RSS

UNTUK TENANG… KENANG AKHIRAT

21 Mac

KAABAHKaabah dibina oleh insan yang paling baik (Nabi Ibrahim AS), manakala piramid dibina oleh insan yang paling jahat (Firaun laknatullah). Bagaimana  dengan kita yang melihatnya?

Bagaimana  kita boleh mendapat kebaikan ketika melihat Kabah atau piramid? Semuanya bergantung kepada bagaimana kita melihatnya. What you see, is what you get – apa  yang kita lihat, itu yang kita akan dapat.

Jika Kaabah dilihat dengan mengambil ibrah dan barakah  insyaAllah, kita akan mendapat kebaikan. Sebaliknya, jika Kaabah dilihat dengan rasa untuk menunjuk-nunjuk (kerana kita berbangga berada di situ), maka kita akan mendapat keburukan dan kerugian.

Sekalipun melihat piramid yang dibina oleh insan terjahat, kita boleh mendapat kebaikan hasil mengambil iktibar. Namun, sekiranya dilihat dengan penuh kebanggaan atau sekadar ‘melihat-lihat’, maka pandangan itu menjadi sia-sia walaupun mungkin tidak jatuh kepada dosa. Ya, bukan apa yang dilhat itu yang penting tetapi bagaimana kita melihatnya!

Apa yang menentukan bagaimana kita melihat sesuatu? Kata bijak pandai, “who you are dictates what you see” – siapa kita menentukan bagaimana kita melihat. Jika kita melihat segala-galnya sebagai hamba Allah, maka kita akan dapat melihat segalanya daripada persepektif Islam. Ketika itu apa kita akan dapat melihat kebaikan sekalipun pada benda atau perkara yang buruk. Ketika melihat seekor bangkai kambing misalnya, Rasulullah SAW telah mengalih perhatian para sahabat untuk melihat gigi kambing itu yang masih putih.

Justeru, tidak kira di mana atau ke mana kita pergi… cubalah menjadi orang yang baik, insyaAllah kita akan dapat melihat kebaikan. Bukan hanya Kaabah mampu mengingatkan kita kepada Allah, tetapi piramid juga boleh mengingatkan kita kepada Allah. Kita akan ingat betapa akibatnya manusia paling angkuh (Firaun), namun akhirnya mati terhina walaupun bangunan yang dibinanya masih tersegam kukuh.

Ketika melihat piramid satu ketika itu, saya telah menulis sebuah artikel. Berikut adalah artikel tersebut:

KENANG AKHIRAT, TENANG DI DUNIA    

Siapa manusia yang paling jahat? Jika soalan ini ditujukan kepada kita, mungkin ramai yang menjawab, “Firaun!”. Benar, tidak ada siapa yang dapat menandingi kejahatan Firaun. Dia bukan sahaja derhaka kepada Tuhan, bahkan mengaku sebagai Tuhan. Itulah puncak segala kejahatan. Ya, secara sinis kita boleh berkata, “sesiapa yang tidak menganggap Firaun jahat, dia juga adalah seorang yang jahat.”

Namun ada yang menarik pada Firaun, yang dapat dilihat dari sisi lain. Sejahat-jahat Firaun, dia tetap percaya akan adanya Hari Akhirat (kehidupan selepas mati). Buktinya, Firaun membina piramid dan segala di dalamnya disediakan semua  bekalannya untuk menghadapi kehidupan selepas mati itu. Walaupun caranya salah, namun dia yakin dan membuat persiapan untuk menghadapi akhirat dengan caranya sendiri.

Bagaimana kita? Bagaimanakah keyakinan kita terhadap Hari Akhirat dan bagaimana pula persediaan kita untuk menghadapinya? Ah, ironinya, kita yang mengaku lebih baik daripada Firaun, namun  tidak pula ‘seserius’ dia dalam persediaan menghadapi hari akhirat yang pasti datang itu.

Mengapa tidak ada persediaan menghadapi Hari Akhirat?

Mungkin sesetengah kita beranggapan bahawa keyakinan pada Hari akhirat hanya berguna untuk ‘kehidupan’ di akhirat sahaja. Atas keyakinan itu, iman kita dikira sah dan kita menjadi seorang Muslim. Dan sekiranya keyakinan itu tidak terjejas sehingga ke akhir hayat, kita berpeluang memasuki syurga. Ya itu, benar.

Namun keyakinan pada hari akhirat sebenarnya sangat memberi kesan kepada kehidupan kita di dunia. Dengan erti kata yang lain, beriman dengan Hari Akhirat akan memberikan manfaat yang sangat besar semasa hidup di dunia lagi.  Dengan keyakinan pada hari akhiratlah kita tidak akan menderita dan keluh-kesah ketika hidup di dunia.

Apabila manusia yakin akan adanya nikmat yang kekal abadi di dalam syurga, maka itu memberi kekuatan, ketabahan dan harapan untuk mengharungi apa jua kesusahan di dunia. Dia rela susah ketika membuat kebaikan. Dia akan sabar menempuh ujian-ujian dalam kehidupan. Tegasnya, dia rela menerima penderitaan yang sedikit dan sementara di dunia demi mengharapkan kesenangan dan kebahagiaan yang lebih baik dan lebih kekal di akhirat.

Apabila manusia yakin akan adanya azab neraka, maka dia akan rela meninggalkan segala kejahatan dalam kehidupan walaupun kejahatan itu kelihatan seronok, indah dan menggiurkan. Segala kesusahan, ketidakselesaan ketika meninggalkan kejahatan sanggup diredahnya kerana menyedari azab neraka lebih pedih dan berkekalan. Prinsip hidupnya, biarlah bersakit-sakit dahulu di dunia agar tidak bersakit-sakit di akhirat.

Sebenarnya kepercayaan pada hari akhirat adalah fitrah (instinc) semua manusia – tidak kira bangsa, agama dan rupa. Walaupun dengan istilah, hujah dan dalil yang berbeza, namun manusia pada fitrahnya tetap percaya akan adanya kehidupan selepas mati. Agama Hindu, Buddha, Kristian, Yahudi dan lain-lain semuanya mengajar akan adanya kehidupan selepas mati.

Golongan Atheis sekalipun, juga tidak dapat menolak perasaan akan adanya hari akhirat (‘Sense of The End’) ini. Hati kecil mereka tetap mengharapkan ‘kuasa ghaib’ di saat yang sangat genting yakni apabila semua kuasa mereka sudah lumpuh. Mereka juga mengharapkan keajaiban apabila ikhtiar akal menemui jalan buntu.

Paling tidak, sesetengahnya bangsa atau agama menamakan kehidupan di akhirat sebagai ‘kehidupan kedua’.

Semua percaya bahawa dalam kehidupan kedua (akhirat)  itulah nanti semua perbuatan manusia di dunia akan mendapat balasan. Ini disebabkan di dunia ini tidak pernah ada keadilan yang mutlak dapat ditegakkan. Banyak perkara, kejadian atau peristiwa  yang berlaku tidak berakhir dengan saksama dan pembalasan yang setimpal.

Contohnya, mengapa seorang bayi yang masih di dalam kandungan lagi telah dijangkiti virus HIV? Apakah dosa bayi yang masih suci itu? Apakah  adil dia yang;terhukum’ oleh kesalahan ibu-bapanya? Adil kah begitu? Sering berlaku melalui pengalaman hidup kita, orang yang jahat terus berkuasa, tidak mendapat hukuman malah semakin mendapat sanjungan pula. Manakala pihak yang jujur, baik dan adil, ada kala nya terus ditindas dan dihina. Adil kah begitu?

Keadilan di dunia sangat terbatas. Penyelesaian tuntas dan adil jarang tercapai. Misalnya, apakah adil  Slobodan Milosevic – Penyembelih Balkan itu hanya mati sekali sahaja (itu pun kerana penyakit yang dihidapinya dalam penjara ) sedangkan dia telah membunuh ribuan umat Islam Bosnia Herzogoovina? Sepatutnya, dia wajar dihukum dengan dibunuh beribu-ribu kali!

Bagaimana perasaan kita ketika menonton filem yang berakhir dengan penjahat terus bermaharajalela sedangkan heronya pula terkorban? Tidak puas hati bukan? Maka perasaan kita secara automatik mengharapkan ada ‘sequalnya’. Harapan kita agar watak penjahat mendapat balasan yang setimpal dengan kejahatannya, dan yang baik mendapat ganjaran hasil kebaikannya.

Begitulah fitrah manusia. Dan begitulah manusia ketika berdepan dengan kehidupan di dunia. Secara sedar atau tidak kita sentiasa berharap adanya kehidupan kedua (akhirat) – tempat pembalasan bagi kehidupan pertama (dunia). Justeru, kepercayaan pada hari akhirat adalah fitrah semua manusia.

Sebenarnya fitrah ini telah ‘diinstall’ secara tabii dalam diri setiap manusia oleh Allah s.w.t. sebagai persediaan untuk menerima seruan dan didikan iman kepada hari akhirat.

Fitrah inilah yang disuburkan dengan datangnya wahyu Allah menerusi para Rasul terutamanya Nabi Muhammad SAW. Dengan suluhan Al Quran dan Hadis, kepercayaan kepada hari akhirat ini dipandu dengan tepat, betul dan benar. Diterangkan dengan jelas bagaimana bentuk kehidupan ‘di sana’. Apakah yang perlu dijadikan bekalan untuk ke syurga dan terjauh dari neraka. Apakah pula yang menjadi penghalang mendapat kebaikannya. Segalanya tentang Akhirat itu telah diperincikan oleh wahyu dan Al Hadis.

Tegasnya, elemen dalaman manusia telah dipersiapkan untuk diisi dengan kepercayaan kepada Hari Akhirat – yang akan membolehkannya hidup tenang di dunia dengan membuat segala kebaikan dan meninggalkan segala kejahatan.  Bukankah ketenangan itu apabila tidak ada kejahatan dan tertegaknya kebaikan dalam kehidupan individu, masyarakat, negara dan dunia?

Benarlah jika keyakinan kepada hari akhirat ini benar-benar mantap, manusia akan mendapat dorongan untuk melakukan kebaikan dengan ikhlas. Walaupun sekiranya kebaikan itu tidak mendapat sanjungan dan pujian. Namun kebaikan itu akan dilakukan jua atas keyakinan kepada Hari Akhirat. Itulah sebabnya, Allah menjanjikan ‘ganjaran’ yang lebih baik dan kekal di akhirat. Dengan keyakinan ini, manusia akan terlatih memberi tanpa mengharapkan balasan. Inilah iman dan inilah jua yang melahirkan keikhlasan.

Ramai manusia merungut, mengeluh malah kecewa bila kebaikan yang dibuatnya tidak mendapat balasan. “Sakit jiwa dibuatnya, kita yang bekerja secara jujur ini tidak dihargai, yang mengampu juga yang dinaikkan pangkat.” Padahal jika keyakinan kepada Hari Akhiratnya mantap, dia tidak kesal apalagi menyesal dengan perbuatan baiknya kerana Allah pasti akan membalasnya di Akhirat.

Dunia adalah tanaman (kebun) untuk Hari Akhirat. Demikian, kata Imam Safie RHM. Ertinya, kehidupan di dunia yang sementara ini adalah satu persediaan untuk menghadapi kehidupan yang kekal abadi di hari akhirat. Walaupun hidup di dunia hanya singkat (berbading akhirat), tetapi ia sangat penting kerana ia adalah penentu kebahagiaan di akhirat.

Oleh itu, untuk mencapai kebahagiaan di akhirat, manusia perlu melakukan sebanyak-banyaknya kebaikan ketika hidup di dunia. Jika ingin memetik buah yang lebat, manis dan segar nanti, maka pokok yang kita tanam kini perlu subur dan sihat. Mana mungkin, pokok yang layu, kering dan tidak sihat menghasilkan buah yang baik?

Hidup di dunia tidak boleh diabaikan hanya memikirkan kehidupan di akhirat. Ingat, orang yang memikirkan kehidupan di akhirat ialah orang yang paling kuat berusaha, beribadah dan membuat kebajikan ketika hidup di dunia.

Justeru, kita tidak boleh persiakan kehidupan di dunia ini. Kata Dr Yusuf Qaradawi,”mencintai Syurga tidak bererti meminggirkan dunia.” Dunia sangat penting demi ke bahagiaan di akhirat. Jadilah seperti petani yang gigih berusaha, berkerja dan menjaga tanamannya. Ya, orang beriman tidak mengenal letih, putus asa dan kecewa dalam melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan di dunia.

Dunia tempat berpenat, akhirat tempat berehat. Oleh itu, orang beriman sangat gigih mengerjakan solat, taat ibu-bapa, tekun belajar, membantu saudara dan sahabat handai tanpa jemu dan merasa lesu. Waktu menanam memanglah susah, tidak semudah waktu menuai. Namun, tanpa melalui kesusahan  tidak akan ada kesenangan. Justeru, bagi orang beriman, mereka berpegang kepada prinsip: Bermujahadah (berjuang mentaati Allah) itu pahit kerana syurga itu manis.

Atur jadual harian dengan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat. Bermula daripada solat, belajar, membantu ibu-bapa, bersukan, membantu kawan-kawan sehinggalah aktiviti-aktiviti kemasyarakat seperti berderma, bergotong royong dan memberi nasihat – pesan memesan dengan kebenaran dan kesabaran. Insya-Allah, kita akan merasai hidup ini lebih bahagia dan ceria di dunia… dan itulah jua petanda kita akan berpeluang merasai kebahagian dan keceriaan hidup di akhirat. Insya-Allah. Amin!

 
12 Komen

Posted by di 21 Mac 2013 in Belajar Dari Alam

 

Label: , ,

12 responses to “UNTUK TENANG… KENANG AKHIRAT

  1. Abdilah Ahmad Mudus

    22 Mac 2013 at 10:27 am

    Tepat sekali Ustaz. Hanya ALLAH yang benar-benar tahu tahap iman seseorang itu. Dan hanya ALLAH jugalah yang mengetahui tahap KEIKHLASAN ibadah seseoarng itu. Akan tetapi ‘cara’ hidup kita sekarang ini berkadar terus dengan tahap iman kita. Semakin meningkat tahap iman kita maka akan semakin TAKUTLAH kita kepada ALLAH…dan begitu juga jika sebaliknya.

     
  2. Ru-jautih

    28 Mac 2013 at 1:16 pm

    Terima kasih ustaz dengan catatan ini. Saya sangat dahagakan nasihat seperti ini. Semoga beroleh kebaikan selalu melalui tulisan yang berkualiti dan bermanfaat.
    Terima kasih sekali lagi.

     
  3. 561700

    28 Mac 2013 at 5:26 pm

    MasyaALLAH, sangat manfaat dan memberi kata semangat buat diri ini agar lebih kuat dalam jihad dan dakwah. Moga ALLAH permudahkan segala urusan kita semua.

     
  4. Atmarasa

    28 Mac 2013 at 6:47 pm

    Assalamualaikum Ust, saya sedang cuba melatih diri untuk memberi tanpa mengharapkan balasan. Memberi dan terus memberi…..kerana saya sangat yakin Allah maha adil dan DIA sangat mendalam pengetahuanNYA. GanjaranNYA tidak terbanding dengan apa jua yang ada di dunia ini apatah lagi jika dibandingkan dengan ganjaran yang diberikan oleh manusia (majikan) di atas segala segala usaha yang kita lakukan. Semoga dgn pertemuan pada 13 & 14 April nanti,boleh membentuk jiwa yang lebih baik….

     
  5. Shahrol

    31 Mac 2013 at 1:13 pm

    …. :)

     
  6. nurulamyliana

    1 April 2013 at 10:41 am

    terima kasih ustaz :)

     
  7. cik Imn

    1 April 2013 at 3:20 pm

    terbaik..:)

     
  8. islah

    1 April 2013 at 10:54 pm

    assalamualaikum Tuan,
    benar apa yang Tuan kata. ikhlas..namun adakalanya hati sangat tidak konsisten..bila adanya bisikan syaitan yang menerobos ke hati..mengganggu keikhlasan hati membuatkan hati mula berkata-kata dan berprasangka..sukarnya hati untuk dipelihara agar syaitan tidak mampu untuk menerjah masuk mengganggu..

     
  9. ismida

    7 April 2013 at 6:00 pm

    alhamdulillah,, sukran ya ustaz ats semua nasihat yang diberikan, semoga kite semua sama-sama diberi hidayah dari Allah untuk berubah dan sentiasa mengingati mati,, in sya Allah,,,

     
  10. Marshita Idris

    12 Mei 2013 at 8:54 am

    Terima kasih ustaz, saya selalu mengambil kata2 ustaz untuk di sebarkan di fb saya, saya harap ustaz izinkan…saya sangat menanti2 setiap entri ustaz yang baru…terima kasih sekali lagi

     
  11. Pencinta akhirat

    29 Mei 2013 at 12:19 pm

    Ustaz, terima kasih yang tak terhingga atas segala nasihat dan pengisian yang ustaz bagi. Alhamdulillah, syukur tak terhingga, selama ini saya sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri. Tapi selalu tewas, rasa tersangat-sangat susah. Rasa give up teramat. Selalu tercari-cari pengisian, ceramah, tazkirah, tapi semunya rasa terlalu berat untuk diikuti. Sehinggalah saya mendengar ceramah dan membaca tulisan ustaz, baru saya betul-betul dapat merasai betapa Allah maha penyayang dan pengampun.

    Untuk saya yang bermula dari bawah, kata-kata ustaz sangat menjadi inspirasi. Jangan mengalah, jangan mudah putusa asa, Allah maha pengampun, Allah maha penyayang, Allah melihat usaha hambanya, berusahalah walau sedikit dari tidak ada langsung, dan macam-macam lagi. Walaupun ringkas, tapi kesannya sangat besar ustaz.

    Saya mula bersungguh dengan doa, sebelum ni doa sekadar doa sahaja.. Doa Allahumma A’inna ‘ala zikrika.. hingga akhir.. yang saya dengar dari usaz di ikim, saya amalkan doa ni sungguh2 hingga terasa dihati. Alhamdulillah, doa tu dah termakbul. Saya dapat rasakan saya mula rasa Allah sangat dekat, Saya mula rasa keseronokan membaca Al Quran, Saya dah tak bosan dengar bacaan Quran di radio kereta lama2, Saya mula consistent membaca Al Quran setiap hari, hingga saya tergerak untuk membaca terjemahan, alhamdulillah saya baru khatam terjemahan ambil masa 10 bulan jugak, walau pun perlahan, tapi subhanallah baru saya betul-betul rasa, Al Quran sebagai panduan orang yang beriman, saya cintakan ayat-ayat Allah yang terlalu indah itu.

    Saya juga mula rasakan kemanisan ujian, saya sentiasa rindukan Allah dan syurga, bila kecewa dengan suami saya segera kembali pada Allah, saya mengadu pada Allah, saya kuatkan cinta saya pada Allah dan syurga, terus kembali tenang, kalau nak merajuk dengan suami pun saya terus ingat nanti Allah murka, tak dapat masuk syurga, terus tak jadi.. Walaupun susah nak lawan, bisikan syaitan tu tuhan je yang tahu, memang tujuannya nak menghancurkan rumah tangga dan saya amalkan membaza Ta’awuz.. Alhamduillah.. Subhanallah..

    Sekarang ni saya masih memperbaiki diri, terlalu banyak untuk diperbaiki. Jiwa masih lemah. Masih banyak daki hitam yang perlu disental… Masih banyak dosa yang perlu ditaubati.. Tapi bukankah Allah Maha Pengampun dan Penyayang? Dan yang pasti saya sangat rindukan syurga, saya tak sabar nak tengok dunia akhirat, pendek kata saya tak sabar nak mati. Harap ini bukan dosa. Mati itukan sebenarnya hidup. Dan semakin hari saya mula rasa ujian saya semakin berat, berat sangat, lalu saya ingatkan diri syurga itu mahal, ujian itu tanda Allah cinta. Kadang2 bila saya penat hidup didunia ni, rindu saya pada mati semakin kuat.. saya juga harap itu tidak dosa. kalau berdosa, moga Allah ampunkan saya.. Saya sangat cintakan Allah, cinta Allah itu sumber kekuatan saya. Tak sabar nak jumpa Allah.. Hidup saya didunia ini hanya ada saya dan Allah.. Dan saya tau orang2 hebat seperti ustaz, cinta pada Allah pasti berlipat kali ganda lagi hebat dan saya sangat cemburu. .

    Maaf kerana bercerita pada ustaz, kerana saya nak bagitahu ustaz, ustazlah pencetus terbesar untuk saya bermujahadah, jika ada saham atas usaha saya ini, ustazlah pemegang saham terbesar.. Ustaz saya anggap seperti ayah kandung saya. Teruskan berdakwah ustaz, saya akan ikut jejak langkah ustaz insyaAllah.. untuk sampai cinta Allah pada yang lemah untuk berdiri.. Semoga kita berjumpa disyurga Allah nanti, insyaAllah.. Allahu Akbar..

    Sekadar berkongsi, nukilan untuk suami:

    Aku mencintaimu wahai suami,
    Dan dibalik cinta kerdil ini,
    Ada sebuah cinta yang terlalu besar,
    Sebesar yang tidak tergambar,
    Yang menjadi pasak penyandar,
    Cinta agung yang menjadi sumber kekuatan,
    Kekuatan diluar fitrah fikiran,
    Pasti kutegapkan cinta agung ini,
    Supaya cinta kerdil itu tidak terdampar,
    Tapi terus berlayar, kensyurga yang terhampar…

     
  12. DERITA DALAM SEPI

    30 Mei 2013 at 3:36 am

    Terima ksh ust..saya print kata2 ust..minta izin

     

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,217 other followers

%d bloggers like this: