Looking for Something?

BIAR TAK SENTAP ASALKAN MENYERAP

Author:

Hidayatus Salikin

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Air mata mengalir tanpa disedari. Terasa betapa kasih sayang para ulama silam dalam mendidik masyarakat untuk mencintai Allah dan RasulNya.       Walaupun hanya lebih kurang sejam, Syeikh Fahmi Zam Zam dalam majlis yang dianjurkan oleh IKIM itu, telah dapat menyampaikan intipati ilmu yang dinukilkan oleh Syeikh Abdul Samad Al Falimbani dalam kitab Hidayatus Salikin.

 

Ramai yang menahan sendu. Majlis ilmu itu benar-benar menusuk kalbu. Dewan besar IKIM itu menjadi gelanggang menimba ilmu dan tarbiah. Dari fikir menjadi zikir. Dan dari zikir kembali menjadi fikir. Begitulah silih berganti. Walaupun kitab Hidayatus Salikin hanya membicarakan soal ilmu dan adab, tetapi daya sentuhan yang menyambung kewibawaan kitab induk yang menjadi rujukannya yakni Ihya’ Ulumuddin… sangat meresap ke dalam hati.

 

Walaupun kitab Hidayatus Salikin menukilkan tentang amalan-amalan asas seperti keutamaan ilmu, solat, adab dalam pergaulan dan lain-lain, tetapi huraian Syeikh Fahmi Zam Zam tetap menusuk ke hati apabila beliau mengaitkan semua itu kepada tujuan utama ilmu… yakni beramal untuk mendapat keredaan Allah. Benarlah seperti yang dinukilkan oleh   Atha’ rahimahullah: ‘Majlis zikir adalah majlis halal dan haram, yang membicarakan bagaimana menjual dan membeli, bagaimana solat, nikah, talak, haji dan sebagainya’.” (Shahih Al Adzkar)

 

Banyak ayat Al Quran, al Hadis dan kata-kata ulama yang dinukilkan oleh Syeikh Fahmi Zam Zam ketika itu. Terlalu indah. Gaya penyampaiannya sangat sederhana tetapi sangat berkesan. Tidak ada siapa yang disindir, tidak ada siapa yang dipersalahkan. Apa yang disampaikannya hanyalah pujukan, peringatan dan dorongan untuk beramal.

Hakikat inilah yang dinukilkan oleh Al-Imam Asy-Syathibi rahimahullah dengan katanya: “Majlis zikir yang sebenarnya adalah yang) mengajarkan Al-Qur’an, ilmu-ilmu syar’i (agama), dan perkara agama yang lain, menjelaskan umat tentang sunnah-sunnah Nabi mereka agar mereka mengamalkannya, menjelaskan tentang bid’ah agar umat berhati-hati terhadapnya dan menjauhinya. Ini adalah majlis zikir yang sebenarnya”.

Justeru, menurut para ulama lagi apabila Allah berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman, jika telah diseru untuk melaksanakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi menuju zikrullah dan tinggalkanlah jual beli”. (Al-Jum’ah:9).  Maksud daripada zikrullah dalam ayat ini adalah khutbah Jumaat. Demikian mengikut tafsir Al Tabari.

Alhamdulillah, pada hari itu kami dapat menikmati majlis ilmu sekali gus majlis zikir. Beliau memberi ilmu dan memimpin zikir kami kepada Allah. Maha benar Allah apabila  menyebut ahli ilmu dengan sebutan ahli zikir, yakni menerusi firman-Nya:  “Bertanyalah kepada ahli zikir, jika kamu tidak mengetahui” (Al-Anbiya’:7) Maksud dari ahli zikir di dalam ayat ini adalah ahli ilmu, yakni para ulama’.

Manakala makna zikir yang lebih umum menurut Sa’id Ibn Jubair pula bahawa hakikat daripada zikir adalah ketaatan seorang hamba kepada Allah. Justeru barang siapa yang taat kepada Allah, maka ia telah berzikir, begitulah sebaliknya. Al-Imam An-Nawawi Asy-Syafi’iy di dalam kitabnya al-Adzkar merumuskan: “Ketahuilah bahawa sesungguhnya zikir tidak hanya tasbih, tahlil, dan takbir, bahkan zikir ialah setiap amalan ketaatan yang dilakukan kerana Allah”.

 

Banyak yang saya catatkan. Semuanya saya simpan baik-baik sebagai bekalan menuju Tanah Suci beberapa hari selepas itu. Dan pada ketika yang tenang semasa di masjidil Haram, saya baca semula. Saya renungkan semula. Lantas, saya mula menulis kesan daripada penghayatan kuliah yang diberikan itu. Tulisan itu diberi judul BIAR TAK SENTAP ASALKAN MENYERAP.

Berikut saya sertakan untuk dikongsi bersama pembaca:

 

Cuba lihat cara dan gaya ulama-ulama dahulu menulis kitab-kitab mereka. Kita akan terasa betapa cinta dan kasih sayangnya mereka kepada siapa yang membaca tulisan mereka. Ini kerana nada, gaya, ayat dan bahasa yang digunakan penuh bujukan, teguran yang seolah-olah membelai pembaca. Sehingga… apabila kita membacanya terasa mereka bagaikan ayah, ibu, sahabat atau teman yang paling akrab. Tulisan mereka menyelinap masuk ke dalam lubuk hati tanpa kita sedari. Tidak ada bentakan, cemuhan dan kata-kata yang menggores hati.

 

Bahasa itu jiwa bangsa. Demikian kata orang yang bijaksana. Apabila jiwa dipenuhi kasih-sayang dan kemesraan bahasa akan jadi lunak, halus serta indah. Percakapan atau tulisan yang sedemikian akan menggugah rasa dan begitu indah apabila didengar dan dibaca. Gaya yang sebegini sebenarnya lebih upaya untuk membina kebenaran dan meruntuhkan kebatilan dalam diri manusia.  

 

Ia umpama akar, lunak dan perlahan tetapi tidak ada tanah walau sekeras mana mampu menahan tusukannya. Ia umpama air, lembut tetapi tidak ada tembok yang dapat menahan alirannya. Ditahan di atas, air akan mengalir ke bawah. Disekat di bawah, air terus mengalir lalu melimpah dari atas. Begitu bahasa yang penuh kasih sayang… ia adalah satu kuasa yang kuat dan dahsyat. Ia dapat meleburkan kejahilan sekali gus melenturkan kedegilan. Jika ditulis dengan bahasa kasih sayang, InsyaAllah yang membaca akan rasa bersalah bukan dipersalahkan 

 

Bahasa dan kata yang lembut bukan hanya mampu menundukkan akal tetapi juga dapat menakluki hati. Hujah yang dibalut mahabbah (rasa cinta)  adalah jalan untuk menggamit hidayah. Berbeza dengan hujah yang benar tetapi kasar… mampu menundukkan akal tetapi gagal menawan hati. Lalu yang jahil tetap berdegil, bukan kerana tidak tahu, tetapi tidak mahu.  

 

Bahasa yang kasar sekalipun benar, tetap menyakitkan. Apabila mendengar atau membaca tulisan yang sebegini diri terasa dipersalahkan. Namun jika kebenaran dapat disampaikan dengan lunak dan mesra, akan menimbulkan rasa bersalah dalam diri pendengar atau pembaca. Berbeza sekali impak rasa bersalah dan dipersalahkan. Orang yang rasa bersalah…akan akur dan berubah. Sebaliknya, orang yang rasa dipersalahkan akan bangun menentang sekalipun tahu mereka bersalah.

 

Bukan soal ‘apa’ yang ingin kita tulis itu benar atau tidak sahaja yang perlu dipertimbangkan, tetapi ‘bagaimana’ kita menulisnya juga sangat penting difikirkan. Malah, soal bagaimana kita menulis itu ada kalanya lebih penting untuk mempengaruhi pembaca. Dua tulisan yang membawa mesej yang sama tetapi menggunakan istilah, bahasa dan susun ayat yang berbeza akan membeza kesan yang berbeza kepada pembaca.

 

Jauhi bahasa yang mengutuk atas alasan untuk mengetuk hati dan minda pembaca. Kutukan itu akan membuka pintu kemarahan lantas timbul tindak balas yang negatif dari pembaca. Atas alasan langkah itu lebih wajar dan jujur tanpa selindung, maka ada penulis yang memilih pendekatan ini. Namun, sekiranya kita mampu memujuk, apa perlunya mengutuk?

 

Tulisan yang baik tidak memperkecil apalagi merendahkan daya pemikiran pembacanya. Penulis yang baik tidak ‘menunjuk’ pandai sebaliknya sentiasa ingin ‘memandaikan’ pembacanya. Dengan membaca tulisannya, pembaca tidak akan rasa disindir, diperkecil apatah lagi diperbodohkan. Apabila hendak menegur, tegurannya disampaikan dengan menggunakan ganti nama ‘kita’ bukan ‘kamu’. Dengan itu pembaca akan rasa ‘diajak’ bukan ‘diajar’ oleh penulis.

 

Ya, penulisan yang polos, ‘direct’ dan menunjal akal dan jiwa pembaca mungkin diminati ramai. Khalayak akan tertarik dengan keberanian, pendekatan yang lebih vokal dan sikap berterus terang penulis. Namun, diminati bukan sepenuhnya petunjuk bahawa tulisan itu berkesan. Apatah lagi jika diukur pada nilai dakwah dan tarbiah yang sewajarnya menjadi teras dalam penulisan Islam.              

 

Lihat bagaimana Islam sangat mementingkan bahkan mendidik umatnya agar berkata-kata (dalam konteks ini menulis) dengan baik. Kepada Allah, kita diperintahkan berbahasa penuh tulus dan lunak.  Allah sangat menyukai kata-kata yang lunak dan bahasa yang penuh rasa kehambaan. FirmanNya: “Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas. Janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan kebaikan padanya, dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang dan penuh pengharapan.” (Al-A‘raf : 55-56)

 

Bukan sahaja untuk diri-Nya, malah Allah juga inginkan kita berkata baik kepada hamba-Nya yang lain, khususnya buat nabi Muhammad SAW. Allah mengingatkan: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu meninggikan suara melebihi suara Nabi. Dan janganlah kamu menyaringkan suara kepadanya semasa berbicara sebagaimana kerasnya suara kamu terhadap sebahagian yang lain kerana khuatir terhapus amalan kamu sedangkan kamu tidak menyedarinya. Sesungguhnya orang yang merendahkan suara ketika berada di sisi Nabi, merekalah orang yang telah dibersihkan Allah hati mereka untuk mereka. Mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar.” (Al-Hujurat 49: 2-3)

 

Kepada ibu-bapa pula, Allah mengingatkan: “Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu semua tidak menyembah melainkan kepada-Nya, dan berbuat baik kepada kedua-dua ibu dan bapa. Jika salah seorang atau kedua-duanya sudah tua semasa dalam jagaan kamu, jangan kamu berkata kepada mereka ‘ah!’ dan jangan kamu menengking. Katakanlah kepada mereka dengan kata-kata yang baik. Dan rendahkanlah dirimu kepada kedua-duanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu. Berdoalah, ‘Wahai Tuhanku, cucurilah rahmat kepada kedua-dua mereka sebagaimana mereka menjaga aku semasa kecil.’”(Al-Isra’ 17: 23-24)

 

Bukan itu sahaja, malah Allah memerintahkan kita untuk menuturkan kata-kata yang baik kepada musuhNya. Ketika Nabi Musa AS dan saudaranya Nabi Harun bertemu Firaun, Allah mengingatkan mereka: “Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia sudah melampaui batas. Maka hendaklah kamu berdua berbicara kepadanya dengan kata-kata lemah lembut, mudah-mudahan dia beringat atau takut.” (Taha 20: 43-44)

 

Bayangkan, kepada Firaun, manusia terkutuk itu pun Allah masih memerintahkan rasul-Nya menggunakan bahasa yang lemah lembut. Jika manusia sejahat itu pun perlu disantuni dengan kata-kata yang lemah lembut apatah lagi kepada umat Islam dan bukan Islam yang tentunya tidak sejahat Firaun. Mengapa? Allah menjawab, “mudah-mudahan dia beringat atau takut.”

 

Justeru, tidak boleh terpengaruh dengan prinsip ‘tujuan menghalalkan cara’ dalam penulisan Islam. Mesej yang benar mesti disampaikan dengan cara yang benar. Bukan hanya tujuan yang diambil kira tetapi jalan menujunya juga sangat dipentingkan. Dalam menyampaikan kebenaran Allah mengingatkan, agar tidak menggunakan pendekatan yang keras dan kasar. Firman Allah: ”Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekeliling mu.” (3:159) Sebaliknya Allah memerintahkan kita menggunakan pendekatan yang lemah-lembut.” FirmanNya:”Hendaklah kamu berlaku lemah lembut. Janganlah berlaku kasar.” (Ali Imran: 159)   

 

Malah dalam budaya Melayu yang terkenal dengan sifat sopan santunnya, pendekatan yang keras dan kasar sayugia difikirkan semula. Ini kerana budaya bangsa yang tidak bertentangan dengan Islam (malah dalam konteks ini sejajar) wajar dikekalkan malah disuburkan. Peribahasa Melayu mengungkapkan, “ular biar mati, tanah jangan lekuk, buluh jangan pukah.” Maksudnya, perlu satu kebijaksanaan, kelembutan dan sikap berhati-hati dalam menyelesaikan sesuatu masalah.

 

Biar kasar asalkan benar. Tidak mengapa ‘biadab’ asalkan menyentap. Dua prinsip ini rasanya tidak sesuai untuk dibudayakan dalam masyarakat yang menjunjung tinggi nilai-nilai murni. Mungkin sekali-sekala, ada kewajarannya. Namun bukan untuk dijadikan kebiasaan pada setiap masa dan ketika. Lihatlah betapa beradabnya Allah dalam ketika menggunakan istilah ‘menyentuh’ untuk maksud bersetubuh di dalam Al Quran.

 

Kita bimbang, bahasa dan kata-kata yang kasar, polos dan keras menjadi budaya di kalangan remaja. Jika dulu, bahasa dan kata-kata seumpama itu hanya menjadi ‘pakaian’ segelintir remaja yang liar dan tidak terkawal, kini remaja-remaja yang “Islamic Minded’ pun menggunakan pendekatan yang sama… dengan alasan itu lebih cepat dan berkesan. Tidak perlu lagi metafora, analogi, kiasan serta tamsilan. Itu semua lambat dan mengelirukan, dakwa mereka. Tembak dan tujukan terus kepada sasaran… tanpa selindung-selindung lagi. Gunakan bahasa yang dekat. Gunakan slanga, bahasa rojak atau istilah pasar jika perlu. Yang penting mesej sampai!  

 

Mesej memang sampai. Tetapi bagaimana penerimaan hati? Akal telah akur tetapi hati masih menolak. Begitulah jika ilmu disampaikan tanpa adab. Ia ibarat memberi bunga yang tiada harumnya.  Tulisan dengan bahasa yang indah mengubat rasa yang gundah.
Tulisan yang benar membuat fikiran menjadi lebih besar.
Bila keindahan dan kebenaran bergabung, kata-kata akan menjadi kuasa yang mampu mengubah jiwa!

 

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya dalam penjelasan (bayan) itu mengandung sihir, atau sesungguhnya sebahagian bayan (penjelasan) itu mengandung sihir.” (Sahih Bukhari) Ini merupakan satu bukti untuk menggambarkan betapa besarnya pengaruh kata-kata atau tulisan yang  indah lagi benar. Kata-kata mempunyai ‘rohnya’ yang tersendiri. Jika lahir dari hati, insyaAllah akan jatuh ke hati jua. Ia mempunyai kuasa merubah apa yang sedang dirasai oleh hati dan yang sedang difikirkan oleh akal.

 

Fikiran yang berkeladak boleh menjadi jernih apabila menerima tulisan yang  memberi panduan dan pengajaran. Gerak yang lesu, kembali laju apabila membaca buku yang bersemangat. Hati yang membara menjadi lega apabila dipujuk oleh tulisan-tulisan sedingin salju. Lurus kata-kata itu adalah bayangan tulusnya jiwa.

 

Biarlah tidak menyentap… asalkan mampu menyerap dan menyelinap ke lubuk hati. Bukankah ada kalanya bisikan itu lebih nyaring di hati berbanding jeritan? Seorang kekasih tidak payah menjerit untuk menyatakan cintanya. Cukup hanya dengan berbisik. Itulah bahasa kasih sayang! 

Feedback

11
  • b

    MasyaAllah… Alhamdulillah… segar rasa membaca sharing Tuan ‘biar tak sentap asalkan menyerap’! Setuju sangat approach yang diketengahkan di atas untuk kekesanan ilmu dan penerimaan tarbiyah! Umum tapi khusus…

    hehe.. nanti, share lagi tau..

    verba volant, scripta manent: ikatlah ilmu dengan menuliskannya!!

    wassalam wbt.

  • Hisyam

    JazakaALLAH ustaz.Itulah yang kita harapkan dalam membina akidah yang jitu. Beginilah hakikat jalan menuju makrifat. Gaya penyampaian murabbi sekarang banyak mendesak dari memujuk. banyak menekan dari membelai. Saya bagi contoh pendekatan memujuk / membelai dalam negara kita iaitu Ustaz Dr Maza. Terima kasih

  • pasu

    Assalamualaikum,sebelum ini saya agak mengikuti dan mempersetujui dakwah secara sentapan ni…agak popular dikalangan orang islam zaman sekarang,dan dikatakan lebih efektif kepada remaja tetapi adab dalam menyampaikan nasihat juga perlu dijaga supaya tidak mengguris hati..betullah orang kata dakwah itu suatu seni..

  • Zalina

    Tulisan yang menang menyerap dan menyelinap ke lubuk hati…. InsyaAllah dijadikan panduan dan ingatan utk dakwah kepada anak-anak didikku.

  • Danial Madani

    Terima kasih buya atas tulisan yang baik dan memberi pelajaran ini. Mudah-mudahan ramai yang tekesan dan mula mengubah cara penulisan agar lebih lunak dan lembut. Jazakallahu khairan kathira.

  • Pakej Ekonomi Umrah Dan Haji Mabrur

    As Salamualaikum Wa Rahmatullah! ……..

    Semoga Kita Semua Di Ampuni, Di Rahmati, Diberi Hidayah Dan Di Kurniakan Rezeki Oleh Allah swt Senantiasa!…Dan Semoga Kita Di Jemput Menjadi Tetamu Allah SWT Untuk Mengerjakah Ibadah Umrah Dan Haji Dan Mendapat Umrah Dan Haji Yang Mabrur , InsyaAllah ! Amin!!

    【Say – Amin!!! 】

    Serta Tahniah kerana merupakan salah satu saluran dakwah yang banyak manfaat untuk kita semua!….

    http://on.fb.me/1k6iuNw

    ►| BERITA TERKINI | PROMOSI | LIKE | SHARE | SUBSCRIBE | ◄

  • Mohd Abd Rahim

    Assalamualaikum Ustaz.
    Saya memang suka sangat dengan tulisan Ustaz. Mudah-mudahan hati saya yang kekadang keras dan perasaan marah saya dapat dilentur dan dikawal seperti air yang mengalir, sejuk dan jernih lagi menyegarkan.
    Terimakasih banyak-banyak Ustaz.

  • MUHAMMAD IMRAN BIN KHAIRMAN .

    Alhamdulillah, syukran ustaz atas perkongsian yang dirasakan amat-amat saya perlukan ketika ini.

    Semoga menyatakan kebenaran dengan berhikmah, mampu lebih lunak menjemput hidayah.

  • Wan Rozah

    Terima kasih ustaz. Kata-kata yang kasar walaupu ianya benar tak semestinya boleh merubah seseorang.

  • Wardah Abdullah

    Alhamdulillāh

    As-Salāmu’alaykum warahmatullāh Ustaz,

    Syukur Alhamdulillāh kerana dilorongkan Allāh ke sini. Mula-mula saya membaca “Sufi Yang Meninggal Dunia” lalu terpandang entri yang ini sebaik habis membacanya.

    Benar sekali kata Ustaz, Sheikh Fahmi Zamzam yang pertama kali kami (suami, saya dan ibu) ketika majlis pengijazahan kitab tersebut, yang di bimbing oleh Ustaz Muhadir Hj Jol pada penghujung Ogos yang lalu — kehadirannya amat terkesan pada hati kami.

    Nada dan alunan suara (bagaimana) dan kandungan pesanannya (apa) menusuk kalbu, menimbulkan rasa bersalah, bukan dipersalahkan. Ustaz Muhadir juga begitu sepanjang daurah berlangsung. Alhamdulillāh.

    Kandungan kitab tersebut, pesanan kedua-dua Ustaz Muhadir dan Sheikh Fahmi menjadi bekalan paling ampuh sepanjang musafir experiential learning ke Balkan dan al-Andalus, selain intipati majlis Ilmu yang lain.

    Kami berharap dapat bertemu dengan Ustaz pula, saya secara peribadi mahu belajar skil dan teknik penulisan Ustaz.

    Jazākumullāhu khayr Ustaz atas nukilan di sini dan buku-buku Ustaz — entri yang ini cukup istimewa di hati saya.

    BarakAllāh fīk.

  • Anuar Ibrahim

    Alhamdulillah. T.kasih ustaz dgn tazkirah yg menyerap dan menyelinap masuk ke hati dan sgt menyentuh perasaan. Moga2 melahirkan amal dan tindakan. InsyaAllah

Leave a Reply

%d bloggers like this: