Looking for Something?

PAKSAKAN CINTANYA

Author:

th“Ustaz, saya baru sahaja ditimpa kemalangan, “ ujar lelaki muda itu setelah bersalaman dan terus duduk bersimpuh di hadapan saya.

Saya renung matanya. Ada sayu di situ.

“Innalillah wa in nna ilaihi rajiun. Tapi syukur, saudara selamat,” ujar saya sambil memegang lengannya. Saya lihat tidak ada parut pada wajah mahupun tangannya.

“Tetapi sedih sekali ustaz,  isteri saya meninggal dunia.”

“Innalillah wa in na ilaihi rajiun…” balas saya buat kedua kalinya. Saya terus tunduk. Tiba-tiba sebak di hati.

“Isteri dan saya kemalangan. Tetapi dia yang pergi.”

“Tabahlah.”

Saya pegang tangannya erat. Empati menusuk jiwa. Lelaki di hadapan saya ini sangat muda.

Tiba-tiba seorang anak kecil berlari menerpanya. Terus duduk di atas riba. Dari belakang, seorang tua lelaki datang menghampiri kami dengan mendukung seorang anak kecil. Daripada raut wajah kedua kanak-kanak itu saya dapat meneka mereka tentu adik-beradik.

“Dua orang ini anak saya. Ini bapa saya,” katanya sambil menunjuk kepada lelaki tua yang menghampiri kami.  Sebelah tangannya yang lain membelai rambut anak yang di dalam pangkuannya.

“Yang kecil ini masih belum membiasakan diri dengan ketiadaan ibunya. Dia menyusu badan ustaz.”

Saya masih diam. Terus menggenggam tangannya.  Suasana meriah di bahagian belakang masjid tempat kami duduk itu tidak lagi menarik perhatian. Orang lalu lalang  dan aktiviti pameran yang sedang dijalankan itu seolah-olah tidak kedengaran dan kelihatan lagi. Saya tenggelam dalam laut rasa yang sangat menyedihkan.

“Baru dua bulan ustaz…”

Saya mengangguk-angguk kepala lagi. Saya kekal menjadi pendengar. Bukan mendengar dengan telinga,  tetapi dengan mata dan hati. Teringat ungkapan yang selalu saya titipkan buat diri sendiri  dan teman-teman,  “sesetengah masalah bukan untuk diselesaikan tetapi hanya untuk didengari”.

“Kadangkala dalam hati terdetik juga, kenapa Tuhan memanggilnya pergi terlalu cepat. Kami sangat perlukannya,” katanya perlahan.

“Allah sesungguhnya Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Ya, ramai orang menyebut ungkapan ini, tetapi saudara yang paling bertuah. Allah sedang mendidik saudara tetang kasihNya.”

“Itu saya percaya ustaz. Namun, apa kaitan itu dengan musibah yang menimpa diri saya ini ustaz?”

“Saudara. Ilmu kita yang terbatas tidak dapat menjangkau ilmu Allah yang Maha luas. Kita hanya nampak yang dekat dan sekarang… tetapi Allah melihat yang jauh dan akan datang. Musibah hari ini boleh jadi keberuntungan pada masa akan datang. “

“Arwah isteri saudara beruntung sebenarnya…” tambah saya lagi hampir berbisik.

“Mengapa ustaz?”

“Dia meninggalkan dunia dalam keadaan saudara mencintai dan meredainya. Tidak ramai isteri yang berjaya meraih keredaan suami ketika meninggal dunia. Sedangkan, keredaan suami itu sangat penting untuk isteri meraih keredaan Allah.”

“Ya. Ya. Dia isteri yang solehah. InsyaAllah.”

“Amin…”

“Tetapi apa hal kami ini ustaz?”

“Allah sedang mendidik saudara menjadi ayah yang tabah. Musibah ini hakikatnya satu ‘mehnah’.”

“Apa maksud ‘mehnah’ itu ustaz?”

“Mehnah ialah ujian yang Allah timpakan kepada seseorang dengan tujuan untuk mendidiknya. Allah mendidik  manusia   melalui ‘subjek’ yang bernama kematian, kesakitan, kegagalan dan kehilangan.”

“Sedih dan sakit ustaz…”

“Terimalah saudara, yang pedih itu ubat. Yang sedih itu penawar. Siapalah kita ini… kita hanya hamba, bukan tuan, bukan Tuhan.  Sebagai hamba kita layak diuji. Tidak ada pilihan, kehilangan ini telah berlaku. Ujian ini maktub. Sama ada kita terima atau tidak, ia tetap berlaku. Pilihan yang masih tinggal buat kita ialah, untuk sabar atau tidak. Jika sabar, ada kebaikan dan manfaatnya. Jika tidak sabar, banyak keburukan dan mudaratnya.”

“Apa kebaikan kehilangan ibu buat anak yang sedang menyusu ini ustaz?”

“Saya yakin pertanyaan ini bukan kerana mempertikaikan tetapi benar-benar inginkan penjelasan..”

“Maha suci Allah. Allah tidak akan menzalimi hambaNya. Tetapi insan kerdil seperti saya ini manalah dapat melihat sesuatu yang tersirat di sebalik semua ini.”

“Kita semua insan kerdil di sisi Tuhan. Dari segi adab seorang hamba, kita wajib yakin bahawa di sebalik pemergian isteri, yakni ibu kepada anak-anak saudara ini pasti ada kebaikannya.  Tetapi sebagai seorang manusia juga, kita tidak dapat menahan diri daripada bertanya kenapa? “

“Sesetengah takdir memang tidak akan kita ketahui apa maksud baiknya.  Itulah iman. Perlu sentiasa bersangka baik kepada Allah. Mana mungkin seorang hamba tahu semua maksud takdir Ilahi? Yakini sahaja pasti ada kebaikan.”

“Jadi peranan akal di mana ustaz?”

“Akal kita mesti terus berfikir. Jangan dimatikan. Tetapi berfikirlah ke arah kemungkinan-kemungkinan kebaikan  di sebalik takdir.”

“Contohnya?”

“Contohnya, Allah mematikan ibu bagi anak-anak saudara untuk membentuk mereka menjadi pemimpin besar di kemudian hari nanti. Lihat para Rasul, nabi, ulama, dan pemimpin dunia, ramai yang berasal daripada anak yatim. “

“Mungkin juga Allah hendak menyelamatkan anak-anak saudara daripada menjadi anak yang derhaka. Lihat betapa ramai ibu yang telah tua renta, telah disia-siakan dan diherdik oleh anak-anaknya sendiri… Mujur, anak saudara telah terlepas daripada dosa derhaka kepada ibu,” tambah saya.

Dia mengangguk-anggukkan kepala seketika seraya berkata,” akal kita berfikir ke arah mencari kebaikan di sebalik ujian ini. Jangan berfikir sebaliknya. Berfikirlah untuk menjustifikasikan kebaikan takdir Allah, bukan keburukannya. Itu lah tanda kita bersangka baik kepada Allah.”

“Oh… begitu.  Fikiran kita mesti dikawal dan terarah, bukan disekat, apalagi dimatikan.”

“Bersangka baiklah kepada Allah dengan mencari  kebaikan di sebalik setiap takdirNya. Insya-Allah kita akan mendapat  kebaikan,” pesan saya sekalipun jauh di sudut hati menyedari saya sendiri juga masih terkial-kial dalam menerima takdir Ilahi.

“Saya sunyi ustaz. Kadangkala patah semangat untuk bangun kembali. Banyak cita-cita dan impian yang pernah kami kongsi bersama tidak kesampaian…”

“Usah begitu saudara. Sunyi itu apabila hati kita lupa mengingati Allah. Hati yang mengingati Allah tidak akan kesunyian. Cari dan binalah hati itu. Pada solat, pada Al Quran, pada selawat, pada masjid ini ada penawar kesunyian itu. Saudara tidak tersisih, bahkan terpilih untuk mencari dan menemui cinta Allah.”

Dia tunduk. Tergenang air matanya. Saya memegang belakang kepalanya seperti seorang ayah terhadap anaknya. Itu sahaja yang mampu saya lakukan.  Begitulah jika bahasa kata gagal untuk mencapai maksud, bahasa rasa cuba disampaikan melalui belaian.

“Ada masanya saya menangis ustaz. Berdosakah kesedihan ini?”

“ Tidak. Malah itu fitrah.”

“Namun ada yang lebih penting daripada itu.”

“Apa yang lebih penting daripada itu?”

“Peringatan Allah kepada saudara, saya dan semua manusia. Firman Allah, “Katakanlah, Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluarga mu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatirkan kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (At Taubah,24).”

“Nampaknya saya belum tega, tetapi melalui tragedi ini seolah-olah Allah paksa saya ustaz… paksa saya mencintai-Nya lebih daripada yang lain.”

“Syukurlah dengan paksaan ini. Jika tidak dipaksa  mungkin kita alpa. Allah lebih sayang akan hamba-Nya lebih daripada ibu menyayangi anaknya. Ibu yang baik akan memaksa anaknya yang sakit memakan ubat yang pahit. Begitulah kita… yang sakit, sepi dan sayu ini umpama  ubat yang Allah paksakan kita untuk menelannya demi menyembuhkan penyakit cinta selain-Nya yang  bersarang di hati kita,” pujuk saya.

“Masih ingat impian yang pernah dibina dengan Allahyarham isteri?” tanya saya sambil memegang bahunya.

Dia mengangguk-angguk. Air matanya tergenang. Sungguh, saya terus mencari kata-kata sedangkan mata sendiri sudah berkaca dengan air mata.

“Jika dia masih hidup tentu dia ingin impiannya tercapai. Ingin melihat kedua anak ini membesar sebagai anak yang soleh… Mari kita penuhi hajatnya. Mari kita penuhi impiannya. Jika benar kita sayangi yang telah pergi, mari kita penuhi cita-citanya pada yang kedua anak yang ditinggalkannya ini. Kita mesti bangun daripada kesedihan ini. Jika tidak, impian itu akan berkecai. Buktikan cinta saudara dengan melaksanakan amanah ini. Dan semua amanah ini tidak akan dapat ditunaikan sekiranya saudara terus bersedih…” ujar saya akhirnya.

Bapa muda itu merenung saya. Anaknya sudah tertidur di pangkuannya. Bapa lelaki muda itu masih mendukung anak kecilnya, turut tekun mendengar. Saya yang duduk bertemu lutut dengannya sejak tadi teringat semula kisah-kisah yang pernah saya dengar sepanjang kehidupan ini. Ada isteri yang kehilangan suami. Ada suami yang kematian isteri.  Begitulah ajaibnya Allah ‘memanggil’ sesetengah manusia kepada cintaNya… melalui kehilangan!

 

 

Feedback

10
  • sara

    terima kasih ustaz atas pengkongsian.. betul kata ustaz, kata2 tu mempunyai roh yang tersendiri.. dia boleh memujuk hati yang mengamuk dan merajuk =)

  • Norhaniza

    MasyaALLAH…Janji ALLAH itu pasti. Tapi itulah paling ditakuti untuk dilalui…Beberapa bulan kebelakangan ini, isu inilah yang berlegar-legar dalam minda. ALLAHU AKBAR…DIA berikan petunjuk dalam bentuk tulisan dalam blog Ustaz ini…Terima kasih atas perkongsian Ustaz…Walaupun belum menempuhi, tetapi kisah ini meresap jauh dalam hati sanubari…mengalir airmata…betapa kerdilnya diri ini yang masih perlu terus belajar menerima ujian dengan redha dan memikirkan hikmah di sebalik musibah. Wallahu’alam.

  • Nor Azlina Talib

    Assalamualaikum…
    Jangan bersedih byk hikmahnya insyaAllah.Saya seorang ibu muda ditinggalkan oleh suami sewaktu anak dikandungan lagi dan anak yang sulong baru berumur 2 tahun…Namun kini bru saya dapat bertapa Rahmat allah itu besar nilainya….

  • mona

    Allahu Akbar! benar2 menjentik jiwa. Terima kasih perkongsiannya ustaz. Satu kisah, seribu pengajaran dan pelajaran. Perhatikan hidup kita, banyk benar yang Allah telah aturkan bagi menjentik kita supaya “mencariNya” hanya kita yang kadang tidak mengerti “bahasa” itu. Imanlah yang akan mengajarkan kita utk memahami bahasa itu..Allah dengan Maha KebijaksanaanNya mengaturkan sesuatu untuk menyampaikan “sesuatu” kepada kita.. Allahu..Allahu..Allahu.. ~Wallahua’lam

  • Siti Aisah Mat

    Assalamualaikum ustaz…
    saya baru menjadi pembaca setia Genta Rasa.
    Sejak saya kehilangan suami…
    Kisah paksakan cintanya sama dengan kisah saya.
    saya, suami dan adik ipar kemalangan.
    saya selamat, tapi suami dan adik ipar meninggal di tempat kejadian.
    saya tak tahu sama ada saya patut bersyukur atau bersedih.
    bersyukur kerana saya dan kandungan saya yang baru 3 bulan itu selamat atau bersedih kerana suami tinggalkan saya.kenapa tidak saya di ambil sekali.
    ketika kejadian, saya diberi kekuatan untuk menguruskan kedua-dua jenazah, dari membuat laporan polis, mandikan jenazah.
    seorang diri tanpa sesiapa pon yang saya kenal.saya hanya dikelilingi kawan-kawan arwah suami yang saya tak kenal secara dekat.
    kami baru berkahwin 6 bulan 2 hari, baru menyambut berita gembira akan kehadiran orang ketiga, tanda kasih dan cinta kami.
    sakit, perit yang tak tertanggung. sentiasa berlinang air mata apabila datang rindu pada arwah.
    saya akan google artikel berkenanan kehilangan suami sehingga saya jumpa artikel Andai kau pergi dulu sebelumku, dari genta rasa…
    apabila ada berita mengenai kemalangan yang melibatkan suami isteri meninggal, saya tertanya-tanya kenapa saya tidak pergi bersama arwah suami…
    saya nak luahkan apa yang saya rasa, ruangan komen ini yang memberi ruang saya meluahkan rasa yang terpaksa saya tanggung.
    saya masih muda, masih seorang pelajar sarjana sebuah ipta, suami tempat saya bergantung harap dalam semua hal dari segi akademi, semangat sehingga hampir menamatkan pengajian.
    tapi suami tinggalkan saya ketika saya hampir dengan kejayaan.
    kehidupan ini bagaikan musnah bagi saya…

  • zara

    Assalamualaikum wbt Ustaz. Alhamdulillah, sy bersyukur sgt2 terjumpa blog Ustaz, kisah umrah dan haji tu. Dari satu ke satu entry saya baca. Bacaan yg baik utk mendidik hati.Saya sgt2 kagum dgn gaya penulisan ustaz. Bacaan yg santai tetapi akan buat kita berfikir dan terus berfikir. Mudah-mudahan akan ramai lagi yg baca tulisan Ustaz. Moga terus diberi kesihatan yg baik utk terus menulis dan berdakwah. Amin. =)

  • nurul

    Bismillahirrahmanirrahim…Assalamualaikum..
    Tabah sungguh hati seorang lelaki yang bernama ayah untuk 2 orang anaknya..Mudah-mudahan Allah swt pelihara mereka dalam rahmatNYA…dan semoga Allah Menggantikan Kesedihan Itu dengan nikmat yang lebih baik..

  • solehah myra (@Drmyrasharif)

    sedihnya…betul2 beri peringatan buat semua.

  • Ismma

    Terima kasih atas en3nya Ustaz…. sedih menerima kehilangan kadang2 menyebabkan diri tenggelam dalam kealpaan untuk kembali kepada Pencipta…

  • rahaya bustamam

    terima kasih Alhamdulilah, tulisan ini memberi motivasi dan mengigatkan saya bahawa Allah memanggil saya dengan ujian yang diberiNYA Allah memanggil saya untuk mecintaiNYA dengan Paksa. SubhanAllah Allah terlalu menyanyangi saya. saya hamba yang berdosa…..

Leave a Reply

%d bloggers like this: