahala sedekah dan zakat? Jika tidak ada senjata, mana mungkin ada perjuangan dan jihad? Tanpa harta Sayidina Abu Bakar ra, Bilal akan terus menjadi hamba. Tanpa infak harta oleh Sayidina Utman ra, kaum Ansar dan Mujahirin tidak akan ada sumber air di Negara Islam Madinah. Justeru, jadilah tangan yang di atas… dengan mencari, memiliki dan memberi harta. Milikilah hati yang celik… dengan  mencintai syurga tanpa meminggirkan dunia!

Feedback

29
  • Nikah Ituindah

    Milikilah hati yang celik… dengan mencintai syurga tanpa meminggirkan dunia!

  • Cahaya Hidupku

    Biar banyak menangis di dunia asal diakhirat kita bahagia dan gembira…

  • kenari hitam

    Salam , Pengukuhan kepada fahaman saya , terbaek . terima kasih ustaz .

  • Kamal

    Allah telah memberi tuan ketajaman berfikir. Alhamdulillah. Izinkan saya guna “genta rasa” ini untuk diri saya dan orang lain. Tkasih ustaz .

  • adah

    Salam, begitu dalam maksud yg tersirat. Mohom izin untuk copy buat tatapan rakan2. Semoga membawa manfaat.

  • ismida

    SALAM,, susunan ayat yg ringkas tp amat bermakna, memberi kesedarn pd saya tok melihat dgn lebih jauh disamping memberi kesedaran pd saya,, alhamdulillah,, syukarn,, harap share ye ustaz..

  • Ghazali Arbain

    Terima Kasih Ustaz, mohon share.

  • sue

    terima kasih ustaz.

  • brilly

    alhamdulillah, membaca tulisan2 ustad, begitu dalam dan menenangkan hati.. terima kasih.. mohon ijin untuk dishare ya..

  • hanita

    Terima kasih ustaz ,syukur dapat membaca tulisan ustaz yang memberi banyak manfaat ini.saya minta izin untuk dikongsi bersama rakan – rakan.

  • math

    Jazakallah khairan katsira

  • Nur

    Jazakallah, ustaz atas peringatan. Mohon sharing :)

  • Fauzi Husni

    Alhamdulillah..
    hati saya begitu terkesan setiap kali membaca coretan ustaz yg sememangnya saya tunggu..
    Teruskan beristiqamah dalam penulisan Ustaz..
    Saya doakan kemudahan urusan ustaz di dunia mahupun di akhirat..Amin..

  • fadzil

    Salam’alaik ustaz. Alhamdulillah, syukran jazilan ustaz. Mohon izin untuk disalin dan disebarkan kembali.

  • sulaiman

    Alhamdulillah, begitu bermakna ungkapan ustaz. Mohon share. Tq

  • ummu ammar

    terima kasih ustaz.. :) saya banyak terkesan sbb masih banyak kerabunan mata hati saya ni. InsyaAllah saya cuba baiki..
    Tapi….kenapa ye kadang2 rasa berat dalam mujahadah?Seperti ada beban yang menghalang, kadang2 rasa tak mampu… :(

  • NOOR AINI BT ABDUL JALIL

    subhanallah..menyentuh sungguh

  • Ridhwan Bin Abdullah

    Tulisan yang ‘WAJIB’ dibaca oleh fahaman “Rabun Jauh” dan “Rabun Dekat”…Jazakallah…Barakallah

  • hajar

    tahniah ustaz. tulisan yang menusuk kalbu.

  • Hendrawati MS

    Alhamdulillah.. Saya suka post ini. Sangat tepat pada masanya di kala saya memerlukan jawapan kepada permasalaahan saya. syukur didorong hati oleh Allah untuk membaca post Tuan. Moga Tuan sentiasa di dalam pemeliharaan Allah swt.

  • Khadijah

    Alhamdulillah.makanan rohani di pagi hari

  • sakinah

    sangat menyentuh hati…mengingatkan diri…sukran ya ustaz:)

  • Kak Noor

    SubhanAllah. Kata-kata yang banyak memberi semangat dan pendorong untuk saya meneruskan kehidupan ini setelah kehilangan suami yang dijemput Allah secara tiba-tiba kira-kira 2 bulan yang lepas. Akhirat juga destinasi kita, masa arwah sudah tiba, kita tidak tahu bila. Jazakallah.

  • Balqis

    MashaAllah, saya merasa sangat tersentuh dengan tulisan ustaz dalam blog ini, Assalamualikum Ustaz, saya ada permasaalahan yang saya mahu kemukakan kepada ustaz. Bolehkah saya bertanya beberapa persoalan yang sangat menganggu fikiran saya?

  • lokewy

    assallamuallaikum USTAZ , boleh tak ustaz tolong saya untuk mencari sumber2 cerita para sahabat zaman Rasullah s.a.w

  • nani

    terima kasih… mengingatkan pada akhirat

  • wan roziah

    Alhamdulillah…kerana dipertemukan dengan tulisan-tulisan ustaz..dah banyak buku ustaz menjadi koleksi saya..ayat y ringkas tp memberikan makna yang mendalam. Banyak membantu saya..semoga ustaz terus berkarya..mohon share…Terima kasih.

  • abu uwais

    mengasihi kekasih-Nya Muhammad SAW akan membawa kepada Allah SWT..semuga ustaz dilimpahi kasihsayang ilmu-Nya.

  • reen

    jazzakallah khair ustaz..mohon share

Leave a Reply

Find Me On Facebook

Fitrah Perkasa Sdn. Bhd.

%d bloggers like this: