RSS

Sekilas Tentang Buku ‘SERAUT KATA, SELAUT RASA’

26 Apr

417841_648179198531911_2145906958_nPuji dan puja kepada Allah SWT, Tuhan Pemilik kata-kata yang benar, indah dan tersusun.

Selawat dan Salam kepada Nabi Muhammad SAW yang apabila berkata-kata bukan dari nafsu tetapi segala-galanya berpandukan wahyu. Lalu, kata-katanya  sentiasa singkat dan tepat.

Buku kecil ini saya tulis dengan satu kesadaran bahawa untaian kata-kata ada kalanya sangat menggugah jiwa.Jika tepat masa dan maknanya, ia adalah penawar yang sangat mujarab untuk hati yang lelah. Hati yang mengamuk terpujuk menjadi sejuk.

Terbayang kembali segala ilmu dan didikan yang pernah didengar, dipelajari dan dialami. Akhirnya ujian itu dapat dihadapi dengan baik.

Itulah pengalaman saya setelah separuh abad melalui hidup ini. Pernah saya takut dengan perpisahan, lalu datang satu ungkapan memberi kekuatan. Ungkapan indah pada saat saya diuji itu ialah, “berpisah tidak gelisah, bertemu tidak jemu, jika cintamu kerana Allah!” Ketika terasa peritnya bermujahadah, singgah kata-kata ini yang sehingga kini menjadi pegangan, “mujahadah itu pahit kerana syurga itu manis.” Ketika terlalu sukar memaafkan, lahir bisikan kata di hati ini, “memaafkan orang lain seperti memaafkan diri mu sendiri.”

Sungguh, saya telah, sedang dan akan (insyaAllah), mendapat kekuatan daripada kata-kata yang sarat dengan kebenaran dan keindahan. Kata-kata itu terus tersimpan dalam ingatan, tercatat di dalam buku catatan lalu saya buka kembali apabila saat-saat saya diuji. Oleh sebab itu saya nukilkan (untuk diri dan orang lain juga):

“Kata-kata yang indah mengubat rasa yang gundah.
Kata-kata yang benar membuat fikiran menjadi lebih besar.
Bila keindahan dan kebenaran bergabung, kata-kata akan menjadi kuasa yang mampu mengubah jiwa!” 

Mudah-mudahan hakikat inilah yang pernah ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya: Telah menceritakan kepada kami Abdullah bin Yusuf telah mengabarkan kepada kami Malik dari Zaid bin Aslam dari Abdullah bin Umar RA bahwa dua orang dari penduduk Masyriq datang kepadanya, lalu keduanya berkhutbah hingga orang-orang hairan dengan penjelasannya, lantas Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya dalam penjelasan (bayan) itu mengandung sihir, atau sesungguhnya sebahagian bayan (penjelasan) itu mengandung sihir.” (Sahih Bukhari)

Ini merupakan satu metafora untuk menggambarkan betapa kuatnya pengaruh kata-kata (pengucapan yang indah dan benar)  kepada diri seseorang manusia. Kata-kata mempunyai ‘rohnya’ yang tersendiri. Jika lahir dari hati, insyaAllah akan jatuh ke hati jua. Ia mempunyai kuasa merubah apa yang dirasa oleh hati dan yang difikirkan oleh akal.

Fikiran yang berkeladak boleh menjadi jernih apabila menerima kata-kata yang  memberi panduan dan pengajaran. Gerak yang lesu, kembali laju apabila mendengar kata-kata yang bersemangat. Hati yang membara menjadi lega apabila dipujuk oleh kata-kata sedingin salju. Lurus kata-kata itu adalah bayangan tulusnya jiwa.

Justeru, iman dan kata-kata yang  baik sentiasa sinonim.   Hadis diriwayatkan oleh Ibnu Abid-Dunya, Rasulullah bermaksud : “Tidak akan lurus iman seseorang hamba, sehingga lurus pula hatinya, dan tidak akan lurus hatinya sehingga lurus pula lidahnya. Dan seorang hamba tidak akan masuk syurga selagi tetangganya belum aman daripada kejahatannya.”

Walau bagaimana pun, madah, ungkapan atau apa sahaja gubahan kata-kata tidak akan dapat menyaingi apatah lagi menandingi kebenaran dan keindahan Al Quran dan hadis Rasulullah SAW. Malah kata-kata yang benar dan indah itu, jika ditelusuri pasti susur galurnya berpunca dari kedua sumber itu jua. “Hidup adalah untuk diuji,” kata ahli Hikmah sebenarnya hanya mengulangi apa yang telah ditegaskan oleh Allah melalui firmanNya:” Dijadikan mati dan hidup untuk kamu untuk diuji siapakah yang terbaik amalannya.” Al Mulk: 1

Diceritakan para imam dan ulama yang begitu arif tentang Al Quran dan Sunah itu pun turut menghasilkan syair dan madah. Bukan menafikan keunggulan firman dan sabda, namun siapakah yang dapat menahan gejolak rasa yang akhirnya meletuskan kata-kata. Melalui pengalamannya berdepan dengan kerenah manusia misalnya, Imam Safie RHM pernah bermadah: “Aku mampu berhujah dengan 10 orang yang berilmu tetapi aku pasti kalah dengan seorang yang jahil, kerana orang yang jahil itu tidak pernah faham landasan ilmu”.

Saya bukanlah individu yang hebat seperti para Syeikh, ulama dan guru, namun saya hanya seorang daie yang ingin mengikut jejak langkah mereka. Tidak berdaya menapak, saya cuma upaya merangkak. Lalu terhasillah buku ini: Seraut Kata, Selaut Rasa. Satu tulisan kecil yang bercita-cita besar untuk membawa diri sendiri dan masyarakat agar lebih hampir kepada Allah – sumber segala ketenangan, kebahagiaan dan kejayaan.

Walaupun harapan saya begitu menggunung untuk memberi kebaikan dan ketenangan, namun pasti ada kesalahan dan kekurangan dalam 313 ungkapan kata-kata ini. Apabila anda saya menemui kesalahan dan kekurangan itu nanti, renungilah kata-kata daripada   Saidina Umar r.a ini: “Janganlah sesekali kamu membuat andaian yang tidak baik terhadap kata-kata yang keluar dari mulut saudara kamu, sedangkan kamu mempunyai jalan untuk menjadikan kata-kata tersebut difahami secara baik.”

dapatkan koleksi buku disini : buku911.com

 
14 Komen

Posted by di 26 April 2013 in Uncategorized

 

Label: , , ,

14 responses to “Sekilas Tentang Buku ‘SERAUT KATA, SELAUT RASA’

  1. Abdilah Ahmad Mudus

    27 April 2013 at 12:38 am

    Bagaimana cara kita hidup di dunia ini berkadar terus dengan tahap IMAN kita…

     
  2. Atmarasa

    29 April 2013 at 11:30 am

    InsyaAllah Ust, saya akan cuba mendapatkan kedua-dua buku ini dalam usaha memperbaiki diri untuk menjadi lebih baik dari masa ke semasa. Doakan saya Ust……

     
  3. Cik Iman

    29 April 2013 at 12:13 pm

    Tahniah Buya..:)

     
  4. norhafizah semail

    30 April 2013 at 10:11 am

    Terima kasih ustaz, nasihat dan tulisan ustaz membantu saya lebih faham tentang ujian hidup ini dan erti kehidupan.

     
  5. syed hafiz

    30 April 2013 at 11:10 am

    terima kasih ustaz..

     
  6. wirda nawawi

    30 April 2013 at 3:49 pm

    Sesungguhnya saya menemui sinar dalam hidup saya dengan penulisan ustaz… Kata-kata ustaz banyak bagi semangat untuk saya meneruskan perjuangan dalam hidup… Terima kasih ustaz…

     
  7. zuraisyah

    30 April 2013 at 4:28 pm

    Alhamdulillah saya dah dapatkan kedua2 buku ustaz ni. Saya meminati semua karya ustaz. Dan hampir kesemua coretan ustaz terkesan dihati saya. Semoga ustaz dan keluarga sentiasa dirahmati Allah

     
  8. masitah

    1 Mei 2013 at 11:20 am

    salam,ustaz dah ada dipasaran la ye buku ni?

     
  9. umiesolehah

    1 Mei 2013 at 7:52 pm

    terima kasih ust. kata2 yg trsusn rapi. mmbuat jwa kacau mnjdi tenang..benar dn tepat. lapangan fikiran ku mnjdi luas

     
  10. gentarasa

    2 Mei 2013 at 12:21 pm

    Dapatkan semua buku baru dan lama di sini : buku911.com

     
  11. 'Izzati

    2 Mei 2013 at 12:28 pm

    Salam wbt,
    Alhamdulillah dah dapatkan kedua2 buku ustaz. Jumlah 11 buku ustaz yang saya ada :) JazakaAllah khairan kathira atas tanda tangan dan doa ustaz semalam. Moga dipermudahkan urusan dalam rawatan. :)

     
  12. Faizah

    10 Mei 2013 at 12:47 am

    syukran ustaz..karya ustaz sgt menarik dan menyentuh hati sesiapa yg membacanye..alhmdllh,,bku ni telah membuka mata sahabat2 ana utk mmbca karya islamik dan mendalami jiwa islam yg sebenar :)

     
  13. ziezie

    20 Mei 2013 at 2:59 pm

    salam ustaz…ingin mengucapkan ribuan terimakasih atas segala tulisan ustaz..moga2 yang dpt mencair hati yg keras..dpt mendingin hati yg panas..subhanallah…

     
  14. cilipadi

    7 Julai 2013 at 5:51 am

    Masya Allah…tepat sekali hadiah drp Protaz muncul…seperti kebiasaan apabila saya tercari2 alhamdulillah saya dilorongkanNya untuk membaca catatan Protaz….nak cari buku ni.Sedang hadapi hati yang keras,hati yang panas…something evil mengikut tulisan psychologist yang terkemuka.Ilmu ada,harap boleh jadi hati emas…Yang jahil,usaha diteruskan untuk mendidik…kejahilan tidak boleh jadi alasan di sana nanti.Terima kasih Protaz….

     

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,202 other followers

%d bloggers like this: