Looking for Something?

Jagalah Allah, Allah akan menjaga mu!

Author:

Beberapa catatan saya kongsikan dalam buku saya BEDUK DIKETUK LAGI.

bkt 00100-700x700

 

 

Catatan 1: Allah menjaga auratnya

Kami berbual tidak lama. Ketika dia menghabiskan catatan dalam buku

harian kerjanya, mungkin. Saya pula menunggu giliran untuk masuk melawat ahli keluarga yang sakit.

“Alhamdulillah, sekarang majoriti jururawat beragama Islam menutup aurat,” kata saya kepada seorang jururawat senior yang duduk berdepan dengan tempat saya menunggu.

“Satu perjalanan panjang. Proses yang berliku-liku, akhirnya Allah izinkan kami menutup aurat,” balasnya dengan senyuman.

“Tentu ada kenangan yang manis,”  jolok saya untuk menghidupkan perbualan.

“Memang ada. Sampai sekarang masih menjadi ingatan, aspirasi dan pembakar semangat saya. Maklumlah, ujian pasti datang bertali arus. Tetapi saya dapat kekuatan setiap kali mengenangkan peristiwa itu.”

Diapun mula bercerita. Cerita lama. Telah berlaku lebih kurang 30 tahun yang lalu.

“Ketika itu saya bertugas di hospital besar di sebuah bandar. Pada waktu itu, memakai tudung untuk wanita yang berkarier seolah-olah suatu ‘larangan’. Masyarakat masih memandang serong hukum menutup aurat,” ceritanya semakin rancak.

“Satu hari seorang wanita akhir 20-an, seingat saya, dimasukkan ke dalam wad dan saya antara petugas yang menjaganya. Sakitnya agak kronik.

“Wanita ini sangat baik, tutur katanya lembut dan berakhlak. Dia paling menjaga waktu solat dan sentiasa dalam keadaan menutup aurat. Maklumlah ada juga petugas dan doktor lelaki yang bertugas di dalam wad tersebut.

“Acap kali dia pengsan. Sebaik tersedar, pertanyaan pertamanya ialah, sudah masuk waktu solat? Kemudian dengan cepat dia akan membetulkan kain tudung yang menutup auratnya. Dia sangat cakna dan prihatin betul dengan solat dan auratnya.

“Lama dia di dalam wad. Perihal sikapnya yang sangat menjaga waktu solat dan menutup aurat itu dimaklumi petugas hospital dan pesakit di wad berkenaan.

“Bukan sahaja Muslim, malah doktor dan petugas bukan Islam pun menghormati prinsip wanita tersebut. Mereka akan berhati-hati apabila berdepan dengannya.”

“Bagaimana dengan sikapnya yang lain?” tanya saya.

“Sikapnya yang lain?”

“Maksud saya keperibadiannya selain solat dan menutup aurat?”

“Dia baik dan hormat dengan semua orang, tidak kira Islam atau bukan Islam. Walaupun menutup aurat, penampilannya sangat dijaga. Sangat menjaga kebersihan dan masa. Tapi itulah, sakit barahnya sudah sangat parah. Tahap kritikal. Kira-kira dua bulan kemudian dia meninggal dunia. Hari kematiannya itu yang paling mengesankan…”

Saya diam. Saya melihat suaranya mula tersekat-sekat. Air matanya mengalir.

“Tak sangka lepas solat Subuh pagi itu dia meninggal dunia. Ketika meninggal dunia kain tudung yang menutup wajahnya terbuka sedikit kerana mukanya sudah jatuh di sebelah. Beberapa helai rambutnya terjuntai keluar. Bayangkan, seorang doktor bukan Islam segera berkata pada saya dan rakan jururawat yang lain, cepat-cepat tutup semula, rambutnya sudah terkeluar!”

Saya terkejut. Masya-Allah.

“Tuan bayangkan, orang bukan Islam pun sangat menghormati prinsipnya. Seperti mana dia menjaga auratnya semasa hidup begitulah Allah menjaga auratnya setelah dia meninggal dunia sehingga Allah gerakkan hati orang bukan Islam membantu menutup auratnya.”

“Sejak itu?”

“Sejak itu saya dan beberapa orang kawan lagi tekad menutup aurat. Mula-mula tu dengan skarf sahaja. Lama-kelamaan meningkat sedikit demi sedikit sampailah semacam ni. Kami sangat tersentuh dengan sikapnya.”

Saya senyum. Begitulah hebatnya berdakwah melalui akhlak dan sikap. Tidak payah banyak cakap. Tidak tunggu sihat, orang beriman ketika sakit pun masih mampu berdakwah.

Dakwah itu umpama akar, yang lembut dan keras dapat ditembusinya. Dakwah itu umpama air, tidak dapat disekat, akan tekad mencari arah untuk terus mengalir.

 

Catatan 2: Muslihat dengan Selawat

Tiba-tiba, kereta saya dilanggar dari belakang. Saya terpaksa berhenti di persimpangan sebuah bulatan.

Seorang lelaki Melayu keluar dari sebuah kereta mewah.

“Assalamualaikum. Allahumma salli ‘ala Muhammad,” ujar pemandu kereta mewah itu berkali-kali sambil menghulurkan tangan, bersalaman.

Saya menjawab salam dan kemudian terus berjabat tangan.

“Selesai cara mudah sahaja. Kita orang Islam.”

“Ya. Ya,” jawab saya sambil memerhati kerosakan kereta. Kereta mewah yang dipandunya tidak rosak apa-apa tetapi kereta saya teruk. Congak saya, jika dihantar ke kedai anggarannya tidak kurang RM500.

“Ya, kita buat cara mudah. Kita saling bermaafan sahajalah. Lupa-lupakan sahaja. Lagipun saya tidak sengaja.”

“Tapi tuan melanggar dari belakang. Ini satu kecuaian. Lagipun saya perlu kos untuk membaiki kereta saya ni.”

Dia pergi menemui tuannya yang tidak keluar dari kereta sejak tadi. Asyik membaca akhbar.

“Beginilah encik, ambil kad ini dan telefon kita berurusan kemudian. Kami yang salah, insya-Allah kita selesaikan nanti. Jangan lupa hubungi nombor ini ya,” sambil memberi kertas yang ada catatan nombor telefon.

Oleh sebab percaya dan tidak mahu menyusahkan kereta-kereta yang sudah berbaris di belakang, saya menerima kertas itu dan berlalu segera.

Satu hari, dua hari, tiga hari dan sehingga seminggu. Saya menelefon nombor yang diberikan. Namun tidak ada jawapan.

Cuma sekali ada bunyi diangkat dan saya disergah oleh suara kasar dengan bahasa asing. Tidak ada selawat lagi!

 

Catatan 3: Harga Sebuah Kejujuran

“Betul?” tanya saya.

“Betul ayah. Dia berjanji menunggu di kedai inilah,” jawab anak saya.

“Kalau betul memang nyonya tu hebat. Berlanggar dua hari lalu, hari ini janji nak bertemu baiki kereta kita yang rosak,” kata saya.

Dua hari yang lalu, kereta anak saya dilanggar oleh kereta yang dipandu oleh seorang nyonya tua. Nyonya itu yang salah, undurkan kereta tanpa toleh ke belakang. Begitu menurut anak saya. Akibatnya, dua buah lampu depan kereta anak saya pecah.

Nyonya itu berjanji untuk menggantinya di sebuah kedai yang ditentukannya sendiri. Dia sudah biasa di kedai itu. Anak saya baru sahaja mendapat lesen, sangat naif dengan insiden seperti itu. Main percaya sahaja.

Harapan saya, 50-50.

“Kalau nyonya Cina tu tak sampai lagi cuba telefon,” cadang saya kepada anak.

Sedang anak mendail, tiba-tiba seorang nyonya tua berwajah bersih datang dari arah belakang lantas berkata, “Selamat pagi. Maaf, saya lambat sikit. Jalan sesak sikit. Oh, ni bapak you? Semalam saya kata you jangan takut nanti saya terangkan sama bapak you saya yang salah.”

Saya tertawa. Terhibur dengan keramahannya. Kami segera berurusan. Lampu diganti dan kemik kereta di bahagian hadapan dibaiki. Semua perbelanjaannya ditanggung oleh nyonya Cina itu. Ternyata dia menepati janji.

Bayangkan, bukan mudah tanpa ada apa-apa “jaminan”, hanya berbekalkan kepercayaan. Dia benar-benar menepati janji.

Terus terang dalam hati saya terdetik, alangkah baiknya jika dia seorang Islam. Saya berdoa dalam diam, semoga dia menerima hidayah!

 

 

 

 

 

Feedback

6
  • Rodziah Binti Abdul Rahman

    sangat memberi kesedaran..husnu dzon.

  • Liyana Aqilah

    “Begitulah hebatnya berdakwah melalui akhlak dan sikap. Tidak payah banyak cakap. Tidak tunggu sihat, orang beriman ketika sakit pun masih mampu berdakwah.” – Subhanallah…akan terus saya pegang kata-kata ni.

  • Aqilah

    “Begitulah hebatnya berdakwah melalui akhlak dan sikap. Tidak payah banyak cakap. Tidak tunggu sihat, orang beriman ketika sakit pun masih mampu berdakwah.”-Akan terus saya pegang kata-kata ni. terima kasih, ustaz.

  • Audra

    Subhanallah…

    Satu coretan yang amat bermaafaat dan berlimu.

  • WM.ZIKRI

    Subhanallah…
    Hebatnya dakwah dgn akhlak…
    Terima kasih atas coretan, begitu memberi inspirasi utk terus baiki kolam jiwa ini…
    Apa yg terluah pada lahirian adalah limpahan dari kolam jiwa…
    Andai kolam jiwa bersih dan indah peribadinya, maka yg terluah pada zahirnya juga indah memberi makna…
    Semoga bermanfaat utk semua…

  • JOHANA

    TERIMA ATAS CORETAN YANG BANYAK MEMBIMBING SAYA KE ARAH KEHIDUPAN YANG LEBIH BAIK. ALHAMDULILLAH..

Leave a Reply

%d bloggers like this: