Looking for Something?

SEORANG SUFI YANG ‘MENINGGAL’ DUNIA!

Author:

 

th (1)Dia punya kedudukan yang baik. Berharta orangnya. Sebagai ketua sebuah syarikat perniagaan yang maju, dia menjadi ikon kepada usahawan-usahawan Muslim yang lain. Namun sejak kebelakangan ini dia telah berubah.

“Alhamdulillah aku tenang sekarang. Tiada kesibukan lagi. Aku tenang setenang-tenangnya.”

“Bagaimana dengan orang sekelilingmu?”

“Maksudmu?”

“Pekerja-pekerja dan kakitangan syarikatmu,” jawab saya pendek.

“Mengapa tiba-tiba kau bertanyakan tentang pekerja-pekerjaku?”

 “Mestilah. Bukankah kita tidak akan tenang selagi orang di sekeliling kita tidak tenang? Orang yang tenang mampu memberi ketenangan kepada orang di sekelilingnya,” jelas saya. Teringat saya akan ungkapan orang yang bijaksana: “Seseorang tidak akan bahagia selagi orang di sekelilingnya tidak bahagia.”

Begitulah juga dengan ketenangan. Orang yang tenang akan dapat memberi ketenangan kepada orang di sekelilingnya.

Sebenarnya, ada sebab saya bertanya kepadanya begitu. Saya diberitahu oleh pengurus syarikatnya bahawa sudah hampir tiga bulan pekerja-pekerja bawahan tidak mendapat gaji. Sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini!

“Bagiku dunia ini menipu. Aku ingin mencari sesuatu yang abadi. Dan aku temuinya dalam zikir. Dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang. Itu pasti!”

“Dunia ini menipu, sebab itu aku takut kita tertipu. Apa yang sebenarnya terjadi dalam syarikatmu?” Saya bertanya. Lebih baik berterus terang sahaja.

“Aku tidak berminat lagi dengan urusan perniagaan. Berpada-padalah dengan apa yang aku ada. Itu semua dunia. Dunia tidak memberi ketenangan, sahabat!” katanya dengan yakin.

“Kau bolehlah berkata begitu. Harta kau masih banyak. Rumah sewa berderet-deret. Tetapi bagaimana dengan para pekerjamu?” ujar saya terus terang.

Nyata dia terkejut. Wajahnya berkerut. Kemudian, buat sekian kalinya saya lihat dia terdiam. “Pekerja-pekerjamu sudah tiga bulan tidak dibayar gaji. Boleh kau tenang jika kau sendiri tidak punya pendapatan untuk menyara anak isteri?

“Insya-Allah boleh. Aku telah dilatih untuk hidup sebagai seorang sufi sekarang.”

“Anak dan isteri mampu?”

“Ya. Anak dan isteriku pun sekarang bersamaku di jalan sufi ini.”

Tanpa menoleh kepadanya saya berkata, “kerana itu kau juga mesti bawa 300 orang pekerjamu ke jalan sufi. Biar mereka pun mampu hidup tenang tanpa pendapatan mencukupi sepertimu,” kata saya sinis.

Dia senyum. Entah apa sebabnya saya tidak pasti.

“Sayidina Umar al-Khattab seorang sufi atau tidak?” Saya cuba memancingnya.

“Tentu dia seorang sufi. Jalan dan disiplin sufi diwarisi daripada Rasulullah, kemudian para sahabat, kemudian tabiin dan seterusnya ke jalan yang sedang aku lalui sekarang.”

“Tetapi Sayidina Umar itulah yang menghalau sekumpulan lelaki yang duduk berzikir di masjid tanpa mencari rezeki untuk keperluan hidup mereka sendiri. Dialah juga yang sentiasa memastikan orang di bawah pimpinannya mempunyai pendapatan yang mencukupi. Malah katanya, jika seekor kambing mati di tepi sungai Dajlah, beliau akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah.”

 “Kau tahu. Sufi itu meletakkan dunia di tangan dan akhirat di hati. Dunia ini umpama bangkai bagi kami orang sufi,” dia membalas.

“Meletakkan dunia di tangan bukan bererti melepaskan tanggungjawab. Sayidina Umar pernah memikul guni tepung untuk diberikannya kepada seorang ibu yang mempunyai ramai anak yang sedang kelaparan.”

 “Manusia sekarang bukan lapar makanan tetapi laparkan zikir,“ balasnya selamba.

“Subhanallah, kalau begitu di mana letaknya kepentingan zakat, hibah dan wakaf dalam ajaran Islam? Ya, manusia laparkan zikir seperti ikan perlukan air. Tetapi ingatlah zikir bukan hanya mengucapkan dengan lidah”

Dia memintas, “Itu salah. Kami dilatih berzikir dan berselawat ribuan kali. Alangkah indahnya. Sesiapa yang tidak mengalami tidak akan mengetahui. Itu zikir lidah dan kemudian meresap ke dalam hati.”

Saya menundukkan kepala. Mengapa begitu jauh dan cepat dia berubah angin? Dahulu dia seorang yang sangat prihatin dengan masalah orang lain. Ketua yang penyayang dan sangat empati kepada orang bawahannya.

“Dengarlah! Zikir itu bukan hanya dengan ucapan lidah dan ingatan dalam hati tetapi zikir itu perbuatan. Tindakan! Tindakan yang membela, membantu dan menyelesaikan masalah orang lain juga adalah zikir,” ujar saya tanpa jemu.

Dia sedang keliru. Disangka ibadah dan zikir itu hanya melalui hubungan dengan Allah, tetapi berkhidmat kepada manusia kerana Allah juga sebenarnya ibadah, dan itu juga zikir. Asalkan niatnya kerana Allah dan kaedahnya mengikut Rasulullah.

“Dunia ini bangkai,” katanya tersenyum.

“Bangkai yang perlu dijadikan baja. Bukan dibuang,” pintas saya.

“Bangkai itu menghalang kita menuju Allah.”

“Jangan lupa dunia adalah tanam-tanaman untuk akhirat.”

“Maksud kau?”

“Untuk mendapat buah yang baik di akhirat mestilah pokok yang kita tanam di dunia juga baik. Hanya pokok yang baik akan menghasilkan buah yang baik.”

  Saya cuba menjelaskan apa ertinya ungkapan yang dinisbahkan pada Imam al-Syafi‘i (sesetengah pihak berpegang itu adalah hadis Rasulullah). Melihat dia terdiam, saya segera menyambung, “mencintai syurga bukan bermakna membuang dunia. Sebaiknya, dunia dimanfaatkan secara optimum untuk mencapai kejayaan di akhirat.”

Dunia di tangan, akhirat di hati. Ingat itu,” katanya dengan sinis.

“Ya, dunia di tangan. Ertinya, dunia ada tetapi hanya diletakkan di tangan. Bukan tidak ada dunia untuk diletakkan di tangan.”

“Eh, apa maksud kau?”

“Kalau dunia ditinggalkan, ertinya mana ada lagi dunia yang hendak diletakkan di tangan!”

Dia masih tersenyum. Yakin.

“Kau mesti menjaga kebajikan orang bawahanmu. Itu juga tuntutan sufi. Aku tidak sekali-kali menghalang untuk kau berzikir. Berzikirlah banyak-banyak namun tanggungjawab dan amanah jangan diabaikan. Zikir bukan satu eskapisme. Jangan lari daripada masalah tetapi hadapilah masalah dengan jiwa yang kuat. Jiwa yang dibina dengan zikir.”

“Rasulullah sangat mencintai ahli zikir. Zikir membersihkan hati.”

“Ya. Tetapi Rasulullah juga bersabda: “Sesiapa pada malam hari merasakan kelelahan kerana bekerja pada siang hari, maka pada malam itu dia diampuni Allah.” (Riwayat al-Tabarani) Bukankah itu juga bererti bekerja juga mampu mengampunkan dosa-dosa kita?”

“Jadi, orang kafir yang bekerja juga akan diampunkan dosa?” joloknya masih sinis.

“Hanya orang beriman. Yang niat dan pelaksanaan kerjanya kerana Allah dan mengikut sunnah Rasulullah.”  

“Kau mesti ingat, kerja-kerja dunia ini hanya melalaikan kita daripada mengingati Allah. Bukankah Allah berfirman: “Apabila kamu diseru untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kepada mengingati Allah dan tinggalkanlah berjual beli. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui. (Al-Jumu‘ah 62: 9),”  terangnya dengan nada yang agak tinggi.

Saya terpaksa diam. Cuba meredakan keadaan. Setelah beberapa ketika, saya menyambung, “tetapi jangan lupa firman itu ada sambungannya. ‘Apabila solat telah selesai dikerjakan, maka bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah kurniaan Allah.’ (Al-Jumu‘ah 62: 10)

Ertinya, Allah perintahkan kita mencari rezeki setelah usai mengingati Allah dalam solat. Dan sambil mencari rezeki perlu juga kita meneruskan zikir kepada Allah. Jadi, tidak ada konflik antara bekerja mencari rezeki yang halal dengan zikir kepada Allah.”

 “Sufi itu orang yang mengutamakan amalan akhirat berbanding amalan dunia. Kami orang sufi berasa kenyang dengan zikir. Menjadi hebat dengan selawat.”

Kali ini saya pula terdiam. Mencari ikhtiar untuk memberi pencerahan.

“Amalan dunia boleh jadi akhirat. Amalan akhirat boleh menjadi dunia.” Akhirnya terdaya juga saya melontarkan kata-kata. Tanpa menunggu balasan, saya menyambung, “apabila seseorang bangga dengan zikirnya, maka amalan zikir itu menjadi dunia. Tidak ada manfaatnya sesuatu amalan di akhirat nanti jika menimbulkan rasa sombong, riyak, ujub dan sum‘ah.”

“Bagaimana dengan amalan dunia yang boleh menjadi akhirat pula?” tanyanya tanpa saya duga.

Saya senyum. Saya bersyukur jika dia sekurang-kurangnya sudi mendengar dengan hati dan fikiran yang terbuka.

“Rasulullah pernah mencium tangan sahabat Baginda, Saad bin Muadz al-Ansari yang kasar. Ketika ditanya mengapa Baginda berbuat demikian, Baginda menjelaskan tangan itu ialah tangan yang tidak akan disentuh oleh api neraka. Tangan itu ialah tangan yang dicintai Allah kerana digunakan untuk bekerja keras menyara keluarganya. Bukankah kerja menyara keluarga itu amalan dunia, tetapi mampu menyelamatkan sahabat tersebut daripada api neraka di akhirat? Ertinya, amalan dunianya sudah menjadi akhirat,” jelas saya agak panjang.

“Aku bosan, malah benci. Kesibukan mengurus perniagaan dan pekerjaan sangat meletihkan. Aku tidak temui ketenangan di situ. Tetapi dalam majlis zikir, subhanallah terasa dekat dengan Allah. Tenang rasanya.”

“Ingatlah sabda Rasulullah tentang orang yang baik. ‘Orang yang terbaik ialah yang dapat memberi manfaat kepada manusia lain.’ (Riwayat al-Tabarani) Aku yakin keresahan, kebimbangan dan kesibukan kau dalam bekerja itu besar ganjarannya di sisi Allah.

Aku teringat apa yang pernah dinukilkan oleh Imam al-Ghazali, ‘amalan yang terbaik ialah amalan yang manfaatnya melimpah kepada orang lain.’ Dalam konteks ini ramai yang mendapat manfaat daripada kerjamu sebagai seorang pengarah dan pemilik organisasi perniagaan ini.”

“Maksudmu, kerja aku di syarikat amalan fardu kifayah, dan berzikir amalan sunat? Lalu fardu kifayah lebih utama daripada amalan sunat?” katanya lancar.

“Kau lebih arif tentang hukum. Tetapi aku lebih tertarik untuk tidak menimbulkan dikotomi atau konflik antara zikir dengan kerja. Kedua-duanya mempunyai hubungan kesalingan yang erat. Zikir dengan kerja tidak terpisah. Para sahabat, generasi sufi yang awal itu punya pelbagai pekerjaan. Ada yang menjadi peniaga, peladang, tentera, tukang besi, penternak, pegawai tadbir, duta dan berbagai-bagai lagi profesion tetapi mereka juga ahli zikir.”

Sebenarnya, ada satu perkara penting lagi yang ingin saya sampaikan kepadanya. Mudah-mudahan teguran ini dapat diterimanya dengan baik. Namun, bukan mudah untuk melahirkan teguran yang benar-benar datang daripada hati. Teguran yang penuh kasih sayang.

“Kau mesti istiqamah mengajak semua kakitangan syarikat untuk berzikir,” kata saya perlahan.

“Oh, tidak! Mereka belum mampu. Zikir yang aku amalkan sekarang sangat khusus. Berijazah dan bersanad. Ambil masa yang lama pula. Selawat sahaja sampai beribu-ribu kali. Tidak sesuai diamalkan di tempat kerja.”

“Zikir yang aku maksudkan ialah zikir yang mengambil masa tidak sampai 10 minit. Tetapi zikir itulah yang paling utama.”

“Apa?”

“Solat lima waktu secara berjemaah!”

Memang, sejak kebelakangan ini dia semakin longgar solat berjemaah. Dahulu beliau sentiasa berjemaah bersama kakitangannya. Malah dia sendiri menjadi imam. Namun sejak menjadi ‘sufi’, solat jemaah semakin jarang. Begitu juga untuk berbual mesra dan makan bersama seperti kelazimannya. Semua itu ‘hilang’ daripadanya.

“Solat berjemaah ialah tradisi angkatan sufi daripada kalangan para sahabat, tabiin dan tabi‘ tabiin. Itulah majlis zikir yang paling utama. Orang sufi tidak akan meremehkan solat berjemaah.”

Dia merenung muka saya. Pandangan matanya tajam. Saya tidak pasti dia bersetuju atau sebaliknya.

“Nanti aku rujuk guruku tentang semua ini.” ujarnya perlahan.

“Ya, rujuklah. Tetapi bagiku semua ini soal asas dan teras. Perintah dan fadilat solat berjemaah misalnya, sudah kita maklumi melalui pengajian-pengajian ilmu dan kitab-kitab muktabar yang asas.”

“Maaf, itu semua bukan majlis zikir. Itu semua untuk akal. Kita memerlukan majlis zikir yang memimpin hati.”

“Terpulanglah kepadamu. Bagiku melalui kitab al-Azkar Imam Nawawi, telah jelas hubungan majlis ilmu dengan majlis zikir. Dan aku tidak tahu apa bezanya antara persoalan akal dengan hati yang kau sebut itu. Bagiku mudah, zikir dan fikir itu sepadu. Abid dan ahli itu orang yang satu.”

Saya diam. Teringat sebuah riwayat. Aisyah bertanya Rasulullah, dengan apakah manusia utama di dunia?”

Rasulullah bersabda: “Dengan akal. “

Aisyah bertanya lagi: “Kalau di akhirat?”

Rasulullah menjawab: “Dengan akal.”

Maka Aisyah bertanya lagi: “(Bukankah) manusia itu dibalas hanya kerana amal-amalnya?”

Rasulullah menjawab: “Dan tidaklah manusia-manusia beramal kecuali dengan sekadar yang Allah. berikan iaitu akal. Maka dengan sekadar apa yang telah diberikan kepada mereka (akal) itulah amal-amal mereka. Dan atas sekadar apa yang mereka kerjakan, maka mereka mendapat balasan.” (Musnad al-Harith)

Namun akhirnya saya diam. Tidak ingin melanjutkan perbincangan lagi. Saya sedar, jika dilanjutkan lagi bakal berlaku perbahasan panjang yang boleh memanaskan akal dan hati. Tidak ada gunanya. Biarlah saya dan dia berhenti di satu titik persetujuan yakni kami bersetuju untuk tidak bersetuju. Biarlah dia dengan gurunya.

Feedback

6
  • Mardhiyah Ghazali

    Perkongsian yang amat menarik! Moga ustaz istiqomah berkongsi ilmu
    Syukran Ustaz. Mohon Share

  • Zalina

    Perbincangan yang sarat dan berat. Semoga saya diberikan petunjuk untuk merujuk.Saya juga masih beristhikharah dgn kumpulan zikir yg sedang mempelawa kpd saya.

  • Nur idayu bt mohd aris

    Alhamdulillah..makna zikir yg luas..

  • Sani

    Moga Allah swt berikannya petunjuk ke jalan yang sebenar-benarnya…

  • kopiah@hjman

    assalamualaikum, saya ada jual kopiah keras hitam putih semua smart smart, apa lagi kalau pakai konfem nampak hensem punya! mai mai visit blog saya, jangan lupa follow 🙂

Leave a Reply

%d bloggers like this: