Looking for Something?

MUSLIM VS SAMURAI

Author:

 

th (1)“Mengapa orang Jepun sukar menerima Islam?” tanya seorang ahli perniagaan yang juga merupakan kenalan baharu saya.

“Benarkah begitu?” balas saya dengan pertanyaan juga. Saya tidak pasti sebenarnya. Apakah itu realiti atau sekadar andaian. Kali terakhir saya memijak bumi matahari terbit itu kira-kira 20 tahun yang lalu. Dalam tempoh selama itu berbagai-bagai perubahan boleh berlaku. Dahulu hanya ada sebuah masjid di Kobe tetapi sekarang sudah banyak masjid di sana.

“Betul,” jawabnya pasti. “Saya sering berulang alik ke sana dan saya lihat orang Jepun agak payah untuk menerima Islam.

“Sudah cuba berdakwah di sana?” tanya saya.

“Belum secara langsung. Hanya berdakwah melalui perbualan biasa. Dalam urusan perniagaan, saya cuba selitkan sedikit-sedikit nilai Islam. Sayangnya respons daripada mereka kurang memberangsangkan. Entah mengapa.”

Saya terdiam. Jauh di sudut hati, saya sebenarnya masih tertanya-tanya, apakah itu satu hakikat ataupun hanya satu tanggapan yang bersifat peribadi.

 

Sebab Mereka Lebih Baik

“Baiklah, anggap sahaja tanggapan saya itu benar. Apa komen awak?” joloknya seolah-olah dapat membaca keraguan saya. Saya senyum. Terasa bersalah pula meragui pendapatnya. Padahal dia lebih dekat dengan Jepun. Apa tidaknya, dalam tempoh sebulan sahaja dia sudah beberapa kali berulang-alik ke sana.

“Saya rasa puncanya ialah orang Jepun merasakan kehidupan mereka lebih baik berbanding orang Islam. Oleh itu apa perlunya mereka memeluk Islam.”

Akhirnya saya bersuara juga. Mungkin satu tanggapan juga.

“Lebih baik daripada sudut apa? Kalau kecanggihan sains dan teknologi memang ada kebenarannya. Jepun jauh lebih hebat.”

“Bukan itu sahaja, malah sikap dan adab. Mereka jauh meninggalkan kita,” sambung saya. Pada saya orang Jepun bukan sahaja unggul dalam bidang ekonomi dan teknologi tetapi juga keperibadian. Para pelajar mereka diajar dan dilatih dengan adab lebih dahulu sebelum diberi ilmu.

“Contohnya?”

“Contohnya, kebersihan tandas. Pergilah ke mana-mana bandar di Jepun, kebersihan tandas mereka sangat mengagumkan. Jauh lebih bersih daripada tandas awam, malah tandas-tandas di masjid kita. Lapangan terbang mereka misalnya, jauh lebih bersih dan mesra pengguna berbanding lapangan terbang negara-negara Islam seperti lapangan terbang Karachi dan Jeddah.”

“Itu sekadar kebersihan, itu satu sudut yang masih terhad dan terbatas.”

“Bukan sekadar kebersihan tetapi juga tentang kejujuran dan integriti.”

Lalu saya ceritakan kepadanya tentang seorang sahabat yang pernah menyewa teksi. Sebaik sahaja menyedari dia tersilap jalan, pemandu teksi terus mematikan meter bayaran. Dia hanya menghidupkan semula meter tersebut apabila tiba di jalan yang betul.

“Bukan itu sahaja, malah barang-barang peribadi seperti telefon bimbit, beg dan lain-lain  yang tertinggal  atau tercicir di stesen kereta api, di pusat membeli belah atau di tempat-tempat  awam akan dapat ditemui semula. Kebanyakan masyarakat mereka sangat menghormati hak orang lain,” tambah saya lagi.

 

Ketepatan Masa

Saya turut menceritakan bagaimana disiplinnya orang Jepun menepati dan mengurus masa. Saya masih ingat bagaimana seorang pelajar Malaysia memberi panduan kepada saya untuk bergerak dari satu destinasi ke satu destinasi berpandukan jadual perjalanan kereta api dari satu stesen ke satu stesen api yang lain. Sukar untuk mencari jalan atau tempat berpandukan tulisan kerana di Jepun hampir semua papan tanda jalan, nama-nama jalan, stesen kereta api dan tempat-tempat semuanya ditulis dalam bahasa Jepun. Mereka sangat berbangga dengan nilai-nilai bangsa mereka.

Saya masih ingat lagi dialog antara saya dengan pelajar tersebut.

“Bagaimana saya boleh tiba di destinasi yang saya inginkan?”

“Mudah sahaja ustaz. Ustaz selaraskan sahaja jam ustaz dengan jam stesen kereta api ini. Tepat pukul sekian, ustaz naik kereta api ini. Pada pukul sekian pula, ustaz turun. Tunggu dalam masa sekian-sekian, ustaz naik kereta api lain di belah kiri dan turun pula pada jam…”

Pendek kata, pelajar Malaysia tersebut memberi panduan berdasarkan penetapan masa. Ertinya, perjalanan kereta api sangat menepati masa hingga berdasarkan jadualnya sahaja kita boleh sampai ke destinasi kita. Saya kagum!

“Apa yang saudara kagumi pada bangsa Jepun?” tanya saya pula. Menukar posisi perbualan. Sekarang saya pula yang bertanya. Saya ingin mendengar pengalamannya.

 

Budaya Kerja

“Budaya kerja mereka! Sangat rajin dan disiplin. Sangat kreatif dan inovatif dalam mencipta dan mengeluarkan. Mereka sangat mementingkan ketepatan,” balasnya.

Sebelum sempat saya membalas, dia menyambung lagi, “mereka sangat bangga dengan kerja. Hinggakan kalau ditanya mereka dari mana? Mereka tidak akan menyebut bandar atau lokasi tempat tinggal mereka tetapi akan menyebut organisasi tempat mereka bekerja.”

Saya mendengar penuh teliti. Penuh minat. Saya tatap wajahnya dengan serius.

“Saya pernah mendengar cerita betapa para isteri mereka berasa malu sekiranya suami pulang awal daripada bekerja berbanding suami jirannya yang masih belum pulang. Saya juga mendengar cerita betapa mereka yang diberhentikan kerja berasa sangat malu menjadi penganggur. Itu satu kehinaan. Hinggakan mereka tetap keluar dari rumah pada hari bekerja seolah-olah mereka masih bekerja. Mereka malu dengan keluarga. Mereka malu dengan jiran dan masyarakat jika menganggur.”

“Wah, hebat! Kagum saya,” ujar saya sambil mengangguk-angguk kepala.

“Mengapa mereka begitu komited dengan kerja walaupun pegangan agama mereka longgar dan ada dalam kalangan mereka yang tidak menganut mana-mana agama pun?” soalnya tiba-tiba.

Belum sempat saya menjawab, dia bertanya lagi, “sedangkan ramai orang Islam sendiri malas bekerja, bersikap ‘cincai’, dan suka bertangguh. Mengapa?”

Saya diam. Terkesima juga apabila ditanya bertubi-tubi begitu. Setelah berfikir sejenak, saya bersuara perlahan, “semua itu kerana mereka sangat berpegang, pertama dengan etika kerja. Dan kedua, dengan budaya bangsa. Kedua-duanya dihayati dan diamalkan secara bersepadu.”

“Budaya? Etika?” tanyanya perlahan. Kelihatan dia berasa hairan.

“Mutu kerja mereka yang baik dibentuk oleh etika kerja mereka. Setiap kerja ada etikanya. Apabila etika kerja itu dipatuhi maka terhasillah kerja yang efektif dan efisien.”

Melihat dia terdiam, saya menyambung lagi, “satu faktor lagi, setiap bangsa juga ada keistimewaannya tersendiri. Itu kurniaan Allah kepada setiap bangsa. Bangsa Cina terkenal rajin. Arab, tahan lasak dan menghormati tetamu. Sepanyol, Portugis dan Inggeris terkenal berani dan berjiwa besar. Yahudi, bijak dan licik. Melayu sopan-santun dan lemah kembut. Manakala bangsa Jepun pula terkenal kerana kegigihan dan semangat juangnya yang tinggi. Sifat-sifat baik yang sudah serasi dan sebati oleh sesuatu bangsa itu jika terus disuburkan akan berakar umbi hingga menjadi budaya.

“Oh, begitu. Jadi sifat-sifat baik manusia itu boleh terbina oleh etika kerjanya dan budaya bangsa tersebut?” dia merumuskan seakan satu pertanyaan.

Saya hanya mengangguk.

 

Pergantungan kepada Tuhan

Setelah diam agak lama dengan fikiran masing-masing, saya kembali bersuara untuk terus merancakkan perbualan, “apa kelemahan bangsa Jepun?”

Dengan cepat dia menjawab, “lemah kerohaniannya. Lemah pergantungan kepada Tuhan. Apabila kecewa dan putus asa mudah membunuh diri. Sebab itu, kadar bunuh diri sangat tinggi dalam kalangan mereka. Sama ada pada orang dewasa juga kepada kanak-kanak.”

“Kalau begitu Islam memang sangat diperlukan oleh orang Jepun. Islam mampu memenuhi kekosongan jiwa orang Jepun,” tegas saya.

“Masalahnya mereka tidak minat Islam.”

“Itu bukan masalahnya. Masalahnya ialah kita yang tidak bijak menarik minat mereka. Islam ialah produk yang baik, tetapi kita, umat Islam yang lemah memasarkannya.”

“Memasarkan Islam? Islam satu produk?”

“Itu perumpamaan sahaja. Produk yang baik, maksudnya hanya Islam agama yang diredai Allah. Agama yang paling sempurna,” jelas saya.

“Baik, saya faham sekarang. Bagaimana pula memasarkan Islam?”

“Cara memasarkan Islam adalah dengan mengamalkannya,” jawab saya pendek.

“Inilah cara yang boleh memikat orang Jepun. Islam mementingkan kebersihan, pengurusan masa, kejujuran dan menepati janji, maka umat Islam mesti mengamalkannya. Dengan mengamalkan nilai-nilai itu, keindahan Islam akan terserlah. Insya-Allah, hanya dengan itu bangsa Jepun akan terbuka mata.”

“Saya setuju. Mula-mula terbuka mata, kemudian baru terbuka hati untuk menerima Islam,” katanya berkali-kali.

“Apa kelebihan kebaikan yang terbina oleh agama berbanding etika dan budaya?”

Tiba-tiba saya diterjah oleh satu soalan yang bagi saya sangat sukar dijawab.

“Awak ada nampak perbezaan antara generasi muda Jepun masa kini berbanding generasi Jepun yang terdahulu?” tanya saya. Saya menjawab soalannya dengan soalan juga. Saya sebenarnya cuba mencari ruang masa untuk terus berfikir.

“Err… saya rasa ada,” jawabnya seperti berfikir juga.

“Apakah perubahan itu?”

 

Apabila Hedonisme Mula Merasuk

“Generasi muda kurang gigih dan bersemangat seperti generasi terdahulu. Hedonisme mula merasuk. Patriotisme dan idealisme semakin merosot. Begitulah kira-kiranya.”

Saya senyum. Mungkin ini juga masih satu andaian. Tetapi apabila teringat apa yang terjadi kepada bangsa sendiri, ada logiknya. Sifat sopan santun yang sinonim dengan bangsa Melayu juga kian goyah. Adab dan tatasusila yang dulunya menjadi identiti Melayu semakin terhakis dalam diri generasi muda Melayu masa kini.

“Awak belum menjawab pertanyaan saya,” terjahnya tiba-tiba.

Lamunan saya terhenti. Agak lama, baru saya meluahkan, “Begini. Kebaikan yang dicetuskan oleh etika kerja dan budaya bangsa semata-mata tidak kukuh. Tidak tahan cabaran semasa dan realiti lingkungan yang sentiasa berubah. Itulah yang menyebabkan generasi kemudian tidak seunggul generasi awal. Bukan sahaja terjadi kepada generasi muda Jepun tetapi juga generasi muda Melayu, Cina dan bangsa-bangsa yang lain.”

Saya berhenti seketika dan menyambung, “ada perubahan besar berlaku kepada setiap bangsa dalam era globalisasi yang menyebabkan dunia seolah-olah bertukar menjadi hanya sebagai sebuah kampung. Ini yang disebut global village.”

“Apa yang terjadi dalam kampung sejagat itu?”

“Proses hegemoni Barat. Satu strategi  yang menjadikan golongan muda sebagai sasaran utamanya. Mereka kian terheret dalam proses globalisasi sosiobudaya. Golongan belia terus menjadi sasaran utama globalisasi yang didalangi oleh syarikat-syarikat multinasional dan transnasional. Dalam keghairahan untuk mengejar gaya hidup ala Barat, anak-anak muda ini akan meniru bulat-bulat budaya hidup barat,” sambung saya.

 

Islam Sebagai Penyelamat

Hasil penjajahan fikiran dan budaya itu, makanan Barat semakin popular di seluruh dunia. Minuman bergas seperti Coca Cola dan Pepsi begitu dinikmati oleh anak muda. Begitu juga fesyen pakaian seperti Versace, Bonia, Padini dan alat solek seperti Christian Dior, Maybelline. Begitu juga muzik jazz, rock dan lain-lain menjadi kegilaan anak muda. Kapitalis Barat mengaut keuntungan daripada program hiburan, sukan, fesyen dan lain-lain.

“Apa yang cuba awak sampaikan?”

“Saya ingin tegaskan, kalau hanya bersandarkan etika dan budaya, manusia tidak akan mampu melawan proses hegemoni Barat yang begitu dahsyat. Hanya iman. Hanya kebaikan yang dibentuk oleh iman sahaja mampu bertahan. Bukan sahaja mampu bertahan malah mampu melawan dan mengalahkan.”

“Jadi Islam harapan dunia masa kini?”

“Ya. Pasti. Hegemoni Barat hakikatnya ialah penjajahan bentuk baharu yang menjadikan seluruh manusia dan dunia berada dalam dominasi Liberal Kapitalis Barat. Ini penzaliman. Ekonomi, politik dan sosiobudaya manusia akan terus dieksploitasi dan dimanipulasikan oleh Barat.”

“Justeru harapan kita hanya kepada Islam. Islam bukan menjajah, tetapi akan membebaskan manusia daripada penghambaan sesama manusia hanya untuk menjadi hamba kepada Allah!”

“Siapa yang akan memikul amanah besar ini?” tanyanya.

“Umat Islam. Kita. Caranya adalah dengan memasarkan Islam. Yakni dengan mengamalkannya dan memperjuangkannya. Betapa selama ini dunia menjadi kacau apabila umat Islam tidak mengamalkan Islam. Kita tidak menjadi teladan. Tidak menjadi penyelamat. Sedangkan tabiat Islam itu selamat dan menyelamatkan.”

“Insya-Allah, saya semakin bersemangat untuk ke Jepun. Bulan depan saya akan ke sana lagi. Saya ingin memasarkan Islam dengan mengamalkan!”

“Insya-Allah, Iman dan Islam ini akan tampak lebih hebat daripada semangat Bushido dan Samurai.”

Saya senyum. Ya! Selamanya manusia lebih percaya mata berbanding telinganya. Orang Jepun lebih memerlukan sikap Islam bukan sekadar cakap-cakap tentang Islam. Sikap boleh dilihat oleh mata tetapi cakap hanya boleh didengar oleh telinga.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Feedback

4
  • Penuntut Ilmu

    Subhanallah…islam is the way of life..

  • jaei

    ustaz, saya masih sangat berharap taska dan tadika di Malaysia menerapkan adab-adab dalam pembelajaran terlebih dahulu.ketepikan dulu, 1,2,3 dan a,b,c….ini InsyaAllah akan diajar dan dipahami kemudian.
    Situasi saat ini, semua ibubapa sangat risau jika anak mereka belum mampu membaca jika telah berada di darjah satu. Padahal, silibus darjah satu baru akan mula mengajar anak mereka membaca dan mengira.
    Sungguh ironi.

    Bagaimana denga adab mereka? dan paling penting, kerohanian mereka.
    Ya, tugas utama pastilah atas bahu ibubapa, namun, jika disepadukan dengan pembelajaran adab yang utuh di taska dan tadika, alangkah cerahnya masa depan negara kita kelak.

  • Afiq

    Satu benda yang kita kena stress. Nak promote Islam, kena tunjuk sifat yg baik. Kerja keras, sopan, etc. Orang Melayu dan juga Arab sangat pemalas. Sorry to say, but this is the reality. Plus, orang Arab bnyk yg kurang hajar x beradab. Pengotor pulak tu. So kita nak buat marketing pon susah.

  • mastura

    jauhnya….

Leave a Reply

%d bloggers like this: