Looking for Something?

WASIAT SEORANG ISTERI…

Author:

isteriSOLEHAH(Tulisan buat seorang sahabat)

Waktu menunggu sehingga dinihari di wad kecemasan hari itu rupa-rupanya ‘hadiah’ untuk saya menunaikan janji kepada seorang sahabat. Kengerian ketika melihat sendiri beberapa kemalangan kritikal, antara hidup dengan mati, antara pertemuan dengan perpisahan itu sangat melembutkan hati buat mencoret kata-kata yang penuh makna. Begini mungkin rasa hati sahabat yang ditinggalkan itu.

Ya, dalam sepi itulah kenangan ‘bersuara’ kembali. Sudah lama tidak bertemunya. Namun, usai memberi ceramah tentang keibubapaan pada hari itu, saya menerima panggilan telefon daripadanya. Kami pernah mesra dan terus mesra. Hanya waktu dan tugasan yang berjauhan memisahkan kami sekian lama. Suaranya kesedihan. Jelas dia sedang menanggung satu duka yang sangat mendalam.

“Masih terasa kesedihan ini,” katanya terus menangis.

Saya hanya mampu berdiam diri dan terus setia mendengar di hujung talian. Dia memang lebih tabah daripada saya. Justeru, Allah mengujinya dengan kematian isteri. Dia tabah dan layak diuji. Allah memilihnya. Jika tidak mampu, Allah tidak akan memilihnya kerana Allah akan menguji sekadar kemampuan diri untuk menghadapinya. Allah tidak akan menguji melebihi batas kemampuan kita.

“Masih terngiang-ngiang suara dia mengejutkan saya untuk bangun tahajud. Setiap Isnin dan Khamis dia akan berpuasa. Dan saya yang tidak sekuatnya berpuasa akan menemani dia berbuka. Indahnya saat itu. Pada setiap hari Ahad dan Rabu, terdengar suaranya meminta izin kepada saya untuk berpuasa sunat.”

Saya masih diam. Terus merenung. Seolah-olah saya melihat wajahnya yang sayu ketika mendengar suaranya yang sendu. ‘Suami ini sangat mencintai isterinya’, bisik hati saya. Mampukah saya mencintai isteri sepertinya?

Wasiat Daripada Isteri

“Ada satu wasiat. Dia minta saya sampaikan sendiri kepada ustaz. Saya hanya berani menyampaikannya setelah setahun dia pergi.”

Saya terkejut. Ini kali pertama saya menerima wasiat daripada seorang yang tiada pertalian darah dengan saya. Tanpa menunggu respons daripada saya dia menyambung, “Dia berwasiat meminta saya mewakili dirinya minta halal segala ilmu yang dia pernah dapat daripada ustaz. Minta saya kirimkan salamnya kepada ustaz.”

‘Jika hanya itu, mengapa menunggu sehingga setahun’, bisik hati saya.

“Saya hanya mampu menyampaikan semua ini hari ini. Saya tidak mampu menyampaikannya lebih awal kerana tidak sanggup menahan tangisan. Ustaz, buku ustaz sentiasa menemaninya. Buku Di Mana Dia di hatiku? yang ada di tangan saya sekarang, itulah teman dia apabila bermusafir dengan saya.”

“Subhanallah. Dia lebih baik daripada saya,” kata saya perlahan. Hanya kata-kata itu yang mampu saya luahkan. Ketika ada pembaca yang telah mendapat manfaat daripada tulisannya, ironinya si penulis sendiri masih terkial-kial dalam bermujahadah untuk mengamalkan apa yang ditulisnya.

“Ustaz, dia boleh dikatakan seorang mualaf. Islamnya tidak selama kita. Tetapi amalannya sangat jauh berbanding saya, suaminya. Dia jarang mengecewakan harapan orang. Sekiranya orang meminta pertolongan dia akan menolong. Tidak pernah berkata tidak kepada permintaan dan harapan orang.”

Saya tidak pernah menemui Allahyarham isterinya. Namun, sahabat saya itu memang antara sahabat yang baik. Jarang bertemu, tetapi sewaktu muda kami memang akrab. Dia seorang yang sangat setia dan tidak pernah mengecewakan ketika diminta pertolongan.

“Sungguh sedih, saya tidak dapat melihat dia ketika dikebumikan. Kami mengalami kemalangan dalam perjalanan pulang dari utara. Malam itu Allah uji saya. Dia meninggal serta merta dan saya pula koma beberapa minggu. Sedar-sedar, saya dapat berita dia telah tiada.”

“Ustaz, saya kehilangan sahabat setia dalam perjalanan menuju Allah. Dia pergi dulu. Ingat ustaz, dia berwasiat minta halal semua ilmu dan minta saya kirim salam, dengan lafaz ‘assalamualaikum’ kepada ustaz.”

“Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh,” jawab saya.

Sedih Tanda Cinta

“Boleh ustaz berikan nasihat dan kata-kata semangat untuk saya?” katanya terus hiba.

“Insya-Allah, saya akan menulis. Kisah peribadi ini boleh kita kongsi bersama dengan orang lain. Insya-Allah, tolong doakan saya mampu menulis amanat dan wasiat untuk kita, insan yang telah dan akan ditinggalkan.”

“Saya masih mengenangnya.”

“Itu fitrah. Mengenang kebaikan ialah satu kebaikan.”

“Saya menangisinya.”

“Itu juga fitrah, cuma jangan keterlaluan. Selagi ada cinta selagi itu ada tangisan.”

“Seperti semuanya masih baru.”

“Kasih sayang tidak pernah tua. Sentiasa muda dan basah dalam ingatan!”

Setelah saling berpesan dan mendoakan kami pun menghentikan perbualan. Hari berganti hari, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan. Janji untuk menulis masih tidak tertunaikan. Kesibukan menulis dalam subjek yang lebih ilmiah menggugat rentak menulis sesuatu yang lebih emosi dan sentimental seperti permintaannya.

Sekarang, saya membelek kembali buku Di Mana Dia di Hatiku. Saya baca kembali apa yang telah saya tulis. Bukan untuk sahabat saya itu sahaja tetapi untuk diri sendiri. Kepada kita yang telah, sedang dan akan ditinggalkan dia yang tersayang, bersedialah dengan satu persoalan. Persoalan yang pahit tetapi pasti: Andai dia pergi dulu sebelummu!

Andai Dia Pergi Dulu Sebelummu

Untuk diri ini, dirinya dan untuk pembaca, saya tuliskan pesan dan amanat ini:

Andai dia pergi dulu sebelummu…

Sepuhlah air mata dan teguhkanlah jiwa. Kita yang masih hidup perlu menyambung perjuangannya. Tidak mengapa bersedih seketika. Itu fitrah jiwa. Namun sederhanalah kerana esok kau mesti bangkit semula. Katakan kepada diri, ya… kau telah pergi, pergi bersama doaku. Kau tunggu di sana, pasti aku akan menyusul nanti!

Andai dia pergi dulu sebelummu…

Tanyakan pada hatimu yang sebati dengan hatinya, apa yang dia inginkan jika dia masih di sisi? Renung wajah anak-anakmu, luaskan fikiran melampaui jangkauan kesedihan. Anak-anakmu punya masa depan. Di tanganmu segala cita-cita dan harapan. Jangan sampai nestapa ini menjadi halangan. Apakah kautega mengecewakan?

Andai dia pergi dulu sebelummu…

Katakan kepada diri, akan kugalas amanah ini. Sekiranya terpaksa bertongkat dagupun, aku tidak akan lemas dipagut sendu. Berjuanglah, agar dia mampu tersenyum di alam barzakh. Oleh nukilan doa anak yang soleh dan solehah. Kalau benar cinta itu setia, anak-anak itulah titiannya. Di jambangan munajat, di taman ibadat, tentu ada mata air pahala… yang mengalir selamanya… sentiasa!

Andai dia pergi dulu sebelummu…

Walaupun dia tidak akan kembali lagi, tetapi itu bukan akhir pertemuan. Dulu kita bertemu untuk berpisah.  Kini kita berpisah untuk bertemu. Inilah jalan takwa yang telah dilalui oleh seluruh Ummahatul Mukminin ketika ditinggalkan Rasulullah. Syukur kau terpilih untuk melalui jalan itu. Jalan mujahadah di lebuh raya mehnah. Kau terpilih, bukan tersisih. Terpilih untuk merasai mehnah Ilahi, tradisi hidup Ummahatul Mukminin yang ditinggalkan suami!

Andai dia pergi dulu sebelummu…

Sibukkanlah dirimu. Beribadahlah sehingga kau letih untuk merasa sedih. Gembirakanlah hati mu dengan menggembirakan orang lain. Carilah peluang kebajikan dan kebaikan yang bertaburan. Bila sesekali kesedihan datang tanpa diundang, berwuduk dan bacalah al-Quran. Dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu satu kerehatan. Menangiskan, bukan kerana kau lemah tetapi kerana fitrah, kerana telah begitu lama kau mengempang kesedihan!

Begitulah setiap kali Rasulullah bila terasa gundah… diadukannya kesedihan kepada Allah. Lalu masyhurlah kata baginda yang apabila nestapa melanda, “Aku hamba Allah, Allah tidak akan mengecewakanku.

Andai dia pergi dulu sebelummu…

Bisikan ke dalam hati mu yang paling dalam. Dia bukan milikku. Dan aku pun bukan miliknya. Pemilik segala ialah al-Malik. Dialah yang memiliki dan menguasai segala-galanya. Pada kita hanya amanah, sampai masanya terpaksa diserah.Jangan ada rasa dimiliki, dan jangan ada rasa memiliki.

Bila terasa sepi, jangan katakan aku sepi… tetapi katakan padaku sentiasa ada yang menanti. Tunaikan amanah, perhebatkan ibadah semoga kita dan dia melangkah ke syurga!

Tulisan itu berhenti di situ. Seolah-olah tidak berdaya lagi hati meneruskannya. Untuk diri dan siapa sahaja yang bernama suami yang belum ditinggalkan, maka ingin jua saya berpesan agar hati tidak terkilan ketika dia meninggalkan.

Jika Dia Masih Bersama

Inilah pesan buat diri sendiri dan para suami yang telah berusia, sedangkan si dia masih di sisi:

Sungguh, kau jangan lupakan dia. Dia yang sejak awal rela untuk bersamamu – mengharungi denai dan ngarai. Pada segala kesusahan yang dirasainya sejak mula. Isterimu, adalah sayap kiri. Pelengkap kembara kita melayari suka dan duka, ria dan nestapa dalam kehidupan yang sementara. Aku pasti dia telah tua sekarang. Tenaga wanitanya pasti dipagut usia dan gelombang rasa.

Pada usia yang hampir mencecah pertengahan abad, tidak kira ketika kariermu sedang di puncak atau masih terus mendaki, kau tidak punya alasan untuk meminggirkan dia. Tergamakkah kau mematahkan tongkat yang membantumu melangkah, atau membakar jembatan yang telah membawamu ke seberang? Jangan, jangan begitu. Bukankah tidak bersyukur kepada manusia kekadang mencacatkan syukur kita kepada Allah?

Apa salahnya kauteladani Rasul yang mengenang jasa Sayidatina Khadijah? Isteri yang memberi selimut sewaktu Baginda kedinginan dilanda wahyu pertama? Ketika segalanya meminggir, Khadijah tega dan sedia menjadi insan terhampir. Segalanya diserahkan kepada perjuangan suami kerana dia dan suami adalah satu. Satu hati menegakkan kalimah yang satu di lautan berhala yang beribu!

Tergenang air mata Rasul bila mengenangkan Khadijah. Jauhari yang mengenalnya sewaktu gelap jahiliah. Orang lain buta, tetapi Khadijah tidak. Dia tetap mengenal permata di tengah celahan kaca. Lantas dia menjadi mahkota di hati Rasulullah. Dukacita Nabi atas pemergiannya diubati oleh peristiwa besar Israk dan Mikraj. Lalu Tahun Dukacita abadi dalam sejarah – nostalgia duka yang berbekas di hati Rasulullah.

Ketika hidupnya dan selepas pemergiannya, Rasul mengenangnya. Tatkala ada hidangan yang hendak dinikmati, sering Rasul berpesan, “Kirimkan kepada kawan-kawan Khadijah.” Siapa yang menghantar makanan ke gua Hira’ ketika Nabi Muhammad gelisah di tengah amukan jahiliah. Siapa pula yang menahan kesukaran untuk hamil dan melahirkan cahaya mata Rasulullah? Kita tentu akur bahawa srikandi cinta Rasul ialah Sayidatina Khadijah.

Walaupun isteri kita tidak sebaik Khadijah, kerana kitapun tidak semulia Muhammad, namun apa salahnya cinta sejati itu diteladani dalam mengharungi cinta suami-isteri masa kini. Yang berubah hanya ‘alat-alat’ teknologi, tetapi bukan soal hati. Hukum cinta tetap abadi dan hakiki – untuk disayangi, mesti terlebih dahulu menyayangi!

Jangan kau lupakan jasa insan yang bersama mu ketika kau ‘merangkak’ agar engkau tidak tersungkur semula bila sudah di puncak. Jika alam boleh bersuara, pasti semuanya akan mengingatkan betapa besarnya ‘saham’ seorang isteri pada kejayaan seorang suami.

Jangan kau melupakannya kerana melupakannya bererti kau melupakan dirimu sendiri. Jangan melihat ‘pucuk muda’ di hujung dahan sehingga kau lupa ‘akar tua’ yang menumbuhkan pepohonan. Insan semulia Muhammad itupun masih mengenangkan jasa isteri, apalagi kita insan yang biasa-biasa ini…

Jangan gigit tangan yang terus rela dan tega bersamumu dalam perjalanan ini. Kenang dan balas jasanya sementara dia masih ada. Pesanku, buatmu dan buatku jua… jangan lupakan ‘Siti Khadijah’ kita!

Feedback

11
  • zarina kamaruddin

    Al fatihah untuk yg telah pergi juga yg masih disisi. Tk kerana mengingatkan tugan kita disini

  • zara

    Subhanallah… Moga ramai yang mendapat manfaat dari penulisan ini.

  • Halimi

    Saya memiliki buku Dimana Dia dihatiku … Berapa kali air mata menitis bukan sahaja kerana bahasa dan isinya tetapi kerana terasa kekerdilan diri saya … Syukur pada Allah dan terima kasih ustaz atas kurniaan ‘rasa’ ini …

  • Wan Rozah

    As salam, sebak hati membacanya. Terima kasih ustaz di atas ingatan untuk seorang suami.

  • Thuraiya

    masya allah…sebak membacanya.

  • Munirah Nor Shamsudin

    Begitu tersentuh dengan penulisan ustaz ni, terlalu menyentuh hati, betapa jauhnya diri ini utk menjadi baik spt ini.. Semoga Allah bantu.. Al-fatihah buat arwah..

  • Manusia Berubah

    Subahanallah.. indahnya cinta yang halal dan diteladani redha Allah.. sungguh menusuk ke qalbu..

    Semoga saya juga diberi kekuatan dan kesabaran untuk menjadi “Saidatina Siti Khadijah” buat suami yang dicintai…. 🙂

  • Sa'diah

    Alhamdulillah, tulisan yang sering memberi kesan yang positif di hati saya. Baru-baru ini saya baru tahu yang siaran Ustaz di IKIM boleh didengar di youtube. Alhamdulillah, sedang mendengar one by one, nak mendengar live tidak sempat. Sangat membajai jiwa!

  • Noraini

    Sedih membaca tulisan ustaz. Terimakasih kerana meluangkan waktu untuk menulis dan berkongsi. Saya teruja untuk membaca buku Di mana Dia di hatiku setelah membaca tulisan ustaz lalu saya ke perpustakaan untuk meminjam buku tersebut.

  • WM.ZIKRI

    Sarat pengajaran utk dikenang…
    Semoga kita menjadi “Muhammad” yg sentiasa tdk lupa jasa besar seorang isteri tatkala dilanda gundah…tetap teguh di sisi…
    Semoga kita menjadi “Khadijah” yg setia di sisi xjemu memberi khidmat pada satu susuk tubuh yg bakal menjadi “pintu” syurga kita…

Leave a Reply

%d bloggers like this: