RSS

DNA RASUAH…

03 Jun

images “Hampir semua orang buat begitu…”

“Jika semua orang buat sekalipun, yang salah tetap salah,” balas saya.

Begitulah perbualan kami berdua tentang sikap curi tulang dan curi masa dalam kalangan pekerja di syarikat tersebut. Sikap melambat-lambatkan kerja, berehat bukan pada masanya dan bersembang-sembang kosong hampir menjadi budaya di situ.

“Lagipun itu hanya perkara kecil. Tidak perlu dibesar-besarkan,” kilasnya lagi.

“Mahu saya ceritakan perkara yang lebih kecil daripada itu?”

Tanpa menunggu anggukannya, saya mula bercerita. Cerita Khalifah Umar Abdul Aziz dengan anaknya. Satu malam anaknya datang ke tempat kerja ayahnya untuk menceritakan suatu masalah.

“Masalah negara atau keluarga?” tanya Umar Ibn Aziz.

“Masalah keluarga, ayah,” jawab anaknya.

“Jika demikian, padamkan lampu tempat kita bercakap ini.”

“Mengapa ayah?”

“Kerana duit membeli minyak bagi menyalakan lampu ini daripada duit negara. Duit rakyat. Bukan duit kita.”

Dia terdiam. Mula berfikir dan menghayati, agaknya. Harap saya begitulah. Sudah setengah jam kami berbincang mengenai ketirisan dan kebocoran yang melibatkan integriti di tempat kerja.

“Hanya beberapa titisan minyak… mengapa begitu sekali gementarnya khalifah?”

“Dia gementar dengan dosa.”

“Tetapi masih dosa kecil, bukan?”

“Dia bukan hanya melihat dosa tetapi kepada siapa dia berdosa. Dosa itu kepada Allah. Allah Maha Besar.”

“Allah yang Maha Pengampun.”

“Ya, Allah juga menegaskan kebaikan dan kejahatan sebesar zarah pun akan mendapat balasan.”

Lalu saya kongsikan satu hadis daripada seorang sahabat tentang rasa  berdosa dalam kalangan manusia. “Sesungguhnya orang Mukmin itu memandang dosa-dosanya seperti orang yang berdiri di bawah gunung, yang mana dia (sentiasa) rasa takut yang gunung itu nanti akan menghempapnya,dan orang yang keji pula memandang dosa-dosa mereka seperti seekor lalat yang hinggap di atas hidungnya, yang berkata, ‘dengan hanya begini sahaja (iaitu dengan hanya ditepis dengan tangan sahaja) maka dengan mudah sahaja lalat itu terbang.’” (Riwayat al-Bukhari)

“Oh, begitu. Kalau begitu beratlah… kita ni bukan setakat beberapa titisan minyak tetapi lebih daripada itu.”

“Itulah yang saya katakan tadi, kita perlu rasa berdosa. Dengan rasa itu kita terdorong untuk bertaubat dan berhenti melakukannya.”

“Itu sahaja?”

“Belum cukup sebenarnya. Kita perlu minta halal, minta maaf dan minta reda kepada siapa yang tipu, zalimi dan kita curi haknya. Maklumlah dosa curi tulang, curi masa dan tidak amanah ini melibatkan dosa kita dengan manusia. Syarat taubatnya tambah satu lagi berbanding dosa kita kepada Allah,” kata saya cuba menjelaskan.

Alhamdulillah, akhirnya dia berlembut. Sejak tadi perbualan kami jadi tegang sedikit kerana satu isu…  isu babi!

 

Antara dua Dosa

Saya masih ingat bagaimana dia ‘mengamuk sakan’ apabila saya katakan dosa curi tulang, curi masa dan tidak amanah lebih berat daripada dosa ‘termakan’ DNA babi.

“Biar betul, babi haram di sisi Islam. Sosej bersalut usus babi dan coklat yang dicemari DNA babi ini mencabar keimanan kita!” bentaknya keras.

“Benar itu haram. Kita perlu jauhi. Tetapi saya membandingkan antara dua dosa. Dosa makan rasuah misalnya, lebih besar daripada makan babi,” jelas saya perlahan. Risau juga terjerat dalam emosi apabila berbincang soal-soal agama. Agama ini bersandarkan ilmu, bukan emosi.

“Apa sebabnya awak berani cakap begitu?”

“Dosa makan babi selalunya kerana umat Islam ‘termakan’. Maksudnya, bukan sengaja menempahnya. Kebanyakannya, kerana tidak segaja atau kurang teliti. Dalam syariat, jika kita bebuat dosa secara tidak sengaja, maka kedudukannya tidak berdosa.”

“Bezanya dengan rasuah?” tanyanya. Saya melihat dari reaksi mukanya dia sudah dapat ‘menangkap’ apa yang saya akan katakan. Cuma dia menunggu untuk menambah kepastian.

“Rasuah, curi masa dan culas bekerja ini adalah perbuatan yang memang disengajakan. Ini dosa yang sengaja. Malah adakalanya dirancang dan dilakukan dengan teliti tetapi tersembunyi.”

“Maksud awak dosa rasuah?”

“Ya, begitulah. Ia selalunya dibuat dengan teliti untuk menyembunyikan bukti. Dosa rasuah lebih besar dari dosa makan babi kerana, pertama, ia dibuat dengan sengaja. Kedua, rasuah adalah dosa yang melibatkan manusia. Ia adalah perbuatan khianat dan pecah amanah.”

“Pecah amanah itu sifat munafik kan?”

Saya cuma diam. Dia bukan minta pengesahan, hanya meluahkan.

“Tapi dosa makan babi akan mengotorkan hati. Bila hati kotor, kemahuan untuk melakukan kebaikan jadi lemah, keinginan melakukan kejahatan pula jadi tinggi. Begitu yang saya dengar dari ustaz-ustaz.”

“Itu juga yang saya dengar dari para asatizah kita. Tetapi saya juga mendapat maklumat dan ilmu, bahawa bukan sahaja ‘zat’ sesuatu makanan haram itu sahaja yang mengotorkan hati tetapi daripada mana sumber makanan itu juga mengotorkan hati.”

“Zat, sumber? Saya tidak berapa jelas,” akuinya terus-terang.

 

Pastikan Sumbernya Halal

“Misalnya, babi itu haram. Tetapi ayam juga boleh jadi haram… apabila cara mendapat ayam itu dengan mencuri, menipu dan sebagainya. Ketika itu, daging ayam sudah menjadi haram. Memakan daging ayam ini akan menggelapkan hati.”

“Wah, daging babi dengan daging curi sama-sama dosa!”

“Begitu juga dengan duit rasuah yang digunakan membeli makanan, pakaian, kereta, mendirikan rumah, melanjutkan pelajaran anak-anak, memulakan perniagaan, simpanan cucu cicit malah melakukan haji dan umrah. Semuanya haram. Makan babi sekali, dosanya terhenti. Tetapi makan rasuah, dosanya bertingkat-tingkat, berkembang dan berpanjangan.”

“Betul juga. Semasa saya remaja dulu, pernah saya tegur kawan yang mencuri ayam di kampung…” katanya membukan kisah lama.

“Menarik tu…” saya meraikan.

“Masa mereka hendak makan ayam curi tu mereka sembelih juga guna nama Allah. Takut tidak sah. Takut tidak halal. Pada hal, ayam itu ayam curi…”

Dia ketawa. Saya turut ketawa. Kejahilan kekadang melucukan namun tetap membahayakan.

Saya teringat cerita seorang sahabat yang pergi ke Bosnia Herzogovina suatu ketika dulu. Ketika kejahilan begitu mencengkam umat, pada ketika itulah tentera Serb mengganas. Satu hukuman atau didikan? Wallahua‘lam. Namun, menurut sahabat saya kejahilan sesetengah umat Islam ketika itu sangat menjengkelkan. Bayangkan, ada yang mula meminum keras dengan membaca bismillah…

Namun, dalam hati saya tersenyum. Ironinya, betapa ramai ketua keluarga yang ‘selesa’ membaca doa makan, ketika wang yang membeli keperluan hidupnya dari jenayah rasuah. Betapa ramai ketua keluarga dan masyarakat yang terus (kononnya) membuat pelbagai kebajikan dan kebaikan dengan dana yang dicemari rasuah!

 

iiiii

Melihat saya termenung panjang, dia cuba mengalih sedikit hala perbualan. “Susah juga prosedur untuk mengesan DNA babi dalam makanan. Ia perlukan kaedah yang begitu saintifik dan spesifik. Dengan mata kasar dan lidah biasa… sama sahaja makanan yang dicemari DNA babi dengan yang tidak dicemari babi.”

Saya mengangguk dan membalas, “ayam yang dibeli dengan duit halal dan duit rasuah sama juga rasanya. Malah, kalau kena cara masaknya, resipi dan bumbunya… ayam rasuah mungkin lebih enak.”

Saya masih dalam ‘mode’ dan ‘mood’ perbualan yang sama. Umat ini perlu meninggalkan yang haram bukan kerana adat atau kebiasaan nenek moyang. Benarkah kita tinggalkan babi dan anjing kerana iman dan Islam? Jika benar kerana iman dan Islam mengapa rasa jijik kita terhadap rasuah, judi, riba, dedah aurat, arak tidak sejijik kita terhadap babi dan anjing? Malah rasuah dan perkara-pekara haram itu seharusnya lebih dibenci daripada babi dan anjing.

Bayangkan, orang bukan Islam yang menilai agama ini mengikut pengamalan umatnya. Jika beginilah cara kita mengamalkan agama ini, tertarikkah mereka kepada ajaran Islam? Saya masih ingat, pesan ‘songsang’ seorang kawan di kampung kami dahulu. Kebetulan kampung kami bersebelahan kebun sayur milik kaum Cina. Katanya, “curi sayur Cina tidak mengapa, dia kafir…”

Ya, apa hendak dihairankan kejahilan semasa kecil yang dibuat secara kecil-kecilan. Sedangkan kini kejahilan yang besar-besaran sudah diamalkan secara sedar dan gah. Tiba-tiba satu rasa yang meluap-luap meruap di dalam dada. Tanpa dapat ditahan meluncur kata, “mungkin DNA rasuah lebih sukar dikesan.”

 

Mengesan DNA Rasuah

“Apa DNA rasuah?” sampuk teman bual saya yang masih di sebelah.

“Mungkin DNA rasuah lebih saintifik dan spesifik. Kerana itu ia lebih sukar dikesan. Masih ada yang tega, rela dan bangga membaham harta haram melalui jalan yang haram,” tegas saya.

“Wah, di mana makmal untuk mengesan DNA rasuah itu?”

“Dalam hati pada dada orang yang takutkan dosa dan neraka seperti Sayidina Abu Bakar dan Imam Syafi‘i,” tambah saya.

Lalu perbualan kami bersambung lagi, tentang cerita kemampuan figur muttaqin yang mampu mengesan DNA rasuah. Kisah Sayidina Abu Bakar memuntahkan susu yang masuk ke perutnya apabila disedari susu itu diperolehi daripada cara yang haram. Bagaimana cerita Imam Syfi‘i yang tidak makan kambing selama usia seekor kambing apabila diketahuinya seekor kambing untuk zakat sudah terlepas dan bercampur gaul dengan kambing-kambing lain.

Mereka berdua takut ‘termakan’ dan ‘memakan’. Tetapi kini umat ini hanya takut ‘termakan’ tetapi tidak takut ‘memakan’.  Aneh, bukan?

 
18 Comments

Posted by on 3 June 2014 in Mukmin Profesional

 

Tags: , , , ,

18 responses to “DNA RASUAH…

  1. Rita Z.J

    3 June 2014 at 3:26 pm

    Bila dosa dah jadi biasa..Hati sukar mengesan mana dosa dan mana pahala..
    Duhai hati..Mohon jgn terpesong bila Allah sudah tepatkan langkah..Allahummma Ameen

     
  2. Orchid garden

    3 June 2014 at 7:28 pm

    Reblogged this on Myblog's Blog.

     
  3. DALILA

    3 June 2014 at 10:31 pm

    Haza min fdhli robbi .. ustaz bawa kmi melihat dengan pandangan matahati .. jzakallah khair jazak

     
  4. em

    4 June 2014 at 1:05 pm

    Sikap tangguh kerja dan curi tulang berlaku di mana-mana malah dalam persekitaran menimba ilmu juga. Sebagai pelajar dan pelanggan( bayar yuran) kepada institusi, terpaksa telan pahit hempedu bila jadi mangsa. Kalau ikut hati boleh saja buat aduan ke pihak pengurusan, tapi atas dasar kemanusiaan memikirkan mereka mempunyai keluarga untuk diberi nafkah hasrat tersebut dipadamkan sahaja. Ingatkan bila kita layan baik dia akan berubah, makin teruk pula jadinya. Bagaimana status gajinya?

     
  5. Dora

    4 June 2014 at 5:09 pm

    Saya suka, amat mendalam tapi mudah difahami bagi yg memahami maksud tersirat yang tersurat.

     
  6. adamiahdaud

    5 June 2014 at 1:00 pm

    Salam,

    DNA rasuah…menarik tajuk dan isi yang ustaz bicarakan…terkesan juga..kerana dapat merenung dengan lebih meluas tentang dosa yang dilakukan tanpa sedar..dalam kata erti lain (kurang bermuhasabah) utk perkara sebegini…teringat juga dengan nasihat2 sahabat bila baca penulisan ustaz ini..bertambah peringatan buat diri..syukran ustaz.

     
  7. asma

    5 June 2014 at 3:18 pm

    terima kasih ustaz..perkongsian yang sangat bermanafaat..

     
  8. Ukhti Mawar

    8 June 2014 at 12:07 am

    sangat terkesan!

     
  9. spokett

    9 June 2014 at 4:24 pm

    saya tertanya2 akan perihal saya sendiri, ianya sudah berlanjutan sekian lama. syarikat tempat saya berkerja agak kurang kerjanya tetapi waktu bekerja masih seperti biasa dari 8.30 pagi hingga 5.30 petang. Alhamdulillah kerja dapat diselesaikan semuanya dan saya ada banyak masa terluang tanpa kerja. apakah masa yang terluang itu jika digunakan untuk membaca dan mendalami ilmu-2 agama juga menjadi suatu yang haram?

     
  10. MAH

    11 June 2014 at 3:42 pm

    As Salam Ustaz,

    Kesimpulannya bagi saya sebab itulah mereka yang akan masuk syurga bukan kerana amalan tapi kerana RAHMAT dari Allah SWT. Mereka yang mati syahid pun akan masuk syurga bukan kerana kesyahidan mereka tapi kerana kerana RAHMAT dari Allah SWT. Sepuluh para Sahabat yang dijanjikan syurga hatta para Nabi dan Rasul pun akan masuk syurga semata-mata RAHMAT dari Allah SWT.

     
  11. kamaruzaman pandak ahmad

    13 June 2014 at 9:20 am

    Begitu sukar rasanya mengharungi dunia pada era ini dengan iman yang lebih nipis dari kulit bawang…..semuga Allah melindungi dan membimbing ke jalanNYA. Laluan yang penuh liku-liku dalam bermujahadah menuju kepadaNYA.

     
  12. shamsiah

    15 June 2014 at 3:35 pm

    Syukran ustaz

     
  13. SiFu Empire

    15 June 2014 at 3:49 pm

    terima kasih atas peringatan yang berguna 😀

     
  14. sot

    26 June 2014 at 4:17 pm

    Hati2 dalam soal dosa. Acap kita nampak dosa haramnya babi tapi gagal peka akan dosa-dosa lain yang ada di depan mata. Setiap dosa itu berat. Memberatkan timbangan dosa di Mizan. Tiada istilah dosa yang ringan. Jauhi dosa sebelum berdosa. Jazakallah.

     
  15. Iman

    15 July 2014 at 9:16 am

    terima kasih kerana mengingatkannya lagi. walau tidak d komen harap ustaz tetap terus menulis kerana ada mata yg masih mahu membaca

     
  16. Ciktweettweet (@sitihumairah)

    16 July 2014 at 2:42 pm

    As slm ustaz,

    Sya nk bertnya mengenia halal dan haram dlm rezeki..Harap dpt di beri pencerahan mengenai masalah ini.
    begini ustaz, apkah hukum dan pandangan us. mengenai kerja yang dilakukan kerana terpaksa.
    Contohnya arahan dari majikan yg menyuruh kita membuat perlara yg tidak elok di dalam task yg dberikan. Sbg cth, mencampurkan produk yg tak elok ke dalam produk yg elok dan menjualnya kepada pelanggan. Jika tidak di buat, kita diugut untuk di pecat. Kita buat apa yg di suruh majikan tapi dalm pd yg sama kita secara sembunyi menyeli2kan product yg betul dn tak ikut arahanya. dlm erti kata lain, ada masa kita buat dan ada masa kita tak ikut arahan majikan itu (sbb2 tertetu).
    bagaimana hukum gaji yg di peroleh dan apa nasihat ustz dlm masalah ini. iAs slm.

     
  17. ASHINTURA

    16 July 2014 at 11:32 pm

    Setiap perkara HALAL dan HARAM menurut perspektif ISLAM perlu dijelaskan, dipamerkan dan diamalkan tanpa ada kepentingan peribadi dan politik dalam semua aspek kehidupan mulai pendidikan pra sekolah sehinggalah ke menara gading. Begitu juga di alam pekerjaan dan urusan kehidupan umat. Apabila ajaran ISLAM dipandang secara sempit dan tertumpu kepada ibadah lahiriah tanpa penghayatan sebenar maka kita lihat umat semakin buta untuk membezakan antara yang HAK dan BATIL dan terus-terusan bergelumang dengan DOSA sama ada disedari atau tidak.

     
  18. azimin

    24 August 2014 at 11:50 pm

    “Dia gementar dengan dosa.”

    “Tetapi masih dosa kecil, bukan?”

    “Dia bukan hanya melihat dosa tetapi kepada siapa dia berdosa. Dosa itu kepada Allah. Allah Maha Besar.”

    ……..Menjadi peringatan buat diri. Terima kasih Ustaz.

     

Leave a Reply

 
%d bloggers like this: