RSS

BIAR KEPALA BERBEZA, ASALKAN HATI SAMA

16 Jan

umno

Kata-kata terakhir saya dalam segmen Mukmin Profesional di radio IKIM baru-baru ini ialah seruan untuk umat ini ‘memanfaatkan persamaan dan matang dalam menguruskan perbezaan.’

Saya kira inilah cabaran untuk umat Islam Melayu di Malaysia, di samping cabaran-cabaran lain, yang semuanya harus dihadapi dengan kebijaksanaan akal dan ketulusan hati.

Menerusi pengalaman dalam pergaulan dengan pelbagai manusia dari pelbagai aliran fikiran dan ‘School of Thought’ saya dapati tahap pergeseran umat ini sudah semakin serius. Usahkan di bidang siasah yang sejak dulu bukan semakin reda tetapi semakin menyala-nyala, malah di bidang yang lain pun perbezaan ini semakin sukar didamaikan.

Agenda dakwah dan tarbiah umat ini turut terjejas apabila ilmuan agama, para dai’e juga terpalit dalam pergeseran yang semakin hebat ini. Jika ‘kepala’ sudah berlaga, apalagi ‘ekor’… lebih ligat dan kuat melibas. Akibatnya, para daie mendapat label masing-masing… Ini ‘sunni jumud’, itu ‘wahabi sesat’, sipolan ‘sufi menyeleweng’ dan sipolan pula ‘salafi tegar’.

Pergeseran ini mengelirukan, merugikan… Bayangkan seorang yang baru berjinak-jinak hendak berzikir, tiba-tiba diterjah dengan “zikir semacam itu bid’ah”. Renungkan pula… bagaimana pula seorang yang selama ini belajar Tauhid di sekolahnya secara pendekatan Tauhid Rububiyah dan  Uluhiyyah dianggap terkeluar daripada ajaran Islam? Itu belum dikira, ada individu yang mufarakah dari solat berjemaah dengan imam yang dakwanya  ‘musyabbihah’ dan  ‘mujassimah’ kerana kaedah belajar tauhidnya tidak sah. Dan pihak yang terdakwa pula membalas dengan menuduh pihak lawannya ‘bid’ah dalalah’ dan ‘syirik’ kerana berdoa dengan berwasilahkan wali dan ulama.

Namun jika diteliti semua pihak yang saling bertelagah ini masih mengucap kalimah syahadah yang sama. Mereka yang berbeza ini juga adakalanya duduk sekampung, tinggal setaman, rakan kerja sepejabat atau boleh jadi satu keluarga juga.Kenduri-kendara masih saling berkaitan. Sakit demam, kemalangan dan urusan jenazah (apabila menghadapi kematian) masih saling memerlukan.

Saya yang sedikit ilmu dan kerdil peribadi ini hanya mampu berdoa agar Allah turunkan petunjuk untuk kita agar sama-sama ikhlas dan bijak menghadapi perbezaan. Apakah kita akan terus menghadapi krisis saling sesat menyesatkan, atau saling kafir mengkafirkan ini? Ya Allah, berilah kami petunjukMU. Respons saya pada persoalan ini hanyalah secebis tulisan yang sangat sederhana:

BIAR BERBEZA KEPALA ASALKAN JIWA TETAP SAMA!    

Imam Safie rhm pernah berkata, “pandangan ku betul, tetapi aku tidak menolak kemungkinan pandangan orang lain pun betul juga. “Begitulah contoh figur yang hebat apabila menghadapi perbezaan. Jiwanya penuh dengan adab dan akhlak terhadap orang lain tanpa menafikan pendirian dan keyakinan terhadap diri sendiri. Imam-imam besar itu bukan sahaja mempunyai ilmu yang tinggi tetapi juga akhlak dan keperibadian yang tinggi. Ilmu dan adab sangat serasi di dalam diri mereka.

Pada ketika ulama-ulama besar Islam itu masih hidup, masyarakat telah mendapat manfaaat yang  banyak hasil perbezaan ilmu dan hujah di kalangan sesama ulama. Banyak buku yang terhasil, apabila mereka saling mempertahankan hujah mereka. Ilmu semakin berkembang impak daripada pelbagai hujah yang berbeza itu. Perbezaan menghasilkan kepelbagaian. Kepelbagaian itu pula menghasilkan pilihan yang banyak kepada umat. Pada waktu itu jelas ikhtilaf menjadi satu rahmat kepada masyarat.

Ya, berbeza pandangan tidak menjadi masalah. Itu sudah fitrah manusia. Selagi kita manusia, selagi itulah kita berbeza. Itu satu ketetapan daripada Allah yang tentunya punya hikmah yang tersendiri. Namun, yang menjadi masalah ialah sikap manusia dalam menghadapi perbezaan. Sikap taksub, ego, berpura-pura, pentingkan diri dan kumpulan, telah menimbulkan perbalahan hampir pada setiap kali menghadapi perbezaan, sama ada dalam perkara yang titik-bengik apalagi perkara yang besar. Padahal perbezaan tidak semestinya satu pertentangan, jika diuruskan dengan baik, yakni dengan sikap lapang dada, saling menghormati dan paling penting ikhlas kerana Allah. 

Lihat betapa tingginya keperibadian Imam  Syafie ketika mempunyai pandangan yang berbeza dengan gurunya Imam Malik sehingga pernah ditulis satu buku “ Perbezaan Imam Malik dan Imam Shafie”… Namun beliau pernah berkata, “apabila disebut ulama, maka Malik adalah bintangnya.”

Lihat pula keperibadian Imam Ahmad, murid kepada Imam Shafie yang  juga mempunyai banyak pandangan yang berbeza dengan gurunya. Namun, beliau juga pernah berkata, “ demi Allah, aku tidak tidur malam selama tiga puluh tahun kecuali aku berdoa untuk Imam Shafie.” Mendengar kata-kata itu,  anaknya bertanya, “ aku mendengar ayah sangat banyak berdoa kepadanya, siapakah Shafie itu?” Jawabnya, “wahai anakku, beliau itu ibarat matahari kepada bumi dan penawar kepada manusia. “ Begitulah rasa hormat murid kepada gurunya.

Sekarang, lihat pula bagaimana hormat guru (Imam Shafie) kepada anak muridnya (Imam Ahmad). Imam Safie pernah berkata, “aku telah meninggalkan Baghdad dan di sana tidak ada seorang yang lebih warak, lebih alim dan lebih mendapat petunjuk berbanding Ahmad bin Hanbal.”

Inilah adab dan akhlak di dalam perbezaan pandangan. Jika yang dicari satu (Allah), tidak mungkin kita berseteru (bermusuhan). Perbezaan itu benar-benar bersumber dari hati yang inginkan kebenaran, fikiran yang disinari ilmu,  dan rasa yang benar-benar ikhlas kerana Allah semata. Justeru, Allah menjaga hati-hati para ulama silam sekalipun dalam menghadapi perbezaan pendapat di kalangan mereka. Pandangan mereka berbeza tetapi hati mereka tetap bersatu.

Berbeza benar keadaannya dengan masa kini. Kini kita kurang mendapat mendapat manfaat hasil perbezaan di kalangan para ilmuan. Yang kita dengar hanyalah lontaran cemuhan, sikap memperlekehkan dan mengejek antara satu sama lain. Begitu kurang buku-buku dihasilkan dalam mempertahankan hujah masing-masing. Jika adapun hanya komen-komen sinis dan tulisan-tulisan yang bersifat picisan dalam media yang tidak begitu fokus dan serius sifatnya. Malah kita bimbang sekiranya para ilmuan juga akan ‘terjerat’ oleh pihak berkepentingan… sehingga mereka yang seharusnya menjadi imam telah menjadi bidak dalam percaturan kuasa dan harta.

Umat akhir zaman ini tidak hanya memerlukan pimpinan orang yang bijak, tetapi orang yang jujur dan amanah. Mereka yang bukan hanya petah berhujah dengan Al Quran dan Al Hadis tetapi mempunyai adab dan akhlak yang lemah-lembut dan kasih sayang. Mereka yang mempunyai ketulusan dalam pergaulan. Ulama yang bukan hanya mewarisi ilmu para nabi tetapi meneruskan legasi akhlak para anbia’. Sehingga dengan itu, mereka bercakap dari hati dan jatuh ke hati umat.

Kata bijak pandai, “people dont care how much you know untill they know how much you care – manusia tidak peduli berapa banyak ilmu kamu, sehingga mereka tahu sejauh mana kamu ambil peduli.” Inilah yang kita harapkan daripada para ulama dan ilmuan Islam masa kini. Pimpinlah umat ini dengan hati yang takut kepada Allah. Bebaskanlah diri dari gamitan jawatan, kuasa, harta dan segala kepentingan. Jika ada perbezaan dikalangan mereka, bertemulah empat mata, berbincang dan bermuzakarahlah dengan tenang dan tertutup.

Jangan rela dilagakan oleh ‘batu api’ yang memperalatkan agama untuk kepentingan peribadi. Sesungguhnya, hanya kayu boleh digunakan untuk menebang pokok kayu. Maka janganlah ulama rela digunakan sebagai batang kapak untuk menebang pohon agama ini. Ulama adalah pembela dan pelindung umat Islam, maka pada siapa lagi umat ini hendak berlindung jika ulama sesama ulama saling bercakaran?

About these ads
 
12 Komen

Posted by di 16 Januari 2013 in Kemudi Hati

 

Label: , , , , ,

12 responses to “BIAR KEPALA BERBEZA, ASALKAN HATI SAMA

  1. Walijah

    16 Januari 2013 at 2:44 pm

    Salam. Saya setuju dengan pandangan ustaz bahawa jika hati ikhlas untuk Islam dan mencari reda Allah SWT, perbezaan pendapat sudah pasti disalurkan ke arah kebaikan bukan menambah pergeseran. Malah Islam sendiri memang menerima perbezaan pendapat dalam kalangan umat Islam sebagai rahmat untuk meraikan perbezaan keperluan dan persekitaran umat islam itu sendiri.

     
  2. ombakrindublog

    16 Januari 2013 at 2:51 pm

    Masha Allah,semua apa yang berlaku sekarang telah tersirat dalam Al-Quran.

     
  3. isz_kasih@yahoo.com

    16 Januari 2013 at 3:10 pm

    Sent from my HTC

     
  4. Khadijah

    16 Januari 2013 at 8:32 pm

    Alhamdulillah

     
  5. Abdilah Ahmad Mudus

    16 Januari 2013 at 8:33 pm

    Rasulullah SAW telah memberikan cara ‘terbaik’ bagaimana untuk menjadi manusia yang paling BERIMAN dan BERTAKWA. Dan salah satu cara yang Baginda gunakan dan telah TERBUKTI keberkesanannya ialah dengan BERGANTUNG 100% hanya kepada ALLAH dalam semua perkara.

    Dan salah satu cara “bergantung” kepada ALLAH yang benar-benar telah TERBUKTI sangat BERKESAN sekali ialah dengan menjadikan SOLAT sebagai “talian hayat” yang PALING UTAMA SEKALI DALAM HIDUP INI.

    Selagi kita masih BERANI meninggalkan SOLAT maka selagi itulah kita dijamin pasti MUNDUR dalam IMAN walaupun MAJU dalam KEMEWAHAN DUNIA.

     
  6. Hasmiza MS

    16 Januari 2013 at 10:31 pm

    Subhanallah. Maha Suci Allah yg mengilhamkan minda indah pada diri ustaz. Semoga tulisan ustaz dpt membuka minda kita menghadapi kemelut yg ada di depan mata dewasa ini. Semoga Allah memberi rahmat di dunia hingga akhirat ke atas ustaz sekeluarga.

     
  7. ummu ammar

    17 Januari 2013 at 12:49 pm

    Demi Allah, saya tidak lagi merasai perbezaan itu sebagai rahmat pada zaman ini..bila masing2 pertahankan fahaman masing2 dan burukkan pandangan yang lain..sesak dada membaca pelbagai kritikan…
    Ye, mungkin dada saya yang tidak cukup lapang, hati saya yang belum cukup tenang menghadapi perbezaan yang terbentang..
    Moga Allah pimpin kita semua ke arah jalan yang benar dan diredhai, penuhkan hati kita dengan kasih sayang..hingga kita bisa berlapang dada dengan perbezaan sesama kita, dan tetap berkasih sayang dalam perbezaan itu. Sungguh sayalah yang sangat perlu kepada nasihat ini..Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim bantulah aku dan kami…

     
  8. Nurulaniza Abd Ghafar

    25 Januari 2013 at 4:03 pm

    Jika matlamat hidup manusia hanya mencari reda Allah, pasti perbezaan itu merupakan satu nikmat yang perlu disyukuri.

     
  9. Mohd Hisham Mohd Kamal

    29 Januari 2013 at 10:09 am

    Bismillah,
    “Ulama yang bukan hanya mewarisi ilmu para nabi tetapi meneruskan legasi akhlak para anbia’.”
    Terima kasih, Ustaz, atas gambaran yang tepat.

     
  10. sanha

    10 Februari 2013 at 12:30 am

    syukran atas perkongsian ilmu….
    اللهم يا مقلب القلوب ثبت قلوبنا على دينك……آمين

     
  11. qaseh

    10 Februari 2013 at 3:54 pm

    Ikhlaskan hati dalam melaksanakan tuntutan ilahi. Kita manusia yang punya banyak perbezaan.jangan perbezaan itu menghancurkan ummat.suburkan hati, eratkan ukhuwah sesama kita. Sama2 kita bangkit perjuangkan agama suci ini. Allahuakbar…

     
  12. Ummi Raihan

    5 Mac 2013 at 3:17 pm

    Setiap pandangan dan perasaan seseorang terhadap orag lain banyak bergantung kepada sejauh mana kemurnian dan kebersihan hatinya. Walaupun manusia itu mempunyai sudut pandangan yang tersendiri dan subjektif namun ini tidak bermakna kita sewenang2nya boleh menjatuhkan hukuman kepada orang lain yang tidak sehaluan dengan kita. Para ulama dan daei yang baik ialah mereka yang tidak bersikap ‘bias” apa lagi menyebarkan ilmu agama yang mengelirukan orang ramai dengan suapan2 ide yang saling bercanggah antara satu dengan yang lain. Dakwah yang sihat adalah yang sentiasa berjalan di atas landasan akhlak yang mulia dan hati yang tawadhu’.

     

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,254 other followers

%d bloggers like this: