Looking for Something?

AKU TERPILIH, BUKAN TERSISIH

Author:

pirate-ship-in-storm_123162

Apabila ujian kesakitan, perpisahan, kegagalan, kemiskinan datang bertimpa-timpa,  terdetik juga kata di dalam hati, “apakah Tuhan masih sayangkan aku? Kenapa aku diuji seberat dan sekerap begini? ” Subhanallah, tanpa disedari seolah-olah kita sudah mempersoalkan kuasa Tuhan, padahal kita hanyalah hambaNya. Hamba tidak berhak menyoal, sebaliknya akan disoal. Namun, itulah kelemahan manusia. Kita sering alpa dan terlupa.

Paling malang, manusia kerap terlupa bahawa dirinya hamba. Terutamanya ketika diuji. Sebab itu Allah mengajar kita agar mengucapkan kalimah ‘istirja’ setiap kali diuji… Innalillah wa inna ilahihi rajiun, yang ertinya, “kami ini milik Allah, kepadaNya kami akan dikembalikan.” Ya, inilah kalimah yang mengingatkan bahawa kita ini milik Tuhan, Tuhan layak menguji kita dan kita layak diuji. Jangan sekali-kali menolak apalagi ‘mengamuk’ apabila diuji. Kita hanya hamba…  

Namun untuk meringankan kepedihan ujian yang menimpa, hendak kita mengenal Allah yang memberi ujian itu. Kenallah sifat ilmu, kasih-sayang dan belas ihsan Allah yang Maha hebat. Sebagai hamba ilmu kita terbatas, ilmu Allah yang Maha Luas. Kasih sayang kita cuma seraut, kasih sayang Allah selaut. Orang yang mengenal Allah, akan mencintaiNya. Bila sudah cinta, kuranglah derita diuji. Bukankah cinta itu buta?

Orang yang mengenal kasih-sayang Allah punya keyakinan  bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik. Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang, tidak akan memberi sesuatu yang buruk untuk hamba-Nya. Justeru, hamba yang baik tidak akan berburuk sangka terhadap Allah dengan merasakan apa yang ditakdirkanNya (ujian) itu ialah sesuatu yang tidak baik.

Yakinlah bahawa semua ketentuan Allah itu adalah baik. Ujian itu pasti ada kemuslihatan yang tersembunyi untuk setiap kita. Pilihan Allah untuk kita adalah yang terbaik, cuma kita tidak atau belum mengetahuinya. Bila berlaku nanti, barulah kita tersedar, ya Allah mujur Kau takdirkan begitu. Kata arifbillah (orang yang mengenal Allah), “sekiranya kita merasakan kasih sayang Allah itu terpisah apabila DIA menguji kita, itu petanda tumpulnya akal, butanya mata hati.”

Diantara hikmah ujian, seseorang akan dapat menambah tumpuan dan tujuannya untuk menjadi hamba Allah. Yang mana selama ini, jalan itu disekat oleh hawa nafsu.  Sebab ujian bertentangan dengan kehendak, keinginan nafsu dan syahwat manusia. Nafsu yang buas dan liar untuk melakukan maksiat itu tidak suka pada sakit, rugi, miskin dan lail-lain. Lalu apabila diuji,  nafsu itulah yang terdesak, tidak senang dan ingin segera terlepas daripada ujian itu.

Jadi, apabila nafsu terdesak, hati akan dan akal terbuka. Inilah jalan kebaikan, kerana ajakan untuk melakukan kejahatan akan turut tertahan, kerana nafsu itu sangat mengajak pada kejahatan. Ujian itu sesugguhnya akan melemahkankan nafsu, menghilangkan kekuatannya serta batalkan kudratnya. Bila nafsu lemah, manusia tidak akan jatuh ke lembah dosa – mengejar keseronokan dunia sehingga melupakan batasan syariat.

Ujian juga menimbulkan rasa taat kepada Allah. Hati tidak dapat tidak mesti bersabar. Hati akan terdidik untuk redha dan tawakal, kerana Qada dan Qadar-Nya mesti berlaku. Manusia akan lebih dekat dengan agama, kepentingan akhirat, cinta kepada Allah. Hikmah ini walaupun sebesar zarah tetapi apabila melekat di hati kebaikannya lebih tinggi dari amal lahiriah walaupun sebesar gunung. Inilah kebaikan di sebalik kepahitan ujian. Justeru, Allah berfirman:

“…Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan sesuatu itu merosakkan kamu. Dan Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak tahu.” (Surah Al Baqarah : 216).

Dengan ujian juga, Allah ‘membersihkan’ kotoran hati manusia. Ujian itu menghapuskan dosa dan kesalahan terhadap Allah seperti bahan pencuci membersihkan kain yang kotor. Nabi Isa pernah berkata, “belum dikatakan seorang itu kenal Allah, sebelum dia bergembira dengan musibah dan penyakit ke atas dirinya, kerana berharap supaya dihapuskan kesalahannya.”

Bila kita benci dengan ujian, ertinya belum kenal Allah dan (kerana) tidak faham itulah cara (kaedah) Allah mengampunkan dan membersihkan dosa-dosa kita. Ya, seolah-olah orang yang yang benci diuji itu tidak suka dibersihkan daripada dosa-dosa atau apakah dia merasa tidak berdosa?  Sebaliknya, apabila kita gembira (menerima dengan baik) ujian itu, kerana yakin bahawa yang datangkan ujian itu juga daripada Allah. Kita bukan sahaja berikhtiar (berusaha) untuk menghilangnya tetapi juga berusaha untuk mendapatkan hikmahnya.

Rasulullah SAW bersabda, “barang siapa yang dikehendaki Allah pada orang itu kebaikan, maka Allah akan cuba dengan ujian-Nya.” Jadi, bila diuji, terimalah dengan baik dengan mencari hikmah-hikmahnya kerana tidak ada takdir Allah yang tidak ada hikmahnya. Orang soleh bila diuji, hikmah-hikmah ujian akan mendekatkan mereka kepada Allah.Tapi bagi anti diuji,  tidak akan dapat melihat hikmah kerana akal dan hatinya melihat sesuatu hanya selari dengan hawa nafsunya sahaja.

Ingatan para hamba kepada Allah akan bertambah dengan ujian-Nya. Itu petanda Allah pilih dia untuk diuji. Dan bila diuji, bertambah pulalah ingatan hamba Allah kepada Allah. (Oh… Allah ingat lagi padaku). Oleh itu, tiada jalan keluar melainkan lakukanlah tiga langkah ini apabila kita diuji:

  1. Kuatkan iman, pupuk kesabaran, mantapkan keyakinan menghadapi ujian itu dengan segera mendekatkan diri kepada Allah. Apabila Rasulullah SAW ditimpa masalah, baginda akan terus bangun mendirikan solat dua rakaat. Baginda tidak melihat masalah yang besar tetapi cepat-cepat merujuk kepada Pemberinya – Allah Maha Besar. Masalah kita mungkin besar tetapi Allah yang memberinya jauh lebih besar. Justeru, segeralah ‘mencari’ Allah sebelum mencari yang lain-lain apabila ditimpa ujian.

 

  1. Cuba serapkan rasa di dalam hati Kehendak (pilihan) Allah mengandungi hikmah yang baik jika diterima penuh keinsafan dan kesabaran. Yang penting apa yang berlaku ‘di dalam hati’ kita, bukan apa yang berlaku diluar diri kita. Allah berikan yang pahit, jadikan ubat. Allah berikan yang pedih, anggaplah itu pembedahan jiwa untuk mengeluarkan penyakit-penyakit hati kita. Ya, jika limau yang kita dapat masam… buatlah air limau, kata orang yang bijaksana.

 

 

  1. Berbaik sangka dengan Allah dengan cara menyedari (mencari) hikmah. Inilah hakikat hidup yang dipilih Allah untuk kita. Bila baik sangka kepada Allah, maka kita akan bertambah hampir kepada-Nya. Apabila hampir kepadanya… insyaAllah semuanya akan baik-baik belaka. Bukankah DIA Tuhan yang Maha Baik?

Ya, Allah timpakan ujian yang besar, untuk ‘membesarkan’ kita. Ingat itu. Justeru, ahli yang bijaksana sering berkata…Pemimpin yang besar itu dikenali melalui ujian yang dihadapinya. Semakin besar tahap kepimpinannya, maka semakin besarlah ujian yang Tuhan sediakan untuk ‘membesarkan’ lagi pengaruh kepimpinannya.

Dan setiap kita adalah pemimpin… sekurang-kurang pemimpin buat diri sendiri. Jadi, kita pasti diuji! Justeru apabila diuji jangan katakan, “apakah aku tersisih?” Sebaliknya, katakan, “aku sudah terpilih!”

Feedback

25
  • Nurul Salehah

    Terima Kasih ustaz..semoga dibekalkan kesihatan yg baik utk terus berkarya..Terima kasih

  • wan zumusni

    Astagfirullah. Soalan2 yg saya kadangkala tanyakan pada Allah. Apakah Allah sudah tidak sayangkan saya? Kenapa Allah tidak memelihara saya? Apakah tahajud saya tiada nilainya?

  • Rodzi

    Sgt terkesan. Terima kasih ustaz.

  • siti zaleha

    sangat menarik..memotivasikan diri yang sedang lemah..tq

  • Zalina

    Alhamdulillah, tersingkap tabir hati memandang kelemahan diri.. semoga diberi kekuatan.

  • QinHartini

    Alhamdulillah (✿◠‿◠)

  • ida

    Terima kasih ustaz…banyak memberi kesedaran dan membuka minda sy

  • huda

    Terima kasih ustaz…. T.T

  • heru

    terimakasih tak terhingga buat tausiyahnya ustad, setetes embun yang membasahi jiwa yg sedang resah, percikkan cahaya pencerahan pd hati yg sedang gulita

  • Nur

    Kalau kita percaya, kenal dan yakin pada Allah. Tapi bagaimana kita hendak memaafkan diri kita pula?

  • ZALINA

    sgt terkesan dan terharu dengan kasih sayang Allah.

  • markisa

    subhanallah.. terima kasih atas nasihat ustaz…

  • Thuraiya

    Alhamdulillah…Allah temukan saya dengan tulisan yang sangat menginsafkan ini pada saat diri semakin liar mempersoalkan begitu dan begini kepada Sang Khaliq.Ya,saya adalah hambaNya.Tiada hak untuk mempersoalkan.Tak akan ditimpakan sesuatu olehNya melainkan dengan asbab yang baik..

  • Nur Hazira

    Karya yang sangat terkesan buat saya ustaz. Semoga Allah sentiasa merahmatimu. “Pembedahan hati” yang saya lalui masih belum pulih walaupun telah lama. Ya Allah, teruslah memilihku….

  • ellynjamal

    Macam mana nak terus istiqamah dalam menanti doa dimakbulkan? Sy manusia biasa tapi dalam usaha utk istiqamah. Cuma saya takut saya ‘merajuk’ dengan doa tak dimakbul, tapi saya sedang lawan.. Saya pun xtahu nak explain rasa saya ni.. Saya nak terus istiqamah..saya nak terus mara..cuma saya takut saya akhirnya kalah dan merajuk..

  • faridah

    Alhamdulillah, berjumpa dengan penulis yg hebat di bumi yg berkat..Tulisan ustaz bnyk mendidik jiwa dan mendekatkan diri kepada Pencipta..teruskan menulis utk umat mendapat manafaat.terima kasih.

  • maya

    Terima Ustaz atas perkongsian. Mohon share sekadar buat renungan. Moga Allah melimpahkan rahmat dan memberikan kesihatan buat ustaz untuk terus menulis.

  • addin

    assalamualaikum ustaz,klu seseorg itu ingin berubah apa perkara pertama yang harus dilakukan? Dan untuk dya trus istiqomah pula bgaimna? Harap ustaz bleh menolong sya….terima kasih ustaz…

  • Mohd HAfizuddin Bin Abd Shukor

    Assalamualaikum ustaz, dah lama tak ada posting baru. Rindu nak baca posting ustaz. Last posting bulan ogos, ni dah nak masuk bulan November.

  • siti zaharah

    alhamdulilah. moga Allah mengganjari setiap usaha dengan ganjaran yg jauh lebih hebat

  • Siti

    Terkesan. Terima kasih ustaz.

  • Rabihah AB

    syukran ustaz atas kupasan ini…

  • MUHAMMAD SYAFIQ BIN AZMAN

    Syuqran ustaz kerana berkongsi.
    Sememangnya setiap daripada kita ini, akan diuji. Dengan itu, ianya menjadi sebab untuk kita buktikan kepada Allah, bahawa cinta kepadaNya yang membuatkan kita rela menempuh segalanya yang diberikan.
    Jadilah orang yang bersabar, ketika ujian terus membakar,
    Jadilah orang yang bersyukur, ketika melimpahnya nikmat tidak terukur.

  • aisha

    Terima kasih byk ats nukilan ini ustad. Bila sy sedih sy akn ke blog ustad. Terasa lapang dada yg sesak dan terasa luas dunia ni.
    Semoga Allah swt berikan ustad kelapangan,idea dan kesihatan yg baik utk terus berkarya.

  • rosmizarmr

    Allahu akbar…..sungguh terkesan dengan bicara ustaz. Semoga dilembutkan hati ini untuk menjadi sebenar2 HAMBAMU yang KAU kasihi ya Allah….amin…ya Rabb

Leave a Reply

%d bloggers like this: