Looking for Something?

Daun usia gugur lagi…

Author:

images (1)Entah kenapa, di hari lahir kali ini hatiku sayu sekali. Ucapan tahniah yang melimpah, tidak dapat mengusir segala kesepian yang menjajah jiwa. Aku mendoakan mereka, tetapi hati ku bagai terbelenggu dan terdera. Hati terpasung oleh kata-kata yang pernah diucapkan oleh Sayidina Ali:

“Manusia semua tidur, bila mati baru mereka terjaga.”

Kata-kata itu menusuk ke lubuk hati. Merobek-robek sisa-sisa kegembiraan yang masih tersisa. Apakah aku masih tidur? Ah, tidur yang sangat panjang kalau begitu. Teringat pula kata Imam Ghazali:

“Ada manusia yang sedang ketawa ria, sedangkan kain kafannya sedang dirobek-robekan.”

Sudah lebih separuh abad aku bernaung di bawah langit-Mu ya Allah. Belum pun aku terasa menjadi hamba-Mu yang sebenar. Masih berpura-pura. Alangkah alpa dan berdosanya aku. Apakah sisa umurku masih panjang? Atau hanya seketika lagi. Aku tidak pasti.

Ketika ramai teman mengucapkan selamat panjangg umur, hakikatnya umurku semakin pendek. Bukankah tarikh mati setiap insan sudah ditetapkan? Dan hari ini, esok dan lusa aku menapak lagi… semakin hampir pada tarikh kematian yang dijanjikan. Duhai, tertipunya aku ketika menerima ucapan selamat hari jadi… selamat pulakah hari matiku?

Aku belum bersedia untuk bertemu-Mu ya Allah. Walaupun aku tahu, siapalah aku untuk menyatakan tidak dan tunggu. Ya, Allah… segala kekuatan hanya pada-Mu jua. Kau yang Maha tahu apa yang terbaik untukku. Aku merayu pada-Mu ya Allah, pada tarikh ini.

Untuk mengemis keampunan-Mu dengan tangan yang berdosa, dengan hati yang tercela. Jika tidak mengenangkan yang Engkau Maha Pengampun, aku tidak akan datang ya Allah. Rasa malu dan hina untuk meminta. Apakah aku diterima?

Ya, Allah di hari ini, kupinta dileraikan kusut fikirku. Mohon dijinakkan nafsu liarku. Tenangkanlah gejolak hati ini. Wahai yang Maha Adil, kutiplah aku untuk menumpang sekalipun di pinggiran rahmatMu. Walau sering aku lupa, tetapi aku sentiasa mendamba.

Entah mengapa gelombang rasa ini sering datang dan pergi. Gelombang mujahadah ini tidak pernah tenang. Jangankan mutmainnah, malah ammarah pula yang sering melanda. Kekadang aku sendiri bertanya, akukah aku ini? Terasa diri bersalin dua, tiga dan… Ya, Allah, jauhkan aku dari topeng munafik yang menipu-daya ini.

Aku bukan Hanzalah yang mencurigai dirinya munafik walau taqwanya melimpah. Bukan juga Umar Al Khattab, yang tega memukul diri walaupun sedikit berdosa. Pun bukan seumpama Rabiahtul Adawiyah yang sentiasa berkata: “Sesungguhnya istighfarku memerlukan satu istighfar lagi.”

Aku juga tidak mampu menangis kerana dosa… Hatiku keras amat. Kucuba menangis dengan merasa kesal. Tapi gagal. Mengapa aku tidak mahu menangis kerana gagal menangis. Ya Allah, kerasnya hatiku ini. Mohon dilembutkan. Atau mohon aku diberi ‘hati’ yang lain. Hati yang ada ini bagaikan sudah mati ya Allah.

Aku kembara telah jauh. Daun usia ku gugur helai demi helai. Namun kolam hatiku kian keruh. Beban tambah berat, diriku kian penat. Urusan kian payah. Jiwa semakin gundah. Justeru, mudah-mudahan di hari lahirku ini aku akan ‘dilahirkan’ semula. Lahir sebagai insan yang sentiasa mengingatiMu. Yang mampu hidup antara kekangan takut dan lingkungan harap. Takut, kalau-kalau dimurkai. Harap, minta-minta diampuni.

Buat sahabat, teman dan kenalan… terimakasih atas ingatan kalian. Pada yang jauh, maafkan aku kerana gagal mendekat. Pada yang hampir, maaf kerana tidak pandai membelai. Akhirnya terimalah secebis kata ini, (mungkin inipunmasih  dari terowong jiwaku yang gelap gelita.).

Pesanku:

“Marilah kita hidup…

seperti orang yang menanti mati

kerana ingat mati itu…

akan mengecilkan segala derita

akan mencairkan segala alpa

kiranya inilah detik terakhir

marilah kita mulakan semula

walau yang masih tersisa hanya sedetik cuma…

itu lebih bermakna!”

Ah, kata pujangga, kita akan temui semula sesuatu di tempat yang kita kehilangannya. Dan sesuatu pengakhiran kekadang membawa kita kepada suatu permulaan yang lebih baik. Ah, teringat ungkapan dalam bahasa Inggeris yang pernah menjadi hiasan meja sewaktu belajar dahulu:“In life, what sometimes appears to be the end is really a new beginning…

Mudah-mudahan. Ini permulaan yang baik. Amin ya, Allah!

Feedback

17
  • مرضية شافعي

    Semoga Allah memakbulkan doa ustaz.
    اللهم امين

  • Syazwani Samad

    Marilah kita hidup…

    seperti orang yang menanti mati

    kerana ingat mati itu…

    akan mengecilkan segala derita

    akan mencairkan segala alpa

    kiranya inilah detik terakhir

    marilah kita mulakan semula

    walau yang masih tersisa hanya sedetik cuma…

    itu lebih bermakna!

    Alhamdulillah, terima kasih ustad 🙂

  • sharifah maznah

    Pepatah kata yg cukup mendalam, lahir dari sebuah hati yg tulus, menujuk terus ke dlm kalbu seakan menterjemahkankan haqiqat diriku….

  • Mencari_RedhaMu

    terasa bagai dilahirkan bersama..
    moga kita dikalangan insan yang diberi
    petunjuk, barakah, dan hidayah dari-Nya.

    permulaan Sya’ban yang berkat disusuli
    sehingga Ramadhan yang mulia..

    SannahHelwah

  • liza

    Ya Allah…terima kasih ustaz…kata2 yang sangat terkesan di hati ini.

  • hamba Allah

    Salam, Ustaz,

    Terus terang, saya pernah mendengar ceramah Ustaz. (Ia agak mengantuk). Tetapi apabila saya baca penulisan Ustaz, ia langsung tidak mengantukkan. Makin dibaca, makin ingin dibaca. Teruskan penulisan Ustaz yang kreatif ini. Semoga penulisan Ustaz boleh dijadikan rujukan oleh anak-anak muda di masa hadapan. Saya minta maaf sekiranya saya terkasar bahasa.

  • Norliza

    Hati yang ada ini bagaikan sudah mati ya Allah.

    Oklah tu tuan.
    kerana kita memang dah mati. yang hidup hanya Allah.

  • Audra

    Assalamualaikum…… Ustaz Parol,

    Audra nak mohon izin dari ustaz kongsin ilmu dari blog ustaz utk dikongsi bersama dan saya akan Kreditkan kepada ustaz.

    Ustaz,
    Selamat Ulang Tahun, Semoga cinta Allah dan sayng Rasulullah sentiasa meningkat lagi di hati ustaz Amin. Semoga ALLAH sentiasa berikan ilmu kepada ustaz agar dapt dikongsi bersama di ruangan ini dan memberikan maafaat kepada Hamba Allah yang lain.

    Hdayah Milik ALLAH… 🙂

  • Khaulah Al-azwar

    saya tersentuh membaca setiap entry blog dan buku tulisan ustaz yang sangat saya minati.
    semoga Allah memberkati umur ustaz dan mengekalkan manfaat dan pahala ustaz dari setiap tulisan dan dakwah ustaz. sungguh ! saya merasa terkesan dari setiap pemikiran dan tulisan ustaz.
    Barakallahufika wajazakallahu khairan.

  • Halimi

    Rasa sebak jiwa ini ustaz …

    Apatah lagi saya ini yang masih jauh … Ya Allah ampunkan aku dan seluruh umat Islam …

  • b

    masyaAllah, ketakutan & harapan kami jua mengenai kebimbangan yang Ustaz lahirkan tentang hadiah harijadi diri untuk diri di atas! Betapa pula saya yang terlebih kerdil ini menghitungnya menjelang ulangtahun pada 12 Sya’aban ini? separuh dekad yang berlalu belum lagi menyedar & menginsafi diri untuk benar2 kembali sebagaimana yang diperintahkanNya?

    aduhai, malangnya diri ini yang masih berleka sedang beban wajibpun belum sempurna dilaksana!

    namun, pastinya (insyaAllah) diri akan terus meratap dalam sentap ~ walau bicaranya hanya doa & airmata… aameen..

    barangkali, 15 Sya’aban yang mampir kali ini ~ menghimpun doa kekhusyukan hati kita memohon keampunan, kebaikan & perlindunganNya menghabiskan sisa baki umur yang kita punya untuk meraut kasihNya di malam mustajab doa nisfu sya’aban..

    jom,

    jangan berputus-asa, mari hayati bersama Doa Kumail ; agar bermanfaat jua!

    https://p2sttj.wordpress.com/2013/05/09/doa-kumail-doa-nabi-hidhir/

    https://p2sttj.wordpress.com/2011/03/04/doa-kumail-3-in-1/

  • yusoffnor

    Astahaghfirullahhal ‘aziim…Allahuakbar…
    Engkau maha mengetahui apa yang tersembunyi dan yang zahir dihati kami…
    dalam beringat …sering kali kami lalai dan leka…asyik nya dengan pujukan hawa nafsu sendiri…rakan rakan ,jiran tetangga dan saudara mara yg seusia ramai telah kembali mengadap MU ya Allah…”insaflah duhai diri …bila 2 pun kamu kan di panggil mengadap NYA…dlm kamu masih lagi leka dan lalai…dgn dunia…”( buat diri sendiri )
    bantu lah kami ya Allah, menjadi hamba MU yang ikhlas dan di redhai…aamiin.
    Alhamdulillah…terima kasih ustaz…mengingat dan menginsafkan hati
    yang keras ini…
    Sanah Helwah ustaz…

  • wan norliza bt wan hamat

    MasyaAllah..sungguh terkesan membaca bingkisan ustaz..terima kasih atas segala perkongsian yang ustaz berikan..saya sentiasa pastikan untuk tidak ketinggalan mengikuti sebarang karya tulisan ustaz yang banyak menyedarkan saya akan hakikat seorang hamba Allah.

  • agen wallpaper

    Setiap orang memang mempunyai karakter yang berbeda dan perbedaan itu harus kita sikapi dengan baik sebab di sisi lain manusia hanya memikirkan duniawi saja dan tidak pernah memikirkan kehidupan nanti setelah mati, tetapi jika seseorang pernah melihat orang yang akan di masukan di liang lahat maka seharusnya berfikir apa artinya hidup dan untuk apa kita hidup jika di fahami dengan seksama hidup ini hanya suatu mimpi dan itulah sebaiknya kita menyadari bahwa TUHAN adalah segalanya di kehidupan ini harta tahta dan segalanya akan sirna.

  • Dora

    as salam ustaz, terima kasih tidak terhingga..jari ini terasa lagi n lagi untuk mencari sesuatu disini..Alhamdulillah, betul kata ustaz.. sesungguhnya istighfarku memerlukan satu istighfar lagi.. In sha allah..terima kasih allah atas nikmat yang selalu aku dapat dariMu..Hakikat tidak didunia in sha allah di akhirat kelak. Allahu..

  • randi

    rassa syukur ku terhadapmu

  • zul

    kata2 ustaz menyentuh jiwa tapi nafsu ini terus dlm dosa ustaz

Leave a Reply

%d bloggers like this: