RSS

Sekilas tentang buku ‘ANGGUK GELENG’

26 Apr

417841_648179198531911_2145906958_nAlhamdulillah, segala puji bagi Allah yang Maha Bijaksana dalam mendidik manusia. Didikannya yang Maha Lembut sesuai dengan sifatNya yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Allah yang memaparkan seluruh kisah dengan sepenuh ibrah.

Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad SAW, Rasululullah yang menyampaikan kisah benar dengan cara yang benar, jujur dan berkesan. Baginda sangat hebat kerana berjaya mendidik manusia yang menjadi teladan sepanjang zaman. Rasulullah berkesah untuk mencipta sejarah.

Semoga dengan segala kerendahan hati buku ini ditulis…. 

Cerita dan anekdot dalam buku ‘Angguk Geleng’ ini akan menyebabkan kita mengangguk dan menggelengkan kepada. Tidak semestinya oleh kepala yang fizikal yang bergoyang tetapi fikiran dan hati yang bersifat maknawi itulah yang akan tunduk akur mengiyakan atau berpaling ke pinggir kerana menafikan. Lucu, tetapi ada sindiran tersirat. Pendek tetapi ada pengajaran yang luas dan dalam jika direnungkan. Inilah yang akan kita fahami, ingati dan renungi di sebalik puluhan cerita-cerita santai yang dipaparkan dalam buku ini.

Manusia tidak suka digesa apalagi dipaksa. Alpanya tidak boleh dikejutkan dengan kasar. Egonya tidak boleh diterjah dengan bersemuka. Manusia suka dipujuk, dibelai dan diajak kepada kebaikan dengan lunak dan kasih sayang. Biar dia tidak sedar betapa hati, fikiran dan emosinya ‘diundang’ ke daerah kebaikan menerusi pendekatan yang mudah, ceria tidak menekan. Inilah eksplorasi yang penuh aspirasi di sebalik pembikinan buku ini. Jangan ada tekanan. Usah ada yang rasa dipersendakan. Buku ini, insyaAllah akan menyebabkan kita rasa bersalah tanpa terasa dipersalahkan.

Manusia yang bijak diajak dengan hikmah – diberikan makna tersirat di sebalik yang tersurat. Dia akan lebih terasa apabila kebenaran disampaikan dengan penuh kebijaksanaan. Fikir tahap tingginya hanya akan dipuaskan apabila lapis-lapis pengajaran digabung secara bersepadu tanpa diganggu oleh ayat-ayat yang bersifat pinggiran. Biar yang padat dan tepat. Itu lebih menyentuh. Buat golongan ini tarbiah mesti disampaikan penuh hikmah. Jangan diasak dan ditolak mereka ini ke pintu kebenaran… tetapi mereka sendiri akan melangkah penuh rela apabila sanubari sudah ditawan oleh makna di sebalik cerita!

Manakala buat golongan sederhana, pendekatannya juga mesti sederhana. Tidak perlu falsafah dengan sentuhan berat untuk memikir makna yang tersirat… tetapi cukup dengan ‘mauizah’ – pengajaran-pengajaran yang jelas dan mudah. Bagi mereka ini kebaikan dan kebenaran itu sahaja sudah cukup sebagai tarikan. Tidak perlu bersilat kata dengan belitan makna yang tersembunyi. Kesederhanaan! Itulah lebih memikat dan mengikat. Katakan bulan itu bulan, jangan ditamsilkan lagi sebagai ‘lentera malam yang menyinari alam’. Jika demikian, buku ini juga ditulis buat mereka. Pengajaran di sebalik cerita-cerita dalam buku ini adalah jelas, ringkas tetapi sangat bernas.

Namun sentiasa ada manusia yang degil, keras kepala dan keras hati. Mereka yang tidak akan dapat dipuaskan hanya dengan ‘mauizah’ dan ‘hikmah’ tetapi perlukan ‘mujadalah’, yakni perdebatan yang bersifat meruntuhkan kebatilan dan membina kebenaran. Runtuhkan yang salah dengan hujah. Ranapkan yang batil dengan bukti rasional dan logik. Patahkan kedegilan dengan cara yang paling signifikan. Paparkan nilai-nilai saintifik, estetik dan autentik.

Mereka hanya akan menerima yang benar, baik dan betul, apabila pemikiran, rasa hati dan emosi mereka  dikalahkan secara total. Namun, jangan dicemari perdebatan itu dengan cacian dan cemuhan… nanti jahil menjadi degil! Keadaan itu lebih sukar ditangani. Dengan cerita-cerita yang logik, mengetuk dan ‘mencucuk’, golongan ini akan akur dan tunduk. Justeru, buku Angguk Geleng ini juga ditujukan buat golongan ini.

Itulah tiga golongan yang menjadi sasaran dalam usaha berdakwah dan mendidik masyarakat. Golongan yang bijak, sederhana dan degil mesti dihadapi dengan matlamat yang sama tetapi menerusi pendekatan yang berbeza. Kesalahan dalam berdakwah dan mendidik kerap berlaku apabila kita tidak mengenal ‘mad’u’ (golongan sasar). Kita khilaf dan tersilap apabila mendekati manusia yang berbeza dengan cara yang sama.

Justeru, tiga cara itulah yang ditunjukkan oleh Allah secara jelas melalui Al Quran. Inilah asas dan teras yang membina keberkesanan dakwah para Rasul dan Nabi. Firman Allah: “Dan serulah manusia ke jalan Tuhanmu dengan (hikmah) kebijaksanaan, dan (mauizah) pengajaran dan berdebatlah (mujadalah)  dengan mereka dengan cara yang baik.” An Nahl 125.

Tegasnya, Allah mendidik para Rasul, Nabi, ulama, murabbi,  dan para pendakwah untuk lebih versatil dalam mendidik manusia. Jangan terikat dengan satu cara. Usah menyempitkan dakwah dengan kaedah yang terlalu rigid dan konservatif. Perlu lebih kreatif dan inovatif.

Ayat Quran ini menjelaskan bahawa perlu ada cara yang berbeza untuk sasaran dakwah yang berbeda. Pertama, dengan hikmah, yakni dengan dalil atau hujah yang jelas  sehingga yang benar mengusir yang samar. Kaedah ini sesuai untuk mereka yang ingin mengetahui hakikat kebenaran khususnya golongan yang mampu berfikir para umara, pemikir, dan cendekiawan.

Kedua, dengan pengajaran yang baik (mau’izhah hasana)h, yakni peringatan atau nasihat yang baik – mampu menyentuh akal dan hati (perasaan). Kaedah ini sarat dengan nilai  targhib (memberi dorongan dan pujian) dan tarhib (memberi peringatan, celaan dan ancaman) ketika berhujah. Cara ini sesuai dengan golongan masyarakat umum. Mereka yang tahap berfikirnya sederhana ini perlu diajak secara fitrah justeru kecenderungan yang baik dan tulus.

Ketiga, dengan cara berdebat tetapi dengan sentuhan yang paling baik. Segala-galanya mesti laksanakan dengan lunak bukan cara yang keras dan kasar. Tegas tetapi jangan keras. Perlu dibuat secara profesional, jangan emosional. Carilah kebenaran bukan mencari kemenangan. Paparkan kebenaran itu milik bersama, bukan monopoli suatu pihak, kumpulan mahupun individu. Justeru,   jangan sekali-kali menyerang secara peribadi. Itu akan mengaibkan dan menimbul kemarahan. Kaedah ini sesuai bagi bagi golongan yang suka berdebat dan membantah, yang sudah tidak ‘lut’ lagi diseru secara  hikmah dan dan mauizatuh hasanah.

Buku Angguk Geleng seperti yang dijelaskan sebelumnya, cuba menelusuri tiga kaedah itu. Percubaan itu pastinya tidak akan tercapai, namun sudi apalah kiranya menilai hasrat dan percubaan. Sering diungkapkan, kita melakukan kebaikan bukan kerana kita sudah baik, tetapi itulah jalan atau usaha untuk kita menjadi orang yang baik. Mungkin kita tidak akan sampai kepada tujuan di hujung jalan, tetapi cukuplah kiranya sekadar mampu menempuh jalan. Meniru satu kebaikan, walaupun belum sempurna sudah dinalai sebagai satu kebaikan!

Subhanallah! Siapakah yang boleh menyaingi apatah lagi menandingi kisah-kisah di dalam Al Quran? Kisah yang indah penuh ibrah.   Pada kesah ada ibrah. Begitulah apabila kita membaca kesah-kesah yang hebat di dalam Al Quran. Ada pengajaran yang lebih luas dan dalam. Maknanya berlapis-lapis, tidak habis sekalipun telah dicungkil oleh para ulama dan hukama zaman berzaman.   Sentiasa ada pengajaran tersirat di sebalik yang tersurat, terutamanya pada kisah-kisah yang dipaparkan oleh Allah sendiri buat mendidik hambaNya. Al Quran tidak memperincikan. Cuma prinsip-prinsip asas dan teras sahaja yang difokuskan. Namun itu kaedah itu lebih berkesan  untuk dijadikan teladan dan sempadan pada insiden, figura dan masa dalam kisah yang disampaikan.

Begitulah hebatnya kaedah Allah mendidik. Sambil memaparkan cerita hati, akal dan emosi manusia  dicanai dengan penuh lunak, santai dan istiqamah. Pertembungan antara kebenaran dan kebatilan, balasan kepada kebaikan dan keburukan, penyelesaian kepada setiap kekusutan hidup, acap kali dibentangkan dalam bentuk penceritaan. Manusia suka dengan cerita. Begitulah fitrah insan yang dikenali sepenuhnya oleh Tuhan yang menciptaNya.  Sifat insan pelupa, degil, jahil, angkuh dan keluh kesah diubati oleh Al Quran melalui kisah.

Di dalam al-Quran ada kisah para nabi dan rasul, kisah individu-individu dan kumpulan-kumpulan seperti Maryam, Luqman, Zul Qarnain, Qarun, Ashab al-Kahfi, Ashab al-Fil, Ashab al-Ukhdud dan lain-lain. Al Quran juga memaparkan rahsia di sebalik peristiwa-peristiwa yang berlaku pada figura pada zaman Nabi s.a.w. seperti yang terjadi dalam peperangan Badar, Uhud, al-Ahzab, kisah Banu Quraizah, Bani al-Nadir, Zaid bin Harithah, Abu Lahab dan lain-lain.

Ya, kisah-kisah dalam Al Quran tidak akan dapat ditandingi kebenaran dan keindahannya. Itulah rujukan pertama dan utama. Rujuklah ke sana, selalu dan sentiasa. Dalam Al Quran itu tidak pernah dan tidak akan ada sedikit pun kecacatan apalagi kesalahan. Justeru, jika ada kebenaran dalam buku ini… anggukkanlah, semoga itu daripada Allah. Namun, pasti ada kesalahan dan kesilapan maka gelengkanlah, nafikan.  Buangkanlah yang keruh itu jauh-jauh insyaAllah, kebenaran pasti datang sekalipun tidak diundang!

dapatkan koleksi buku disini : buku911.com

 
5 Komen

Posted by di 26 April 2013 in Semasa

 

Label: , , ,

5 responses to “Sekilas tentang buku ‘ANGGUK GELENG’

  1. FTMZ

    26 April 2013 at 9:29 pm

    dah ada kat kedai buku ke ustaz

     
  2. Syira

    26 April 2013 at 9:38 pm

    Alhamdulillah ustaz.. Tak sabar nak memilikinya…

     
  3. Meriani Ismail

    29 April 2013 at 12:54 pm

    Macam mana nak dptkan buku ni ustaz….

     
  4. Shima

    30 April 2013 at 4:43 pm

    salam…dh terdapat di pasaran ke ustaz?

     
  5. li

    28 Ogos 2013 at 8:12 am

    ustaz, kalau diberi kepada adik2 umur 13 tahun sesuai kah?

     

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,099 other followers

%d bloggers like this: