RSS

JANGAN BUNUH HANG NADIM NANTI MUNCUL HANG JEBAT!

25 Jun

hang jebat“Kaedah pengurusan saya ‘simple’. Tegas dan jelas. Yang bekerja dengan baik berikan ganjaran dan yang buat masalah berikan hukuman. Hasilnya… awak tengok syarikat saya sekarang,” kata seorang pengurus sebuah syarikat pembekal makanan halal kepada saya sewaktu kami menghadiri kursus pengurusan dan kepimpinan.

Saya tersenyum, membuka laluan untuknya terus berkata-kata. Sejak dari awal perbualannya sehinggalah sekarang, dia sentiasa mendominasi perbualan.

“Lihat berapa banyak anugerah kecemerlangan yang saya berikan untuk staf. Mereka tentu berpuas hati dan akan memberi pulangan yang tinggi untuk syarikat nanti. Mereka untung dan saya sebagai pemilik syarikat untung. Sama-sama untung.”

“Yang buat masalah, mereka terima akibatnya!”

Saya terus diam. Mencari ruang untuk mencelah yang sejak tadi belum diberikan.

“Berapa ramai pekerja yang kekal sejak awal penubuhan syarikat?” tanya saya mengalih sedikit hala tuju perbualan.

“Bilangan jari. Ramai pekerja baru. Saya tidak bimbang… saya punya kemampuan kewangan untuk mendapat tenaga-tenaga baru. Yang berhenti atau diberhentikan mudah sahaja mencari gantinya.”

“Itu petanda yang tidak berapa elok, “ jolok saya tiba-tiba.

“Mengapa?”

“Jika pekerja kerap bertukar ganti… itu menunjukkan syarikat awak belum berjaya, “ kata saya berlapik.

“Tapi syarikat sentiasa buat keuntungan berganda setiap tahun!”

Saya senyum. Betapa dia hanya fokus kepada keuntungan. Pada hal ukuran pencapaian sesebuah berdasarkan ‘Balance Score Card’ syarikat ada empat – tercapai objektif kewangan, kepuasan pelanggan, proses kerja dalaman yang baik dan faktor pembelajaran dan perkembangan pada warga kerja.

“Awak hanya fokus kepada telur emas tetapi tidak menjaga angsanya,” kilas saya tiba-tiba.

“Maksud awak?”

“Tentu awak pernah dengan cerita angsa bertelur emas. Seekor angsa bertelur emas sebiji sehari. Tuan punya tidak sabar menunggu. Disangkanya dalam perut angsa ada banyak telur lalu angsa itu dibunuh dan dibelah perutnya…”

“Awak tahu apa hasilnya pada pemilik angsa? Telur emas tidak dapat dan angsanya mati. Rugi berganda. Begitulah akibatnya jika hanya fokus kepada produktiviti dan kualiti kerja tetapi menafikan perasaan, jiwa dan kebajikan pekerja,” tambah saya dengan cepat agar penjelasan saya tidak dipotong.

Dahinya berkerut. Nampaknya dia mula berfikir dan cuba memahami input yang saya cuba sampaikan.

“Tetapi saya masih mempunyai beberapa orang pekerja yang setia. Mereka sangat patuh dan sentiasa memberi kerjasama…”

“Awak perlu bijak membezakan antara pekerja yang setia dan pengampu. Di keliling awak kadangkala hanya seorang pengampu bukan  yang bijak dan kritis, ” celah saya agak tegas.

“Saya tidak suka orang yang kritis. Bagi saya mereka adalah duri dalam daging. Orang yang menikam kita dari belakang. Mereka seperti ini saya cantas dengan cepat.”

“Itu hak awak. Tetapi syarikat jangan dilihat sebagai organisasi membuat keuntungan sahaja tetapi perlu dijadikan sebagai institusi pendidikan. Kita perlu memberi ilmu, mendidik, mendengar, menghargai,  dan jika memimpin pekerja,” kata saya.

“Antara kebijaksanaan dan kesetiaan, saya memilih kesetiaan,” jawabnya.

“Tanpa perhubungan yang erat dan kasih sayang sejati awak akan hilang kedua-duanya…”

“Saya kira saya telah mendapatnya sekarang,” ucapnya sambil tersenyum. Dia kelihatan begitu yakin.

Saya menggelengkan kepala perlahan-lahan.

“Awak hanya akan dapat pengampu yang bekerja tanpa kreativiti dan inovasi. Mereka hanya hebat membuat kerja rutin.  Atau pekerja yang takut dan tertekan dalam diam yang  kreativitinya tersekat tetapi belum mendapat tempat lain untuk meninggalkan syarikat!” tusuk saya berani.

Dia menggelengkan kepala. Tidak bersetuju.

“Saya percaya kepada ketegasan. Kita perlu jelas bahawa syarikat bukan sekolah berteraskan pendidikan. Syarikat adalah sebuah organisasi bermatlamatkan keuntungan. Awak tidak faham!”

“Itu betul jika dilihat pada ukuran yang biasa. Tetapi awak juga yang menegaskan sejak awal tadi bahawa awak hendak mengurus dan mentadbir syarikat secara Islam. Islam melihat pekerja sebagai matlamat, keuntungan sebagai alat. Berbeza dengan ukuran biasa yang melihat pekerja sebagai alat untuk mendapat keuntungan.”

“Pekerja sebagai matlamat? Maaf, saya tidak faham.”

“Yang paling berharga dalam mana-mana institusi ialah manusianya. Itulah harta yang paling bernilai. Sama seperti sebuah famili… yang bernilai bukan rumah, kereta dan set perabotnya tetapi manusianya, yakni suami, isteri dan anak-anak. Begitulah dalam sebuah syarikat Islamik,  yang paling berharga ialah pekerja bukan yang lain.”

“Habis keuntungan tidak penting?”

“Awak jaga angsanya, insyaAllah ia akan bertelur emas setiap hari,” jawab saya pendek.

“Salahkah saya memberi hukuman?”

“Tidak salah. Mana-mana organisasi mesti ada peraturannya. Tetapi hukuman adalah jalan akhir setelah proses perhubungan, penerangan, perbincangan, penjelasan dan komunikasi yang telus dan tulus dilaksanakan.”

“Saya tidak masa untuk itu… saya sibuk mengurus hal yang lain.”

“Awak seorang pemimpin atau seorang pengurus?” tanya saya.

“Saya pemimpin syarikat ini!”

“Pemimpin perlu fokus kepada manusia. Hanya pengurus yang fokus kepada sistem. Pemimpin perlu mendekati, memberi ruang dan peluang untuk pekerja didengari, bermesra dan menyayangi pekerja. Paling penting, kasih sayang. Kita boleh menyayangi  tanpa memimpin tetapi kita tidak boleh memimpin tanpa menyayangi.”

“Jadi tak perlu hukuman?”

“Peraturan ditambah undang-undang tetapi tanpa kasih sayang hanya akan mencetuskan pemberontakan!” jawab saya jelas.

“Pemberontakan telah saya padamkan…”

“Yang nampak boleh awak padamkan. Tetapi bagaimana yang terpendam?”

“Yang terpendam biarkanlah. Itu hak mereka. Asal jangan buat tidak senonoh dalam syarikat…”

Saya senyum. Seronok berbincang dengan orang yang berbeza ‘school of thought’ begitu. Kita akan dapat corak fikiran yang berbeza.

“Yang terpendam sebenarnya lebih berbahaya. Mereka akan membatas daya  kreativiti dan produktiviti. Mereka akan bekerja di bawah batas kemampuan dan kebijaksanaan. Melaksanakan bekerja tanpa keghairahan dan semangat berpasukan yang tinggi. Nak mengampu mereka tak tega, nak memberi pandangan takut pula  jadi Hang Nadim.”

“Hang Nadim?”

“Hang Nadim adalah kanak-kanak bijak dalam cerita Singapura dilanggar todak. Dia boleh berfikir secara kreatif. Think outside the box, kata  orang sekarang. Daripada berkubukan betis baik berkubukan batang pisang. Itu pemikiran strategiknya. Akhirnya, Singapura selamat tetapi Hang Nadim tidak selamat.”

“ Apa terjadi kepada Hang Nadim?”

“Dibunuh raja. Kalau masih kanak-kanak sudah begitu bijak, apalagi kalau sudah dewasa nanti, fikir raja. Aku boleh dilawannya, lalu Hang Nadim dihukum bunuh!” kata saya.

Mahu sahaja saya menyoal, berapa ramai ‘Hang Nadim’ yang telah awak ‘bunuh’ dalam syarikat awak? Setelah habis manis, sepahnya dibuang. Namun, tidak tergamak saya bertanya demikian. Tidak berakhlak.

“Tetapi saya tidak begitu. Saya hanya menghukum yang salah, bukan yang bijak.”

“Tidak salah menghukum tetapi pemimpin perlu mendidik dahulu sebelum menghukum. Tanya dan dengarlah penjelasannya. Jangan dengar daripada pengampu. Jika kesalahan dalam bentuk fizikal dan material, dapat hujah nyata atau bukti-bukti yang tertulis. Jika kesalahan dalam bentuk kata-kata dan sikap datangkan saksi yang adil. Jangan bunuh Hang Nadim, nanti muncul Hang Jebat ”

“Wah macam mahkamah pula. Tadi macam sekolah.”

“Seorang pemimpin lebih rela disalahkan kerana tidak menghukum daripada tersalah menjatuhkan hukuman. Takutilah doa orang yang zalim. Orang yang bersalah sekalipun mesti diberi hak diadili dengan saksama sebelum dijatuhkan hukuman!”

“Saya bukan seorang pemimpin negara… saya hanya pemimpin syarikat perniagaan.”

“Sekalipun pemimpin di skala yang paling kecil, semua pemimpin akan ditanya tentang kepimpinannya. Hendak dengar cerita burung dan ulat?”

Dia memalingkan wajahnya. Tetapi saya terus berkata, “semasa burung hidup dia memakan ulat tetapi apabila burung mati, dia pula yang dimakan ulat. Kita tidak selamanya di atas… walaupun sekarang kita terus menaik ke atas. Mungkin itu hanya untuk meninggikan tempat kita jatuh. Lebih tinggi, lebih sakit nanti. Berhati-hatilah…”

Dia berlalu pergi. Tiba-tiba, tok, tok, tok, kedengaran ketukan di pintu. Saya terjaga. Isteri menyapa, “tertidur kerana baca cerita Hang Nadim?” Saya terjaga sambil merenung buku cerita lama di tangan. Subhanallah, saya berfikir atau tertidur. Atau berfikir dalam tidur tentang… Hang Nadim!

 
25 Komen

Posted by di 25 Jun 2013 in Kemudi Hati

 

25 responses to “JANGAN BUNUH HANG NADIM NANTI MUNCUL HANG JEBAT!

  1. Noraishah Aishah

    25 Jun 2013 at 10:34 pm

    Tahniah ustaz x sabar menanti rentetan karya seterusnya….

     
  2. Abdilah Ahmad Mudus

    26 Jun 2013 at 1:06 am

    Pimpin diri kita dengan SOLAT… solat jika di dirikan dengan seikhlas-ikhlas dan sebaik-baiknya pasti boleh MENEGAKKAN kita…solat jika di tinggalkan pasti akan MERUNTUHKAN kita…oleh itu mari kita SOLAT sebelum kita DISOLATKAN orang…

     
  3. yusoffnor

    26 Jun 2013 at 8:41 am

    Allahhuakbar…terima kasih ustaz,,,pesanan dan ingatan untuk kita, agar tidak mudah lupa. siapalah kita di alam yang luas ciptaanNYA ini..”.bantu lah kami untuk sentiasa mengingati MU ya ALLAH..” amiin…

     
  4. anaina

    26 Jun 2013 at 9:19 am

    subhanallah.. manis dan berisi.. ya Hang Nadim..

     
  5. Larna

    26 Jun 2013 at 10:37 am

    Terima kasih tuan. saya memang mengikuti penulisan tuan.
    dan sebetulnya makin besar sesebuah syarikat memang makin susah untuk dapat lihat nilai2 rohani ini diterapkan melainkan fokus kepada keuntungan semata.
    seeloknya keseimbangan ini dimulakan dari permulaan sesebuah perniagaan agar menjadi satu tabiat/culture dalam sesebuah organisasi itu.

     
  6. Azlima Omar

    26 Jun 2013 at 11:59 am

    ustaz minta share article ini…. terima kasih….

     
  7. Nor Melati Ja'afar

    26 Jun 2013 at 12:52 pm

    Alhamdulillah.. Dari lirik lagu hingga ke setiap karya penulisan. Sering tidak pernah tidak, akan dapat buah tangan ilmu yang menyegarkan minda & jiwa. Seni bahasa & penulisan yg begitu baik & “engaging”. Mengingatkan saya kepada seorang pendita bahasa tanahair iaitu Dr Muhd Ariff Ahmad.. Rare gems indeed..

     
  8. Adawiyah

    26 Jun 2013 at 1:44 pm

    Assalamualaikum Ustaz,
    Saya tersentuh dengan senario yg diceritakan ini kerana ia berlaku dalam syarikat tmp saya bekerja. Pekerja kami sering tukar ganti cuma kebanyakannya menarik diri dengan alasan tersendiri.Mungkinkah pengurusan kami perlu kaji selidik agar wujud suasana bekerja yang Islamik diterapkan demi ibadah dunia & akhirat..moga Allah beri keberkatan dan petunjuk kepada kami

     
  9. MAH

    26 Jun 2013 at 3:05 pm

    Salam Sejahtera Ustaz,

    Bagi saya kesetiaan kepada sesuatu organisasi/syarikat ada yang disalah tafsir. Seseorang pekerja yang bekerja lama dengan sesebuah organisasi/syarikat tidak semestinya dia setia sebab:

    a. Dia tidak dapat tawaran gaji lebih lumayan di tempat lain
    b. Tempat lain tidak beminat ambil dia bekerja

     
  10. aji mus

    26 Jun 2013 at 4:00 pm

    Assalamualaikum ustaz,
    Soalan saya….macam mana nak jadi seorang pemimpin yang tegas tapi dalam kasih sayang?
    Jazakallah ustaz….

    …….juga x sabar ‘menjiwai’ karya ustaz seterusnya…

     
  11. ibtisammohamad

    27 Jun 2013 at 6:34 am

    Terima kasih Ustaz…saya pun masih berfikir tentang Hang Nadim…semenjak PRU 13…Ramai orang dengkikan Hang Nadim…Pemimpin yang kuat tetapi ikhlas mesti suka Hang Nadim…lagi ramai lagi bagus….barisan penasihat yang bijak akan menguatkan Barisan/organisasi.Hanya pemimpin yang lemah atau tak-yakin-diri takutkan Hang Nadim…takut rampasan kuasa…

     
  12. saira

    27 Jun 2013 at 11:21 am

    saya selalu mengikuti program Ustaz dalam Mukmin Professional setiap petang Isnin di Ikim.. tp skrg dah takda ladi dgr kata-kata puitis kata-kata yg sgt berguna pada saya… Tp syukur, Ustaz dah ada Blog sendiri skrg..

     
  13. Ummu Amni

    27 Jun 2013 at 11:34 am

    Subhanallah….di mana2 organisasi senario ini pasti wujud selagi kita bernama pekerja….buat baik berpada2 buat jahat jgn sekali…syukran ya ustaz

     
  14. Siti Aishah Abu Bakar

    27 Jun 2013 at 12:17 pm

    Hasbunallah wa ni’mal wakeel…… setiap manusia itu tetap ciptaan Allah. Walau apa jua pangkat, darjat dan gelaran yang dipanggil, dia tetap hamba kepada PenciptaNya…. Astaghfirullah…….Ya Allah…. Jom selawat….

     
  15. Wan Zayuhisham

    27 Jun 2013 at 11:41 pm

    Sentiasa menanti dan mendapat manfaat setiap kali bertandang di sini. Alhamdulillah.

     
  16. syed hafiz

    28 Jun 2013 at 8:46 am

    timakasih ustaz..seronok bc sbb beri motivasi pd diri yg slalu leka..

     
  17. mknizam

    30 Jun 2013 at 1:45 am

    Terima kasih ustaz.. Artikel yg hadir tepat pada masanya.

     
  18. rodziah haron

    1 Julai 2013 at 12:22 pm

    Utk memimpin kita prlu dipimpin jugak iaitu dgn berilmu..tanpa ilmu samada ilmu dunia n akhirat kita akan tersasar..betul ke ustaz???

     
  19. ahmad luthfi

    2 Julai 2013 at 9:12 am

    jazakallah khair kathira ustaz.

    maaf, saya bukan sengaja mencari kesalahan, tetapi terperasan satu kesalahan =)

    “Seorang pemimpin lebih rela disalahkan kerana tidak menghukum daripada tersalah menjatuhkan hukuman. Takutilah doa orang yang ZALIM. Orang yang bersalah sekalipun mesti diberi hak diadili dengan saksama sebelum dijatuhkan hukuman!”

    sepatutnya,

    “Seorang pemimpin lebih rela disalahkan kerana tidak menghukum daripada tersalah menjatuhkan hukuman. Takutilah doa orang yang DIZALIMI. Orang yang bersalah sekalipun mesti diberi hak diadili dengan saksama sebelum dijatuhkan hukuman!”

    semata-mata khuatir berlaku salah faham dan mencantikkan kembali tulisan ustaz yang sememangnya cantik =)

     
  20. Zuraina binti Ithnin

    4 Julai 2013 at 1:21 pm

    assalamualaikum.. ustaz. terima kasih.. membuka mata dan pemikiran saya… itulah yg selalu saya alami :

    “Yang terpendam sebenarnya lebih berbahaya. Mereka akan membatas daya kreativiti dan produktiviti. Mereka akan bekerja di bawah batas kemampuan dan kebijaksanaan. Melaksanakan bekerja tanpa keghairahan dan semangat berpasukan yang tinggi. Nak mengampu mereka tak tega, nak memberi pandangan takut pula jadi Hang Nadim.”…

    tapi apa pun Allah s.w.t tahu yg terbaik utk kami… terima kasih ustz…

     
  21. Hendrawati MS

    8 Julai 2013 at 7:10 pm

    Reblogged this on The Druggist and commented:
    Sangat indah cara penterjemahan rasanya…

     
  22. M. Shakariza

    11 Julai 2013 at 1:19 am

    Trima Kasih Ustaz, nurkilan ini menjernih pandangan yang kabur ini.. biar ia jd benteng bg sebuah harga diri. Dari nurkilan ini ternya saya memiliki seorg sahabat bernama ‘Hang Nadim’. InsyaAllah, belajar dari pengalaman org lain, kita lebih cemerlang seperti saranan Ust bukan?!

     
  23. nurizzah a. jamil

    12 Julai 2013 at 11:11 am

    Saya sgt minat dengan hasil tulisan tuan. Setiap yang tuan tulis seakan meresap dan hati menjadi ‘rasa’ dgn apa yg ditulis. Moga ALLAH sentiasa terus memberi tuan ilham dn ilmu untuk terus berkongsi dgn kami ….Jazakallah…

     
  24. hurunain

    21 Julai 2013 at 11:18 pm

    Terima kasih atas kupasan yg sggh menarik ini…saya juga sedang mhadapi situasi yg sama sbg seorg pekerja kpd seorg majikan spt yg diceritakan di atas. Namun tidak lama lg mungkin sy juga akn mjd seorg pemimpin.hny 1 yg kita perlu tahu..pekerja yg bmasalah pasti sbnrnya telah terluka dgn majikan @ tmpt dia bekerja..sbg seorg majikan,wajib kita menyelidiki dahulu punca sebenar seterusnya mengambil pendekatan kasih sayang. InsyaAllah, kaedah ini akan saya gunakan sekiranya mjd seorg ketua kelak.ameen…

     
  25. kamal arif

    28 Julai 2013 at 5:34 pm

    Di tempat kerja sy, prestasi kerja dinilai bdasarkan hubungan antara ketua, hanya sedikit peratusnya dinilai mngikut idea, hasil kerja, displin dan sbagainya..

    terima kasih, ilmu yg ust kongsikan amat bguna..

     

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,100 other followers

%d bloggers like this: