RSS

JUST LISTEN… (hanya dengan mendengar!)

17 Jan

260px-Red-whiskered_Bulbul-webPercayalah, kekadang manusia hanya inginkan ‘didengar’ bukan penyelesaian. Kerana dengan didengar, manusia terasa dihargai, disayangi dan dihormati. Jika kita ingin dicintai, cukuplah dengan menjadi pendengar. Tidak perlu melakukan apa-apa, cuma dengar…

Saya sendiri menempuh pelbagai kesalahan dan kesilapan dalam hidup akibat tidak mendengar. Sangka saya, dengan berkata-kata kita boleh meraih kemesraan. Rupa-rupanya tidak. Kita akan lebih dicintai, jika kita menjadi pendengar.

Kita pernah mendengar di corong radio apabila masyarakat menghubungi pakar motivasi, ulama, ustazah dan pendakwah… Acapkali mereka bukan meluahkan masalah. Mereka hanya bercakap dan bercakap… mengapa? Ya, mereka hanya ingin didengar.

Alangkah indahnya jika kita punya masa dan sedia meluangkan masa untuk menjadi pendengar. Kehausan untuk didengar ialah petanda kehausan kasih sayang dan cinta. Manusia tercari-cari siapa yang sudi menjadi pendengar untuk diluahkan segala dan semua. Sekali lagi, bukan inginkan penyelesaian tetapi hanya inginkan penghargaan dan kasih sayang.

Mari pada hari ini, kita bertekad untuk menjadi pendengar. Ketapkan mulut dan bukakan hati dan telinga untuk mendengar. InsyaAllah, kasih sayang akan bertaut dan berbunga kembali. Jangan biarkan isteri, suami, anak, pelajar, pekerja, pengikut dan pesakit kita ternanti-nanti… mulakanlah tugas cinta yang pertama: Just listen…hanya dengan mendengar.

Dari saya, hanya seraut catatan.

HANYA DENGAN  MENDENGAR…

Manusia memerlukan didengar kata-katanya sama seperti dia perlukan makanan. Tanpa makanan akan lemahlah jasad, sakitlah badan. Tanpa didengar akan tumpullah perasaan dan lumpuhlah emosi. Manusia yang membesar tanpa diberi hak didengar akan menjadi manusia yang kurang cerdas emosinya apabila dewasa kelak. Dia akan gagal mengurus perasaan marah, kecewa, takut dan dendamnya. Orang yang begini, akan gagal dalam hidupnya.

 Peri pentingnya didengar dalam hidup seseorang itu hingga menyebabkan bijak pandai mengungkapkannya melalui kata-kata hikmah yang berbunyi:“Tugas cinta yang pertama ialah mendengar.”

Ertinya, kekasih yang baik ialah kekasih yang mendengar rintihan, keluhan, aduan dan rayuan pasangannya. Justeru, dengan mendengar cinta akan lebih subur dan harum.

Orang yang banyak mendengar akan banyak belajar dalam hidup ini. Orang yang banyak mendengar bukan sahaja banyak pengetahuan tetapi akan banyak kawan dalam masyarakat. Mungkin kerana itu Allah ciptakan kita dua telinga dan satu mulut sebagai simbolik, kurangkan berkata-kata tetapi banyakkan mendengar. Malangnya, kebanyakan manusia lebih suka “memperdengarkan” daripada mendengar cakap orang lain.

 Lidah selalu menyebabkan telinga menjadi tuli. Dalam pergaulan, kita selalu sahaja ingin memonopoli perbualan. Kononnya dengan banyak bercakap kita akan terlihat pandai dan bijak berbanding orang yang diam. Kebanyakan kita menyangka orang yang diam itu bodoh. Tidak ada idea dan pendek wawasan. Sedangkan diam itulah terpuji dan bermanfaat. Kata bijak pandai:“Diam itu banyak hikmahnya tetapi sangat sedikit sekali orang mengambil manfaatnya.”

Cuba lihat orang di sekeliling kita dan lihat kita sendiri. Apakah kita banyak mendengar daripada berkata-kata? Maaf, kerap kali kita ingin jadi jaguh dan wira yang tidak henti-henti berkokok di mana-mana. Bila bercakap kita seolah-olah serba tahu. Kita mengetuai perbualan, kita menjuarai percakapan. Mengapa?

Ya, sering berlaku pangkat, harta, nama serta jawatan menyebabkan seseorang tidak sudi lagi menjadi pendengar. Pangkat ku lebih tinggi, aku cakap kau dengar. Nama ku lebih tersohor, jangan cuba-cuba mencelah bila aku berbicara. Kau tak layak menasihati aku, ilmu ku lebih tinggi. Begitulah yang kerap kita lihat dalam kehidupan. Bukan orang lain tetapi diri kita sendiri!

 Apakah dengan mendengar kita menjadi hina, miskin dan tidak ternama? Jika itulah anggapan kita jelas kita sudah tersalah. Menjadi pendengar menjadikan kita orang yang tawaduk (rendah diri). Orang yang tawaduk akan ditinggikan Allah. Orang yang mendengar akan lebih banyak belajar daripada orang yang asyik berkata-kata.

 Semakin banyak kita belajar semakin banyak ilmu yang kita peroleh. Dan bila semakin banyak ilmu yang kita miliki, maka semakin tinggilah darjat kita di sisi Allah dan manusia. Bukankah dalam Al Quran Allah telah menegaskan bahawa darjat ahli ilmu itu ditinggikan oleh-Nya berbanding orang yang tidak berilmu?

 Justeru, Allah yang Maha Pencipta juga bersifat Maha Mendengar – “sami”. Dan salah satu nama Allah yang baik dan indah ialah as Sami’. Allah maha mendengar rintihan, aduan, kebimbangan, luahan rasa daripada hamba-hambanya pada setiap masa, tempat dan ketika. Allah adalah “kekasih” setia yang sentiasa mahu mendengar rintihan hamba-hamba-Nya. Jika kekasih di kalangan manusia akan jemu jika masalah yang sama diperdengarkan berulang-ulang kali sebaliknya Allah tidak sebegitu. Allah bersedia mendengarnya  bila-bila masa sahaja.

 Jika ada jutaan manusia mengadu dan merintih kepada Allah, Allah tetap mendengar semua rintihan itu dengan terang dan jelas. Sedangkan seorang kaunselor, ulama, khadi, hakim yang terbaik sekalipun tidak mampu mendengar dua, tiga masalah daripada klien yang berbeza pada suatu masa dalam keadaan serentak.  Inilah kehebatan Allah sebagai As Sami’. Bukan sahaja Allah mahu mendengar bahkan mampu mendengar seluruh pengaduan hamba-Nya pada satu masa!

 Allah mulia dan agung kerana kesudian dan kesediaan-Nya mendengar rintihan dan pengaduan manusia. Begitu juga jika ada manusia yang mahu mendengar rintihan dan pengaduan manusia lain… dia juga akan ditinggikan darjatnya. Allah sudi mendengar rintihan semua manusia tanpa mengira pangkat, derjat, harta dan rupa paras. Allah mendengar permintaan seorang raja, Allah juga mendengar rintihan seorang hamba. Allah Maha Adil…

Seorang pesakit, datang merintih kerana penyakitnya… Allah mendengar. Seorang menteri mengadu hal-hal negara… Allah mendengar. Seorang isteri mengadu hal rumah tangga… Allah mendengar. Apa pun dan dari sesiapapun Allah tetap mendengar. Pintalah hal sekecil-kecilnya dan pintalah hal yang sebesar-besarnya, Allah tetap sudi mendengarnya. Daripada rintihan seorang pengemis yang merayu untuk mendapatkan sesuap nasi, sehinggalah kepada munajat seorang soleh yang memohon syurga, Allah tetap sudi mendengar, justeru Allah itu bukan sahaja mendengar tetapi Dia Maha mendengar!

Sebaliknya, manusia terlalu ego dan bersikap berat sebelah termasuk dalam soal mendengar ini. Ya, jika orang yang bercakap tinggi pangkatnya, maka dia senyap terpaku membisu. Tetapi jika yang bersuara itu orang bawahan, maka dia mendengar sambil lewa atau cepat-cepat memotong cakap sebelum orang bawahannya itu dapat menghabiskan percakapannya. Kalau sikaya menegur, semua menelinga dan tunduk akur. Tetapi bila si miskin yang mengadu, ramai yang berpaling dan menunjukkan reaksi selamba.

 Namun tidak begitu keadaannya pada insan bernama Muhammad saw. Baginda seorang yang sentiasa memberi hak mendengar kepada sahabat, isteri dan pengikut-pengikutnya. Walaupun, baginda “orang besar” yang memimpin negara, tetapi masih sempat mendengar rintihan anak kecil yang terbiar di tepi jalan di satu pagi Hari Raya. Di dalam mesyuarat, baginda sering mendengar pendapat sahabat-sahabatnya. Kekadang baginda ada pandangan, tetapi dirasakannya ada pandangan lain yang lebih tepat… maka diambilnya pandangan yang lebih tepat itu!

 Itulah Rasulullah saw yang paling berjaya meniru sifat As Sami’ Allah swt. Bagaimana dengan kita? Ah, malang, kekadang pangkat tidaklah setinggi mana… namun egonya sudah setinggi langit. Kononnya kitalah yang paling bijak dan mulia. Jika dalam satu majlis kita tidak dialu-alukan dengan kata-kata sambutan, maka kita rasa dipinggirkan. Jika dalam mesyuarat kita tidak dijemput bercakap, terasa orang menafikan keintelektualan, gelaran dan jawatan kita.

 Anda tidak perlu banyak cakap untuk disenangi dan disayangi, cukup dengan menjadi pendengar. Lihat mata orang yang bercakap, buka telinga dan hati, dengarlah dengan penuh simpati dan empati… nescaya orang akan jatuh hati. Bila anak-anak menghampiri kita, pegang tangannya dan ucapkan, apa yang kamu ingin katakan? Ayah atau ibu sudi dan sedia mendengarnya. Jika pekerja bawahan menziarahi atau datang di muka pintu rumah atau bilik anda lalu memberi salam, jawab salamnya dan bawa dia dekat dan dengar luahan katanya.

Dengarlah bisikan orang di sekeliling kita. Insya-Allah, kita tidak akan terpaksa mendengar jeritan. Berapa banyak bisikan yang dibiarkan yang akhirnya bertukar menjadi jeritan yang memeritkan. Isteri ingin mengadu, suami menjauh. Anak hendak bercakap, ibu-bapa membentak menyuruh diam. Pekerja ingin berbincang, dituduh ingin mogok. Rakyat ingin memberitahu, kononnya pemimpin serba tahu…

Terlalu banyak bisikan yang dipinggirkan dan disisihkan. Akhirnya, bisikan menjadi jeritan. Anak derhaka, isteri nusyuz, diceraikan suami, pekerja lari, rakyat berpaling tadah… Semuanya gara-gara dan angkara sikap mendengar yang semakin terhakis dalam kehidupan dan pergaulan.

 
35 Komen

Posted by di 17 Januari 2013 in Tentang Cinta

 

Label: , , ,

35 responses to “JUST LISTEN… (hanya dengan mendengar!)

  1. zt

    17 Januari 2013 at 10:55 am

    Assalammualaikum Ustaz,
    Alhamdullilah dan terima kasih atas tulisan yang indah ini,lama tidak mendengar nasihat ustaz di corong radio..
    Saya telah belajar membetulkan niat dan menjadi pendengar..Hasilnya mendapat ciuman bertalu-talu dan linangan airmata dari pesakit2 saya..Indahnya jika senyuman dan ketenangan di riak wajah pesakit2 diakhir konsultasi..
    Terima kasih atas segala ilmu yg telah ustaz curahkan, byk membuka “hati” saya..Telah saya download semua rakaman bersama Ustaz di IKIM..Semoga Allah berikan kekuatan utk Ustaz terus menulis..

     
  2. Lady Zubaidah

    17 Januari 2013 at 12:04 pm

    Reblogged this on Wannabe Mukminah&Solehah and commented:
    Listen!

     
  3. solehah

    17 Januari 2013 at 12:12 pm

    syukran ustaz atas nasihat dan ilmu yang diberikan. jazakallahu khairan kasiran

     
  4. nurulamyliana

    17 Januari 2013 at 12:35 pm

    Terima kasih Ustaz..
    Alhamdulillah..Tiap kali selepas membaca hasil tulisan Ustaz, seperti ada satu rasa yang meresap ke dalam jiwa & hati..Moga apa yang Ustaz ingin sampaikan kepada pembaca akan ‘sampai’ dengan izin-Nya..
    Dan semoga Allah terus memberi ilham & kesihatan yang baik untuk Ustaz terus menulis..

     
  5. Ru-jautih

    17 Januari 2013 at 12:49 pm

    Assalamu’alaikum ustaz,
    Sesungguhnya amat sukar utk menjadi pendengar yang baik. Namun rupanya terdapat seribu satu rahsia disebalik kesukaran ini. Bolehkah saya menjadi pendengar yang baik selepas ini? Insyaallah, semoga niat yang baru ini akan dapat dibiasakan sehingga menjadi salah satu tanda keperibadian.
    Terima kasih ustaz dengan perkongsian ini.

     
  6. Cut Amir

    17 Januari 2013 at 1:22 pm

    Terima kasih atas perkongsian. :)

     
  7. sot

    17 Januari 2013 at 2:27 pm

    Assalamualaikum Ustaz, Allah Maha Mendengar hatta sehalus bisikan hati. Apalah kita yang hina dina ini keluhan orang tidak mahu di dengar? Usah pekakkan telinga lagi. Belajarlah menggunakan telinga yang Allah pinjamkan ini untuk mendengar dan melakukan perobahan untuk memberikan senyuman bukan cemuhan.

     
  8. Saadah

    17 Januari 2013 at 2:56 pm

    Untuk didengari, kita mesti mendengar. Untuk dihormati, kita mesti menghormati.

     
  9. Abdilah Ahmad Mudus

    18 Januari 2013 at 10:03 pm

    Kita tidak akan kerugian apa-apa apabila menjadi seorang pendengar yang baik terutama sekali kepada ‘pasangan’ kita. Tetapi kita PASTI RUGI apabila kita tidak suka MENDENGAR luahan hati pasangan kita.

    Oleh itu dengarlah, fahamilah dan hayatilah ‘apa’ yang disuarakan oleh ‘pasangan’ kita kerana mengharapkan REDA dan CINTA ALLAH semata-mata insyallah ALLAH pasti MENDENGAR rintihan dan keluhan kita.

     
  10. Danial Abdul Rahim

    21 Januari 2013 at 4:56 pm

    Alhamdulillah. Banyak perkongsian tentang agama saya pelajari dalam blog ini. Sememangnya Ustaz seorang yang hebat berdakwah menggunakan penulisa. Alangkah indahnya saya juga boleh meniru gaya penulisan Ustaz.

    Saya sudi mendengar apa sahaja orang katakan. Asalkan ianya adalah perkataan yang baik-baik lagi memuji Ilahi.

    Sungguh merdu iramanya ;)

     
  11. serikandi

    22 Januari 2013 at 11:27 am

    mohon share ustaz..

     
  12. wan norliza wan hamat

    23 Januari 2013 at 1:13 pm

    Terima kasih ustaz di atas setiap perkongsian ilmu..saya sentiasa tertunggu-tunggu tulisan ustaz yang begitu banyak mendidik jiwa.sedihnya slot mukmin profesional di radio ikim telah berakhir..saya ingin mendengar buah bicara ustaz yang memberi kesan yang besar kepada saya..paling terkesan, kita mudah alpa dengan diri kita sebagai HAMBA..ustaz sering menyedarkan saya tentang hal itu.Terima kasih ustaz, moga Allah sentiasa memberi kekuatan kepada ustaz untuk menyedarkan kami semua.

     
  13. nor

    23 Januari 2013 at 2:10 pm

    ya saya perlu byk mendengar..saya ada ijazah, tunang saya sampai darjah 6..saya yg selalu memonopoli percakapan..rasa bersalah pulak.artikel yg bnr2 menginsafkan… semoga saya boleh jd isteri yg baik utk dia.kerana dia sgt baik.

     
  14. nurdurrah

    24 Januari 2013 at 12:14 pm

    seronok baca sbb rasa mcm sedang bermuhasabah diri sbb sya ini juga termsuk antra insan suka bercakap…syukran kasir ustaz..

     
  15. Faiz Kip

    24 Januari 2013 at 1:54 pm

    listen,listen,listen

     
  16. maza

    25 Januari 2013 at 11:36 am

    Assalamualaikum ustaz, selama ini saya sering mengeluh kerana terasa tiada siapa yang benar-benar sudi mendengar luahan saya. Terasa hanya saya yang perlu mendengar setiap luahan dan masalah dari mereka-mereka disekeliling. Setelah membaca artikel ustaz, kini saya bersyukur kerana ‘terpilih’ untuk menjadi pendengar, saya yakin Allah s.w.t. tahu apa yang terbaik untuk hambaNya. Terima kasih ustaz kerana menyedarkan saya perbezaan kuasa mendengar dan meluah. Semoga hasil tangan ustaz dapat menyedarkan kita yang sering lalai dan terlupa.

     
  17. syahhere

    28 Januari 2013 at 2:34 pm

    Asslamualaikum wbt ustaz..
    Saya pelajar dari USM Kampus Kesihatan, Kelantan. Insyaa Allah, bulan Mac ni kami akan adakan Festival Kelestarian Islam dan kami berhajat untuk menjemput ustaz sebagai salah seorang panelis untuk slot forum. Jadi, bagaimana caranya untuk saya hubungi ustaz bagi tujuan jemputan? Syukran.

     
  18. Yanti

    28 Januari 2013 at 4:34 pm

    Alhamdulillah…syukran ustaz..peringatan yang sangat hebat. terkadang kita terlupa untuk menjadi pendengar kerana terlalu banyak berkata-kata…Astaghfirullah…

     
  19. Mat_Yie

    30 Januari 2013 at 10:34 pm

    Assalamualaikum Yaa Ustaz, terima kasih atas pencerahan berkenaan listen, tulah pentingnya jiwa seorang yg suka mendengar pendapat orang lain, amat malang di negara kita sifat begitu tidak subur dan boleh dikatakan tidak wujud, mengaku sebagai negara bertamadun dan mengamalkan demokrasi yang sebenar, tapi realitinya begitu menyedihkan. Mereka hanya mendendangkan cerita yang menyalahkan di sebelah pihak, tetapi tidak memberi ruang kepada sebelah pihak lagi untuk menjawab. Saya selaku anak muda begitu kecewa..

     
  20. MAH

    31 Januari 2013 at 8:44 am

    Salam Sejahtera Ustaz

    Jazakallah untuk artikel yang bagus

     
  21. yoamigo

    31 Januari 2013 at 11:21 pm

    Salam ustaz, saya ada masalah berkenaan ibu saya. Bolehkah saya berhubung melalui emel.Jasa ustaz akan sangat saya hargai…

     
  22. aisyah_kiff

    1 Februari 2013 at 12:56 pm

    anak yang ingin memberi pandangan kepada kedua-dua orang tuanya kadang-kadang dikatanya anak derhaka. bagaimana si anak dapat mengembangkan potensinya dalam memberi pendapat dan idea. dengan kuasa yang ada pada mereka, mereka gunakan untuk menutup mulut anak mereka yang masih terpinga-pinga.

     
  23. afifah

    2 Februari 2013 at 8:50 pm

    terima kasih ustaz..memang menjadi susah untuk menjadi seorang pendengar yg baik disebabkan keegoaan yg menggunung dalam diri..bermujahadahlah diri..

     
  24. din

    3 Februari 2013 at 12:35 pm

    terima kasih ustaz… simple tp amat bermakna..

     
  25. mira s

    4 Februari 2013 at 11:09 pm

    Assalamualaikum…
    Terima kasih di atas penulisan yang menyentuh hati.benar2 menjadi peringatan buat insan yang suka bercakap seperti saya ini.
    Cuma…saya tertanya-tanya atau boleh jadi konflik dalam diri…
    Contohnya,apabila seseorang meluahkann perasaan tidak puas hatinya dengan reaksi negatif atau kata-kata yang tidak enak didengar,bagaimanakah kita mampu menjadi pendengar yang baik tanpa perkara negatif tersebut mempengaruhi emosi dan diri kita.
    Dan ketika bila pula sewajarnya kita bercakap atau melontarkan pandangan?
    Kerana kalau selalu diam pon,saya dapati kadang-kadang otak lambat bergerak tau kurang aktif…
    Mohon pendapat tuan….

     
  26. qaseh

    6 Februari 2013 at 11:08 pm

    Masa mendengar, mata juga perlu berperanan.betul x ustaz?

     
  27. bintangzohra

    7 Februari 2013 at 12:51 pm

    Reblogged this on and commented:
    Dengarlah bisikan orang di sekeliling kita. Insya-Allah, kita tidak akan terpaksa mendengar jeritan. Berapa banyak bisikan yang dibiarkan yang akhirnya bertukar menjadi jeritan yang memeritkan. Isteri ingin mengadu, suami menjauh. Anak hendak bercakap, ibu-bapa membentak menyuruh diam. Pekerja ingin berbincang, dituduh ingin mogok. Rakyat ingin memberitahu, kononnya pemimpin serba tahu…

    Terlalu banyak bisikan yang dipinggirkan dan disisihkan. Akhirnya, bisikan menjadi jeritan. Anak derhaka, isteri nusyuz, diceraikan suami, pekerja lari, rakyat berpaling tadah… Semuanya gara-gara dan angkara sikap mendengar yang semakin terhakis dalam kehidupan dan pergaulan. – Ustaz Pahrol Mohamad Juoi

     
  28. salahuddin

    8 Februari 2013 at 9:48 pm

    Reblogged this on Agama dan kita and commented:
    Mohon share ya ustaz

     
  29. aziyana satiman

    9 Mac 2013 at 4:40 am

    salam ustaz….seronok sangat dapat baca hasil tulisan ustaz…sangat2 terbaik, terima kasih di atas segala coretan dan hasil tulisan ini…..ia memberi banyak makna pada kami yang memerlukan sokongan dan dorongan dari mereka yang memahami……di doakan semoga ustaz sihat dan panjang umur untuk terus menulis dalam blog ini……TAHNIAH!….:-)

     
  30. aziyana satiman

    9 Mac 2013 at 4:43 am

    salam ustaz….lupa nak tanya, macamana ye untuk saya menghubungi ustaz….terima kasih..:-)

     
  31. aliamaisarah40

    20 Mac 2013 at 7:53 am

    Reblogged this on Bahie Selamanyer.

     
  32. razali

    1 April 2013 at 11:23 am

    syukran ustz atas pencerahan yang sanat baik..mungkin juga kita perlu belajar seni untuk berkata2 supaya org lain mahu mendengar kata2@luahan kita..mohon sekiranya ust dapat memberi pandangan tentang Seni Berbicar..syukran

     
  33. anep

    12 April 2013 at 7:08 pm

    sangat tersentuh tulisan ini dengan realiti idup ana,sheikh. mohon tuk share ye.tq

     
  34. زاريث صوفيا

    8 Mei 2013 at 12:36 am

    salam ustaz mohon share ye..

     
  35. muhammad `imran

    28 Jun 2013 at 11:33 am

    Benarlah ape yg d kata., kita hari ini lebih byk berkata drpd mendengar dan berfikir., kadang2 byk b,kata menyebabkn org marah dan t,singgung maka diam adalah sebaikny agar hati kte dan org d sekeliling akn t,jaga

     

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,254 other followers

%d bloggers like this: