Looking for Something?

SAMA ADA BELUM BALIGH, GILA ATAU KAFIR…

Author:

poster-kempen-tutup-aurat-3“Saya setuju benar, wanita yang tidak menutup aurat ini sama ada dia gila, belum baligh atau orang kafir,” tekan suaranya dengan nada tinggi.

“Bagaimana dengan wanita itu…” ujar saya sambil menunjuk kepada seorang remaja perempuan yang sedang berjalan tidak berapa jauh di hadapan tempat kami berbual. Remaja wanita itu berbaju T dan berseluar jeans.

“Mengapa?”

“Dia tidak menutup aurat bukan? Tolong nyatakan siapa dia? Dia belum baligh, gila atau kafir?” tanya saya.

“Salah satu daripada tiga golongan itu.”

“Yang mana satu?” asak saya minta kepastian.

“Kafir?” jolok saya.

Dia menjawab dengan menggelengkan kepala.

“Gila?” tanya saya lagi.

Dia masih diam. Saya yakin naluri hatinya tidak sanggup menghukum begitu.

Ya, sejak tadi kami berbual tentang sebuah poster yang terentang di tepi jalan di taman perumahan kami. Poster yang sederhana besar itu terpampang ‘gah’ dengan kata: Wanita yang tidak menutup aurat itu sama ada belum baligh, gila atau kafir. Dia sangat bersetuju dengan maksud poster itu. Sebaliknya saya tidak. Pada saya ayat-ayat itu terlalu kasar untuk menyeru wanita menutup aurat.

“Kita perlu tegas.”

“Saya setuju. Tetapi itu bukan tegas, itu keras. Terlalu keras,” balas saya.

“Kita tidak boleh berlembut lagi, hukum menutup aurat sudah jelas termaktub di dalam Al Quran. Menolaknya jadi kafir…”

“Saya tidak bercakap dalam konteks hukum tetapi soal bagaimana hendak mendidik manusia agar mematuhi hukum. Saya bercakap tentang dakwah. Dakwah perlukan sikap yang lemah lembut dan hikmah.”

“Saya kira sikap macam saudara inilah yang menyebabkan hukum Islam dipijak dan diinjak. Mengalah, mengalah. Itu bukan lemah lembut tetapi lemah lembik!’ cebiknya seakan mengejek.

Saya diam. Mencari-cari kata untuk bersuara. Namun, jauh di sudut hati saya telah membuat janji pada diri. Api tidak akan dilawan dengan api. Maksudnya, saya tidak akan melenting, marah dan meninggikan suara dalam menghadapinya.

“Lemah lembut bukan seperti agar-agar sebaliknya seperti air,” kilas saya perlahan.

“Awak belajar dari air? Hebat..” katanya dengan nada sinis.

Tanpa melayan provokasinya saya terus berkata, “air memang lembut tetapi batu yang keras boleh lekuk dan dapat ditembusinya.”

“Ok, kalau begitu. Cuba berikan ayat yang awak rasa sesuai.”

“Tutup aurat supaya selamat,” balas saya cepat.

Ha, ha, ha… dia ketawa berdekah-dekah.

Saya terdiam. Terasa juga kata-kata itu terlalu ‘simple’ dan ‘direct’.

“Kalau awak pula?” kata saya untuk menghentikan ketawa.

“Dedah aurat akan dilaknat!”

Saya senyum sambil merenung wajahnya.

“Apa? Kasar? Kutuk? Menghina?” terjahnya bertubi-tubi.

Saya masih tidak bersuara. Terasa diri seperti ‘punching bag’ yang ditinju berkali-kali.

“Pada saya wanita yang mendedahkan aurat layak dan patut dikutuk. Mereka derhaka terhadap perintah Allah Pencipta mereka.”

“Awak membenci…” keluh saya perlahan.

“Ya saya membenci orang yang melakukan kemungkaran. Kebencian semacam itu adalah daripada iman.”

“Awak benci pendedahan aurat atau orang yang mendedahkannya?” tanya saya, mula ‘menyerang’ setelah sekian lama bertahan.

“Maksud awak? Saya tak faham…”

“Awak benci kemungkaran atau pelakunya?” kata saya menjelaskan persoalan.

“Kedua-duanya. Asal yang bernama mungkar saya membencinya.”

“Maaf, saya rasa itu tidak berapa tepat. Kita perlu benci kemungkaran… itu saya setuju. Tetapi kita tidak boleh membenci pelakunya.”

Tiba-tiba saya teringat kata-kata yang pernah saya masukan dalam Muka Buku (FB) saya, “dengan kebencian kita mencegah kemungkaran tetapi dengan kasih sayang kita mendidik manusia yang melakukannya. Dakwah itu menanam rasa bersalah dalam diri pendosa bukan rasa dipersalahkan oleh pendakwah kerana dosanya.”

“Kenapa tidak boleh?”

Kata-kata itu mengejutkan saya semula.

“Supaya dia tidak terus melakukan kemungkaran.”

“Bagaimana?” tanyanya kehairanan.

“Tanpa kebencian, dengan kasih-sayang, kita boleh mendekati, menyeru dan berdakwah kepada pelaku kemungkaran. Kita cuba fahami dan selami hati dan fikiran orang yang melakukan kemungkaran itu.”

“Selami dan fahami hati dan fikirannya… maaflah tidak ada masa.”

“Pendakwah sentiasa melapangkan masa untuk orang yang hendak diserunya. Nabi Nuh AS telah meluangkan masa 950 tahun untuk menyeru umatnya.”

“Tak akan mereka tidak faham-faham lagi, dedah aurat itu haram!”

“Pendakwah mesti bertindak untuk memahami dahulu orang yang hendak diserunya kemudian barulah seruannya difahami.”

“Apakah lagi yang perlu kita faham tentang wanita-wanita ‘pendedah’ aurat ini?”

”Sebelum saya jawab, saya mohon awak tukar ayat ‘pendedah’ aurat kepada mendedahkan aurat…” tegas saya.

“Kenapa?”

“Ayat ‘pendedah’ aurat itu sudah melabel. Pendakwah tidak boleh melabel. Kita perlu fokus kerana perbuatannya bukan peribadinya.”

“Baiklah. Ikut suka awaklah.”

“Kita perlu memahami dan menyelami kenapa mereka mendedahkan aurat. Apakah kerana mereka jahil, tidak mampu melawan hawa nafsu, ada kepentingan atau ada fahaman salah yang menjadi pegangan mereka sebagai prinsip hidup?”

“Wah, begitu terperinci… sukar benar untuk menjadi pendakwah.”

Saya tidak pasti apakah kata-katanya itu satu pengakuan atau masih satu sindiran. Biarlah. Saya tidak mahu, dan tidak perlu ‘menghukum’.

“Untuk mengubah benda yang bersifat fizikal pun perlukan ilmu, apatah lagi untuk mengubah hati dan fikiran,” kata saya.

Teringat ungkapan yang saya tidak pasti sumbernya tetapi pengajarannya cukup tinggi. Kata-kata yang terpahat dalam ingatan sejak mula berjinak-jinak dengan aktiviti dakwah sejak di sekolah menengah dulu. Ungkapan berbunyi, “jika ada orang memberitahu gunung Uhud itu telah berubah, kau boleh mempercayainya. Tetapi jangan percaya kalau dikatakan hati seseorang itu telah berubah sebelum kau melihatnya sendiri.”

“Anak perempuan dan isteri awak menutup aurat?” tanya saya apabila melihat dia mula ‘slow’. Saya tahu itu satu soalan yang mengejutkan.

“Eh, awak ni… Apa awak ingat saya ni jenis cakap tak serupa bikin? Anak perempuan saya sejak kecil sudah menutup aurat. Begitu juga isteri saya.  Ayah mertua saya seorang ustaz.”

“Bagaimana anak perempuan awak menutup aurat?”

“Saya didik dia. Saya beri ilmu. Saya latih, saya bimbing.”

“Dengan kasih sayang atau kasar?”

“Siapa tak sayang anak…” akuinya terus terang.

“Tahniah. Saya pasti awak tidak akan gunakan perkataan gila, kafir dan sebagainya kepada anak awak dalam usaha mendidiknya supaya menutup aurat bukan?”

Dia diam. Kali ini diam yang panjang. Saya kira, dia sudah sedar pengakuannya secara tidak sedar mengakui apa yang saya katakan sejak tadi.

“Seorang pendakwah mesti menyayangi orang yang diserunya seperti seorang ayah menyayangi anaknya… justeru bahasanya lembut, tegas tetapi tidak keras, memujuk bukan mengutuk. Menanam rasa bersalah bukan rasa dipersalahkan dalam hati orang yang diserunya.”

“Saya setuju. Tetapi jika mereka di tahap kedegilan melampau takkanlah kita hendak guna bahasa yang lemah lembut juga. Pada saya hikmah itu bukannya sentiasa berlemah lembut. Ada kalanya perlu keras dan tegas.”

“Hikmah kita merujuk kepada Al Quran dan Sunah. Ingin yang sampaikan satu kisah yang ada kaitannya dengan apa yang kita bincangkan sekarang?”

Dia mengangguk. Akur. Lalu saya ceritakan kisah di dalam Al-Quran membawa Nabi Musa dan Nabi Harun menasihati Firaun seperti diungkapkan dalam surah Taha (20: ayat 43-44),  “pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melewati batas. Maka berbicalah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lembut, mudah-mudahan dia ingat atau takut.”

Saya ceritakan juga betapa suatu ketika Khalifah Al-Makmun Ibnu Harun Ar-Rashid telah didatangi oleh seorang pendakwah yang mengkritiknya dengan bahasa yang keras dan pedas lalu Khalifah Al-Makmun menjawab ‘Nasihatilah aku dengan sopan kerana Firaun itu lebih jahat daripada aku Nabi Musa itu lebih baik daripada kamu, namun demikian Nabi Musa menggunakan bahasa yang baik untuk menasihati Firaun.

“Apa yang kita pelajari daripada kisah-kisah itu?”

“Pada hati seorang pendakwah yang ingin menegakkan kebaikan dan mencegah kemungkaran perlu sentiasa ada bisikan: Dia bukan Firaun dan kau bukan Nabi Musa AS!”

“InsyaAllah…”

“Kita jangan menghina pendosa seolah-olah kita tidak pernah berdosa.”

“… tetapi kita menyeru, menegur dan mengingatkan pendosa kerana kita sendiri pernah merasai kepahitan, keperitan dan keresahan hati akibat dosa. Kita mesti menyayangi mereka seperti kita sayangkan anak-anak kita bahkan diri kita sendiri,” kata saya. Kali ini, saya pula yang meluahkan kata secara bertubi-tubi.

“Ya… ya. Saya rasa ayat awak, tutup aurat supaya selamat lebih baik daripada ayat saya, dedah aurat akan dilaknat,” akuinya tiba-tiba.

Ha, ha, kali ini saya pula ketawa. Saya memegang bahunya erat-erat. Itulah bahasa tubuh untuk menghantar isyarat bahawa saya ingin rapat, menyayangi dan memahaminya. Tidak ada siapa yang menang kecuali kebenaran.

“Saya akan mengubah tanggapan terhadap wanita yang mendedahkan aurat… Mereka perlu dikasihani dan disayangi, bukan dikutuk dan dibenci.”

“Ya, marilah kita perangi kejahilan dan kedegilan dengan senjata…”

“Senjata?”

“Senjata kasih sayang..”

Kami ketawa.

Ketawa yang akhir ini lebih bermakna dari ketawa-ketawa kami sebelumnya kerana kali ini kami ketawa bersama!

 

 

 

 

Feedback

9
  • Maria.

    Suka dengan perkongsian ini. Setuju dengan ustaz berdakwah dengan kasih sayang.
    Selamat berdakwah.

  • zana

    Congratulation!
    Good Job Ustaz.

  • Norbaiti Ridzuan

    “Kita jangan menghina pendosa seolah-olah kita tidak pernah berdosa.”
    kita selalu terlupa….. terima kasih ustaz… :'(

  • Wan Rozah

    As Salam , terima kasih ustaz. Satu pendekatan yang sungguh baik untuk menegur seseorang..

  • Azlan Lin

    Benar..
    hanya kebenaran akan muncul apabila benar-benar mengerti dengan penuh kefahaman akan kalimah BISMILLAHIRAHMANIRRAHIM..
    * ibu segala ayat…

  • edasyuhada

    i’ve read dis article.it’s already mentioned in majalah Solusi by ustaz pahrol..saya setuju dgn kebanyakan pandangan sisi Ustaz bila mengulas sebarang isu dakwah..lembut tapi berhikmah..itu lebih baik!

  • Nor Obaidah

    Syukran ustaz! Jazakallah

  • Nik Faizal

    Jeles btul sy dgn tn hj….
    kalau saya brada d tempat tn hj. sy cpt surrender…
    sy cepat sakit ht, mkn ht, merajuk trutama dg kt2 sindiran…
    artikel ini ckp mengajar sy bljr mnjd pendakwah…
    sabar, hikmah dan mauizah hasanah prlu sy gilap lg..
    tp ambil ms mgkn…

  • Syazana Jamaludin

    Terima kasih ustaz. Dalam kita mengajak orang ke arah kebaikan seringkali kita lupa elemen kasih sayang dan emosi itu sangat penting.

Leave a Reply

%d bloggers like this: