RSS

DERHAKA DALAM CINTA

24 Apr

Aku ingin  mengimbau kisah 15 tahun yang lalu. Begini kisahnya:

imagesMatanya merah. Tangisannya jelas kedengaran. Bahunya naik turun menahan sebak.

“Tak sangka ustaz, kami bercinta sekian lama. Tiba-tiba dia memutuskan. Apa salah saya? Mengapa dia pilih perempuan tu?”

Saya diam. Adik lelaki yang menemaninya juga terdiam.

“Saya tak akan maafkan dia. Sumpah. Habis masa dan usia saya selama ini menantinya. Saya sakit hati ustaz…”

Saya terus diam. Saya beri laluan untuk dia bersuara dan mengalirkan air mata. Biar diluah apa yang dipendam agar tidak bersarang menjadi dendam. Putus cinta memang menyakitkan. Ketika putus cinta harga diri seseorang akan jatuh ke peringkat paling rendah. Demikian, menurut ahli psikologi.

“Saya dendam ustaz. Orang yang paling saya cintai sanggup khianat pada saya. Apa dosa saya ustaz…” katanya bertalu-talu, lebih sayu. Suara yang bercampur esakkan itu sangat menghibakan.

“Cik, agaknya mengapa semua ini terjadi?” soal saya perlahan. Cuba mengalih arah perbualan. Bilik berdinding kaca tempat pertemuan kami itu menghadiahkan keadaan ‘privacy’ yang terjaga syariatnya.

Dalam diam, saya akui bahawa pertanyaan tersebut lebih bersifat ‘meraikan’. Saya ajukan semata-mata untuk membuktikan yang saya masih mendengar. Saya sedar pada saat-saat seperti itu, dia sangat memerlukan perhatian dan simpati. Ada masanya suatu masalah itu tidak perlukan penyelesaian tetapi hanya inginkan perhatian.

“Sebab dia dapat yang lebih cantik! Lebih baik!” katanya agak kuat.

“Jika hanya kerana itu, percayalah bukan sahaja cik yang menderita tetapi dia juga akan menderita.”

“Itu saya tidak peduli. Yang penting sekarang ialah saya rasa sangat menderita.”

Saya menggeleng-gelengkan kepala, lantas bertanya,” siapa sebenarnya yang cik cintai? Kekasih cik atau diri cik sendiri?”

Dia nampak terkejut dengan kenyataan itu.

“Kalau benar cintakan dia, cik tidak ingin dia menderita. Tetapi jika derita cik sahaja yang difikirkan, cik bukan menyintainya tetapi cik hanya cintakan diri sendiri.”

Dia tersentak. Sedikit terkejut. Tidak lama dia kembali bersuara, “saya mencintainya, sebab itulah saya ingin bersamanya.”

“Cinta tidak semestinya bersama. Kasih tidak bererti memiliki. Sebab itu pujangga sering mengungkapkan, cinta tidak semestinya bersatu. Cinta tidak membelenggu tetapi membebaskan!” jawab saya. Ingin saya kongsikan sedikit ilmu cinta dengannya.

“Nak biarkan dia bebas? Maaf, dia telah banyak bersalah pada saya…”

Tanpa memperdulikan kata-katanya saya meneruskan, “cinta itu membebaskan, memaafkan dan memberi. Bukan cinta namanya jika kita ingin membelenggu, berdendam dan ingin mendapatkan sesuatu dari yang dicintai.”

“Saya ingin terus bersamanya sampai mati!”

“Cik tak akan sanggup. Cik sebenarnya bukan cintakan dia tetapi cintakan diri sendiri. Jika tidak mampu memaafkan yang hidup, jangan harap kesetiaan sampai ke mati.”

Tanpa mengendahkan apa yang saya luahkan, dia berkata, “ mengapa dia sanggup berbuat begitu? Kejam!”

“Cik hanya fikirkan perasaan dan kesenangan diri cik sahaja.”

“Ya. Dia memang kejam.”

“Kita pun tidak kurang kejam…”

“Ustaz tuduh saya kejam?”

“Saya maksudkan kita, bukan cik sahaja. Kita semua memang kejam.”

“Mengapa pula?”

“Kita kejam kepada diri kita sendiri.”

“Bagaimana pula tu?”

“Dengan tidak cintakan Allah, kita kejam dengan diri kita sendiri!”

“Ustaz, jangan libatkan cinta Allah. Saya bercakap tentang cinta sesama manusia.”

“Saya tetap kaitkan cinta manusia dengan cinta Allah. Hanya dengan cinta kepada Allah sahaja dapat mendamaikan cinta kita sesama manusia.”

“Mengapa?”

“Kita derhaka dalam cinta kita kepada Allah. Allah memberi nikmat yang bukan sedikit. Kita balas dengan taat yang sekelumit. Malah, ramai antara kita yang bukan sahaja tidak menggunakan nikmat itu untuk taat, malah digunakan ke arah maksiat.”

“Ustaz saya ingatkan sekali lagi… saya bercakap tentang cinta manusia bukan cinta Allah. Semua orang tahu Allah wajar dicintai.”

“Maafkan saya. Fikirkan sejenak, jika kepada Allah yang banyak berbudi dan berjasa itu pun manusia tega berpaling, apalagi pada manusia yang budi dan jasanya cuma sedikit.”

“Apa kaitannya semua ini dengan cinta saya?”

“Allah Maha Sabar, walaupun ramai manusia yang berpaling daripada cintaNya, tetapi Allah terus-terusan mencintai manusia…”

“Apa buktinya?”

“Buktinya Allah terus memberi… Memberi nikmat dan pengampunanNya. Allah tidak pernah jemu dan berhenti memberi nikmat dan menghulur pengampunan.”

“Ertinya, cinta itu memberi dan memaafkan?”

“Ya. Begitulah. Siapa yang paling cinta, dialah yang paling banyak memberi dan mengampunkan.”

“Jadi saya tidak mencintai kekasih hati sayalah…” luahnya perlahan. Riak wajahnya suram.

Saya diam. Tidak sampai hati untuk menyatakan bahawa dengan tidak mencintai Allah, kita bukan sahaja tidak mencintai orang lain, malah tidak mencintai diri sendiri!

“Kita sering salah meletakkan cinta. Sedangkan ahli hikmah berpesan, cintailah sesiapa yang mencintai kita bukan orang yang kita cintai. InsyaAllah, barulah cinta kita berbalas. Justeru, siapa lagi yang paling mencintai kita selain Allah? Oleh itu siapa yang mencintai Allah, pasti berbalas… dan itulah keharmonian dalam bercinta.”

“Saya bercakap tentang cinta manusia…” dia terus mengingatkan saya.

“Cinta sesama manusia tidak boleh meminggirkan cinta Allah. Cinta soal hati. Hati-hati manusia hanya dapat disatukan oleh Allah.”

“Maksud ustaz? Saya tidak cinta Allah?”

Tanpa respons pada pertanyaan itu, saya sebaliknya terus menjelaskan, “cinta sesama manusia mesti didasarkan cinta Allah!”

“Kami memang bercinta kerana Allah. Tetapi dia mengkhianatinya.”

“Jika benar cinta kita kerana Allah, mana mungkin ada marah, dendam dan kecewa…”

“Lepaskanlah cintanya jika takdir Allah menetapkan begitu,” nasihat saya.

“Mengapa harus saya lepaskan?”

“Kerana Allah inginkan kita mencintaiNya. Putus cinta sesama manusia untuk menyambung cinta dengan Allah.”

“Tapi…”

“Tidak ada tapi-tapi lagi. Sekiranya kita terus enggan, kita akan alami putus cinta sesama manusia lagi. Bukan sekali bahkan berkali-kali.”

“Tidak semudah itu ustaz menghukum. Cinta ini kompleks dan rumit,” bidasnya perlahan.

“Kita yang merumitkannya. Sifir dalam bercinta mudah: Pertama cintai Allah, kedua cintai diri sendiri dan ketiga barulah cintai orang lain.”

“Bagaimana dengan sakitnya hati ini?”

“Ini ubat sebenarnya. Allah sendiri menegaskan dalam surah Al Baqarah, ada perkara yang kita tidak suka tetapi itu sebaliknya baik untuk kita. Sakit ini ubat. Pedih ini penawar.”

“Habis, cinta kepada Allah sahajalah, cinta dengan manusia bagaimana?”

“Allah akan hadiahkan orang yang cintakanNya kepada orang yang mencintaiNya.”

“Subhanallah. Layakkah saya untuk itu?”

“Wanita yang baik, untuk lelaki yang baik. Begitulah sebaliknya. Sebab itu carilah lelaki yang baik sebagai pasangan hidup dengan menjadi wanita yang baik.”

“Bagaimana saya nak jadi baik?”

“Dengan melakukan kebaikan…” ujar saya lembut. Syukur, kemarahan dan kesedihannya agak mula mereda.

“Kebaikan apa yang boleh saya lakukan sekarang?”

“Dengan memaafkan kekasih yang pergi dan memaafkan diri sendiri. Cik layak bahagia. Dia juga layak bahagia.”

“Dia juga lelaki baik?”

“Doakan begitu. Dia lelaki baik tetapi bukan untuk cik. Akan ada lelaki baik lain yang akan datang dalam hidup cik. InsyaAllah.”

“Ohh, saya perlu maafkannya.Saya cuba, insyaAllah. Tetapi apa maksud ustaz dengan memaafkan diri sendiri? Saya tidak faham.”

“Memaafkan orang lain sama seperti memaafkan diri sendiri. Apabila kita memaafkan, jiwa kita akan tenang, fikiran kita akan lapang. Dendam, marah dan kecewa kepada seseorang akan lebih memusnahkan diri kita sendiri berbanding orang yang menjadi sasaran kemarahan dan dendam kita,” terang saya panjang lebar.

“Mungkinkah dia kembali?”

“Tidak mustahil jika cik juga kembali…”

“Saya kembali?”

“Ya, kembali kepada cinta Allah!”

Ya… itu cerita 30 tahun yang lalu. Minggu lalu, saya bertemu kembali dia dan suami serta dua anak kembar comelnya di kaki sebuah masjid ketika sama-sama menyertai majlis ilmu.

“Ini suami saya ustaz,” katanya memperkenalkan. Kami bersalaman.

“Ini?” tanya saya sambil mengusap kepala dua anak yang comel di sisi mereka.

“Ini buah hati kami berdua,” kata suaminya sambil tersenyum. Kacak dan segak dengan janggut dan misai yang terurus rapi.

Sebaik masuk ke masjid… terus saya sujud syukur. Ya Allah besarnya kurniaan Mu. Ketika hamba Mu ingin kurnia pada kadar yang cepat, sebaliknya Engkau memilih untuk memberi pada waktu yang tepat. Sungguh, wanita itu tidak akan menangis 15 tahun yang lalu sekiranya dia nampak ‘hadiah’ yang telah Allah kurniakan sekarang.

Sungguh… hamba meminta dengan keterbatasannya, Allah memberi dengan kesempurnaanNya!

 
47 Comments

Posted by on 24 April 2014 in Tarbiyah

 

Tags: , , ,

47 responses to “DERHAKA DALAM CINTA

  1. شركة رش مبيدات بالرياض

    24 April 2014 at 1:40 pm

    I like the helpful info you provide in your articles.

    I’ll bookmark your blog and check again here frequently.
    I am quitee certain I will learn a lot of new stuff right here!
    Best of luck for thee next!

     
  2. Rozana Mohd Yusof

    24 April 2014 at 2:03 pm

    Jika Allah tidak cinta kpd kita mampukah kita menikmati cinta hamba-Nya

     
  3. NurulSalehah

    24 April 2014 at 2:03 pm

    Terima kasih ustaz

     
  4. siti hajar

    24 April 2014 at 2:32 pm

    ya Allah, terima kasih ustaz.
    🙁

    Sy perlukan smua ni. Alhamdulillah. astaghfirullahalazim.

     
  5. Iz

    24 April 2014 at 2:43 pm

    Assalammu’alaikum ustaz..

    suke dengan setiap yg ustaz post.. banyak bg inspirasi dan buat diri ni tersedar dan tersentak.. terima kasih banyak ustaz.. sesungguhnya bnyk jalan yg Allah beri kpd kite ni tanda kasih sayang Nya.. salah satunye cara begini la.. semoga ustaz diberikan kesihatan dan kesejahteraan dunia akhirat.. semoga terus memberi inspirasi.. 🙂

     
  6. Ida

    24 April 2014 at 3:09 pm

    Assalamua’laikum WBT Ustaz,

    kisah ini seperti dekat di hati saya. si dia skrg sudah bahagia dgn isteri dan anaknya, dan saya sehingga kini masih sendiri. namun saya bahagia dgn kehidupan saya skrg. sy berasa ketenangan dalam mencintai Nya. semasa mengalami kekeliruan, saya bermunajat kepada Nya memohon petunjuk. Alhamdulillah… saya tidak merasa menyesal dgn tindakan saya mengambil keputusan untuk mengundurkan diri. tidak rugi orang yang beristikarah. saya juga telah memaafkan perbuatannya, dan saya sendiri tahu diri saya juga ada silapnya. saya amat bahagia dgn kehidupan saya skrg ustaz namun perasaan utk bernikah tetap ada. mohon doa ustaz agar saya di pertemukan dgn jodoh yg baik-baik. 🙂

     
  7. gee

    24 April 2014 at 3:20 pm

    sungguh yang dinamakan kesedihan tu sesuatu yang perlu dilalui walau terpaksa mengorbankan air mata yang bukan sedikit kuantitinya… tapi, Allah tidak pernah membiarkan hambaNya bersedih terlalu lama 🙂

     
  8. busyra

    24 April 2014 at 3:28 pm

    kerana kami insan yang lemah, kadang2 perjalanan menujuMu terasa payah.
    Allah, goyah diri ini mendekatiMu, terasa perit walau tidak menjerit,
    kuatkan kami Ya Rahman, kuatkan kami menujuMu.

     
  9. ninjahaveprada

    24 April 2014 at 3:31 pm

    Cinta manusia yang fana.

     
  10. erina

    24 April 2014 at 4:24 pm

    Begitulah ajaibnya Allah.. cinta Allah

     
  11. yu

    24 April 2014 at 8:52 pm

    sabar itu mahal harganya

     
  12. Istighfaar Hamba

    24 April 2014 at 10:07 pm

    Reblogged this on Istighfaar.

     
  13. Azmawida Abdullah

    24 April 2014 at 11:14 pm

    subhanallah… segalanya di atas ketentuanNya…

     
  14. fatin mardhiah

    25 April 2014 at 2:50 am

    Assalamualaikum ustaz, bagaimanakah saya dapat menghubungi ustaz secara personal? Saya bercadang untuk menjemput ustaz sebagai panelist dalam majlis kami 5 mei nanti 🙂

     
  15. izwandi

    25 April 2014 at 9:05 am

    Assalamualaikum ustaz..

    subhanallah… tersedar seketika setelah membaca artikel ustaz ini..
    amat benar sekali kata-kata ustaz itu..
    mohon pada ustaz untuk sy share artikel ini.
    terima kasih.

     
  16. gentarasa

    25 April 2014 at 9:16 am

    Waalaikumsalam. Tolong hubungi sahabat saya Afizul di no 0133393489. Syukran atas respons.

     
  17. muallimah

    25 April 2014 at 10:41 am

    ustaz..mhon kopipez..syukran. ada tip2 yg baik tuk org2 muda…sy dah tua dah hihi..

     
  18. sumaiah

    25 April 2014 at 2:53 pm

    sunhanallah..sungguh terkesan dengan tulisan ustaz derhaka dalam cinta.
    terima kasih ustaz.

     
  19. Alihassan

    28 April 2014 at 10:17 am

    Assalam Ustaz
    Satu perkongsian ilmu yg menarik. Cuma kebinggungan antara 15 tahun dengan 30 tahun. Mohon pencerahan. Tk

     
  20. Wardah Zinnirah

    30 April 2014 at 11:15 am

    Syukran jazilan kahtira ustaz. ‘Alaa kulli hal jazakallah khaira jaza’ li hazihil maqalah.

     
  21. safa

    30 April 2014 at 3:23 pm

    Assalamualaikum ustaz
    Artikel ustaz mengimbau kembali peristiwa setahun yang lepas. Disaat ini saya merasa amat bersyukur atas ujian yg Allah kurniakan… Jalan cerita lebih kurang yang saya alami… ketika saya dalam ujian itu , kawan saya telah memperkenalkan saya dgn blog ustaz, saya banyak baca artikel ustaz… ia sangat membantu saya… saya bersyukur sebab Allah telah pertemukan saya dgn blog Ustaz…. cuma saya belum sampai seperti penghujung jalan cerita itu… saya yakin Allah adalah sebaik-baik perancang… memang benar memaafkannya .. kita akan jadi tenang.. apabila saya teringatkannya saya berdoa semoga dia diberikan bahagia… ustaz doakan saya dapat Jodoh yang baik….

     
  22. cempaka_ungu

    4 May 2014 at 9:37 am

    Terima kasih ustaz 🙂

     
  23. Aini 艾妮

    5 May 2014 at 6:57 pm

    Mohon share…terima kasih…

     
  24. zuriyati

    6 May 2014 at 3:55 pm

    Allah..satu tmparan utk dri sndri…semoga mampu bersabar…

     
  25. Hayati

    7 May 2014 at 12:00 am

    Menarik sekali untuk dihayati dan direnungkan. Ustaz, ada perbincangan peribadi yang saya ingin utarakan. Mohon sekiranya tidak keberatan, alamat email ustaz/ Terima kasih.

     
  26. Ilham

    7 May 2014 at 1:29 am

    Syukran atas entri yang sangat menarik & menyentuh hati. Ramai yang sering kali lupa pada Nya. Selalu dikatakan cinta Allah itu utama, penting tetapi elak untuk berbicara mengenainya. Pengalaman manusia di sekeliling saya berkenaan masalah cinta sesama manusia membuatkan saya berhati-hati dalam berkawan terutama dengan lain gender. Moga Allah terus pelihara hati ini untuk cintaNya. 🙂

     
  27. mija

    7 May 2014 at 8:36 am

    sungguh……hamba mintak dengan keterbatasan…..Allah memberi dengan kesempurnaan……ALLAHUAKBAR……!

     
  28. nozy

    20 May 2014 at 1:23 pm

    Ustaz.. trma kasih atas karya2 ustaz.. sesungguhnya ianya byk mmbntu sya utk terus berdiri walau diri mnmpuhi ujian yg getir.. oleh itu apalah kiranya ustaz berikn sya cara utk mnghubungi ustaz utk mndptkn nasihat sbg pedoman hidup.

     
  29. Hanazain

    23 May 2014 at 3:37 pm

    syukran ustaz.
    artikel yang sangat menarik.
    terkesan di hati saya tatkala membacanya
    🙂

     
  30. Senior Hadi

    26 May 2014 at 6:28 pm

    salam ustaz.mohon share ya =)

     
  31. ILA

    28 May 2014 at 8:31 pm

    Assalamualaikum.. Cerita ini banyak memberi pengajaran buat saya. Saya gembira jumpa blog ini. Saya memang tertarik dengan hasil tulisan Ustaz. Teruskan usaha Ustaz.. Good Luck..

     
  32. Fuad Shariff

    29 May 2014 at 2:37 pm

    terima kasih atas penulisan yang sangat memberi inspirasi

     
  33. Zaleha Binti Abdollah

    2 June 2014 at 6:50 pm

    Assalamualaikum ustaz,

    Sangat terkesan di hati, sy dh mengalami kekecewaan dan patah hati byk kali, sy usaha utk memaafkan mereka semua dan memaafkan diri sendiri tp mungkin sy belum betul2 memaafkan dan melupakan apa yg telah berlaku, masih terasa ustaz kesan yg berlaku pd dr sy satu ketika dahulu, boleh ustaz beritahu sy amalan yg patut sy buat, sy dlm usaha sentiasa memperbaiki diri, sy pernah melakukan kesilapan yg paling besar dlm hidup sy tp syukur alhamdulillah Allah s.w.t yg Maha Pengasih lg Maha Penyayang menarik sy semula kembali ke sisi-Nya..sy sgt bersyukur..skrg sy berusaha utk jd org yg baik sbb sy tahu dan sy faham utk sy bertemu jodoh yg baik, sy pun perlu jd baik..bantu sy ustaz. Terima kasih.

     
  34. Norsyafrina Abd Rahman

    3 June 2014 at 4:29 pm

    Assalamualaikum Ustaz. Terima Kasih atas coretan kasih sayang ini. Ia ibarat hadiah ingatan tulus ikhlas buat saya yang juga sedang mengalami situasi sama seperti wanita yang disebutkan di atas. Moga jadi ibrah untuk saya menghadapi ujian kehidupan yang lebih mencabar. Sungguh, tika ini saya menangisi kehilangan ini, tapi pasti suatu hari nanti saya akan tersenyum dengan ‘hadiah’ yang Allah pilihkan untuk diberikan pada waktu yang tepat.

     
  35. Nur

    3 June 2014 at 5:04 pm

    Assalamualaikum Ustaz. Terima Kasih atas perkongsian yang sangat bermanafaat. Terasa ianya seperti coretan istimewa buat saya yang sedang diuji kini. Yang dijemput untuk mencintai Allah secara eksklusif. Cocok benar watak wanita dalam kisah ini dengan saya. Mungkin tika ini saya menangisi kehilangan ini, tapi pasti satu hari nanti saya akan tersenyum dengan gantian yang Allah akan beri tepat pada waktunya. Mohon doanya Ustaz, saya ini masih setahun jagung dalam memahami seni ilmu bercinta. Sifir cinta yang mudah tapi kerapkali saya rumitkan, saya lupakan saya lalaikan – Pertama mencintai Allah, kedua mencintai diri sendiri dan ketiga barulah mencintai orang lain.

     
  36. nooraiza abd rahman

    23 June 2014 at 12:25 pm

    salam ustaz,,,terima kasih dengan perkongsian uztaz yang sangat memberi kesan dalam hati saya,,,semoga allah memberi petunjuk kepada saya untuk mendapatkan cinta Allah,,,doakan saya ustaz,,,,

     
  37. Mas Yahya

    9 July 2014 at 11:15 am

    Semuanya soal hati. Seringkali menyintai pasangan lebih dari menyintai Allah.Terima kasih Ustaz atas perkongsian..semoga Ustaz akan terus menulis dan memberi inspirasi, motivasi kepada pembaca…

     
  38. ZA_ro_RO

    10 July 2014 at 7:52 pm

    Assalamualaikum ustaz. Terima kasih atas perkongsian ilmu ni… Sgt memberi inspirasi. 🙂
    ” cinta itu membebaskan, bukan membelenggu”
    ” cinta itu membebaskan, memaafkan dan memberi”
    🙂

     
  39. Fatimah Al-Zahra

    11 July 2014 at 6:54 am

    Subhanallah masyaAllah…

     
  40. Nur jannah

    22 July 2014 at 3:09 pm

    susahnya terpaksa hidup didunia klu bkn kerana bertemankan kesabaran…nak ditolak dunia andainya dapat……ya ALLAH percepatkanlah syurgamu untuk hambamu rasai…..tapi pastinya aku tidak layak…namun manusia manakah yang sanggup hidup dalam azab nerakamu itu ya ALLAH?…..jadikan aku sentiasa dalam keredhaanmu ya ALLAH…bisakah aku jauh dari murkamu ya ALLAH?……aku takut padamu ya ALLAH.

     
  41. Azlima Omar

    12 August 2014 at 6:51 pm

    mohon share ustaz… =) minta halal….

     
  42. mia

    13 August 2014 at 12:14 pm

    Assalamualaikum ustaz..
    saya ade kemusykilan..saya berkawan hampir setahun dengan seorang lelaki yang beza umur kami hampir 10tahun..
    perkenalan kami hanya melalui sms dan berjanji akan berjumpa apabila mndpt restu ibunya untuk bernikah..

    ibunya mahukan beliau bernikah dgn keturunan yang sama dgn keturunan keluarganya..tapi kawan saya tetap tidak mahu mengikut kemahuan ibunya..die ade memberitahu ibunya jika tetap ingin die bernikah dgn pilihan ibunya, die rela tinggalkan apa yang ada dan duduk jauh dr ibunya..

    Disini, adakah kawan saya telah jatuh status anak derhaka apabila tidak mahu menurut kemahuan ibunya?
    dan saya rela mengundur diri, dari saya melihat hubungan anak beranak berantakan hanya kerana saya. Saya tidak pasti adakah keputusan saya ini tepat sedangkan hati saya sendiri bersedih dgn keadaan ini. Saya ada rasa kesian utk ibu kawan lelaki saya.Beliau lagi layak untuk anak lelakinya daripada saya yang baru dikenali anaknya.

     
  43. Haslinda Rahim

    23 August 2014 at 8:40 pm

    Subhanallah …Sgt tkesan dengan kisah ni

     
  44. azimin

    24 August 2014 at 11:34 pm

    Semuanya dengan rahmat Allah. Semoga Allah merahmati kita semua. Amin.

     
  45. cilipadi

    2 September 2014 at 4:15 am

    Masih relevan pada Sept 2014…

     
  46. Adnan

    11 September 2014 at 6:20 pm

    Sabar dan tawakkal sahajalah yang kita manusia boleh buat untuk mendapat cinta Allah. Semoga kita semua diberi kesabaran.

     
  47. zila

    4 June 2015 at 5:00 pm

    ustaz mohon share

     

Leave a Reply

 
%d bloggers like this: