RSS

PESAN YANG DATANG DARI HATI…

11 Jun

Kebangsawanan merupakan anugerah  Allah untuk segelintir manusia. Tidak semua manusia dilahirkan dengan darah raja dan sultan. Islam mengiktiraf kedudukan dan kelebihan kaum bangsawan. Sebab itu kedudukan raja-raja sebelum dan selepas kedatangan Islam dikekalkan oleh Rasulullah SAW  setelah mereka menerima  Islam. Rasulullah SAW tidak diutuskan untuk menghapuskan golongan diraja, tetapi dalam masa yang sama baginda membawa firman Allah ini:

“Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah mereka yang bertaqwa”

Taqwa adalah darjat yang lebih tinggi daripada raja dan sultan, baik di dunia atau lebih-lebih lagi di akhirat. Namun apa yang menarik, kebangsawanan adalah satu nikmat yang boleh digunakan sebagai alat untuk mencapai darjat taqwa. Inilah kelebihan yang sepatutnya disedari dan mula digunakan oleh golongan bangsawan.

Sejarah Islam telah memaparkan dua jenis golongan bangsawan – yang menerima Islam dan yang memusuhi Islam. Mereka yang menerima Islam, terbukti telah menjadi peluang yang baik, dan bagi yang menentang, mereka menjadi musuh yang paling menyusahkan.

Sejarah kegemilangan Islam telah diharumkan oleh raja-raja berjiwa sufi seperti maharaja Najasyi, Umar Ibnu Aziz, Sultan Salehuddin Al Ayubi, Sultan Murad II, Sultan Muhammad Al Fateh, Maharaja Aurangzeb dan juga sultan-sultan di alam Melayu pada zaman pertengahan.

Namun sejarah juga telah memaparkan golongan bangsawan “Bersultan di mata, bertuhan di hati” seperti Firaun, Namrud dan raja-raja pada abad ke-20 seperti Al Malik Farouq di Mesir dan Reza Shah  di Iran.

Kebangsawanan, harta dan kuasa selalunya beriringan. Siapa raja dialah berkuasa. Namun hakikatnya, semua raja adalah hamba yang hina-dina di hadapan Allah SWT. Oleh itu, raja-raja yang bijak akan menggunakan nikmat itu untuk berbakti kepada Allah. Harta, kuasa dan pengaruh, semuanya dikorbankan untuk Allah. Mereka inilah yang menjadi raja di dunia dan ‘raja’ di akhirat. Sepanjang zaman rakyat berdoa agar raja-raja yang pernah berkuasa di dunia ini berjaya berbuat demikian.

Mengapa?

Sebabnya, raja-raja sangat terdedah kepada ujian dunia. Bukan mudah untuk membebaskan diri daripada tipuan dunia. Apalagi jika ia telah melimpah ruah di tangan. Dunia boleh jadi kepala segala kejahatan. Lebih mudah untuk tidak mencintai dunia semasa tidak ada, daripada ketika ia sudah berada dalam genggaman. Umar Al Khattab menangis ketika dibawa ke hadapannya mahkota maharaja Parsi, lantas berkata “Sesungguhnya aku takut perkara-perkara inilah (harta) yang akan menjauhkan kita dengan Allah.”

Menjadi orang miskin yang sabar adalah payah, namun menjadi orang kaya yang syukur jauh lebih payah. Ini disebabkan manusia sering lupa apabila diuji nikmat daripada diuji dengan bala. Walau bagaimanapun ini tidak bermakna sudah tidak ada jalan untuk raja-raja membebaskan diri daripada godaan dunia. Mereka boleh berbuat demikian dengan bantuan para ulama.

Ulama perlu menjadi penasihat kepada raja. Ertinya, ulama mestilah menjadi “the man behind the curtain” dalam mempengaruhi, mendidik dan menasihat raja-raja. Dan kadangkala ulama perlu memberi amaran dan peringatan kepada raja-raja untuk melaksanakan kehendak-kehendak Allah.

Raja mempunyai harta dan kuasa. Ulama mempunyai ilmu dan kekuatan rohani. Jika semua kekuatan ini digabungkan untuk Islam nescaya ia akan menjadi satu kuasa besar yang tiada tolok bandingnya.

Pada zaman kegemilangan Islam, raja-raja sering didampingi oleh ulama-ulama yang ikhlas. Masih basah dalam ingatan kita bagaimana indah dan menyentuhnya dialog-dialog keramat antara Sayidina Jaafar bin Abi Talib dengan Maharaja Najasyi. Dan masih terpahat kukuh dalam hati setiap orang mukmin bagaimana hebat dan berwibawanya surat-surat yang diutuskan oleh Rasulullah SAW kepada maharaja-maharaja dunia.

Ingatan, didikan dan tiupan angin kesadaran dalam surat-surat Rasulullah SAW dan kata-kata Jaafar At Tayyar itu tidak sedikitpun dicemari oleh kepentingan-kepentingan duniawi. Langkah-langkah inilah kemudiannya menjadi panduan dan ikutan ulama-ulamayang mengelilingi Umar Ibnu Aziz, Sultan dan Salehuuddin Al Ayubi, Muhammad Al Fateh dan Sultan-sultan Islam yang agung dalam sejarah. Di belakang mereka itu sentiasa ada ulama ul amilin!

Bagaimana ulama-ulama ini mendidik hati raja-raja berdarah bangsawan hingga jiwa mereka menjadi jiwa sufi meskipun darah mereka masih darah raja? Untuk itu marilah kita dengar apa kata Imam Auzai’ kepada Khalifah Al Mansur:

Wahai Amirul Mukminin, Rasulullah bersabda:

“Sesiapa sahaja di kalangan pemerintah, apabila mati dalam keadaan menipu rakyatnya, nescaya diharamkan syurga untuknya.”

Wahai Amirul Mukminun! Sesiapa yang benci kepada kebenaran, sesungguhnya ia benci kepada Allah. Kerana sesungguhnya Allah itu benar lagi membenarkan. Hendaklah tuanku tegakkan kebenaran dan keadilan ke atas rakyat. Tutuplah aurat (keaiban) mereka. Janganlah dikunci pintu rumah tuanku, atau mengadakan hijab (penghalang) di antara tuanku dengan mereka. Hendaklah tuanku bergembira dengan nikmat yang mereka terima, tetapi bersimpati dengan musibah yang menimpa meeka.

 

Wahai Amirul Mukminin! Urwah bin Ruwain berkata: “Pernah Rasulullah memiliki pelepah kurma yang digunakan untuk bersugi hingga menakutkan kaum munafik. Kemudian turunlah Jibril bertanya: Hai Muhammad! Apakah pelepah kurma ini engkau gunakan untuk menghancurkan atau menakutkan hati umatmu?”

 

Wahai Amirul Mukminin! Relakanlah dirimu dengan dirimu! Dan carilahh keamanan daripada Tuhanmu! Gemarlah kepada syurga yang luasnya langit dan bumi. Ingatlah sabda Rasulullah:

“Sesungguhnya panah yang dimiliki oleh ahli syurga itu lebih baik daripada dunia dan seisinya.”

 

Wahai Amirul Mukminin!  Sesungguhnya jika sesebuah kerajaan yang sebelummu itu kekal, nescaya ia tidak akan sampai kepadamu. Begitu jugalah, ia tidak akan kekal di tanganmu atau sesiapa sahaja.

 

Wahai Amirul Mukminin! Ingatlah kata-kata Umar Al Khattab: “Jika mati anak kambing di tepi sungai Furat (Iraq), nescaya aku takut akan dipertanggungjawabkan mengenainya di akhirat kelak!”

           

Maka bagaimana pula halnya dengan rakyatmu yang tidak beroleh keadilan daripadamu sedangkan ia sangat hampir denganmu?”

Peringatan seperti ini sebenarnya hanya berani disuarakan oleh ulama yang mempunyai kekuatan jiwa yang luar biasa dan bekerja kerana Allah. Dalam suratnya kepada khalifah itu, Imam Auzai’ menyambung:

Wahai Amirul Mukminin! Allah telah berfirman: “Hai Daud! Sesungguhnya Kami jadikan engkau khalifah di muka bumi. Sebab itu putuskanlah sesuatu perkara di antara rakyatmu dengan kebenaran. Janganlah engkau turuti kemahuan nafsumu, nanti engkau akan disesatkan dari jalan Allah.” – Shad:26

 

Wahai Amirul Mukminin! Rasulullah bersabda:

“Setiap pemerintah akan dibawa pada hari kiamat dengan tangannya dirantaikan ke leher. Ia hanya dapat dibuka oleh keadilannya. Ia diberhentikan di atas titian sirat di atas neraka yang akan bergerak dengan suatu gerakan yang akan menghilangkan seluruh anggota daripada badan…”

 

“Kemudian ia dikembalikan. Lalu dihitung amalannya. Kalau ia dahulu berbuat baik, nescaya ia lepas dengan kebaikannya. Kalau ia dahulu berbuat jahat, nescaya pecahlah titian itu, lalu ia terhumban ke dalam neraka tujuh puluh kharif (jarak masa setahun).”

           

Wahai Amirul Mukminin! Umar r.a. berkata: “Amir (pemerintah) itu ada empat jenis:

Amir yang kuat; yang dapat mengawal dirinya sendiri sahaja dan tidak pegawai-pegawainya. Ia berada di tepi jurang kebinasaan. Kecuali Allah menurunkan rahmat ke atasnya.

Amir yang dapat mencegah pegawai-pegawainya tapi membiarkan dirinya mengikut hawa nafsu. Ia dalam keadaan yang membahayakan sebagaimana sabda Rasulullah: “Pengembala yang terjahat itu bahaya yang menghancurkan. Dia itu binasa sendiri.”

           

Dan Amir yang membiarkan dirinya dan pegawai-pegawainya menurut hawa nafsunya. Mereka kesemuanya akan binasa.”

           

Wahai Amirul Mukminin! Umar Al Khattab telah berdoa:

“Wahai Tuhanku. Sekiranya menurut ilmu-Mu, aku akan terpengaruh, apabila dua rakyatku dihadapkan kepadaku, kepada yang miring daripada kebenaran, baik yang dekat atau jauh, maka janganlah Engkau biarkan aku walaupun sekelip mata.”

           

Wahai Amirul Mukminin! Sesungguhnya yang paling berat ialah berdiri tegak untuk menegakkan kebenaran, kerana Allah. Yang paling mulia di sisi Allah ialah taqwa. Sesiapa yang mencari kemuliaan dengan mentaati Allah, nescaya ia akan diangkat dan dimuliakan oleh Allah. Sesiapa yang mencari kemuliaan dengan membuat maksiat kepada Allah, nescaya ia dihina dan direndahkan oleh Allah.

 

Itulah strategi ulama-ulama dahulu dalam mempengaruhi raja supaya institusi istana digunakan untuk agama. Cara yang sama telah digunakan oleh ulama-ulama sufi atau guru tareqat apabila mereka mula membawa agama Islam ke alam Melayu. Dengan jiwa yang penuh dengan kekuatan iman, fizikal yang tahan lasak dan pemikiran tahap tinggi, ulama-ulama sufi ini telah berjaya menembusi pintu istana raja-raja dan peribumi Melayu yang asalnya beragama Hindu.

Ini zaman kebangkitan Islam. Sudah sewajarnya golongan di raja muncul sekali lagi untuk mendaulatkan agama. Pilihan terletak sepenuhnya di tangan mereka; apakah mereka ingin mengikuti jejak Kisra Parsi yang menolak Islam ataupun mahu menjadi Najasyi yang tunduk kepada ajaran Islam?

Kebangkitan Islam bukanlah satu gelombang anti feudal yang memusuhi golongan bangsawan. Rasulullah SAW sendiri telah mengisytiharkan, barangsiapa yang memasuki rumah bangsawan Mekah, Abu Sufian, ketika peristiwa penaklukan Mekah (Futuh Mekah), orang itu dijamin keselamatannya.

Ini menunjukkan kemaraan Islam bukanlah satu revolusi yang menumpahkan darah raja sepertimana revolusi Perancis ataupun revolusi Rusia. Ia adalah satu ‘revolusi’ hati yang merubah manusia dengan kasih-sayang. Islam hanya memusuhi kebatilan dan kemungkaran, Islam tidak akan menghapuskan perbezaan-perbezaan fitrah yang sedia wujud dalam kehidupan manusia.

Namun sehingga saat ini, hubungan antara ulama-ulama sufi dan raja-raja masih jauh daripada tahap yang pernah berlaku dalam sejarah. Ini disebabkan ‘ulama-ulama’ yang mengelilingi raja-raja belum mampu menjadikan raja sebagai ‘murid’ mereka.

Kita masih kekurangan ulama yang mampu mencontohi Imam Malik, yang dengan berani berkata kepada Khalifah Harun Al Rashid:

“Jika Khalifah ingin belajar kitab Muwattuk daripadaku, hendaklah ia datang ke mari, bukan aku ke istananya. Ilmu itu didatangi, bukan mendatangi.”

Ulama mesti berdiri teguh sebagai tunggak peribadi yang berani menegur kesalahan pemerintah. Mereka bebas daripada belenggu cinta dunia hingga dengan itu tidak berasa takut ataupun segan berdepan dengan sultan ataupun raja. Inilah yang dimaksudkan oleh oleh ungkapan:“Alangkah baiknya seorang raja yang berada di pintu ulama, dan alangkah buruknya seorang ulama yang selalu berada di pintu para rajanya.”

Sejarah telah membuktikan ulama-ulama ul ‘amilin tidak pernah gentar berdepan dengan penyelewengan pemerintah. Mereka mewarisi sifat Nabi Musa ketika berdepan dengan Firaun, Nabi Ibrahim berdepan dengan Namrud dan Nabi Muhammad SAW ketika berdepan dengan bangsawan-bangsawan Quraisy. Ulama-ulama ini sedar, rakyat sangat dipengaruhi oleh raja-raja mereka.

Contohnya, pada zaman pemerintahan Khalifah Al Walid yang sukakan bangunan cantik, minat rakyat ketika itu pun kepada seni bina. Pada zaman Khalifah Sulaiman yang sukakan perempuan dan arak, minat dan perbualan rakyatnya pun berlegar sekitar perempuan dan arak. Namun, pada masa pemerintahan Khalifah Umar ibnu Aziz yang warak dan beramal soleh, tindakan rakyat jelata pun ikut ke arah amal soleh.

Atas dasar inilah ulama-ulama ul ‘amilin yang berjiwa sufi bekerja keras bagi mempengaruhi raja-raja untuk diarahkan kepada Islam. Ulama-ulama dahulu mempengaruhi, bukan dipengaruhi oleh raja-raja. Ini hanya mampu dilakukan oleh ulama yang bekerja kerana Allah, dan berkhidmat untuk manusia. Namun apabila dilihatnya raja-raja masih berdegil, ulama berjiwa sufi ini akan menjauhkan diri daripada raja-raja. Mereka tidak mahu menjadi tukang angguk kepada kemungkaran-kemungkaran yang dilakukan oleh golongan bangsawan.

Zaman keruntuhan Islam bermula apabila ulama-ulama suuk mengelilingi raja-raja, seperti Haman dan Qarun mengelilingi Firaun. Bangsa Tartar datang memusnahkanBaghdadketika ulama-ulamanya leka berbahas soal-soal khilafiah. Malah sampai satu ketika raja-raja dan rakyatBaghdadterlalu bersuka ria pada Hari Raya ditangguhkan sampai menjelang waktu Asar. Ke mana perginya ulama ul ‘amilin ketika itu? Mengapa kemungkaran rakyat dan rajanya tidak mendapatkan teguran dan peringatan?

Sabda Rasulullah SAW: “Ada dua golongan manusia, jika baik kedua-duanya, baiklah manusia dan apabila kedua-duanya rosak, rosaklah manusia, iaitu ulama dan para pemimpin.”

Golongan bangsawan mesti bangkit semula menyahut seruan kebangkitan Islam. Lupakah mereka bahawa Rasulullah SAW pernah memuliakan rumah Abu Sufian setaraf dengan Kaabah ketika penaklukan Mekah?

“Siapa yang masuk ke rumah Abu Sufian…selamat.” “Siapa yang masuk ke dalam Kaabah….selamat.”

Ini menunjukkan penguasa amat penting kedudukannya jika ia dijadikan institusi membersihkan hati dan pusat mendaulatkan Islam. Istana mulia kerana peribadi penghuninya (raja) yang berjiwa sufi, bukan kerana keindahan dan kemewahannya. Seorang raja yang memiliki jiwa tawaduk di dalam istananya adalah lebih mulia daripada seorang sufi yang beruzlah di dalam bilik suluknya. Sesungguhnya raja-raja seperti itulah yang mewarisi sifat Nabi Sulaiman, jasadnya dia atas tahta tetapi hatinya tunduk menyembah Allah.

Islam akan bangkit sekali lagi dengan munculnya pemimpin-pemimpin yang mewarisi sifat-sifat kepimpinan Rasulullah SAW, para sahabat dan raja-raja yang berjiwa Islam. Dunia ditadbir semula oleh individu yang tidak mencintainya. Keamanan dan kebahagiaan akan berkumandang apabila umat diperintah oleh orang seperti:

  • Umar Al Khattab, yang telah berkata: “Jika mati anak kambing di tepin sungai Furat, nescaya aku takut akan dipertanggungjawabkan mengenainya di akhirat kelak.”
  • Umar Abdul Aziz, yang berkata: “Jauhkanlah aku daripada jawatan khalifah seperti jauhnya timur dan barat. Sesungguhnya urusan ini telah menggulungkan bala di atas bahuku.”
  • Ali bin Abi Talib, yang berkata: “Wahai dunia, tipulah orang lain, jangan tipu aku.”

Raja-raja atau pemerintah seperti ini tidak akan wujud selagi tidak ada ulama seperti Nizam Al Muluk, yang telah berkata kepada Raja Malik Syah sewaktu bersiap sedia untuk menawan Konstantinopel:

“Saya telah menyediakan untuk tuan-tuan satu angkatan tentera yang disebut ‘tentera malam’. Apabila tentera bersenjata tidur, merekalah yang menjadi tentera tuanku. Mereka berdoa ke hadrat Allah dengan linangan air mata dan lidah yang terus-menerus berzikir kepada Allah…”

Kita sentiasa mengaminkan doa oleh para ulama untuk para umara di mimbar-mimbar  masjid menjelang  solat Jumaat – mohon hidayah dan petunjuk untuk mereka kerana mereka adalah tonggak kebaikan ummah. Baik ulama, baik umara, dan seterusnya baiklah ummah. Amin ya Allah. Amin.

Raja-raja  akan berjiwa sufi apabila ulama mencintai mati! Insya-Allah.

 
14 Komen

Posted by di 11 Jun 2012 in Politik / Siasah

 

Label: , , ,

14 responses to “PESAN YANG DATANG DARI HATI…

  1. SYEDHAFIZ

    11 Jun 2012 at 12:33 pm

    sultan kelantan insyallah miliki ciri2 sultan bsama ulamak..

     
  2. zulkifli ab.razak

    11 Jun 2012 at 2:52 pm

    Assalamualaikum.
    Mohon kiranya dapat disahihkan sabdaan-sabdaan Baginda Nabi S.A.W. dan kata-kata Sahabat R.A. yang dinyatakan diatas (perawi dan/atau kitab rujukan). JazakaLlahu khair.

     
  3. Muhammad

    11 Jun 2012 at 3:35 pm

    Assalamualaikum Ustaz,

    Boleh saya dapatkan alamat email ustaz.

    Terima kasih

     
  4. zainoren

    12 Jun 2012 at 9:34 am

    syukran ustaz, ana mohon kebenaran untuk ana manfaatkan perkongsian ilmu ini

     
  5. Mohd Firdaus Mohd

    12 Jun 2012 at 10:04 am

    Alhamdulillah…Tulisan yang bermanfaat serta mengesankan jiwa. Semoga ia membawa kebaikan. Terima kasih ustaz!

     
  6. hafizah

    12 Jun 2012 at 2:09 pm

    assalamualaikum.ustaz saya selalu baca tulisan ustad.tahniah atas karya yang amat bermanfaat utk semua.teruskan..

     
  7. Wan Reozmawanza

    12 Jun 2012 at 3:51 pm

    Tabarakallah…..kalaulah pemimpin kita sekarang dapat menhayati tulisan Tuan. Amin ya rabbala’lamin.

     
  8. Mohd Zaki

    14 Jun 2012 at 9:45 am

    Assalamua’laikum ,

    Alhamdulillah….Dengan izin Nya …saya berpeluang mendapat sedikit ilmu tapi jelas untuk di kongsikan bersama sahabat2 saya…Mudah-mudahan kami perolehi kefahaman dalam agama..Izin kan saya kongsi tulisan ini bersama shbt2 saya…

     
  9. MAH

    14 Jun 2012 at 12:43 pm

    Salam Sejahtera Ustaz

    Mudah-mudahan kita dipanjangkan umur untuk berada dalam era kegemilangan Islam semula seperti yang dijanjikan dalam AlQuran.Pada masa itulah kita akan dapat rasai para ulama dan dan para umara di Malaysia khususnya dan di dunia amnya yang menepati ciri-ciri hamba Allah yang sebenar

     
  10. ummirsyad

    14 Jun 2012 at 2:34 pm

    terbaik ustaz.seperti Sultan Muhammad al-Fateh yang dibimbing oleh Syekh Syamsudin .Maka lahirlah pemimpin yang benar-benar dikatakan PEMIMPIN.

     
  11. siti nahar

    17 Jun 2012 at 7:51 am

    Memang best ustaz,syukran…memang sggh bermanfaat….

     
  12. rohana

    5 Julai 2012 at 12:31 pm

    Salaam..

    Mohon kebenaran untuk berkongsi artikal ustaz..jzkk

     
  13. Abu Amirulehsan

    1 Ogos 2012 at 3:31 pm

    As Salam,
    Indahnya mengubah masyarakat dan umat melalui jalan dakwah dan tarbiah serta hormat menghormati.

     
  14. mama_ameera

    13 Disember 2013 at 5:09 pm

    betapa indahnya jika kemimpinan pemimpin kita benar-benar mempunyai jiwa sufi. allahuakbar!

     

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,097 other followers

%d bloggers like this: