Looking for Something?

JADILAH RAJA… BARU BAHAGIA

Author:

images“Berapa lama awak dalam bidang ini?” Begitu kadang-kadang anda ditanyakan orang. Kemudian yang bertanya akan membandingkan pencapaian itu dengan pencapaian si polan itu, si polan ini. Silap-silap anda akan terasa kerdil bila si penanya akan meletakan ‘orang besar’ dalam bidang tersebut sebagai penanda aras kecapaian. Aduh, terasa anda masih jauh. Anda masih merangkak ketika orang lain telah berjalan, berlari dan melompat. Anda kalah, kalau jika sebaik sahaja perbualan itu tamat, anda mula merasakan, oh, malangnya nasib ku!

 “Berapa ramai anak di universiti?” Sebaik sahaja anda menjawabnya, si penanya akan bertanya, “dalam bidang apa? Doktor, jurutera, farmasi atau arkitek?” Jika anak anda berada di bidang-bidang lain, yang tidak dianggap ‘prestij’, si penanya akan menerangkan betapa ‘rendahnya’ nilai profesion anak anda itu jika bidang pengajiannya ‘biasa-biasa’ sahaja. Jika tidak berhati-hati, rasa rendah hati akan tersuntik tanpa disedari. Alangkah bertuahnya dia, alangkah ruginya aku…

 Itu belum lagi anda bertemu dengan ‘pak lawak’ yang merasa besar hanya kerana punya kenalan di kalangan ‘orang-orang besar’. Anda seperti hendak ketawa bila dia bercerita tentang Tan Sri itu, Puan Sri ini, Datuk ini, Datin itu, yang kononnya sangat akrab dengannya. Padahal dia hakikatnya hanya ‘pecacai’ sahaja kepada orang besar yang diuar-uarkannya itu. Keinginannya menjadi besar menyebabkan dia ‘kecil’ bila hilang harga diri dan suara hati sendiri ketika bergaul dengan ‘orang besar’nya. Angguk-angguk, tunduk-tunduk… Ya, Tok! Yes, Tan Sri!

 Perkara-perkara yang saya sebutkan di atas, mengingatkan saya kepada perbualan bersama Mat (bukan nama sebenar) seorang sahabat yang sangat akrab dengan saya.

“Bagaimana rasanya bila tidak dihargai?” tanya Mat. Nadanya sedih.

“Mengapa?” tanya saya simpati.

“Mereka masih melihat jawatan, harta dan nama.”

“Kau tidak perlu penghargaan mereka yang seperti itu.”

Dia merenung jauh.

“Kalau kita dihargai kerana berpangkat, berharta dan bernama, penghargaan itu hakikatnya bukan untuk kita tetapi untuk pangkat, harta dan nama.”

“Tetapi aku sedih… Setelah sekian banyak yang aku lakukan.”

 

“Jangan mengharap terima kasih Mat. Nanti kita sakit jiwa. Hakikatnya, majoriti manusia yang hidup di dunia ini tidak pandai berterima kasih. Jika kepada Allah pun hanya sedikit manusia yang mampu bersyukur, inikan pula kepada sesama manusia,” kata saya seakan memujuk.

“Aku sedih, itu sahaja…”

“Lupakan Mat. Aku kenal kau sejak dulu. Kau tak perlukan penghargaan kerana kau sememangnya berharga. Kata bijak pandai, jangan sedih kalau kita tidak dihargai tetapi sedihlah jika benar-benar kita tidak berharga.”

Mat mendongakkan mukanya yang sejak tadi tunduk.

“Apa maksud kau?”

Melihat Mat mula tenang saya mula bercerita. Ada dua cerita, secara santai saya mula bercerita:  Pertama, cerita tentang Nasiruddin seorang Sufi yang ketika dia masuk ke sebuah kampung, seluruh kampung mengalu-alukan kedatangannya.

“Selamat datang ulama, selamat datang orang alim… Ajarkan kami, ajarkan kami,” sorak penduduk kampung.

“Mengapa kamu semua merasakan aku orang alim?”

“Kerana serban besar yang tuan pakai.”

Nasiruddin pun membuka serbannya dan dipakaikan ke kepala keldai yang ditunggangnya.

“Nah, sekarang kau semua belajar daripada keldai ku. Dia alim sekarang, kerana telah memakai serban besar!”

Mat ketawa mendengar cerita saya.

“Kau tahu, Nasirudin tetap Nasiruddin walaupun tanpa serbannya. Yang lebih penting ialah diri kita bukan pakaian, gelaran dan harta yang kita miliki. Dan kita sebenarnya tidak perlu penghargaan orang asalkan kita pandai menghargai diri kita sendiri.”

“Betul ke?”

“Ini hasil kajian pakar psikologi Mat… Menurut mereka penilaian kita terhadap diri sendiri jauh lebih penting berbanding penilaian orang lain terhadap kita.”

“Jadi, jangan sampai penilaian orang lain mempengaruhi penilaian kita terhadap diri kita sendiri, begitu maksud kau?”

“Kau lebih tahu Mat. Lagipun apa gunanya penghargaan daripada orang yang sebegitu. Hidup terlalu singkat untuk kita berikan masa bagi mereka yang semacam itu.”

Cerita kedua: Seorang bijak pandai telah dijemput ke satu majlis jamuan makan. Dengan pakaian yang sangat sederhana bijak pandai itu pun pergi ke sana. Malangnya, setibanya di majlis itu dia tidak dijemput langsung untuk makan. Tuan rumah mengutamakan orang-orang kenamaan yang lain. Si bijak pandai pulang semula ke rumahnya lalu menukar pakaian yang mahal dan gemerlapan dan pergi semula ke majlis tersebut. Kali ini dia disambut dengan mesra dan dihidangkan makanan yang lazat. Si bijak pandai lantas menuangkan lauk-pauk dan makanan yang terhidang ke pakaiannya.  “Mengapa?” tanya orang ramai. Si bijak pandai menjawab, “tuan rumah hendak menjamu pakaian ku  bukan diri ku!”

Sekali lagi Mat ketawa.

“Mat, orang pandai kenal orang bodoh. Tapi orang bodoh tak kenal orang pandai. Life is to ‘complete’ not to ‘compete’ – hidup bukan satu pertandingan, tetapi satu perkongsian. Tinggalkan mereka yang asyik nak bertanding dengan harta, nama dan jawatan. Kita teruskan dengan perkongsian ilmu, iman dan kebajikan. Yang penting ikhlas. Memberi bukan untuk menerima. Berjuang bukan kerana nama!”

Kemudian, giliran  Mat pula bercerita – betapa ramai anak yang begitu ‘admire’ dengan Ibu Mithali yang dinobatkan oleh pihak itu dan ini sehingga mengecilkan jasa ibu sendiri. Kononnya, ibu Mithali itulah yang lebih baik daripada ibu mereka sendiri. Dan betapa ramai pula ibu yang impikan anak seperti mereka yang dianugerahkan ‘Pelajar Cemerlang’, ‘Remaja Dedikasi’ dan sebagainya… hingga merasakan anak sendiri kurang ‘harga’nya.

“Apa pesan awak untuk anak dan ibu seperti itu?”

“Aku katakan, ibu kita mungkin bukan ibu yang terbaik… tetapi sebagai anaknya, kita mesti nampak di mana kebaikan ibu kita sendiri.”

“Tepat Mat. Begitulah juga dengan diri sendiri. Kita ini bukan orang terbaik, tetapi kita mesti menghargai ‘kelebihan’ atau ‘kebaikan’ kita sendiri. Kita akan memajukan diri kita ke tahap maksimum selaras dengan kelebihan itu.”

“Ertinya kita bertanding dengan diri sendiri?”

“Betul tu, bertanding dengan diri sendiri, berkongsi dengan orang yang lain.”

Oh, alangkah tenangnya diri jika berpegang kepada prinsip sendiri daripada terpaksa hidup bermuka-muka dengan topeng yang dipakai oleh kepura-puraan manusia… hanya untuk mencari nama, harta dan jawatan. Saya teringat cerita seorang Raja bertanya kepada seorang petani miskin, “siapa kamu?”

“Saya raja,” jawab petani.

“Raja?”

“Ya, raja pada diri saya sendiri!”.

Feedback

15
  • zara

    Alhamdulillah.. Terima kasih Ustaz. Entry kali ini bersesuai dengan diri saya. Kadang-kadang hati mudah terguris dengan perbandingan sekeliling. Mudah berasa tidak sempurna. #Sedang berusaha untuk menjadi lebih baik.

  • Lynn9792

    Terima kasih atas perkongsian entry ini ustaz.

  • Shu

    Ahamdulillah…terima ksh utz…sy menumpang tuahnya mat krn tentunya mat berasa lega stelah mendgr cerita utz….itulhyg sy rasa. terima kasih

  • Solehah AnNur

    Alhamdulillah….Alhamdulillah….terima kaseh Ustaz atas perkongsian artikel ni…Moga ustaz diberi kesihatan, dirahmati Allah sekeluarga…aminn

  • Junita Saadon

    Terima kasih di atas perkongsian ilmu. Moga bermanafaat ..Insyallah..Teruskan menulis nukilan dan berkongsi rasa dan pengalaman.

    …………. Sygku Bidadari

  • sharamli

    Terima kasih ustaz. Kita selalu nampak kelebihan orang je. Bila tengok diri sendirik, rasa kerdil sangat.
    Bila baca artikel ustaz, baru rasa semangat.

  • atiah

    Salam ustaz…td attend kursus motivasi. Peserta diminta utk listkan kelebihan diri. Sy xblh nk fikir apa kelebihan diri saya. Sy cuma nampak kelemahan shj. Adakah saya terlalu memandang rendah pada diri sendiri?sy sedang berusaha utk jadi baik

  • Nad

    Entry yang sungguh bermakna…
    Saya pun agak terasa sejak melepaskan segala jawatan di luar hanya untuk kembali ke rumah demi keluarga..
    Kadang-kadang pandangan orang buat saya kecil hati..tapi saya tahu saya buat segalanya demi amanah yang Allah kirim pada saya 🙂

  • najwa

    syukur pada Allah.
    terima kasih atas tulisan-tulisan ustaz.
    =)

  • yaya

    bagaimana ingin merawat hati yang luka dan yang ditikam oleh sahabat baik sendiri sehingga hampir tergadai nyawa kerana kezaliman yang dilakukan oleh sahabat? walaupun bumi menghamparkan kehijauan alam, namun hati kelam dan suram. tidak mampu menggembirakan hati sendiri walhal sifat asal diri ini adalah ceria. bagaimana ingin menghidupkan kembali hati yang gelita?

  • Cik Aisy

    Alhamdulillah…
    Suatu perkongsian yg membuat saya terjaga…
    Terima kasih ustaz ..

  • rumahpapanku

    Alhamdulilah..terima kasih ustaz perkongsian yang menarik. sebenarnya kawan saya yg perkenalkan blog ustaz ne..sekadar pandangan saya, dalam perkahwinan saya rasa kominikasi adalah sangat penting, tapi bagaimana nak wujudkan satu komunikasi yang baik jika kita berbeza pendapat? boleh tak ustaz bagi saya sedikit pencerahan.terima kasih.

  • marwani

    Alhamdulillah…jazakallahukhairan ustaz, satu tulisan yg buatkan jiwa sy sedikit tenang saat diri sdg berperang dgn bisikan2 nafsu dan syaitan, Astaghfirullahal a’zim

  • rabiatul arriffin

    Memberi bukan untuk menerima. Berjuang bukan kerana nama (Y)
    Syukran ustaz.

  • azura

    perjalanan hidup ini bukan seindah cerita dongeng..namun selagi kita berpijak dibumi yang nyata.. mencari redha allah..in sha allah..segala yang terjadi menjadi indah sama ada untuk kenikmatan, ujian dan musibah untuk mengajar kita erti kekuatan

Leave a Reply

%d bloggers like this: