Looking for Something?

SEMUANYA SOAL HATI

Author:

cvr soal hati.inddKetika berhias diri di hadapan cermin, Rasulullah s.a.w. menganjurkan kita berdoa: “Ya Allah sempurnakan akhlakku sepertimana Engkau sempurnakan kejadianku.” Secara tidak langsung doa ini mengajar kita bahawa nilai akhlak jauh lebih penting daripada rupa lahir kita.

Ini sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w.: “Allah tidak memandang rupa lahir kamu dan harta kekayaan kamu tetapi Allah memandang hati dan amalan kamu.” (Riwayat Muslim dan Ahmad).

Ini menunjukkan nilai seorang manusia bukan pada wajah lahirnya tetapi pada wajah batinnya.

Ketika manusia jahiliah tenggelam dengan pelbagai kenikmatan dunia, Rasulullah s.a.w. menyampaikan peringatan dan amaran daripada Allah bahawa kehidupan dunia itu tiada apa-apa nilai melainkan mata benda yang menipu daya. Firman Allah yang bermaksud: “Tidaklah kehidupan dunia itu melainkan mata benda yang menipu daya.” (Surah al-Hadid 57:20)

Rasulullah juga memperkukuhkan peringatan itu dengan satu metafora melalui sabdanya yang bermaksud: “Jika kehidupan dunia itu lebih bernilai di sisi Allah melebihi nilai sehelai sayap nyamuk, maka Allah tidak akan memberi minum orang kafir walaupun seteguk air.” (Riwayat Ibn Majah no. 4110)

Hasilnya, orang Islam dapat memanfaatkan kebaikan dunia untuk kebaikan akhirat. Malah dunia itu penting kerana adanya akhirat. Jika semasa orang Islam berasa tertekan dengan kehebatan dan keangkuhan orang kafir yang menindas mereka, Allah memujuk mereka melalui firman-Nya yang bermaksud: “Jangan kamu berasa hina dan jangan kamu berasa takut, kamu adalah tinggi jika kamu beriman.” (Surah Ali ‘Imran 3: 139)

Bahkan Allah menegaskan tidak ada bezanya nilai darjat orang Arab dengan orang ajam (bukan Arab) melainkan taqwa yang dimiliknya. Firman Allah, mafhumnya: “Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi kamu adalah orang yang bertaqwa.” (Surah al-Hujurat 49: 13)

Oleh sebab itu, Sayidina Bilal yang berkulit hitam, berbibir tebal dan berambut kerinting, tidak berasa hina diri (inferiority complex) kerana Allah dan Rasulullah telah memuliakannya dengan iman dan taqwa. Dengan penuh syukur dia berkata, “Dulu aku hamba, Allah telah bebaskan aku dengan Islam. Dulu aku hina, Allah telah muliakan aku dengan iman.”

 

Justeru, sering diungkapkan; tidak mengapa jika kakimu yang sakit, asalkan hatimu sihat. Dengan kaki yang sakit, kita mungkin tidak boleh berjalan. Tetapi, dengan hati yang sakit, kita akan kehilangan tujuan dan harapan. Betapa ramai orang yang mempunyai fizikal yang sihat, tetapi apabila hatinya sakit, hidupnya melarat. Dia menjadi insan yang miskin dalam limpahan kekayaan. Hidup derita walaupun dikelilingi keseronokan.

Allah Yang Maha Adil tidak meletakkan kebahagiaan kepada rupa, harta, kuasa dan nama. Allah tidak zalim kerana meletakkan kebahagiaan pada ketenangan “hati emas” – hati yang mampu dimiliki oleh si miskin atau si kaya, si buruk atau si jelita dan hamba atau raja.

Di mana akan kita temui hati emas seperti itu? Hati itu ditempa dan disesah oleh mujahadah di jalan Allah. Umpama intan yang dipanaskan oleh haba dengan kepanasan berganda atau emas yang disepuh oleh api yang menyala-nyala, maka begitulah hati manusia. Hanya akan bercahaya oleh siraman keringat, deraian air mata dan aliran darah oleh insan yang bermujahadah di jalan-Nya.

Apabila tiba saat diuji, jangan lari tetapi hadapi. Walau pedih, sedih dan tersisih, jangan mengelak. Bersedia dan hadapi. Terima hakikat, jika hidup sudah terhenyak ke dasar yang paling bawah, jangan berpura-pura lagi. Jangan terus bermuka-muka. Namun, terimalah hakikat supaya mampu bangun kembali dengan cepat! Sering dikatakan oleh ahli kebijaksanaan, “jangan dipinta diringankan ujian, tetapi pintalah dikuatkan hati untuk menghadapinya!”

Apabila sudah tiba di dasar paling bawah, sudah tentu tidak ada lagi tempat untuk jatuh. Maka pada ketika itulah peribadi akan naik semula ke atas kerana kita sudah membayar “yuran” untuk kejayaan. Kita sudah merasai kepahitan pada ubat yang ditelan. Itulah ubat hati, yang pahit, pedih dan menyakitkan tetapi itulah ubat dan penawar yang akan melegakan.

Saat diuji itulah segala mazmumah akan dimamah. Ego, bangga, rendah diri, kecil hati, kecut, penakut sudah “dibakar” dalam relau mihnah Allah. Dan saat itulah kita layak menerima anugerah. Yakni, bingkisan ijazah daripada “universiti mujahadah”. Tiada gelaran, tidak ada sanjungan… hadiahnya hanya; hati emas!

Memburu selain-Nya hanya akan mengecewakan. Pergilah setinggi puncak karier, rebutlah setinggi nama, carilah sebanyak harta, tanpa hati emas, kau hanya akan meninggikan tempat jatuh. “Berjaya” tanpa keperibadian yang kukuh hanya mendedahkan diri kepada lebih banyak stres dan kebosanan.

Tidak ada jalan dan ikhtiar lagi kecuali kembali kepada Allah. Perkukuhkan solat lima waktu dengan sunat rawatib. Luangkan dan lapangkan masa dengan membaca al-Quran dan berselawat. Kurangkan makan dan lisan. Bercakap hanya yang baik atau diam.

Uzlahkan diri jika terasa mata dan telinga terlalu liar untuk ditundukkan. Tersenyumlah dengan penghinaan. Redalah dengan kesepian. Jangan takut kepada kelicikan, tipu daya dan kezaliman.

Hayatilah sebuah sabda; jika kita menjaga Allah, Allah akan menjaga kita. Tidak mengapa jika dipinggirkan, malah dilupakan… kerana selamanya orang lain tidak akan tahu, betapa lapang dan bahagianya apabila memiliki hati emas itu!

 

Inilah persoalan yang mendasar buku “Semuanya Soal Hati” yang sedang anda baca sekarang. Ia mengajak kita semua, bersama-sama melihat, menghitung dan menyelesaikan soal hati. Dalam dunia materialistik dan individualistik ini, soal hati tidak mendapat tumpuan yang sewajarnya. Ini kerana soal hati adalah soal yang maknawi – tidak ketara dan tidak dapat dipandang dengan mata. Pada hal perkara-perkara yang tidak nampak itulah yang lebih dominan dan berkuasa dibandingkan soal-soal lahiriah. Kerana soal hatilah yang menguasai dan mendasari semua perlakuan manusia.

 

Kedatangan Rasulullah SAW itu untuk menyempurnakan akhlak manusia.  Akhlak itu juga hakikatnya dibentuk oleh kebersihan hati. Justeru, Allah berfirman:

“Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad, s.aw.) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya),dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (Pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.” Al Jum’ah:2

 

Melalui buku ini insyaAllah, kita akan sama-sama menyorot mengapakah soal hati ini sangat penting… Apakah peranan hati dalam kehidupan ini? Apa yang sepatutnya disemai dan dituai di dalam hati orang mukmin.? Dan apakah pula racun atau sifat-sifat mazmumah yang boleh mengotori dan mematikan hati.  InsyaAllah, semuanya ditulis dengan bahasa yang mudah. Mudah-mudahan dapat dihadamkan dengan pantas oleh akal, dapat dirasai dengan mendalam oleh hati, dan dapat pula dilaksanakan dengan tangkas oleh seluruh pancaindera.

 

Buku ini bukanlah kitab tasawuf yang membincangkan soal hati secara terperinci. Namun, soal hati ini cuba diungkapkan dengan bahasa yang mudah, pendekatan yang santai dan mesej yang jelas.  Justeru, kerap juga isi yang sama saya ulang-ulangkan  beberapa kali dalam tajuk yang berbeza bagi menteladani kaedah Rasulullah SAW dalam mendidik. Al Tarmizi meriwayatkan dari Anas, bahawa dia berkata:”Rasulullah sering mengulang-ulang perkataannya sebanyak 3 kali agar setiap perkataan baginda difahami.”

 

“Ilmu itu…” menurut ahli bijak pandai, “ialah ketibaan makna pada hati.” Mudah-mudahan apa yang telah kita fahami di dalam kepala (melalui pelbagai bacaan, wacana dan perbahasan) boleh diresapkan secara mendalam ke dalam jiwa,  seterusnya melahirkan tindakan-tindakan yang  bermanfaat.

 

Ya, manusia bertindak bukan atas dasar apa yang difikirkannya, tetapi mengikut apa yang dirasainya.  Rasa itu lebih dominan daripada fikir. Rasa itu di hati, fikir itu di kepala. Justeru, menangani soal hati menjadi lebih utama daripada sekadar menyelesaikan soal fikiran. Tetapi ini tidak menafikan langsung kepentingan akal… bukankah akal itu adalah pelita hati? Namun jika kita hanya terhenti pada soal kepala, dan tidak cuba menyelongkar soal hati, kita akan kecewa kerana kita hanya tahu kebaikan sesuatu perkara tetapi tidak mahu apalagi mampu melaksanakannya!

 

Buku ini bukanlah kitab Tasawuf yang sarat dengan nasihat, panduan dan kaedah membersihkan hati dengan begitu terperinci. Namun, ia mengenegahkan satu pendekatan yang tersendiri yang tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip teras ajaran tasawuf di dalam Islam.  Dengan bahasa yang sederhana, ditambah oleh contoh-contoh yang kontemporari serta tamsilan-tamsilan yang rengkas, buku ini akan menyentuh soal yang paling berat dan besar dengan pendekatan yang ringan dan mudah. Mudah-mudahan kalangan masyarakat tidak kira dari golongan mana, setinggi atau serendah mana tahap pengetahuan agamanya, akan dapat memahami dan menghayatinya.

 

Semoga saya menulis segala-galanya dari hati, dan semoga segala-galanya itu juga tertumpah ke dalam hati  para pembaca. Saya bukanlah insan yang baik, tetapi insyaAllah sedang berusaha ke arah itu dengan cuba menabur sebanyak-banyak kebaikan melalui tulisan.  InsyaAllah, semoga Allah mengurniakan taufik dan hiadayahNya agar kita sentiasa berhati-hati menjaga hati termasuk semasa membaca buku “Semuanya Soal Hati” ini. Amin.

Feedback

24
  • Norbaiti Ridzuan

    Alhamdulillah… rindu dengan buah tangan dari ustaz… akhirnya kesampaian juga.. Buku Duhai Yang Tersayang sampai skrg saya tak jumpa lagi… Ustaz ada stok tak?

  • Arif Afifi

    Perlu berhati-hati dalam soal hati.
    Tanpa hati kuat — lemahlah iman, longlailah rasa.
    Terima kasih ustaz untuk entri ni. setelah sekian lama menanti.

  • Wajah Polos

    nAK beliiiiii……….. jatuh cinta dengan tulisan ustaz.. 😉

  • Orchid garden

    Reblogged this on Myblog's Blog and commented:
    Assalammualaikom kepada rakan teman dan pembaca sekalian…berkongsi lagi di hari ini satu tulisan untuk kita sama-sama mencari erti di dalam nya. Baris ayat yang menangkap mata saya di awal tadi ialah “Justeru, sering diungkapkan; tidak mengapa jika kakimu yang sakit, asalkan hatimu sihat. Dengan kaki yang sakit, kita mungkin tidak boleh berjalan. Tetapi, dengan hati yang sakit, kita akan kehilangan tujuan dan harapan. Betapa ramai orang yang mempunyai fizikal yang sihat, tetapi apabila hatinya sakit, hidupnya melarat. Dia menjadi insan yang miskin dalam limpahan kekayaan. Hidup derita walaupun dikelilingi keseronokan.

    Selamat Membaca…

    Sanaa 17/7/13

  • suhailiwati abdul hamid

    Assalammualaikum ust. Salam takziah dari saya anak murid ust..atas pemergian ayahda tersyg ust tempoh hari. Semoga rohnya di tempatkan di kalangan org2 solihin. Terima kasih atas trhasilnya buku baru utk bacaan saya dn teman2 yg lain. Mmg saya mengikuti sentiasa tulisan2 ust sbg tarbiyah diri ini supaya saya sentiasa bermotivasi. Kesemua buku2 hasil tulisan ust mmg dlm koleksi saya sekeluarga. Tahniah ust dlm kesibukan dn kehilangan org trsayang masih mampu menghasilkan buku yg sgt istimewa ini buat kami semua…semoga Allah sahaja yg dpt membalas segala kabaikan ust sekeluarga..ameenn.

  • salumah salam

    Salam Ustaz.Saya amat meminati buku karya ustaz. Alhamdulilah, kesemua buku tulisan ustaz saya miliki dan berulangkali membacanya kecuali buku Duhai Yang Tersayang saya tidak menjumpai untuk dibeli dan dibaca..Ada buku ustaz yang saya beli, dipinjam tetapi tidak dipulangkan rakan-rakan atau sahabat.. Tak mengapalah saya niatkan untuk disedekahkan, sekurang-kurangnya saya dapat saham juga macam penulisnya. Bagi saya ustaz menulis dari hati untuk disampaikan kepada hati pembaca,Banyak ilmu serta pengalaman yang sangat baik dikongsi dan diamalkan. Terima kasih ustaz, moga ilmu yang dikongsikan ini menjadi saham akhirat dan manfaat menuju akhirat.Amin.
    (Takziah kepada ustaz dan keluarga atas kepulangan ayahanda ustaz semoga arwah diberkati dan dirahmati, juga untuk ustaz semoga sihat dan dirahmati untuk terus berkarya berkongsi ilmu).
    ,

  • norizan binti long

    Assalam ustaz..tersentuh hati ini bila membaca tulisan dan karya ustaz. Tapi ustaz dengan berkata-katalah kita dapat mengubah diri seseorang dan saya tidak mahu menjadi “setan bisu” yang diam bila melihat perkara mungkar. Saya aksn terus menegur untuk kebaikan. Wasalam.

  • nurulamyliana

    Alhamdulillah..satu lagi buah tangan hasil tulisan ustaz..tak sabar nak beli & baca 🙂 saya doakan moga Allah terus memberi kesihatan yang baik kepada ustaz untuk terus menulis..amin.

  • Insan biasa

    Alhamdulillah…akan ku bimbing hati ini agar sentiasa dkt dgan Nya….

  • MAH

    Salam Sejahtera Ustaz,

    Untuk ke Syurga Firdaus insyaAllah, mudah-mudahan saya dapat hayati dan amalkan apa yang ditulis oleh ustaz . Kemudian saya diberi keupayaan oleh Allah SWT untuk sampaikan kepada isteri dan anak-anak dan selain dari itu. Rasullulah SAW adalah insan terpilh yang dari bacaan saya telah menjalani dua pembedahan ( ada pandangan menyatakan lebih lagi) oleh Malaikat untuk ditanamkan kebaikan atas perintah Allah SWT. Namun begitu jika dirasakan amat berat mengikuti baginda ada insan-insan terpilih lain iaitu para Sahabat yang boleh diikuti dan kita akan selamat dunia dan akhirat jua.

  • husam

    Salam, doakan husam suksess spm ye:-) dan hadiahkan buku baru 2…

  • Bin Hasyim Al-Hamzah

    Assalammualaikum Ustaz sesungguh nya keujuddan ustaz di kota singa telah meningalkan banyak benih benih yang insyallah akan membuahkan sesuatu yang bermanfaat dan berguna buat insan insan yang sedang tertidur oleh buaian kejahilan akan tetapi dengan kehadiran ustaz dapat lah ia nya meyedarkan dari kejahilan dan seterus nya membuahkan KALBUN SALIM di dalam hati.
    Semoga insyallah ALLAHswt memudahkan perjalan dakwah ustaz
    wassalam.

  • nor shafareena

    alhamdulillah..sangat memberi kesan dihati..semuanya soal hati..bersihkan hati,.ikhlaskan hati..menuju redha Allah..insyaAllah

  • Abdilah Ahmad Mudus

    Hanya satu sahaja cara untuk membersihkan hati iaitu dengan mengingati MATI dan sentiasa takutkan ALLAH pada setiap saat dan ketika…

  • yati

    terima kasih ustaz kerana dakwah ustaz melalui tulisan yang amat mudah difahami dan mempunyai maksud yan mendalam. jazakallah khairan kathira ya ustaz

  • Eiy Ismail

    Assalammualaikum

    mohon izin untuk di kongsi dengan kawan

  • SERIAU@

    Reblogged this on SERIAU.

  • isnaini

    salam Ramadhan semua.Soal hati payah utk dimengerti.Ada pun paras yg indah hatinya parah,Ada pula tdk berupa hatinya bersih,namun ada juga yg sebaliknya.Allahu A’lam.hanya Allah yg maha mengetahui,sama-samalah kita berusaha menjaga hati kita agar sentisa bersih,moga-moga amalan dan hidup kita semua diberkati,diredhai Allah.InsyaAllah

  • Hidayatamir

    Alhamdulillah…..Allah takdirkan saya mengenali ust melalui penulisan. Anda adalah manusia yg memanfaatkan kehebatan diri utk manfaat yg ramai…..moga kita semua beroleh rahmat Allah jua

  • nur muhammad

    As salam…
    Usah dipinta hidup yg mudah, tapi pintalah hati yg tabah utk mhadapinya…sgt tkesan dgn ungkapan ini..hampir menyamai doa yg sering saya ungkap usai solat..ya Allah aku tidak mengharapkan kebahagiaan yg melimpah ruah samaada dr segi harta, penghargaan atau kasih sayang manusia..tetapi kurniakanlah aku sekeping hati yg bahagia moga walau apa ujian yg dtg kesusahan..kesedihan aku tetap mampu tsenyum dan tabah menghadapinya..

  • wan mazuan

    entah kenapa setiap kali saya bace karya ustaz, air mata ni asyik keluar saje, byk dosa sy.:(

  • saffa' nusrah

    subhanallah 🙂 moga Allah redha.

  • RUHIL HAYATI ISMAIL

    AsSalam Ustaz,

    Saya di dalam kegelisahan yang teramat sangat. Saya kehilangan pekerjaan yang selesa atas pilhan sendiri, akibatnya penyesalan menghantui diri saya. Mempunyai dua anak lelaki yang comel berusia 11 dan 5 tahun untuk saya tanggung. Emak dan Abah yang saya beri elaun bulanan. Dan ada beberapa komitmen lain yang harus diselesaikan setiap hujung bulan.

    Saya buntu dan seakan berat menerima ketentuan ini serta takut hidup dalam kesusahan dan meminta2. Saya berusaha untuk memujuk hati, solat sunat dan sebagainya… tapi tidak juga dapat menenangkan jiwa yang gundah ini. Apa sebenarnya yang saya perlu buat…………..

Leave a Reply

%d bloggers like this: