RSS

MAAFKAN AKU WAHAI ISTERI…

08 Apr

etika-suami-isteriMaafkan ku wahai isteri kerana tidak memaafkan mu! Sesungguhnya ketika ini hati ku tidak menentu. Resah dan gelisah. Puas ku cari puncanya, rupanya segala-galanya kerana tidak memaafkan mu. Tidak memaafkan itu sesungguhnya satu dosa. Dosa itu pasti meresahkan.

Benarlah seperti apa yang pernah ditegaskan oleh  Rasulullah SAW:  “Dan dari Wabishah bin Ma’bad RA, ia berkata : “Aku telah datang kepada Rasulullah SAW, lalu beliau bersabda : ‘Apakah engkau datang untuk bertanya tentang kebajikan?’ Aku menjawab : ‘Benar’.

Baginda bersabda : ‘Mintalah fatwa dari hati mu. Kebajikan itu adalah apa-apa yang menenteramkan jiwa dan menenangkan hati dan dosa itu adalah apa-apa yang meragukan jiwa dan meresahkan hati, walaupun orang-orang memberikan fatwa kepada mu dan mereka membenarkannya”. (HR. Ahmad)

Ketahuilah aduhai isteri, sebaik sahaja surat ini di sisi, kau telah ku maafkan. Maafkan aku kerana tidak memaafkan mu. Sesungguhnya, aku acap kali dikuasai ego, sehingga terasa aku lebih ‘besar’, lebih penting dan lebih berkuasa…  sehingga dengan itu aku  tidak mampu memaafkan. Sedangkan aku hakikatnya hanyalah seorang hamba… yang kerdil, lemah dan berdosa. Siapalah diri ku sehingga tidak mampu memaafkan, sedangkan Allah, Tuhan yang Maha Besar itu pun sentiasa memaafkan.

Dalam sebuah hadis sahih, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Allah Yang Maha Tinggi berfirman: “Wahai anak Adam, sesungguhnya jika kamu berdoa kepada Ku dan mengharapkan- Ku maka Aku akan mengampuni mu atas semua dosa yang kamu lakukan, dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, andai kata dosa-dosa mu itu sampai ke puncak langit kemudian kamu meminta ampunan kepada Ku nescaya Aku ampuni dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, seandainya kamu datang kepada Ku dengan dosa yang besarnya seisi bumi seluruhnya, kemudian datang menemui Ku dan tidak menyekutukan Aku dengan yang lain nescaya Aku akan datang kepada mu dengan ampunan yang besarnya seisi bumi seluruhnya.”

Sungguh, setelah aku teliti dengan hati-hati segala kesalahan mu isteri… semuanya berpunca daripada kesalahan ku jua. Aku yang masih gagal mendidik mu. Aku yang masih kurang sabar dalam menghadapi kerenah mu. Aku yang masih tidak lunak dalam bertindak dan berkata. Hingga dengan itu, kesalahan mu cuba ku tangani dengan satu kesalahan juga. Malah ada kala dengan satu kesalahan yang lebih besar lagi.

Sepatutnya, aku tidak terkesan dengan wajah mu yang mencuka dan layanan mu yang selamba. Tapi entah kenapa, pada hari itu aku menjadi sangat perasa. Mungkin kerana ujian dan cabaran yang begitu berat ketika pulang dari bermusafir. Keletihan, cabaran dan masalah ada kalanya menggugat juga ketenangan kita. Lalu aku rasakan segala-galanya itu hanya aku yang mengalami tanpa ku sedari kau juga sedang diuji. Apa kurangnya ujian dalam rumah dibandingkan ujian di luar rumah. Mungkin tidak dari segi fizikal, namun mental dan emosi mu tentu sahaja teruji.

Belum, belum… aku belum mampu menjadi suami seperti Sayidina Umar RA, yang mampu menghadapi kerenah isteri dengan senyuman. Yang mampu berdiam diri menghadapi leteran isteri. Bukan kerana takut isteri. Bukankah Sayidina Umar adalah insan penuh keberanian sehingga digeruni oleh para syaitan? Namun, begitulah tarbiah Umar kepada isterinya. Leteran dihadapi dengan kesamaran. Api kemarahan akan padam apabila disiram dengan salju kemaafan. Akan kurenungi kembali nasihat Sayidina Umar kepada seorang suami yang sering menghadapi kerenah isterinya dengan meluahkan suara hatinya sendiri ketika berdepan dengan situasi yang sama: “Hai saudara ku, aku terima keadaan itu kerana jasa-jasa isteri ku pada ku; dia seorang tukang masak makanan ku dan pencuci pakaian ku, dan yang menyusu anak ku, padahal semua itu bukan kewajipannya. Selain dari itu, dia dapat menahan hati ku dari perbuatan haram. Maka kerana semua itulah aku terima saja kecerewetannya.”

Ya, itulah peribadi Sayidina Umar yang sesungguhnya telah dididik oleh Rasulullah SAW. Pernah suatu masa Sayidina Umar masuk menemui  Nabi Muhammad yang ketika itu Nabi sedang berbaring.  Nabi telah menyendiri di biliknya dan sebelum itu telah tersebar khabar angin bahawa baginda telah menceraikan isteri-isterinya. Sayidina Umar : Ya Rasulullah, adakah kamu telah ceraikan isteri-isteri kamu?

Sayidina Nabi mengangkat kepalanya dan berkata : Tidak

Sayidina Umar : “Allahu akbar Allahu akbar. Tuan boleh lihat sendiri betapa wanita-wanita kita tidak sesekali berani mengungkit dan membalas apa kita cakap. Sekarang mereka mula telah terkesan dengan perempuan kaum ansar yang suka mengungkit dan membalas cakap suami mereka.”

 

Suatu hari saya marah isteri saya dan dia berkata : “Apa yang peliknya jika saya mengungkit dan membalas cakap awak sedangkan isteri-isteri Nabi pun melakukannya terhadap Nabi.

Sayidina Umar : Agak malanglah sesiapa di kalangan mereka itu yang melakukan sedemikian. Adakah kamu boleh tenang dengan kemurkaan Allah kerana membuat kemarahan Baginda. Habislah kalau begitu.

 

Nabi Muhammad tersenyum mendengar kata-kata sayidina Umar.

Sayidina Umar : “Ya Rasulullah, suatu ketika saya jumpa Hafsah dan berkata kepadanya : Janganlah kamu terpedaya dengan perasaan kamu apabila melihat mereka lebih comel dan disukai oleh Nabi.”

Nabi tersenyum sekali lagi. Sayidina Umar : “Adakah Tuan sudah merasa lega dan terhibur?”

Nabi berkata : “Ya.”

 

Semakin ku renung semakin terasa bersalah. Sungguh aku telah bersalah ketika ku tolak rayuan mu untuk dimaafkan tempoh hari.  Aku terlupa akan firman Allah ini: “Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepada mu) dengan cara yang lebih baik. Apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadap mu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.” Al- Fushshilat : 34

Teringat aku ‘mauizah’ yang pernah ku terima dalam usrah suatu ketika dulu:“Jika tidak ada orang yang melakukan kesalahan kepada kita, mana mungkin kita mendapat pahala sabar? Jika tidak ada orang yang bersalah dengan kita, kita akan rugi… kerana tidak berpeluang mendapat pahala memaafkan. Sedangkan sabar dan memaafkan itu sangat besar pahala serta nilainya di sisi Allah.”

Begitu pesan para murabbi yang telah sama-sama kita dengar berulang kali. Ya, aku suami yang pelupa. Lupa akan pahala sabar. Alpa akan kelebihan memaafkan. Sedangkan telah lama Allah mengingatkan melalui firmanNya:”Orang yang sabar akan mendapat pahala tanpa hisab.” Allah jua telah mengingatkan:”. “Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah Yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.” (QS. Az-Zumar: 10)

Sebagai suami aku seharusnya berjiwa murabbi. Seorang murabbi seharus nya lebih banyak memuji daripada mengeji, memujuk daripada mengutuk, mengajak berbanding membentak, melapangkan daripada menyusahkan… sayangnya, aku tidak sebegitu. Kekadang aku terlalu cepat menghukum. Sedangkan telah berkali-kali diperingatkan oleh orang yang bijaksana, “sesiapa yang cepat menghukum tidak akan sempat memberi kasih sayang!”

Lalu, di akhir lembaran ini sekali lagi… ku ulangi ayat pertama dalam surat ini, “maafkan ku wahai isteri kerana tidak memaafkan mu!”

 
29 Komen

Posted by di 8 April 2013 in Tarbiyah

 

Label: , , , ,

29 responses to “MAAFKAN AKU WAHAI ISTERI…

  1. Aisah Mat Dan

    8 April 2013 at 1:39 pm

    moga2 suami saya akan memaafkan saya sama seperti ustaz .

     
  2. HASLI ABDULLAH

    8 April 2013 at 1:55 pm

    maaf…satu perkataan yang mudah diucap secara teori tetapi begitu sukar secara amalinya. Marilah kita sama-sama banyak memaafkan sesama insan kerana hakikatnya kita tidak sempurna. Terima kasih atas renungan kali ini. Semoga ustaz terus tabah dan cekal dalam menghadapi segala dugaan. Assalamualaikum

     
  3. marina

    8 April 2013 at 7:17 pm

    Terima kasih ustaz..saya ingin menghantar artikel ini untuk suami saya baca yang saya kira amat berkesan.tapi sebelum itu saya perlu muhasabah diri saya dulu dalam erti saya sebagai seorang isteri.seperti tadi semasa saya memandu kereta ke pejabat.saya terfikir kenapa semasa memandu saya begitu berhati hati untuk elak kemalangan agar tidak melanggar peraturan.sedangkan peraturan hidup yang Allah telah tetapkan pada saya tidak saya berhati-hati dan takut seperti saya memandu kereta sehari-hari..Moga saya mendapat petunjuk

     
  4. JIWA HAMBA

    9 April 2013 at 6:50 am

    Reblogged this on jiwa hamba.

     
  5. MAH

    9 April 2013 at 9:48 am

    Salam Sejahtera Ustaz,

    Suami maafkan isteri, isteri maafkan suami. Jangan tunggu tibanya Aidil Fitri. Kemaafan perlu disegerakan

    Ustaz, saya teringat kisah Saidatina Aisyah difitnah dan manusia semulia beliau pun perit hendak pertahankan diri sehinggakan Allah turunkan wahyu kepada Rasullullah SAw baru selesai.

     
  6. Norbaiti Ridzuan

    9 April 2013 at 3:43 pm

    Terima kasih ustaz…. sungguh terkesan di jiwa saya… Moga Allah merahmati kita semua dalam menuju syurga..

     
  7. Mahani Ibrahim

    9 April 2013 at 5:16 pm

    Betapa kecewanya seorang isteri apabila saat memohon maaf daripada suami…suami enggan memaafkan…hanya kepada Allah tempat mengadu..

     
  8. insan istimewa

    9 April 2013 at 8:16 pm

    mari sama2 muhasabah diri, sama2 kita ingatkan kita semua manusia biasa, manusia telah Allah jadikan sifatnya lemah, pelupa dan tidak lari dari melakukan kesalahan dan kesilapan, sentiasa kita ingatkan diri kita begitu insyaAllah kita akan jadi seorang yang mudah untuk memaafkan insan lain, insyaAllah ^_^

     
  9. penguinutara

    11 April 2013 at 9:08 am

    hanya dgn perasaan kasih sayang yg melimpah di hati dapat menutup segala kelemahan pasangan dan sahabat2 kita

     
  10. khairil

    11 April 2013 at 10:19 pm

    :).. terima kasih Ustaz..

     
  11. Ais-azura

    13 April 2013 at 8:29 am

    Subhannallah

     
  12. leyla

    13 April 2013 at 11:42 am

    saya yang tidak dimaafkan……

     
  13. ismida

    13 April 2013 at 5:27 pm

    alhamdulillah,, anda telah diberi kesedaran oleh Allah,, bersyukurlah dengan segala kesedaran yang Allah beri pada kita,, kite hanya manusia yang lemah dan sentiasa lupa dan alpa,,

     
  14. ummu azahariah

    14 April 2013 at 12:40 am

    Assalamualaikum Ustaz

    Terima kasih.Moga ustaz dapat meneruskan bersiaran dalam rancangan Mukmin professional di Radio IKIM .Wadah untuk suami dan saya mendapat ilmu dan bersatu hati.Alhamdullilah

    جزاك الله خيرا كثيرا يا أختي المحبوبة

     
  15. Zuraina binti Ithnin

    16 April 2013 at 4:21 pm

    Terima kasih ustaz…. sesungguhnya kami kaum isteri juga tidak sempurna… terima kasih untuk petikan ini… Alhamdulillah :)

     
  16. Abdilah Ahmad Mudus

    17 April 2013 at 2:53 pm

    Begitulah sebenarnya sikap kita selama ini. Kita dengan mudah sekali melupakan SEJUTA KEBAIKAN yang telah diberikan oleh isteri dan suami kita dengan SATU kesilapannya sama ada sengaja dilakukannya atau tidak.

     
  17. wiwinnor88

    20 April 2013 at 6:54 pm

    Reblogged this on wiwinnor88 and commented:
    CINTA

     
  18. halizaliz

    23 April 2013 at 9:23 am

    Dr pengalaman sndri mnjd satu artikel yg bole dimanfaatkn oleh org lain!. Smoga ustz berbahagia dgn istri dan kluarga hingga ke jannah!

     
  19. mutiara

    30 April 2013 at 8:03 pm

    SubhanAllah… Alhamdulillah ustaz…. Artikel ini berjaya memujuk hati ini seolah2 suami sy yg menyampaikannya pd sy. Terima kasih ustaz, doakan jodoh kami berkekalan, spt yg sentiasa seorang isteri yg setia impikan, semoga sy kuat dan semoga hanya sy isterinya dihati suamiku selama2nya…. Aamiin

     
  20. RozlinaRozie (@9Aplusplusplus)

    22 Mei 2013 at 6:47 pm

    subhanallah! terharunya dengan firman2 Allah S.W.T !!

     
  21. cek no

    23 Mei 2013 at 8:47 am

    ustaz, dlm entree akan dtg bole ustaz ceritakan kisah ibu ustaz pula? tentu beliau seorang ibu hebat sehingga melahirkn dan mendidik anak yg juga suami yg hebat

     
  22. maza

    23 Mei 2013 at 4:18 pm

    Salam ustaz, mohon copy. terima kasih.

     
  23. tatau

    31 Mei 2013 at 6:28 pm

    berat siksaan isteri jika suami tak memaafkan…

     
  24. Mohd. Ariffin b. Salleh JAPIM

    7 Jun 2013 at 4:36 pm

    terimakasih atas ingatan terhadap kaum adam,,, sangat memberi kesan.. semoga Allah sentiasa memberi idea yang dan ilmu yg tidak ternilai kepada ustaz, amin

     
  25. sitizaleha

    12 Jun 2013 at 10:28 am

    alhamdulillah……. semoga Allah melapangkan jiwa-jiwa hambaNya yg sedang diuji.
    terima kasih ustaz. saya ingin hantar artikel ini utk suami saya. semoga dpt dihayati bersama-sama.

     
  26. putri maisyarah

    13 Julai 2013 at 7:59 pm

    Sukron jazakallahu katsiron ustad ,..andai saja suami saya membaca ini ,…sungguh tersiksa batin saya tidak dimaafkannya ,…saya berharap dan berdoa keajaiban bulan ramadhan ini agar suami saya memaafkan saya akibat kata dan perlakuan yang kasar dari saya sehingga saya dan suami dapat mempertahankan pernikahan baru kami ,..mohon doanya ustad ,..#suamiku sayang ,maafkan istrimu #

     
  27. Mohd Rosdi Abdullah

    2 Disember 2013 at 12:47 am

    maaf sy ingin copy ustaz..izinkan sya copy ustaz

     

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,254 other followers

%d bloggers like this: