Looking for Something?

Mendamaikan dua ‘sekular’

Author:

air apiKini terdapat pelbagai bentuk Islam ‘serpih’ yang diamalkan oleh umat Islam. Ada kumpulan yang melihat Islam di sudut ibadah-ibadah khusus yang berbentuk fardu Ain semata-mata. Agama pada kelompok ini dilihat semata-mata sebagai bekalan individu untuk mendapat syurga. Agama adalah platform menuju hari mati dan ia tidak ada kaitannya dengan sistem hidup bermasyarakat dan berkemajuan.

 

Tindakan mereka jelas seolah-olah memisahkan dunia daripada akhirat mereka. Bagi mereka dunia bukan lagi sebagai ‘tanam-tanaman’ lagi sebagai ‘bangkai’ yang menjijikkan. Golongan ‘sekular agama’ ini menyebabkan Islam jumud, beku dan tidak dinamik.

 

Manakala ada pula kelompok yang mengambil ajaran Islam yang ada kaitannya dengan soal-soal ‘maddiah’ (kebendaan) dan duniawi (ekonomi, teknologi dan ilmu) tetapi meminggirkan atau menyisihkan aspek-aspek yang lebih prinsipal yang berkaitan dengan soal rohaniah dan ukhrawi.

 

Kelompok ini melihat Islam hanya sebagai faktor motivasi untuk membangunkan kecemerlangan duniawi tanpa mengaitkannya dengan roh iman, akhlak dan takwa. Golongan ‘sekular dunia’ ini pula sibuk dalam soal-soal fardu kifayah tetapi cuai dalam persoalan asas dan teras Islam (fardu Ain).

 

Pertembungan dua aliran ini akan menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam. Tidak mustahil akan lahir pula aliran ketiga, keempat dan seterusnya.  Jika pertembungan ini bertambah kronik, kita bimbang bukan sahaja orang bukan Islam akan terus memomokkan Islam malah ada kemungkinan orang Islam sendiri hilang keyakinan terhadap Islam.

 

Akibat pertembungan ini,  mungkin ada di kalangan umat Islam bertindak ekstrem dengan menukar agama atau memilih untuk ‘berkecuali’ atau tidak beragama. Mungkin di kalangan cerdik pandai yang cetek ilmu agama pula akan mula melihat Islam tidak lebih hanya sebagai agama warisan tradisi, syariatnya sebagai ritual atau adat, dan nilai akhlaknya sebagai ajaran etika atau moral semata-mata.

 

Ini akan mendorong ke arah tertegaknya kemajuan dan pembangunan dengan pelbagai kesan sampingan akibat meminggirkan aspek-aspek akidah yang bersifat rohaniah dan ‘ghaibiyat’ seperti iman, syurga, neraka, pahala dan dosa.

 

Apabila ini berlaku, Islam tidak akan dapat diterjemahkan lagi dalam bentuk yang lebih praktik,  signifikan dan relevan. Islam tidak akan diamalkan secara kebulatan sebaliknya dipisah-pisahkan dalam bentuk serpihan.  Ada prinsip dan nilai Islam yang diterima dan ada yang dibuang. Kononnya, inilah ‘pembaharuan’ dalam beragama. Namun, tindakan ini hanya seperti tikus membaiki labu.

 

Sebenarnya, persoalan ‘how’ (bagaimana Islam boleh ditegakkan) lebih perlu difokuskan berbanding persoalan ‘what’ (mendefinisikan apa itu Islam). Ini kerana banyak persoalan hukum-hakam telah lama diselesaikan oleh Imam-imam mujtahid zaman silam. Jika ada pun persoalan-persoalan baru ulama-ulama kini boleh merujuknya atau ‘menqiaskannya’ pada subjek-subjek yang telah tertulis dalam kitab-kitab muktabar.

 

Jujurnya, jika dilihat secara objektif, cabaran umat Islam kini bukanlah kerana banyak perkara yang tidak diketahui hukum-hakamnya, tetapi kerana banyak perkara yang ‘tidak mahu’ dan ‘tidak mampu’ diamalkan walaupun hukum-hakamnya sudah diketahui.

 

Umat Islam sebenarnya tidak memerlukan pembaharuan dari segi prinsip (akidah), hukum-hakam (syariah) dan sistem nilai (akhlak) justeru segalanya sudah jelas, tetapi apa yang lebih diperlukan ialah ‘pembaharuan’ dalam kaedah penyampaian agar lebih menarik, interaktif, kreatif dan sistematik untuk mudah difahami, dihayati dan diamalkan.

 

Untuk menangani cabaran ini, maka perlu dilakukan satu anjakan paradigma dalam usaha penyampaian Islam kepada umat Islam khususnya dan kepada orang bukan Islam umumnya. Dengan ini diharapkan satu citra (imej) baru Islam akan tergambar di persada dunia. Yakni imej Islam yang lebih produktif, humanis dan progresif.

 

Sebagai contoh; mesej yang hendak disampaikan mestilah bersepadu antara soal fardu Ain dan fardu Kifayah, duniawi dan ukhrawi, individu dan masyarakat, pembangunan material dan kerohanian, kerja dan ibadah, ekonomi dan syariah, idealistik dan realistik, naqli dan aqli.

 

Dalam mesej yang disampaikan perlu ditegaskan bahawa pasangan komponen-komponen ini boleh ‘dibezakan’ tetapi tidak boleh sekali-kali ‘dipisahkan’. Perkataan yang lebih tepat untuk menggambarkan hubungan pasangan-pasangan ini bukanlah ‘seimbang’ (balance) tetapi bersepadu (integrated). .

 

Sebagi contoh, individu yang menegakkan fardu Ain adalah mereka yang sudah ada asas yang kukuh untuk menegakkan fardu kifayah dengan cemerlang; justeru hubungan bersinergi antara fardu Ain dan fardu kifayah adalah umpama tapak bangunan dengan binaan bangunan. Tanpa tapak, bangunan akan runtuh.

 

Tetapi jika tanpa bangunan, tapak tidak mempunyai apa-apa makna. Sama jugalah halnya dalam hubungan antara naqli dan aqli, dunia dan akhirat, individu dan masyarakat dan seterusnya. Pendek kata, penyampaian ilmu Islam perlu diadun antara ilmu teras Islam dengan ilmu-ilmu hasil kajian saintifik.  Inilah satu contoh (dari sekian banyak mesej) yang hendak diperbaharui cara penyampaiannya ke tengah masyarakat agar konflik dan dilema yang tidak perlu dan tidak patut berlaku di kalangan umat Islam dapat dihindarkan.

 

Seperkara lagi Islam mestilah disampaikan dengan kaedah yang berhikmah, kreatif dan inovatif sesuai dengan perkembangan ICT. Perkara yang betul (Islam) hendaklah disampaikan dengan ‘betul-betul’. Kita mesti belajar daripada cara musuh yang menyampaikan perkara yang tidak betul (kekufuran) tetapi dibuat dengan ‘betul-betul’.

 

Umat Islam tidak akan dimenangkan hanya kerana kebenaran yang dianutinya tanpa penyusunan barisan perjuangannya. Saydina Ali mengingatkan, “yang benar (haq) tanpa penyusunan akan dikalahkan oleh kebatilan yang tersusun.”

 

Tidak salah belajar dari Hollywood yang berjaya mempromosi pelbagai siri agenda propaganda ‘Pax Americana’ dan budaya ‘coca-colanisation’ mengiringi hasrat neokolonialisma di era globalisasi masakini. Nabi Muhammad saw telah menggunakan teknologi terkini pada zamannya, maka kita perlu menggunakan teknologi terkini pada zaman kita – asalkan mesej dan isi ajarannya tetap sama!

 

Pendekatan penyampaian Islam mestilah dilakukan secara kolektif dan bersinergi menepati istilah ‘berjemaah’ dalam erti kata yang luas. Istilah ‘jemaah’ di sini bukanlah merujuk kepada satu jemaah khusus, tetapi banyak jemaah yang mempunyai pegangan dan prinsip yang benar, satu cita-cita dan matlamat yang sama tetapi mungkin dengan cara yang berbeza.

 

Perbezaan hendaklah diterima sebagai satu hakikat yang bukan sahaja mesti diterima kenyataannya tetapi mestilah diraikan dan dimanfaatkan dengan cara yang bijaksana dan lapang dada. Untuk itu sudah tiba masanya umat Islam membina satu kematangan baru dalam menguruskan perbezaan mereka agar setiap perbezaan tidak menjadi satu pertentangan.

 

Setiap jemaah Islam (sama ada yang berdasarkan organisasi ekonomi, politik, sosial, budaya, karyawan) dan lain-lain hendaklah mengetahui kekuatannya dan menginsafi kelemahannya. Justeru, kekuatannya boleh dikongsi dan kelemahannya boleh diimbangi oleh jemaah lain.

 

Tidak ada jaguh mutlak dalam perjuangan Islam selepas Rasulullah SAW justeru setiap pemimpin dan setiap jemaah tidak ada ‘kekebalan’ daripada sebarang kelemahan di sudut rohaniah dan material, prinsip dan strategi.

 

Akhirnya, kita berharap dengan anjakan paradigma dalam penyampaian Islam ini akan lahir amalan-amalan fardu Ain (solat, puasa dan lain-lain rukun Islam) yang mampu menerapkan nilai-nilai unggul bagi menjana pembinaan peribadi berkualiti dengan memberi penekanan khusus kepada mekanisme dan proses pembinaan sikap dan tabiat yang positif.

 

Peribadi-peribadi inilah yang akan menghayati nilai-nilai ‘substance’ dalam amalan-amalan fardu Ain untuk menjadi Mukmin yang profesional, yakni mereka yang memiliki keterampilan yang cekap dan berkesan dalam bidang fardu kifayah yang membawa kejayaan dunia dan akhirat.

 

Kita berdoa inilah ‘Islam’ yang telah diperjuangkan oleh Rasulullah saw dan para sahabatnya sehingga baginda mampu menegakkan tamadun rohaniah yang tinggi dan asas bagi tamadun material yang kukuh untuk disambung oleh generasi salafussoleh kemudiannya.

 

Nilai-nilai ulama perlu bergabung secara sinergi dengan sifat-sifat profesional sama ada dalam diri seorang individu atau dalam sebuah jemaah Islam secara harmoni dan serasi. Hanya dengan ini tugas sebagai hamba Allah dan khalifah dapat digabungjalinkan dengan baik untuk membina negara yang aman makmur dan mendapat keampunan Tuhan.

 

Pertembungan antara sekular dunia dan sekular agama perlu diredakan akan dapat melahirkan tenaga-tenaga kerja yang terbaik seperti yang dijelaskan oleh Allah melalui firmanNya: “ Sesungguhnya pekerja yang terbaik ialah yang mempunyai kekuatan (al Qawi) dan sifat amanah (al Amin).” – Al Qasas 26.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Leave a Reply

%d bloggers like this: