RSS

CICIPAN IMAN DARI YANG DERHAKA

04 Dis

anak_miskinUsai program Mukmin Profesional di IKIM, baru-baru ini, ramai yang datang menemui saya di bahagian belakang dewan. Mereka  bertanya itu dan ini… pelbagai soalan, masalah dan rintihan menerjah. Saya setia menjadi pendengar. Kekadang masalah yang dikemukakan sama seperti yang pernah saya hadapi, sedang hadapi atau mungkin juga akan saya hadapi nanti.

Kekadang saya juga kelu dan kaku untuk memberi respons. Dalam hati, cuma berdoa. Di luar saya tersenyum dan menaburkan empati. Mudah-mudahan saya ikhlas… Saya tidaklah lebih baik daripada mereka, cuma apabila berdakwah kita dituntut untuk memberi ingatan dan nasihat… untuk diri sendiri dan orang lain. Dalam banyak-banyak soalan, rintihan dan masalah, ada satu yang sangat menyentuh hati saya. Dalam tangisan, wanita itu menceritakan masalahnya. Bukan dia sahaja yang menangis, tetapi teman di sebelahnya juga menangis. 

Ya Allah, saya tidak berdaya untuk membantu. Cuma menjadi pendengar, mendoakan dan berpesan dengan kata-kata yang baik. Selepas solat Asar, saya mencarinya untuk saya hadiahkan sebuah buku tulisan sendiri yang ada menyentuh persoalannya secara langsung atau tidak langsung. Namun, dalam pencarian itu, saya tertahan oleh individu-individu yang lain. Dia telah pulang bersama sahabat-sahabatnya. Atas keterbatasan itu, maka saya nukilkan tulisan ini sebagai ‘jawapan’ yang sederhana kepada pemasalahannya. Saya kerap katakan, dalam buku-buku saya sudah ada jawapan pada sesetengah persoalan yang diajukan oleh pembaca blog, pendengar rancangan dan peserta kursus yang saya kendalikan bersama sahabat-sahabat saya. Tolong cari di situ…

Buat peserta yang berkenaan, dan kepada mereka yang menghadapi persoalan yang sama…. inilah ‘hadiah’ kecil daripada saya :

CICIPAN IMAN DARI PENDERHAKA 

“Ayah tidak bertanggungjawab! Dia tak layak menerima suatu apa pun dari kami.”

”Dia menagih harta?”

”Tidak, tetapi dia menagih kasih sayang. Kasih sayang yang dinafikannya dulu. Bukan setahun dua… tetapi hampir lima puluh tahun!”

”Begitu sekali?” balas saya simpati.

”Tak tanya apa dosa-dosanya terhadap ibu dan kami?”

”Tak payahlah, jika seorang anak dah begitu marah, tentu ada sebab-sebabnya.”

”Benar. Dia hakikatnya hanya ayah pada bin dan binti sahaja!” getusnya geram.

 Saya diam. Ini cerita sedih. Dia dan dua orang adik-beradiknya telah ditinggalkan ayahnya puluhan tahun. Ketika itu usianya baru dua tahun.

”Ayah pergi meninggalkan ibu ekoran pertengkaran kecil pada satu petang. Ayah tak pernah pulang-pulang lagi selepas itu. Dan sejak itu juga saya, kakak dan abang dibesarkan oleh ibu. Ibu membuat apa sahaja untuk membesarkan kami – dari menjaja kuih, menjadi penoreh hinggalah mengambil upah mencuci kain di rumah orang. Baru tahun lepas ibu yang menjanda dan menderita hampir separuh abad itu meninggal dunia…,” begitu ceritanya kepada saya pada awal perbualan tadi.

”Kenapa kini tiba-tiba saja ayah datang? Nak menjejak kasih konon!” katanya sinis.

”Awak masih memanggilnya ayah?” soal saya kembali.

”Kenapa? Itu kan hanya panggilan. Nak panggil apa lagi? Tapi tak ada apa-apa yang penting di sebalik panggilan itu.”

”Panggilan itu melayakkan dia mendapat kasih sayang awak!” pintas saya.

”Dia tidak layak. Tiada kebaikan yang pernah saya kecapi daripada dia,” bantahnya.

”Apakah kita hanya perlu berbuat baik kepada orang yang berbuat baik kepada kita?” tanya saya, mengalih tumpuan.

”Logiknya begitulah. Buat baik kepada yang baik. Buat baik dibalas baik. Ini biasa. Hati kita yang menghukumkan begitu.”

”Soal hati sangat relatif. Hati manusia berbeza-beza. Sedangkan kebaikan dan kebenaran adalah mutlak. Dan inilah asas agama. Kita perlu merujuk kepada agama. Maksudnya kepada Tuhan, maka barulah nanti rasa hati kita tepat dengan kebenaran dan kebaikan yang sebenar.”

Dia tenang. Berfikir, mungkin.

”Pernah dengar bagaimana kisah seorang perempuan lacur diampuni Allah kerana memberi minum anjing yang sangat kehausan?” tanya saya.

Dia mengangguk.

”Masih ingat bagaimana Rasulullah s.a.w. menziarahi wanita Yahudi yang sering meletakkan duri dan najis di jalan yang baginda sering lalui?”

Dia mengangguk.

”Pernah baca sejarah ketaatan dan kebaikan Siti Asiah sebagai isteri hatta kepada suaminya Firaun laknatullah?”

Dia mengangguk.

”Apa maksud awak dengan kisah-kisah itu?”

”Kitalah itu… kisah saya dan kisah awak! Dalam hidup, Allah menyuruh kita berbuat baik. Dan suruhan berbuat baik itu Allah tidak bataskan hanya kepada orang yang berbuat baik kepada kita. Apalah kebaikan yang pernah diberikan oleh anjing kehausan itu kepada perempuan lacur tersebut? Apalah kebaikan wanita Yahudi yang sering menyakiti Rasulullah? Dan Firaun suami Siti Asiah itu hakikatnya adalah sejahat-jahat manusia. Namun… kejahatan mereka itu dibalas oleh kebaikan… ”

”Payah, hati kita terseksa. Kita telah dizalimi, macam mana nak balas baik lagi?” akuinya terus-terang.

”Itulah salahnya kita… hanya asyik memikirkan kita. Buat baik pun kerana kita, bukan kerana Allah.”

”Apa maksud awak?”

”Kalau kita buat baik kepada orang yang buat baik kepada kita, itu ertinya kita buat baik kerana diri kita… bukan kerana Allah.”

”Tak faham saya…”

”Apabila kebaikan telah kita rasai, maka timbul rasa nak membalasnya. Baik dibalas baik. Itu kerana diri kitalah. Tapi kalau kerana Allah… lain.”

”Lain macam mana?”

”Kita tetap buat baik, walaupun tidak dibalas baik. Sekalipun kepada orang yang tak buat baik kepada kita…”

”Susah tu… hati kita menolak.”

”Hati kita lagi? Kan masih terikat dengan ’kita’. Ketepikan diri kita. Buatlah baik  atas dasar itu perintah Allah. Walaupun kebaikan kita tidak dibalas. Walaupun orang yang kita buat baik itu bukan orang yang baik. Itulah ikhlas. Bukti kita tak harapkan apa-apa balasan kecuali keredhaan Allah.”

”Jadi, awak rasa ayah saya layak menerima kebaikan dari saya dan adik-beradik?

”Dia layak. Dan awak wajib memberikannya,” jawab saya pendek.

“Walaupun dia tak bertanggungjawab? Tidak pernah bersusah kerana kami?”

”Jangan terikat kepada kebaikan atau kejahatannya lagi. Tetapi ingatlah kepada Allah. Allah wajibkan kita berbuat baik kepada ibu bapa…”

”Maksud awak, buat baik kerana Allah?”

”Ya, begitulah.”

”Aneh sungguh, orang jahat boleh jadi saluran kita kepada Allah.”

”Ya, bila kita melayani orang jahat dan kejahatannya dengan satu kebaikan.”

”Apalah hikmah agaknya ya… bila Tuhan perintahkan begitu?”

”Tentu banyak. Antaranya, kebaikan akan menyebabkan orang jahat menjadi insaf dan sedar.”

”Macam mana tu?”

”Kembali kepada kisah-kisah tadi. Bukankah perempuan Yahudi yang jahat itu akhirnya tunduk dengan kebaikan Rasulullah s.a.w. dan akhirnya mengucap dua kalimah syahadah? Itu bukti, bagaimana orang jahat boleh jadi baik apabila dihadapi dengan kebaikan.”

”Jadi, menurut awak, tidak mustahil ayah juga akan berubah jika kami berikan kasih sayang kepadanya.”

”Dia bukan akan berubah. Sebenarnya dia dah berubah. Sebab itu dia datang kepada awak. Dan sebaik sahaja awak berbuat demikian, awak pun akan berubah.”

”Berubah macam mana?”

”Hati awak akan menjadi tenang dan lapang. Kemarahan, dendam dan kekecewaan selama ini akan mula terpadam. Memaafkan, akan melegakan bukan sahaja pada ayah awak yang menerimanya malah awak yang memberinya juga. Percayalah. Itulah yang akan memberikan erti kemanisan iman.”

”Tak sangka… ada di antara jalan mendekatkan diri kepada Allah kekadang ada pada orang yang derhakakan-Nya. Hakikatnya kejahatan juga boleh dijadikan kebaikan bila…”

”Kejahatan dibalas dengan kebaikan. Itulah maksud sabda Rasululah s.a.w., buatlah baik kepada orang yang berbuat jahat kepada kamu! Pergilah bertemu ayah awak. Berikan kebaikan dengan tulus dan ikhlas. Berikan dia peluang membetulkan kesalahan lampaunya!”

 
50 Komen

Posted by di 4 Disember 2012 in Tarbiyah

 

Label: , , , ,

50 responses to “CICIPAN IMAN DARI YANG DERHAKA

  1. Dini Fajrina

    4 Disember 2012 at 8:36 pm

    terbaikkkkk!

     
  2. cikgu fazlan

    4 Disember 2012 at 8:56 pm

    Subhanallah….sungguh berhikmah kiasan ceritera yang diungkapkan oleh Ustaz Pahrol….gaya santai dan mudah meresap ke dalam jiwa kudus ini….Syukur kepada Allah dengan kurniaan ini…

     
  3. aidah

    4 Disember 2012 at 9:00 pm

    Bantulah diriku ya Allah untuk membalas kejahatan dan penipuan dgn kebaikan…..

     
  4. ismida

    4 Disember 2012 at 9:12 pm

    subhanallah,, agak2,, selama ney kita buat baik kerana Allah ke kerana diri kita?? hurmm,, tepuk dada tanya iman,,

     
  5. Melati-di-Laman

    4 Disember 2012 at 9:27 pm

    Terlalu banyak yang dituntut oleh sabda Rasullah yang tercatat diakhir penulisan ini…

     
  6. Nurdiyana M Rohaizad (@NurdiyanaMR)

    4 Disember 2012 at 9:28 pm

    Memang, bukan mudah untuk lembutkan hati untuk berbuat baik kepada orang yang pernah berbuat jahat kepada saya. Begitu sukar rasanya. Sukar untuk saya melupakan kejahatannya terhadap saya. Tapi tidak mustahil, bukan? Bila cuba berbuat baik kepadanya, teringat – ingat kembali apa yang pernah dilakukannya dahulu. Moga kita lebih kuat mujahadah, InsyaAllah.
    Syukran ustaz atas perkongsian kali ini…

     
  7. Abdilah Ahmad Mudus

    4 Disember 2012 at 9:40 pm

    Sebenarnya, semakin kita kaya, semakin kita ternama, semakin kita diminati ramai, semakin kita berpengaruh dan semakin kita banyak melakukan KEBAIKAN, maka semakin BANYAKLAH HUTANG KITA KEPADA ALLAH. Kenapa?

    Sebab TIADA SEBESAR ZARAH PUN YANG BOLEH KITA LAKUKAN TANPA IZIN DAN KEHENDAKNYA.

    Sebagai ‘hambanya’ kita LANGSUNG TIDAK BERHAK UNTUK MEMPERTIKAIKAN APA SAJA YANG DIBERIKANNYA KEPADA KITA. Apa yang dapat kita lakukan? Terimalah segala sesuatu itu dengan SENYUMAN.

     
  8. Dyana Shaiful Bahri

    4 Disember 2012 at 11:54 pm

    subhana Allah. :)

     
  9. Aneeqa

    5 Disember 2012 at 7:06 am

    assalam,

    semuga dalam rahmat Allah.

    Terima kasih atas peringatan ini.

    AJ

     
  10. umie syamimi

    5 Disember 2012 at 7:40 am

    apabila hati telah memaafkan… yang jahat menjadi baik, yang hitam menjadi putih, yang besar menjadi kecil. Itulah tandanya kemanisan IMAN. Semoga hatiku dan hati orang-orang mukmin dihiasi dengan IMAN dan TAKWA.

     
  11. Rose

    5 Disember 2012 at 9:10 am

    Memaafkan demi menharap cinta Allah..Ini antara kunci ketenangan hati….buat semua kerana Allah.. ikut jalan yg di tunjuk RasulAlllah…semoga setiap bait bicara dan tulisan Ustaz mendapat catatan kebaikan .

     
  12. ismarul ashikin

    5 Disember 2012 at 9:29 am

    susah tapi mudah…sukar untuk memaafkan dan membuat kebaikan kpd yg tlh melukakan tp mudah mendapat keberkatan ALLAH jika melakukannya.terima kasih.

     
  13. mastura

    5 Disember 2012 at 10:25 am

    ‘Buat yg berkenaan’ yg ustaz maksudkn ialah teman sy’.kami dtg bertiga.bersama sama hadapi masalah yg sama.sejak puluhan tahun lg.kami bertiga mencari jwpn.tetapi hanya sy yg tidak berani tmpil bertanya.bimbang membuka luka lama.buat pengetahuan ustaz si dia sudah mula sembuh lukanya..kami sedar kami juga membuat dosa.apalah layaknya kami menghukum insan yg bergelar bapa.ustaz..doakn kami tabah menghadapi ujian.tabah dlm bermujahadah.terima kasih ustaz..

     
  14. balqisjb

    5 Disember 2012 at 10:57 am

    Setuju dgn ulasan Ustaz. Walau seburuk mcm mana pun pertalian darah itu tetap ada. Saya mengambil ikhtibar dari Ibu saudara, beliau berpesan, apabila kita mahu amal ibadah diterima olehnya, maka wajar/wajib memaafkan org2 di sekeliling kita juga pada org yg pernah melakukan kesilapan kepada diri kita. Saya cuba! Rutin ini saya laku setiap kali ketika hendak tidur. Awalnya saya rasakan sukar dan mengambil masa. Alhamdulillah. Cubalah, In Sha Allah dipermudahkan oleh nya utk kita mendpt barakah dlm melayari kehidupan seharian.

     
  15. Eiy Ismail

    5 Disember 2012 at 11:02 am

    Saya terfikir seketika apabila selesai membaca entri ini…bandingkan kisah saya dengan saudari yang mengalami masalah dengan ayahnya..lebih kurang dengan nasib saya dan adik beradik saya..tapi kami terima seadanya siapa ayah kami..cuma hati kami seakan-akan kelu bila berdepan dengan ayah..tiada cerita untuk di kongsi walaupun kami tahu dia sepi dan tagihkan kasih sayang..kekadang saya terfikir..bagaimana hendak bagi sedangkan ayah kami tidak pernah memberi kasih sayangnya pada isteri dan anak2 walaupun duduk satu rumah. Tidak pernah!

    Namun kami tetap hormat dan cuba sayangi seadanya walaupun agak sukar kerana sikapnya tidak pernah berubah sehingga kini..apa yang mampu kami lakukan hanya berdoa dan terus berdoa agar dia berubah..dan terus memberi walaupun dia tidak pernah memberi..dan walaupun hati kami perit dan rindu belaian dan kasih sayang seorang ayah…..

     
  16. Jiha

    5 Disember 2012 at 11:18 am

    Memang susah untuk memaafkan, melupakan dan menyayangi org yg pernah berbuat kesalahan dengan kita… sebagai manusia biasa mungkin kita boleh memaafkan dan melupakan tetapi tidak menyayangi org itu… Tetapi sebagai hamba kita wajib menurut perintah Allah… betul kata ustaz…kita tak patut memikirkan tentang ‘kita’… ubahla minda untuk patuh pada printah-Nya…. sama2 muhasabah diri… aminnn

     
  17. alihassan

    5 Disember 2012 at 11:59 am

    Dendam dan rasa amarah yang menghuni jiwa menyebabkan kita sukar memaafkan. Maafkan diri sendiri untuk mencarikan dendam kemudian maafkan orang lain untuk mencambah sayang.

     
  18. isnaini

    5 Disember 2012 at 12:47 pm

    sesungguhnya Allah itu maha mengetahui,balaslah kejahatan dgn kebaikan.buatlah baik kepada orang yang jahat kpd kita,buat baik berpada2 buat jahat jangan sekali.krn hati manusia d akhir zaman ini sangat bebeza,mulut manis hati Tuhan saja yg tahu..semakin kita berbuat baik semakin hebat kita dihina.itulah ujian dan dugaan dr Tuhan kpd mereka yg lupa kpd budi baik orang agar insaf dan bertaubat dan kpd diri yg membuat kebaikan agar terus sabar dan tabah.

     
  19. ibu

    5 Disember 2012 at 1:20 pm

    bersetuju sgt dgn ustaz. Bila kita buat kebaikan pd org yg buat x baik pd kita, insyaallah org itu akan jadi baik atau mungkin jadi lebih baik lagi. Tapi yg lebih penting lagi , kita akan menjadi lebih tenang..

     
  20. Norzi

    5 Disember 2012 at 4:06 pm

    Suhanallah….t/kasih utz…entri ini amat mbntu sy…doakn sy utk mnjd seorg ank,isteri,ibu dn hambaNya solehah dn bertaqwa. brsyukur dgn nikmatNya brsabar dgn ujiannNya..

     
  21. ijja

    5 Disember 2012 at 6:29 pm

    Sentap

     
  22. Nor

    5 Disember 2012 at 8:24 pm

    sy pernah alami situasi yg sama mcm cerita ustaz ni…ayah sy x bertanggungjawab dan tidak memberi kami nafkah..semua emak yg tanggung dan kami adik-beradik semua tinggal dgn mak..bila dah tua, ayah dtg kpd kami, ada adik beradik yg x terima dan ada yg terima..alhamdulillah sy dpt menerima ayah dan berusaha utk memberi yg terbaik utk dia walaupun sy x tinggal dgn dia sejak kecil, dan dia x bertanggungjwb kpd sy..krn sy berpegang kpd prinsip walau apa pun yg pernah dia buat pada kami adik beradik, dia tetap ayah sy, walau sehebat mana kebencian kita, ia x dpt memutuskan ikatan itu…dan juga sebagai anak kita perlu berbuat baik kpd kedua ibu bapa walau siapa pun mereka….sy juga tak pernah menyimpan perasaan dendam kpd ayah, malah menghalalkan segala nafkah yg tidak dia berikan kpd sy..juga sentiasa mendoakan yg terbaik utk ayah…terima kasih ustaz atas perkongsian ini…artikel ini sgt mengingatkan sy kepada arwah ayah …doakan semoga ayah sy tergolong dlm kalangan org yg beriman…ameen.

     
  23. marshta idris

    5 Disember 2012 at 11:36 pm

    Alhamdulilah, setelah membaca coretan ustaz baru saya terfikir yg selama ini kita hanya berbuat baik pada org yg berbuat baik kepada kita manakala org yg melukakan hati kita kita tak berapa nak berkata2 dgn mereka.dan masih menyimpan perasaan marah. Bagaimanalah agaknya untuk melembutkan hati agar memaafkan mereka. Tidaklah sampai tak bertegur sapa tetapi masih teringat apa yg telah “dia” lakukan kepada kita…..

     
  24. Ummufaqh

    5 Disember 2012 at 11:59 pm

    Sebagai manusia biasa, hati pasti akan lebih terluka sekiranya insan yg membuat kejahatan sepertimana dalam cerita ustaz itu mempunyai pertalian darah berbanding dengan mereka yang hanya berstatus kawan atau kenalan shj. Mungkin perlu sedikit waktu bagi melepaskan segala ‘kemarahan’ itu pergi dan memaafkan mereka yg sepatutnya dari awal berhak untuk disayangi dan dihormati..
    Semoga kita digolongkan dalam golongan yg mudah memaafkan mereka yang telah menganiaya, menzalimi, manyakiti dan melukakan kita kerana segala kezaliman dan penganiayaan yg mereka lakukan adalah di atas pilihan diri mereka sendiri.. Pilihlah untuk menjadi gembira dan tenang kerana kuncinya adalah dengan memaafkan walaupun ia memerlukan sedikit ruang dan waktu.. =)

     
  25. yusaoffnor

    6 Disember 2012 at 8:44 am

    Astaghfirullaahhal aziim…Allahhuakbar…Engkau maha besar ya ALLAH…

     
  26. Hasmah bt Hitam

    6 Disember 2012 at 10:05 am

    Saya peminat setia diradio IKIM. Pagi ini Allah khabarkan kepada saya tentang blog yang amat berharga pada saya. Alhamdulillah….muga memberi lebih manfaat kepada saya .Insyaallah.

     
  27. sot

    6 Disember 2012 at 11:26 am

    Alhamdulillah, sebuah perkongsian yang hebat. Iman ibarat ruh kepada jasad manakala akhlak yang baik itu ibarat udara. Kembalikan yang hak kepada yang hak. Manusia layak membuat dosa dan kesilapan, kerana kita bukan malaikat. Allah itu Maha Pengampun, apalah sangat hebatnya aku seorang yg hina dina untuk tidak boleh memaafkan. Ikhlas dalam kebaikan itu tidak mengharapkan apa2 balasan hatta secebis ungkapan terima kasih. Begitulah juga ikhlas kerana Allah dlm setiap perlakuan itu tidak perlu tertumpu kepada manusia yg pernah berbuat baik kepada kita semata. Semoga tauladan Rasulllah menjadi nadi hidup kita semua. Jazakallah.

     
  28. juzzz

    6 Disember 2012 at 12:13 pm

    baik di balas baik itu biasa, jahat di balas baik itu luar biasa, biasa2kan lah.

     
  29. khairulaznan

    6 Disember 2012 at 12:46 pm

    Reblogged this on Cetusan Hati.

     
  30. Hazrin

    6 Disember 2012 at 12:54 pm

    Isteri saya pun mengalami keadaan yang sama. bukan ayah, tapi adalah ibunya. Ibunya sangat benci isteri saya sejak kecil. Pernah cuba melemaskannya di tempayan besar ketika berumur 2 tahun, pukul dengan kayu bara api, pukul dgn penyapu memang selalu. Tp memang dari kecik tidak mendapat kasih sayang dari ibunya. Namun setelah masuk sekolah menengah, ibunya masih tidak layan seperti ibu.

    Akhirnya ibunya diceraikan disebabkan ibunya main kayu tiga. Pernah isteri saya disantau ketika belajar di uni. Perawat islam yang ubat isteri saya kata santau ini diarahkan oleh keluarga terdekat iaitu ibu. Ayahnya baru meninggal tahun lepas. Dan sekarang, ibunya mahu berjumpa.

    Hati isteri saya masih keras. Dalam hatinya penuh dengan kebencian terhadap ibunya. Dan sehingga sekarang dia tidak mahu jumpa. Saya sebagai suami hanya memberi nasihat sahaja. Saya percaya bahawa Allah sahaja yang boleh buka pintu hati isteri saya untuk memaafkan dan berjumpa ibunya. Hasbunallahu wani’ mal wakil – Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Dialah sebaik-baik Pengurus.

     
  31. helmi

    6 Disember 2012 at 4:05 pm

    Alhamdulillah…sangat tersentuh dgn kata2 Ustaz….teringat akan kata2 Prof Muhaiya…untuk hati menjadi tenang…selalulah memaafkan orang…kerana sesungguhnya Allah swt itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang….jadi siapalah kita untuk tidak memaafkan mereka…..wallahu ‘alam…

     
  32. Sarah

    6 Disember 2012 at 4:49 pm

    masyaAllah cool btol.. Betapa cantiknya Akhlak Rasullah sallallah alaihi wasallam :)
    ALLAH sgt mengentahui ape yg diperlukan hambaNya.. MasyaAllah… :) kasih sayang arrahman Dan arrahim..
    ALLAH Mahu kte apply sifat2 die yg dikurniakan kad kite.. InsyaAllah

     
  33. rose

    6 Disember 2012 at 8:17 pm

    Semoga Allah swt merahmati ustaz..dgn kasih sygNya…jazakumulahu khairan khatira…

     
  34. Safura

    13 Disember 2012 at 4:37 pm

    ”Apakah kita hanya perlu berbuat baik kepada orang yang berbuat baik kepada kita?”- Ayat ni betul2 berbekas dalam hati saya. Terima Kasih Ustaz, airmata hampir menitis bila terkenang kesilapan sendiri. Nauzubillahiminzalikh. Semoga kami semua trs istiqamah dlm menuju ke Jalan-Mu Ya Allah!

     
  35. zurarizal

    14 Disember 2012 at 12:32 pm

    susahkan bila kejahatan dibalas dgn kebaikan..tp jika di tukarkn niat hanya kerana allah..sume jd mudah..insya allah..
    entri yg sgt2 berguna utk kita jdkn renungan dan panduan :-))

     
  36. itanawi

    14 Disember 2012 at 2:03 pm

    Alhamdulillah…cerita berbeza tapi kaedah yang sama buat saya… terima kasih atas cicipan itu…sangat beruntung dengan nasihat ini,,,

     
  37. siti batu

    14 Disember 2012 at 7:07 pm

    saya sedang membenci perangai seorang kenalan saya tetapi saya tetap sayang dan cuba malayan dia sepertimana perangai sebelum dia berubah..sakit walau pedih..moga ada ruang untuk dia kembali seperti dirinya yang dulu…amin

     
  38. oviruses65@kiyaijr.com

    14 Disember 2012 at 9:09 pm

    Reblogged this on parasite desires.

     
  39. pretty nadjah

    15 Disember 2012 at 10:02 am

    Berbekas dihati ..insyaAllah baik yang dicari tidak akan rugi apa-apa

     
  40. Azura Roslan

    15 Disember 2012 at 11:48 pm

    alhamdulillah..menyuntik ke dlm jiwa saye dn bermuhasabh sbntr adakan kite berbuat kbaikn krana dri kita atau krana Allah..terima kasih ustazz diats coretan yg bgitu memberi hikmah :-)

     
  41. Kak Rose

    17 Disember 2012 at 12:07 pm

    Assalamualaikum w.b.r Ustaz Pahrol,
    Terima kasih atas perkongsian yg sgt menyentuh jiwa.. membaca kisah di atas seolah-olah membaca cerita sendiri..!
    Saya telah & sedang melakukan apa yang Ustaz sarankan…berbuat baik kerana Allah, kerana merasakan itu tanggungjawab seorang anak terhadap ibu-bapa.
    Persoalannya Ustaz, saya melakukan segala-galanya semata-mata atas rasa tanggungjawab… namun, rasa “kasih” & “sayang” seolah-olah tidak ujud..! Saya korbankan masa, tenaga & wang ringgit utk memenuhi segala kehendak ibu tetapi saya tidak mampu mewujudkan “perasaan” itu…setiap kali saya mencuba, balasan dingin dari ibu akan membantutkan rasa yg ingin bercambah itu..!

    Apa yg harus saya lakukan ustaz…?
    Disetiap 1/3 penghujung malam saya sering berdoa, meminta dari NYA agar rasa kasih & sayang itu hadir dan segala kisah-kisah silam itu terpadam..namun, SubhanaAllah..AllahuAkbar..payahnya…
    Andai ustaz ada saranan-saranan lain…apa yang harus saya lakukan ustaz…saya teringin merasa nikmat rasa “kasih & sayang” itu…

    Terima kasih ustaz..

     
  42. sharingiscaring

    17 Disember 2012 at 1:16 pm

    teringin sekali dan ingin tsabit dalam menjadi hamba-Nya yang benar-benar redup dalam perhubungan dengan manusia lain…. menjaga amarah tika mana diuji dengan semaksimanya…. menjadi yang dahulu meminta maaf dan memaafkan yang lain… Ya Allah, jadikan diri ini dalam kalangan hamba-Mu yang sabar saat diuji :)

     
  43. littlecaliph

    17 Disember 2012 at 1:18 pm

    teringin sekali dan ingin tsabit dalam menjadi hamba-Nya yang benar-benar redup dalam perhubungan dengan manusia lain…. menjaga amarah tika mana diuji dengan semaksimanya…. menjadi yang dahulu meminta maaf dan memaafkan yang lain… Ya Allah, jadikan diri ini dalam kalangan hamba-Mu yang sabar saat diuji :)

     
  44. mutiara

    21 Disember 2012 at 8:15 pm

    MasyaAllah…
    Membaca tulisan ustaz seolah2 menasihati diri saya sendiri.
    Alhamdulillah, Allah dgr doa saya dan menyampaikannya melalui tulisan ustaz. Saya doakan ustaz diberkati Allah di dunia dan akhirat. Hanya Allah yg mampu membalas segala2nya

     
  45. yusrima

    31 Disember 2012 at 1:23 am

    subhannallah.cukup bermakna..pengisian yang cukup memberi kesan.moga kita tergolong di kalangan orang-orang yang mudah memaafkan…amin…

     
  46. budakkeliru

    4 Januari 2013 at 9:53 pm

    adalah sgt penting ibu bapa tahu agama…. tapi pada yg diduga dgn ibu atau bapa begini, ini adalah ujian buat kita..terime kaseh ustaz ..bru sye sedar betapa jauh nye saya dr erti islam sbenar

     
  47. maza

    25 Januari 2013 at 11:57 am

    Salam, bila berpegang pada al-Quran dan as-Sunnah, barulah dapat memberi kemaafan dengan ikhlas. Sesungguhnya keikhlasan akan melahirkan ketenangan jiwa. Ketenangan jiwa akan memantapkan keimanan. Iman yang mantap maka akan wujudlah Ummah Wasatiyyah. Terima kasih ustaz.

     
  48. 561700

    31 Januari 2013 at 5:00 am

    Salam….bagaimana pula sekiranya kita telah beri dia peluang beberapa kali….dan bertambah zalimlah ia kerana kelemahan kebaikan kita?

     
  49. Beegam maziah muhd umar

    17 Januari 2014 at 5:01 pm

    kalau seorang umat islam perna melakukan pkara yang d larang islam lalu dia bertaubat sehinga mgalirkan air mata darah sekali pn, klau perempuan tu x memaafkannya ada kah dia akn d maaf kan oleh allah sdangkan leleki ini sdah berani memngaku kslahnnya d hdpan wnita e2.. lalu wnita itu bkta ”klau kau mau d maaf kan mmohon lah kmu kmaafn dri pda allah..soalannya ap kh lelaki e2 akn d maf kn oleh allah S.W.T..??

     
  50. amir najmi

    5 Februari 2014 at 2:04 pm

    salamku……..
    Itu atas tentuan allah swt siapa yang solat,membaca al quran, danmembuat amal ibadat.. betul x sahabat2ku

     

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,100 other followers

%d bloggers like this: