RSS

SAYANGI DIRI SEBELUM MENYAYANGI ORANG LAIN

15 Jun

Selagi kita manusia selagi itu kita berbeza. Islam mengiktiraf perbezaan. Perbezaan bukan semestinya satu pertentangan.

Perbezaan adalah rahmat kerana sudut pandang yang berbeza itu memberikan satu perspektif yang lebih holistik.

Setiap individu, kelompok… pasti ada titik butanya masing-masing. Apa yang dilihatnya jelas, mungkin kabur pada pandangan orang lain. Manakala ada yang dilihatnya kabur, jelas pula pada pandangan orang lain.

Dengan menggabungkan pelbagai sudut pandang, ufuk pandangan kita akan lebih luas. Dan ini mengurangkan sikap prajudis dan ketaksuban.  

Manfaatkan persamaan. Uruskan perbezaan. Apapun, adab dan akhlak dalam berbeza pandangan itu sangat penting dan utama dipertahankan.

Adab itu lebih utama dipertahankan berbanding ‘perkara ranting’ yang sedang dipertikaikan. Ramai orang yang bijak, tetapi masih sedikit orang yang berakhlak. Hanya dengan kebijaksanaan dan kasih sayang kita dapat mencari kebenaran… Jika tidak yang kita cari cuma kemenangan. Biar kalah hujah, asalkan ‘menang’ akhlak. Justeru, selamanya manusia  ‘dont care how much you know untill the know how much you care’.

Mudahnya sikap melabel, mempertikaikan akidah, malah hingga ketahap meragui keislaman orang lain yang berbeza disiplin ilmu dengan kita, seharusnya dapat dielakkan. Kekadang saya melihat, soal peribadi sudah mengelabui soal prinsip. Agama di jadikan bukti hujah tetapi kedengkian bersalut dunia itu jugalah yang menjadi motif utamanya. Bukan menuding orang lain, tetapi satu muhasabah buat diri sendiri dan mengingatkan yang lain. 

Pandanglah manusia lain dengan pandangan sayang. Semua muslim bersaudara. Selagi bersaudara kita umpama satu jasad. Melukai hati mereka samalah melukai diri kita sendiri. Sakitnya mesti terasa kerana saraf iman kita sama. Iman itu akar, buahnya kasih sayang. Jika mereka  bersalah sekalipun, mereka masih berhak mendapat kasih sayang kita. Apatah lagi jika sekadar ‘ter’salah.

Kesukaran mendidik diri sewajarnya meningkatkan kesabaran kita mendidik orang lain. Jangan kasar. Jangan marah. Perlembutkan bahasa, lunakkan sentuhan… kemukakan hujah secara ilmiah dengan bujukan dan kemesraan. Begitu Rasulullah saw mengajar kita. Yang benar, mesti diperjuangkan secara yang benar juga. Kesalahan orang lain, jangan diledakkan di khalayak ramai (termasuk laman sosial di internet) tanpa bersemuka dengan yang berkenaan terlebih dahulu. Dan sebelum bersemuka, tanamkan dalam hati… aku berbuat demikian demi kasih sayang dan cintaku kepada saudara muslim ku.

Siapa yang mencari kebaikan, akan bertemu kebaikan. Orang yang baik berhak bertemu dengan orang yang baik sepanjang perjalanan hidupnya. Sekalipun, dia bertemu dengan ‘orang yang jahat’ namun kebaikan jualah yang akan dapat dirasai daripada kejahatan itu. Bukan soal siapa yang kita temui, tetapi siapa kita ketika menemui mereka.

Bertemu dengan orang, seperti bertemu dengan makanan. Ada makanan yang lazat, berzat dan berkat. Ada makanan yang tidak sedap, jangan mencelanya. Tinggalkan dengan baik. Maka begitulah dengan kenalan mu. Jika ternyata, mereka tidak dapat membawa kita menjadi lebih baik… tinggalkan. Tetapi jangan memutuskan. Jarakkan diri, tetapi jangan mencelanya. Dia akan bertemu dengan orang yang lebih baik daripada kita dan kita akan bertemu dengan orang yang lebih baik daripadanya.

Insya-Allah, jika kita berani berbuat demikian, belenggu yang mengikat hati dan diri kita akan terungkai. Kita akan terbang lebih tinggi setelah belenggu itu terungkai. Dia pun akan melonjak lebih jauh tanpa kehadiran kita di sisi. Begitulah, kekadang perpisahan itu lebih baik daripada pertemuan… asalkan tidak ada permusuhan.

Apapun, sayangilah diri sebelum menyayangi orang lain… kerana itu petanda kesempurnaan iman: 

SAYANGI DIRI SEBELUM MENYAYANGI ORANG LAIN

“Ustaz, kerana sayang anak-anaklah saya jadi begini,” kelohnya perlahan.

“Puan telah terkorban,” balas saya juga perlahan.

“Saya terkorban kerana berkorban.”

Saya diam. Perlahan-lahan saya renung keadaannya yang daif. Kakinya yang membengkak. Badannya yang sembab. Mukanya yang pucat. Penyakit tiga serangkai telah menyerangnya – darah tinggi, lemah jantung dan kencing manis. Saya dijemput oleh suaminya untuk memberi sedikit-sebanyak nasihat bagi menenangkan hatinya.

Saya masih ingat kata-kata suaminya, “Ustaz, tolong buat sesuatu pada isteri saya. Dia dalam keadaan yang sangat murung. Hampir tidak pernah senyum. Penyakitnya pun semakin berat. Dia perlukan keyakinan untuk sembuh. Jika tidak… “

Tanpa banyak bertanya saya terus memberi persetujuan. Sungguhpun kami berdua hanya kenalan jauh tetapi hajat seorang muslim terhadap saudaranya menjadikan kami dekat. Dan petang ini, saya meluangkan masa untuk bercakap-cakap dengan isteri yang berusia lewat 40’an ini.

“Puan, berkorban tidak semestinya terkorban…” pujuk saya perlahan.

“Mengapa ustaz kata begitu?”

“Sekarang, puan mesti memiliki harapan dan keyakinan yang tinggi untuk sihat,” kilas saya menangguhkan jawapan pada pertanyaannya.

“Entahlah… saya seolah-olah putus harapan. Macam manalah anak-anak yang tinggalkan di rumah sekarang. Sudah dua bulan saya ditahan di rumah sakit begini…”

Saya benar-benar simpati, malah empati melihatnya. Masih terngiang-ngiang kata suaminya, “Ustaz, isteri saya sakit sebab terlalu banyak berkorban untuk anak-anak. Sejak anak-anak masih kecil, siang malam dia memberi tenaga, fikiran dan perhatiannya untuk membesarkan anak-anak. Risau dan bimbangnya hanya untuk membesarkan anak-anak. “

“Lalu… kerana itu dia mengabaikan kesihatannya?” tanya saya kepada suaminya.

“Ya. Bukan itu sahaja, dia langsung tidak pernah gembira hanya untuk menggembirakan anak-anak. Kesihatan, pelajaran, makan-minum, pakaian dan segalanya tentang anak-anak dijaganya dengan rapi. Tetapi makan-minumnya sendiri terabai. “

Saya menggeleng-gelengkan kepala. Ini prinsip hidup lilin…membakar diri untuk menerangi orang lain.

“Ustaz, apakah ada salah saya, hingga takdirnya saya menerima nasib begini?” tanya ibu itu menyentap kembali perhatian saya kepadanya.

“Salah puan memang ada…” jawab saya.

“Salah saya?” dia tersentak. Riak mukanya semacam tidak percaya.

“Puan seharusnya menyayangi diri dahulu sebelum menyayangi orang lain,” jawab saya pendek.

“Bukan orang lain ustaz, anak-anak saya sendiri!”

“Sekalipun kepada anak sendiri.”

“Itu mementingkan diri namanya!”

“Tidak! Menyayangi diri sendiri untuk menyayangi orang lain bukan mementingkan diri. Malah itulah sewajarnya kita lakukan,” pintas saya. Nampaknya, saya telah ‘berjaya’ membuat dia melenting, marah dan memberi respons. Itu bagus. Sekurang-kurangnya dia telah keluar daripada zon kemurungan dan sindrom membisu yang dialaminya sekian lama.

“Mengapa demikian?”

“Hanya orang yang ada kasih sayang sahaja mampu memberi kasih sayang. Logiknya, hanya orang yang ada wang, mampu memberi wang,” terang saya.

Sekarang dia pula terdiam. Termenung agak lama. Saya biarkan sahaja dia dengan fikiran dan perasaannya.

“Puan, sebenarnya hanya orang yang sihat sahaja dapat menjaga kesihatan orang lain. Sekarang, cuba lihat… apabila puan sakit, siapa yang hendak menjaga anak-anak puan di rumah? Padahal kalau puan sihat, puan boleh menjaga mereka sekarang.”

“Saya tak faham ustaz, apa yang sedang berlaku sekarang. Tolonglah jelaskan,” rayu wanita itu.

“Baiklah, mari kita fahami dahulu apa yang telah berlaku. Kemudian kita cuba fahami apa yang sedang berlaku. Dan akhirnya, rancang apa yang perlu kita lakukan nanti.”

Mendengar kata-kata saya dia mula mengubah posisi badannya. Daripada berbaring kepada mengangkat badannya lantas bersandar di birai katil. Alhamdulillah, itu petanda positif. Mengubah posisi fizikal adalah proses merubah emosi dan minda. Bukankah untuk meredakan kemarahan kita dinasihatkan agar menukar posisi badan?

“Apa yang telah berlaku dahulu adalah satu kesilapan. Puan seharusnya menjaga kesihatan badan, fikiran, perasaan dan jiwa semasa mengasuh, mendidik dan menjaga anak-anak.”

“Maksudnya ustaz?”

“Jaga diri puan dahulu sebelum menjaga anak-anak. Maksudnya, puan perlu menjaga kesihatan jiwa dan badan puan. Itu bukan pentingkan diri. Tujuan kita sihat ialah agar mampu menjaga kesihatan orang lain. Sayangnya, puan telah tersilap, puan terlalu menjaga anak-anak sehingga mengabaikan kesihatan sendiri. Akibatnya, puan jatuh sakit… dan sekarang anak-anak terabai! ”

Saya teringat kata-kata seorang pakar pendidikan, Sebenarnya orang yang mengabaikan kesihatan diri adalah orang yang paling mementingkan diri sendiri.” Ketika ditanya mengapa, beliau berkata,”Sebab apabila dia sakit, orang lain yang terpaksa menjaga dirinya. Sebaliknya, orang yang menjaga kesihatan diri… akan sihat. Apabila dia sihat, dia mampu menjaga orang lain yang sakit!”

“Betul juga kata ustaz, sekarang, anak-anak saya terabai dan saya sendiri pun sakit. Rugi-rugi…”

“Yang sudah, sudahlah. Kata bijak pandai, sebaik sahaja mengambil pelajaran daripada kesilapan semalam, ayuh kita lupakan. Fokus kepada hari ini. Sekarang mari kita memahami realiti terkini… Apa yang sedang berlaku sekarang?”

“Saya sedang sakit…”jawab ibu itu.

“Tidak, puan sedang dirawat untuk sihat!”

“Maksud ustaz?”

“Puan mesti bersangka baik dengan Allah dan bersangka baik dengan diri sendiri. Katakan pada diri, aku layak untuk sihat kembali. InsyaAllah, Allah akan berikan kesembuhan itu.”

Dia diam. Mukanya tunduk. Saya menambah kata,”Puan mesti sihat kerana puan memang sayangkan diri puan. Puan mesti sayangkan diri puan untuk menyayangi anak-anak puan. Itulah niat dan semangat yang perlu ada dalam diri puan sekarang. Inilah langkah terbaik untuk memulakan hari ini bagi menghapuskan kesalahan semalam.”

“Ustaz, saya akan sembuh?”

“Yakinlah pada bantuan Allah. Penyakit lahiriah ini akan mudah ditangani jika hati dan jiwa kita terlebih dahulu diubati. Tanamkan keyakinan, harapan dan sangka baik kepada Allah. Ujian sakit ini sebenarnya untuk tujuan itulah… bagi mengingatkan kita agar kembali kepada Allah. Kembali merintih, berharap dan mengadu kepadaNya.”

“Ustaz, tolong doakan agar saya nampak hubungan antara kasih sayang terhadap diri, manusia dan Alllah…”

“Puan, saya pun senasib dengan puan. Masih mencari-cari hakikat kasih sayang Allah. Namun, setakat ini apa yang saya tahu, kita tidak mampu menyayangi manusia lain selagi kita belum menyayangi diri sendiri. Dan kita tidak akan mampu menyayangi diri sendiri sebelum menyayangi Allah!”

 
38 Komen

Posted by di 15 Jun 2012 in Iktibar Kisah

 

Label: , ,

38 responses to “SAYANGI DIRI SEBELUM MENYAYANGI ORANG LAIN

  1. mardhiyyah

    15 Jun 2012 at 8:52 am

    Kami brsykur dgn setiap nikmatmu ya ALLAH. Kurniakanla cintaMU kpd kami.
    Terima kasih ustaz.

     
  2. WaniDaniel

    15 Jun 2012 at 9:02 am

    Assalamualaikum Ustaz..Ya Allah Ustaz,betul-betul menyentuh hati bila membaca coretan Ustaz ini. Sayu hati ini bila memikirkan diri ini yang masih sihat, perlu terus bermuhasabah diri untuk persediaan menjaga orang-orang yang saya sayang kitika mereka sakit.

    Saya selalu menyungut sebelum ini kerana setiap kali ahli keluarga saya sakit, saya yang akan menghantar mereka untuk mendapat rawatan. Mengorbankan masa saya untuk orang lain, tetapi bila membaca coretan ini saya rasa sedih pula sebab memikirkan siapa yang akan menjaga orang-orang yang saya amat sayangi apabila saya sakit. Ya Allah,sekarang saya baru faham Ustaz maksud sebenar ‘SAYANGI DIRI SEBELUM MENYAYANGI ORANG LAIN’, bukannya kita pentingkan diri sendiri bila kita sayangkan diri kita untuk menyenangkan orang lain. Syukran jazzilan Ustaz, Alhamdulillah atas nikmat yang Allah beri pada saya selama ini. Saya akan terus menjaga diri ini untuk sihat supaya terus dapat berbakti kepada orang lain. InsyaAllah, Aamiin !

     
  3. alisha

    15 Jun 2012 at 10:44 am

    Hello my friend, I am from Thailand.
    I do hope you don’t mind if we could exchange link
    Here is my site
    alisharesidence.blogspot.com/

    Regards,
    Alisha

     
  4. ummu ammar

    15 Jun 2012 at 10:55 am

    Alhamdulillah..seperti menghirup madu tatkala membaca tulisan ustaz; ubat buat insan yang sedang meyembuhkan diri..syukran ustaz..Semoga ustaz diberi kesihatan yang baik dan sentiasa dalam lindungan Allah; supaya hati-hati yang hampir mati mampu segar kembali dengan sentuhan tulisan ustaz..

     
  5. Amir

    15 Jun 2012 at 11:31 am

    Teringat kalau dalam flight pesan dari anak kapal: Ketika kecemasan, sarungkan alat pernafasan anda dahulu sebelum menyarungkan untuk anak-anak dibawah jagaan anda.

     
  6. Aisyah Norbin

    15 Jun 2012 at 12:35 pm

    Syukran ustaz….bersyukurnya saya kerana dipilih oleh Allah untuk membaca tulisan2 ustaz.begitu juga ceramah2 ustaz di radio IKIM.Saya tak tau nak cakap apa.Hanya saya berdoa kepada Allah agar ustaz

     
  7. Aisyah Norbin

    15 Jun 2012 at 12:40 pm

    Syukran ustaz….bersyukurnya saya kerana dipilih oleh Allah untuk membaca tulisan2 ustaz.begitu juga ceramah2 ustaz di radio IKIM.Saya tak tau nak cakap apa.Hanya saya berdoa kepada Allah agar ustaz diberi kesihatan yang baik dan idea yang mencurah2 untuk jadi ubat hati kepada orang-orang yang sentiasa mencari kebenaran.

     
  8. yatie awang

    15 Jun 2012 at 5:49 pm

    Alhamdulillah..InsyaAllah ustaz..selalu mencuba menyayangi diri sendiri dulu…suka baca tulisan ustaz

     
  9. zie

    15 Jun 2012 at 8:48 pm

    Alhamdulillah kerana Allah telah mempertemukan saya dengan blog yang menyentuh rohani ini, Syukran ustaz..

     
  10. Ummu Safiyyah

    15 Jun 2012 at 9:54 pm

    Terima kasih ustaz…..unuk segala didikan Allah melalui penyampaian ustaz…Moga Allah berkati ustaz,isteri dan anak2 ustaz…

     
  11. Zalina

    16 Jun 2012 at 9:53 pm

    Saya selalu mengikuti program ustaz di radio ikim.Apa yg ustaz utarakan selalu buat saya menangis kerana melihat kehebatan,kasih sayang Allah dan lemahnya diri seorang manusia.saya sentiasa rasa masuk ke dalam situasi yg ustaz sampaikan melalui pengalaman hidup saya.saya berharap ustaz sihat dan dpt berdakwah agar kita semua berada di dalam lorong yang betul dan menuju garisan penamat sebagai johan.insyaallah.

     
  12. Wan Zayuhisham Wan Yusoff

    17 Jun 2012 at 8:09 am

    Yang sudah itu sudahlah. Kita bina penghidupan baharu yang lebih tenang. Insya-Allah, dengan keyakinan dan doa yang tidak putus-putus kita akan beroleh kebahagiaan.

     
  13. MAH

    17 Jun 2012 at 6:44 pm

    Salam Sejahtera Ustaz

    Bagus entri ini cuma saya terfikir satu kisah semasa para Sahabat Rasullulah SAW tercedera di medan perang , air minum diberikan kepada yang tercedera namun dia suruh diberikan kepada sahabat yang lain dahulu, begitulah yang terjadi sampai kepada sahabat yang ketujuh, namun beliau telah shahid dan sahabat yang mula-mula hendak diberikan air tadi juga shahid..itulah tahap para Sahabat menyayangi antara satu sama lain.

     
  14. rohani

    17 Jun 2012 at 7:02 pm

    Assalamualaikum,
    Dalam quran Allah swt ada mengatakan” Aku jadikan manusia itu sebaik-baik kejadian”.Jika kita renung baik-baik akan diri kita ini,Allah jadikan kita lengkap umpama satu negara yg mempunyai pentadbiran yg lengkap,cekap dan efficient.Diri kita sendiri inilah yg telah merosakkannya, seperti firman Nya semua kerosakan dimuka bumi ini adalah hasil dp tangan manusia itu sendiri.
    Cuba kita renungkan,Allah jadikan antibodi(policeman, army) untuk pertahankan diri dari musuh(virus,bakteria dsbnya), dijadikan natural killer cell(FRU) untuk lindungi diri dari sel-sel kanser, di jadikan sel-sel makrofaj(majlis perbandaran) untuk membersihkan diri dari darah-darah beku yg tidak di perlukan misalnya pendarahan diotak pada pesakit strok, dan macam-macam lagi.
    Persoalannya sekarang kenapa kita sakit??? Antara sebab nya kita tidak memberi makanan@vitamin secukupnya kepada sel-sel tersebut untuk berfungsi secara normal. Akibatnya kita di serang berbagai-bagai penyakit.Umpama seorang pekerja yg diberi gaji bulanan yg rendah dan tidak cukup untuk maintain pebelanjaan harian, mereka tidak akan bekerja bersungguh-sungguh untuk syarikat majikannya, walaupun mereka tahu ini akan melumpuhkan syarikat tempat mereka mencari rezeki.
    Setiap hari tubuh kita tededah dgn berbagai-bagai musuh…bahan kimia..ayam ijection, ikan- fomaldehyte, sayur- racun serangga,gaya hidup yg penuh dgn tekanan, makanan spiritual yg kurang dll.
    Jom kita detoxify kan tubuh kita dgn buah anugerah Allah akhir zaman disamping mengaktikan sel-sel yg lemah dgn 200 jenis vitamin dan mineral yg terdapat dlm buah seabukthron. Dihasilkan oleh lebih dari 100 doktor dan professor dan di iktiraf sebagai makanan tambahan yg terbaik di abad ini, 100% herba,tanpa kesan samping dan halal. Berilah peluang untuk raga kita sihat supaya roh kita tenang beribadah. Slogan saya…TUBUH ANDA ADALAH DOKTOR YG TERBAIK UTK ANDA….cuma anda perlu aktifkan sel-sel anda…sila keblog saya..rohanisne.blogspot.com
    Segala yg baik itu dari Allah, dan kelemahan itu dari diri kita sendiri

     
  15. asma

    17 Jun 2012 at 8:35 pm

    semoga ustaz sentiasa diberikan kesihatan yang baik dan dipermudahkan setiap urusan ustaz…terima kasih atas perkongsian ini..

     
  16. m.shafie

    18 Jun 2012 at 3:53 pm

    Salam Ust,
    Jzk atas pengisian dalam kursus MP terbaru. Saya terasa mendpt nafas baru dlm melaksanakan kerja2 dakwah dan tarbiyah. Soalan: Bila nak buat kursus modul 2 pulak?Saya mohon izin utk guna bahan2 dalam memberikan dakwah/tarbiyah serta motiviasi kepada pelaja2 saya.

     
  17. Jahar Hart

    18 Jun 2012 at 7:08 pm

    Assalamu alaikum… nice visit to yor site. salam kenal saya dari Indonesia. saya Mau bertanya, bisakah saya mengajukan skrip novel ke telaga biru publishing? mohon jawapannya. syukron
    Jahar (www.jahar.eltajircenter.com)

     
  18. adawiahhosni

    19 Jun 2012 at 12:07 am

    Reblogged this on bersamadakwah.

     
  19. hidayah

    19 Jun 2012 at 8:42 am

    Syukran ustaz..sgt bermanfaat.

     
  20. me

    19 Jun 2012 at 12:47 pm

    salam ustaz,
    Kebanyakkan coretan ustaz mesti ade kne mengena dengan hidup yang saya lalui sekarang.
    Alhamdullillah, sedikit sebanyak coretan ustaz ini dapat menenangkan hati saya yang sedang gundah gulana.
    Terima kasih ustaz :)

     
  21. ummu umar

    19 Jun 2012 at 1:12 pm

    Salam ustaz,
    ana nak minta email ustaz.

     
  22. nurazmin yahya

    20 Jun 2012 at 1:32 pm

    Tulisan ustaz sentiasa mnjentik hati saya..sdg belajar menyayangi diri ini tapi kadangkala gagal mengawal emosi …tentunya kesannya tidak baik…mungkin hati ini masih belum mengenal Dia dengan lebih baik…ampunkanlah hambaMu ni Ya Allah..terima kasih ustaz

     
  23. gentarasa

    20 Jun 2012 at 6:35 pm

    Assalam,
    Mohon terus berhubung dengan telaga biru. Saya hanya bertugas dua minggu sebulan di sana.

     
  24. SulamKaseh

    21 Jun 2012 at 11:51 am

    Assalamualaikum.

    Ustaz, terima kasih di atas pengisian yang cukup2 bermakna.. setiap patah perkataan, dapat di jadikan sumber motivasi bagi diri ini dan sahabat di luar sana.. Moga ustaz akan terus diberikan kesihatan dan di berikan kelapangan dalam mencurah kan ilmu kepada semua..
    InsyaAllah..
    Izinkan saya kongsi kan di blog.

    http://islampelitahidup.blogspot.com/2012/06/sayangi-diri-sebelum-menyayangi-orang.html

     
  25. linz

    22 Jun 2012 at 12:31 am

    Alhamdulillah dan terima kasih, ust. Mg manfaatnya melata meliputi ruang lingkup kehidupan kita semua. Amein ya rabb.

    P/S: Ust, mohon berkongsi dengan rakan-rakan saya. Mohon halalkan dan doakan.

     
  26. nurul hasifah

    22 Jun 2012 at 12:53 am

    terima kasih ustaz…..

     
  27. afizol

    26 Jun 2012 at 2:53 am

    Terima Kasih Ustaz!!!..terima kasih bnayak2.. Hanya Allah sahaja yg mampu membalas jasa ustaz. :)

     
  28. afizol

    26 Jun 2012 at 2:54 am

    Terima Kasih Ustaz!! Untuk santapan rohani … Hanya Allah yg mampu membalas segala jasa ustaz..

     
  29. pretty nadjah

    27 Jun 2012 at 11:35 am

    Alhamdullilah..saya telah dibukakan hati untuk menjadi baik. Sekarang ni saya dalam usaha untuk menjadi lebih baik didunia yg sementara. Insya Allah visi dan misi untuk mengejar syurga yg kekal abadi. Saya sentiasa berdoa agar ditemukan dan diberi hidayah dengan orang baik-baik dan ilmu yang baik. Bersyukur sangat kepada Allah dapat ilmu daripada ustaz Pahrol. Terima kasih ustaz.

     
  30. siti nahar

    28 Jun 2012 at 6:11 pm

    Terima ksh ustaz…sya brasa sronok mbacanya dn btul2 mndidik hati dn jiwa sya…syukran..

     
  31. nanad

    3 Julai 2012 at 9:44 am

    terimakasih ustaz

     
  32. Aisyah Maisarah

    4 Julai 2012 at 12:21 am

    Subahanallah…Terima kasih Ustaz..Entri ini sgt brmanfaat lebih2 lagi saya sbg bakal ibu yg akn mengahadapi perkara sprt d atas..

     
  33. Fairuz

    4 Julai 2012 at 10:25 am

    Syukur pd Allah… Trima kasih pada ustaz…. prtama kali sy baca tulisan ini, mmg sampai kt hati ni… Mmg terasa.. Penyampain yg AMAT bagus….!

     
  34. Zareen Ismail

    16 Julai 2012 at 6:29 am

    Salam Ustaz Pahrol,
    Saya telah lama juga mengikuti siaran mukmin profesional di Radio Ikim. Program tersebut adalah di antara ‘segment’ kesukaan saya dan saya juga amat menghormati ustaz sebagai salah satu ‘speaker favorite’ saya. Kini saya bersyukur dapat melawat blog ustaz dan ingin mengambil peluang untuk memberi pandangan serta pendapat yang telah lama terukir di fikiran saya.

    Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan juga setinggi tahniah di atas siaran tersebut.dan juga untuk blog genta rasa ini. Saya dapat perhatikan nilai program segment MP adalah satu yang cukup tinggi..dan terima kasih kepada Radio Ikim kerana menjemput penyampai/tetamu2 yang berkebolehan saperti ustaz. Dari isi kandungan, penyampaian, kehalusan bahasa dan budi pekerti ustaz sebagai penyampai sangat di hargai. “I would like to say, you really live up to the name as a Professional Mukmin”

    Bukan saja dari segi maklumat yang begitu bernilai dengan pelbagai pengajaran menghadapi cabaran hidup untuk menjadi seorang mukmin yang bersikap profesional di zaman ini,tetapi keseluruhan penyampaiannya membuatkan pendengar terasa sangat senang dan tenang. Saya puji sikap ustaz yang ‘humble’ – merendah diri dan tawathuk sama ada semasa menghuraikan sesuatu atau semasa menjawab soalan yang diajukan para pendengar. Blog ini juga adalah satu titiian dan penyambung dari siaran radio,kuliah,ataupun buku2 karya disediakan untuk para peminat.. mahupun orang awam. Saya juga ada buku karya ustaz,

    May you always keep that gentle personality and approach and reach great heights of success in your noble efforts for the muslim ummah. Saya doakan Ustaz terus dilimpah rahmat anugerah ALLAH. Semoga Ustaz dan seisi keluarga sihat, selamat dan mendapat kebaikan dunia dan akhirat. Ameen!

     
  35. Hakim Azfahan

    26 Julai 2012 at 11:49 am

    Alhamdulillah, terima kasih ustaz atas perkongsian yang menyentuh jiwa. Saya ada ahli keluarga yang sakit, saya sering bersedih bila memikirkan mengapa hal ini terjadi kepada orang yang saya sayangi. Mungkin ada hikmah di sebalik kejadian. Saya mula mengambil berta tentang hal ehwal keluarga dan saya rasa saya belum bersedia untuk menghadapi kehilangan mereka. Terima Kasih Ustaz! :(

     
  36. nlyaa

    26 September 2012 at 12:17 pm

    membaca tulisan ustaz seperti penyejuk.. terima kasih ustaz atas perkongsian ilmu dan pengalaman ini. semoga ustaz sentiasa mendapat berkat dr Nya..

     
  37. rabitaharum

    28 November 2013 at 8:34 pm

    ustaz…saya amat berminat dengan penulisan ustaz yang sederhana namun menyentuh perasaan yang amat mendalam …Membacanya memberi ketenangan moga ustaz mendapat keredaanNya,,,

     

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,197 other followers

%d bloggers like this: